Friday, December 29, 2006

Bila saat bosan

Termenung sepulang dari solat Jumaat. Mungkin betul kata Mawi,

Mungkin langit biru
Langitmu sempadan sebelah situ
Atau mungkin jua
Ribut melanda di dalam cangkir cuma..

Hmmm... menarik kata-kata itu. Sesuatu yang dirasakan besar bagi diri kita.. Hakikat sebenarnya, masalah kita itu tidaklah seteruk mana... Hanya setakat berlegar-legar di sekeliling kita.

"Engkau balik ke Bandar Tasik Puteri bila?" tanya abang saya Khairul.
"Isnin malam yang lepas..."
"Engkau terkena tak?" tanyanya lagi.
"Terkena apa?" tanya saya kehairanan.
"Terkena badi mayat"
"Hiiiissshhh... engkau ni merepek je..." sanggah saya.
"Betul Indera...!!! Bau kapur barus tu melekat lagi pada baju aku hingga aku sampai Tapah" katanya sungguh-sungguh.
"Laaa.. Kapur barus tu kan ke serbuk. Sudah tentu bertebaran hinggap ke baju engkau bila ditiup angin.. Baunya bukankah kuat?" kata saya pula.

Geram saya dengan ragam abang saya itu. Sudahlah sembahyangkan jenazah dia enggan ikut serta. Malah percaya pula pada perkara tahyul dan merepek. Kasihan Allahyarham Pak Yeop.

Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Ada pesanan yang tiba.
"Tak boleh Indera. Jika engkau nak masuk ke skim itu, engkau perlu ada Masters. Kalau engkau ada Masters, baru aku boleh tolong.."

Masters. Sarjana kata orang kita. Jika diambil, perlu masa dua tahun. Yuran pengajian? Hutang pinjaman kereta? Sara hidup? Sara keluarga? Hmmm... lupakan sahajalah. Itu yang paling baik.

Telefon berbunyi lagi. Iskandar rupanya!!
"Hello Indera. Kita jogging keliling Tasik Puteri malam ini?"
"Gila engkau. Sekarang sudah 9.00 malam"
"Takut..??" katanya menduga.
"Tidak takut. Tetapi tidak pernah dibuat oleh orang lain" kata saya.

Malam itu kami berlari-lari anak mengitari kawasan penempatan yang padat itu sekitar jam 11.00 malam. Mujur sahaja tidak digonggong oleh anjing.

Indera : Hari ini hari yang sangat membosankan. Buntu total. Entri ini pun agak melalut rasanya. Selamat Hari Raya AidilAdha.

Thursday, December 28, 2006

Asas's Old Boys

Cuti sekolah kian sampai ke penghujungnya. Sam, akan pulang semula menabur khidmat ke Negeri Di bawah Bayu pada 1 Januari. Sementelahan dia berada di kotaraya ini, kami sepakat mengadakan perjumpaan untuk meraikannya.

Perjumpaan itu dijadualkan pada jam 8.00 malam di Restoren Tupai-Tupai. Memikirkan keadaan trafik kawasan itu yang sukar diramal, saya keluar dari pejabat tepat-tepat jam 6.00 petang supaya saya boleh sampai di situ mengikut masa. Rupa-rupanya, trafik sangat lancar. Lima belas minit sahaja saya sudah tiba di perkarangan Tupai-Tupai.
"Mahu kuperbuat apa awal-awal sebegini.." fikir saya menggaru-garu kepala sambil jam menunjukkan masa pada 6.30 petang.

Keadaan tempat itu lengang dan sunyi sepi sahaja. Saya menghidupkan enjin kereta dan berlalu ke arah Bandaraya Kuala Lumpur. Niat di hati ingin membeli barang keperluan anak-anak atau jalan-jalan cari makan. Namun hajat tidak kesampaian apabila melihat trafik semakin sesak.

Akhirnya saya singgah sahaja di Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Melihat bangunan usang dan ragam orang-orangnya. Tiada surau disediakan!!!. Sudahnya menapak ke Masjid Negara.

Sam dan Din sudah sedia menanti dalam suram perkarangan Tupai-Tupai. Sam tidak mengenali saya. Cuma Din yang masih mengecam saya kerana kami pernah bertemu 2 tahun yang lalu di Ipoh. Selepas diperkenalkan kepada Sam, dia mengucap panjang melihat saya.
"Berubah total. Aku sudah tidak mengenalimu..!!" katanya.
"Ahhh... kamu apa kurangnya. Perut sudah membusung ke hadapan.." kata saya berlucu.

Kami duduk di satu meja. Seorang demi seorang teman tiba. Setiap kali mereka mampir, setiap kali itu dahi mereka berkerut cuba mengingati gerangan insan-insan yang duduk semeja. Namun setelah bayangan wajah-wajah remaja belasan tahun mengisi ruang ingatan, terledak ketawa masing-masing. Berubah. Tersangat berubah.

Jarak masa 16 tahun menukarkan bentuk fizikal dan penampilan masing-masing. Sam dahulunya gempal, kini bertambah gemuk dengan ukur lilit pinggang 40 inci. Cuma jenakanya yang masih seperti dahulu. Mazlan, kelahiran Ipoh yang dingin kini lelaki metroseksual. Jamil masih seperti dahulu, cuma sekarang tersangat matang dan tiada lagi gaya samsengnya. Din pula sentiasa berkopiah dan masih rendah seperti dahulu. Awaludin juga seperti dahulu cuma kumisnya sangat tebal.

Saya yang paling banyak menimbulkan persoalan di hati mereka. Saya sewaktu di sekolah itu berkaca mata bingkai hitam dengan badan yang kurus melidi. Sekarang tidak lagi memakai kaca mata, bertubuh gempal, berdahi luas (akibat keguguran rambut. Hormon barangkali) serta kulit yang lebih cerah dari dahulu. Cuma saya masih pendiam seperti dahulu. Lebih suka mendengar perbualan orang lain.

Makanan di Tupai-Tupai agak mahal bagi saya yang berpendapatan kecil ini. Namun sesuai dengan konsep dan suasana santai yang ditawarkan. Perbualan kami banyak berkisar tentang rakan-rakan yang sudah lama tidak diketemui. Juga tentang perkara semasa dan perancangan masa hadapan. Masing-masing sudah punya anak 2 dan 3. Paling ramai setakat ini punya 4 orang anak.

Dalam riuh perbualan itu, ingin saya merakamkan gambar teman-teman. Ingin saya membuat perbandingan wajah mereka di zaman remaja kami dengan gambaran masa kini. Pasti ramai yang tidak percaya melihat perubahan fizikal masing-masing. Yang teramat pasti, masing-masing kini sudah matang dan merasakan diri sudah tua. Oh, ya!! Mizwar kini bertugas sebagai guru di Ipoh. Manakala Open di KWSP!!.

Pertemuan yang berakhir jam 12.00 malam itu terasa begitu singkat amat. Entah bila boleh ketemu lagi...

Tuesday, December 26, 2006

Sayang Salamah

Dia adalah anak perempuan dalam susunan ke 6 adik beradiknya. Dia dilahirkan dalam tahun 1932. Ayahnya berasal dari Daerah Sungai Penuh, Kabupaten Jambi yang berhijrah ke Tanah Melayu seawal tahun 1900-an. Ibunya pula seorang wanita tempatan yang buta huruf namun cekal hatinya.

Dia dilahirkan pada waktu dinihari dalam amuk badai bulan Rabiulakhir tahun itu. Suasana ketika itu amat membimbangkan dengan hujan mengguyur lebat dari langit dan taufan bertiup dengan kencang menampar-nampar dinding rumah yang rapuh. Sewaktu disambut oleh bidan, wajahnya seakan tersenyum, lantas ayahnya Haji Hassan itu menamakannya dengan nama Salamah. Nama itu juga sebagai doa seorang ayah agar hidupnya kelak diberikan keselamatan dan kesejahteraan oleh ilahi.

Salamah tumbuh dalam kekacauan dan kegawatan masyarakat Melayu pada ketika itu. Masyarakat Melayu pada ketika itu mencari-cari identiti mereka sendiri. Hidup merempat sebagai hamba di dalam belenggu kemiskinan. Sewaktu Salamah memasuki usia dara sunti, peperangan pula melanda menjadikan kehidupan pada ketika itu lebih sukar. Mujur sahaja ayahnya diterima bekerja sebagai Special Constable (SC) yang merupakan cawangan kepada British Army yang berpengkalan di Singapura. Bekerja sebagai seorang SC memerlukan Haji Hassan berpindah dari kampung itu membawa anak dan isteri bersama ke Pekan Beruas.

Kampung yang ditinggalkan pada zaman itu merupakan kampung yang sangat terpencil. Tiada kemudahan asas seperti sekarang. Kenderaan yang ada hanyalah basikal dan laluannya pula sudah tentulah di tepi-tepi rumah orang sehingga sampai ke laluan di tepi Sungai Perak. Jika ingin ke tempat-tempat yang jauh, perlu menaiki sampan panjang dan perjalanan yang diambil biasanya mengambil masa berhari-hari malah berminggu-minggu.

Pekan yang terhampir dengan kampung itu ialah Pekan Parit yang menawarkan keperluan asas seperti pakaian, bekalan makanan dan juga peralatan harian seperti sabit, parang dan cangkul. Tiada klinik atau hospital. Sekiranya penduduk kampung diserang penyakit, rawatan yang sedia ada hanyalah perawatan kampung iaitu jampi dan serapah sahaja. Masyarakatnya terlalu jumud mempercayai kepercayaan tahyul dan sihir. Di samping itu juga, kebersihan langsung tidak diambil kira. Tiada tandas bersih dan masyarakatnya berkadha-hajat di sungai, di parit-parit malah di dalam semak di belakang rumah. Seorang tua bercerita kepada saya, di waktu itu tentera dan polis menduduki tempat terutama di dalam pemilihan menantu. Kemudian diikuti oleh Guru dan akhirnya peniaga. Kini zaman berubah. Peniaga mengambil alih kedudukan tentera sebagai calon menantu dan Guru masih di tangga yang kedua. Tentera dan polis yang terakhir, kata Aki itu sambil tersenyum.

Haji Hassan sangat menitikberatkan soal pendidikan anak-anaknya. Sepertimana anak-anaknya yang lain, di Beruas itu Salamah tetap masuk ke sekolah agama sehingga ke Darjah Khas. Salamah membesar sebagai seorang dara yang cantik jelita, bersopan santun, sangat mendengar kata-kata dan yang teristimewa, Salamah dikurniakan dengan akal yang pintar dan kepetahan yang mengagumkan. Sewaktu zaman selepas perang itu, agenda kemerdekaan mengambil tempat dan Salamah telah dibawa oleh gurunya menyertai pertandingan syarahan yang bertemakan keagamaan dan kemerdekaan ke tempat-tempat yang jauh sehingga ke Batu Hampar, Pengkalan Bharu, Pantai Remis dan juga Taiping.

Salamah menjadi bualan setiap orang. Bagi golongan tua, mereka berhajat untuk mendapatkan Salamah sebagai menantu manakala golongan jejaka sudah termaklum ingin menyuntingnya sebagai isteri. Dari Beruas sehingga ke kampung orang mengenali Salamah Bersanggul Dua, dara pujaan hati yang mekar di taman larangan Haji Hassan.

Namun Haji Hassan sangat berhati-hati memilih calon menantunya. Bukan kekayaan harta yang diinginkan tetapi kebahagiaan anaknya itulah yang sangat-sangat diharapkan. Sudah ramai orang yang masuk meminang Salamah dari kalangan tentera dan polis, petani dan juga nelayan sehinggakan kepada Pembesar Jajahan, namun tetap ditolak oleh Haji Hassan. Bagi Salamah pula, dia tidak tahu langsung akan kedatangan orang yang merisiknya kerana bukan urusannya untuk mengambil tahu akan hal itu semua. Soal jodoh, ayahnya yang menentukannya. Dia pasrah.

Haji Hassan tamat perkhidmatan sebagai SC. Mereka pulang semula ke kampung. Di kampung itulah Salamah bertemu jodoh. Haji Hassan menerima lamaran Tuan Tahir (Tuan adalah panggilan lama bagi Ustaz). Seorang guru agama yang masih bujang. Disegani ramai dan tinggi pengetahuan agamanya. Cuma Tuan Tahir seorang yang tidak berharta. Itu sahaja.
"Wahhh... Salamah sudah dipinang oleh Tuan Tahir.." kata seorang teman Salamah sewaktu mereka bertandang ke rumah Haji Hassan. Mak Saadiah, ibu Salamah leka menganyam tikar mengkuang tidak mencampuri perbualan anak dara-anak dara itu semua.
"Eh, Salamah. Engkau pernah melihat Tuan Tahir itu?" tanya seorang teman lagi. Mengusik.
Salamah hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
"Aku pernah melihatnya berzanji di rumah Pak Long aku. Haiii... orangnya tampan. Berkumis nipis. Suaranya merdu. Alangkah baiknya jika aku menjadi pilihannya. Bertuahnya engkau Salamah"
"Aku tidak tahu. Ayah aku hanya memilih orang yang beragama. Itu sahaja" kata Salamah.
"Ya. Mujur sekali Pak Haji tidak memilih Imam masjid yang beristeri empat itu menjadi suami engkau..." kata seorang teman lagi.
Hahahahahahahahahha...... mereka mengusik Salamah pada petang itu.

