Wednesday, December 23, 2009

Masa itu bakalan tiba jua


Sehingga ke hari ini Mak masih lagi belum mengetahui bahawa selama hari ini saya bekerja dengan Abang Ngah. Namun naluri seorang ibu itu pastinya akan dapat merasakan sesuatu yang saya sembunyikan dari pengetahuannya.
“Mak dapat rasa yang kamu ni bekerja balik dengan Zul. Betul tak apa yang Mak kata ni?” tanya Mak pada suatu hari sebaik sahaja saya baru sudah makan tengahari.

Saya pura-pura leka menatap majalah Mastika dengan harapan soalan itu berlalu begitu sahaja. Tetapi jari Mak pantas mengutil daging lengan saya membuat saya mengaduh kecil.
“Orang bercakap disifatkannya macam burung berbunyi saja tau!!!” gerutu Mak.
“Apa dia Mak?” tanya saya cuba menyembunyikan ketawa di pangkal hati.
“Aku tanya, betul ke kamu kerja balik dengan Zul tu?” sergah Mak.
“Eiisshhh.. Mak ni...!! tak adalah. Mak ni suka prasangka bukan-bukan tau” kata saya membohongi Mak. Saya beristighfar di dalam hati memohon keampunan ke hadrat Allah kerana membohongi Mak.

“Mak ni bukan berprasangka. Sajalah Mak bertanya”
“Kalau ya, kenapa Mak?” tanya saya menduga hati Mak. Tetapi ternyata soalan saya itu sudah cukup membuatkan mata Mak terjegil merenung saya.
“Jadi betullah kamu bekerja balik dengan dia?” sergah Mak lagi kuat.
“Tak.. tak!!” saya berbohong lagi.
“Aku tak mahu kamu terkecewa sekali lagi. Cukuplah apa yang kamu dah lalui sebelum ni. Tak sanggup Mak melihat kamu termenung sana termenung sini. Mak harap kamu tak akan serahkan tengkuk kamu untuk di...”

Saya bingkas bangun memeluk Mak dari belakangnya sebelum Mak sempat menghabiskan kata-katanya. Pipi kami bertemu.
“Mak... itu semua sejarah. Sejarah yang hanya pedih jika disebut dan tidak berguna walau satu sen untuk kita perdebatkan. Biarlah sejarah itu berlalu Mak. Yang penting kita bina hidup baru” Saya cuba memberi keyakinan pada Mak. Dan dalam masa yang sama, saya pingin sekali menyatakan pada Mak, insan yang bernama Zulkifli itu bukan seburuk yang disangkanya. Saya lebih mengenali Abang Ngah. Saya tahu hati budinya.

“Habis, siapa nama kawan kamu tu?”
“Kawan mana?”
“Kawan kamu yang ambil kamu bekerja dengan dia tulah”
Saya terpanik. Terkalap seketika. Cuba mencari nama yang sesuai buat si empunya badan. Mana mungkin diberi nama Mat Bin Abu.
“Siapa??” sergah Mak.
“Mokhtar!!” saya terperanjat. Laju nama itu meluncur keluar dari mulut saya.
Saya menelan air liur. Nasiblah Abang Ngah.... dapat nama Mokhtar.

Mata saya menurut langkah Mak yang menuju ke dapur. Saya meruap wajah saya yang kusam. Oohhh.. betapa di dalam hidup ini terlalu banyak orang yang bahagia dengan cara dia sendiri tidak mengetahuinya. Betapa di dalam hidup ini, kita akan bertemu dengan sekumpulan manusia yang kita sama sekali tidak boleh menafikan kewujudan mereka di atas muka bumi ini. Menafikan mereka, samalah seperti berlaku zalim ke atas diri kita sendiri. Tidak kira betapa banyaknya kegembiraan yang dibawa bersamanya atau betapa banyak kekecewaan yang diciptakan oleh mereka, kita akan tetap menyayangi diri mereka. Kita sama sekali tidak boleh menafikan mereka walaupun kita menyedari, semakin kuat kita menyayangi mereka, semakin membuatkan kita terluka.

Kumpulan manusia ini adalah ayah dan ibu. Adik beradik, saudara mara, rakan taulan malah boleh datang dari kalangan mereka yang tidak mempunyai ikatan darah dengan kita. Kasih sayang itu kesejagatan. Yang hadir tanpa ada kepentingan dan agenda di sebaliknya.

Saya ingin sekali menunjukkan kepada Mak, insan yang saya panggil Abang Ngah itu. Orang yang saya anggap sebagai guru, abang dan sahabat baik. Saya sama sekali tidak boleh menafikan dirinya atas ketiga-tiga peranan yang diberikan olehnya kepada saya hatta abang-abang kandung saya sendiri pun tidak pernah bersungguh untuk memainkan salah satu dari peranan itu. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memperkenalkan saya dengan alam pekerjaan. Saya mahu Mak tahu, siapakah insan yang memberi saya ilmu yang tidak dapat saya perolehi di alam kolej. Saya mahu Mak tahu, siapakah yang akan bersedia menunjukkan saya jalan penyelesaian dan jalan keluar apabila saya buntu menghadapi masalah. Dan saya ingin sekali Mak mengetahui, beberapa tahun, Abang Ngahlah yang memberi saya elaun bulanan tanpa terlalu berkira dalam serba serbi.

Apa yang telah berlaku antara saya dengannya beberapa tahun lepas hanyalah satu salah faham. Tidak mungkin kesalahan berbesar busut jantan mampu melindungi segala sumbangan yang tinggi menggunung.

Barangkali selepas terjadinya peristiwa itu, Mak bagaikan melihat saya jatuh terduduk. Tenggelam punca dan masa saya banyak dihabiskan dengan duduk termenung. Barangkali Mak melihat saya menderita kehilangan dari segi material sehingga menyebabkan timbul fobia dalam diri Mak dan adik beradik saya bahawa saya ini telah dianiayai. Tetapi Mak sebenarnya tidak dapat menangkap kejutan yang melanda batin saya apabila saya kehilangan orang yang anggap guru, abang dan sahabat baik ini. Selebihnya tidak ada apa yang saya kehilangan. Saya masih punya keluarga, anak dan isteri yang sedia pada bila-bila masa memberi sokongan kepada saya untuk bangun semula.

Abang Ngah itu unik dengan caranya tersendiri. Dia langsung tidak sama dengan boss-boss saya sewaktu saya bekerja di syarikat jururunding di Sri Hartamas dahulu yang gah pada gaya namun layu pada semangat juang. Abang Ngah tahu apa yang terbaik untuk orang-orang di sekelilingnya dan semangatnya sekeras besi waja. Segala yang diusahakannya pada hari ini adalah demi kelangsungan hidup anak-anaknya memandangkan hanya dialah satu-satunya sumber pembiayaan dalam keluarganya lantaran isterinya tidak bekerja.

Dia boleh jadi sehangat api dan sedingin ketulan ais. Dia boleh jadi seperti bayu di pergunungan dan dia boleh menjadi lahar berapi yang membakar segala-galanya jika kepentingannya diganggu gugat. Bagi saya, pemikirannya adalah buku. Kerana itu pemikiran akan senantiasa berada lebih ke hadapan dari kebanyakan orang. Dia sering berleter kepada saya agar saya senantiasa membaca banyak buku ilmiah dan berhenti menelaah buku-buku fiksyen.

Abang Ngah melihat potensi yang ada dalam diri saya. Dia tidak pernah jemu-jemu memberi galakan mencungkil bakat yang ada pada saya agar saya maju dan di kemudian hari, cita-citanya ingin melihat saya berjaya dan mencungkil bakat orang lain pula. Saya ibarat layang-layang dan dialah yang memegang talinya. Saya meluncur laju ke udara bermain awan gemawan dan dia melihat saya dari kejauhan. Sekali sekala, layang-layang itu akan teroleng jua, hilang arah dihembus angin kencang. Di saat itu, Abang Ngah biasanya sudah bersedia menarik tali itu agar layang-layang itu dapat terbang semula pada paksinya.

Disember bakalan berakhir. Tahun baru akan menjengah beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna, tinggal beberapa bulan dari sekarang, Abang Ngah akan melepaskan pegangan tali itu. Layang-layang tidak pasti apakah dapat mendarat selamat. Akan tibalah masa untuk saya mengucapkan salam pamitan tanda perpisahan pada Abang Ngah. Saya menyuarakan rasa hati saya kepada Mak untuk pulang ke kampung halaman, memulakan perniagaan berasaskan kepada kemahiran terhad yang saya miliki. Saya katakan kepada Mak, insan bernama “Mokhtar” itu mahu saya berusaha sendiri. Mak tampak bimbang. Saya sendiri pun tidak pasti, apakah tanah di hujung Pedang Cura Si Mandakini itu akan dapat menerima saya kembali setelah bertahun-tahun seluang melaut.

Lambat laun saya akan memberitahu Mak secara baik siapa insan saya bohongi Mak selama ini. Agar terpadamlah segala prasangka buruk dalam diri Mak. Semoga Mak nampak sisi terang Abang Ngah yang selama ini dibayangi kegelapan lantaran Mak hanya mendapat gambaran yang tidak jelas tentangnya.

Indera : Barangkali ada yang tertanya-tanya, bagaimana peribadi orang yang saya maksudkan di dalam entri ini. Terlalu sukar ingin saya terangkan bagaimanakah pembawakannya. Mungkin sebahagian daripada dirinya terzahir di laman blognya kalamjauhari.blogspot.com . Tulisan kami terlalu berbeza. Dia lebih realistik manakala saya banyak tergantung di awang-awangan. Pemikirannya sangat kritis manakala saya lebih terarah kepada puitis. Saya menyukai kesenian tetapi tidak pandai menulis puisi. Dia menyukai wang tetapi kadang-kala melakukan kejutan lewat sentuhan beberapa puisinya.

Wednesday, November 18, 2009

Sambungan Kisah


Sesudah setahun, akhirnya saya memutuskan untuk menulis semula Hikayat Badrun Basim untuk tatapan semua. Hikayat Badrun Basim ini sebenarnya sangat dekat dengan jiwa saya. Waktu kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca Hikayat Badrun Basim, Hasan Al-Basri yang dijidil (kedua-dua Hikayat ini telah dijidilkan bersama-sama menjadi satu buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka terbitan tahun 1965), Batu Belah Batu Bertangkup, Kisah-kisah Dongeng Dunia Arab dan banyak lagi.

Barangkali ada yang berpendapat bahawa saya ini seorang yang tahyul, suka pada kisah pari-pari yang tidak wujud serta gemar berangan-angan dengan menulis kisah kanak-kanak seumpama ini. Tetapi percayalah, kisah pari-pari ini sebenarnya banyak mempengaruh jiwa kanak-kanak bagi persediaan untuk mereka menghadapi dunia nyata. Adanya ibu ayah yang membisikkan kisah-kisah ini sebelum anak-anak beradu, akan menguatkan semangat mereka serta mempersembahkan kepada mereka betapa hebatnya nilai kasih sayang yang berakhir dengan kegembiraan.

Zaman kanak-kanak saya dihabiskan dengan membaca buku-buku cerita lantaran saya tidak berkebolehan di dalam bidang sukan. Padang sukan hanya dijengah setiba waktu Pendidikan Jasmani. Sesudah waktu itu, padang permainan amat jauh dari hati saya. Padang permainan saya sewaktu dahulu adalah di sawah bendang, di celahan pokok-pokok buah-buahan di dusun serta tali air lewat petang melambai lembayung senja.

Dunia saya ketika itu hanyalah di perdusunan yang sunyi. Yang jauh dari kemodenan kota. Kisah pari-pari akan menjadi inspirasi untuk terbang ke udara. Menyelami lautan luas, bertarung dengan gergasi bota serta menawan hati puteri rupawan seperti yang didendangkan di dalam kisah dongengan.

Dunia Si Kecil adalah dunia yang murni. Jauh dari pembohongan. Jauh dari penyesatan. Tambah jauh dari penganiayaan. Dunia Si Kecil adalah dunia yang penuh dengan jaluran pelangi. Indah bercahaya tetapi hakikatnya hanya berbalam-balam. Sesudah dewasa, dunia itu hanyalah mimpi dan kitalah yang tersedar dari tiduran yang panjang berteleku menghadapi dunia yang maha dahsyat.

Untuk itu, jika diberi pilihan, saya tidak mahu bangkit dari mimpi indah itu. Mahu terus terbang menembusi kayangan. Namun apakan daya, zaman yang berlalu tidak mungkin dapat dijangkau semula.

Saya menulis kisah pari-pari ini untuk tatapan semua. Lebih dari itu, saya mahu cahayamata jantung hati saya yang tidak sempat saya bisikkan kisah pari-pari ini sewaktu mereka bersiap-siap masuk tidur lantaran saya tinggal berasingan dengan mereka, yang tidak sempat saya melihat mereka membesar di hadapan mata saya, membaca kisah pari-pari ini sebagai ganti ayah mereka yang kejauhan. Andai saya tiada lagi di dunia ini sekali pun, saya mahu mereka menghayati kisah pari-pari ini dan mengerti sepenuh hati bahawa saya tetap menyayangi mereka di dunia hingga akhirat.

Kitab Badrun Basim ini tidak lagi saya jumpai di mana-mana selepas kitab yang sama dalam simpanan kami lunyai, koyak rabak dan akhirnya dihumban oleh kakak saya yang mengemas rumah tanpa menyedari nilai kitab hikayat ini. Sepengetahuan saya, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka juga sudah tidak lagi menerbitkan hikayat-hikayat seumpama ini. Barangkali jika ditinjau di Arkib DBP, kitab ini berkemungkinan besar masih ada di dalam simpanan mereka.

Saya bertuah kerana ayah saya dahulu sememangnya suka membeli buku-buku hikayat seperti ini sebagai koleksi peribadi. Tetapi beliau tidak bernasib baik kerana dikurniakan dengan anak-anak yang nakal yang suka mengoyakkan lembaran kertas tanpa mengerti sekelumit pun nilai kesusasteraan pada ketika itu.

