Tuesday, October 31, 2006

10 hari bercuti...

Haiii... 10 hari bercuti Hari Raya berlalu bagaikan tidak berpesan. Perjalanan masa dirasakan terlalu pantas. Sedar-sedar 10 hari cuti sudah berlalu dan kini perjalanan masa itu berputar seperti sediakala. Kembali pada hidup yang rutin, dengan bebanan kerja di pejabat dan kesesakan jalanraya yang menyakitkan kepala.

Apabila dikenangkan sepanjang 10 hari cuti beraya itu, terlalu banyak peristiwa manisnya. Keriangan sudah terasa di hari terakhir bekerja iaitu Hari Jumaat, 20 Oktober 2006 yang lalu. Sewaktu itu kekalutan pulang ke kampung datang berselang seli dengan pertukaran ucapan Selamat Hari Raya. Setamat sahaja waktu bekerja jam 4.30 petang itu, saya terus memandu pulang ke kampung. Sangka saya, saya akan bertembung dengan kesesakan trafik yang maha hebat. Rupa-rupanya jalan lancar sepanjang Jalan Duta sehingga ke Tanjong Malim. Seterusnya melalui jalan-jalan kampung dengan kemeriahan menyambut Syawal menyelubungi suasana dengan umat Islam masih menjalani ibadah puasa di hari-hari terakhir Ramadhan.

Apak menyembelih seekor kerbau dan menjual daging segar pada hari Minggu sebelum Raya dengan harapan Hari Raya akan jatuh pada hari Isnin.
"Beli daging, bang..??" Saya menyapa seorang lelaki yang kacak yang saya kira usianya lewat 40-an.
"Esok sahaja, ye!!" sambutnya sambil tertawa.
"Hari Selasakah kita berhari raya??" tanya Apak kepada lelaki itu.
"Ya, cikgu. Satu Lembah Kelang orang sudah tahu kita beraya pada Hari Selasa" katanya.

Wajah Apak mendung seketika. Patutlah jualan kami pagi itu agak perlahan.
"Tak apa. Esok kita jual daging ais pulak" kata Apak. Satu sikapnya yang amat dijengkel oleh Mak. Mak amat tidak suka dengan sikap Apak yang sentiasa berfikir bagaimana untuk mencari lebih wang tanpa mengira masa yang sepatutnya diluangkan terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.

Oleh kerana saya pulang ke kampung agak awal, saya dapat menyaksikan perubahan suasana kampung kami di akhir Ramadhan itu. Dari persekitaran yang sunyi sepi ke persekitaran kampung yang meriah dengan kebanjiran umat manusia dan juga kereta.

Saya tersenyum pahit melihat wajah-wajah tua dan sepi yang menghuni perdusunan itu bercahaya tatkala menyambut kepulangan anak dan cucu yang tinggal jauh di perantauan. Jelas kelihatan di wajah mereka keseronokan menerima pelukan anak, menantu dan cucu sambil mulut becok menyiapkan itu dan ini sebagai persediaan juadah menyambut tetamu di Aidil Fitri.

Mereka juga sepertinya saya. Tidak terasakan masa yang berputar pantas. Sedar-sedar, cuti orang kesayangan sudah kehabisan dan tibalah masanya untuk mereka berangkat pulang ke destinasi masing-masing. Airmata mulai bergenangan di mata-mata tua itu. Entahkan bila boleh berkumpul semula. Mendodoikan irama kemeriahan AidilFitri dalam sendu ikatan kekeluargaan.

Semalam, 30 Oktober 2006. Cuti saya selama 10 hari itu tiba di penghujungnya. Persekitaran kampung sudah lama sunyi. Sunyi sejak 2-3 hari yang lepas. Saya memandang jauh ke simpang hadapan rumah mertua saya. Pemandangan yang biasa. Sunyi. Sepi. Kenderaan hanya sekejap-sekejap sahaja melaluinya. Tidak seperti minggu lepas di hari Selasa di mana hari itulah detik 1 Syawal yang menawarkan dengan segala macam kemeriahannya.

Masa berlalu dan kita ini larut di dalamnya...

Friday, October 20, 2006

Selamat Hari Raya, minal a'idi wal faiezin

Sejak dari kami cukup umur untuk mendapatkan lesen memandu sehinggalah tahun-tahun terakhir usia bujang kami, setiap malam Raya sahaja, pasti bayangan kami (saya dan adik-beradik sepusat sepusing saya, Nasiruddin dan Azmi - we are sworn brothers. Kami telah ditakdirkan menjadi saudara walaupun berlainan ibu dan bapa) gagal dikesan di merata kampung. Ini kerana pada malam Raya itu kami bertiga dan akan disertai oleh rakan-rakan yang lain, akan berkumpul dan berlonggok menghabiskan masa di Jeti Lumut.

Aktivitinya hanya biasa-biasa sahaja. Sekadar bersembang kosong sambil meleraikan kerinduan sesama kami (perlu ditegaskan, kami bukan dari golongan yang bercinta sesama jenis. Jangan salah anggap), mengenang dan mengutip kembali zaman kanak-kanak kami terutamanya aktiviti yang sering kami lakukan di usia kanak-kanak tatkala menjalani ibadah sa'um (berpuasa) dan kenangan merambu di sekitar kampung di hari Eid, naik ke rumah sesiapa sahaja hatta orang tidak dikenali sekalipun dengan matlamat hanya untuk mengumpulkan Duit Raya.

Bersama deruan angin dan gelora ombak yang menghempas tiang jeti itu, pasti diselangi dengan derai tawa kami yang memanjang. Samada lemang di rumah sudah siap dibakar atau tidak, kami langsung tidak ambil pusing. Kami leka menadah embun sehingga santak dinihari. Jam 4.00 pagi barulah kami beredar pulang ke rumah masing-masing.

Subuh pagi itu hanya diqada' pada waktu tengahari (haa.. begitu "baik"nya sikap saya dahulu. Astaghfirullahal azim). Bangun pagi itu, takbir dari Masjid di sebelah rumah (rumah saya di sebelah masjid..) sudah berkumandang. Orang ramai akan berduyun-duyun melimpahi ruang solat hatta membanjiri perkarangan masjid. Saya baru terkocoh untuk mandi sunat AidilFitri. Bekalan air di waktu ini amat tidak memuaskan. Mak menggelarkan alirannya seperti ekor tikus.