Majlis perkahwinan Salamah dan Tuan Tahir itu dilangsungkan dalam upacara yang sederhana tetapi meriah. Sebulan sebelum majlis berlangsung, orang kampung sudah datang setiap hari menyiapkan balai memasak, merendang kelapa, menggantung kelambu dan pelamin serta membaiki atap rumah. Sewaktu majlis perkahwinan dilangsungkan, semua orang bertungkus lumus bergotong royong menjayakan kenduri itu. Ada seseorang merenung jauh ke rumah Haji Hassan dengan dendam yang membara di jiwa....

Malam sudah sunyi. Burung kuangkuit sayup-sayup berbunyi bersama hembusan angin yang bertiup kencang. Seisi rumah terlantar kepenatan oleh kerja kenduri. Salamah di dalam bilik menempuhi malam pengantinnya dengan bahagia. Suaminya sudah nyenyak di sisi. Tiba-tiba dari celahan jendela itu masuk segumpalan asap hitam. Salamah terjaga. Dilihatnya asap hitam itu berkepul-kepul membentuk sebuah kepala dengan tanduk dan mata yang merah menyala mengelilingi kelambunya. Salamah ingin menjerit namun suaranya seperti tersekat di kerongkong. Salamah sudah ketakutan yang amat sangat. Segala ayat suci yang dihafalinya seperti tidak muncul dari ingatan. Oleh kerana ketakutan yang teramat itu, dia memegang besi katil sehingga bergegar katil itu. Makhluk itu kian menghampirinya. Mujur gegaran katil itu membangkitkan suaminya dan di saat itu suaranya terlepas dan terdengar jeritan Salamah di tengah malam membangunkan seisi rumah. Tuan Tahir sempat melihat makhluk itu. Tuan Tahir hilang malu lalu mencempung Salamah keluar dari bilik itu (ketika itu mencempung isteri di hadapan keluarga sesuatu yang memalukan).

Sejak kejadian itu Salamah bagaikan hilang ingatan. Lebih suka termenung dan menyendiri. Ditanya sepatah, dijawab sepatah. Sudah tiada lagi kepetahan dan bicaranya mengisi keriangan di rumah itu. Salamah bagaikan hilang di dalam dunianya sendiri.

Haji Hassan memberikan sebidang tanah di belakang rumahnya kepada Tuan Tahir hidup bekeluarga dengan Salamah. Sebidang tanah yang berhampiran dengan anak sungai yang jernih. Keluasan tanah itu cukup untuk Tuan Tahir bercucuk tanam dan menghidupkan ayam itik. Tinggallah Salamah bersama suami sebagaimana suami isteri yang lain. Bezanya Salamah kini tersangat pendiam. Siangnya Tuan Tahir akan keluar mengajar di pasantren-pasantren yang berhampiran. Di waktu petangnya diisi dengan berkebun. Hidup mereka kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Mereka kemudiannya dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Ruqayyah namanya.

Petang itu Tuan Tahir datang ke rumah Haji Hassan memanggil Mak Saadiah.
"Mak, lekas Mak. Salamah sakit!!!"
"Sakit..?? Sakit apa..??" tanya Mak Saadiah.
"Entahlah Mak. Dia muntah dan cirit-birit..." kata Tuan Tahir gelisah.

Setelah menyarung tudung di kepala, Mak Saadiah mengikuti menantunya itu menjenguk Salamah. Salamah sudah terlantar tidak bermaya.
"Panggil orang, suruh deme hantar Salamah balik rumah Mak. Di sana ramai orang yang boleh menjaga Salamah dan Ruqayyah. Tolong panggil juga orang yang boleh mengubat ye..!!!

Petang itu Salamah dihantar balik ke rumah Haji Hassan. Kebetulan, petang itu juga Mak Saodah, kakak sulung Mak Saadiah yang menetap di Manong datang menjenguk Mak Saadiah. Salamah memanggil Mak Saodah itu Mak Tua.

Sudah tiga hari Salamah terlantar. Sudah 2 orang pawang dipanggil mengubat Salamah tetapi hasilnya hampa. Masuk hari ketiga itulah Salamah memanggil suaminya.
"Bang, Salamah teringin nak makan tembikai. Boleh abang carikan?" tanya Salamah.
"Kalau Salamah hendak, biar abang ke Pekan Parit mencarinya. Mah tunggu, ye!!" kata Tuan Tahir. Sebak.

Salamah tiba-tiba menyalami suaminya.
"Abang, ampunkan dosa Mah, ye bang. Mah sayang abang..." katanya.
Tuan Tahir sekadar mengangguk.

Setelah pemergian Tuan Tahir itu, Mak Saadiah bersiap-siap untuk bersolat Asar. Salamah cuma ditinggalkan bersama adiknya Aminah dan Mak Saodah. Ruqayyah nyenyak lena di dalam buaian.
"Aminah...." panggil Salamah.
"Ya Kak" sahut Aminah
"Kalau kakak dah tak ada nanti, Aminah mesti janji dengan kakak yang Aminah akan jaga Ruqayyah dengan baik.."
"Syyyys..Tak baik kakak cakap macam tu... Kakak akan sembuh semula. Insya-Allah" kata Aminah.
"Kakak nak Aminah berjanji. Berjanjilah!!"
"Baiklah. Aminah berjanji akan jaga Ruqayyah baik-baik" kata Aminah menyambung bacaan Al-Quran Surah Al-Qasas.

Dari dalam bilik terdengar Mak Saadiah mengangkat takbiratul ihram.
"Mak Tua. Salamah rasa nak mengiring. Boleh Mak Tua iringkan badan Mah?" tanya Salamah pada Mak Saodah.
"Alahai Salamah. Mak Tua ni tak berkudrat. Tak bertenaga Mak Tua ni.. Bukankah elok jika Salamah baring sahaja?" kata Mak Saodah.
"Sekejap saja Mak Tua. Tolonglah Mak Tua..." pinta Salamah.

Mak Saodah terketar-ketar menolak badan Salamah dengan kudrat tuanya. Setelah seminit itu, Salamah bersuara lagi.
"Mak Tua, Salamah nak baring menelentang semula Mak Tua..." pinta Salamah lagi.

Mak Saodah menarik semula badan Salamah supaya boleh baring menelentang. Sewaktu menarik badan Salamah itu, Mak Saodah terdengar Salamah menyebut, Allaaahhh.. Perlahan sahaja suaranya tetapi memanjang. Ketika itulah tangan Salamah jatuh terkulai dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Nafas yang mendewasakannya selama 27 tahun.
"Ya Allah, Salamah!! kenapa tinggalkan Mak Tua..." tangis Mak Saodah.

Aminah yang baru sampai di pertengahan Surah Al-Qasas itu berhenti membaca. Mak Saadiah yang sudah di rakaat yang kedua, tidak dapat meneruskan solat, berhenti dan menerpa ke katil Salamah. Tuan Tahir baru sahaja sampai dari Pekan Parit menaiki tangga rumah sewaktu terdengarkan tangisan Mak Saodah itu, menyedari bahawa Salamah sudah pergi untuk selama-lamanya. Buah tembikai terlurut dari genggamannya lantas pecah berderai menimpa anak tangga.

Salamah hanya menderita selama 3 hari. Air yang diminum dari sungai jernih berhampiran dengan rumahnya telah dicemari oleh bacterium vibrio cholerae yang menyebabkan penyakit Kolera atau lebih dikenali sebagai Taun pada penghujung tahun 1959.

Kehilangan Salamah amat dirasakan sekali. Tuan Tahir sesudah itu berpindah ke kampung asalnya di Pasir Gajah membawa Ruqayyah bersama-sama. Aminah cuba menghalang demi janjinya pada Salamah. Namun apa dayanya kerana Tuan Tahir lebih berhak ke atas Ruqayyah.

Dua tahun selepas kematian Salamah, Ruqayyah menderita demam panas yang kuat. Akhirnya Ruqayyah juga meninggal dunia. Tersayat hati Aminah sewaktu melihat jenazah Ruqayyah dimandikan.
"Maafkan Aminah, Kak. Kerana tidak menepati janji Aminah. Aminah bersalah pada Kakak"

Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Tuan Tahir pula diserang Angin Ahmar sehingga lumpuh separuh badannya. Tuan Tahir menderita selama 5 tahun sebelum dia sendiri dijemput oleh tuhan dalam tahun 1966. Salamah sekeluarga kemudiannya dilupakan. Hilang tanpa kenangan abadi. Hilang tanpa meninggalkan waris turunan. Saya sering tertanya-tanya, jika dengan teknologi perubatan masa kini sudah ada di waktu itu, apakah saya berupaya bertemu dan menyaksikan kejelitaan Salamah Bersanggul Dua? Namun kuasa Allah tiada siapa boleh menghalangnya. Ya, benar.

Kelmarin saya bertemu dengan Wan Benab, adik kepada Al-Marhum Tuan Tahir di satu majlis kenduri. Selepas memperkenalkan diri saya, dia menangis sambil mengurut-ngurut lengan saya. Dengan linangan air mata dia berkata,
"Ya. Sekalipun engkau tidak secantik Salamah, tetapi roman wajahmu mirip Salamah Bersanggul Dua"


Indera : Kisah ini adalah benar yang dirakamkan di sekitar tahun 1932 hingga tahun 1966.

Wednesday, December 20, 2006

Kartu Rindu dari Layangan Indera

Indera Kencana Bin Muhammad Suria
Layangan Indera
The Internet.
20 Disember 2006


Sahabat,
Tidak kubiarkan kau sendirian di ufuk langit itu,
Akan kuhantar perutusan padamu
Walau di mana jua dudukmu,
Akan kudengar lara hatimu
Walau pada angin lalu,
Kerana itu sahaja yang kumampu....

Sahabatku,
Kunukilkan kata-kata itu khas untukmu. Khas untuk persahabatan kita. Persahabatan yang telah diikat oleh takdir untuk kita sentiasa bertemu di alam maya. Kumulai mengenali dirimu, membaca segala isi hatimu, lantas mendekatkan hatiku pada jiwamu. Aku mulai memahami erti dirimu dan tidak keterlaluan andai kukatakan bahawa persahabatanmu telah mengetuk pintu hatiku.

Sahabatku,
Walaupun kita sering sahaja bertemu di alam tanpa sempadan ini, hakikatnya aku sendiri tidak mengetahui di manakah dikau di saat ini. Kita berjarak jasad oleh sempadan geografi dan lokasi. Hatiku sering tertanya-tanya, apakah yang sedang engkau lakukan pada ketika ini? Pernah terdetik di hatimu mengingati diriku? Dan jika kita ditakdirkan bertemu satu hari nanti, apakah agaknya yang bermain di benakmu? Sering sahaja persoalan itu dijawab dengan ketawa kecil sendirian lantas persoalan itu berlalu begitu sahaja dibawa bayu yang berhembus. Aku berdoa agar bayu itu akan menyentuh wajahmu sambil menyatakan padamu betapa bertuahnya aku menjadi sahabatmu.

Sahabatku,
Lewat tulisanmu membuatkan aku tertanya-tanya. Apakah engkau bersedihan di hujung sana?. Aku tidak tahu. Tetapi melalui tulisanmu kufahami bahawa ada sesuatu yang bergelojak di sanubari hatimu. Berupa suatu yang kelabu. Ya, engkau sedang bersedih. Aku tahu. Ohhh... cukup sahaja aku yang merasa kesedihan. Aku tidak mahu engkau menanggung beban lara di hati. Sebagai seorang sahabat, sudah kukatakan padamu dahulu, andai kebahagiaan itu tidak singgah di jendela hatiku, namun kuterpercik rasa sukacita andai kutahu kebahagiaan itu bertamu di kalbu hatimu. Aku rela memberikan sehari, seminggu atau sepurnama kebahagiaanku untuk membeli secalit senyuman di bibirmu kerana ikhlasnya kukatakan kebahagiaanmu lebih utama kerana engkau adalah sahabatku yang baik, yang ikhlas, yang peka akan keadaan diriku. Sering kulihat engkau berhati-hati mengutus bait kata-kata kerana engkau bimbang menyinggung hatiku. Tetapi percayalah sahabatku, tiada istilah tersinggung dalam persahabatan kita. Yang lahir dari hati kita itu sebenarnya adalah tanda kita mengambil berat akan hal ehwal satu sama lain.

