Thursday, June 18, 2009

Saleem Iklim kata, "Lautan Api boleh menjadi ohhh.. Taman Salji"

Di kala ini, Indera Kencana telah menerima titah Betara Kalam untuk turun ke dunia bagi membakar Padang Lalang untuk persiapan menanam huma. Adapun titah itu menyuruh Indera Kencana agar menerun tanah selama 2 purnama. Terlalu lama sudah rasanya Singgahsana Bintang yang menjadi tapak persemayam Indera Kencana terbiar sepi. Hanya sempat dijenguk sekali sekala. Layangan Indera ini rasanya sudah berhabuk dan bersawang....


Hahahahaha.... saya kembali mengisi ruang ini mengambil kesempatan menitip beberapa bait perkhabaran untuk dikongsikan bersama. Sememangnya di saat ini saya agak sibuk bilamana jadual kerja saya terlalu padat kerana sedari awal Mei yang lalu, saya telah diarahkan oleh Abang Ngah untuk menguruskan sebuah projek meganya (waaahhhhh... projek mega lagiiii!!!). Sekadar bergurau. Bukanlah sebuah projek mega. Tetapi sebuah projek pengubahsuaian ruang pejabat milik sebuah syarikat ternama yang banyak menguruskan prasarana di Lembah Kelang.

Apa yang dapat saya katakan di sini, projek tetap sebuah projek. Tidak kira sama ada besar atau kecil nilainya, masalahnya tetap sama memeningkan kepala. Tetapi setelah bertahun-tahun menjauhkan diri daripada bidang Pengurusan Projek ini, setelah bertahun-tahun melakukan pekerjaan yang tidak saya gemari, apabila saya dapat kembali ke bidang di mana saya sepatutnya berada, saya merasa sangat gembira!!. Gembira yang tidak terhingga.

Dahulunya, saya benci dengan bebanan projek. Dengan hambatan waktu yang inginkan projek disiapkan mengikut masa, dengan kerenah Abang Ngah yang selalu bertukar watak apabila projek bermula, dengan kerenah buruh kontrak yang saya anggap kotor dan berkelakuan tidak senonoh, dengan barangan binaan yang harus masuk ke tapak pembinaan mengikut masa, menjadikan saya langsung hilang minat dan benci melakukan tugas harian saya. Itu belum lagi dikira dengan kerenah Penguasa Tapak Projek yang senantiasa mencari kesalahan pemaju, sememangnya sangat memualkan.

Masa berlalu tanpa ada pamitan. Takdir meletakkan saya untuk bekerja di bawah tangan seorang insan yang langsung tidak punya hati dan perasaan, yang melayani orang lain seperti hamba, menjadikan saya selalu memendam perasaan dan menjeruk rasa. Perasaan tidak puas hati selalu bermain di fikiran. Pekerjaan yang menuntut saya saban hari sepenuh masa menginginkan saya sentiasa di pejabat yang tertutup rapat dari dunia luar, membuatkan saya merasakan jam waktu saya sudah terhenti. Saya merasakan bahawa diri saya sudah mati. Zahirnya cuma jasad saya sahaja yang berada di situ, hakikat sebenarnya saya sudah lenyap dari muka bumi ini.

Segala perancangan hidup, kemajuan diri sudah tiada dalam kamus hidup saya ketika itu. Saya hanya menunggu takdir datang. Menghitung setiap saat dan jamnya itu saya keluar dari neraka itu. Hakikatnya saya tidak punya pilihan lain. Segala kerja yang dipohon, langsung tidak berjawab. Perancangan untuk menyambung pelajaran saya juga lenyap lantaran tidak mendapat mana-mana tajaan.

Di saat waktu makan tengahari (saat di mana saya dibenarkan keluar selama 1 jam memandang matahari), saya memerhatikan setiap orang yang masuk ke dalam restoran dengan pelbagai rasa kekaguman terutama apabila melihat mereka bergelak ketawa sambil menjamu selera sedang saya duduk bersendirian berduka lara mengenangkan masalah saya. Alangkah bertuahnya mereka, alangkah bahagianya mereka, fikir hati saya. Saya mendapat perangai baru iaitu selalu memikirkan orang lain itu bertuah sedang saya pula bernasib malang. Di saat itu, saya merindui zaman lampau saya. Saya tahu di saat itu, apa yang saya inginkan ialah sebuah kerjaya yang tidak mengikat saya di pejabat. Kerjaya saya harus berputar sebagaimana berputarnya alam ini. Kerjaya saya harus memandang persekitaran luar. Memandang jalan yang sibuk. Memandang manusia dengan pelbagai kerenahnya maka barulah saya merasakan bahawa diri saya ini hidup.

Tidak semua kepahitan itu racun. Kepahitan itu juga boleh jadi ubat yang paling mujarab. Didikan majikan yang keras dan tidak bertimbang rasa itu rupanya telah membakar hangus sama sekali kesemua ego saya. Telah memadamkan segala panas baran yang mengisi hati saya selama ini. Setelah sekian lama, saya kini bukanlah lagi Indera yang dulu. Indera yang mudah melenting, mudah naik darah dan selalu sahaja merajuk keanak-anakan (keanak-anakan itu masih ada hahahaha cuma agak terkawal).

Saya kini memandang dunia dari sudut yang berbeza. Masalah tetap ada. Namun jika kita memandang dari luar dan menanganinya dengan bijaksana, masalah itu akan tetap menjadi masalah atau boleh jadi penyelesaian.

Maaf ya Abang Ngah... Saya kini selalu sahaja gelak-gelak dan ketawa apabila Abang Ngah marah-marah. Bukan saya ingin berlaku tidak sopan di hadapan Abang Ngah. Saya cuma ingin menangini masalah saya dengan tidak menjadikannya sebagai sesuatu yang menekan jiwa. Bukankah saya telah berjanji pada Abang Ngah, walau bagaimanapun saya kini, saya tetap akan fokus pada kerja?. Kerja dan kerjaya saya bukan sesuatu yang saya boleh buat permainan!!.

Perbandingan dahulu dan kini, dengan pengalaman yang menjadikan saya lebih dewasa membuatkan saya semakin menghargai apa yang saya ada. Saya tidak lagi merasakan pergi ke tapak projek itu sebagai bebanan. Tetapi satu tanggungjawab dan amanah yang harus saya selesaikan dengan sebaik mungkin. Saya kini mengerti bahawa setiap jiwa yang menjadi buruh di tapak pembinaan itu adalah manusia sama seperti saya juga yang harus saya hormati dan saya pandang mulia kerana mereka itu juga adalah sebahagian daripada pecahan-pecahan yang melengkapi sebuah gambar. Tanpa mereka, sebuah gambaran yang terhasil itu pastinya tidak lengkap dan tidak sempurna. Tiada sebab mengapa saya harus pandang rendah kepada semua mereka yang terlibat di dalam projek hatta seorang buruh kasar tapak pembinaan kerana boleh jadi atau memang pasti, pengalaman dan pengetahuan yang mereka ada pada setiap inci bangunan itu, jauh lebih banyak daripada saya. Sayalah yang harus belajar daripada mereka jika saya ingin pergi jauh dalam bidang pengurusan projek ini.

Saya kini mendapat minat yang baru iaitu bermain seruling hahahahaha saya bergurau lagi. Memang saya kini suka bermain seruling di rumah bagi mengisi masa lapang saya tetapi minat yang saya maksudkan ialah saya kini semakin berminat dengan duit. Mungkin juga kerana saya kini dikelilingi oleh orang-orang yang sukakan duit.

Saya adalah seorang manusia yang menjadi sebahagian daripada alam ciptaan Allah ini. Kini saya mengerti bahawa sejarah silam hanya boleh direnung sebagai tamsilan. Apa yang paling penting ialah masa depan. Dari kehancuran dan keruntuhan kota zaman silam, kita harus bangkit membina empayar gilang gemilang. Ibarat seekor Burung Phoenix yang bangkit dari abu. Terbang menjulang dengan api tujuh warna membakar angkasa membiru!!.

Tuesday, May 12, 2009

Kiranya Masih Ada Kasih...


Butiran embun masih lagi melekat di hujung rumput sewaktu saya melangkah ke halaman rumah mertua. Suasana masih lagi dingin dan menyegarkan. Walaupun secalit kabus sukar dicari lewat hari-hari kini, namun kesegaran yang terasa masih tetap sama seperti dahulu.

Anak-anak saya berlumba-lumba keluar dari rumah sebaik melihat saya berada di halaman. Melihat mereka berlarian keriangan di dalam dingin pagi, mengimbas kembali keriangan waktu kecil saya langsung membuatkan saya tersedar betapa pantasnya waktu berlari. Sedar sahaja, usia saya sudah menjangkau hampir 40 tahun. Tidak berapa lama lagi, saya akan berada di usia emas.