Bagi generasi muda kini, saya yakin ramai antara mereka yang tidak pernah menatap Hikayat Badrun Basim ini tetapi generasi muda ini tetap merupakan peminat hikayat-hikayat seperti ini jika mereka diberi peluang untuk menilainya. Oleh yang demikian, penulisan Badrun Basim ini adalah sumbangsih saya untuk memunculkan semula hikayat ini di dunia Melayu. Jika ada mana-mana pihak yang mengaku bahawa mereka lebih berhak terhadap hikayat ini, saya sedikit pun tidak akan ambil kisah kerana hasrat di hati saya hanyalah untuk berkongsi minat kepada sesiapa sahaja yang sudi. Penulisan hanyalah pada kecenderungan. Saya hanya manusia biasa. Tiada apa yang istimewanya pada diri saya.

Bagi mereka yang sukakan hikayat lama ini, sambungan Hikayat Badrun Basim ini akan menghiasi Layangan Indera ini secara berperingkat-peringkat. Hikayat ini agak panjang sedikit. Janganlah bermasam muka andai sambungannya agak lewat tiba lantaran tugas seharian yang menuntut saya memberikan sepenuh perhatian.

Untuk itu..... Badrun Basim akan menemui kalian dengan Puteri Jawhariah, Ratu Lat, Sheikh Abdullah dan pelbagai perkara yang ditempuhi lewat pengembaraannya yang jauh. Nikmatilah sepenuhnya. Harap kalian bergembira!!.

Monday, October 12, 2009

Matahari Sayang, Bulan Sayang

Bagaikan di lentur sutera
Mentari meminjam sinarnya

Bagaikan di suluh hatinya
Menetap di persada

Bagaikan diseru rindunya
Di awan tersembunyi wajahnya
Bagaikan di risik malunya
Tersingkap di hamparan... (indahnya)

Hahahahaha.... saya tertawa sendiri mengikut alunan suara Siti Nurhaliza yang berkumandang di corong radio. Terbayangkan senyuman manisnya sewaktu mendendangkan lagu Badarsila ini yang entah bila saya saksikan di TV1. "Bagaikan dirisik malunya.." dan saya pun tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Di luar tingkap kereta, kegelapan membungkus malam. Yang ada hanyalah cahaya dari lampu kereta yang berpapasan di jalanan. Telefon bimbit saya tiba-tiba berbunyi nyaring. Saya terkejut lekas-lekas mematikan radio agar percakapan saya nanti tidak terganggu.

"Hellooo... Baba. Baba kat mana?" suara anak sulung saya, Siri Aufa di hujung talian.
"Baba di Tapah"
"Ehmmmmm..... Babaaaa" suaranya memanggil manja.
"Iya, sayang"
"Ehmmmmm... nanti, sebelum Baba balik KL, boleh tak Baba cerita kat Kak Long sebelum tidur"
"Kak Long nak Baba cerita apa?" tanya saya.
"Hmmmm cerita adik beradik yang jadi bulan dan matahari. Yang mak dia kena makan dengan harimau tu" terangnya.
"Oooo itu... cerita tu tajuknya "Matahari Sayang, Bulan Sayang". OK, nanti Baba sampai rumah, Baba cerita kat Kak Long. Dah, letak telefon. Lagi satu jam Baba sampai".

+++

Pada zaman dahulu di Korea, terdapat seorang janda yang sangat miskin. Dia mempunyai dua orang anak. Yang sulung lelaki dan si adik pula perempuan. Perempuan itu terlalu miskin sehingga dia tidak berupaya untuk menyediakan keperluan anak-anak apatah lagi untuk menyediakan makanan yang mencukupi buat anak-anaknya. Anak-anaknya sering kelaparan namun budak-budak itu hidup gembira di samping ibu mereka yang penyayang.

Oleh kerana mereka ini tidak berharta, mereka tinggal jauh di dalam hutan. Jarak antara tempat tinggal mereka dengan perkampungan yang terdekat dipisahkan oleh tujuh buah bukit dan terpaksa merentasi hutan rimba yang tebal. Anak-anak perempuan ini sering bermain dan berangan-angan, bahawa suatu hari nanti mereka akan diangkat untuk tinggal di kerajaan kayangan yang penuh nikmat.

Pada suatu hari, perempuan itu telah dijemput untuk datang ke satu majlis perkahwinan di kampung yang berdekatan. Berita bahawa perempuan itu berkebolehan memasak kuih beras bukan lagi suatu yang rahsia. Semua penduduk kampung tahu bahawa kuih beras buatan perempuan itu sangat enak.

Maka tinggallah kedua beradik itu di rumah sementara menunggu ibu mereka pulang. Perempuan itu, telah memasak kuih beras yang sangat istimewa di majlis perkahwinan itu sehingga semua orang bergembira menikmati kuih itu. Apabila petang, sewaktu perempuan itu bersiap-siap untuk pulang ke rumah, tuan rumah itu telah membungkuskan tujuh biji kuih beras buat makanan perempuan itu dan anak-anaknya.

Perempuan itu berjalan pulang di dalam dingin angin petang yang berhembus. Perjalanan yang jauh itu membuatkan perempuan itu berjalan cepat-cepat kerana dia tidak mahu tiba di rumah pada waktu malam dan anak-anaknya pula sudah tidur tanpa sempat menikmati kuih yang dibawanya. Bukit tinggi yang direntasinya membuatkan perempuan itu seperti ingin putus nafasnya.

Bau kuih beras yang enak itu telah menarik perhatian seekor harimau yang kelaparan. Apabila dia menghidu bau manusia dan kuih beras itu, dia segera mengejarnya. Alangkah terperanjatnya perempuan itu apabila melihat seekor harimau yang garang sedia menghambur ke arahnya.
"Apa yang kamu bawa itu. Baunya sangat enak. Perutku sudah lapar!!" kata harimau itu.
"Hanya kuih beras untuk anak-anakku" kata perempuan itu ketakutan.
"Berikan aku sebiji. Jika tidak, engkaulah yang akan aku makan nanti" gertak harimau itu.

Perempuan itu mencampakkan sebiji kuih beras ke arah harimau itu dan terus berlalu laju-laju pulang ke rumah.
Tiba di bukit yang kedua, harimau itu dapat memintas perempuan itu. Sekali lagi harimau itu menggertak perempuan itu meminta sebiji kuih beras. Begitulah seterusnya sehingga sampai ke bukit yang ketujuh di mana hanya terdapat sebiji sahaja kuih yang tinggal. Perempuan itu demi memikirkan keselamatan dirinya, terpaksa mencampakkan kuih yang terakhir itu kepada sang harimau.
"Ooohhh.. kasihan anak-anak aku kelaparan di rumah" kata perempuan itu memikirkan kesemua kuih telah kehabisan dimakan harimau yang kelaparan itu.

Sebelum tiba di rumah, harimau itu muncul lagi di hadapan perempuan itu meminta kuih. Namun tiada kuih yang tinggal di tangan perempuan itu.
"Apa??? tiada kuih yang tinggal?? Aku masih kelaparan!! Kalau begitu kamulah yang akan aku makan!!" kata harimau itu seraya terus menerkam perempuan itu. Mautlah perempuan itu di tangan harimau yang kelaparan.

Setelah membaham perempuan itu, harimau masih belum merasa kenyang. Dia tahu bahawa perempuan itu mempunyai dua orang anak yang masih kecil. Masih cukup enak untuk dimakan petang itu. Lantas, harimau itu menyarung baju perempuan itu, dan berjalan pulang ke rumah.

Dari jauh dia memanggil anak-anak perempuan itu. Akan tetapi, budak-budak takut kepadanya. Melihat kepada baju yang dipakai, memang baju itu baju ibu mereka. Akan tetapi mata yang memandang itu merenung tajam menjadi hati budak-budak itu kecut.

Sewaktu harimau itu masuk ke rumah, sewaktu pintu dibuka oleh budak-budak itu, harimau masuk dengan gaun ibu mereka. Namun budak-budak itu ternampak akan ekor harimau yang terjulur keluar dari bawah gaun yang labuh. Si abang segera membisikkan kepada adiknya supaya segera lari menyelamatkan diri sementara harimau itu berada di dapur menukar pakaiannya.

Apabila menyedari budak-budak itu telah melarikan diri, sang harimau segera mengejar mereka. Budak-budak yang ketakutan itu sudah letih. Lalu mereka tiba di sebatang pokok yang besar. Pucuknya hampir menembusi awan. Budak-budak itu segera memanjat pokok itu.

Harimau yang masih kelaparan itu terus mengejar budak-budak itu. Semakin tinggi budak-budak itu memanjat pokok, semakin dikejar dek harimau itu. Sehinggalah akhirnya budak-budak itu sampai di pucuk pokok yang besar itu di mana sudah tidak ada lagi yang dapat digunakan untuk berpaut.

"Wahai Raja Kayangan. Pandanglah kami. Andainya kamu mengasihi kami, campakkanlah kami seutas tali yang kukuh. Andai kamu tidak peduli akan kami, campakkanlah kami seutas tali yang reput" kata budak-budak itu berseru kepada Raja Kayangan.

Tiba-tiba, awan merekah. Dari celah kepulan awan yang tebal itu, turun seutas tali yang kukuh. Budak-budak itu kemudiannya berpaut pada tali yang terjulur.
Apabila harimau itu telah sampai di pucuk, harimau itu melaung ke angkasa.
"Cepat!! Campakkan aku seutas tali"

Dari celah awan, turun seutas tali. Harimau lekas-lekas berpaut pada tali untuk mengejar kedua beradik itu. Malangnya, tali yang dihulurkan untuk harimau itu adalah seutas tali yang reput. Sebaik sahaja harimau itu berpaut pada tali, tali itu putus dan harimau jatuh terhempas ke bumi dan langsung mati di pangkal pokok itu.

Kedua beradik itu kemudiannya diangkat naik ke Kayangan melalui tali yang terjulur. Mereka kemudiannya di bawa bertemu dengan Raja Kayangan. Raja Kayangan merasa terharu dan belas akan nasib yang menimpa budak berdua itu.
"Tinggallah kamu berdua di kayangan ini" kata Raja Kayangan.
"Sayangku" titah Raja Kayangan kepada si abang.
"Kamu ku tukarkan menjadi matahari"

Kemudian Raja Kayangan berkata kepada si adik.
"Sayangku. Kamu ku tukarkan menjadi bulan"

Sejak dari hari itu, kedua beradik itu berkhidmat kepada Raja Kayangan sebagai bulan dan matahari. Namun tidak lama kemudian, si abang dapati adiknya sering sahaja menangis. Rupa-rupanya si adik takut berjalan di dalam gelap.

Akhirnya si abang memohon kepada Raja Kayangan untuk bertukar tempat dengan adiknya. Adiknya menjadi matahari dan si abang menjadi bulan. Si adik merasa sangat gembira dan tidak takut lagi. Cuma si adik merasa sangat malu kerana semua orang di bumi memandang dan memuji kecantikkan dirinya.

Si abang kemudiannya mencadangkan kepada si adik agar memancar sinar tepat ke wajah orang-orang di bumi. Memang benar!! Dek pancaran itu, manusia menjadi silau untuk menatap matahari lama-lama. Matahari dan bulan terus menjadi pujaan manusia kerana kecantikkan mereka. Kerana mereka sangat comel. Kerana mereka adalah Matahari Sayang, Bulan Sayang.

Thursday, August 06, 2009

Ciuman Rama-rama

Zaryn Ulfah datang terkedek-kedek menghampiri saya yang sedang enak-enak berbaring di bilik pagi itu. Telefon di ruang tamu nyaring berbunyi. Jika sudah berada di rumah mertua begini, pasti panggilan itu bukannya untuk saya.
“Kakak, kakak sayang Baba, tak?” tanya saya pada Zaryn Ulfah. Zaryn Ulfah baru belajar bercakap. Jika ada soalan sebegitu, dia akan mengambil setiap yang di hujungnya.
“Tak” jawabnya.
“Tak sayang???” saya pura-pura terperanjat dan menangis.
“Huhuhuhuhuhu.... kakak tak sayang Baba...huhuhuhu” sambil pura-pura mengesat airmata.
Kemudian hinggap selayangan ciuman rama-rama di pipi saya. Saya bertepuk tangan keseronokan. Zaryn Ulfah ketawa terkekeh-kekeh.

Pintu kemudian terbuka. Kami berdua pantas menoleh.

“Baba, Opah Dah telefon nak cakap dengan Baba” kata Siri Aufa

Saya bingkas bangun menuju ke telefon.
“Assalamualaikum. Ni Mak ni. Kamu tengah buat apa?” tanya Mak.
“Tak buat apa-apa. Tengah main dengan Zaryn. Ada apa Mak?”
“Takde.. Mak ingat nak ajak kamu ke Hospital Ipoh tengok Beh kamu sakit. Kamu tak ke mana ke tengahari ni?”
“Tak ke mana-mana. Mak siaplah. Kejap lagi saya sampai”

Tengahari itu Hospital Ipoh sibuk seperti biasa. Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam lif yang sarat berasak seperti tin ikan sardin. Sampai sahaja di wad tingkat 5 itu, kelihatan Mak Teh Zaidah baru sudah menghabiskan bacaan Yassin sambil mengesat airmata. Sementara Beh terlantar tidak sedarkan diri di atas katil.
“Assalamualaikum... abang, ooo abang. Ni Dah datang” kata Mak sambil mengusap-usap rambut Beh. Beh membuka matanya sebentar sebelum tutup kembali. Saya menoleh kearah Mak Teh Zaidah yang sedang sibuk membancuh bijirin segera untuk Beh sambil mengesat airmata yang rejuh.
“Duduklah Indera... Kamu ni cuti berapa hari?” tanya Mak Teh.
“Cuti Sabtu Ahad je Mak Teh”

“Abang.... mengucap abang. Asyhadu anlailahailllah...” Mak membisikkan kalimat tauhid ke telinga Beh. Kelihatan lidah Beh bergerak-gerak menuruti pertuturan Mak. Mata Beh masih tertutup.

Saya melontarkan pandangan keluar hospital. Ke Lebuh Cator yang dahulu dipanggil Cator Avenue masih sibuk di hadapan Sekolah Anderson. Memandang ke deretan gunung batu kapur yang mirip pemandangan yang terdapat di Tanah Besar China. Memandang ke arah kereta yang berpusu-pusu saling keluar masuk kawasan hospital.