Sahabatku,
Berat badanmu sudah berkurangan lantaran menanggung penyiksaan di jiwa. Sesudah aku mendapat tahu akan hal itu, tahukah engkau apa yang terjadi pada hatiku? Hatiku umpama retak seribu.... Ingin sekali aku terbang ke sisimu mendengar lara hatimu. Jika kutidak mampu menyelesaikan masalahmu, sekurang-kurangnya apabila aku berada di sisimu itu dapat mengurangkan bimbang hatiku terhadap keadaan diri dan kesihatanmu. Aku ingin sekali, agar engkau mengambil berat akan pemakananmu. Jangan makan sembarangan. Kelak menyusahkan tubuh badanmu. Andai engkau terlantar kesakitan, selain dari keluargamu itu, aku juga menderita sama. Akan tegakah hatiku melihat engkau terbaring kesakitan?. Tidak. Aku tidak ingin membayangkannya pun. Aku mengharapkan agar engkau sentiasa kuat agar dapat kita sokong menyokong antara satu sama lain.

Sahabatku,
Semalam kusinggah di sebuah teduhan. Ketika itu malam yang cerah. Kulihat dada langit yang tinggi. Di timur ada sebutir bintang yang sedang berkelipan bersinar terang. Kuingin agar hidup kita sentiasa bak bintang timur itu. Lalu di saat itu hatiku sangat-sangat mengingatimu. Ku mengharapkan bintang-bintang membawa harapan yang cerah buat kita esok hari. Kupandang lagi bintang-bintang itu. Entah kenapa hatiku berbisik, "Dan bila aku bertanya, pada bintang-bintang. Dan bila kumulai merasa bahasa kesunyian, aku di sini bersangga pada kekuatan hatimu".

Sahabatku,
Ingin sekali aku memanggilmu saudaraku. Tetapi mampukah aku bersaudara denganmu?. Alangkah malunya aku jika dianggap hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Mungkinkah engkau beranggapan demikian?

Sahabatku,
Kuberdoa supaya hatimu sentiasa ingat padaku. Sentiasa menitip berita-berita dari sana supaya aku tidak kesepian. Tulisanmu sering sahaja menemani senduku. Padaku ianya sangat berharga. Akan kuingati pesanmu agar membuat pilihan secara matang dan waras dan setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Pernahkah kukatakan padamu, kejayaanmu menjadi inspirasi dalam hidupku? Aku ingin berjaya sepertimu, tetapi buat masa ini aku tidak mampu. Aku berdoa sekali lagi agar aku diizinkan oleh Allah melihat kejayaanmu. Lebih bermakna lagi kejayaan kita berdua...

Sahabatku,
Sampai di sini sahaja coretanku padamu. Moga kartu rindu ini menyatukan kasih sayang kita atas nama ilahi. Semoga engkau dan aku cepat-cepat beroleh kebahagiaan yang kita hajati. Maafkan jika sepanjang perhubungan kita ini, engkau pernah terguris hati oleh kelancanganku. Semua itu tidak kusengajakan. Salam daku di hembusan angin lalu. Namamu kukelek ke mana jua. Berdamping di dalam hatiku.

P/S Engkau memberikan perlambangan yang cukup indah buat persahabatan kita. Aku amat menghargainya. Terima kasih kerana sudi menjadi sahabatku..

Yang ikhlas,

Inderakencana

Tuesday, December 19, 2006

Hantu... mana hantu.

Entah kenapa hari ini saya ingin menulis sesuatu yang lain. Puas saya memikirkan topik apakah yang ingin disampaikan namun satu yang bermanafaat pun tidak hadir di minda. Kemudian saya teringatkan satu cerita. Apa kata jika saya masukkan satu topik yang merepek. Saya kemudiannya tertawa kecil memikirkan reaksi teman-teman blogger setelah membaca topik ini. Topik hantu.... Hahahahahhah...

Akhir tahun 1989. Malam itu saya tidak dapat tidur. Keesokannya peperiksaan kertas Matematik Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Saya bimbang kerana banyak topik masih belum difahami. Rosman dan Nazri masih lagi berbual-bual walaupun lampu asrama sudah dipadamkan keseluruhannya.
Tiba-tiba dari arah hutan di sebelah asrama itu terdengar bunyi yang pelik dan memanjang.
KKKKKKKRRRRREERRREEEEKKKK
Kami semua terdiam serentak. Ada nada seram dalam bunyi itu. Bunyi itu langsung tidak pernah kedengaran sebelum ini.
"Abang Indera, bunyi apa tu..??" tanya Ijai, budak yang menghuni katil atas saya.
"Ahhh... bunyi ungka barangkali.."
"Takkan bunyi ungka kot. Lagipun mana ada ungka berbunyi malam-malam" protes Ijai.
"Eh, engkau ni. Macam tahu pulak bila masa ungka berbunyi. Engkau pernah jadi ungka ke?. Sudah, tidur cepat..!!" bentak saya.
Pelbagai hal sungguh budak tingkatan satu ini!!.

Itulah sekali ianya kedengaran akhir tahun itu. Sewaktu saya naik ke Tingkatan Empat, keputusan SRP saya agak tidak memuaskan. Saya tidak berjaya pergi ke mana-mana sekolah yang lebih baik melainkan terus kekal di sekolah itu. Oleh kerana saya agak lewat mendaftar, semua katil bawah di dometri saya itu sudah diambil orang. Cuma yang ada hanya katil atas. Katil saya itu betul-betul menghadap hutan di seberang pagar asrama itu. Suram sahaja hutan itu di waktu malam. Asrama kami dua blok bangunan 3 tingkat. Nampak seolah berkembar. Di kawasan bawah asrama itu hanya muat selebar gelanggang badminton.

Baru dua minggu persekolahan bermula. Kebanyakan pelajar masih belum dihambat jadual. Oleh yang demikian mereka kebanyakannya tidur awal. Saya di sekolah dahulu seorang yang suka menyendiri. Tidak campur hal orang lain. Tetapi punya masalah tidur yang serius. Saya terlalu sukar untuk tidur.

Malam itu jam 1.00 pagi. Angin berhembus kencang dari arah hutan masuk melalui tingkap di hujung kepala katil saya. Orang lain sudah berdengkur. Namun mata saya masih lagi berdegil tidak mahu pejam.
KKKKKRRRREREREEEEEEEEEEKKK
Dari hutan itu bising dengan bunyi yang bertempik hujung tahun lepas.
"Ahhh.. ungka ini berbunyi lagi. Gamat benar bunyinya. Diganggu harimau barangkali..." fikir saya.

"Indera... Indera!!. Aku tahu engkau belum tidur. Engkau dengar tak?" Awaludin bersuara dari katil sebelah.
"Dengar...."
"Bunyi apa tu..??" tanyanya lagi. Berbisik.
"Entah.."kata saya. Berbisik juga.

Kemudiannya saya tertidur sehinggalah warden asrama yang bertugas mengejutkan kami untuk solat subuh berjemaah. Seusai solat subuh itu terdengar pengumuman dari Ketua Umum sekolah. Abang Ghazali.
"Diminta kepada pelajar Tingkatan 4 supaya tunggu di surau. Pelajar-pelajar lain boleh beredar ke asrama atau dewan makan".

Kami duduk berkumpul di ruang solat itu mengadap Ustaz Ibrahim. Ada yang menguap dan ada yang tertidur sambil bersandar di dinding surau asrama yang tegak sebuah di tengah-tengah kawasan sekolah itu.

"Baiklah. Ada perkara yang ustaz ingin terangkan kepada kamu semua. Tetapi ustaz harap kamu semua jangan pula merasa takut dan juga panik. Sebenarnya sekolah kita ini sedang menghadapi gangguan iblis. Ustaz mempertanggungjawabkan kepada semua pelajar tingkatan 4 supaya menjaga keselamatan asrama memandangkan abang-abang kamu di tingkatan 5 dan 6 Atas itu akan menghadapi peperiksaan. Jadi ustaz tak mahu mengganggu mereka. Tolong jangan sebarkan perkara ini kepada pelajar perempuan atau pelajar-pelajar tingkatan satu kerana ustaz bimbang mereka itu panik nanti..."

Rupa-rupa sewaktu saya mendengar suara ganjil semalam, sebiji kepala beserta dengan segala isi perutnya terbang melintas pagar asrama umpama bola api menuju ke arah asrama. Makhluk itu terbang melintasi blok pertama asrama dan jatuh dengan bunyi yang kuat ke lantai gelanggang badminton. Ketua Umum sekolah pada ketika itu dalam perjalanan ke tandas ternampak benda aneh itu jatuh. Dia terus melihat ke bawah. Sewaktu dia melihat ke bawah itu, makhluk itu terbang melintas dengan laju di hadapannya sebelum pergi ke perumahan guru di atas bukit itu. Sampai sahaja di atas bukit itu, dia berbunyi dengan kuat dan memperlihatkan dirinya sebaik sahaja Ustaz Ibrahim membuka tingkap.

Dari saat itu, hampir saban malam makhluk itu datang ke asrama putera dari arah hutan itu. Saya sudah tidak betah tidur. Bimbang jika dia memperlihatkan dirinya di hadapan saya pula. Oleh yang demikian saya menyertai pelajar-pelajar yang sedang berkawal di sekeliling asrama. Untuk mengelakkan rasa mengantuk, kami sama-sama merendam mee segera beramai-ramai. Hairannya, asrama puteri tidak menerima gangguannya pula. Mungkinkah makhluk ini spesis betina? Saya garu kepala.

Malam itu buat pertama kalinya saya melihat perkara mistik di hadapan mata. Benarlah makhluk Allah itu pelbagai. Tiba-tiba Zaidi menunjuk ke arah luar pagar. Sebuah bola api sedang berlegar-legar di udara dalam kebun kelapa sawit di tepi padang sekolah. Saya menggosok-gosok biji mata untuk memastikan saya tidak tersalah lihat. Namun ianya benar. Sama seperti gambaran dalam filem seram Indonesia yang saya tonton tahun-tahun sebelum itu. Mempunyai kepala dan membawa ususnya sekali. Merah umpama bola api.

Menurut buah mulut yang tidak dapat dipastikan kebenarannya, makhluk itu jelmaaan dari salah seorang pekerja asrama yang dibuang kerja oleh kerana masalah disiplin. Kerjanya kucar-kacir sehingga menimbulkan kemarahan Puan Salmah, Ibu Asrama. Berdendam dengan pengurusan asrama, dia bertindak menghuru-harakan asrama putera dengan muncul sebagai makhluk yang dinamakan Penanggal.

Di suatu minggu dalam pertengahan tahun itu pihak sekolah kononnya memanggil orang yang ahli untuk memagar kawasan sekolah itu. Makhluk itu kononnya tidak mampu menembusi pagar ghaib itu. Jika dia mampu masuk sekalipun, dia tidak mampu untuk keluar lagi. Wallahua'lam. Saya tidak tahu kerana sewaktu orang yang dijemput itu datang, saya tiada di asrama kerana menyelinap keluar dari asrama dan pulang ke rumah. Ini kerana rumah Mak agak berdekatan dengan sekolah. Lebih baik saya makan berselera di rumah dan tidur lena di atas katil daripada bersengkang mata menjaga kawasan asrama. Akibatnya, malam minggu itu saya menerima 2 rotan atas kesalahan pulang ke kampung tanpa kebenaran. Ditolak merit 5 point!!.

Indera : Sejak dari hari itu tiada gangguan lagi kecuali di awal tahun sewaktu saya di Tingkatan 6 Rendah. Makhluk itu berjaya masuk semula selepas salah satu sudut di mana 'pemagar' itu ditanam, runtuh akibat hakisan air. Adakah cerita ini seram? Langsung tidak..... kan? kan? kan?

Monday, December 18, 2006

Seputih Kasih

Di dalam drama Seputeh Qasseh Ramadhan, Qasseh pulang ke rumah setelah menjalani hukuman penjara selama 12 tahun. Suami dan anak-anaknya tidak lagi tinggal di situ. Rumah itu kosong tidak berpenghuni. Sewaktu melangkah masuk ke rumah itu, Qasseh dilingkari dengan kenangan silam yang mengguris hati. Bagai terdengar-dengar suara anak-anaknya menghiris tangkai hatinya.
"Ibu, ibu beli apa...?"
"Ibu tak beli apa-apa sayang. Ibu tak sempat nak beli..."
Di satu sudut di ruang tamu itu, Qasseh bagai ternampak-nampak Along dan Angah sedang duduk menyanyi.
"A B C D E F G H..."
Lalu Qasseh menangis di pinggir gerbang waktu...

--------------------------------------------

Semalam Siri Aufa leka bermain dengan Miza, anak Cik Yong (Cik Yong ialah kakak Azah yang sulung) yang pulang bercuti dari Kuala Terengganu. Siri Aufa langsung tidak memperdulikan saya sepanjang hari itu. Tidur juga bersama Miza.