Telefon berbunyi menyentak lamunan saya. Mak rupanya!!
"Hari ini kamu ke mana?" Mak bertanya.
"Tak ke mana-mana... kenapa Mak?" Saya memandang mengawasi anak-anak saya yang berlari berkejaran. Bimbang jika mereka berlari arah ke jalan yang berturap.
"Mak ingat nak ke rumah Beh (bapa saudara saya) kamu. Mak Teh kamu kata, dia dah keluar dari hospital"
"Hmmm.. kalau macam tu, Mak siaplah. Sekejap lagi saya datang ambil Mak"

Matahari memancar garang sewaktu saya sampai ke rumah Mak. Rupanya Mak masih berkain batik menonton drama di Astro dengan ditemani oleh Fatin, anak Kak Yang.
"Mak ingatkan kamu sampai lambat lagi.." kata Mak.
Saya senyum sahaja. Mak memang selalunya begitu. Selalu ambil masa untuk bersiap. Selagi belum tiba masa, jangan haraplah Mak akan menukar baju. Sebaik melihat saya tercogok di depan matanya, barulah Mak terkocoh-kocoh bersiap. Kerana itu, asal berpergian bersama Apak, pastilah Apak akan berkicau panjang dengan perangai Mak itu. Mak lebih senang berpergian ke mana-mana bersama saya kerana saya tidak banyak kerenah dan tidak suka mengomel.

Dari luar rumah saya perhatikan kedai Apak yang dikunjungi oleh beberapa orang pelanggan yang datang untuk menjamu selera. Apak...!! entah kenapa hati saya tiba-tiba dipagut pilu. Sekali sekala saya terlihatkan kelibatnya keluar masuk kedai kopi itu. Saya berteleku di anak tangga mengenangkan hubungan saya dan ayah saya. Memang saya akui saya dan dia tiada hubungan yang mesra. Namun bapa tetap seorang bapa. Tiada apa yang dapat memutuskan hubungan kami dari dunia sampailah akhirat.

Mak keluar dari kamar dengan kurung bandung berbunga halus. Pipi Mak putih disapu bedak. Mak masih cantik di usia tua.
"Opah, Fatin nak ikut.." kata Fatin mencuit-cuit hujung tudung Opahnya.

Sambil menunggu Mak minum teh di dapur, saya menekan suis komputer. Tiba-tiba Apak masuk dari arah pintu. Sebaik terpandangkan saya, langkahnya terhenti.
"Bila kamu sampai" Mata Apak menikam tepat ke dalam anak mata saya. Seolah-olah dia cuba menyelami apa yang sedang tersirat di hati saya. Cuba meneka apakah soal yang sedang berlegar di dalam keluarga itu sudah sampai ke telinga saya.
"Baru saja.... Apak sihat?" saya bertanya khabar. Cuba berlagak seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang terjadi. Namun saya tidak berupaya menentang tikaman matanya.

Saya bagaikan terkelu lidah sepanjang pemanduan ke rumah Beh. Fatin dan Alia di tempat duduk belakang becok berceritakan tentang perkhemahan pengakap yang mereka ikuti pada minggu sebelum itu. Saya menjeling Mak yang duduk di sisi saya. Mak memandang jauh ke luar tingkap.
"Apak macam mana sekarang Mak?" tanya saya. Mak sedikit terkejut. Barangkali pertanyaan saya itu menyentak lamunannya.
"Apak kamu... dia, err... entahlah. Mak pun tak tahu nak cakap. Mak harap-harap dia dah berubah sikap" kata Mak.
"Dah berubah betul ke?" saya bertanya. Tetapi entah kenapa, soalan saya itu kedengaran seperti sinis atau mungkin juga ragu-ragu.
"Sepanjang yang Mak kenal Apak kamu, selalunya bila Mak dah bercakap, dia akan cepat-cepat ubah perangai.."

Saya geleng kepala. Mata saya lekat pada jalan yang lurus. Tidak banyak kereta mengisi jalan di tengahari pada hujung minggu seperti ini.
"Kenapa?" Mak bertanya bila melihat saya hanya terpaku mendiamkan diri.
"Entahlah Mak. Indera tak tahu nak kata apa. Indera ni cuma seorang anak. Tak ada apa yang Indera boleh buat. Indera cuma boleh diam dan perhati. Indera tak boleh tukar keadaan ini. Indera tak boleh tanya Apak sebab kenapa dan mengapa. Indera tak boleh serang dia kerana dia seorang ayah. Buruk dan berdosa benar perbuatan Indera itu nanti..."
"Memanglah... Mak juga tak harapkan apa-apa tindakan dari kamu. Mak bercerita pada kamu hanyalah nakkan hati Mak ni lebih tenang. Itu saja" kata Mak.

Saya menurunkan cermin kereta supaya angin segar dapat mengalir masuk menyejukkan kami di dalam kereta. Penghawa dingin kereta saya seperti merajuk minta diselenggara sejak akhir-akhir ini.

Malam sebelum pulang ke ibukota, saya melangkah ke kedai Apak. Dari luar, saya nampak dia sedang leka mencuci cawan-cawan kopi di dalam besen berwarna merah. Apak langsung tidak menyedari kehadiran saya. Saya perhatikan uban-uban putih yang memenuhi kepalanya. Melihat dia sedikit terbongkok menyedarkan saya betapa ayah saya sudah uzur dan tua. Segala kegarangan dan ketegasannya dulu bagaikan surut bersama tenaganya. Saya menyentuh bahunya dan Apak segera menoleh.
"Saya balik dulu, Apak..." kata saya cuba menyembunyikan sebak di dada. Saya menyalaminya.
"Hmmmm... Hati-hati bawak kereta. Ada duit?"
Saya terkalap. Kiranya masih ada kasih di dalam hati Apak.

Ayah dan ibu...
Ayah dan ibu...
Itulah permulaan kami
Dapat melihat, bulan dan matahari

Monday, April 27, 2009

Bila Isteri Sudah Tidak Lagi Cantik II

Sewaktu saya pulang ke kampung hari Jumaat lepas, anak-anak saya tidak sihat. Zaryn demam dan selsema diselang seli dengan batuk terkokol-kokol. Adil Rayyan pula, asal bersin sahaja, akan mengalir lendir dari hidungnya. Hanya Siri Aufa sahaja yang masih ligat ke sana ke mari dalam cuaca yang panas.

Akibat terlalu mengulit anak-anak saya, saya juga turut diserang demam dan selsema sehingga menyebabkan badan rasa seram sejuk terutama di waktu malam. Asalnya saya ingin mengambil cuti rehat satu hari. Namun apabila mengenangkan mesej ringkas yang dihantar oleh Abang Ngah meminta saya hadir juga ke pejabat kerana ada dokumen tender yang perlu diuruskan sebelum 29 April ini, saya gagahi juga pulang ke Kuala Lumpur. Andai kata saya masih memikirkan untuk bersenang-lenang, pasti masak saya dileteri oleh budak debab itu.

Rumah Mak sunyi sepi tatkala saya berkunjung sebelum memulakan perjalanan pulang. Lampu luar tidak menyala. Bunyi cengkerik yang nyaring menambahkan sepi malam yang penuh dihiasi bintang bertaburan di dada angkasa. Puas saya mengetuk pintu bertalu-talu. Lepas 3 minit, barulah pintu dibuka oleh Faiz, anak bongsu Kak Yang.
“Opah!!! Achik datang!!” laung Faiz kepada Mak. Namun tiada jawapan yang diterima seperti selalunya.

“Achik, Opah demam..” kata kanak-kanak itu.
“Iya? Mana Opah?” tanya saya pula.
“Opah kat dapur”

Sewaktu saya melangkah ke dapur, Mak berteleku di meja makan. Nampaknya demam Mak agak kuat menjadikan Mak bagaikan tidak berupaya untuk bersuara.
“Kamu dah makan?” tanya Mak.
“Belum..” jawab saya sambil memandang sekeliling dapur. Kak Yang baru sahaja masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Barangkali tadi dia keluar membuang sampah. Kak Yang berlalu tanpa menghiraukan saya dan terus masuk ke biliknya seolah-olah saya ini tidak wujud di depan matanya. Dari riak wajahnya, jelaslah dia itu bagaikan menyimpan sesuatu di dalam hati. Marahkan akukah?, hati saya berteka-teki. Ahhh.. barangkali dia itu baru lepas mengamuk marahkan anak-anaknya. Maklum sahajalah, anak-anak Kak Yang itu semuanya nakal-nakal belaka!!, hati saya memujuk.