“Suria sungguh-sungguh mahukan Dah ikut dia ke Beijing. Entahlah Kak Zaidah. Dengan keadaan abang terlantar macam ni, Tak sanggup Dah nak pergi” saya terdengar Mak berbicara dengan Mak Teh.
“Tak apa.. pergilah. InsyaAllah, abang ni takkan apa-apa” kata Mak Teh menenangkan hati Mak. Walaupun hakikatnya saya tahu, keadaan Beh itu sudah agak tenat.
“Kalau apa-apa jadi pada abang sepanjang Dah di sana, pasti Dah akan menyesal tak sudah”kata Mak lagi.
“Tak apa. Pergilah Dah... Kalau jadi apa-apa jadi pada Suria kat sana pulak nanti, lagi Dah menyesal”
Mak menganggukkan kepala.

Saya memegang tangan Beh yang sejuk. Melihat juraian wayar alat bantuan pernafasan yang mempunyai injap saling turun naik. Semua kenangan sewaktu kecil saya bersama Beh menari-nari di bayangan mata.
“Beh, saya balik dulu ya!! Ampunkan semua kesalahan saya” saya berbisik di tepi telinga Beh.

Beh membuka matanya lama merenung saya. Dari panahan matanya yang sayu, saya akan dapat menangkap suara hatinya yang mengucapkan selamat tinggal kepada saya. Meminta saya menjaga diri saya baik-baik. Sewaktu saya mengusap dahinya, airmata saya bertakung. Ingin sahaja saya mengucup dahinya. Tetapi saya malu pada Mak Teh Zaidah. Saya lekas-lekas melangkah keluar. Menunggu Mak di luar wad.

“Patutnya kamu cium dahi Beh kamu tadi” tegur Mak.
“Saya nak sangat. Tapi saya malu di depan Mak Teh”


+++

Lebuhraya Duke lengang walaupun di waktu sebegini orang ramai berpusu-pusu keluar dari pejabat. Melihat pemandangan di luar kereta cukup mengasyikkan. Sewaktu melewati susur keluar Jalan Enggang/AU3, telefon bimbit saya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk.

“Dah selamat mendarat di China. Dalam perjalanan ke Beijing dari Tianjin” pesanan dari Apak rupanya. Pasti adik beradik saya yang lain juga menerima pesanan ringkas yang sama.

Saya tersenyum sendiri. Rezeki orang, fikir hati saya.

+++

Hari ini acara bebas. Setiap peserta yang mengikuti lawatan ke Beijing itu bebas melakukan aktiviti masing-masing. Mak masih khusyuk membaca Tafsir Bukhari yang Mak bawa bersama ke lawatan itu. Apak sudah kemas bersiap-siap untuk keluar.
“Awak nak ke mana?” tanya Mak melihat Apak bersikat siap berminyak wangi.
“Aku nak keluar cari baju untuk Indera. Kasihan kat anak aku yang sorang tu. Baju pun payah nak berganti” jawab Apak.
“Untuk Indera saja?” tanya Mak.
“Yelah. Untuk siapa lagi?”

Sewaktu melangkah keluar, Apak nyaris berlaga kepala dengan Adina yang masuk ke bilik hotel Mak.
“Apak nak ke mana, Mak?” tanya Adina.
“Entah. Katanya nak belikan baju untuk Abang Chik kamu”
“Haiiii...?? sejak bila pulak Apak baik sangat dengan Abang Chik ni?. Selalunya dua-dua tu tak boleh bertemu muka?” Adina kehairanan.

Apak pulang ke bilik hotel sudah jauh malam. Mak pun sudah berkira-kira untuk masuk tidur. Apak masuk terjengket-jengket dengan keadaan yang mencurigakan sambil mengepit bungkusan di bawah ketiaknya. Apabila Mak menegur Apak, lekas-lekas Apak masukkan bungkusan itu ke dalam beg pakaiannya.
“Bungkusan apa tu?” tanya Mak.
“Errrr... baju untuk si Indera” jawab Apak gugup.
“Boleh Dah tengok? Nak jugak tengok cantik ke tak baju yang awak beli untuk dia”
“Errrr.. tak payah, tak payah. Sampai Malaysia esok pun awak boleh tengok”

+++

Lawatan ke Medan Tiananmen yang luas itu benar-benar memenatkan. Sebaik sahaja sesi lawatan ke dataran itu selesai, semua peserta berjalan pulang menuju ke arah bas yang setia menunggu. Apak jalan laju-laju. Mak semput. Mak jalan lambat-lambat sambil diiringi oleh Adina.

Sampai sahaja di bas yang menunggu, Mak melihat Apak sedang memegang sebuah tas tangan wanita berwarna coklat.
“Berapa?” tanya Apak
“Berapa?’ tanya cina itu pula tentang berapa harga yang Apak mampu.

Bas sudah mahu bergerak. Sedang Apak masih belum habis tawar menawar. Mak tahu tas tangan itu bukan untuknya sementara Apak seakan tidak menyedari Mak memerhatikan tingkahnya dari atas bas.
“Apa lagi yang awak tawar menawar tu? Awak tak sedar ke bas dah nak bergerak ni?” Mak melaung Apak dari tangga bas.

Melihat Mak sudah di tangga bas, Apak sungguh terperanjat. Segera dia melepaskan tas tangan itu. Bas bergerak laju menuju ke hotel.

Malam itu kaki Mak sengal-sengal. Mak menyapu kaki dengan minyak panas. Apak terpaku di hadapan peti television yang menayangkan cereka dari saluran yang mirip saluran Astro.
“Beg tangan tadi untuk siapa?” tanya Mak.
“Beg tangan apa?” tanya Apak pula.
“Beg tangan yang awak nak beli tadi”
“Masa bila aku nak beli tangan?”
“Haiii? Depan-depan Dah tadi awak tawar menawar beg tangan. Takkanlah Dah ni dah buta pulak”
“Haaaahh.. itulah awak. Aku ni tak betul saja. Ingat bawak awak ke sini boleh aman. Tapi awak tetap nak cari salah aku. Agaknya awak ni suka kalau aku mati!!”
“Takkanlah Dah nak awak mati. Sebab tak nak awak matilah Dah ikut awak ke sini tinggalkan abang yang tengah nazak kat sana” jawab Mak.

“Huh... menyakitkan hati aku saja” kata Apak menghenyakkan badannya ke katil dan menutup kepalanya dengan bantal.

+++


“Hello Incik, saya sudah mahu sampai oo... you sana tunggu belapa olang” tanya cina pemandu lori yang membawa karpet bagi kerja-kerja ubahsuai pejabat di Subang.
“Saya sorang saja maa” kata saya
“Aiyoo boleh angkat ka kawan?”
“Boleh”
“ Manyak kotak ooo... ala 149 kotak. Lu gila mau angkat sorang ka?”
“Bolehhhh..”

Baju saya sudah rejuh dengan peluh. Nafas saya turun naik. Telefon saya berbunyi. Jam sudah menunjukkan hampir pukul 1 tengahari.
“Abang, abang tak balik ke?” suara Azah bertanya kehairanan.
“Balik buat apa?” hari ini baru hari Selasa.
“Beh meninggal. Abang tak tau ke?
Saya terkalap. Langsung tidak bersuara.

“Abang tak payah baliklah. Deme nak kebumikan Beh lepas Zohor. Kalau abang balik pun tak sempat nak tengok” kata Azah.

Saya terduduk. Kenapa semua orang meminggirkan saya? Saya punya hak untuk tahu. Saya anak saudara Beh. Kalau anak-anak Beh lupa memaklumkan kepada saya, kenapa abang-abang dan kakak-kakak saya tidak memberitahu saya langsung?.

Mak masih di Beijing....

+++

Saya menelefon Mak di kampung dari tapak projek. Matahari sudah hampir masuk ke kaki langit Warna remang senja memang mengasyikkan. Kalau di kampung, pasti Mak berleter panjang apabila saya masih berada di luar rumah di bawah lembayung senja. Masa syaitan sedang berjagai, kata Mak.
“Kenapa deme tak bagi tahu Indera Beh dah meninggal? Apa salah Indera pada deme Mak?” Saya mengadu pada Mak.
“Deme lupa barangkali. Janganlah kamu nak ambil hati”
“Eh, Apak kamu ada beli baju untuk kamu” kata Mak cuba menghiburkan hati saya.
“Beli baju? Untuk saya? Untuk saya sorang saja?” tanya saya kehairanan.
“Ha ah. Untuk kamu saja kata dia. Mak pun tak pernah tengok lagi baju tu. Kamu jangan cerita pada adik beradik kamu yang lain pulak. Untuk deme tu Apak kamu tak belikan apa-apa” pakat Mak.
“Haiiii? Apa baik benar pulak kali ni?” saya juga kehairanan.


+++

Tun Janda itu masuk kali ini sudah empat kali ke hulu ke hilir di depan kedai kopi Cikgu Suria dengan motor buruk tinggalan arwah ayahnya. Kali ini dia merasa letih. Lalu dia berhenti berbual dengan Kak Midah, anak Pak cik Alid Sawa yang buka gerai jual pisang goreng bersetentang jalan dengan kedai kopi Cikgu Suria.

“Eeeeiii seronoknya Tun, Kak... Cikgu Suria balik dari Beijing belikan Tun dua pasang baju sutera. Cantik. Cikgu Suria tu memang dah sayang sangat kat Tun, Kak!! Dia kata, dia nak bagi rumah tu pada Tun. Nak bagi kebun kelapa sawit. Nak bagi dusun durian, nak bagi petak bendang, nak bagi kedai kopi...”

Sambil bercakap, matanya tidak lepas dari memandang kedai Cikgu Suria. Orang ramai yang datang membeli pisang goreng Kak Midah tadah telinga sementara telinga Kak Midah rasa mahu tanggal mendengar cerita janda yang seorang ini. Barangkali setelah penat bercerita dan Kak Midah buat acuh tidak acuh, janda itu pun segera angkat kaki.

Sebaik sahaja janda itu pulang, Kak Midah mendail nombor Kak Asma.
“Hello... Ma. Ya Allah Ma.... Janda itu dah hebohkan satu kampung macam-macam pasal Apak kamu. Dia cerita pada orang, Apak kamu belikan dia baju sutera 2 pasang. Dia dah membilang harta Apak kamu. Dia dah bilang rumah kamu di kampung, dusun durian, kebun kelapa sawit...”
“Eh, itu semua Mak aku punya tu!!!”

+++

Lepas Apak makan malam itu, Mak segera membersihkan segala pinggan mangkuk yang kotor. Apak masih duduk di meja makan enak-enak menikmati kopi pekat. Apak termenung jauh. Sekali sekali dia seolah-olah tersenyum. Semua Mak perhatikan. Mak duduk senyap-senyap di sisi Apak.
“Sangka Dah, lepas Dah tegur awak dulu, selepas kita pergi ke China, dah hilang cerita pasal awak dengan janda tu. Rupa-rupanya bertambah hebat awak, ye!!” kata Mak.
“Apa yang awak merepek ni???. Aku ni penat, awak tahu tak?” tengking Apak.
“Merepek apanya kalau semua orang di kampung dah heboh bercerita pasal awak belikan janda tu baju sutera dua pasang, awak tanggung belanja sekolah anak dia, awak sumbat dapur dia dengan barang makan sampai beras kat rumah ni pun dah 3 bulan awak tak beli..”
“Awak jangan nak cakap tak tentu pasal. Pantang aku awak bercakap benda fitnah macam ni. Aku hilang sabar nanti, susah awak!!!” bentak Apak.

Kak Yang di ruang tamu memasang telinga sudah hilang sabar. Dia masuk ke dapur lalu disergahnya Apak.
“Apa yang fitnahnya? haaahhh, Apak cakap dengan saya. Telinga saya ni dah tak lalu-lalu lagi dengar orang datang hospital tanya pasal Apak. Cakap sekarang. Saya nak dengar!! Kalau Apak pantang Mak dengar fitnah, saya pulak pantang orang cakap bohong. Cakap sekarang Apak tak ada hubungan dengan janda tu!!” Kak Yang pula naik hantu.
“Aku tak ada hubungan dengan janda tu” kata Apak sudah naik takut dengan tingkah Kak Yang yang seperti gajah naik minyak.
“Oooo.. tak mengaku ya!!! Baik... aku tau macam mana nak dapat jawapannya” kata Kak Yang terus ke penjuru dapur mencari golok. Melihatkan golok di tangan Kak Yang, Apak seperti melompat.
“Ani, kamu nak buat apa Ani???” Apak kepucatan.
“Aku nak golok betina tu!! Aku nak takik kepalanya biar berterabur otaknya di sini!!” kata kak Yang mundar mandir. Mak dan Apak masing-masing ketakutan.
“Kamu jangan buat kerja gila Ani. Kalau betul pun, takkan sampai nak bunuh orang!!” kata Apak.

Kak Yang terus keluar dari rumah menghidupkan enjin kereta. Mak dan Apak panik.


+++

“Tun!!! Tun!! Keluar!!” teriak Kak Yang dari laman rumah janda tu. Suara lantang Kak Yang mengejutkan jiran-jiran di malam hari. Mendengarkan suara Kak Yang itu, ibu janda itu segera keluar.
“Tun tengah makan” kata ibunya
“Suruh dia keluar!!” kata Kak Yang.

Janda itu kemudiannya keluar ke halaman.

“Eh, kau dengar sini ya!! Aku nak kau datang depan kedai Apak aku esok pukul 6.30 pagi. Aku tunggu kau kat sana pagi esok. Aku nak ajar kau dengan Apak aku. Kau datang tau!! Kalau kau tak datang, siap kau aku kerjakan!!” kata Kak Yang.


+++

Pukul 6.30 pagi esoknya Kak Yang sudah siap tercegat di hadapan kedai Apak. Apak kelu seribu bahasa. Sementara Kak Yang terkuncam. Orang ramai yang masuk ke kedai Apak pagi itu, masing-masing tidak menunggu lama. Bagaikan dapat merasakan ada yang tidak kena akan terjadi di subuh yang gelap itu.

Kak Yang menunggu hingga ke jam 7.30 pagi. Janda itu tidak muncul-muncul. Kak Yang sudah hilang sabar. Dia menghidupkan enjin kereta dan terus menderu menuju ke sekolah rendah di kampung itu. Janda itu bekerja di kantin sekolah itu.