Petang itu saya memberitahunya bahawa saya akan berangkat pulang ke Rawang selepas maghrib. Siri Aufa cuma merengek.
"Kenapa Baba nak balik Rawang. Baba duduklah dengan Kak Long kat sini"
"Tak boleh sayang. Esok Baba kerja"
Azah datang menenangkannya dengan kata-kata pujukan.
"Esok Umi dengan Mak Yong nak ke Taiping. Nak bawak Kak Miza pergi zoo. Kak Long suka pergi zoo, kan?"

Dia diam. Namun selesai sahaja saya bersolat Maghrib semalam, dia tersedu-sedu menangis sambil memegang kaki saya. Tidak mahu melepaskan saya pergi. Dia tahu hidupnya akan kesunyian selama 5 hari tanpa kehadiran ayah di sisi. Begitulah saban minggu. Dia merasakan ayahnya tergamak meninggalkannya kesepian hanya kerana urusan kerja. Datanglah walau seramai manapun teman-teman dan sepupunya, namun ayahnya juga yang dipilihnya.

Siri Aufa menangis lagi sekalipun jam sudah menunjukkan jam 8.00 malam. Saya kehilangan kata-kata. Rasa mahu sahaja saya ponteng kerja keesokan harinya. Tetapi memikirkan cuti saya telah kehabisan, saya kuatkan hati. Di kerongkong saya seperti ada batu besar yang menyengkang. Hati saya merasa pilu.

Cik Yong datang menyelamatkan keadaan. Dia tahu Siri Aufa suka menaiki kereta Toyota Unser miliknya. Dia mengajak Siri Aufa berjalan-jalan. Siri Aufa terpesona dengan pelawaan itu. Tetapi dia tahu, jika menaiki kereta Mak Yongnya, Baba akan berangkat pulang. Setelah Cik Yong mengambil kunci serta mengidupkan enjin kereta, ditambahi pula apabila melihat Uminya sudah mengenakan tudung di kepala, dia menuruti Uminya sambil matanya tidak lepas memandang ke arah saya. Sungguh di saat itu hati saya sedang digilis lumat!!.

Sampai sahaja di Rawang, waktu sudah tengah malam. Di dalam suram malam itu, benda pertama saya terpandang ialah halaman rumah yang bersih dicuci oleh Azah pada hari-hari sebelumnya. Sewaktu saya menuju ke muka pintu itu, saya bagai ternampak-nampak Siri Aufa bergayut di jaring besi.
"Baba, Baba beli apa...?"
"Baba tak beli apa-apa sayang. Baba tak sempat nak beli apa-apa..."

Ketika pintu dibuka dan suis lampu dihidupkan, masih jelas kelihatan rumah itu bersih dikemasi oleh Azah sebelum dia pulang. Suara Azah dan anak-anak bagaikan berlegar-legar di ruang dalam rumah.
"Vrrrooommm, vvvrrooommm... Ngah, tengok Kak Long, Angah"
"Aaaaaarkk, aaaaarrrkkk..."
Semakin lama hati saya semakin sayu.

Masuk sahaja ke bilik tempat saya menyimpan pakaian saya tersepakkan sebiji belon.
"Kak Long main yang warna merah dan oren... Angah main belon warna biru, ok?
"Umi, kenapa belon Kak Long pecah.... (menangis)"
"Memanglah belon akan pecah. Belon bukannya tahan lama"

Ya Tuhan. Kenapa kenangan itu tidak ingin pergi? Kenapakah kenangan itu sering sahaja menghantui dan mengekori saya. Jika terus-terusan begini, saya boleh gila... Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sayakah yang bersalah kerana tidak mampu memberikan kesenangan hidup kepada isteri dan anak-anak? Azahkah yang bersalah kerana lebih mengutamakan ibu dan bapanya berbanding suami dan kesenangan hati anak-anak? Atau Abang Ngahkah yang bersalah kerana merampas segala hak milik saya sehingga hidup kami jadi begini?

Ya Allah, sesungguhnya saya sudah tidak mampu berfikir lagi Ya Allah. Saya sudah tidak ingin memikirkan apa yang bakal terjadi esok hari. Jika diturutkan rasa hati, mahu sahaja saya berhenti bekerja sekarang juga dan kembali ke kampung mengusahakan tanah sekangkang kera itu. Tetapi mampukah saya? Azah mungkin gembira dengan keputusan ini tetapi mertua saya? Ahhh... tidakkah itu satu tindakan yang bodoh?

Antara saya dan Qasseh, apakah punya perbedaan...??

Thursday, December 14, 2006

Eeeiii!! Geram tau...

Dia mengamuk lagi. Kali ini membaling sudu pula. Kena tepat ke dahi adiknya yang sedang merangkak-rangkak ke arah Babanya. Adiknya melolong kesakitan. Benjol dahi. Baba sudah mengetap bibir menahan kemarahan. Jika turutkan hati, pastinya dia sudah dibalun dan dirotan dengan penyangkut baju. Mujur sahaja usianya baru 3 tahun setengah. Baba tidak sampai hati untuk memukul kerana Baba tahu dia pasti tidak berupaya menahan pukulan Baba yang kuat.

Baba cuma berdiam diri. Menahan gelojak di hati. Tiga puluh saat kemudian Baba berkata,
"Kak Long tak boleh berperangai macam tu. Nanti adik tengok. Kemudian adik ikut. Kak Long nak nanti adik baling sudu pula ke dahi Kak Long sampai benjol?".
Dia diam. Bungkam. Wajahnya masam mencuka. Adik tergapai-gapai ingin masuk ke dakapan Baba. Dia sekadar memerhati.

Baba menimang adik. Adik terkekeh-kekeh ketawa. Dia memandang lagi. Baba merasa kasihan. Baba letak adik. Kemudian menghampirinya dan menggeletek perutnya. Dia ketawa. Kemudian marah.
"Baba mengada... Baba sosot".
Tetapi Baba menyinga.
"Baba tak suka Kak Long cakap bukan-bukan!!"
Dia terdiam. Baba tidak memahami maksud perkataan "sosot". Tetapi Baba tidak mahu dia menuturkan perkataan yang dia sendiri tidak faham maknanya. Yang dia tahu bunyinya agak lucu. Memang sejak akhir-akhir ini dia selalu menuturkan perkataan yang tidak dia fahami. Setiapkali dia mengungkapkannya, setiap kali itu Baba dan Umi akan berteriak kemarahan.

Dia merayu kepada Umi supaya membenarkan dia bermain basikal di luar rumah. Umi menghubungi Baba di pejabat minta kebenaran. Baba memberi lampu hijau. Dia keluar petang itu bersama basikal birunya.

Melihat sahaja jalan yang terbentang luas itu terasa alam ini seperti miliknya. Dia berkayuh basikal selaju mungkin sehingga sampai ke jalan besar. Umi sudah berteriak keras. Pantas mengejarnya ke tepi jalan. Menarik tangannya masuk semula ke rumah bersama basikal birunya. Dia menangis. Jiran-jiran semua melihatnya. Umi menutup pintu dan terus mengunci.

Dia radang lagi. Baba terlalu lewat pulang dari pejabat. Sering Baba pulang jam 7.00 malam. Sudah masuk waktu maghrib. Baba kepenatan. Baba tidak punya masa untuk membawanya ke padang permainan. Geram sungguh. Sudahlah itu seperkara, budak gemuk di sebelah rumah ini pula sering mengejeknya.
"Hieee... tak sukalah duduk di Rawang ni....!!!"

Ada tidaknya perkara yang menyukai hatinya ialah Baba sering membawanya pusing-pusing kawasan perumahan itu di waktu malam.

Semalam Umi mencubit lengannya kerana dia menyelerakkan buku-buku serta kertas-kertas yang Baba simpan di dalam laci itu. Pagi tadi sebelum Baba pergi kerja, Baba mencubit pipinya kerana Baba geram. Baba geram kerana dia menuangkan seteko air milo ke atas kepala adiknya yang sedang merangkak. Bukannya air milo itu panas. Adik tidak tahu apa-apa. Dia lihat adik ketawa sahaja. Tetapi Baba pula marah-marah. Umi tertunduk-tunduk mengelap lantai yang kebasahan.

Setiapkali dia melakukan perkara yang membuatkan Baba dan Umi marah, hatinya terasa lapang. Cuma Baba dan Umi sahaja yang tidak memahami maksud hatinya. Hairannya sewaktu di kampung, perasaan seumpama ini tidak timbul. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Baba tidak tahu. Umi pun tidak tahu.

Bosan. Bosan. Bosan. Dia memanjat jaring besi yang memagari muka pintu sehingga ke palang yang teratas. Dari dapur Umi berteriak.
"Kak Long!!!!"

Wednesday, December 13, 2006

Waktu Makan Malam Itu.

Hari itu terlalu panjang dan membosankan. Juga hari yang menyakitkan mata saya. Jam 3.00 petang itu saya terserempak dengan Rozita sedang berdua-duaan ketawa mesra bersama Zulhilmi, musuh ketat saya di tangga sekolah itu. Orang sedang sibuk mengulangkaji pelajaran, mereka pula seronok-seronok berkasih-kasihan. Geramnya saya.
"Kan aku dah cakap dulu. Engkau tak mahu dengar.." pulang Mizwar. Saya bungkam.
"Sudah aku cakap, jangan Indera. Budak Rozita tu memang gatal sikit. Selain engkau, dia mengaku sukakan si Zulhilmi tu. Selain dari tu dia kata dia sukakan si Azman (senior kami) dan juga Bob. Tapi engkau tak mahu dengar cakap aku. Yelah... orang dah suka. Apa pun elok.." Mizwar bersyarah panjang depan saya.

Saya menggaru-garu kepala. Teringatkan saat manis pertemuan kali pertama dengan Rozita. Dia memang cantik. Berpapasan dengan saya lewat tengahari itu. Hati saya terpikat. Tetapi sekolah kami tidak membenarkan pertemuan dua mata antara lelaki dan perempuan. Maklum sahaja sekolah agama. Jika tertangkap buruk padahnya.

Akhirnya saya mengutuskan sepucuk surat buat Rozita. Tidak lupa saya selitkan pantun Pecah Kaca Pecah Gelas itu. Dia membalasnya. Menyatakan hasrat hatinya sudi menjadi "rakan istimewa" saya. Hooorrraayyy!! seronoknya. Indahnya hidup.

Sewaktu lawatan ke Muzium Kesenian Islam itu, saya singgah ke Pasar Seni membeli sekeping kaca bercorak gambar kucing Garfield yang boleh ditulis kata-kata di atasnya. Saya enggan menulis sebarang puisi di atas kaca itu, sebaliknya saya memilih untuk menulis,
"Rozita, kenangilah daku sekali sekala".

Mizwar terdengar akan hal itu. Sebenarnya datang dari mulut saya sendiri.
"Kau tulis apa? Sekali-sekala? Haa... tengoklah esok, sekali-sekala je dia ingatkan engkau" kata Mizwar sambil ketawa.

Haii... Benarlah Rozita itu tidak boleh dipercayai. Tetapi hati saya kuat mahukan dia. Dia yang cantik. Dia yang manis. Tetapi perlakuannya? Ohhh... Rozita kenapa engkau begitu?.

Waktu makan malam di Dewan Makan itu amat gamat bunyinya. Perbualan pelajar yang sejumlah 300 orang itu seumpama dengungan lebah. Bunyi kerusi ditarik dan ditolak menambahkan bising suasana. Waktu makan pelajar lelaki dan perempuan di buat serentak. Di bahagian kiri kaunter itu, barisan meja untuk pelajar lelaki. Di bahagian kanan khas untuk pelajar perempuan. Ini bermakna kami makan secara menghadap antara satu sama lain.

Saya mencari Rozita. Dan kejauhan saya nampak dia. Saya memilih duduk menghadap dia. Kerusi itu sudah diduduki oleh Pie Juling, pelajar tingkatan dua. Atas nama senior, saya menyuruh Pie Juling bangun mencari tempat duduk lain. Pie Juling menurut tanpa banyak soal. Mizwar dan Open datang duduk di hadapan saya. Mizwar menoleh ke belakang. Dia nampak Rozita di belakangnya.
"Ohh.. patutlah beria-ia menyuruh budak Pie tu mencari tempat lain...??"

Saya duduk di situ. Saya makan. Saya lihat Rozita pun makan. Tetapi saya sudah tidak berselera untuk makan. Saya sempat mengernyitkan mata pada Rozita. Dia buat muka panjang. Selamba sahaja. Minum. Lantas meneruskan perbualannya bersama-sama rakannya.

"Limaaza lam tak'kul khadhrawaat? (kenapa kamu tak makan sayur?)" tegur Ustaz Amin.
Terkejut saya. Bagaimana Ustaz Amin ini boleh berada di sisi saya? Perlukah saya membalasnya di dalam Bahasa Arab?. Bahasa Arab saya sering gagal sepanjang penggal.
"Errr..errr tak sedap, Ustaz". Mizwar dan Open mengekek memanjang.