Juadah biasanya sudah siap terhidang. Saya dengan selamba menjamu nafsu selera tanpa menghiraukan sesiapa yang berada di sekeliling walaupun Opah saya sendiri melintas di hadapan. Di waktu ini Kak Asma aka Pontianak akan terlebih baik hati dengan saya. Dia akan mencedukkan rendang atau nasi goreng untuk saya bahkan menuangkan teh untuk saya. Alangkah bahagianya dunia...!!!

Orang sudah memenuhi masjid. Saya baru tertonjet-tonjet menyarung selipar. Kak Ani memandang saya dengan terharu. Mungkin dia tidak menyangka adiknya yang nakal amat itu sudah kelihatan lawa dan segak dalam airmuka yang jernih menuju ke masjid. Selepas lima belas minit, di tepi jalan di luar masjid itu pula dia memandang saya dengan air muka yang geram setelah melihat saya berlonggok di tepi jalan, berdekah-dekah ketawa sambil menikmati lemang yang dibawa oleh Alang dari rumahnya. Sedang jemaah lain tengah khusyuk bertakbir dan bertahmid.
"Kome (kamu semua) ni nak makan ke nak sembahyang???" marah Kak Ani kepada kami.

Akibat terleka bersembang itulah, kami tidak mendapat ruang bersolat. Mahu tidak mahu terpaksalah kami bersolat bersama kanak-kanak. Pak Udin Kengkang menegur kami sebaik selesai bersolat itu
"Besar-besar badan kanak-kanak sekarang ye!! Sudah bermisai tetapi masih tak mimpi basah lagi... hahahaha..." celupar betul mulut Pak Udin Kengkang itu. Kami hanya memandang dengan perasaan geram.

Khutbah Aidil Fitri dibaca dalam dengung huru-hara kanak-kanak yang seperti lebah menyambut datangnya mentari pagi. Kami tertunduk menghayati bacaan khutbah sambil memikirkan pengajaran dan mesej yang disampaikan.

Tamat sahaja khutbah, kami bersalam bermaafan. Yang muda dan yang tua. Kami bersaudara. Pak Udin Kengkang memeluk kami seorang demi seorang
"Jangan marah Pak Udin, yek!! Pak Udin melawak sahaja. Kalau bukan dengan kome, dengan siapa lagi Pak Udin nak melawak" katanya.
"Kami pun macam tu juga Pak Udin"

Selepas ini saya akan memohon ampun maaf dari Mak dan Apak. Dari saudara tua saya. Dari abang saya - Yeop dan Khairul, Kakak saya - Kak Asma dan Ani dan tidak lupa untuk mengusik adik saya Azlina dan Nizam. Hari lebaran, hari kita bermaaf-maafan.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Lailahaillallahu allahu akbar
Allahu akbar walillahilhamd..

Lantas cahaya AidilFitri memenuhi hati-hati kami dalam ketenangan dan persaudaraan kami.


Indera : Hari ini hari terakhir berkerja. Kepada rakan-rakan sekelian (King, Bunga Rampai, Esis, Elmaaniq, Maniq kayangan, Pak Darma, Bas, Hakim, Book, Ezmil, Zizie dan banyak lagi yang tidak dapat dinyatakan di sini), semoga mendapat keampunan dari Allah S.W.T. di hari yang barakah itu nanti. Maafkan segala salah dan silap saya sepanjang kita bertemu di ruang maya ini. Bagi mereka yang berkenderaan pulang ke kampung, berhati-hati di jalanraya. Bagi rakan-rakan di luar negara, Hakim Dirani dan Book, anda menggalas tanggungjawab besar. Jangan bersedih. Salam Persaudaraan dari saya. Selamat Hari Raya. Minal A'idi wal Faiezin. Maaf Zahir dan Batin.

Thursday, October 19, 2006

Lemang Jagung

Setiapkali menyambut ketibaan 1 Syawal, pasti tidak akan dilupakan kesibukan menyediakan juadah hidangan untuk tetamu yang berkunjung. Setiap tempat dengan cara hidangan dan menu masing-masing. Bagi kami di Perak, lebih-lebih lagi di Daerah Perak Tengah itu, menu istimewa Hari Raya hanyalah Lemang dan juga Rendang terutama Rendang Tok yang menjadi kebanggaan orang Perak itu.

Tempat kami tiada ketupat, apa lagi soto, lontong dan kuah lodeh yang sedap seperti yang sering disiapkan oleh masyarakat di seluruh negara terutamanya di Johor. Bagi kami di Perak itu, hampir ke semua rumah menawarkan menu yang sama - lemang, lemang, lemang dan lemang. Yang membezakan sebuah rumah dengan rumah yang lain hanyalah pada cara penyediaan lemang dan rendangnya. Mak jarang memasak Rendang Tok kerana bahan-bahan memasaknya terlalu berbilang jenis dan memasaknya akan mengambil masa yang agak lama. Mak lebih suka memasak Rendang Pahang kerana Rendang Pahang lebih mudah disediakan dan rasanya juga enak. Isteri saya pula berjanji untuk menyediakan Rendang Minang yang dipelajarinya dari Rancangan Masakan Bersama Sheila Rusly. Saya sudah mencuba Rendang Minang resipi Sheila Rusly ini dan rasanya juga sangat enak.

Apabila mengenangkan Lemang ini pula, pasti akan membuatkan saya tersenyum sendiri. Puncanya hari itu (sekitar penghujung tahun 80-an), kakak saya Asma pulang dari Terengganu dengan menaiki bas bersama pelajar-pelajar Maktab yang lain. Sedang bergerak pulang ke Perak itu, beberapa orang pelajar yang duduk di bangku belakang kakak saya ini menyuarakan rasa tidak sabar mereka untuk sampai ke kampung untuk merasai hidangan masakan ibu masing-masing. Kakak saya hanya memasang telinga. Salah seorang daripada pelajar ini berkata bahawa ibunya sering menyediakan Lemang Jagung (pulut bercampur jagung dengan nisbah 3:1, 3 pulut dan 1 jagung dan dimasak seperti cara biasa orang memasak lemang).

Pulang sahaja ke rumah, kakak menceritakan pada Mak dan Apak tentang perbualan yang didengarinya di dalam bas. Mak dan Apak sepakat menyediakan Lemang Jagung buat pertama kalinya di Hari Raya itu. Tetapi saya membantah. Saya tetap mahu lemang itu disediakan sepertimana cara tahun-tahun sebelumnya. Tetapi seorang pun tidak menyokong saya. Saya terpaksa akur pada kuasa majoriti.