Sebaik sahaja janda itu melihat Kak Yang sampai, dia segera bersembunyi di belakang badan Kak Timah yang besar.
“Eh, betina!!! Kau tak dengar cakap aku semalam ke hah?? Kau ingat aku ni tunggul tunggu kau depan kedai tadi? Mari sini!! Mari sini!! Aku dah hilang sabar betul dengan kau. Mari sini, aku nak kerjakan kau!!” Kak Yang melangkah cepat-cepat ke arah janda itu. Cepat-cepat dipeluk oleh Kak Jauriah, tuan punya kantin yang juga bekas anak murid Apak.
“Ani!!! Jangan buat macam ni Ani!! Malu Apak kamu nanti!!” Kak Jauriah seakan menangis.
“Ahhh.. Kak Jauriah jangan halang saya!! Apak saya pun tak malu dengan kelaku dia. Kak Jauriah nak bela sangat deme berdua ni kenapa? Haaahhh?? Lepaskan saya!!”
“Kak Jauriah dah nasihatkan Tun tu.. tapi dia yang tak mahu dengar!!! Tolonglah Ani!! Heboh satu kampung nanti!!”
“Apa nak jadi jadilah!!! Biar saya ajar betina tu!!!”


++++

Habis...

Habis satu kampung heboh bercerita pasal Kak Yang menyerang janda itu di sekolah. Rupanya, cerita tentang Apak ada hubungan dengan janda itu sudah heboh dibicarakan secara rahsia oleh orang-orang kampung hampir sebulan sebelum Kak Yang menyerang janda itu lagi. Cuma orang kampung tidak hangat memperkatakan tentangnya kerana masing-masing kasihankan Mak. Mereka tidak mahu Mak terluka. Bila terjadi sahaja kekecohan pagi itu, yang selama ini cuma dibisik-bisikkan secara rahsia, sudah bukan rahsia lagi. Semua orang sudah maklum. Semua orang sudah tahu. Hanya kami sahaja yang menyangka ribut itu setakat di dalam cangkir dapur rumah kami. Tanpa kami menyedari, ianya sudah menjadi ribut api yang membakar lalang sebulan sebelum itu lagi
.
“Sebenarnya, Din dengan Inah dah tau cerita ni dah lama. Biasalah, Din pagi-pagi lepas solat subuh ambil angin naik motorsikal. Satu pagi tu, nampak janda tu masuk kedai tutup pintu. Din dah nasihatkan Abang Suria. Tapi Din balik kena marah dengan Abang Suria. Abang Suria cakap Din ni jaga tepi kain orang. Kami pun diamkan saja. Tak mahu nak cerita dengan Kak Dah sebab kami kasihankan Kak Dah. Kak Dah baik sangat....” cerita Makcik Minah yang menjadi jiran terdekat kami pada Mak.

Mak hanya mampu mengesat airmata.


+++

“Idah tak berani. Idah takut nanti orang kata Idah masuk campur hal rumah tangga orang” kata Kak Midah bila Kak Asma memberitahu hajatnya ingin membawa janda itu ke rumah Yeop.
“Nak takut kenapa? Kau bukan buat benda salah”
“OK, Idah cuba.. Ma nak datang bila?”

+++

“Assalamualaikum” Kak Asma memberi salam. Berdiri tercegat bersama Kak Midah di tepi tangga menanti tuan empunya memperlihatkan diri. Abang Diyab, abang ipar saya menanti di dalam kereta.
“Wa alaikum salam. Ya.. cari siapa?” tanya ibu janda itu.
“Saya Asma, anak Cikgu Suria. Saya datang ada hajat nak jumpa Tun”

Tun melangkah keluar.
“Kenapa cari saya?” tanya perempuan itu.
“Aku nak kahwinkan kau” mendengarkan itu, Tun tersenyum meleret hingga ke telinga. Suka benar dapat berkahwin dengan Apak.
“Elok benarlah tu. Dah banyak cerita tak elok pasal deme berdua ni. Lagi cepat disatukan lagi elok” kata ibu janda itu.
(Rasa nak muntah aku!! Cerita Kak Asma. Hahahahaha)

“Kita nak pergi mana?” tanya janda itu.
“Ke Seri Iskandar” jawab Kak Midah.

Setelah sebatu jarak menaiki kereta, Abang Diyab bersuara.
“Sekarang ni nak cerita-cerita pasal kahwin... tarak!!!”
Terus hilang seri di wajah janda itu. Seperti bunga raya layu di bawah terik matahari.

Yeop dan Yong Rohana sudah siap menunggu di ruang tamu sebaik mereka sampai. Seperti mananya yang dianjurkan dalam Islam, walau bagaimana buruk sikap tetamu itu, mereka harus diraikan. Kak Yong menyediakan minuman dan makanan serta melayaninya dengan baik.
“Betul ke kamu ni sayang pada Apak keme?” tanya Yeop
“Sayang”
“Sanggup kamu nak bernikah dengan Apak keme yang dah tua tu?” tanya Kak Yong.
“Sanggup”
“Betul ke Apak kami ada bagi kamu baju sutera dua pasang, tanggung sekolah anak kamu dan bagi belanja dapur?” tanya Yeop lagi.
“Betul”
“Apa yang Apak keme cakapkan pasal harta dia pada kamu?” tanya Kak Asma.
“Cikgu Suria dah janji, bila kahwin nanti, dia nak bagi rumah dia, nak bagi kebun kelapa sawit, nak bagi dusun durian, nak bagi kedai kopi, nak bagi petak bendang...”
“Kamu tahu ke semua itu harta Mak kami. Apak kami tak ada harta. Yang dia ada cuma kedai kopi dan sepetak bendang peninggalan atuk kami. Itu sahaja” kata Yeop.
Mendengarkan itu, janda itu terlongo.
“Itulah kamu, belum apa-apa dah kena tipu...”
Yong tersenyum sambil menghulurkan air minuman kepada janda itu.
“Jemput minum, Tun” kata Yong.
“Kamu masih berkehendakkan kepada Apak kami lagi?” tanya Yeop. Janda itu geleng kepala.
“Apa yang kamu nak buat sekarang?” tanya Yeop lagi.
“Saya nak minta maaf pada Cik Dah. Saya nak datang rumah. Tapi saya takut nak jumpa dengan Khairani” jawab janda itu.

Selepas habis sesi soal jawab, Kak Asma menghantar janda itu pulang.

“Kamu percaya Ma?, bila janda tu kata dia dah tak berkehendakkan pada Apak kamu? Kamu ingat, dalam satu minit boleh mengubah hubungan yang dah berbulan-bulan ke?” Mak seakan mengejek kakak saya.

+++

Mak datang menziarahi Opah Maryam yang uzur. Hubungan mertua-menantu walaupun tidak mesra, namun ada menampakkan pemulihan sejak Opah Maryam uzur. Namun pagi itu lain benar penerimaan Opah Maryam terhadap Mak.
“Mak.... ooo Mak. Ni Dah datang” kata Mak sambil duduk di sisi Opah. Tetapi Opah Maryam bungkam. Sedikit pun tidak bersuara. Mak memandang Mak Nah yang selama ini menjaga Opah Maryam.
“Kenapa Mak ni Nah? Dia diam saja” tanya Mak pada Mak Nah.
“Dia tidur barangkali” kata Mak Nah.
Alasan itu langsung tidak boleh diterima apabila Mak melihat mata Opah Maryam terkelip-kelip. Mak pegang tangan Opah Maryam yang Cuma berbalut dengan kulit sahaja itu. Opah Maryam tetap bungkam.
“Mak sihat?” tanya Mak pada Opah Maryam.
“Sihat” jawab Opah Maryam seperti marah-marah.
“Mak dah makan?” tanya Mak tidak menghiraukan kemarahan Opah Maryam.
“Dah”

Mak pulang dari rumah Opah Maryam dengan linangan airmata. Kebetulan sebaik Mak sampai di rumah, saya juga sampai dengan anak-anak saya dari rrumah mertua saya.
“Entah apa yang Apak kamu ceritakan pada Opah kamu sampai dia marah sangat pada Mak” kata Mak dengan suara yang sayu.
“Bukan... dia suka nak dapat menantu muda yang gatal” jawab saya.


+++

Mak Yah membuat kenduri tanda kesyukuran anak bongsunya Kamal mendapat kerja sebagai posmen dengan Pos Malaysia. Semua ahlii keluarga kami dijemput.
“Mak tak pergi?” tanya Kak Asma.
“Mak tak mahu nak bercampur-campur dengan masyarakat sekarang ni. Kalau Mak tak pergi, hati Mak pun tak sakit. Cuma Mak minta satu, lepas orang ramai balik nanti, kome ceritakanlah ragam Apak kome pada adik beradik dia. Biar Opah kome tahu. Pada dia, Mak ni tak betul sahaja”

Malam itu semua tingkah Apak dibuka oleh Yeop, Kak Asma dan Kak Yang. Adik beradik Apak terlongo. Saya ketawa sinis apabila Kak Asma bercerita Mak Ba’ah sampai tidak dapat tidur malam bila mendapat tahu segala tingkah laku Apak.
“Kak Asma percaya cakap dia? Mereka adik beradik tu memang pandai berlakon. Mak Yah dan Mak Nah, kalau ada cerita orang kampung sebesar hujung jari pun deme tahu, inikan pulak cerita pasal abang deme. Hahahahahaha... tak usah bersimpatilah pada deme tu..”


+++

“Habis, apa tindakan kamu semua untuk menolong Mak kamu?” tanya Kak Ijah, kawan sepejabat saya. Saya cuma geleng kepala.
“Indera, Mak kamu dah tua. Bagilah ruang untuk dia mendapat kebahagiaan dia di saat yang singkat ni. Kalau dengan Apak kamu dia tak mendapat kebahagiaan, dengan siapa lagi dia boleh harapkan? Dengan kamu semualah sebagai anak-anak dia. Aku ni perempuan, Indera. Aku tahu macam mana sakitnya bila suami aku diambil orang. Sedang Mak kamu itu pula, tak mendapat pembelaan dari siapa-siapa. Nak keluar rumah kena minta izin suami. Tetapi suami entah di mana”
“Habis, apa cadangan Akak?”
“Bawak Mak kamu pergi pejabat agama!!”


+++

“Kalau Mak nak, saya boleh bawa Mak ke pejabat agama” kata saya kepada Mak.
“Mak tunggu 3 bulan dulu. Kalau lepas 3 bulan, baru Mak nak tanya Apak kamu apa kesudahannya. Kalau dia masih berdiam diri, baru Mak tuntut fasakh sesuai dengan lafaz taklik sebelum nikah, “jika setelah 3 bulan aku tidak memberi sebarang nafkah dan sabit kesalahan tersebut, maka jatuhlah talak satu”” kata Mak.
Saya bingung. Apakah ini kesudahannya?

Saya menuju ke kereta. Jam sudah menunjukkan angka sembilan malam. Bimbang saya terlewat sampai ke Serdang.
“Kalau betul dia nak, buatlah cara elok” kata saya.
“Mak dah kata, kalau betul dia nakkan janda tu, lepaskan Mak. Tapi Apak kamu takut sebab dia tak ada apa-apa. Dia tak ada harta. Jika jodoh dia dengan janda itu tak panjang, dia tak ada tempat nak pergi. Nak balik ke rumah ni, bukan rumah dia lagi” kata Mak.
“Habis, teruslah dia hidup macam tu?”

Saya mengesat airmata Mak. Memberikan ciuman rama-rama untuknya.
“Sayang Mak”




Soalan kefahaman karangan;

1. Di manakah baju yang Apak kata dia belikan untuk saya itu? (25 Markah)

Sunday, July 12, 2009

Jentayu Merayu Hujan

Aku adalah Bulan. Dia adalah Matahari. Tidak mungkin Bulan dapat mengejar Matahari. Dan mustahil Matahari dapat mengejar Bulan. Namun, Matahari dan Bulan akan saling bertemu di suatu masa yang bernama, GERHANA....

Kata orang, kasih sayang adalah permata. Kasih sayang bawa bahagia. Kasih sayanglah punca alam ini. Dari kasih sayang dan Rahmat Allah, maka dunia dan seisinya tercipta. Dari kasih sayanglah datangnya syafaat. Dan dari kasih sayang dua insanlah, lahir manusia yang mengisi segenap ruang di atas muka bumi ini.

Begitu besarnya erti kasih sayang. Berpandukan itu, saya senantiasa mengisi hati saya dengan kasih sayang. Belajar memahami dan mengerti bahawa hidup yang kesementaraan ini haruslah dilayari dengan sepenuh kasih sayang supaya hidup kita yang sementara ini nanti tidaklah sia-sia.

Semakin saya dewasa, semakin saya mencari kasih sayang. Namun semakin saya dewasa, semakin saya tidak mengerti erti kasih sayang. Saya mendambakan sebuah dunia yang harmoni yang penuh dengan kasih sayang. Akan tetapi kerap kali kasih sayanglah yang membuatkan saya terluka. Kasih sayang jugalah yang kerap kali merentap tangkai hati dan perasaan saya. Saya tertanya-tanya sendiri, haruskah saya berhenti menebarkan kasih sayang di atas dunia ini? Kenapa kasih sayang yang saya harapkan jarang sekali membina mahligai bahagia buat saya?

Selaku manusia di dunia ini, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan. Kesilapan lampau tidak harus menjadi pengukur siapa diri kita pada hari ini. Pengajaran dan penyesalan masa lampau menjadi guru yang terbaik untuk kita berhati-hati untuk tidak melakukan kesilapan. Namun atas kelemahan dan kekhilafan kita sebagai manusia, kesilapan tetap akan terjadi. Andai bukan kita penyebabnya, pasti akan ada orang lain yang menjadi punca. Pelukah kita saling tuding menuding apabila berlakunya kesilapan? Bagi saya, sebarang kesilapan yang telah terjadi, tidak harus ada salah menyalahi antara satu sama lain kerana jika kita saling menyalahkan antara satu sama lain sekalipun, kesilapan telah berlaku. Tiada apa yang dapat kita lakukan untuk manarik semula kesilapan yang telah terjadi. Yang mampu kita lakukan adalah mencari jalan penyelesaian bagi memperbetulkan kesilapan dan memastikan kesilapan itu tidak akan berulang lagi di masa akan datang.