Ustaz Amin sudah sampai di kaunter, bertanyakan itu dan ini kepada pembantu dewan makan. Saya bangun dari kerusi meninggalkan Mizwar dan Open yang terpinga-pinga. Sewaktu menyusuri jalan keluar itu saya berselisih dengan Ustaz Amin sekali lagi. Tiba-tiba, PPPAAAPP!! Bekalan elektrik terputus. Ahhh... bala, bala, bala. Saya menyerungkup ke lantai sambil menekup kepala. Gayanya seperti ada bom yang bakal meletus dalam pekat malam di dewan makan itu.

Bising. Kecoh. Dengan bunyi jeritan pelajar perempuan di sana sini. Ohh.. tuhan. Ya Allah, cepatlah bekalan ini disambung semula. Tiba-tiba saya teringat Ustaz Amin yang baru berpapasan dengan saya. Semua itu berlaku terlalu pantas. Setengah minit kemudian bekalan elektrik disambung semula. Dewan Makan itu cerah dilimpahi cahaya.

Semua terpinga-pinga. Ramai pelajar perempuan yang menangis. Ada yang terpercikkan kuah ke tudung. Ada yang pula wajah mereka disinggahi dengan kulit tembikai. Ada juga yang basah dek air sirap. Ustaz Amin yang paling teruk. Sekeping kulit tembikai tersangkut di atas songkoknya. Bajunya sudah penuh dengan kesan tembikai dan kari ikan. Tidak kurang juga pelajar lelaki yang turut menjadi mangsa keadaan.

Rozita merungut-rungut kerana wajah dan bajunya penuh dengan kesan kotoran. Saya melihat itu terasa ingin tertawa. Simpati pun ada. Saya selamat sepenuhnya oleh tindakan pantas saya.

Rupa-rupanya sewaktu bekalan elektrik itu terputus, kebanyakan pelajar-pelajar lelaki itu bertindak membaling kulit tembikai dan juga ikan yang dimasak kari ke arah pelajar-pelajar perempuan. Kegelapan itu mampu sahaja menyembunyikan identiti mereka. Ustaz Amin menjadi mangsa kerana perkara itu terjadi sewaktu dia menyusuri laluan di kawasan meja makan pelajar-pelajar lelaki itu. Kasihan Ustaz Amin.

Hingga kini saya merasa ngeri jika terputus bekalan elektrik.


Indera : Untuk pengetahuan Ustaz, saya tidak terlibat langsung di dalam perlakuan jahat itu. Semoga Ustaz menempuh hari-hari persaraan dengan penuh rahmat dari Allah S.W.T. Saya sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatan Ustaz. Maafkan saya kerana puas Ustaz mendidik saya agar pandai berbahasa Arab, namun saya tetap begitu juga. Sehingga di suatu peringkat Ustaz memberikan soalan ramalan kepada saya, tetapi saya ambil mudah. Bukan saya tidak mahukan gred yang baik Ustaz, sebaliknya saya mahu berusaha atas kemampuan saya sendiri. Saya tahu Usaz kecewa bila saya sekadar mendapat P7 dalam Bahasa Arab. Tetapi percayalah Ustaz, Ustaz tetap yang terbaik dalam hati kami semua. Buktinya ramai di kalangan kami yang telah melanjutkan pelajaran ke Mesir, Jordan, Madinah dan Syria. Saya? Seperti yang saya maklumkan kepada Ustaz dahulu, saya ke Shah Alam. Satu institusi yang tidak pernah Ustaz senangi dahulu kerana terlalu banyak berita salah laku. Ustaz membenarkan saya pergi dalam payah. Bukankah begitu, Ustaz?

Tuesday, December 12, 2006

Dua Kisah Berbeza Tetapi Serupa Gemanya

Kisah 1
Sudah seminggu saya tidak melihat kelibatnya di Layangan Indera ini. Sudah seminggu juga harumannya tidak menyapa alam maya ini. Saya tertanya-tanya. Kenapakah dia menghilang agaknya? Sibukkah dia atau tidak sihatkah dia? Hati saya digaru keresahan. Juga rindu. Rindu untuk menatap tulisannya yang indah di nian pujangga. Membaca baris-baris ayat digubah teratur sehingga menerbitkan rasa berbunga di hati. Tulisannya menjadi ilham untuk saya giat menulis. Mencemburui kebijaksanaan aturan ayat karangan sehingga saya sentiasa ingin menulis seperti dia.

Beberapa hari ini dia menyepikan diri tanpa meninggalkan selayangan perkhabaran buat saya. Sememangnya saya resah. Mujur teman-teman yang lain masih sudi menjenguk saya di layangan sepi ini. Sungguh, sekiranya teman-teman yang lain juga menghilangkan diri sepertinya dia, pasti saya akan merasa buntu dan hilang akal.

Layangan Indera ini sepi tanpa harummu..
Ke manakah engkau menghilang wahai Bunga Rampai...?


Kisah 2
Sudah dua hari Azah dan anak-anak menemani saya di Bandar Tasik Puteri. Selama dua hari itulah rumah saya berseri dengan gelak ketawa mereka. Rumah itu bagaikan mendapat sinarnya. Sudah tiada lagi kesuraman laksana mendung yang menyelubungi rumah itu.

Tiada lagi jadual harian yang ketat. Saya tidak perlu terkejar-kejar untuk pulang ke rumah memasak untuk makan malam dan juga tebongkok-bongkok menggosok baju bagi persediaan hari esoknya. Segala-galanya sudah disediakan oleh Azah. Alangkah baiknya jika ianya berterusan sepanjang musim.

Namun saya amat menyedarinya. Musim itu pasti akan berakhir jua. Mendung serta ribut pasti membadai di hujung senja. Sabtu ini Azah serta anak-anak akan pulang ke perdusunan itu semula, meninggalkan saya kesepian dikelilingi oleh memori tawa ceria anak-anak saya. Ahhh.. kenapakah setiap kegembiraan itu sering sahaja berakhir dengan cepat?
Indera : Juga terkenangkan adik saya, Maniq Kayangan yang pergi membawa hati laranya setelah cintanya dicurangi. Di manakah kalian?

Monday, December 11, 2006

Sedapnya Satay!!

Ingat lagikah tentang Tok Subari yang menikahi Opah Bibah melalui adat yang pelik iaitu Adat Memanjat? Ya, dipendekkan cerita, Tok Subari dan juga Opah Bibah dikurniakan dengan anak yang ramai iaitu 8 orang semuanya. Yang sulung Pak Long Zainal dan yang bongsunya ialah Mak Su Liza.

Di dalam keras hati dan sikap panas baran Tok Subari itu, tersimpan suatu sifat mulia. Dia amat suka dan menyayangi kanak-kanak terutamanya anak-anak yatim. Sekitar awal 80-an itu, ada seorang duda atau lebih tepat lagi bapa tunggal di kampung kami telah meninggal dunia. Dia turut meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil. Dua lelaki dan seorang perempuan. Dua orang anak duda itu yang besarnya, dipulangkan ke bawah jagaan nenek kanak-kanak itu manakala yang bongsunya, seorang budak lelaki berusia 5 tahun, diambil oleh Tok Subari sebagai anak angkat. Din, nama budak itu dibesarkan dengan penuh kemanjaan oleh Tok Subari. Segala kehendaknya diturutkan oleh Tok Subari.

Sesudah Din berusia 8 tahun, Tok Subari berura-ura untuk mengkhatankan Din. Upacara berkhatan itu dibuat secara besar-besaran memandangkan rumah Tok Subari sudah lama tidak mempunyai kanak-kanak lelaki. Kali terakhir upacara berkhatan dilakukan di rumah itu adalah sewaktu upacara berkhatan Achik Hadi, 15 tahun sebelum itu.

Din hanya muda beberapa tahun sahaja daripada kami. Namun oleh kerana dia anak kesayangan Tok Subari, dia terlebih manja dan dia sering mencari gaduh dengan saya dan Fuad. Di hadapan Tok Subari, sekiranya kami ditendang oleh Din, kami hanya tersenyum sahaja. Tetapi jika hilang sahaja bayang Tok Subari, saya dan Fuad akan menarik Din ke semak senduduk di belakang rumah moyang itu dan membelasahnya di situ sehingga menangis.

Rumah Tok Subari sudah dilimpahi oleh orang ramai. Waktu ini saat paling menarik bagi kanak-kanak yang bakal dikhatankan kerana di saat ini golongan tuanya akan terlebih bermurah hati. Jika di hari lain, untuk meminta 20 sen itu pun azab oleh kerana terlalu kedekut, di hari ini orang tua kedekut itu pula akan memberikan RM10.00. Waahh... satu jumlah yang besar. Serasa ingin berkhatan sekali lagi....

Din tersenyum bangga sambil menunjukkan koleksi wang merahnya kepada kami. Saya lihat Fuad sudah mengetap bibir menahan kegeraman melihat sampul-sampul duit di dalam kocek Din.
"Jagalah. Jatuh dua tiga keping nanti, jangan harap aku nak pulangkan balik" bisik Fuad. Tetapi masih jelas di telinga saya.

Tetamu berduyun-duyun sampai. Ada yang sedang menikmati hidangan. Ada yang sibuk bekerja di Balai Penanggah. Ada yang setakat berbual kosong sambil menikmati rokok. Ada juga buat-buat sibuk seperti kami.

Tok Mudim Harun sudah sampai dengan beg kulitnya. Melihat sahaja misainya yang melenting itu sudah cukup membuatkan kanak-kanak yang belum berkhatan mengigil ketakutan. Sebaik sahaja selesai menikmati hidangannya, Tok Mudim Harun membuka begnya dan mengeluarkan selembar kain putih. Di atas kain putih itu ditaburi dengan bijian hitam seperti jintan.
"Supaya lekas sembuh" katanya kepada saya dan Fuad yang leka memerhatikan kerjanya.
"Kamu berminat nak jadi mudim?" tanya Tok Mudim Harun kepada kami.
"Hiiiieee... yeeekkkk" kata Fuad seakan loya.

Din sudah dihiasi dengan pakaian melayu. Tengkoloknya melintang solek ayam patah kepak. Baju songketnya.. aduhhh.. benar-benarlah Tok Subari berhabis-habisan untuk budak itu. Cantik sekali. Persis anak raja zaman dahulu.

Rebana dipalu dan Din diarak di atas bahu Pak Long Zainal yang tegap menuju ke telaga di pinggir bendang itu. Kononnya air yang sejuk dingin itu bisa bertindak sebagai ubat pelali. Kami tidak tahu kesahihannya kerana kami juga dahulunya diarak dan dimandikan sedemikian rupa. Tetapi hasilnya tetap menyakitkan sehingga ke dasar otak.

Din kemudiannya diarak pulang ke rumah dalam sejuk mengigil tengahari itu. Hanya kain batik Opah Bibah sahaja yang membaluti tubuhnya. Dia dicempung ke ruang anjung rumah Tok Subari lantas dilucutkan kain batik itu.

Sebaik sahaja terpandangkan misai Tok Mudim Harun yang melenting itu, Din terpekik terlolong ketakutan. Dia cuba berlari turun melalui tangga rumah namun orang-orang muda yang gagah-gagah sudah sedia menunggu. Din tidak punya pilihan melainkan melangkah tingkap turun ke bawah. Oleh kerana dia bertubuh kecil dan pendek, kakinya sudah tidak cecah ke tanah. Bergayut dia di situ sambil melolong-lolong menangis.
"AAhhhhh... Din tak mau. Din tak mau... Ahhhh... tak mau!!!!!

Dalam keadaan cemas itu, Pakcik Kudin Buncit menyuruh kami menahan Din dengan menggunakan bahu kami. Cemas sungguh. Bahu kami dipijak-pijak oleh Din yang meronta-ronta. Sekali sekala, kakinya menyinggahi kepala kami. Amboi... ini sudah lebih!!

Mujur orang-orang dewasa segera datang menangkap Din yang sedang meronta-ronta. Pun begitu, sempat juga Din melepaskan satu tendangan yang kuat ke belakang badan Fuad sehingga menyebabkan Fuad terdorong ke hadapan dan hilang keseimbangan lantas jatuh tertumus ke dalam lopak air. Fuad berkicau kemarahan.
"Nanti kamu Din. Nanti lepas aku balik mandi... aku potong-potong kamu sampai habis dengan gunting. Kamu jaga, Din"
Geram sungguh Fuad. Terus sahaja dia berlalu dengan badan serta muka yang kotor. Wajahnya sudah masam kelat seperti buah amrah.