“Kalau kamu nak makan, Mak siapkan sekejap” kata Mak sambil gagahkan dirinya untuk bangun berdiri. Tetapi Mak uzur sangat. Sukar nampaknya dia mengimbangkan badannya.
“Tak apa, Mak. Tak apa!!. Kalau saya lapar nanti saya ambil sendiri” kata saya memapah Mak membantunya duduk semula.

Saya mengambil nasi dan lauk sebelum duduk semula di sisi Mak. Saya masih berselera walaupun badan saya terasa lemah tidak bermaya. Mak memandang wajah saya tanpa berkata apa. Sementara saya pula tidak mensyaki apa-apa.
“Mak demam, saya pun demam” kata saya. Mak tersenyum.

Selesai makan itu, saya yang duduk di sisi Mak mengurut-urut siku dan lutut saya yang membengkak akibat gout. Terdapat kesan bengkak yang besar di anggota itu. Sengal dan pedih rasanya. Saya memandang jam di dinding. Jarum pendek hampir menunjukkan angka Sembilan.
“Saya balik dulu ya, Mak. Nanti lewat pula sampai di Serdang”

Mak bungkam. Terus memandang wajah saya. Seolah Mak rindu benar dengan saya.
“Apak kamu curang dengan Mak..” suara Mak seakan berbisik. Jelas ada getar di sebalik suara itu.

“Apa dia, Mak?” saya bertanya dengan Mak kalau-kalau saya ini tersilap pendengaran.
“Apak kamu main kayu tiga...”
Saya terpaku. Kelu lidah tidak mampu bersuara. Memang saya terkejut. Memang saya tidak silap pendengaran.
“Dengan siapa?”
“Dengan anak Itam Ajis. Budak tu janda”
“Mak tersilap dengar cerita orang barangkali?”
“Mata Mak sendiri nampak Apak kamu dengan budak tu”
Saya terdiam. Mak juga terdiam. Gagal berkata apa-apa. Saya memandang kosong cawan teh yang meruap dengan wap panas.

+++

Sudah dua hari Mak di rumah Adina. Sudah dua malam Mak di Shah Alam. Adina sakit tulang belakang sejak jatuh sebelum pemergiannya ke Scotland dulu. Selama setahun kesakitan itu tinggal bersembunyi di dalam tubuhnya. Sedikit pun tidak terasa. Sedikit pun tidak mengganggu pelajarannya. Pulang sahaja ke Malaysia, kecederaan itu mula menyerang pinggangnya.

Rumah Mak di kampung sunyi. Yang ada hanya anak-anak Kak Yang yang terlentang bagaikan ikan kering di hadapan peti television menonton Diari Akademik Fantasia. Apak masih lagi di kedai kopi. Entah apa yang dibikinnya, tiada siapa yang tahu.

Kak Yang rasa tidak sedap hati sedari petang lagi di hospital. Beberapa kali dia menelefon ke rumah, memastikan anak-anaknya berada di dalam keadaan yang selamat. Setiap kali menelefon, suara anak-anaknya yang ceria mengusutkan rusuh hatinya. Namun tidak lama. Hati Kak Yang kembali berdebar-debar.

Sebaik sahaja jam menunjukkan jam sembilan, Kak Yang terus pulang. Sewaktu melewati kedai kopi Apak yang hanya beberapa rantai sahaja daripada rumah Mak, Kak Yang ternampak Zubaidah Janda, anak Pak Itam Ajis masuk ke dalam kedai Apak sebelum diikuti oleh Apak. Kedai Apak kosong tiada pelanggan. Kak Yang tahu memang Zubaidah Janda itu selalu menghantar kuih setiap pagi ke kedai Apak, tetapi apa perlunya menghantar kuih lewat malam-malam begitu? Siapa yang ingin memakan kuih di waktu malam ketika orang lain sedang berkira-kira ingin masuk tidur?

Kak Yang segera menghentikan keretanya di bawah pokok yang agak tersembunyi. Apak menutup pintu kedai dari dalam. Hati Kak Yang bagaikan ingin pecah!!

Selama seminggu Kak Yang memerhatikan tingkah mereka. Selama seminggu hati Kak Yang hancur. Begini akhirnya cerita di saat Mak jauh menemani anak Mak yang sedang sakit...


+++

“Kalau ikutkan hati saya Mak, nak saja saya hempuk perempuan tu” Kak Yang mengakhiri ceritanya di hadapan Mak. Kak Yang sudah tidak tahan lagi.
“Jangan Khairani. Ini antara Mak dengan Apak kamu. Kalau kamu buat tak tentu, esok tak senang hati kamu tinggal di sini. Entah apa yang tak kena di mata Apak kamu nanti mencari kesalahan kamu” kata Mak.

Mak memandang sepi cucu-cucu Mak yang ligat berlari ke sana dan ke mari. Apak bagaikan tidak betah pulang ke rumah. Dia lebih selesa berada di kedai kopinya. Patutlah sejak Mak pulang dari Shah Alam, Apak mengasingkan tempat tidurnya. Pulang sahaja dari kedai kopi, Apak membentang tilam di ruang tamu dan terus berdengkur sehingga santak subuh.

Malam itu Mak tergerak hati ingin ke kedai kopi Apak. Sebelum melangkah, Mak berdoa kepada Allah agar diperlihatkan kebenaran. Nampaknya motorsikal kepunyaan janda itu ada di hadapan kedai Apak. Mak menolak daun pintu. Sungguhlah...!!

Mak melihat Apak sedang duduk dengan janda itu di atas satu bangku panjang. Jarak mereka berdua tersangat rapat sehingga seakan bertindih peha. Mereka langsung tidak menyedari kedatangan Mak. Mak terpaku menelan kebenaran di hadapan mata.
“Ohhh.. ini kerja kome berdua ya?” kata Mak. Apak dan janda itu bingkas berdiri serentak. Di wajah masing-masing kepucatan.
“Jadi betullah apa yang aku dengar selama ini? Betullah cerita suami aku main kayu tiga” Mak tersenyum pahit.
“Sebelum aku keluar tadi, aku berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan tingkah laku kome di hadapan mata aku. Memang sahihlah...”

Apak dan janda itu masih terkelu. Mak memandang tepat ke arah janda itu.
“Kamu jual kuih apa malam-malam ni? Jual “Apam”? Mak sudah hilang sabar.

“Pergi keluar cepat.. pergi keluar” Apak berbisik kepada janda itu. Zubaidah itu bergerak takut-takut di hadapan Mak sebelum meluru ke pintu. Yang tinggal hanya Mak dan Apak.

“Awak ni kan, tak malukah pada Tuhan? Pada anak-anak awak? Rumah kata pergi, kubur kata mari. Sepatutnya umur-umur macam awak ni, awak giat di masjid. Di tikar sembahyang. Bukan buat maksiat dengan janda tu”

Mak tidak menunggu lama. Mak terus beredar dari situ meninggalkan Apak keseorangan yang masih terpaku di pintu kedai. Mak melepaskan esak tangis di dalam kepekatan malam yang menyelubungi di sekitar jalan menuju ke rumah Mak.


+++

“Mak kecewa.... kecewa dengan sikap Apak kamu..” kata Mak. Saya buntu. Tidak tahu apakah yang patut saya ucapkan untuk meredakan rusuh hati Mak. Saya peluk Mak. Panas badan Mak dek demam bersatu dengan kepanasan demam tubuh saya.

Patutlah Kak Yang enggan menoleh memandang saya. Jika saya menegur dan memulakan bicara, pasti cerita Apak ini akan keluar dari mulutnya. Kak Yang merahsiakan perkara ini dari saya rupanya. Mak yang akhirnya bercerita. Jika tidak pasti sampai sudah saya tidak tahu hujung pangkalnya!!

Saya tetap anak Mak. Biar apa pun tindakan Apak, biar seteruk mana perbuatan Apak mengguris hati Mak, saya tetap anak Mak. Menyayangi Mak tanpa berbelah bagi.
“Mak dah tak kisah dah.. kalau dia nak kahwin dengan janda tu pun Mak tak kisah. Dah puas Mak menelan kepahitan hidup bersama Apak kamu. Jika dulu, setiap yang terjadi, Mak tahan hati Mak sebab Mak fikirkan kome masih kecil lagi. Kemudian bila kome dah besar, Mak tahan hati Mak lagi sebab Mak tahu kome perlukan dia untuk nikah kahwin kome. Sekarang ni bila anak-anak Mak semua dah kahwin, Mak dah tak kisah lagi dah..” kata Mak menahan airmata yang jatuh.

“Cuma kalau dia sungguh nakkan janda tu, buat cara elok. Kemudian, lepaskan Mak. Mak boleh bawa hati Mak ke rumah anak-anak Mak tanpa perlu minta izin dia”

Hati saya sebak sewaktu melangkah ke kereta. Saya peluk Mak. Saya cium Mak. Maafkan Indera, Mak. Kali ini Indera gagal menunjukkan Mak jalan keluar dari permasalahan Mak!!