Setelah bertahun-tahun dilambung badai kesedihan, saya semakin bersikap terbuka. Saya belajar memahami kelemahan manusia dan belajar memaafkan kesilapan orang lain. Kesilapan orang tidak harus diperbesarkan. Berkali-kali dilukai, saya tidak pernah jemu membuka pintu hati saya untuk sebuah kemaafan. Akhirnya, saya juga yang terluka. Saya menyalahkan pintu hati saya kerana senantiasa terbuka dengan alasan, jika saya inginkan orang memaafkan kesilapan saya, saya harus belajar memaafkan kesalahan orang. Tetapi, kenapa orang lain tidak pernah ingin belajar membuka pintu hatinya menerima kemaafan saya?

Jika saya boleh memaafkan kesilapan orang sebesar alam, kenapa orang lain tidak pernah ingin memaafkan kesilapan saya sebesar hama? Wajarkah setiap inci kesilapan yang saya lakukan hari ini sehingga diukur dengan kesilapan yang saya lakukan di masa lampau? Bagaimana pula dengan kesilapan yang dia lakukan pada diri saya? Haruskah saya membilang, menyatakan bahawa jika ingin diukur dengan masa lampau, apa dia lakukan pada diri saya jauh lebih memeritkan dan memedihkan?

Saya sudah terlalu letih. Usia saya bukan usia untuk saya bermusuhan lagi. Di usia saya ini, apa yang saya inginkan kini, hanyalah sebuah ketenangan dalam batasan hari yang berganti. Saya sudah terlalu letih untuk diluka dan melukai. Saya sudah terlalu letih untuk membilang kesilapan. Saya sudah terlalu letih untuk disakiti oleh orang yang saya sayangi....

Hidup ini satu persinggahan. Suka atau tidak, tempat yang kita duduki ini harus ada putarannya. Lantas membuatkan saya sering memikirkan tentang ketidakpastian. Ketidakpastian samada kasih sayang akan dapat terus bertahan atau runtuh di pertengahan jalan.

Alangkah sedihnya apabila saya adalah Jentayu yang merayu hujan. Sedang Sang Langit tidak pernah peduli akan rintihan hati Jentayu.


+++


Saya sangat sukakan lagu ini, sebuah lagu rakyat Korea yang dipetik daripada drama Jewel in The Palace. Kisah The Great Dae Janggeum yang melalui liku-liku keperitan sebelum diangkat menjadi Tabib Maharaja. Wanita pertama di Korea yang diangkat menduduki ke tahap paling tinggi di kedudukan istana. Saya sedang mengumpul duit untuk membeli satu set dvd drama yang hebat ini.

Lee Young Ae sangat comel dan jelita sebagai Dae Janggeum. Namun dia sebenarnya jauh lebih jelita di luar layar perak. Ji Jin Hee? Hahahaha.. watak Officer Min Jung Ho yang bijak, berani, penyayang dan begitu mengambil berat yang dibawanya begitu kontras dengan watak sebenarnya yang periang dan gila-gila.

Heiiyaheiiya heiiyadara nino, nino...

Thursday, June 18, 2009

Saleem Iklim kata, "Lautan Api boleh menjadi ohhh.. Taman Salji"

Di kala ini, Indera Kencana telah menerima titah Betara Kalam untuk turun ke dunia bagi membakar Padang Lalang untuk persiapan menanam huma. Adapun titah itu menyuruh Indera Kencana agar menerun tanah selama 2 purnama. Terlalu lama sudah rasanya Singgahsana Bintang yang menjadi tapak persemayam Indera Kencana terbiar sepi. Hanya sempat dijenguk sekali sekala. Layangan Indera ini rasanya sudah berhabuk dan bersawang....


Hahahahaha.... saya kembali mengisi ruang ini mengambil kesempatan menitip beberapa bait perkhabaran untuk dikongsikan bersama. Sememangnya di saat ini saya agak sibuk bilamana jadual kerja saya terlalu padat kerana sedari awal Mei yang lalu, saya telah diarahkan oleh Abang Ngah untuk menguruskan sebuah projek meganya (waaahhhhh... projek mega lagiiii!!!). Sekadar bergurau. Bukanlah sebuah projek mega. Tetapi sebuah projek pengubahsuaian ruang pejabat milik sebuah syarikat ternama yang banyak menguruskan prasarana di Lembah Kelang.

Apa yang dapat saya katakan di sini, projek tetap sebuah projek. Tidak kira sama ada besar atau kecil nilainya, masalahnya tetap sama memeningkan kepala. Tetapi setelah bertahun-tahun menjauhkan diri daripada bidang Pengurusan Projek ini, setelah bertahun-tahun melakukan pekerjaan yang tidak saya gemari, apabila saya dapat kembali ke bidang di mana saya sepatutnya berada, saya merasa sangat gembira!!. Gembira yang tidak terhingga.

Dahulunya, saya benci dengan bebanan projek. Dengan hambatan waktu yang inginkan projek disiapkan mengikut masa, dengan kerenah Abang Ngah yang selalu bertukar watak apabila projek bermula, dengan kerenah buruh kontrak yang saya anggap kotor dan berkelakuan tidak senonoh, dengan barangan binaan yang harus masuk ke tapak pembinaan mengikut masa, menjadikan saya langsung hilang minat dan benci melakukan tugas harian saya. Itu belum lagi dikira dengan kerenah Penguasa Tapak Projek yang senantiasa mencari kesalahan pemaju, sememangnya sangat memualkan.

Masa berlalu tanpa ada pamitan. Takdir meletakkan saya untuk bekerja di bawah tangan seorang insan yang langsung tidak punya hati dan perasaan, yang melayani orang lain seperti hamba, menjadikan saya selalu memendam perasaan dan menjeruk rasa. Perasaan tidak puas hati selalu bermain di fikiran. Pekerjaan yang menuntut saya saban hari sepenuh masa menginginkan saya sentiasa di pejabat yang tertutup rapat dari dunia luar, membuatkan saya merasakan jam waktu saya sudah terhenti. Saya merasakan bahawa diri saya sudah mati. Zahirnya cuma jasad saya sahaja yang berada di situ, hakikat sebenarnya saya sudah lenyap dari muka bumi ini.

Segala perancangan hidup, kemajuan diri sudah tiada dalam kamus hidup saya ketika itu. Saya hanya menunggu takdir datang. Menghitung setiap saat dan jamnya itu saya keluar dari neraka itu. Hakikatnya saya tidak punya pilihan lain. Segala kerja yang dipohon, langsung tidak berjawab. Perancangan untuk menyambung pelajaran saya juga lenyap lantaran tidak mendapat mana-mana tajaan.

Di saat waktu makan tengahari (saat di mana saya dibenarkan keluar selama 1 jam memandang matahari), saya memerhatikan setiap orang yang masuk ke dalam restoran dengan pelbagai rasa kekaguman terutama apabila melihat mereka bergelak ketawa sambil menjamu selera sedang saya duduk bersendirian berduka lara mengenangkan masalah saya. Alangkah bertuahnya mereka, alangkah bahagianya mereka, fikir hati saya. Saya mendapat perangai baru iaitu selalu memikirkan orang lain itu bertuah sedang saya pula bernasib malang. Di saat itu, saya merindui zaman lampau saya. Saya tahu di saat itu, apa yang saya inginkan ialah sebuah kerjaya yang tidak mengikat saya di pejabat. Kerjaya saya harus berputar sebagaimana berputarnya alam ini. Kerjaya saya harus memandang persekitaran luar. Memandang jalan yang sibuk. Memandang manusia dengan pelbagai kerenahnya maka barulah saya merasakan bahawa diri saya ini hidup.

Tidak semua kepahitan itu racun. Kepahitan itu juga boleh jadi ubat yang paling mujarab. Didikan majikan yang keras dan tidak bertimbang rasa itu rupanya telah membakar hangus sama sekali kesemua ego saya. Telah memadamkan segala panas baran yang mengisi hati saya selama ini. Setelah sekian lama, saya kini bukanlah lagi Indera yang dulu. Indera yang mudah melenting, mudah naik darah dan selalu sahaja merajuk keanak-anakan (keanak-anakan itu masih ada hahahaha cuma agak terkawal).

Saya kini memandang dunia dari sudut yang berbeza. Masalah tetap ada. Namun jika kita memandang dari luar dan menanganinya dengan bijaksana, masalah itu akan tetap menjadi masalah atau boleh jadi penyelesaian.

Maaf ya Abang Ngah... Saya kini selalu sahaja gelak-gelak dan ketawa apabila Abang Ngah marah-marah. Bukan saya ingin berlaku tidak sopan di hadapan Abang Ngah. Saya cuma ingin menangini masalah saya dengan tidak menjadikannya sebagai sesuatu yang menekan jiwa. Bukankah saya telah berjanji pada Abang Ngah, walau bagaimanapun saya kini, saya tetap akan fokus pada kerja?. Kerja dan kerjaya saya bukan sesuatu yang saya boleh buat permainan!!.

Perbandingan dahulu dan kini, dengan pengalaman yang menjadikan saya lebih dewasa membuatkan saya semakin menghargai apa yang saya ada. Saya tidak lagi merasakan pergi ke tapak projek itu sebagai bebanan. Tetapi satu tanggungjawab dan amanah yang harus saya selesaikan dengan sebaik mungkin. Saya kini mengerti bahawa setiap jiwa yang menjadi buruh di tapak pembinaan itu adalah manusia sama seperti saya juga yang harus saya hormati dan saya pandang mulia kerana mereka itu juga adalah sebahagian daripada pecahan-pecahan yang melengkapi sebuah gambar. Tanpa mereka, sebuah gambaran yang terhasil itu pastinya tidak lengkap dan tidak sempurna. Tiada sebab mengapa saya harus pandang rendah kepada semua mereka yang terlibat di dalam projek hatta seorang buruh kasar tapak pembinaan kerana boleh jadi atau memang pasti, pengalaman dan pengetahuan yang mereka ada pada setiap inci bangunan itu, jauh lebih banyak daripada saya. Sayalah yang harus belajar daripada mereka jika saya ingin pergi jauh dalam bidang pengurusan projek ini.

Saya kini mendapat minat yang baru iaitu bermain seruling hahahahaha saya bergurau lagi. Memang saya kini suka bermain seruling di rumah bagi mengisi masa lapang saya tetapi minat yang saya maksudkan ialah saya kini semakin berminat dengan duit. Mungkin juga kerana saya kini dikelilingi oleh orang-orang yang sukakan duit.

Saya adalah seorang manusia yang menjadi sebahagian daripada alam ciptaan Allah ini. Kini saya mengerti bahawa sejarah silam hanya boleh direnung sebagai tamsilan. Apa yang paling penting ialah masa depan. Dari kehancuran dan keruntuhan kota zaman silam, kita harus bangkit membina empayar gilang gemilang. Ibarat seekor Burung Phoenix yang bangkit dari abu. Terbang menjulang dengan api tujuh warna membakar angkasa membiru!!.

Tuesday, May 12, 2009

Kiranya Masih Ada Kasih...


Butiran embun masih lagi melekat di hujung rumput sewaktu saya melangkah ke halaman rumah mertua. Suasana masih lagi dingin dan menyegarkan. Walaupun secalit kabus sukar dicari lewat hari-hari kini, namun kesegaran yang terasa masih tetap sama seperti dahulu.

Anak-anak saya berlumba-lumba keluar dari rumah sebaik melihat saya berada di halaman. Melihat mereka berlarian keriangan di dalam dingin pagi, mengimbas kembali keriangan waktu kecil saya langsung membuatkan saya tersedar betapa pantasnya waktu berlari. Sedar sahaja, usia saya sudah menjangkau hampir 40 tahun. Tidak berapa lama lagi, saya akan berada di usia emas.

Telefon berbunyi menyentak lamunan saya. Mak rupanya!!
"Hari ini kamu ke mana?" Mak bertanya.
"Tak ke mana-mana... kenapa Mak?" Saya memandang mengawasi anak-anak saya yang berlari berkejaran. Bimbang jika mereka berlari arah ke jalan yang berturap.
"Mak ingat nak ke rumah Beh (bapa saudara saya) kamu. Mak Teh kamu kata, dia dah keluar dari hospital"
"Hmmm.. kalau macam tu, Mak siaplah. Sekejap lagi saya datang ambil Mak"

Matahari memancar garang sewaktu saya sampai ke rumah Mak. Rupanya Mak masih berkain batik menonton drama di Astro dengan ditemani oleh Fatin, anak Kak Yang.
"Mak ingatkan kamu sampai lambat lagi.." kata Mak.
Saya senyum sahaja. Mak memang selalunya begitu. Selalu ambil masa untuk bersiap. Selagi belum tiba masa, jangan haraplah Mak akan menukar baju. Sebaik melihat saya tercogok di depan matanya, barulah Mak terkocoh-kocoh bersiap. Kerana itu, asal berpergian bersama Apak, pastilah Apak akan berkicau panjang dengan perangai Mak itu. Mak lebih senang berpergian ke mana-mana bersama saya kerana saya tidak banyak kerenah dan tidak suka mengomel.

Dari luar rumah saya perhatikan kedai Apak yang dikunjungi oleh beberapa orang pelanggan yang datang untuk menjamu selera. Apak...!! entah kenapa hati saya tiba-tiba dipagut pilu. Sekali sekala saya terlihatkan kelibatnya keluar masuk kedai kopi itu. Saya berteleku di anak tangga mengenangkan hubungan saya dan ayah saya. Memang saya akui saya dan dia tiada hubungan yang mesra. Namun bapa tetap seorang bapa. Tiada apa yang dapat memutuskan hubungan kami dari dunia sampailah akhirat.

Mak keluar dari kamar dengan kurung bandung berbunga halus. Pipi Mak putih disapu bedak. Mak masih cantik di usia tua.
"Opah, Fatin nak ikut.." kata Fatin mencuit-cuit hujung tudung Opahnya.