Petang esoknya Tok Subari datang ke rumah Opah mencari kami berdua.
"Tok nak ucapkan terima kasih pada kamu berdua, Indera dengan Fuad sebab susah payah bertahan bahu menghalang Din daripada terjun tingkap. Kalau kome tak tolong, tentu Din dah patah kaki gamaknya. Tok tak tahu nak ucapkan terima kasih macam mana. Cuma Tok bawak sagu hati. Nah..."
Tok Subari memasukkan ke dalam kocek kami RM10.00 setiap seorang. Bangga rasanya. Seolah-olah menerima Pingat Hang Tuah.
"Haiii.. Sepuluh ringgit je ke.." kata Fuad. Tidak puas hati.
"Dah tu kamu nak berapa?" tengking Tok Subari. "Tak nak, bak sini duit aku tu balik" tambah Tok Subari.
"Nak-nak-nak!!!"

Duit pemberian Tok Subari itu cukup membeli satay seratus cucuk. Sebahagiannya kami hantar ke rumah Tok Subari. Kami sengaja makan satay itu di hadapan Din. Teriak tangisnya hendakkan satay itu sudah cukup membuatkan dendam kami berbalas.
"Kamu makan satay ayam tu nanti, luka kamu dijangkiti kuman. Sudah!! Makan ikan bilis goreng tu saja.." tengking Tok Subari.

Emmmm... sedapnya satay....!!!

Friday, December 08, 2006

Gajah Batu Tiga Beranak (Sambungan dari Makam Anak Bentara)

Adapun Raja Siam mengutuskan sebuah lagi watikah ke penghadapan Sultan Muzaffar Shah I yang sedang bersemayam di Tanah Abang itu.
"Di atas segala kebesaran yang beta miliki, sekali lagi beta menyeru agar Yang Dipertuan Negeri Perak tunduk di bawah panji-panji Negeri Siam. Sekiranya Yang Dipertuan Negeri Perak engkar, beta tidak mempunyai alasan lain selain daripada membakar hangus Negeri Perak dan Tanah Abang itu akan beta bina dengan sebuah Wat yang besar sempena memuja gajah beta".

Tempoh dua purnama semakin tiba ke penghujungnya. Rakyat sudah berondong-bondong masuk ke Kota Tanah Abang dan berkampung di dalamnya. Melalui risikan yang dilakukan, Siam bakal menyerang Tanah Abang melalui jalan air.

Jong bahtera Siam sudah sampai ke Beting Beras Basah dan memudiki Sungai Perak dari arah muara dan terus bergerak ke hulu sungai. Paluan gendang yang dipalu menggerunkan hati sesiapa sahaja yang mendengarnya apatah lagi dengan melihatkan kelengkapan bahtera perang yang berjumlah 160 buah itu.

Di tengah-tengah angkatan bahtera itu terdapat satu bahtera yang mengangkut patung gajah tiga beranak sebagai tanda Raja Siam sudah bersedia untuk mencemar kesucian syariat Islam yang bertapak kukuh di Tanah Abang yang terkenal sebagai salah sebuah pusat pengembangan ilmu dan akidah Islam di Nusantara.

Jong Bahtera Siam itu semakin menghampiri ke Tanah Abang. Golongan wanita dan kanak-kanak bergegas mencari perlindungan di kubu bawah tanah dengan diawasi oleh permaisuri-permaisuri dan wanita-wanita bangsawan istana. Manakala golongan lelaki pula sudah sedia membentengi di kubu setinggi sepuluh hasta itu bagi menghadapi serangan Siam itu.

"Datuk Temenggong, beta mengarahkan agar laskar kita dipecahkan menjadi dua bahagian. Satu bahagian berkubu di istana manakala satu bahagian lagi mara keluar. Bahagian yang mara keluar itu, pecahkan pula menjadi 4 bahagian. Dua bahagian di hilir. Satu di Tanah Daulat (bahagian kanan sungai) dan satu bahagian di Tanah Perundangan Dato-Dato (di kiri sungai). Serupa juga hal 2 bahagian yang berjaga di bahagian hulu itu. Takut beta kalau-kalau ada angkatan Siam yang menghendap kita dari jalan darat".

Angkatan Bahtera Siam sudah memasuki perairan Tanah Abang. Melihatkan kepada keupayaan angkatan Siam yang 3 kali ganda daripada ketumbukan Laskar Diraja Perak itu, gementarlah hati panglima-panglima Perak. Ditambah pula dengan kelajuan bahtera-bahtera itu menyongsong arus, serta bunyi-bunyian yang dimainkan terlalu azamat, Datuk Bendahara mengadap Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak agar Perak menyerah sahaja tanpa berlaku pertumpahan darah.
"Datuk-datuk sekelian. Sekiranya beta menyerah kepada angkatan Siam itu, tahukah datuk-datuk sekelian akan natijah yang menanti kita?. Agama kita akan diinjak-injak. Kita sekeliannya akan menjadi hamba mereka dan kekayaan kita akan dibawa pergi. Jika datuk-datuk sekelian takut akan menghadapi serangan mereka, biar beta sendiri berputih tulang membentengi mereka daripada hidup berputih mata".

Sultan Muzaffar Shah I keluar dari istana lantas berdiri di atas tebing di pengkalan Tanah Abang itu. Baginda menggenggam sekepal tanah seraya bersabda,

"Jika benar Beta raja yang berdaulat dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang mulia. Panji-panjinya mengarak turun lintang dari Gunung Mahameru. Setangginya mengharumi dan menyentuh kelambu Baitullah. Beta berdoa ke hadratMu Ya Allah agar ditahani serangan kafirun ini andai jika mereka berjaya, syariatMu akan pudar dari tanah ini, Ya Allah.

Dengan tidak semena-mena, datang semilir yang keras berhembus turun dari Gunung Bubu bertiup kencang ke Tanah Abang. Angkatan tentera Siam gempar apabila awan hitam berarak dengan kilat petir sabung menyabung. Dedaunan kering di lantai perdusunan itu terangkat naik ke udara bergumpalan membentuk kalimah arab "La-ilahaillallah, Muhammadur Rasullullah" terpampang di dada langit yang kehitaman.

Apabila kalimat itu pecah dan sebaik sahaja dedaunan itu berguguran jatuh menyentuh permukaan sungai, aliran sungai sejauh 7 batu di hulu dan di hilir sungai itu terus menjadi air mati. Tiada aliran langsung. Tentera Siam semakin terpinga-pinga. Mereka bagaikan berada di tengah lautan bergelora dengan ombak besar naik menggulung-gulung. Ketakutan dengan itu, tentera-tentera Siam itu terjun ke dalam sungai. Ada yang sempat melarikan diri. Ada yang tenggelam kelemasan. Ada pula yang ditawan menjadi hamba.

Bahtera yang membawa gajah batu tiga beranak itu terdampar di sebuah tebing yang tersorok di Tanah Perundangan Dato-Dato dan kekal di situ sehingga ke hari ini. Siam tewas dalam peperangan itu dengan bantuan dari Allah S.W.T. Adapun aliran yang berada di hadapan Tanah Abang itu juga kekal sebagai aliran air mati sehingga ke hari ini. Ada yang mendakwa aliran Sungai Perak memasuki kawasan itu di hulunya dan keluar di bahagian hilirnya. Walau bagaimanapun, kawasan sejauh 7 batu itu tetap tidak punya aliran langsung seolah-olah ianya mati total. Wallahua'lam.


Indera : Ramai yang mengaitkan perkara itu sebagai daulat Sultan Muzaffar Shah I, tetapi saya beranggapan bahawa air mati itu berkemungkinan berpunca daripada fenomena Tasik Ladam. Wallahua'lam.

Thursday, December 07, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. Terakhir)

Dia telah menentukannya,
Kita bertemu dan bercinta,
Inilah oh, takdirnya,
Bukan kerana harta,
Inilah citra cahaya cinta....


Saya mendapat panggilan telefon dari Chik Li. Teman rapat sewaktu di kolej dahulu. Chik Li sudah punya anak 2. Dia mengusulkan kami bertemu di Kompleks PKNS Shah Alam.
"Engkau tunggu aku depan Kedai Farmasi Watson itu. Setengah jam lagi aku sampai.." katanya.

"Engkau nak beli apa kat Watson?" tanya saya sejurus dia sampai.
"Aku nak beli kosmetik isteri aku sekejap.."

Melihat Chik Li bertanya itu dan ini kepada jurujual itu, hati saya terasa lucu. Namun berlainan pula riak wajah jurujual itu. Dia nampak seolah kagum pada Chik Li. Entah apa yang dikagumkannya, saya pun tidak pasti.
"Ada pula orang lelaki beli kosmetik. Heeiii.. kelakarlah engkau!!" saya mentertawakan Chik Li.
"Indera. Aku rasa engkau dan aku, sama sahaja. Kita suka melihat wanita cantik. Bila lalu sahaja wanita cantik, pandangan kita akan mengekori wanita itu. Tidak kira wanita itu dara atau sudah menjadi isteri orang. Engkau fikir wanita itu sahaja yang cantik. Isteri engkau tidak cantik. Kerana apa? Kerana engkau larang dia memakai barangan yang mampu menyerlahkan kecantikannya dengan alasan isteri hanya patut bergaya untuk suami. Itu betul!! Tetapi pernahkah engkau membelikan barangan yang boleh menggembirakan hatinya..?? Tidak pernah. Kemudian engkau salahkan isterimu tidak cantik. Adilkah begitu...?"

Kata-kata Chik Li itu mengetuk ego saya. Kali pertama melangkah masuk membeli kosmetik itu memang terasa janggal dan serba tidak kena. Malu. Namun setelah diberitahu ianya untuk isteri saya, pandangan jurujual itu berubah kepada kekaguman dan hormat. Sama seperti Chik Li terima sewaktu masuk ke Watson dahulu.

Azah disahkan mengandung. Terasa dunia ini umpama di kayangan rasanya. Gembira. Ceria dan begitu bermakna. Namun tatkala di usia kandungan sudah menghampiri minggu terakhirnya, saya disingkir oleh Abang Ngah dari Lembaga Pengarah dengan alasan yang cukup tidak munasabah. Saya kehilangan segala harta saya. Namun Azah umpama bidadari yang turun dari syurga memujuk hati saya yang lara walau hatinya sendiri penuh ketidakpastian akan kehidupan kami di hari mendatang. Dia berpegang kepada satu iaitu hal rezeki itu di tangan Allah S.W.T.

Siri Aufa lahir menerusi pembedahan pada bulan Mei tahun itu. Wajahnya mirip saya. Sewaktu menyentuh dan memangkunya, saya terlupa segala kesedihan yang saya tanggungi. Saya berjanji bahawa hidupnya akan dipenuhi dengan keriangan dan kasih sayang. Sekalipun tanpa curahan harta yang melimpah ruah.

Azah masih setia di sisi saya walaupun saya sekarang berusaha keras mengembalikan taraf kehidupan kami ke tahap seperti dahulu. Walaupun sinar kesenangan itu masih belum menampakkan pancarannya namun Azah redha di atas segala takdir hidupnya bersuamikan saya.

Azah kini semakin cantik dan pandai bergaya. Cuma berat badannya semakin bertambah selepas kelahiran Siri Aufa. Dia baik. Dia bijak menguruskan rumahtangga kami. Segala-gala tentangnya amat membahagiakan saya.

Tiga tahun sesudah kelahiran Siri Aufa berselang, rumahtangga kami diserikan dengan kehadiran Adil Rayyan pula. Mirip wajah Azah. Dan segala-galanya yang berkaitan dengan Azah. Sewaktu melihat keperitan yang ditanggung oleh Azah sewaktu melahirkan Adil Rayyan membuatkan saya sebak. Saya tidak dapat membayangkan kehidupan saya tanpa Azah.

Haiii... perempuan boleh datang berbagai-bagai. Ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang suci. Ada yang melencong. Ada yang jelita. Ada yang buruk. Tidak semua perempuan itu serupa. Sama halnya seperti lelaki jua. Namun kebanyakan lelaki hari ini meletakkan kecantikan itu diturutan utama kemudian baru agama dan budi pekerti. Kecantikan hanya perkara luaran. Ianya boleh lenyap dimakan usia. Namun hati yang tulus ikhlas dan suci murni itu mampu menyerlahkan diri seorang wanita itu umpama bidadari dalam hati suaminya melainkanlah lelaki itu jenis yang tidak pandai menilai hati budi seorang wanita.

Perjalanan kami masih jauh lagi. Cuma pencarian itu rasanya sudah lama berakhir. Saya yakini diri saya bahawa hanya dia yang saya mahukan dan cinta saya hanya untuk dia. Iaitu Azah.

Sebuah bait yang sering saya bisikkan pada Azah sekiranya kami berselisih faham..

Percintaan ini kita memilihnya
Kesilapan hanya suatu perbandingan...

(Tamat).

Wednesday, December 06, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 6)

Hingga sejauh ini perjalanan ditempoh.. Mengharungi segala onak derita. Pencarian itu berakhir larat di hujung perjalanan jua. Mengorak kembang di taman nirwana...