“Mak demam sebab perkara inikah?” tanya saya
“Semua ada. Dan ini salah satunya”
Indera : Sedih, sayu dan pilu. Dari dulu hingga kini, Apak tidak pernah gagal memberi luka dalam hati saya. Biarlah dia melukakan hati kami semua. Saya sudah lali dilukai. Satu lagi kelukaan yang diberikan tidak akan menambah kesedihan yang sedia ada.

Wednesday, March 18, 2009

Dan Semua Datangnya Daripada Allah

Sewaktu saya kecil dahulu, saya telah diasuh untuk menghargai pemberian orang. Mensyukuri nikmat kurniaan Allah walaupun rezeki yang dikurniakan itu tersangat sederhana bagi sesetengah pihak. Waktu kecil dahulu, masa saya banyak dihabiskan di rumah Opah berbanding dengan masa saya bersama Mak dan Apak. Barangkali, saya ini seorang yang suka pada persekitaran yang meriah menjadikan saya lebih betah berada di rumah Opah dengan dikelilingi oleh sepupu-sepupu saya jika dibanding dengan keadaan senyap sunyi di rumah Mak.

Atuk hanya seorang penoreh getah. Hasil yang diperolehi sangat kecil untuk menjamu anak-anak dan cucu-cucunya dengan makanan yang mewah melainkan menu yang terhidang saban hari selalunya seakan sama. Ikan sepat masin yang digoreng atau ikan bilis goreng berkicap serta sayur-sayur kampung. Jika difikirkan, Apak itu seorang guru. Sudah tentulah makanan di rumah Mak akan lebih menyelerakan jika dibandingkan dengan apa yang ada di rumah Opah. Akan tetapi hakikatnya, setiapkali tiba waktu makan pagi, tengahari atau malam, adalah satu saat yang paling mengembirakan bagi saya dan sepupu-sepupu saya apabila kami harus tertib di hadapan hidangan, kemudiannya beriuh rendah bertukar cerita dan gelak ketawa terutama apabila mendengar celoteh Atuk. Makanan yang sederhana pun akhirnya bertukar menjadi satu hidangan yang sangat menyelerakan.

Saya akui, saya agak kurang rapat hubungan dengan ahli keluarga saya kecuali dengan Mak. Ini kerana, sebaik sahaja saya menamatkan pelajaran saya di peringkat rendah, saya diterima masuk ke sekolah berasrama. Habis sahaja sekolah, saya ke Shah Alam pula menyambung pelajaran saya di ITM. Pulang ke rumah hanyalah di waktu cuti panjang. Manakala cuti itu pula banyak dihabiskan bersama Opah, Atuk dan sepupu-sepupu saya.

Jadi tidak hairanlah jika perangai dan sikap saya banyak dibentuk dari luaran. Sifat dan pembawakan saya berlainan dan berlawanan dengan perangai Apak dan adik beradik saya.

Menyentuh perihal rezeki ini, Abang Ngah pernah berkata yang saya pegang sehingga kini, “Apabila terbit matahari, akan bergegaslah Malaikat Mikail ke timur dan ke barat mencari rezeki buatmu”. Begitulah rezeki kurnia Allah. Hal ini sering membuatkan saya kagum bercampur hairan memikirkan kebijaksanaan Allah mengatur rezeki buat hambaNya. Pernah di satu masa, saya tinggal di Kelang. Sebaik sahaja habis urusan kerja di Kuala Lumpur, saya bertemu dengan seorang rakan karib yang lama terpisah. Hubungan saya dan keluarganya sebelum itu juga agak rapat. Kebetulan sewaktu kami bertemu itu, keluarganya di Seremban sedang mengadakan majlis kesyukuran. Dan saya dijemput!! Akhirnya, makan malam saya hari itu, Allah tetapkan rezeki saya berada di Seremban. Subhanallah. Maha suci Allah yang mengatur tiap sesuatu.

++

Pagi ini hujan turun renyai-renyai membasahi Serdang. Matahari kelam timbul tenggelam di sebalik awan mendung. Menjelang jam 7.30, hujan turun dengan lebat di saat saya sedang mengenakan kemeja untuk ke Shah Alam. Saya kemudian duduk berteleku di jendela melihat barisan kereta yang berpusu-pusu keluar dari kawasan kediaman saya. Dengan keadaan jalan yang licin, kesesakan jalanraya yang menyakitkan kepala, ditambahi pula dengan keadaan brek kereta saya yang sangat tidak memuaskan, menjadikan saya berlengah-lengah sedikit untuk keluar bekerja. Untuk keluar mencari sarapan pagi pula, hujan yang turun lebat itu tidak memungkinkan saya dapat berjalan jauh hanya mencari sebungkus nasi lemak.

Hujan usai setelah jam melepasi angka sembilan. Saya memutuskan untuk bersarapan pagi di Shah Alam sahaja. Jam sembilan baru terkocoh-kocoh keluar dari rumah di saat pekerja kerajaan dan swasta sudah tiba di pejabat dan saya menjangkakan jalanraya menjadi sedikit lengang. Rupa-rupanya jalan di Kuala Lumpur memang keramat. Masih tetap sesak di mana-mana. Akhirnya saya tiba di Shah Alam jam 11.30 pagi.

Shah Alam masih seperti dahulu. Udaranya, pemandangannya, dan segala-gala yang berkaitan dengannya masih mengekalkan ciri-ciri 15 tahun yang lampau. Menelusuri jalan di setiap seksyen membangkitkan kenang-kenangan lama yang tidak dapat diulang kembali. Segala yang terbaik dan terburuk dalam hidup saya bertaburan merata-rata di setiap jalan yang saya lalui.

Telefon bimbit saya berbunyi sebaik sahaja saya habis mengadap hidangan tengahari. Abang Ngah!!.
“Hello... kau ada kat mana?”
“Ada kat Shah Alam, Abang Ngah... Dah nak balik dah ni” jawab saya. Pasti Abang Ngah berada di pejabat di Hulu Kelang.
“Engkau tunggu aku kat situ sekejap. Aku ada kat UiTM. Engkau tunggu aku kat Caltex”

Abang Ngah sampai selang 5 minit kemudian. Wahhhh... rupa-rupanya Abang Ngah ingin membelanja saya makan tengahari. Wahhhh...., perihal saya baru habis makan tengahari jangan dikhabarkan kepadanya. Prinsip saya, rezeki jangan ditolak. Untuk itu merasalah saya, makan tengahari buat kali keduanya dengan agak istimewa. Barangkali Abang Ngah baru kena loteri!!.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya tersenyum sendiri. Betapa saya sengsara di waktu pagi bergelut dengan kesesakan jalanraya dan cuaca yang tidak menentu tanpa sarapan. Tetapi di waktu tengaharinya, Allah mengurniakan saya dua hidangan dalam masa yang sangat hampir. Maha suci Allah yang sangat pemurah lagi bijaksana.

++

Pejabat kosong. Semua orang sudah pulang. Tinggal saya seorang yang masih setia dihembus angin dari penghawa dingin yang merekodkan bacaan 18 darjah selsius. Saya perlu berada di pejabat ini. Saya harus berada di sini untuk menanti masuknya waktu Maghrib. Jam di dinding menunjukkan jam 6.30 petang. Jika saya memandu pulang di waktu-waktu begini, pasti solat Maghrib saya akan terlepas dek kesesakan lalulintas.
“Ya Allah, ya Tuhanku. Ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibubapaku, dosa ahli keluargaku serta dosa umat muslimin dan muslimat sekelian. Kurniakanlah aku dengan rezeki yang halal buatku meneruskan kehidupan di dunia ini sementara melangkah ke alam abadi. Matikanlah aku di dalam keimanan dan matikanlah aku dengan mengucap Asyhadu anllailahaillallah wa Muhammadur rasullullah...”

Di dada langit bertaburan bintang-bintang berkerlipan. Saya menggalas beg yang berat sambil menahan kesakitan keradangan sendi yang mula membengkak di siku. Restoran Lazzat di aras bawah pejabat kini lengang. Yang ada hanya satu meja diisi oleh sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan mereka yang berusia dalam lingkungan 8 tahun yang masih dalam pakaian sekolah. Dari gaya mereka, tampak mereka itu dari keluarga yang berada.
“Ya bang, nak makan apa?” tanya gadis manis pelayan restoran itu. Mata saya terpaku di kaca television yang tergantung pada gelegar siling. Hmmmm... cerita Embun rupanya, fikir saya.
“Bagi saya nasi goreng dahlah” kata saya.
“Minumnya bang?”
“Air suam!! Errrr... boleh saya pinjam suratkhabar?” kata saya lagi sambil mengerling ke arah meja sebelah yang diduduki oleh pasangan berkenaan.