Sudahlah bangkangan saya tidak diendahkan, malah saya dibebankan dengan kerja-kerja membersihkan persekitaran rumah. Ini menyebabkan saya membebel dan berleter
"Tahu tak kenapa orang meletak jagung di dalam lemang tu. Sebab, masa zaman Jepun dulu (saya pandai-pandai buat teori), orang tak cukup beras pulut. Sebab tu digantikan dengan jagung. Tu mesti tak sedap nanti tu. Tengoklah" kata mulut celupar saya.

Mak, Apak, Kakak dan Abang hanya mendiamkan diri sahaja. Mungkin tidak berdaya untuk bertengkar dengan saya di petang pengakhir Ramadhan itu, barangkali. Lemang yang telah siap diisi dengan pulut, jagung dan santan itu sedia untuk diletakkan di tempat bara. Saya sedikit pun tidak ingin menolong. Masih marah dengan perkara sekecil itu.

Siap sahaja lemang dimasak pada malamnya, seperti kebiasaan kami adik-beradik akan berkumpul berebut-rebutkan lemang sulung itu. Saya dengan gelojohnya mengambil lemang sepotong panjang. Adik saya, Azlina menjeling tajam tanda protes. Saya tersengih seperti kerang busuk.

Sebaik sahaja merasai Lemang Jagung itu saya seakan terlupa yang saya membebel panjang petang itu,
"Ehhhh, sedaplah lemang ni. Wahhh.. cayalah. Sedap betul!!"
"Eh, eh, bukan tak sedap ke?" tanya Mak saya.
"Ah-ah Mak. Dia kata lemang jagung ni makanan orang zaman Jepun" tambah kakak saya lagi.

Saya terkaget. Hidung saya dipentung tepat-tepat. Malu dengan itu saya cuba berlagak selamba. Sepotong panjang lagi saya ambil dan terus berlalu membawa pinggan ke hadapan television untuk menonton cereka lewat malam Raya. Dari dapur saya terdengar Apak terbahak-bahak mentertawakan kelancangan saya.

Saban tahun sesudah itu kami pasti membakar Lemang Jagung. Setiap malam Raya jugalah saya akan diperli. Malam Raya yang bakal menjelang tiba ini, masih menu yang sama dan ahli keluarga saya pasti akan mengulangi dialog saya itu.

"Huh, makanan zaman Jepun. Itu mesti tak sedap tu. Tengoklah!!"

Wednesday, October 18, 2006

Gajah Putih

"Apak, tadi orang main kat Padang Pipit. Orang masuk sampai ke Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik tu. Lepas tu..." belum sempat saya menghabiskan cerita saya, punggung saya sudah disesah dengan rotan Apak. Saya terpinga-pinga dan hanya mampu mengalirkan airmata kesakitan. Saya berlari ke rumah Atuk dalam deraian airmata mengadu kepadanya. Setelah menceritakan hal sebenar, Atuk memeluk saya sambil berkata, "Sayang cucuku Indera. Jangan menangis. Biar Atuk ceritakan kisah seekor Gajah Putih. Nak dengar tak?". Saya mengangguk sambil menyapu sisa airmata.

Di Pelabuhan Ulee Lheu di Kotaraja itu menyambut ketibaan laskar-laskar Acheh dari medan perang. Semboyan dilepaskan dari bahtera perang di muara pelabuhan menandakan jong bahtera memasuki perairan. Wajah Laksamana bermuram durja. Bagaimana harus dikhabar ke Bawah Duli Tuanku? Sulit, namun hal ini harus segera disampaikan. Laksamana sudah bersedia menerima sebarang geruh yang menjelang sebagai hukuman di atas kegagalannya.

"Ampun, Tuanku beribu ampun. Sembah pacal hina ini memohon keampunan ke Bawah Duli Tuanku. Adapun laskar-laskar kita masih gagal menawan Siak Sri Indrapura. Adapun kota dan pelabuhannya terlalu utuh dan tidak terdaya ditembusi oleh laskar-laskar kita Tuanku. Adapun patik bersedia menerima segala hukuman Tuanku atas kegagalan patik. Ampun Tuanku"

Sultan Iskandar Muda yang lebih dikenali sebagai Mahkota Alam itu sedang bersemayam di atas singgahsana keemasan lantas berubah airmuka. Wajah baginda sudah laksana bunga raya kembang pagi. Baginda amat murka dengan kegagalan itu namun Laksamana tidak dapat dipersalahkan sepenuhnya. Laksamana sudah mencuba bersungguh-sungguh tetapi masih gagal.

"Datuk Bendahara, perintah Pawang Tepok Pawang Diraja mengadap beta. Datuk-datuk menteri berenambelas, nantikan beta di Balai Perbicaraan".

Sekelian menteri menjunjung sembah. Adapun di Balai Perbicaraan itu, Tuanku Mahkota Alam dan Datuk Menteri Berenambelas menunggu-nunggu kedatangan Pawang Tepok Pawang Diraja minta diberi segala petua supaya Acheh berjaya di permedanan menakluki Siak Sri Indrapura.

Pawang Tepok Pawang Diraja membakar Kemenyan Lambung Petalabumi, Dibakar sekali 7 menyerah. Dibakar 2 kali 100 menyerah. Dupa kehitaman naik ke Perabung Istana lantas istana itu bergegar seketika. Pawang Tepok Pawang Diraja lantas mendatang sembah.
"Adapun Tuanku memerlukan seekor gajah perang yang perkasa. Menurut tilikan patik, gajah itu Gajah Putih Bergading Perak yang berdiam di hulu Mukim Chempaka Sari (nama tua kampung saya) di dalam taklukkan Duli Yang Dipertuan Negeri Perak. Tuanku harus segera mendapatkan gajah itu kerana jika diketahui terlebih dahulu oleh Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak, geruh pasti mendatangi Acheh dan Acheh akan tumpas pula di tangan Perak. Jika Tuanku benar-benar ingin untuk mendapatkan gajah itu, pada hemat patik, tiada jalan lain melainkan perang sahaja. Tuanku harus segera menakluki Negeri Perak..."

Tuanku Mahkota bangkit dari persemayamnya. Lantas bertitah
"Datuk Menteri sekelian. Siapkan segala laskar, juak-juak dan biti-biti perwara, kembangkan layar bahtera di Ulee Lheu. Kembangkan sekelian obor-obor Diraja. Naikkan panji-panji kebesaran. Tiup Nafiri dan palu gendang perang. Lepaskan semboyan 26 das tembakan di muara. BERSIAP BETA MELANGGAR NEGERI PERAK!!!"