"APA?? Maksudnya engkau sememangnya tersangat teruna? Teruna yang naif tentang seks..?? Tetapi kenapa pembawakan kamu seperti seorang yang sangat berpengalaman. Err.. maksud aku dari segi gaya kamu berbicara..." Abang Ngah tersangat hairan. Saya hanya mampu mengangkat bahu.
"Tolonglah Abang Ngah. Bagi pendapat sikit.." saya sudah mengelabah.
"Aku tak tahu Indera. Ini masalah engkau. Sekiranya engkau memandang Azah sebagai hanya sekadar tanggungjawab, aku rasa masalah ini tak dapat nak diatasi. Tetapi sekiranya engkau memandang Azah sebagai insan yang harus engkau sayangi, maka nafsu kamu akan datang aku kira.." Abang Ngah tersenyum nakal sambil memandang saya ke atas dan ke bawah.
"Bagaimana keadaan sekeliling malam tu..??" tanyanya lagi.
"Panas dan ramai orang.." jawab saya
"Engkau ada exercise tak?" tanyanya lagi
"Ada..."
"Engkau dengan dia pakai minyak wangi tak?"
"Cukuplah tu... Amboi, lebih-lebih pulak tanya..." saya sudah tidak dapat menahan kemarahan bercampur gelihati.
"OK. Kalau macam tu.. langkah pertama yang kamu mesti buat ialah.." Saya berguru dengan Abang Ngah malam itu secara teori di restoran mamak sehingga membawa ke tengah malam.

Saya pulang ke kampung dan mempraktik segala ajaran Abang Ngah. Ianya berjaya!! Sungguh tidak disangka. Saya kini bukan lagi lelaki yang tersangat bodoh tentang hal-ehwal seks. Setiapkali saya merenung semula kisah ini akan membuatkan tertawa sendiri apa lagi setelah mendengar lagu Pria Terhebat.

Namun antara saya dengan Azah masih lagi ada jurang yang memisahkan kami. Perasaan cinta itu masih belum wujud. Saya telah berhenti dari syarikat pemaju itu dan membuka perniagaan sendiri dengan Abang Ngah. Saya tetap tidak merasakan tanggungjawab yang besar terhadap Azah dan saya akan pulang bila-bila masa yang saya inginkan dan sering berlama-lama meninggalkannya. Selalunya 2 minggu saya tinggalkan. Ini kerana kami tidak tinggal bersama kerana dia ingin menjaga kedua ibu dan ayahnya yang uzur.

Setelah beberapa bulan berkahwin, kami masih belum dikurniakan dengan cahayamata. Azah sudah gelisah dengan cakap-cakap orang sekeliling namun saya tetap berlagak selamba. Layanan yang diberikan oleh Azah pada saya sangat memuaskan hati malah berlebih-lebihan. Dia tahu apa yang saya sukai dan apa yang saya tidak saya sukai. Sehinggakan perkara yang sekecil-kecilnya seperti saya selalu terjaga di tengah malam untuk mendapatkan segelas air. Di tepi katil kami memang sudah sedia terhidang sejag air masak untuk saya. Di suatu masa, saya diserang demam yang kuat. Azahlah yang berada di sisi saya memberikan air untuk saya minum dan mendemah dahi saya.

Namun kebaikannya terus berlalu begitu sahaja. Saya akui Azah isteri yang terlalu baik. Saya mula menyayanginya. Namun setakat sayang. Belum ada cinta lagi.

Saya sering mengisi kekosongan hati saya dengan melukis. Kebiasaannya saya akan meletakkan kanvas di bawah sinaran lampu yang terang. Dari pancaran cahaya itu, saya akan terpandang garis-garis halus yang timbul dan saya akan mula melukis berdasarkan garisan yang timbul itu.

Sungguh, hati saya kosong di saat. Melalui pandangan mata saya, garis-garis halus itu membina suatu imej. Imej laut yang bergelora. Sama seperti bergeloranya hati saya. Selain daripada kanvas itu, terdapat lukisan yang lain seperti gambar seekor naga, gambar seorang wanita yang sedang memegang sekuntum bunga dan juga gambar rumah Opah. Di tepi lukisan itu akan tertulis bait-bait puisi.

Minggu itu adalah minggu pertama selepas perkahwinan adik saya, Azlina Kesuma. Keluarga saya sedang sibuk berkemas-kemas selepas kenduri berakhir. Tiba-tiba telinga saya menangkap suara Azah berkata sesuatu,
Dahulu, cinta kita berbunga..
Sayang sepenuh nyawa
Di dalam hatiku merindu
Sayang kau tak tahu..

Saya menoleh. Azah sedang melihat koleksi lukisan itu. Entah ditemuinya dari mana. Saya lekas-lekas menghambatnya untuk mengambil semula lukisan itu tetapi Azah lebih pantas berlari di belakang meja makan. Maka berhambatlah kami berdua di sekeliling meja makan. Mak dan cucu-cucu Mak terkejut.

Entah bagaimana, dalam saya mengejar lukisan itu dari tangan Azah, saya terpijak bola getah anak buah saya. Saya hilang keseimbangan sebelum... GEDEBAKKK!! jatuh tersungkur. Melihatkan saya tersungkur itu Azah ketawa bersungguh-sungguh. Saya yang pada mula asalnya marah, langsung turut ketawa bersama-sama.

Malam itu saya tidur di rumah Mak. Selimut cuma ada satu. Itupun kecil lembarannya. Malam itu saya terjaga. Saya lihat Azah mengerekot kesejukan di sisi saya. Selimut itu sudah membaluti tubuh saya. Pasti dia yang menyelimuti saya. Saya terharu. Perlahan-lahan saya meletakkan selimut itu di tubuhnya dan mengucup dahinya.

Saya harus pulang ke Kuala Lumpur. Terlalu banyak tugasan yang menanti. Jika terlalu banyak tugas yang tertangguh, Abang Ngah akan berkicau panjang. Hati saya berat untuk menghantar Azah pulang ke rumah mertua saya. Saya tidak tahu mengapa. Saya terasa ingin memegangnya, mengucup dahinya dan mendengar tawa cerianya.

Pulang sahaja dari rumah mertua saya, saya teringatkan diari saya tertinggal di dalam bilik tempat kami bermalam sebelumnya. Sebaik sahaja saya mengambil diari saya, sewaktu saya ingin melangkah keluar dari bilik itu, saya terpandangkan selimut yang dipakai oleh Azah malam itu. Hati saya seperti dihiris sembilu. Saya duduk di bibir katil itu dan menarik selimut itu ke dalam dakapan saya. Di hujung selimut itu saya letakkan ke pipi...

I love you...

(Bersambung)

Tuesday, December 05, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 5)

Dapatkah jambangan kasih berputik andai tidak dipupuk dan dibajai mesra...??

Namanya Azah. Seorang guru lepasan Maktab Perguruan di Pulau Pinang. Lebih tua dari saya dari jarak usia setahun. Hidupnya mendambakan diri kepada kedua orang tuanya. Dia tidak akan keluar dari rumah tanpa sebab dan jika keluar, pakaiannya hanyalah sepasang kurung dan tudung. Istilah fesyen sememangnya tidak pernah wujud dalam dirinya. Dia tidak tahu mengenakan alatan solek kecuali secalit gincu berwarna pucat.

Dia serba serbi berlawanan dengan saya. Saya tidak mengatakan saya seorang lelaki yang terlalu mengikut peredaran masa namun kerja-kerja saya di dalam bidang pembangunan perniagaan dan pengurusan projek menuntut saya untuk terlalu peka dengan perkembangan semasa. Kesemuanya harus diambil kira dari segi penampilan sehinggalah kepada tatacara pertuturan. Percakapan hanya mengikut fakta.
"Jadi awak tidak pernah menonton siri Ally McBeal? Tak pernah tengok Everybody Loves Raymond?. Dia geleng.
"Saya tersangat jarang menonton television. Ada atau tidaknya hanya setakat cerekarama sahaja. Kampung tu, selepas pukul 9.00 malam, sunyi. Semua orang dah masuk tidur.."

Benar. Di antara kami tiada perkara yang bertemu menjadi satu. Saya menyukai warna terang manakala dia menyukai warna yang pudar. Mungkin persamaan yang paling dekat ialah dia suka memasak manakala hobi saya ialah makan.

Sepanjang tempoh pertunangan itu saya tersangat sibuk dengan Rangka Aliran Tunai dan promosi projek serta persiapan untuk memulakan projek di Khartoum kelak. Mesyuarat di sana dan sini sehinggakan saya tidak punya masa untuk rehat yang cukup apalagi untuk bertelefon menghubungi Mak dan Apak di kampung. Saya tidak menyedari bahawa sekeping hati telah menderita. Pintu hati saya benar-benar sudah tertutup rapat. Jika benar dia menginginkan saya, biarlah dia menunggu.

Saat keberangkatan saya ke Sudan dihantari oleh abang saya. Dalam kesibukan urusan itu dan ini di KLIA itu, saya sempat menangkap seraut wajah Azah memandang sayu ke arah saya dari jauh. Dia mengikuti keluarga abang saya melihat saya berangkat pergi.
"Kenapa awak berdiri dari jauh sahaja?" tanya saya.
"Azah tak mahu mengganggu awak. Awak tentu sibuk"
"Azah. Tentang pertunangan kita ini, tidakkah awak merasakan ianya satu kesilapan?" tanya saya. Dia diam sahaja.
"Beginilah, jika jodoh kita kuat, kita akan berkahwin. Tetapi jangan terlalu menunggu saya. Seperkara lagi saya ingin katakan, perkhidmatan pos di Sudan tersangat tidak memuaskan. Jadi jangan memandang kepada peti surat kerana tidak akan ada dari saya untuk awak sepanjang pemergian saya. Surat hanya akan membuatkan awak terlalu mengharap...."

Saya masuk ke Balai Berlepas meninggalkan Azah dengan linangan airmatanya. Sedikit pun hati saya tidak tersentuh. Saya melihat dia mengekori saya melalui dinding kaca lapangan terbang dan terus berdiri di situ sehingga saya masuk ke perut kapal terbang.

Kehidupan di Sudan tersangat keras. Cuaca dan pemakanannya amat berbeza dengan Malaysia. Gaji yang dimasukkan oleh syarikat hanya cukup-cukup untuk menampung perbelanjaan harian dan sedikit simpanan. Tidak seperti pekerja-pekerja Petronas yang menginap di Hotel Grand Holiday Villa itu. Tiga kali tempoh bertugas mereka sudah mampu membeli sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur. Saya hanya mampu menyewa pangsapuri kecil yang tidak jauh dari pejabat kami yang terletak di Ammarat Street. Itu pun berasak-asak, 6 orang serumah. Jika bosan dengan kehidupan harian, saya akan berjalan-jalan di hadapan Hotel Grand Holiday Villa mendengar orang Sudan menyanyi lagu Casey, Seribu Impian dari pentas terbuka di hadapan hotel itu. Di dalam kesunyian itu sempat saya berkenalan dengan Hendon, Sarah dan Adeeba. Dan yang terlalu menyintai saya ialah Zahara, yang kemudian berusaha datang ke Malaysia mengikuti saya. Mereka itu hanyalah sekadar teman berbual sahaja bagi saya. Tidak lebih dari itu.

Saya mendapat cuti panjang dari syarikat bagi tujuan berkahwin. Saya menghubungi Azah memberitahunya bahawa saya akan pulang sambil bertanyakan barangan apakah yang diingininya. Mungkin sedikit barang perhiasan barangkali. Namun dia hanya inginkan saya selamat pulang. Itu sahaja.

Saya benar-benar tidak ambil pusing tentang urusan perkahwinan itu. Segalanya diuruskan oleh Azah sendiri. Tempahan kad serta baju pengantin. Semua diuruskan olehnya. Ahhh.. dia yang bersungguh ingin berkahwin, biar sahajalah.

Perkahwinan berlangsung dengan meriah di rumahnya kerana dia adalah anak perempuan terakhir di dalam aturan adik beradiknya. Di rumah Mak pula hanya dibuat sederhana sahaja kerana saya beralasan tidak suka membazir. Sungguh, di dalam hati saya langsung tiada perasaan suka.

Malam pengantin itu sepatutnya menyatukan rasa sendu dua hati bertukar menjadi sebuah mimpi ngeri. Saya lari pulang ke Kuala Lumpur dengan meninggalkan Azah yang masih perawan. Azah menangis lagi namun sedikit pun tidak memperlihatkannya di hadapan ahli keluarganya. Demi cintanya kepada saya.

(Bersambung)

Saturday, December 02, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 4)

Ya Allah, aku pasrah pada ketentuanMu. Andai dirinya tercipta untukku, rela jua kumenjadi miliknya...