Makanan sampai ketika saya asyik meneliti berita semalam yang mengisi akhbar. Pasangan itu berbual-bual dengan suara yang agak perlahan manakala anak perempuan baru sudah menghabiskan segelas milo ais. Saya langsung tidak ambil endah keadaan sekeliling saya walaupun saya menyedari bahawa pelayan-pelayan restoran itu berulang alik dari meja sebelah ke dapur menghantarkan nasi dan lauk pauk ke meja milik pasangan itu. Tumpuan saya hanyalah pada hidangan dan wajah jelita Umi Aida sahaja.

“Hello awak, mari sini sekejap....” panggil lelaki di meja sebelah itu kepada pelayan restoran. Apabila dipanggil berulangkali pekerja restoran itu tidak mengendahkannya, lelaki itu naik berang dan terus ke kaunter.
“Hello kak!!” teriak lelaki itu melaung tukang masak di dapur.
“Ayam yang saya pesan tu dah masak ke belum? Kalau belum, jangan masak. Saya dah tak ada selera nak makan dah ni. Tahu tak saya ni dah tunggu lama?” bentaknya sekuat suara.
“Kira berapa semua tu!!” katanya lagi tanpa mengendahkan saya yang menoleh ke arahnya.

Gadis manis pelayan restoran itu datang takut-takut menghampiri lelaki itu. Lelaki itu menghulurkan kepadanya not RM50.00 sebelum berhamburan keluar dari restoran dengan diekori oleh isteri dan anaknya. Tinggal nasi dan lauk pauk yang belum diusik dan dijamah hanya disebabkan satu menu yang dipesan lewat tiba.





Saya geleng kepala. Lelaki itu telah melakukan pembaziran yang nyata. Barangkali duitnya sudah terlalu banyak sehinggakan dia sendiri tidak tahu ke mana harus dibelanjakan duitnya itu. Saya menggeleng-gelengkan kepala saya lagi. Betapa letihnya Malaikat Mikail bergegas ke timur dan ke barat mencarikan rezeki untuknya. Tetapi akhirnya rezeki itu dinafikannya dengan begitu sahaja.

Tidakkah dia sedar bahawa dia tidak selama-lamanya dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah? Tidakkah dia sedar bahawa rezeki itu ibarat air yang mengisi pantai yang ada pasang dan surutnya? Tidakkah dia sedar bahawa dia telah menunjukkan taulan yang sangat buruk kepada anaknya dalam menghargai rezeki kurniaan Allah?.

Barangkali, ibu dan ayahnya dulu tidak mendidiknya dengan baik atau.... barangkali juga hanya dia yang sudah terlupa segala ajaran dan pengajaran akibat lalai dengan status dan kekayaan.

Saya teringatkan satu malam saya berbual dengan Abang Ngah sewaktu kami pulang dari Ampang Point. Kisah yang berkisar tentang cerdik pandai Melayu. Cerdik pandai Melayu yang diambil dari desa-desa, diberi pendidikan yang terbaik dengan keistimewaan sebagai anak Melayu. Apabila sudah memegang kuasa, dia menjadi liberal. Kemudian dia melaung-laungkan agar keistimewaan anak-anak Melayu ditarik semula.

Saya membandingkannya dengan lelaki itu. Saya membayangkan, dia berkemungkinan diasuh dengan nilai-nilai murni dan mensyukuri setiap rezeki. Namun apabila dia sudah berharta, dia menjadi lupa bahawa wang, rezeki yang dikurniakan itu haruslah dihargai sebaik mungkin.

Saya tersenyum. Saya mensyukuri keadaan hidup saya sekarang. Saya kini dilimpahi dengan kasih sayang dari sengenap sudut. Orang cina pernah berkata, lelaki yang memiliki segala-galanya itu ialah apabila dia dikurniakan dengan wang, harta, wanita dan sahabat setia. Saya bersyukur, saya mempunyai seorang isteri yang penyayang, anak-anak yang manis, serta abang/sahabat baik yang tidak mungkin saya boleh tukar ganti seperti Abang Ngah. Sekalipun saya tidak dikurniakan dengan harta yang melimpah ruah!!.


Tuesday, March 10, 2009

Malaikat Di Jendela

Sebuah Kenangan Dari Allahyarham Anakanda Amir Yusuf...
(gambar ehsan www.fajaril.net/blog)


++

Mei 1981

Saya duduk di tangga rumah Mak memeluk kucing kesayangan saya, Yumi sambil memandang ke arah jalan yang terus masuk ke rumah Pakcik Jais. Beberapa orang wanita separuh abad datang menziarahi rumah Pakcik Jais, datang menjenguk isteri Pakcik Jais, Makcik Melah yang baru sahaja melahirkan seorang anak lelaki. Semalam, awal-awal pagi Mak sudah bertandang ke rumah Pakcik Jais. Pulang sahaja dari rumah itu, wajah Mak muram bercampur sedih. Sepatah pun Mak tidak memberitahu saya, apakah perkara yang menyebabkan hati Mak disapa pilu. Pulang sahaja Apak daripada dusun tengahari itu, sewaktu Apak duduk berehat menyejukkan badan, Mak datang duduk bersimpuh di sisi Apak sambil membisikkan sesuatu. Dari raut wajah Apak, kelihatan Apak sangat terkejut.

Walaupun berjiran, hubungan Apak dengan Pakcik Jais tidaklah semesra mana. Ini kerana Pakcik Jais sendiri sememangnya kurang peramah dan Apak pula bukanlah jenis yang suka mencampuri urusan orang lain. Saya mengelus bulu halus di tubuh Yumi sementara mata saya lekat memandang orang yang turun naik silih berganti di tangga rumah Pakcik Jais. Beberapa orang wanita yang turun dari tangga rumah itu kemudiannya semakin menghampiri rumah Mak. Saya kenal mereka. Mereka itu Wan Saemah, Makcik Tun bini Pak Mat Karib dan juga Mak Som Janda.
“Assalamualaikum” sapa mereka.
“Waalaikummussalam” jawab saya. Yumi bingkas bangun melarikan diri apabila melihat orang datang. Memang kucing kesayangan saya itu takutkan orang asing.

“Mak kamu ada?” Tanya Mak Som kepada saya sambil melihat saya ke atas dan ke bawah menjadikan saya sedikit tidak selesa.
“Errrr... ada. Makkkk!!! Ada orang datang!!” laung saya.
“Makkkk....” laung saya lagi apabila Mak tidak menyahut.
“Yalah... Mak datang ni!!” kedengaran suara Mak jauh di belakang rumah.

Sebaik sahaja tetamu-tetamu itu masuk ke rumah, saya kemudiannya dilanda kebosanan. Saya mengambil ranting kayu lalu mengukir di tanah nama budak perempuan yang saya sukai di sekolah. Zuraini... saya kemudiannya tersenyum malu. Nampak dek kakak dan abang saya, pasti puas saya digiat oleh mereka.
“Indera!!” saya mendengar Mak melaung nama saya dari dalam rumah.
“Saya...!” saya menyahut.
“Masuk sekejap. Tolong buatkan air untuk makcik ni”
Saya mengerutu di dalam hati. Bukan saya tidak kenal dengan makcik-makcik itu semua. Mereka itu memang terkenal dengan perangai suka membawa mulut. Malangnya saya hari itu terpaksa membancuhkan kopi untuk mereka.

“Kau dah tengok anak baru si Melah tu, Dah?” tanya Wan Saemah.
Sambil membancuh kopi itu, saya memasang telinga.
“Dah” jawab Mak pendek.
“Itulah jadinya kalau sesama jiran sekampung tak nak bertegur sapa. Buat hal sendiri. Sombong pulak tu.. Sudahnya diqadhakan dek Allah” kata Makcik Tun.
“Tak baik Kak Tun cakap macam tu..” kata Mak.
“Huhhh.. tak baik apanya?. Dah memang ya!!” kata Makcik Tun.

Tiba-tiba saya terdengar pintu bilik Apak dibuka dari dalam. Apakkeluar dari bilik dengan airmuka yang amarah. Saya mengintai dari dinding dapur.
“Kak Tun, apa yang Kak Tun merepak kat sini?. Orang tu tengah dilanda sedih, Kak Tun pergi jaja cerita keburukkan orang. Bukannya nak simpati. Menghina lagi ada. Kerja kelahiran bayi ini semua di tangan tuhan. Kita tak ada hak menghukum sesiapa hatta diri kita sendiri. Pergi balik!! Jangan datang rumah saya kalau macam ni perangai kome semua!!” saya sendiri terkejut dengan perangai Apak petang itu. Tidak pernah seumur hidup saya melihat Apak menghalau orang dari rumahnya. Barangkali, sikap makcik-makcik itu semua sudah melampaui batasan.
“Huhhhh... kamu halau keme, ye Suria? Lepas ni, tak ku ingin lagi nak pijak tangga rumah kamu ni!” kata Makcik Tun menceceh-ceceh marahkan Apak dan Mak sebelum tergesa-gesa menyarung seliparnya dengan diikuti oleh kedua makcik itu juga.