Matlamatnya hanya satu. Untuk mendapatkan Gajah Putih Bergading Perak di hulu Mukim Chempaka Sari. Perang sudah tidak dapat dielakkan lagi. Bunyi-bunyian dimainkan terlalu azamat dan rakyat Acheh tertinjau-tinjau di sebalik perdusunan. Nafiri dibunyikan dan gendang perang dipalu berselang-seli dengan tembakan semboyan 26 das tembakan. Tuanku Mahkota Alam sendiri yang mengepalai perang dengan menaiki Bahtera Kampai Menyongsong Angin diiringi dengan 40 bahtera perang yang lain menuju ke Beting Beras Basah di muara Sungai Perak.

Peperangan berlaku terlalu azamat. Laskar Diraja Perak tidak berdaya membentengi serangan Acheh yang mengejut dan bertali arus itu. Selepas setengah purnama berperang, Negeri Perak akhirnya jatuh ke tangan Acheh. Yang Dipertuan Negeri Perak laki-bini menjadi orang tawanan dibawa pulang ke Acheh.

Laskar-laskar Acheh dikerah ke hulu Chempaka Sari mencari Gajah Putih Bergading Perak. Setelah mengepung belantara itu selama 10 hari, akhirnya Gajah Putih itu memperlihatkan dirinya. Segala usaha menangkap gajah itu menemui jalan buntu. Ini kerana gajah itu tidak lut dek senjata bahkan ramai juak-juak Acheh yang terkorban dalam usaha menangkapnya. Tuanku Mahkota Alam hampir berputus asa. Baginda akhirnya mengeluarkan titah supaya diutuskan seberapa segera Pawang Tepok Pawang Diraja dari Acheh ke Mukim Chempaka Sari.

"Adapun Tuanku, gajah itu terlalu perkasa. Tuanku haruslah memikatnya sehingga ke Padang Pipit dan Tuanku tangkaplah ia di waktu ketika ulu (kepala) gajah itu sudah masuk ke ruang antara kedua-dua Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik. Apakala gajah itu tersepit, Tuanku haruslah memotong sehelai bulu di ekor gajah itu yang berwarna perak dengan menggunakan Pedang Cura Si Mandakini, pedang warisan Sang Nila Utama yang memenggal ulu Ular Cintamani di Kemuncak Gunung Mahameru yang berada di dalam simpanan Ke Bawah Duli Yang Dipertuan Negeri Perak itu, ampun Tuanku"

Pawang Tepok Pawang membakar Kemenyan Lambung Petalabumi, Dibakar sekali 7 menyerah, Dibakar 2 kali 100 menyerah setelah semilir berpuput turun dari Gunung Bubu. Malam itu terdengarlah tempikan Gajah Putih itu jauh di dalam belantara seperti menanggung kesakitan yang teramat. Pawang Tepok Pawang Diraja membentuk juak-juak menjadi 7 barisan dari 7 arah dengan masing-masing membawa benang 7 warna pelangi. Gajah Putih itu kemudian dihalau ke Padang Pipit dan ditangkap sewaktu gajah itu tersepit di antara Pokok Tualang Berdiri Dua Beradik. Setelah gajah itu ditawan, kakinya dibelenggu dengan Besi Khursani dan dibawa belayar ke Acheh.

Dengan menginderai gajah putih itu, Tuanku Mahkota Alam mengepalai pula peperangan dengan Siak Sri Indrapura. Keperkasaan gajah perang tidak dapat diperkatakan lagi dan akhirnya Siak Sri Indrapura jatuh juga ke tangan Acheh selepas cubaan menawannya untuk kali yang ketiga. Wallahua'lam.


Indera : Padang Pipit kini menjadi Padang Ragut bagi lembu kambing di kampung saya. Sekalipun banyak haiwan ternakan meragut di sekeliling kawasan seperti pulau setompok dengan pokok yang membentuk formasi seperti kuih dohnut itu, tiada haiwan yang masuk di situ. Sewaktu saya memasukinya, tempat itu punyai aura yang menaikkan roma. Hening sahaja di situ. Kononnya tempat itu keras. Apa yang keras, saya sendiri kurang pasti. Yang saya tahu, hanya tanah dan kayu di situ yang keras rasanya.

Tuesday, October 17, 2006

Pelita Panjut

Sekarang sudah malam tujuh likur. Malam yang penuh syahdu. Malam yang terang kemilau menyuluh seisi kampung. Sepanjang malam ini pelita dinyalakan di sekeliling rumah dari maghrib sehinggalah ke santak pagi. Kami memanggilnya Panjut.

Ada pihak yang mendakwa bahawa pemasangan pelita ini syirik kerana ianya menyerupai amalan Hindu yang menerangi rumah untuk menyambut Dewi Lakhsmi (Dewi Kekayaan) masuk ke rumah di malam Deepavali. Jadi pendapat itu juga terus menjatuhkan Fatwa bahawa pemasangan panjut ini amalan turun-temurun warisan Hindu.

Tetapi pernahkan mereka bertanya apakah asal-usulnya panjut ini?. Kenapa panjut dipasang sepanjang malam 23 hingga malam 30 Ramadhan yang dikatakan malam Tujuh Likur itu?. Sejarah panjut ini sebenarnya amat sinonim dengan bangsa kita yang amat taat dengan ajaran alim-ulamak dulu-dulu.

Panjut sebenarnya dipasang di sekeliling rumah dan di sepanjang jalan di kampung-kampung untuk menerangi mereka yang ingin bertahajjud di masjid lewat 10 malam terakhir Ramadhan. Dahulu tiada lampu elektrik yang memancar dari tiang-tiang tinggi. Tanyalah sesiapa sahaja, bahkan guru-guru alim sekalipun takut berjalan di dalam gelap. Bukan kerana takut pada hantu syaitan, tetapi kegelapan itu berkemungkinan terselindungnya segala macam bahaya binatang buas dan yang berbisa, kejahatan manusia yang ingin merompak dan memperkosa bahkan yang sekecil-kecilnya seperti duri dan juga ranjau.

Peranan Panjut sewaktu ketika dulu amat jelas sebagai cahaya yang menerangi mereka yang ingin ke masjid untuk mendapatkan fadilat Malam Lailatul Qadar. Fungsinya amat nyata tiada perkaitan langsung dengan amalan Hindu bahkan amalan yang terpuji yang dilakukan di Bulan Ramadhan. Jadi mereka yang memasang pelita panjut ini sekiranya pun tidak mendapat kelebihan di malam 1000 bulan itu, tetapi usaha mereka memudahkan orang-orang ingin mendapatkan kelebihan malam ini pasti akan dikurniakan oleh Allah dengan ganjaran pahala.

