Tuesday, September 19, 2006

Buluh Apa

Sementelahan saya telah mengkisahkan sejarah Pak Kaduk itu, biarlah saya melanjutkan dengan sebuah kisah yang terjadi di Tanah Abang yang terletak beberapa batu sahaja dari tanah kelahiran saya. Kisah ini menjadi kegemaran saya di waktu kecil hingga dewasa sehinggakan saya kerap mengunjungi tapak terjadi peristiwa itu untuk mengimbau realiti kisah sedih ini. Kisah Buluh Apa...

Zaman dahulu di Tanah Abang (pusat pemerintah Perak Tua) terdapat dua orang putera raja yang sama bentuk fizikalnya. Sama cantik, sama gagah, sama dari segi kesantunannya. Cuma sifat mereka berdua ini sahaja yang membezakan mereka berdua. Si Abang lebih lembut, lebih penyayang dan manakala Si Adik agak sedikit kasar, pemanas dan juga agak gopoh di dalam tindakannya.

Seperti kebanyakannya permainan anak raja dulu-dulu, masa lapang mereka akan diisi dengan pemburuan di hutan, persilatan dan permainan senjata sebagai lambang dan status kegagahan seorang anak raja.

Pada suatu hari, kedua anak raja ini bermain senjata seolah-olah seperti pertempuran yang sebenar. Oleh kerana masing-masing terlalu gagah, tiada pihak yang menang atau kalah. Di akhir sayembara itu mereka menggunakan buluh sebagai medium pertarungan. Buluh tersebut tersangat keras dan membahayakan sehinggakan si adik merasa amat berpuas hati dengan penggunaan buluh itu. Lantas ditanyakan kepada abangnya.
Adik : Cukup keras buluh ini ya Kanda. Apakah namanya buluh ini..??
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : (Ketawa) Kanda memang suka bergurau. Adinda bertanya buluh apakah ini Kanda?
Abang : Buluh Apa, Dinda.
Adik : Kanda, Dinda bertanya ini. Kanda sebagai seorang bijak laksana tentu tahu akan nama buluh ini.
Abang : Buluh Apa, Dinda.

Akibat rasa seolah dipermainkan, sewaktu berangkat pulang ke istana, si adik menikam belakang abangnya sehingga mangkat. Puas sudah hati si adik kerana berjaya menghapuskan seorang abang yang suka mempermainkan adiknya.

Kepada ayahanda dan bonda serta menteri pembesar dikhabar, kematian abang disebabkan kemalangan sewaktu bersilat dan tiada niat tersembunyi di sebaliknya. Memikirkan sudah suratan takdir bahawa kematian itu tidak mungkin dapat mengembalikan mereka yang telah pergi, kesemua pihak pasrah dan redha kepada ketetapan ilahi.

Istiadat permakaman pun dilaksanakan dengan penuh kebesaran selayaknya seperti mana kemangkatan seorang raja yang berdaulat. Si Abang dimakamkan di Tanah Abang tidak jauh dari rumpun Buluh Apa yang bersejarah.

Selesai sahaja, istiadat permakaman itu, sewaktu perjalanan pulang, si adik merapati Datuk Bendahara yang budiman. Datuk Bendahara berjalan tunduk kesedihan berkabung atas kemangkatan putera yang sangat rapat dengan beliau.
Adik : Ayahanda Bendahara.
Bendahara : Patik, Tuanku.
Adik : Bolehlah beta bertanya suatu perkara??
Bendahara : Tanyalah Tuanku. Mana yang patik tahu, akan patik jawab. Mana yang patik tidak tahu, akan patik tanyakan kepada mana-mana jauhari yang mengetahui..
Adik : Tahukah Ayahanda Bendahara, apakah nama rumpun buluh yang tumbuh berhampiran dengan gelanggang persilatan milik beta dan juga kekanda itu. Rumpun yang sama yang tumbuh dekat dengan makam kekanda?
Bendahara : Oh, itu.. nama buluh itu BULUH APA, Tuanku..