Apak kemudian menyarung baju kemejanya. Dia menghampiri saya yang sedang menatang dulang berisi cawan-cawan kopi yang tidak sempat diminum oleh tetamu-tetamu itu.
“Nak ikut Apak jalan-jalan?” tanya Apak kepada saya.
“Nak”

Kami menuruni anak tangga. Melangkah menuju ke rumah Pakcik Jais. Tiba sahaja di halaman rumah Pakcik Jais yang berpasir putih itu, Apak memberi salam. Pakcik Jais menjenguk keluar. Terpegun melihat Apak tercegat di anak tangga rumahnya. Pakcik Jais seakan terkelu. Dia segera menuruni anak tangga sebelum memeluk Apak.
“Silalah naik, abang” kata Pakcik Jais.

Apak segera memangku bayi Pakcik Jais. Apak tunjukkan kepada saya.
“Indera suka tak?” tanya Apak.
“Suka.. comelnya dia!!” kata saya.

“Sudah diberi nama anak ini Jais?” tanya Apak.
“Belum abang. Abang ada cadangan ke?” tanya Pakcik Jais. Dia kemudiannya menguntum senyum. Hilang sebentar mendung di wajahnya.
“Abang cadangkan kalau dia diberi nama Jamil. Jamil itu maksudnya cantik. Muhammad Jamil”
Pakcik Jais menganggukkan kepalanya.
“Biarlah Jamil ini menjadi anak abang”
Pakcik Jais menganggukkan kepalanya lagi.
“Horrrayyyy....” saya berteriak suka.

Kami adik beradik mendapat adik baru. Walaupun adik kami tidak sempurna seperti bayi-bayi yang lain, kehadirannya sangat bermakna buat kami semua. Apak mendidik kami untuk mensyukuri pemberian Allah di samping merasa belas kasihan kepada insan yang kurang bernasib baik.

Namun Jamil tidak lama menyeri hidup kami. Usianya sekadar enam bulan sahaja. Dia kemudiannya pergi menemui Allah akibat komplikasi hati. Pakcik Jais berteleku di atas kuburan Jamil sambil ditenangkan oleh Apak sedang di pipi Apak sendiri berlinangan airmata kesedihan. Saya memandang tanah perkuburan sunyi yang kini menjadi tempat bersemadinya adik saya. Saya tidak tahu apa yang mampu berlegar di kotak pemikiran saya selain daripada ucapan selamat jalan buat adik tersayang. Tidurlah adik, tidurlah sayang. Abang akan selalu mengingatimu!!!

++

Jun 2008

Saya membuka halaman blog Fajar Angkasa itu. Tulisan empunya blog itu sangat ajaib, membuai di dalam kata, mengalun indah bait-bait perkataan dengan tersusun dan kemas. Wahhh...!! hari ini dia dikurniakan seorang putera. Tahniah.. tahniah.. tahniah buatmu Fajar. Fajar kini sudah mempunyai dua orang cahayamata. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Moga-moga hidupnya di Glasgow sana akan senantiasa diberkati oleh Allah.

Bayi itu dinamakan Amir Yusuf. Sempena nama Nabi Allah Yusuf yang mempunyai rupa paras yang menawan. Alhamdulillah.... abang juga turut menumpang bahagiamu, Fajar!!, kata hati saya.

Namun, kegembiraan itu rupa-rupanya bersalut duka. Amir Yusuf disahkan oleh doktor mengalami kesakitan. Amir Yusuf mengalami pelbagai komplikasi. Sejak dari itu, saya senantiasa menaruh harapan agar Amir Yusuf pulih dari derita yang dihidapinya. Setiap hari saya tidak jemu-jemu mengutip setiap berita yang disampaikan oleh Fajar melalui blog. Berita perkembangan Amir Yusuf. Setiapkali memandang Zaryn Ulfah yang keletah itu, hati saya pasti tersentuh. Amir Yusuf juga sebaya dengan Zaryn Ulfah. Namun ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Namun hati saya tidak tega melihat anak sekecil mereka menderita di katil hospital. Ya Tuhan... aku memohon dengan kudrat dan iradat-Mu, engkau sembuhkanlah Amir Yusuf. Berikanlah peluang baginya untuk membesar dan menghirup udara duniaMu ini sepertimana kanak-kanak lain.


++

Mac 2009

Fajar mengutus pesanan ringkas, Amir Yusuf mengidapi bengkak di dalam usus. Selain daripada itu, jangkitan sudah merebak ke paru-paru.
“Jika keadaan Amir Yusuf semakin kritikal, Abang harap Fajar lekas-lekas beritahu abang”

Bagaimana harus saya bantu? Saya pusing kepala.




++

Malam 05.03.2009

“Abang, keadaan Amir sedang kritikal sekarang”

Pendek sahaja pesanan yang terima daripada Fajar tetapi cukup membuatkan saya tersentak. Fikiran saya berputar-putar, apakah bentuk pertolongan yang dapat saya hulurkan?. Kuala Lumpur dan Glasgow itu sangat jauh.

“Ya Allah, betul ke? Abang tak tahu nak tulis apa. Yg terlintas di fikiran abg skrg ingin membaca Yassin agar kesakitan Amir segera hilang dan disembuhkan oleh Allah. Mudah2an Amir dpt menjalani hidup spt anak2 lain”

Saya kemudian menekan butang send.

Malam itu, dengan penuh pengharapan, saya bacakan Surah Yassin buat Amir Yusuf. Mudah-mudahannya akan berkurangan segala kesakitannya. Cepat-cepat besar, ya Nak ya!!

++

06.03.2009

“Alaaa... tali handbag akak putuslah” Adu Kak Ijah, Pengarah Syarikat Global. Saya tertawa besar sambil mata saya tidak lepas memandang paparan skrin komputer.
“Apa kata akak beli yang baru. Kat SOGO sekarang ada sales. Banyak handbag cantik-cantik, kak!!” kata saya masih tidak putus ketawa.
“Akak ada voucher Parkson RM50.00. Tapi tarikh akhirnya hari ni. Kalau Indera lalu kat mana-mana Parkson, bolehlah tukarkan voucher ni” kata kak Ijah sambil meletakkan voucher itu di atas meja saya. Saya tersenyum. Memikirkan saya mempunyai banyak urusan lain sebelum saya bertolak pulang ke kampong malam itu. Mana mungkin saya dapat memikirkan soal membeli belah jika saya harus sampai di rumah sebelum tengah malam.

Tiba-tiba saya terkenangkan Siri Aufa, Adil Rayyan dan Zaryn Ulfah. Baju tidur mereka sudah lusuh benar. Dengan adanya voucher itu, sudah tentu saya dapat menukarkannya dengan sepasang baju buat anak-anak saya.

Entah kenapa, hati saya sering sahaja berdebar-debar sejak beberapa hari ini. Setiap pesanan yang masuk ke talian mudah alih saya, pasti hati saya berkata “Amir Yusufkah?”.

Pemanduan pulang ke kampung itu agak lancar daripada Bandar Rawang sehingga ke Lebuhraya. Malam yang gelap membungkus pemandangan sekeliling menjadikan saya tidak berpeluang untuk menikmati keindahan alam selain daripada menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan.

Tiba sahaja berhampiran dengan Susur-keluar Bukit Tagar, telefon saya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Hati saya berdebar kencang. Saya jadi tidak fokus apabila pesanan itu datangnya daripada Fajar.

“Salam. Amir Yusuf lebih disayangi dan kini pulang ke pangkuan-Nya jam 12.51 pm waktu Glasgow. Al-Fatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat sentiasa”.

Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Akhirnya... akhirnya Amir Yusuf pergi jua. Pergi tanpa sempat saya menatap wajahnya seperti yang saya inginkan apabila Fajar pulang ke tanahair kelak. Harapan saya tidak kesampaian. Hilang sudah sebahagian seri dunia ini. Seorang malaikat sudah pergi meninggalkan dunia, terbang menemui Allah. Saya memandang sinar bulan yang suram. Membayangkan ketika itu para Malaikat sedang berbaris bersaf-saf menyambut kedatangan roh Amir Yusuf.

Allah lebih menyayanginya. Tidurlah Anakanda, tidurlah sayang. Doa Ayahanda akan selalu bersamamu.

Al-Fatihah.