Sehingga ke hari ini, amalan memasang panjut ini masih berkesinambungan cuma kemeriahannya kini tiada lagi. Generasi hari ini ramai yang tidak tahu sejarah pemasangan pelita panjut ini cuma sekadar ikut-ikutan semata-mata. Kerana generasi dahulu memasangnya. manakala sesetengah golongan yang buta sejarah terus melebalkannya sebagai amalan masyarakat hindu.

Saya akui bahawa pemasangan Panjut ini sudah tidak relevan lagi dengan keadaan semasa dan ianya hanyalah pembaziran wang ringgit membeli kerosene yang dibakar dari senja hingga ke waktu Subuh. Tetapi saya tetap menegaskannya sebagai Bida'ah Hasanah, sebagai tanda kita mengenang betapa sukarnya orang dulu-dulu ingin ke masjid hingga terpaksa diterangi sepanjang jalan dengan pelita. Kita di zaman ini patut bersyukur dengan kurniaan ilahi kerana kita tidak sukar lagi setelah lampu jalan banyak menyuluh di merata tempat.

Sepatutnya dengan mengenang sejarah Pelita Panjut ini akan membuatkan kita lebih berazam untuk bangun dan berqiamullail di masjid. Bukan menuduh yang bukan-bukan. Yang pentingnya niat di dalam hati.
Indera : Saya meradang apabila ada pihak yang mengatakan nama saya, Indera itu nama dewa hindu. Ya, memang salah satu dewa yang disembah oleh masyarakat hindu bernama Indra. Tetapi, Indera dalam masyarakat Melayu hanya satu nama yang klasik sahaja. Tidak lebih dari itu. Ada juga individu yang bernama Shah, ada yang bernama Putera, ada yang bernama Meor. Tidakkah boleh kita menganggapnya sebagai nama yang tidak membawa maksud, atau sekurang-kurangnya nama yang kurang elok..??
Diedit pada jam 15.31 petang
Entah kenapa selepas saya menulis, beberapa ketika, saya seperti menyesal menulisnya. Bimbang saya jika tulisan saya ini disalahertikan. Jika saya menyinggung hati sesiapa, saya mohon maaf dan saya menyesalinya.

Friday, October 13, 2006

Senjakala

Suatu petang dalam bulan Ramadhan sekitar tahun 90-an. Seorang pemuda berusia 22 tahun maut dilanggar oleh motorsikal yang ditunggangi seorang remaja berusia 16 tahun pada petang terakhir Ramadhan sejurus sebelum waktu berbuka. Kasihan... . Suratkhabar itu kemudiannya ditutup. Habis berita buat sehari.

Rupa-rupanya selepas beberapa Hari Raya, kakak saya pulang bercuti. Dia mengkhabarkan kepada kami tentang sebuah kisah yang menyayat hati lewat makan malam kami sekeluarga. Setiap wajah ahli keluarga kami kemudian tersorot kedukaan biarpun ianya tidak terjadi kepada ahli keluarga kami.

Petang itu Izhar ceria melangkah ke Bazaar Ramadhan di Pekan Slim River itu. Niatnya untuk membeli juadah berbuka banyak-banyak untuk abang dan ibunya. Senja ini dia akan berbuka sepuas-puasnya dan dapatlah dia meleraikan segala kerinduan kepada ibu dan abangnya setelah tempat kerjanya di Melaka memberikan cuti sepanjang minggu itu. Bazaar Ramadhan di pekan itu kecil sahaja. Tidak banyak pilihan seperti di bandar-bandar besar tetapi masih menawarkan kuih kegemaran ibunya dan lauk kesukaan abangnya.

Selesai sahaja membeli belah itu jam sudah menunjukkan angka 6.50 petang. Tidak lama lagi siren Balai Bomba akan berbunyi menandakan masuk waktu berbuka. Dalam perjalanan pulang, Izhar berselisih dengan beberapa remaja nakal yang sedang berlumba dalam remang senja itu. Perbuatan mereka itu sangat merbahaya kerana jalan ketika itu sangat sibuk bila semua penghuni kota pulang ke kampung.

Sampai sahaja di hadapan rumah, Izhar lihat abangnya sedang duduk di serambi rumah. Mungkin ibunya ketika itu sibuk di dapur. Ketika melintasi jalan itu, rupa-rupanya remaja yang berlumba itu berpatah semula. Mereka memecut motorsikal pada kelajuan maksimum dan tidak sempat mengelak Izhar yang sedang melintas jalan. Abang Izhar terkalap seketika melihat Izhar sudah terbaring di atas jalan. Kuih untuk ibu dan lauk untuk abang jatuh bertaburan di mana-mana.

Atas bantuan jiran-jiran, Izhar dikejarkan ke Hospital Tanjong Malim. Keadaannya kritikal. Hospital Tanjong Malim tidak punya pilihan melainkan merujuk kes berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur. Izhar dikejarkan dengan ambulans ke sana. Kakak saya turut bersama-sama mengiringi pesakit sebagai Jururawat Yang Bertugas.

Sampai sahaja di Lembah Beringin, Izhar semakin lemah. Ketika tiba di Bukit Beruntung pula Izhar memberi isyarat untuk menyatakan sesuatu kepada abangnya. Abangnya sudah tidak upaya membendung perasaan. Beberapa titik air matanya jatuh ke lantai ambulans. Kakak saya cuba memberi pertolongan cemas pada mana yang patut. Tetapi masih tidak berjaya.

Dalam saat genting itu Pak Talib, pemandu ambulans itu boleh membuka radio pula. Boleh jadi dia ingin mendengar pengumuman raya, barangkali. Perlahan. Sayup-sayup terdengarlah Sudirman mendendangkan lagu antara baitnya,

Padamu kusampai doa
dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan
ampun maaf

Jangan sedih pagi ini
Tak dapat kita bersama
Meraikan Aidil Fitri yang mulia...

Kakak berkata, di sudut mata Izhar mengalir airmatanya. Abangnya menangis bersungguh-sungguh. Dalam takbir raya itu, abangnya membisikkan kalimah tauhid dan Izhar mengikutinya dan kemudian kaku.

Ambulans yang sudah tiba di Sungai Buloh itu berpatah balik ke Tanjong Malim. Kakak saya bertugas di hospital itu pada hari raya pertama dan kedua sebelum pulang bercuti di kampung selama seminggu. Wallahua'lam.


Indera : Semoga kita temui Lail-el-Qadr pada kembara 10 malam terakhir di mana kita dijanjikan dengan segala keberkatan dan keampunan dari Rabbul Jalil.