Sambil menunggu Mak minum teh di dapur, saya menekan suis komputer. Tiba-tiba Apak masuk dari arah pintu. Sebaik terpandangkan saya, langkahnya terhenti.
"Bila kamu sampai" Mata Apak menikam tepat ke dalam anak mata saya. Seolah-olah dia cuba menyelami apa yang sedang tersirat di hati saya. Cuba meneka apakah soal yang sedang berlegar di dalam keluarga itu sudah sampai ke telinga saya.
"Baru saja.... Apak sihat?" saya bertanya khabar. Cuba berlagak seperti biasa. Seolah-olah tiada apa yang terjadi. Namun saya tidak berupaya menentang tikaman matanya.

Saya bagaikan terkelu lidah sepanjang pemanduan ke rumah Beh. Fatin dan Alia di tempat duduk belakang becok berceritakan tentang perkhemahan pengakap yang mereka ikuti pada minggu sebelum itu. Saya menjeling Mak yang duduk di sisi saya. Mak memandang jauh ke luar tingkap.
"Apak macam mana sekarang Mak?" tanya saya. Mak sedikit terkejut. Barangkali pertanyaan saya itu menyentak lamunannya.
"Apak kamu... dia, err... entahlah. Mak pun tak tahu nak cakap. Mak harap-harap dia dah berubah sikap" kata Mak.
"Dah berubah betul ke?" saya bertanya. Tetapi entah kenapa, soalan saya itu kedengaran seperti sinis atau mungkin juga ragu-ragu.
"Sepanjang yang Mak kenal Apak kamu, selalunya bila Mak dah bercakap, dia akan cepat-cepat ubah perangai.."

Saya geleng kepala. Mata saya lekat pada jalan yang lurus. Tidak banyak kereta mengisi jalan di tengahari pada hujung minggu seperti ini.
"Kenapa?" Mak bertanya bila melihat saya hanya terpaku mendiamkan diri.
"Entahlah Mak. Indera tak tahu nak kata apa. Indera ni cuma seorang anak. Tak ada apa yang Indera boleh buat. Indera cuma boleh diam dan perhati. Indera tak boleh tukar keadaan ini. Indera tak boleh tanya Apak sebab kenapa dan mengapa. Indera tak boleh serang dia kerana dia seorang ayah. Buruk dan berdosa benar perbuatan Indera itu nanti..."
"Memanglah... Mak juga tak harapkan apa-apa tindakan dari kamu. Mak bercerita pada kamu hanyalah nakkan hati Mak ni lebih tenang. Itu saja" kata Mak.

Saya menurunkan cermin kereta supaya angin segar dapat mengalir masuk menyejukkan kami di dalam kereta. Penghawa dingin kereta saya seperti merajuk minta diselenggara sejak akhir-akhir ini.

Malam sebelum pulang ke ibukota, saya melangkah ke kedai Apak. Dari luar, saya nampak dia sedang leka mencuci cawan-cawan kopi di dalam besen berwarna merah. Apak langsung tidak menyedari kehadiran saya. Saya perhatikan uban-uban putih yang memenuhi kepalanya. Melihat dia sedikit terbongkok menyedarkan saya betapa ayah saya sudah uzur dan tua. Segala kegarangan dan ketegasannya dulu bagaikan surut bersama tenaganya. Saya menyentuh bahunya dan Apak segera menoleh.
"Saya balik dulu, Apak..." kata saya cuba menyembunyikan sebak di dada. Saya menyalaminya.
"Hmmmm... Hati-hati bawak kereta. Ada duit?"
Saya terkalap. Kiranya masih ada kasih di dalam hati Apak.

Ayah dan ibu...
Ayah dan ibu...
Itulah permulaan kami
Dapat melihat, bulan dan matahari

Monday, April 27, 2009

Bila Isteri Sudah Tidak Lagi Cantik II

Sewaktu saya pulang ke kampung hari Jumaat lepas, anak-anak saya tidak sihat. Zaryn demam dan selsema diselang seli dengan batuk terkokol-kokol. Adil Rayyan pula, asal bersin sahaja, akan mengalir lendir dari hidungnya. Hanya Siri Aufa sahaja yang masih ligat ke sana ke mari dalam cuaca yang panas.

Akibat terlalu mengulit anak-anak saya, saya juga turut diserang demam dan selsema sehingga menyebabkan badan rasa seram sejuk terutama di waktu malam. Asalnya saya ingin mengambil cuti rehat satu hari. Namun apabila mengenangkan mesej ringkas yang dihantar oleh Abang Ngah meminta saya hadir juga ke pejabat kerana ada dokumen tender yang perlu diuruskan sebelum 29 April ini, saya gagahi juga pulang ke Kuala Lumpur. Andai kata saya masih memikirkan untuk bersenang-lenang, pasti masak saya dileteri oleh budak debab itu.

Rumah Mak sunyi sepi tatkala saya berkunjung sebelum memulakan perjalanan pulang. Lampu luar tidak menyala. Bunyi cengkerik yang nyaring menambahkan sepi malam yang penuh dihiasi bintang bertaburan di dada angkasa. Puas saya mengetuk pintu bertalu-talu. Lepas 3 minit, barulah pintu dibuka oleh Faiz, anak bongsu Kak Yang.
“Opah!!! Achik datang!!” laung Faiz kepada Mak. Namun tiada jawapan yang diterima seperti selalunya.

“Achik, Opah demam..” kata kanak-kanak itu.
“Iya? Mana Opah?” tanya saya pula.
“Opah kat dapur”

Sewaktu saya melangkah ke dapur, Mak berteleku di meja makan. Nampaknya demam Mak agak kuat menjadikan Mak bagaikan tidak berupaya untuk bersuara.
“Kamu dah makan?” tanya Mak.
“Belum..” jawab saya sambil memandang sekeliling dapur. Kak Yang baru sahaja masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang. Barangkali tadi dia keluar membuang sampah. Kak Yang berlalu tanpa menghiraukan saya dan terus masuk ke biliknya seolah-olah saya ini tidak wujud di depan matanya. Dari riak wajahnya, jelaslah dia itu bagaikan menyimpan sesuatu di dalam hati. Marahkan akukah?, hati saya berteka-teki. Ahhh.. barangkali dia itu baru lepas mengamuk marahkan anak-anaknya. Maklum sahajalah, anak-anak Kak Yang itu semuanya nakal-nakal belaka!!, hati saya memujuk.

“Kalau kamu nak makan, Mak siapkan sekejap” kata Mak sambil gagahkan dirinya untuk bangun berdiri. Tetapi Mak uzur sangat. Sukar nampaknya dia mengimbangkan badannya.
“Tak apa, Mak. Tak apa!!. Kalau saya lapar nanti saya ambil sendiri” kata saya memapah Mak membantunya duduk semula.

Saya mengambil nasi dan lauk sebelum duduk semula di sisi Mak. Saya masih berselera walaupun badan saya terasa lemah tidak bermaya. Mak memandang wajah saya tanpa berkata apa. Sementara saya pula tidak mensyaki apa-apa.
“Mak demam, saya pun demam” kata saya. Mak tersenyum.

Selesai makan itu, saya yang duduk di sisi Mak mengurut-urut siku dan lutut saya yang membengkak akibat gout. Terdapat kesan bengkak yang besar di anggota itu. Sengal dan pedih rasanya. Saya memandang jam di dinding. Jarum pendek hampir menunjukkan angka Sembilan.
“Saya balik dulu ya, Mak. Nanti lewat pula sampai di Serdang”

Mak bungkam. Terus memandang wajah saya. Seolah Mak rindu benar dengan saya.
“Apak kamu curang dengan Mak..” suara Mak seakan berbisik. Jelas ada getar di sebalik suara itu.

“Apa dia, Mak?” saya bertanya dengan Mak kalau-kalau saya ini tersilap pendengaran.
“Apak kamu main kayu tiga...”
Saya terpaku. Kelu lidah tidak mampu bersuara. Memang saya terkejut. Memang saya tidak silap pendengaran.
“Dengan siapa?”
“Dengan anak Itam Ajis. Budak tu janda”
“Mak tersilap dengar cerita orang barangkali?”
“Mata Mak sendiri nampak Apak kamu dengan budak tu”
Saya terdiam. Mak juga terdiam. Gagal berkata apa-apa. Saya memandang kosong cawan teh yang meruap dengan wap panas.

+++

Sudah dua hari Mak di rumah Adina. Sudah dua malam Mak di Shah Alam. Adina sakit tulang belakang sejak jatuh sebelum pemergiannya ke Scotland dulu. Selama setahun kesakitan itu tinggal bersembunyi di dalam tubuhnya. Sedikit pun tidak terasa. Sedikit pun tidak mengganggu pelajarannya. Pulang sahaja ke Malaysia, kecederaan itu mula menyerang pinggangnya.

Rumah Mak di kampung sunyi. Yang ada hanya anak-anak Kak Yang yang terlentang bagaikan ikan kering di hadapan peti television menonton Diari Akademik Fantasia. Apak masih lagi di kedai kopi. Entah apa yang dibikinnya, tiada siapa yang tahu.

Kak Yang rasa tidak sedap hati sedari petang lagi di hospital. Beberapa kali dia menelefon ke rumah, memastikan anak-anaknya berada di dalam keadaan yang selamat. Setiap kali menelefon, suara anak-anaknya yang ceria mengusutkan rusuh hatinya. Namun tidak lama. Hati Kak Yang kembali berdebar-debar.

Sebaik sahaja jam menunjukkan jam sembilan, Kak Yang terus pulang. Sewaktu melewati kedai kopi Apak yang hanya beberapa rantai sahaja daripada rumah Mak, Kak Yang ternampak Zubaidah Janda, anak Pak Itam Ajis masuk ke dalam kedai Apak sebelum diikuti oleh Apak. Kedai Apak kosong tiada pelanggan. Kak Yang tahu memang Zubaidah Janda itu selalu menghantar kuih setiap pagi ke kedai Apak, tetapi apa perlunya menghantar kuih lewat malam-malam begitu? Siapa yang ingin memakan kuih di waktu malam ketika orang lain sedang berkira-kira ingin masuk tidur?

Kak Yang segera menghentikan keretanya di bawah pokok yang agak tersembunyi. Apak menutup pintu kedai dari dalam. Hati Kak Yang bagaikan ingin pecah!!

Selama seminggu Kak Yang memerhatikan tingkah mereka. Selama seminggu hati Kak Yang hancur. Begini akhirnya cerita di saat Mak jauh menemani anak Mak yang sedang sakit...


+++

“Kalau ikutkan hati saya Mak, nak saja saya hempuk perempuan tu” Kak Yang mengakhiri ceritanya di hadapan Mak. Kak Yang sudah tidak tahan lagi.
“Jangan Khairani. Ini antara Mak dengan Apak kamu. Kalau kamu buat tak tentu, esok tak senang hati kamu tinggal di sini. Entah apa yang tak kena di mata Apak kamu nanti mencari kesalahan kamu” kata Mak.

Mak memandang sepi cucu-cucu Mak yang ligat berlari ke sana dan ke mari. Apak bagaikan tidak betah pulang ke rumah. Dia lebih selesa berada di kedai kopinya. Patutlah sejak Mak pulang dari Shah Alam, Apak mengasingkan tempat tidurnya. Pulang sahaja dari kedai kopi, Apak membentang tilam di ruang tamu dan terus berdengkur sehingga santak subuh.

Malam itu Mak tergerak hati ingin ke kedai kopi Apak. Sebelum melangkah, Mak berdoa kepada Allah agar diperlihatkan kebenaran. Nampaknya motorsikal kepunyaan janda itu ada di hadapan kedai Apak. Mak menolak daun pintu. Sungguhlah...!!

Mak melihat Apak sedang duduk dengan janda itu di atas satu bangku panjang. Jarak mereka berdua tersangat rapat sehingga seakan bertindih peha. Mereka langsung tidak menyedari kedatangan Mak. Mak terpaku menelan kebenaran di hadapan mata.
“Ohhh.. ini kerja kome berdua ya?” kata Mak. Apak dan janda itu bingkas berdiri serentak. Di wajah masing-masing kepucatan.
“Jadi betullah apa yang aku dengar selama ini? Betullah cerita suami aku main kayu tiga” Mak tersenyum pahit.
“Sebelum aku keluar tadi, aku berdoa kepada Allah supaya ditunjukkan tingkah laku kome di hadapan mata aku. Memang sahihlah...”

Apak dan janda itu masih terkelu. Mak memandang tepat ke arah janda itu.
“Kamu jual kuih apa malam-malam ni? Jual “Apam”? Mak sudah hilang sabar.

“Pergi keluar cepat.. pergi keluar” Apak berbisik kepada janda itu. Zubaidah itu bergerak takut-takut di hadapan Mak sebelum meluru ke pintu. Yang tinggal hanya Mak dan Apak.

“Awak ni kan, tak malukah pada Tuhan? Pada anak-anak awak? Rumah kata pergi, kubur kata mari. Sepatutnya umur-umur macam awak ni, awak giat di masjid. Di tikar sembahyang. Bukan buat maksiat dengan janda tu”

Mak tidak menunggu lama. Mak terus beredar dari situ meninggalkan Apak keseorangan yang masih terpaku di pintu kedai. Mak melepaskan esak tangis di dalam kepekatan malam yang menyelubungi di sekitar jalan menuju ke rumah Mak.


+++

“Mak kecewa.... kecewa dengan sikap Apak kamu..” kata Mak. Saya buntu. Tidak tahu apakah yang patut saya ucapkan untuk meredakan rusuh hati Mak. Saya peluk Mak. Panas badan Mak dek demam bersatu dengan kepanasan demam tubuh saya.

Patutlah Kak Yang enggan menoleh memandang saya. Jika saya menegur dan memulakan bicara, pasti cerita Apak ini akan keluar dari mulutnya. Kak Yang merahsiakan perkara ini dari saya rupanya. Mak yang akhirnya bercerita. Jika tidak pasti sampai sudah saya tidak tahu hujung pangkalnya!!