++

Senja 10.03.2009

Fajar menelefon terus dari Glasgow. Kami berbicara di dalam sendu kenangan Amir Yusuf. Berbicara tentang kelebihan yang Allah kurniakan kepada Amir Yusuf sedari lahirnya hinggalah saat Amir Yusuf dikebumikan
“Abang tak tahu. Abang bacakan surah Yassin bukan nak suruh dia pergi. Betul.. niat abang supaya kesakitan Amir Yusuf dikurangkan oleh Allah sahaja” saya seakan kesal bercampur sedih.
“Tak apalah abang. Abang sudah lakukan yang termampu” kata Fajar.

Tiba-tiba saya tersedar. Nada suara Fajar itu suara yang sangat tabah sehingga tidak terkesan riak kesedihan di sebaliknya. Barangkali, selama bersama Amir Yusuf banyak mengajarnya erti ketabahan. Saya kagum itu. Barangkali juga itu yang saya inginkan untuk Fajar selama ini. Saya inginkan agar dia sentiasa kuat dan tabah. Gagah dan perkasa menghadapi rintangan dan cabaran di tanah orang. Seperkasa fajar yang membelah kegelapan malam.

----

Indera: Jamil dan Amir Yusuf menghidapi komplikasi yang seakan sama. Merenung jalan bersama Amir Yusuf, membangkitkan kenang-kenangan bersama Jamil. Hadirnya mereka seperti haruman Malaikat yang masuk di jendela pagi. Singkat sahaja. Namun kehadiran mereka sangat-sangat bererti bagi kami.

Thursday, February 12, 2009

Live Band dan Kedai Dobi

Telefon bimbit yang terletak di penjuru meja tiba-tiba berbunyi mengejutkan saya yang sedang leka meneliti brochure yang banyak terdapat di belakang tempat duduk saya.
“Yo, bro!! Ada kat mana??” suara Rizal memanggil di hujung talian. Rizal ini sememangnya begitu. Jarang mahu memberi salam.
“Aku? Biasalah, kat mana lagi... kat UK la” jawab saya sambil meletakkan brochure “Bristol” yang memaparkan gambar-gambar perabot pejabat ke tempat asalnya.
“Hahahahaha.... Ulu Kelang. Engkau tengah buat apa?”
“Tak ada buat apa. Saja melepak-lepak kat office ni. Tunggu waktu nak balik” kata saya.
“Balik la bro... dah jam 6.30 dah ni”
“Aku nak baliklah ni..”

Saya memasukkan barangan saya ke dalam beg. Meja saya, saya kemaskan sehingga bersih. Telah menjadi tabiat saya sejak saya bekerja dengan Encik Zuhairi dahulu, jika sebelum meninggalkan pejabat, saya harus memastikan meja saya berada di dalam keadaan yang tersusun.
“Malam ni buat apa?” tanya Rizal.
“Tak ada buatlah. Hanya setakat berehat-rehat di rumah kot. Engkau pun tahu kan, Bandar Tasik Puteri tu bukan ada apa pun” jawab saya.
“Jom kita tengok live band” Rizal menggatal-gatal memberi usul.
“Kat mana?”
“Setiawangsa” katanya.
“Setiawangsa? Ada live band ke kat situ?” tanya saya kehairanan. Setahu saya, Setiawangsa itu hanyalah deretan kedai dan tempat perniagaan.
“Ada.... ada satu kedai makan kat situ baru buka. Malam-malam ada pertunjukkan kat situ. Mesti kau suka, kan?” Rizal cuba mengumpan saya.
“Pukul berapa mula?”
“Malamlah. Dalam pukul sepuluh macam tu”
“Habis, sebelum nak tunggu pukul 10, aku nak pergi mana?” tanya saya.
“Alaaa... Ko pergilah masjid dulu. Solat, berzikir, bertahmid. Pukul 10 nanti kita pergilah tengok live band tu” senangnya dia memberi cadangan.
“Iyalah tu... mula-mula pergi masjid. Bertasbih “subhanallah, subhanallah...”. Lepas keluar masjid, terkinja-kinja tengok live band. Kan kontra sangat tu...!!!”
Rizal mengekek di hujung sana.

Lepas solat Maghrib, saya ke Setiawangsa menemani Rizal makan malam. Sementelahan pula, dia sudah berjanji untuk membelanja saya makan malam.
“Hari tu engkau cakap engkau nak daftar perniagaan. Dah daftar ke belum?” tanya saya.
“Belum...”
Saya tersenyum sendiri. Syarikat saya sendiri pun masih belum didaftarkan. Semua itu saya senyapkan. Tahu dek Abang Ngah, syarikat yang dicadangkan bagi menggantikan Lambang Sari itu masih belum didaftarkan lagi, pasti masak saya dileterinya.

“Apa jenis perniagaan yang engkau nak buat?” saya bertanya kepada Rizal.
“Aku nak buka kedai dobi la, Indera” sambil matanya mengekori langkah seorang gadis cina yang masuk ke dalam restoran tempat kami menikmati makan malam itu. Sambil itu dia tersenyum-senyum nakal. Saya sekadar mampu menggelengkan kepala.
“Engkau nak buka di mana? Setiawangsa?” tanya saya lagi.
“Cadangnya kalau boleh memanglah aku nak buka di Setiawangsa ni. Tapi engkau tahu-tahu sajalah, tempat ni kan ke mahal”
Malam kian gelap. Bilangan pengunjung restoran itu tidak juga bertambah. Barangkali orang ramai sekarang lebih berhati-hati di dalam perbelanjaan. Jika begini sambutan pengunjung pada restoran ini, bagaimanakah restoran yang baru dibuka ini akan dapat bertahan dengan kos overhead yang sangat tinggi di tempat mahal seperti Setiawangsa ini, hati saya berkira-kira sendiri.

“Engkau tak nak cuba perniagaan lain?” tanya saya.
“Maksud engkau?”
“Hmmm.. iyalah. Perniagaan yang selain daripada perniagaan dobi” tanya saya.
“Apa salahnya dengan dobi tu?”
“Aku tak kata salah. Tapi cuba engkau tengok. Di Setiawangsa ni saja ada berapa banyak kedai dobi? Itu tak masuk lagi di Keramat Permai, di AU3 Keramat. Persaingan tu kuat, bro...” kata saya.
“Habis, engkau ada cadangan lain ke?”
Saya mengangkat bahu.
“Perniagaan apa?” tanyanya tidak sabar.
“Macam-macam. Kalau engkau baca iklan suratkhabar, banyak kursus-kursus perniagaan yang ditawarkan oleh MARA dengan harga yang munasabah. Banyak.... Cuma engkau perlu pilih saja”
Perbualan kami terhenti seketika apabila seorang pekerja restoran datang mencatatkan harga makanan yang telah dinikmati. Bauan yang keluar daripada salon rambut yang bersebelahan dengan restoran itu membuatkan saya sedikit kepeningan.
“Selain daripadda engkau dapat tambah ilmu, kursus yang engkau hadiri tu nanti dapat memberi sokongan pada sijil Kementerian Kewangan yang engkau nak pohon nanti”

“Aku ni Indera... aku tak minatlah dengan perniagaan yang berkaitan dengan teknikal ni. Terus terang aku kata, aku nak ambil pembantu Indonesia. Aku latih dia dalam masa yang singkat, dia boleh mahir. Kalau dia lari pun nanti, aku boleh jalankan perniagaan dobi sementara aku belum dapat pembantu yang lain. Cuba engkau fikir, kalau engkau ambil pembantu. Engkau latih dia, bila dia dah pandai, dia lari. Engkau nak latih pembantu dah satu hal lagi”
“Tapi itulah cabaran dalam perniagaan sebenarnya. Dan itu engkau harus bersedia untuk engkau hadapi” kata saya.
“Entahlah Indera. Aku malas nak pening-pening kepala nanti...”

“Rizal, dalam perniagaan ni, tidak ada perkataan “senang”. Tidak ada erti “jalan singkat”. Kalau engkau ingin berjaya, engkau harus berani menghadapi setiap ujian di sepanjang tangga-tangga yang engkau lalui untuk menuju ke puncak. Ada masa-masanya engkau jatuh. Ada masa-masanya engkau perlu berundur satu anak tangga ke bawah. Tetapi engkau harus bertekad bahawa, setapak engkau berundur, engkau harus maju empat tapak ke hadapan sesudah itu. Di dalam pekerjaan yang kita lakukan, harus ada keikhlasan. Harus ada penggantungan sepenuhnya kepada Allah. Meyakini bahawa setiap usaha yang kita lakukan dengan niat ikhlas, pasti tidak akan dihampakan oleh Allah. Hanya dia sahajalah sebaik-baik Pemberi Rezeki. Engkau harus istiqamah. Biar orang tidak menyedari apa yang engkau lakukan, tetapi engkau harus lakukan secara berterusan. Insya-Allah, engkau akan berjaya”

Saya memandang ke arah bangunan bersebelah dengan restoran itu. Melihat ke dalam ruang pejabat kosong yang menanti masa untuk diisi dengan satu syarikat perniagaan yang entah berapa lama dan bagaimana pengakhirannya nanti. Saya terfikirkan perniagaan yang akan saya daftar beberapa hari lagi. Entah bagaimana rezeki saya nanti. Pengalaman saya yang lepas mengajar saya erti berani. Berundur setapak bukan bererti kalah. Berundur setapak itu adalah masa yang sesuai untuk kita maju beberapa tapak lagi ke hadapan.