Thursday, October 12, 2006

Nakal sangatkah???

Inderaaaaaa!!! Inderaaaa!!!. Suara kakak saya bertempik di petang bulan puasa itu mengejutkan tidur saya. Hiiieee... orang hendak berehat pun tidak boleh. Ada sahaja yang mengacau. Sudahlah tekak dahaga, dipekik-pekik sedemikian rupa membuatkan hati saya menjadi panas membara. Ini mesti tiada hal lain. Mesti mengarah saya ke kedai. Tepung habislah. Gula habislah. Cabai. Bawang. Belacan. Hiiieee.. geramnya.

Inderaaaaa!!! Inderaaaa!!!. Hai, tidak sudah lagi pekiknya. Ya, ya, datanglah ni... Hmmm.. laparnya perut. Pontianak ini tidak sudah-sudah menjerit. "Inderaaaa, mari sini" jeritnya lagi. Dari arah ruang tamu terdengar Apak menegur kakak saya, "Apa yang kamu jerit-jerit ni, Asma. Sakit telinga Apak ni dengar, tahu".
"Apak, apak tengoklah benda ni dah jadi macam ni..."
"Astaghafirullahal azim"

Inderaaaaaa!!! kali ini bukan suara pontianak itu, ini suara.... Alamak!!! suara Apak. Apa yang sudah terjadi???

"Ya, Apak. Ada apa??" tanya saya terkalut. Belum sempat Apak membuka mulut bertanya, kakak saya terlebih dahulu menyerang. "Kamu yang pecahkan thermometer ni, kan??".
"Ehhh.. mana ada. Buat apa orang nak pecahkan pulak??" saya cuba berdalih.
"Akak tahu mesti kamu yang pecahkan..." kakak saya menebak
"Kamu tahu di mana Akak jumpa thermometer ni?? Dalam laci tempat kamu simpan Kerantung Nakus tu. Ni, lampu air Kak Ani pun. Apak, tengok ni. Ni semua kerja si Indera ni..."

Sememangnya saya punya perangai yang agak pelik iaitu menyorokkan barang yang rosak di tempat tersorok. Thermometer itu hadiah dari kawan baik kakak saya sewaktu tamat cuti penggal. Terletak pada plague tembaga yang berbentuk sauh. Tetapi apa istimewanya sehingga diletakkan di atas almari hiasan itu?? Yang saya tahu, tanda merah itu setiap masa berada di atas sedikit dari angka 25. Suatu hari saya teringin untuk membelek-beleknya. Saya gores sebatang mancis dan mancis yang menyala itu saya cucuhkan pada buli-buli kaca thermometer. Wahhh... air yang merah itu naik ke angka 100. Kemudian turun semula. Saya tidak berpuas hati. Saya cucuh lagi. Sekali lagi air merah itu naik. Saya mulai seronok. Saya cucuh berulang-ulang kali. Tiba-tiba... poopp, buli-buli kaca itu pecah. Raksa merah memercik mengenai pipi saya. Takut jika marahi oleh kakak saya, saya menyimpannya di dalam laci almari usang berhampiran dengan dapur itu.

Lampu air Kak Ani pula pecah ketika saya bermain dengannya di bawah katil. Melimpah airnya keluar membasahi bawah katil sehingga ke kaki katil. Cepat-cepat saya simpan lampu yang sudah pecah itu di tempat yang sama. Apabila abang saya Khairul bertanyakan tentang air di kaki katil itu, lekas-lekas saya katakan Si Tompok yang terkencing di situ. "Tetapi kenapa tiada bau...?? pelik!!" kata abang saya.

"Betul kamu pecahkan..??" suara Apak memutuskan lamunan saya.
"Ya, saya pecahkan" saya terpaksa mengaku. Cuma saya sahaja yang menyimpan barang-barang di situ.
"Tonggeng di sini". Apak merotan punggung saya 5 kali. Oooouuuccchhh, sakitttt...
"Sekarang pergi masuk bilik, baca buku. Senja ni berbuka dengan air sejuk sahaja. Pukul sembilan baru boleh makan. Pergi masuk!!!" tengking ayah saya.

Saya melangkah longlai ke bilik. Haiii... panjanglah puasa saya hari ini. Kenapa semua orang marah dengan saya..??? Saya ini nakal benarkah..???

"Apak..." telinga saya menangkap suara abang saya, Khairul.
"Belakang TV dah berlubang. Indera tebuk dengan skrudrebar (Screw driver). Dia kata nak tangkap Mickey Mouse dalam TV tu..."

"Apa..?????" INDERAAAAAAAAAA

Wednesday, October 11, 2006

Diari lewat semalam

6.00 p.m
Bergegas pulang ke rumah untuk memasak. Hai..entahlah. Isteri jauh di kampung. Nasib agak menyebelahi saya kerana kesesakan lalulintas untuk memasuki Mukim Rawang agak sederhana dan membolehkan saya pulang tanpa gangguan. Jam sudah melewati jam 6.00 dan sudah pasti juadah ringkas sahaja yang akan saya sediakan.

Sampai sahaja di rumah, terus masuk ke dapur menanak nasi dan memotong cabai bawang. Menu iftar hari ini, Ikan Sardin dan Daging Burger. Ringkas dan murah. Memasak Ikan Sardin sekadar mengambil masa lima minit. Ketika cuba mengambil sepotong burger yang beku dengan hujung pisau, tekanan yang digunakan agak kuat. Daging burger terlerai dan hujung pisau menusuk ke tapak tangan. Ooouuuuccchhh!!!


10.00 p.m
Mesej Pesanan Ringkas dari isteri setelah selesai bertarawikh,
"Bang, Zah tak dapat ikut abang bermalam di rumah mak abang malam Sabtu ini sebab Zah nak buat kerepek dan Kuih Samprit. Harap abang tak marah. Kalau nak beli.., faham-faham je lah. I Love you!!

Hmmm... akal jahat saya berbisik, "Dia sentiasa mencari alasan untuk tidak bermalam di rumah mak aku. Asyik aku je yang bermalam di rumah mak dia". Dengan itu hati saya lantas menjadi panas. Tiba-tiba saya terkenangkan sesuatu. Ya, kakak dan abang saya juga tidak semestinya setiap minggu bermalam di rumah mak. Kadang-kala mereka juga punya urusan yang menghalang mereka dari mengunjungi mak. Tidak selalu cuma kadang-kala sahaja. Saya juga demikian. Jadi tindakan saya untuk tidak bermalam di rumah mak dan memberi kelonggaran kepada isteri saya itu wajar. Hanya minggu ini sahaja. Minggu hadapan saya sekeluarga akan bersama mak lagi. Insya-Allah.