Saya tetap anak Mak. Biar apa pun tindakan Apak, biar seteruk mana perbuatan Apak mengguris hati Mak, saya tetap anak Mak. Menyayangi Mak tanpa berbelah bagi.
“Mak dah tak kisah dah.. kalau dia nak kahwin dengan janda tu pun Mak tak kisah. Dah puas Mak menelan kepahitan hidup bersama Apak kamu. Jika dulu, setiap yang terjadi, Mak tahan hati Mak sebab Mak fikirkan kome masih kecil lagi. Kemudian bila kome dah besar, Mak tahan hati Mak lagi sebab Mak tahu kome perlukan dia untuk nikah kahwin kome. Sekarang ni bila anak-anak Mak semua dah kahwin, Mak dah tak kisah lagi dah..” kata Mak menahan airmata yang jatuh.

“Cuma kalau dia sungguh nakkan janda tu, buat cara elok. Kemudian, lepaskan Mak. Mak boleh bawa hati Mak ke rumah anak-anak Mak tanpa perlu minta izin dia”

Hati saya sebak sewaktu melangkah ke kereta. Saya peluk Mak. Saya cium Mak. Maafkan Indera, Mak. Kali ini Indera gagal menunjukkan Mak jalan keluar dari permasalahan Mak!!

“Mak demam sebab perkara inikah?” tanya saya
“Semua ada. Dan ini salah satunya”
Indera : Sedih, sayu dan pilu. Dari dulu hingga kini, Apak tidak pernah gagal memberi luka dalam hati saya. Biarlah dia melukakan hati kami semua. Saya sudah lali dilukai. Satu lagi kelukaan yang diberikan tidak akan menambah kesedihan yang sedia ada.

Wednesday, March 18, 2009

Dan Semua Datangnya Daripada Allah

Sewaktu saya kecil dahulu, saya telah diasuh untuk menghargai pemberian orang. Mensyukuri nikmat kurniaan Allah walaupun rezeki yang dikurniakan itu tersangat sederhana bagi sesetengah pihak. Waktu kecil dahulu, masa saya banyak dihabiskan di rumah Opah berbanding dengan masa saya bersama Mak dan Apak. Barangkali, saya ini seorang yang suka pada persekitaran yang meriah menjadikan saya lebih betah berada di rumah Opah dengan dikelilingi oleh sepupu-sepupu saya jika dibanding dengan keadaan senyap sunyi di rumah Mak.

Atuk hanya seorang penoreh getah. Hasil yang diperolehi sangat kecil untuk menjamu anak-anak dan cucu-cucunya dengan makanan yang mewah melainkan menu yang terhidang saban hari selalunya seakan sama. Ikan sepat masin yang digoreng atau ikan bilis goreng berkicap serta sayur-sayur kampung. Jika difikirkan, Apak itu seorang guru. Sudah tentulah makanan di rumah Mak akan lebih menyelerakan jika dibandingkan dengan apa yang ada di rumah Opah. Akan tetapi hakikatnya, setiapkali tiba waktu makan pagi, tengahari atau malam, adalah satu saat yang paling mengembirakan bagi saya dan sepupu-sepupu saya apabila kami harus tertib di hadapan hidangan, kemudiannya beriuh rendah bertukar cerita dan gelak ketawa terutama apabila mendengar celoteh Atuk. Makanan yang sederhana pun akhirnya bertukar menjadi satu hidangan yang sangat menyelerakan.

Saya akui, saya agak kurang rapat hubungan dengan ahli keluarga saya kecuali dengan Mak. Ini kerana, sebaik sahaja saya menamatkan pelajaran saya di peringkat rendah, saya diterima masuk ke sekolah berasrama. Habis sahaja sekolah, saya ke Shah Alam pula menyambung pelajaran saya di ITM. Pulang ke rumah hanyalah di waktu cuti panjang. Manakala cuti itu pula banyak dihabiskan bersama Opah, Atuk dan sepupu-sepupu saya.

Jadi tidak hairanlah jika perangai dan sikap saya banyak dibentuk dari luaran. Sifat dan pembawakan saya berlainan dan berlawanan dengan perangai Apak dan adik beradik saya.

Menyentuh perihal rezeki ini, Abang Ngah pernah berkata yang saya pegang sehingga kini, “Apabila terbit matahari, akan bergegaslah Malaikat Mikail ke timur dan ke barat mencari rezeki buatmu”. Begitulah rezeki kurnia Allah. Hal ini sering membuatkan saya kagum bercampur hairan memikirkan kebijaksanaan Allah mengatur rezeki buat hambaNya. Pernah di satu masa, saya tinggal di Kelang. Sebaik sahaja habis urusan kerja di Kuala Lumpur, saya bertemu dengan seorang rakan karib yang lama terpisah. Hubungan saya dan keluarganya sebelum itu juga agak rapat. Kebetulan sewaktu kami bertemu itu, keluarganya di Seremban sedang mengadakan majlis kesyukuran. Dan saya dijemput!! Akhirnya, makan malam saya hari itu, Allah tetapkan rezeki saya berada di Seremban. Subhanallah. Maha suci Allah yang mengatur tiap sesuatu.

++

Pagi ini hujan turun renyai-renyai membasahi Serdang. Matahari kelam timbul tenggelam di sebalik awan mendung. Menjelang jam 7.30, hujan turun dengan lebat di saat saya sedang mengenakan kemeja untuk ke Shah Alam. Saya kemudian duduk berteleku di jendela melihat barisan kereta yang berpusu-pusu keluar dari kawasan kediaman saya. Dengan keadaan jalan yang licin, kesesakan jalanraya yang menyakitkan kepala, ditambahi pula dengan keadaan brek kereta saya yang sangat tidak memuaskan, menjadikan saya berlengah-lengah sedikit untuk keluar bekerja. Untuk keluar mencari sarapan pagi pula, hujan yang turun lebat itu tidak memungkinkan saya dapat berjalan jauh hanya mencari sebungkus nasi lemak.

Hujan usai setelah jam melepasi angka sembilan. Saya memutuskan untuk bersarapan pagi di Shah Alam sahaja. Jam sembilan baru terkocoh-kocoh keluar dari rumah di saat pekerja kerajaan dan swasta sudah tiba di pejabat dan saya menjangkakan jalanraya menjadi sedikit lengang. Rupa-rupanya jalan di Kuala Lumpur memang keramat. Masih tetap sesak di mana-mana. Akhirnya saya tiba di Shah Alam jam 11.30 pagi.

Shah Alam masih seperti dahulu. Udaranya, pemandangannya, dan segala-gala yang berkaitan dengannya masih mengekalkan ciri-ciri 15 tahun yang lampau. Menelusuri jalan di setiap seksyen membangkitkan kenang-kenangan lama yang tidak dapat diulang kembali. Segala yang terbaik dan terburuk dalam hidup saya bertaburan merata-rata di setiap jalan yang saya lalui.

Telefon bimbit saya berbunyi sebaik sahaja saya habis mengadap hidangan tengahari. Abang Ngah!!.
“Hello... kau ada kat mana?”
“Ada kat Shah Alam, Abang Ngah... Dah nak balik dah ni” jawab saya. Pasti Abang Ngah berada di pejabat di Hulu Kelang.
“Engkau tunggu aku kat situ sekejap. Aku ada kat UiTM. Engkau tunggu aku kat Caltex”

Abang Ngah sampai selang 5 minit kemudian. Wahhhh... rupa-rupanya Abang Ngah ingin membelanja saya makan tengahari. Wahhhh...., perihal saya baru habis makan tengahari jangan dikhabarkan kepadanya. Prinsip saya, rezeki jangan ditolak. Untuk itu merasalah saya, makan tengahari buat kali keduanya dengan agak istimewa. Barangkali Abang Ngah baru kena loteri!!.

Dalam perjalanan pulang ke pejabat, saya tersenyum sendiri. Betapa saya sengsara di waktu pagi bergelut dengan kesesakan jalanraya dan cuaca yang tidak menentu tanpa sarapan. Tetapi di waktu tengaharinya, Allah mengurniakan saya dua hidangan dalam masa yang sangat hampir. Maha suci Allah yang sangat pemurah lagi bijaksana.

++

Pejabat kosong. Semua orang sudah pulang. Tinggal saya seorang yang masih setia dihembus angin dari penghawa dingin yang merekodkan bacaan 18 darjah selsius. Saya perlu berada di pejabat ini. Saya harus berada di sini untuk menanti masuknya waktu Maghrib. Jam di dinding menunjukkan jam 6.30 petang. Jika saya memandu pulang di waktu-waktu begini, pasti solat Maghrib saya akan terlepas dek kesesakan lalulintas.
“Ya Allah, ya Tuhanku. Ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibubapaku, dosa ahli keluargaku serta dosa umat muslimin dan muslimat sekelian. Kurniakanlah aku dengan rezeki yang halal buatku meneruskan kehidupan di dunia ini sementara melangkah ke alam abadi. Matikanlah aku di dalam keimanan dan matikanlah aku dengan mengucap Asyhadu anllailahaillallah wa Muhammadur rasullullah...”

Di dada langit bertaburan bintang-bintang berkerlipan. Saya menggalas beg yang berat sambil menahan kesakitan keradangan sendi yang mula membengkak di siku. Restoran Lazzat di aras bawah pejabat kini lengang. Yang ada hanya satu meja diisi oleh sepasang suami isteri dan seorang anak perempuan mereka yang berusia dalam lingkungan 8 tahun yang masih dalam pakaian sekolah. Dari gaya mereka, tampak mereka itu dari keluarga yang berada.
“Ya bang, nak makan apa?” tanya gadis manis pelayan restoran itu. Mata saya terpaku di kaca television yang tergantung pada gelegar siling. Hmmmm... cerita Embun rupanya, fikir saya.
“Bagi saya nasi goreng dahlah” kata saya.
“Minumnya bang?”
“Air suam!! Errrr... boleh saya pinjam suratkhabar?” kata saya lagi sambil mengerling ke arah meja sebelah yang diduduki oleh pasangan berkenaan.

Makanan sampai ketika saya asyik meneliti berita semalam yang mengisi akhbar. Pasangan itu berbual-bual dengan suara yang agak perlahan manakala anak perempuan baru sudah menghabiskan segelas milo ais. Saya langsung tidak ambil endah keadaan sekeliling saya walaupun saya menyedari bahawa pelayan-pelayan restoran itu berulang alik dari meja sebelah ke dapur menghantarkan nasi dan lauk pauk ke meja milik pasangan itu. Tumpuan saya hanyalah pada hidangan dan wajah jelita Umi Aida sahaja.

“Hello awak, mari sini sekejap....” panggil lelaki di meja sebelah itu kepada pelayan restoran. Apabila dipanggil berulangkali pekerja restoran itu tidak mengendahkannya, lelaki itu naik berang dan terus ke kaunter.
“Hello kak!!” teriak lelaki itu melaung tukang masak di dapur.
“Ayam yang saya pesan tu dah masak ke belum? Kalau belum, jangan masak. Saya dah tak ada selera nak makan dah ni. Tahu tak saya ni dah tunggu lama?” bentaknya sekuat suara.
“Kira berapa semua tu!!” katanya lagi tanpa mengendahkan saya yang menoleh ke arahnya.

Gadis manis pelayan restoran itu datang takut-takut menghampiri lelaki itu. Lelaki itu menghulurkan kepadanya not RM50.00 sebelum berhamburan keluar dari restoran dengan diekori oleh isteri dan anaknya. Tinggal nasi dan lauk pauk yang belum diusik dan dijamah hanya disebabkan satu menu yang dipesan lewat tiba.





Saya geleng kepala. Lelaki itu telah melakukan pembaziran yang nyata. Barangkali duitnya sudah terlalu banyak sehinggakan dia sendiri tidak tahu ke mana harus dibelanjakan duitnya itu. Saya menggeleng-gelengkan kepala saya lagi. Betapa letihnya Malaikat Mikail bergegas ke timur dan ke barat mencarikan rezeki untuknya. Tetapi akhirnya rezeki itu dinafikannya dengan begitu sahaja.

Tidakkah dia sedar bahawa dia tidak selama-lamanya dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah? Tidakkah dia sedar bahawa rezeki itu ibarat air yang mengisi pantai yang ada pasang dan surutnya? Tidakkah dia sedar bahawa dia telah menunjukkan taulan yang sangat buruk kepada anaknya dalam menghargai rezeki kurniaan Allah?.

Barangkali, ibu dan ayahnya dulu tidak mendidiknya dengan baik atau.... barangkali juga hanya dia yang sudah terlupa segala ajaran dan pengajaran akibat lalai dengan status dan kekayaan.

Saya teringatkan satu malam saya berbual dengan Abang Ngah sewaktu kami pulang dari Ampang Point. Kisah yang berkisar tentang cerdik pandai Melayu. Cerdik pandai Melayu yang diambil dari desa-desa, diberi pendidikan yang terbaik dengan keistimewaan sebagai anak Melayu. Apabila sudah memegang kuasa, dia menjadi liberal. Kemudian dia melaung-laungkan agar keistimewaan anak-anak Melayu ditarik semula.

Saya membandingkannya dengan lelaki itu. Saya membayangkan, dia berkemungkinan diasuh dengan nilai-nilai murni dan mensyukuri setiap rezeki. Namun apabila dia sudah berharta, dia menjadi lupa bahawa wang, rezeki yang dikurniakan itu haruslah dihargai sebaik mungkin.

Saya tersenyum. Saya mensyukuri keadaan hidup saya sekarang. Saya kini dilimpahi dengan kasih sayang dari sengenap sudut. Orang cina pernah berkata, lelaki yang memiliki segala-galanya itu ialah apabila dia dikurniakan dengan wang, harta, wanita dan sahabat setia. Saya bersyukur, saya mempunyai seorang isteri yang penyayang, anak-anak yang manis, serta abang/sahabat baik yang tidak mungkin saya boleh tukar ganti seperti Abang Ngah. Sekalipun saya tidak dikurniakan dengan harta yang melimpah ruah!!.


Tuesday, March 10, 2009

Malaikat Di Jendela

Sebuah Kenangan Dari Allahyarham Anakanda Amir Yusuf...
(gambar ehsan www.fajaril.net/blog)


++

Mei 1981

Saya duduk di tangga rumah Mak memeluk kucing kesayangan saya, Yumi sambil memandang ke arah jalan yang terus masuk ke rumah Pakcik Jais. Beberapa orang wanita separuh abad datang menziarahi rumah Pakcik Jais, datang menjenguk isteri Pakcik Jais, Makcik Melah yang baru sahaja melahirkan seorang anak lelaki. Semalam, awal-awal pagi Mak sudah bertandang ke rumah Pakcik Jais. Pulang sahaja dari rumah itu, wajah Mak muram bercampur sedih. Sepatah pun Mak tidak memberitahu saya, apakah perkara yang menyebabkan hati Mak disapa pilu. Pulang sahaja Apak daripada dusun tengahari itu, sewaktu Apak duduk berehat menyejukkan badan, Mak datang duduk bersimpuh di sisi Apak sambil membisikkan sesuatu. Dari raut wajah Apak, kelihatan Apak sangat terkejut.