Apakala mendengar nama buluh itu, mengeletarlah seluruh badan putera itu. Rasa roh melayang meninggalkan jasad rasanya. Wajah putera itu pucat laksana kertas kertas yang putih. Melihatkan perubahan sikap putera itu, Datuk Bendahara seperti dapat menangkap maksud kejadian. Lantas Datuk Bendahara bermadah..

Bayu berpuput di Tanjung Jati
Orang belayar ke Inderagiri
Jangan diturut rasa di hati
Kelak jadi binasa diri

Kekabu diisi di dalam tilam
Untuk hiasi majlis kenduri
Usah ditangisi perkara silam
Tuan yang pergi tidakkan kembali

Sejak dari hari itu si adik menangisi pemergian abangnya di bawah rumpun Buluh Apa. Tidak lama sesudah itu si adik menghilangkan diri dari istana dan tidak diketahui di manakah jejaknya. Putera yang masih berusia 6 tahun terpaksa diisytiharkan seagai Putera Mahkota kerajaan negeri.


Indera :
Sejak kehilangan kedua-dua putera raja itu rumpun Buluh Apa semakin mengecil dan akhirnya kini menjadi rumpun buluh yang bantut. Ada pendapat mengatakan si adik membawa dirinya ke hutan rimba di belakang kampung kami dan meninggal dunia dalam kerajaan bunian (bunian??). Ini kerana terdapat beberapa orang penduduk kampung saya yang mendakwa bertemu dengan makam si adik di dalam hutan yang dikelilingi dengan rumpun Buluh Apa. Mereka kemudian menandakan lokasi makam itu dengan apa sahaja tanda seperti kayu atau kain. Tetapi keesokan harinya mereka ke lokasi berkenaan, makam tersebut tiada lagi. Yang tinggal cuma tanda yang mereka tinggalkan.

Wallahua'lam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sesekali mengunjungi Tanah Abang, terasa bayu yang berpuput amat segar. Sewaktu saya kecil-kecil dahulu, tempat kegemaran saya bermain adalah Kolam Buaya Emas walaupun dilarang keras oleh ayah saya bermain di dalamnya.

10 comments:

zizie ali said...

cari beza antara dua ayat tanya ini:

apa khabar encik bakar?
apa bakar encik khabar?

INDERA KENCANA said...

Zie, jawapan untuk soalan-soalan tu,

1. Khabar bakar..
2. Bakar khabar..

P/s Zie, nasib baiklah engkau tak hidup di zaman putera raja tu. Kalau tak pasti engkau telah ditiruk oleh aku sebab banyak sangat guna perkataan APA..hehehehehe...

kingbinjai said...

dude! buat la buku best siut! banyak ke kisah rakyat yang kau tahu? kalau banyak aku ada projek untuk kau.

wah nanti boleh la ceritakan tentang kolam naga emas pula!

INDERA KENCANA said...

King, kalu buat buku, ada orang nak beli ke..??
Kalu ada, engkau jadi managing directornya.. Aku dapat jadi editor pun cukuplah..

INDERA KENCANA said...

Kepada Zizie,
Maaf, lupa nak ucapkan selamat datang... Blog engkau memang best..

hakim dirani said...

kampung anda banyak sejarah ya. Betul kata King kalau buat buku mesti syok.

Tak ada orang nak beli?
saya orang yang pertama beli.

kingbinjai said...

mesti ada punyalah!

INDERA KENCANA said...

Hakim, betul ke? Kalau macam tu.. Alhamdulillah..

King, serius ke..?? Aku tak de pengalaman benda-benda cenggini. Bolehlah kita discuss panjang nanti.. Amacam? set??

Bunga Rampai said...

Alahai sedihnya ...

Salam.

aisbatu said...

assalam tuan Indera Kencana,

saya mohon kebenaran untuk copy cerita buluh apa ini di blog saya..aisbatu.blogspot.com

Terima kasih