11.00 p.m.
Saya menonton drama Seputih Qaseh Ramadhan. Terpaku menatap wajah jelita Sharifah Shahriza (Eja). Ohh.. Eja. Satu babak di mana Arash sekeluarga baru pulang dari tarawikh. Efa memesan sesuatu dari Mc Donald,
Efa : Yeah, 1 Big Mac set. 1 large portridge dan 2 sets of cheeseburger. You better dont late or I'll be angry, you know!!. OK, Byeee...
Arash : Bi, kenapa you ni. Cakap melayu sudah la..
Efa : There's no way that I want to speak in that language. I'll look stupid if I speak in Malay, you know...

Kata-kata itu meluncur terus mengarah ke sesuatu. Dan perginya tidak tersasar. Saya lantas ketawa terbahak-bahak dalam gema rumah saya yang lapang seperti padang bola itu.

Tuesday, October 10, 2006

Adat Memanjat

Apak pernah mengkisahkan kepada saya bahawa suatu masa di kampung saya terdapat satu adat yang pelik tetapi diterima oleh masyarakat umum. Adat itu kini sudah hilang lenyap di telan zaman dan tidak sesuai lagi dipraktik di zaman kini. Pengamal terakhir adat ini masih sihat tubuh badannya lagi. Beliau adalah adik seibu Opah saya sendiri. Adat itu dipanggil Adat Memanjat.

Adat Memanjat ini adalah bahasa indah untuk perbuatan menyunting dara dengan cara paksaan. Sekiranya Si Teruna berkenan hati kepada mana-mana Dara namun pinangannya ditolak oleh si Dara atau keluarganya, terdapat satu jalan terakhir untuk memiliki gadis tersebut iaitu dengan memecah masuk ke bilik gadis itu dan mengugutnya di hujung mata pisau (aiiyyooo..).

Di awal tahun-tahun 50-an, Subari adik kepada Opah saya jatuh cinta kepada seorang gadis bernama Bibah. Subari ketika itu berusia 16 tahun, anak bongsu dalam keluarga berada. Status ini menjadikan Subari manja, malas bekerja tetapi pantang dicabar. Bibah pula seorang gadis yang berusia 12 tahun, baru cukup umur tetapi pandai memasak dan menganyam tikar mengkuang.

Setelah terpandangkan Bibah yang baru pulang dari mengaji, Subari sudah terpaut hati. Lalu dia meminta ibunya (moyang saya) untuk dipinangkan Bibah untuknya. "Kamu tu kan tak bekerja. Pergi ke kebun malas. Bagaimana kamu hendak menanggung anak orang makan, Subari. Cubalah fikirkan baik-baik" bimbang moyang saya hendak meminang Bibah kerana sekampung maklum akan perangai Tok Subari yang sangat pemalas.

Tetapi Subari tidak dapat mengawal gelora perasaannya. Dia berguling-guling di hadapan moyang saya minta dipinangkan Bibah malam itu juga. Tentu sahaja moyang saya sangat merasa gundah gulana. Diturutkan bimbang mendapat malu. Tidak diturutkan pula, itulah pengarang hati intan payungnya.

Mahu tidak mahu seawal pagi esoknya terpaksa moyang saya menebal muka menongkah tangga rumah Pak Itam Mulong meminang Bibah untuk Subari yang pemalas. Jawapannya seperti sudah diduga. Peminangan itu ditolak. Alasan yang sangat munasabah. Kerana Subari tidak punya pekerjaan (pemalas bahasa kasarnya).

Sebaik sahaja Subari dimaklumkan tentang berita itu, merah padam mukanya. Dia turut ke tanah lalu menuju ke hulu mencari teman-temannya yang kacang hantu. Lalu diapi-apikan oleh kawannya agar dipanjat sahaja rumah Pak Itam Mulong dan acukan pisau ke tengkuk Bibah. Alang-alang mandi biar basah. Biar putih tulang, jangan putih mata.

Malam itu Subari memecah masuk ke bilik Bibah dan mengacukan pisau ke tengkuk Bibah yang sedang tidur. Bibah yang terkejut terus menjerit ketakutan. Jeritan Bibah itu membangunkan seluruh alam. Kecoh dan panik. Subari sudah tidak sabar, "Cepat panggilkan Tok Kadi atau aku bunuh Bibah ini".

Memang kecoh. Pak Itam Mulong sanggup memanggil Kadi demi menyelamatkan nyawa anak daranya. Malam itu Subari kahwin dengan Bibah dengan bersaksikan orang kampung. Yang amat menghairankan, perkahwinan itu tidak dianggap cela dan sangat diterima umum kononnya Pak Itam Mulong mendapat menantu yang sangat jantan. Perkahwinan itu kekal sehingga sekarang. Oleh kerana perkahwinan itu di antara pasangan yang sangat muda, sehingga kini Pak Long Zainal, anak sulung Tok Subari kelihatan seperti adik Tok Subari sahaja jika mereka berjalan berduaan.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya Adat Memanjat ini masih kekal sehingga sekarang. Adakah sesiapa yang ingin mencubanya atau ada nyawa yang pasti hilang di hujung rifle polis.

Monday, October 09, 2006

Saat Berpuasa di Kampus

Berpuasa di kampus, sama seperti puasa-puasa yang lain. Bahangnya, cabarannya, didikannya masih tetap sama. Kuliah masih tetap harus dihadiri walaupun cuaca terik membakar ubun-ubun atau hujan badai menempias air masuk ke dalam mulut. Semua masih sama, kecuali di kampus, soal peribadatan tidak lagi menjadi kemestian sebagaimananya di alam persekolahan. Peribadatan di kampus sudah menjadi hak individu. Jika rajin bersolat tarawikh, beramai-ramailah kami bermotorsikal ke Pusat Islam. Jika bermalasan, alamatnya duduk terperuk di dalam bilik di asrama menghabiskan tugasan.

Jika punya wang saku yang lebih di dalam poket, pastinya Bazaar Ramadhan di Seksyen 2 itu yang ditujui. Selain daripada menawarkan juadah yang beraneka rupa dan rasa, Seksyen 2 itu juga menjadi tempat untuk mencuci mata, melihat gadis-gadis genit yang turun dari kampus untuk membeli juadah berbuka puasa. Jika sudah masuk ke Bazaar Ramadhan itu, alamatnya sehingga santak Maghrib baru beredar dari situ lantaran terlalu asyik dengan segala tawaran dan ragam manusia di dalamnya.