Walaupun berjiran, hubungan Apak dengan Pakcik Jais tidaklah semesra mana. Ini kerana Pakcik Jais sendiri sememangnya kurang peramah dan Apak pula bukanlah jenis yang suka mencampuri urusan orang lain. Saya mengelus bulu halus di tubuh Yumi sementara mata saya lekat memandang orang yang turun naik silih berganti di tangga rumah Pakcik Jais. Beberapa orang wanita yang turun dari tangga rumah itu kemudiannya semakin menghampiri rumah Mak. Saya kenal mereka. Mereka itu Wan Saemah, Makcik Tun bini Pak Mat Karib dan juga Mak Som Janda.
“Assalamualaikum” sapa mereka.
“Waalaikummussalam” jawab saya. Yumi bingkas bangun melarikan diri apabila melihat orang datang. Memang kucing kesayangan saya itu takutkan orang asing.

“Mak kamu ada?” Tanya Mak Som kepada saya sambil melihat saya ke atas dan ke bawah menjadikan saya sedikit tidak selesa.
“Errrr... ada. Makkkk!!! Ada orang datang!!” laung saya.
“Makkkk....” laung saya lagi apabila Mak tidak menyahut.
“Yalah... Mak datang ni!!” kedengaran suara Mak jauh di belakang rumah.

Sebaik sahaja tetamu-tetamu itu masuk ke rumah, saya kemudiannya dilanda kebosanan. Saya mengambil ranting kayu lalu mengukir di tanah nama budak perempuan yang saya sukai di sekolah. Zuraini... saya kemudiannya tersenyum malu. Nampak dek kakak dan abang saya, pasti puas saya digiat oleh mereka.
“Indera!!” saya mendengar Mak melaung nama saya dari dalam rumah.
“Saya...!” saya menyahut.
“Masuk sekejap. Tolong buatkan air untuk makcik ni”
Saya mengerutu di dalam hati. Bukan saya tidak kenal dengan makcik-makcik itu semua. Mereka itu memang terkenal dengan perangai suka membawa mulut. Malangnya saya hari itu terpaksa membancuhkan kopi untuk mereka.

“Kau dah tengok anak baru si Melah tu, Dah?” tanya Wan Saemah.
Sambil membancuh kopi itu, saya memasang telinga.
“Dah” jawab Mak pendek.
“Itulah jadinya kalau sesama jiran sekampung tak nak bertegur sapa. Buat hal sendiri. Sombong pulak tu.. Sudahnya diqadhakan dek Allah” kata Makcik Tun.
“Tak baik Kak Tun cakap macam tu..” kata Mak.
“Huhhh.. tak baik apanya?. Dah memang ya!!” kata Makcik Tun.

Tiba-tiba saya terdengar pintu bilik Apak dibuka dari dalam. Apakkeluar dari bilik dengan airmuka yang amarah. Saya mengintai dari dinding dapur.
“Kak Tun, apa yang Kak Tun merepak kat sini?. Orang tu tengah dilanda sedih, Kak Tun pergi jaja cerita keburukkan orang. Bukannya nak simpati. Menghina lagi ada. Kerja kelahiran bayi ini semua di tangan tuhan. Kita tak ada hak menghukum sesiapa hatta diri kita sendiri. Pergi balik!! Jangan datang rumah saya kalau macam ni perangai kome semua!!” saya sendiri terkejut dengan perangai Apak petang itu. Tidak pernah seumur hidup saya melihat Apak menghalau orang dari rumahnya. Barangkali, sikap makcik-makcik itu semua sudah melampaui batasan.
“Huhhhh... kamu halau keme, ye Suria? Lepas ni, tak ku ingin lagi nak pijak tangga rumah kamu ni!” kata Makcik Tun menceceh-ceceh marahkan Apak dan Mak sebelum tergesa-gesa menyarung seliparnya dengan diikuti oleh kedua makcik itu juga.

Apak kemudian menyarung baju kemejanya. Dia menghampiri saya yang sedang menatang dulang berisi cawan-cawan kopi yang tidak sempat diminum oleh tetamu-tetamu itu.
“Nak ikut Apak jalan-jalan?” tanya Apak kepada saya.
“Nak”

Kami menuruni anak tangga. Melangkah menuju ke rumah Pakcik Jais. Tiba sahaja di halaman rumah Pakcik Jais yang berpasir putih itu, Apak memberi salam. Pakcik Jais menjenguk keluar. Terpegun melihat Apak tercegat di anak tangga rumahnya. Pakcik Jais seakan terkelu. Dia segera menuruni anak tangga sebelum memeluk Apak.
“Silalah naik, abang” kata Pakcik Jais.

Apak segera memangku bayi Pakcik Jais. Apak tunjukkan kepada saya.
“Indera suka tak?” tanya Apak.
“Suka.. comelnya dia!!” kata saya.

“Sudah diberi nama anak ini Jais?” tanya Apak.
“Belum abang. Abang ada cadangan ke?” tanya Pakcik Jais. Dia kemudiannya menguntum senyum. Hilang sebentar mendung di wajahnya.
“Abang cadangkan kalau dia diberi nama Jamil. Jamil itu maksudnya cantik. Muhammad Jamil”
Pakcik Jais menganggukkan kepalanya.
“Biarlah Jamil ini menjadi anak abang”
Pakcik Jais menganggukkan kepalanya lagi.
“Horrrayyyy....” saya berteriak suka.

Kami adik beradik mendapat adik baru. Walaupun adik kami tidak sempurna seperti bayi-bayi yang lain, kehadirannya sangat bermakna buat kami semua. Apak mendidik kami untuk mensyukuri pemberian Allah di samping merasa belas kasihan kepada insan yang kurang bernasib baik.

Namun Jamil tidak lama menyeri hidup kami. Usianya sekadar enam bulan sahaja. Dia kemudiannya pergi menemui Allah akibat komplikasi hati. Pakcik Jais berteleku di atas kuburan Jamil sambil ditenangkan oleh Apak sedang di pipi Apak sendiri berlinangan airmata kesedihan. Saya memandang tanah perkuburan sunyi yang kini menjadi tempat bersemadinya adik saya. Saya tidak tahu apa yang mampu berlegar di kotak pemikiran saya selain daripada ucapan selamat jalan buat adik tersayang. Tidurlah adik, tidurlah sayang. Abang akan selalu mengingatimu!!!

++

Jun 2008

Saya membuka halaman blog Fajar Angkasa itu. Tulisan empunya blog itu sangat ajaib, membuai di dalam kata, mengalun indah bait-bait perkataan dengan tersusun dan kemas. Wahhh...!! hari ini dia dikurniakan seorang putera. Tahniah.. tahniah.. tahniah buatmu Fajar. Fajar kini sudah mempunyai dua orang cahayamata. Seorang perempuan dan seorang lelaki. Moga-moga hidupnya di Glasgow sana akan senantiasa diberkati oleh Allah.

Bayi itu dinamakan Amir Yusuf. Sempena nama Nabi Allah Yusuf yang mempunyai rupa paras yang menawan. Alhamdulillah.... abang juga turut menumpang bahagiamu, Fajar!!, kata hati saya.

Namun, kegembiraan itu rupa-rupanya bersalut duka. Amir Yusuf disahkan oleh doktor mengalami kesakitan. Amir Yusuf mengalami pelbagai komplikasi. Sejak dari itu, saya senantiasa menaruh harapan agar Amir Yusuf pulih dari derita yang dihidapinya. Setiap hari saya tidak jemu-jemu mengutip setiap berita yang disampaikan oleh Fajar melalui blog. Berita perkembangan Amir Yusuf. Setiapkali memandang Zaryn Ulfah yang keletah itu, hati saya pasti tersentuh. Amir Yusuf juga sebaya dengan Zaryn Ulfah. Namun ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Namun hati saya tidak tega melihat anak sekecil mereka menderita di katil hospital. Ya Tuhan... aku memohon dengan kudrat dan iradat-Mu, engkau sembuhkanlah Amir Yusuf. Berikanlah peluang baginya untuk membesar dan menghirup udara duniaMu ini sepertimana kanak-kanak lain.


++

Mac 2009

Fajar mengutus pesanan ringkas, Amir Yusuf mengidapi bengkak di dalam usus. Selain daripada itu, jangkitan sudah merebak ke paru-paru.
“Jika keadaan Amir Yusuf semakin kritikal, Abang harap Fajar lekas-lekas beritahu abang”

Bagaimana harus saya bantu? Saya pusing kepala.




++

Malam 05.03.2009

“Abang, keadaan Amir sedang kritikal sekarang”

Pendek sahaja pesanan yang terima daripada Fajar tetapi cukup membuatkan saya tersentak. Fikiran saya berputar-putar, apakah bentuk pertolongan yang dapat saya hulurkan?. Kuala Lumpur dan Glasgow itu sangat jauh.

“Ya Allah, betul ke? Abang tak tahu nak tulis apa. Yg terlintas di fikiran abg skrg ingin membaca Yassin agar kesakitan Amir segera hilang dan disembuhkan oleh Allah. Mudah2an Amir dpt menjalani hidup spt anak2 lain”

Saya kemudian menekan butang send.

Malam itu, dengan penuh pengharapan, saya bacakan Surah Yassin buat Amir Yusuf. Mudah-mudahannya akan berkurangan segala kesakitannya. Cepat-cepat besar, ya Nak ya!!

++

06.03.2009

“Alaaa... tali handbag akak putuslah” Adu Kak Ijah, Pengarah Syarikat Global. Saya tertawa besar sambil mata saya tidak lepas memandang paparan skrin komputer.
“Apa kata akak beli yang baru. Kat SOGO sekarang ada sales. Banyak handbag cantik-cantik, kak!!” kata saya masih tidak putus ketawa.
“Akak ada voucher Parkson RM50.00. Tapi tarikh akhirnya hari ni. Kalau Indera lalu kat mana-mana Parkson, bolehlah tukarkan voucher ni” kata kak Ijah sambil meletakkan voucher itu di atas meja saya. Saya tersenyum. Memikirkan saya mempunyai banyak urusan lain sebelum saya bertolak pulang ke kampong malam itu. Mana mungkin saya dapat memikirkan soal membeli belah jika saya harus sampai di rumah sebelum tengah malam.

Tiba-tiba saya terkenangkan Siri Aufa, Adil Rayyan dan Zaryn Ulfah. Baju tidur mereka sudah lusuh benar. Dengan adanya voucher itu, sudah tentu saya dapat menukarkannya dengan sepasang baju buat anak-anak saya.

Entah kenapa, hati saya sering sahaja berdebar-debar sejak beberapa hari ini. Setiap pesanan yang masuk ke talian mudah alih saya, pasti hati saya berkata “Amir Yusufkah?”.

Pemanduan pulang ke kampung itu agak lancar daripada Bandar Rawang sehingga ke Lebuhraya. Malam yang gelap membungkus pemandangan sekeliling menjadikan saya tidak berpeluang untuk menikmati keindahan alam selain daripada menumpukan sepenuh perhatian terhadap pemanduan.

Tiba sahaja berhampiran dengan Susur-keluar Bukit Tagar, telefon saya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Hati saya berdebar kencang. Saya jadi tidak fokus apabila pesanan itu datangnya daripada Fajar.

“Salam. Amir Yusuf lebih disayangi dan kini pulang ke pangkuan-Nya jam 12.51 pm waktu Glasgow. Al-Fatihah. Moga rohnya dicucuri rahmat sentiasa”.

Innalillahi wainna ilaihi raajiuun. Akhirnya... akhirnya Amir Yusuf pergi jua. Pergi tanpa sempat saya menatap wajahnya seperti yang saya inginkan apabila Fajar pulang ke tanahair kelak. Harapan saya tidak kesampaian. Hilang sudah sebahagian seri dunia ini. Seorang malaikat sudah pergi meninggalkan dunia, terbang menemui Allah. Saya memandang sinar bulan yang suram. Membayangkan ketika itu para Malaikat sedang berbaris bersaf-saf menyambut kedatangan roh Amir Yusuf.

Allah lebih menyayanginya. Tidurlah Anakanda, tidurlah sayang. Doa Ayahanda akan selalu bersamamu.

Al-Fatihah.

++

Senja 10.03.2009

Fajar menelefon terus dari Glasgow. Kami berbicara di dalam sendu kenangan Amir Yusuf. Berbicara tentang kelebihan yang Allah kurniakan kepada Amir Yusuf sedari lahirnya hinggalah saat Amir Yusuf dikebumikan
“Abang tak tahu. Abang bacakan surah Yassin bukan nak suruh dia pergi. Betul.. niat abang supaya kesakitan Amir Yusuf dikurangkan oleh Allah sahaja” saya seakan kesal bercampur sedih.
“Tak apalah abang. Abang sudah lakukan yang termampu” kata Fajar.

Tiba-tiba saya tersedar. Nada suara Fajar itu suara yang sangat tabah sehingga tidak terkesan riak kesedihan di sebaliknya. Barangkali, selama bersama Amir Yusuf banyak mengajarnya erti ketabahan. Saya kagum itu. Barangkali juga itu yang saya inginkan untuk Fajar selama ini. Saya inginkan agar dia sentiasa kuat dan tabah. Gagah dan perkasa menghadapi rintangan dan cabaran di tanah orang. Seperkasa fajar yang membelah kegelapan malam.

----

Indera: Jamil dan Amir Yusuf menghidapi komplikasi yang seakan sama. Merenung jalan bersama Amir Yusuf, membangkitkan kenang-kenangan bersama Jamil. Hadirnya mereka seperti haruman Malaikat yang masuk di jendela pagi. Singkat sahaja. Namun kehadiran mereka sangat-sangat bererti bagi kami.