Minggu itu masih dalam suasana berhari raya. Kebanyakan pejabat masih lagi ditutup. Saya pulang terlalu awal rupanya. Pejabat Nizam pula sudah dibuka. Saya menjenguknya dalam kesihatan yang masih belum pulih. Ternyata bisa demam itu kemudian menular kepada Nizam dan rakan kongsinya, Fendi. Pejabat mereka tutup selama 2 minggu selepas saya berkunjung. Mereka mengidap Demam Campak. Paling teruk si Fendi. Habis dinaiki ruam berair hingga ke kaki.

Mak Uda Zaidah masih lagi belum berputus asa. Saban hari bertanyakan Mak, tentang keputusan untuk menyunting gadis itu.
"Entah Kak Zaidah. Dia pulang mengejut sahaja. Tak sempat saya hendak bertanyakan dia" kata Mak.
"Habis tu Dah (nama Mak saya) pula macam mana? Bila hendak melihat budak perempuan itu?" tanya Mak Uda Zaidah.
"Saya pun tak tahu, Kak. Kami sekeluarga semua diserang demam selepas Hari Raya tu"

Mak, Apak dan cucu-cucu Mak habis terkapar diserang demam. Siapa pembawa virusnya, saya pun tidak tahu.
"Macam mana Indera? Kamu hendak tak budak itu" tanya Mak.
Saya sendiri pun tidak tahu. Makanya saya membiarkan persoalan itu berlalu pergi. Dua minggu sesudah Hari Raya itu, Mak Uda Zaidah menelefon lagi bertanyakan Mak bila Mak ingin melihat gadis itu. Kali ini Mak sudah sihat. Mak sudah kebah dari demam.
"Baiklah Kak Zaidah. Saya pergi melihat budak perempuan itu. Tetapi saya tidak boleh membuat keputusan. Segala-galanya di tangan Indera. Dia yang hendak berkahwin. Kalau dia tak suka, saya tak boleh buat apa-apa" kata Mak.

Mak pergi melihat gadis itu dengan ditemani oleh Apak, Yeop, Kak Asma dan Kak Ani. Pulang sahaja dari rumah gadis itu Mak agak kepucatan. Lantas segera menghubungi saya di Shah Alam. Saya terkejut bila suara Mak seperti teramat gusar dan cemas.
"Ya Allah, Indera. Mak tak tahu nak buat macam mana. Mak bingung dan bimbang. Bila Mak naik sahaja ke rumah deme, deme dah siap dengan sekelian waris dan juga tepak sirih. Mak Uda kamu memberitahu mereka, Mak dan Apak datang tu kononnya datang meminang..."

Dusss... masalah besar sudah melanda. Saya terduduk di atas benteng yang dibina berhampiran taman permainan kanak-kanak itu. Jari saya memetik seranting pokok sambil mendengar suara Mak yang cemas.
"Mak takut kalau-kalau Indera tak mahu. Pasti mereka itu menanggung malu besar. Tetapi jangan sebab itu pula Indera bersetuju..."

Saya terus terkalap mendengar kata-kata Mak. Ranting yang saya cabut itu mempunyai daun yang banyak pada satu ranting dan daunnya mirip daun buah belimbing. Sambil mendengar suara Mak, sambil saya memetik satu daun. Terima. Tidak. Terima. Tidak. Sehingga daun yang terakhir dicabut itu jatuh pada TERIMA.

"Mak. Dengar kata Indera betul-betul ya Mak. Katakan kepada keluarga gadis itu, saya bersungguh masuk meminangnya. Ikhlasnya saya katakan pada Mak, saya tidak mempercayai bahawa sebuah ikatan boleh tersimpul erat tanpa adanya rasa kasih dan juga cinta. Namun Indera menerimanya Mak, sebagai tanggungjawab Indera untuk mengelakkan gadis itu daripada menanggung malu di hadapan waris-warisnya andai kata Indera menolaknya kerana mereka sudah sedia dengan tepak sirih beradat".

Di saat saya melafazkan kata-kata itu, hati saya bagaikan dihiris-hiris sembilu. Kenapa hidup saya tidak pernah merasai erti cinta. Apakah ini suratan yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T untuk saya walaupun puas saya cuba menolaknya. Ya Allah, sesungguhnya ilmuMu meliputi segala yang berada di langit dan di bumi. Kupinta padaMu, pandulah aku ke jalan yang benar andai itu yang telah engkau tetapkan padaku.

Dalam kesedihan itu saya tertidur sendiri di bilik saya. Menurut teman sebilik saya, sewaktu saya tidur itu, baki airmata saya bertakung di sudut mata saya. Teman saya itu merasa hairan. Lalu bertanyakan hal sebenar sebaik sahaja saya membuka mata pada keesokan paginya. Malu besar saya. Lantas saya simpan ianya sebagai rahsia dari pengetahuan teman serumah.

Sewaktu upacara pertunangan dilangsungkan itu, hati saya merasa kosong. Suka tidak. Benci pun tidak. Saya membelek-belek hantaran pertunangan itu tanpa perasaan seolah-olah barangan itu milik individu lain sahaja gayanya. Rumah Mak sunyi sepi selepas ahli keluarga saya berombongan ke rumah gadis itu dengan meninggalkan saya keseorangan.

Saya ke rumah Opah. Opah tidak turut serta kerana Opah sudah terlalu uzur untuk berjalan ke sana-sini. Mendung larat mengandung hujan itu dikesani oleh Opah.
"Orang yang bertunang ini selalunya sudah dipercik dengan seri pengantin. Tapi.. tapi Opah tak nampak seri itu di muka Indera. Kenapa? tanya Opah.

Saya hanya mengelengkan kepala sambil duduk di sebelahnya. Saya peluk Opah. Kepada Opah saya katakan kepadanya di dalam hati saya kini kosong tanpa cinta.

(Bersambung)

Friday, December 01, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 3)

Inikah akhir penantian?. Mengharap madu aliran syurga tertuang masuk ke dalam cangkir hati..

Sekarang sudah menjelang Aidil Fitri. Bermakna beberapa bulan lagi genaplah setahun peristiwa saya ditolak oleh gadis anak sepupu Apak itu. Jangka masa setahun yang diberikan oleh Apak itu pasti tidak akan tertunai.

Sungguhpun telah sebulan Norain mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihan hatinya namun dengkungan pahat peristiwa itu masih galak berbunyi. Seorang bapa saudara Norain yang mengajar satu sekolah dengan Makcik Jah menjaja cerita peminangan keluarga kami yang terhenti separuh jalan.
"Kalau sudah tidak berharta itu, jangan mimpilah hendak memikat burung di awan.." ceritanya pada sekelian guru di sekolah.
Mendengarkan itu Makcik Jah naik radang kerana saya iaitu anak saudaranya diperlekehkan orang.
"Heii, Cikgu!! Jangan fikir anak saudara cikgu itu cantik sangat. Bukan kami yang beria-ia. Tapi pihak keluarga cikgu itu yang tidak sabar-sabar menyuruh kami masuk meminang" kata Makcik Jah.
Akhirnya hal saya dan Norain itu menjadi konflik pula di sekolah itu. Malunya saya.

Setiap tetamu yang datang berkunjung sahaja, rata-ratanya bertanyakan hal saya. Rimas serta panas hati rasanya. Ramai juga orang putus tunang atau perminangan separuh jalan, tetapi tidak pula menjadi buah mulut.
"Masuk ini dah 2 kali engkau tak jadi kahwin, Indera. Kalau selepas yang ketiga itu nanti, aku ingat engkau kena mandi bunga. Tak pun engkau mandi air 7 kuala.. Buang sial" kata seorang pangkat saudara dalam galak tawanya.
"Engkau memang sudah jadi reject item. Selepas ini engkau boleh masuk Reject Shop" tambah seorang lagi menambahkan sakit hati saya.

Kemeriahan Hari Raya tahun itu bagaikan tidak terasa. Saya masih lagi berupaya membuat muka selamba dan merayakan hari itu dengan kawan-kawan saya yang sangat mengerti dan memahami.

Mak Uda Zaidah seperti kebiasaannya akan tetap berkunjung setiap lebaran tiba. Saya pernah berseloroh dengannya bahawa jika saya berkahwin kelak, saya mahu calon isteri saya dipilih oleh Mak Uda Zaidah.
"Mak Uda ada kenal seorang budak perempuan ni. Dia kerja sebagai guru. Baik budaknya"
"Tak apalah Mak Uda. Indera tak mahu kahwin sekarang. Indera nak kerja. Mungkin dalam bulan hadapan syarikat tempat Indera memohon ke Sudan itu memberikan jawapan. Indera nak fikir pasal kerja sahaja sekarang. Malas nak fikir pasal kahwin" kata saya.
"Jangan macam tu. Apa kata kalau Hari Raya ketiga ini kita pergi ke rumahnya?" umpan Mak Uda Zaidah terhidang. Tetapi saya sudah tawar hati untuk merenggutnya.
"Tengoklah nanti"

Badan saya mula rasa seram sejuk. Hari Raya kedua itu saya terkokol-kokol batuk serta deman yang kuat dari dalam bilik. Apak mendemah kepala saya dengan tuala basah.
"Panas badan budak ni.." kata Apak kepada Mak. Mak cuma mengangguk.

Malam itu Mak Uda Zaidah menghubungi rumah Mak memberitahu Mak supaya mengingatkan saya untuk berkunjung ke rumah gadis yang dimaksudkan selepas waktu Maghrib Hari Raya Ketiga itu.
"Dia demam kuat Kak Zaidah. Saya tak tahu dia boleh pergi atau tidak" kata Mak
"Cuba-cubalah pujuk dia. Kak Zaidah dah bagitahu pada keluarga budak perempuan itu yang Indera nak datang" pujuk Mak Uda Zaidah lagi.
"Insya-Allah kak, tapi saya tak janji. Macam mana nak pergi? Tengah mengerekot di atas katil itu"

Demam saya masih belum kebah-kebah lagi. Sudah semangkuk besar sup tulang saya telan tetapi panas masih belum berkurangan. Mata saya kabur berair menyukarkan pandangan. Azab rasanya.

Mak Uda Zaidah menelefon lagi tengahari itu minta bercakap dengan saya. Saya tidak berdaya untuk bangun. Mak Uda Zaidah bercakap dengan Yeop (abang saya yang sulung) sahaja.
"Malam ni siap. Pergi rumah budak perempuan itu" kata Yeop. Lagaknya mengarah sahaja. Bukan dia peduli akan kesihatan saya. Pedulikanlah.

Senja itu Mak Uda Zaidah telefon lagi.
"Cepat siap. Mak Uda Zaidah dah tunggu tu. Heii... Budak Malas. Bangunlah!!" kata Yeop.
"Orang sudah bersusah payah carikan calon untuk dia, dia banyak hal pulak. Bukan nak menghargai penat lelah orang, dia..."
Saya mendengar Yeop berkicau di ruang tamu. Bosan dengan leteran itu saya gagahi bertukar baju dan memandu dalam remang senja itu. Solat Maghrib di rumah Mak Uda sahaja.
"Haa.. inilah Indera. Anak saudara saya yang saya ceritakan hari tu" kata Mak Uda Zaidah memperkenalkan saya dengan Ayah si gadis. Mata saya kabur. Gagal melihat dengan sempurna. Ramai orang di rumah itu tetapi wajah mereka kelam sahaja dek suhu badan saya yang panas.

"Kerja apa?" tanya ayah gadis itu.
"Saya tak kerja. Saya belajar lagi.." saya membohongi ayah gadis itu. Hendaknya janganlah dia menerima saya. Hati saya ketawa lucu. Mungkin ayah gadis ini berfikir, "Mahu diberi makan apa anakku itu jika masih belajar". Atau sekurang-kurangnya, "Masih belajar tetapi sudah terfikir mahu berkahwin".

Kemudian naik beberapa orang gadis menghantarkan hidangan.
"Baju merah.." kata Mak Uda Zaidah dalam terkumat-kamit mulutnya. Tanpa suara. Itulah istimewanya Mak Uda Zaidah!!
Haa..?? Baju merah?? Sungguh saya tidak melihat zahir wajahnya. Mata saya kabur. Tetapi susuk tubuhnya bukan seperti idaman saya. Pasti wajahnya juga tidak seperti citarasa saya.

Pulang sahaja dari rumah gadis itu, Mak Uda terus bertanya "Macam mana? Suka?".
Hati saya ingin berkata tidak tetapi saya bimbang akan menyinggung hati MakUda Zaidah.
"Entahlah Mak Uda. Ini soal sehidup semati. Saya tidak boleh membuat keputusan terburu-buru. Nanti saya bincangkan dengan Mak dan Apak dulu"

Sampai sahaja di rumah, saya terus menyelongkar bawah katil mengeluarkan beg pakaian dan memasukkan kesemua baju-baju saya. Pagi-pagi esoknya selepas sarapan, saya terus pulang ke Shah Alam tanpa sempat Mak dan Apak bertanya pendapat saya tentang gadis itu.

(Bersambung....)