Saya teringatkan usaha saya hari ini. Saya telah bertemu dengan seorang pelanggan. Namun pelanggan itu enggan untuk berurusan lanjut dengan saya kerana saya kekurangan pengalaman. Kecewakah saya? Sedihkah saya? Ya... saya bersedih kerana memikirkan bahawa saya masih tidak cukup bagus. Masih cetek ilmu. Tetapi wajarkah saya patah semangat hanya kerana dengan perkara remeh seperti itu? Tidak, sesekali tidak!!

Saya mendongak melihat dada langit yang hitam pekat. Kegelapan hanya boleh menyelubungi. Namun sesekali tidak akan dapat membungkus alam buat selama-lamanya. Tiba masanya, alam pasti bersinar dengan pancaran matahari yang gemilang.

“OK, aku balik dululah” kata saya kepada Rizal.
“Eh... bukan kita nak tengok live band ke?’’ tanya Rizal terpinga-pinga.
“Aku dah taubat!!!”
Hahahahahahahaha.

Sunday, January 18, 2009

Kata orang : Sekali air bah, sekali pasir berubah. Barangkali diri saya sudah ada benteng...

Tahun 2009 sudah berlalu hamper 3 minggu. Masa berlalu terlalu pantas tanpa sebarang tanda dan pesanan umpama bayu yang berpuput kencang. Sementara kita pula umpama dedaunan kering yang ditiup angin. Bermula dari tunas yang muda kerdil, seterusnya memekar dan matang dan akhirnya melayu di hujung ranting sebelum berguguran dihembus sang pawana.

Begitulah kitaran kehidupan. Di dalam proses sebelum tibanya saat-saat musim runtuh itu, akan ada saat-saat suka duka yang mewarnai kehidupan kita. Antara suka atau tidak, segala yang Allah tetapkan ini harus kita terima dengan penuh redha.

Hai, entahlah... saya hanya manusia biasa yang penuh dengan segala macam kelemahan. Tiada daya upaya saya melainkan dia. Saya tidak berupaya menolak takdir, namun setidak-tidaknya, saya dapat merasakan kasih saying Allah kepada saya. Segala musibah yang menimpa, selalunya akan berakhir dengan cerita gembira di penghujung yang kemudian menjadi titik tolak baru di dalam kehidupan saya.

Awal Disember yang lalu, saya benar-benar bingung. Buntu apabila syarikat tempat saya mencari rezeki akan gulung tikar menjelang tahun 2009. Namun segala kegusaran itu tidak pernah terlepas ke pengetahuan Azah dan juga Mak. Segalanya saya pendamkan sendiri dalam jiwa raga yang rusuh.
“Abang, cantik tak langsir hijau ni? Zah cadang nak letak kat ruang tamu rumah baru kita nanti..” kata Azah sambil membelek-belek kain langsir yang baru dibelinya petang hari itu. Sedang anak-anak pula semua sudah terkaparan tidur dalam keletihan.
“Cantik..” jawab saya dalam suara yang lirih.

Azah menoleh ke arah saya. Cuba membaca apa yang bergelojak di dalam hati saya. Namun saya percaya, dia tentunya tidak mengetahui apa-apa. Cuma dia tidak bertanya. Barangkali dia tidak mahu mengganggu ketenteraman saya.

Segalanya berubah apabila saya bertemu semula dengan Abang Ngah. Ternyata kisah lama berulang. Sewaktu saya terkapai-kapai kehilangan pekerjaan dalam tahun 2005, tanpa disangka-sangka saya dilamar oleh Encik Zuhairi untuk bekerja di syarikatnya. Kini saya kehilangan pekerjaan sekali lagi. Kali ini pula Abang Ngah yang menyambut saya.

Dengan Abang Ngah ini adalah cerita yang klasik. Pertemuan semula selepas bertahun-tahun setelah sembuh dari kelukaan lama. Tetapi saya tidak pernah serik dan sesal. Abang Ngah bukan orang lain dengan saya. Dia keluarga saya. Dia abang saya. Saya tidak takut melalui kesusahan lagi kerana selama ini kesusahanlah yang banyak mengajar saya erti ketabahan dan kesabaran. Di atas runtuhan kota yang menjadi abu akan saya bangunkan sebuah taman menghijau.
“Aku sangka, selepas bertahun-tahun engkau tinggalkan aku, engkau sudah ada 2 atau 3 syarikat kelas D atau F” katanya sewaktu kami bertemu di Jaya Jusco yang baru dibuka di Keramat Wangsa itu. Saya sekadar mengangkat bahu.
“Syarikat saya memang dah ada. Cuma terbangkalai begitu sahaja sebab tak ada orang yang nak uruskan. Masing-masing harapkan saya” kata saya sambil mengunyah sekeping roti bakar.
“Engkau memang tak pernah berubah...”

Sampai masa dan ketika, fajar tetap akan menyinsing. Kegelapan malam yang selama ini membungkus suram beransur hilang dengan pancaran matahari yang memancar. Hari baru bermula. Bunga-bunga kembang mekar menerima pancaran sinar yang terang. Begitu juga harapannya agar tahun 2009 ini membawa sinar dan pengharapan baru buat saya.

Saya mula sibuk dengan tugasan baru saya. Dengan dunia baru yang benar-benar berbeza dan terpisah dengan dunia yang saya lalui sebelum ini. Saya melangkah membawa syarikat milik saya dengan sokongan moral yang dihulurkan oleh Abang Ngah. Lambang Sari. Begitu cantik dan indah nama syarikat itu. Nama yang lahir dari ilham sebuah lagu gamelan. Saya memberi nama “Lambang” supaya apabila syarikat ini sudah besar dan berjaya, ianya bakalan menjadi sebuah perlambangan usaha dan titik kebangkitan saya dari kejatuhan masa lampau saya.

Saya tertawa sendiri. Saya berpesan kepada hati saya agar tidak mudah berubah. Namun hanya Allah yang membolak-balikkan hati manusia. Tidak sampai dua minggu saya menjalankan Lambang Sari ini, timbul halangan daripada ahli lembaga pengarah syarikat. Mereka tidak bersetuju dengan setiap rancangan yang saya dan Abang Ngah rancangkan untuk Lambang Sari. Barangkali mereka ingin menjalankannya sendiri.
“Aku tak kisah, Indera. Lambang Sari tak ada kena mengenanya dengan aku. Yang aku tolong selama ini adalah engkau” kata Abang Ngah.
Saya hanya mengangguk lemah.
“Heyyy.. There is nothing to be worried about... Engkau masih boleh buka syarikat lain. Remember who you are and why you’re here. You have unexplored potential in you. Like a priceless treasure and you are the one who holding the key. You just need the right time to unlock the potential. You are actually bigger than the company”

Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, kita sudah hampir tiba di garisan pemisah antara bulan Januari dan Februari. Masa yang menginjak tanpa kita sempat menghitung ukuran usia hidup kita. Saya masuk semula ke dunia yang telah saya tinggalkan hampir 6 tahun yang lalu. Dunia yang sama. Tetapi saya datang sebagai orang baru di dalam industri. Datangnya saya bukan untuk menyaingi sesiapa. Bukan untuk menjadi pesaing dan ancaman kepada mana-mana pihak. Datangnya saya adalah kerana Allah telah menetapkan bahawa inilah jalan yang harus saya lalui.

Saya terkenangkan Filem Ratatouille, si tikus yang ingin menjadi seorang tukang masak. Tiada siapa yang dapat mengubah perkara yang telah berlaku secara semulajadi tetapi perubahan itu juga adalah sesuatu yang sangat semulajadi. Oleh yang demikian, saya harus melangkah ke hadapan kerana masa depan saya yang cerah sedang menunggu saya di sana.

Abang Ngah ketawa melihat saya menelan ubat buat penahan kesakitan gout saya. Saya melihat garis-garis halus yang melakari hujung matanya. Ya, Abang Ngah... kita sama-sama sudah tua. Tetapi cita-cita kita jauh lebih muda dari usia kita.