Wednesday, November 18, 2009

Sambungan Kisah


Sesudah setahun, akhirnya saya memutuskan untuk menulis semula Hikayat Badrun Basim untuk tatapan semua. Hikayat Badrun Basim ini sebenarnya sangat dekat dengan jiwa saya. Waktu kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca Hikayat Badrun Basim, Hasan Al-Basri yang dijidil (kedua-dua Hikayat ini telah dijidilkan bersama-sama menjadi satu buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan tahun 1965), Batu Belah Batu Bertangkup, Kisah-kisah Dongeng Dunia Arab dan banyak lagi.

Barangkali ada yang berpendapat bahawa saya ini seorang yang tahyul, suka pada kisah pari-pari yang tidak wujud serta gemar berangan-angan dengan menulis kisah kanak-kanak seumpama ini. Tetapi percayalah, kisah pari-pari ini sebenarnya banyak mempengaruh jiwa kanak-kanak bagi persediaan untuk mereka menghadapi dunia nyata. Adanya ibu ayah yang membisikkan kisah-kisah ini sebelum anak-anak beradu, akan menguatkan semangat mereka serta mempersembahkan kepada mereka betapa hebatnya nilai kasih sayang yang berakhir dengan kegembiraan.

Zaman kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca buku-buku cerita lantaran saya tidak berkebolehan di dalam bidang sukan. Padang sukan hanya dijengah setiba waktu Pendidikan Jasmani. Sesudah waktu itu, padang permainan amat jauh dari hati saya. Padang permainan saya sewaktu dahulu adalah di sawah bendang, di celahan pokok-pokok buah-buahan di dusun serta tali air lewat petang melambai lembayung senja.

Dunia saya ketika itu hanyalah di perdusunan yang sunyi. Yang jauh dari kemodenan kota. Kisah pari-pari akan menjadi inspirasi untuk terbang ke udara. Menyelami lautan luas, bertarung dengan gergasi bota serta menawan hati puteri rupawan seperti yang didendangkan di dalam kisah dongengan.

Dunia Si Kecil adalah dunia yang murni. Jauh dari pembohongan. Jauh dari penyesatan. Tambah jauh dari penganiayaan. Dunia Si Kecil adalah dunia yang penuh dengan jaluran pelangi. Indah bercahaya tetapi hakikatnya hanya berbalam-balam. Sesudah dewasa, dunia itu hanyalah mimpi dan kitalah yang tersedar dari tiduran yang panjang berteleku menghadapi dunia yang maha dahsyat.

Untuk itu, jika diberi pilihan, saya tidak mahu bangkit dari mimpi indah itu. Mahu terus terbang menembusi kayangan. Namun apakan daya, zaman yang berlalu tidak mungkin dapat dijangkau semula.

Saya menulis kisah pari-pari ini untuk tatapan semua. Lebih dari itu, saya mahu cahayamata jantung hati saya yang tidak sempat saya bisikkan kisah pari-pari ini sewaktu mereka bersiap-siap masuk tidur lantaran saya tinggal berasingan dengan mereka, yang tidak sempat saya melihat mereka membesar di hadapan mata saya, membaca kisah pari-pari ini sebagai ganti ayah mereka yang kejauhan. Andai saya tiada lagi di dunia ini sekali pun, saya mahu mereka menghayati kisah pari-pari ini dan mengerti sepenuh hati bahawa saya tetap menyayangi mereka di dunia hingga akhirat.

Kitab Badrun Basim ini tidak lagi saya jumpai di mana-mana selepas kitab yang sama dalam simpanan kami lunyai, koyak rabak dan akhirnya dihumban oleh kakak saya yang mengemas rumah tanpa menyedari nilai kitab hikayat ini. Sepengetahuan saya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah tidak lagi menerbitkan hikayat-hikayat seumpama ini. Barangkali jika ditinjau di Arkib DBP, kitab ini berkemungkinan besar masih ada di dalam simpanan mereka.

Saya bertuah kerana ayah saya dahulu sememangnya suka membeli buku-buku hikayat seperti ini sebagai koleksi peribadi. Tetapi beliau tidak bernasib baik kerana dikurniakan dengan anak-anak yang nakal yang suka mengoyakkan lembaran kertas tanpa mengerti sekelumit pun nilai kesusasteraan pada ketika itu.

Bagi generasi muda kini, saya yakin ramai antara mereka yang tidak pernah menatap Hikayat Badrun Basim ini tetapi generasi muda ini tetap merupakan peminat hikayat-hikayat seperti ini jika mereka diberi peluang untuk menilainya. Oleh yang demikian, penulisan Badrun Basim ini adalah sumbangsih saya untuk memunculkan semula hikayat ini di dunia Melayu. Jika ada mana-mana pihak yang mengaku bahawa mereka lebih berhak terhadap hikayat ini, saya sedikit pun tidak akan ambil kisah kerana hasrat di hati saya hanyalah untuk berkongsi minat kepada sesiapa sahaja yang sudi. Penulisan hanyalah pada kecenderungan. Saya hanya manusia biasa. Tiada apa yang istimewanya pada diri saya.

Bagi mereka yang sukakan hikayat lama ini, sambungan Hikayat Badrun Basim ini akan menghiasi Layangan Indera ini secara berperingkat-peringkat. Hikayat ini agak panjang sedikit. Janganlah bermasam muka andai sambungannya agak lewat tiba lantaran tugas seharian yang menuntut saya memberikan sepenuh perhatian.

Untuk itu..... Badrun Basim akan menemui kalian dengan Puteri Jawhariah, Ratu Lat, Sheikh Abdullah dan pelbagai perkara yang ditempuhi lewat pengembaraannya yang jauh. Nikmatilah sepenuhnya. Harap kalian bergembira!!.