Ketika itu, kenderaan yang termampu digunakan hanyalah motosikal. Bukan saya seorang sahaja, bahkan hampir kebanyakan pelajar lelaki di kampus turut ke sana ke mari dengan kenderaan itu. Sewaktu itu naluri untuk bercinta sudah wujud, malangnya atas sebab kurang rupa paras dan tidak kacak, saya sekadar mampu menahan hati melihat pasangan yang bercinta sedang asyik maksyuk berbuka puasa bersama. Sedang saya hanya mampu berbuka bersendirian atau ditemani dengan rakan-rakan sesama lelaki.

Kenakalan itu sememangnya sinonim dengan remaja. Asal sahaja berpuasa pasti akan ada yang pura-pura sakit. Menjelang sahaja tengahari, teman-teman yang tidak berpuasa ini akan berpakat untuk mengetuk pintu belakang Restoran Sayed di Seksyen 3 untuk membeli nasi bungkus. Lokasinya menjamu seleranya tentu di mana-mana bilik yang sesuai. Pernah saya naik ke bilik seorang rakan sekelas saya untuk mengambil semula nota yang dipinjamkan. Sebaik sahaja memulas tombol pintu saya mengurut dada melihat mereka sedang berlonggok sambil menghisap rokok dengan bekas makanan bergelimpangan di atas lantai. Mereka lekas-lekas menarik tangan saya seraya meminta saya berjanji agar tidak diadukan kepada Penggawa atau Pegawai Blok. Sehingga ke saat ini apabila kami bertemu di Bulan Ramadhan, mereka akan berkata kepada saya, "Sumpah, Indera. Aku puasa. Aku tak macam dulu lagi dah. Kalau tak percaya, cium bau mulut aku ni...". Hanya derai ketawa sahaja yang menyambut kata-kata itu.

Kuliah di bulan ini merupakan satu syarat hadir sahaja. Kebanyakan pelajar dan pensyarah lebih banyak memikirkan tentang berbuka puasa dari topik syarahan. Waktu pulang ke kampung sesuatu yang menceriakan dengan pelbagai warna bas yang disewa khas mendaki Bukit Budiman mengambil pelajar-pelajar untuk ke pelbagai destinasi di semenanjung. Suasana akan terasa sedikit syahdu dengan pelajar saling bertukar ucapan Selamat Hari Raya. Yang lebih sayu tentulah pelajar yang datang dari Malaysia Timur yang tidak dapat balik beraya. Ada yang lebih suka mengikuti teman rapat pulang ke kampung daripada beraya di kampus.

Saya pula apabila tiba musim balik beraya sudah mengemaskan pakaian sebaik sahaja selesai berbuka. Jam 11.00, saya akan menghidupkan enjin motorsikal untuk berlepas pulang ke kampung. Perjalanan kebiasaannya akan mengambil masa selama 5 jam. Sampai sahaja tiba di kampung, saya akan terus sahaja bersahur bersama keluarga. Ramai teman-teman yang menyifatkan tindakan saya gila, pulang ke kampung di tengah malam buta. Tetapi saya punya alasan tersendiri. Berjalan di tengah malam ini selain daripada suhu yang sejuk, kenderaan besar seperti kereta amat jarang. Risiko kemalangan itu dapat dikurangkan. Jika di waktu siang, jalan-jalan pasti akan dipenuhi dengan kereta dan terutamanya lori kontena yang laju tanpa mengira sesiapa sahaja yang menggunakan jalan pesisir laut dari Kelang ke Telok Intan itu.

Saat yang berlalu hanya sekali dan tidak mungkin berputar kembali. Kampus ditinggalkan setelah tamat pengajian. Kenangan bersamanyalah yang dikendong sehingga ke hari ini. Teman-teman sudah jauh dengan hal masing-masing. Jika bertemu, pastinya pada jamuan reunion lewat buffet-buffet di hotel mewah. Tempat yang tidak pernah dimimpikan oleh kami untuk berbuka sewaktu kami bergelar seorang pelajar dahulu. Dahulu tempat kami berbuka di atas lantai di dalam bilik kecil kami. Berkongsi juadah. Namun itulah buffet lima bintang kami!!

Friday, October 06, 2006

Telinga Raja

Dalam satu babak Drama MTV Korea, seorang gadis sedang menangis memberitahu sahabat baiknya bahawa dia sama sekali tidak berupaya mengungkap perasaannya kepada si Hero lantaran perasaan malunya mengatasi segala-galanya. Sahabat baiknya mengingatkannya tentang kisah Telinga Raja. Saya juga pernah mendengar kisah Telinga Raja ini, tetapi pada asalnya saya menyangkakan bahawa kisah ini berasal dari Benua Kecil India. Tanpa pengetahuan saya, kisah ini rupanya berasal dari Timur Jauh.

Pada zaman dahulu, ada seorang raja yang memerintah sebuah kerajaan yang luas. Raja ini adalah raja yang sangat adil lagi saksama. Seluruh hamba rakyat baginda amat menyayanginya sehinggakan rakyatnya merasakan tiada halangan atau jurang antara mereka dengan raja itu. Malah raja itu dianggap sebahagian daripada ahli keluarga mereka di mana mereka berpendapat barang siapa yang menyakiti raja, sama seperti orang itu menyakiti ahli keluarga mereka. Begitulah sayangnya mereka kepada raja itu.

Adil raja, makmurlah negara. Kekayaan negara melimpah ruah turun kepada rakyatnya sehingga tiada terdapat individu yang melarat di negara itu. Setiap wajah terpancar kegembiraan. Semuanya cukup kecuali satu sahaja. Permaisuri. Ya, negara itu tidak mempunyai permaisuri kerana rajanya hidup membujang.

Sudah berkali-kali Ketua Menteri mengajukan cadangan kepada raja agar meminang puteri di negara itu dan ini, namun setiapkali diajukan cadangan sahaja, wajah Raja akan berubah. Seperti menanggung kesedihan yang mendalam. Oleh itu Ketua Menteri tidak sampai hati lagi untuk menyampaikan cadangan peminangan kepada Raja, sesudah beberapa kali melihat Raja bermurung durja atas sebab itu. Tetapi terdapat satu kemusykilan. Kenapa Raja tidak pernah menanggalkan dastarnya? Aneh..

Suatu pagi, sebangun sahaja baginda dari beradu, Raja melakukan rutin hariannya iaitu bersenam. Baginda bersenam dengan dastarnya sekali. Ketika Raja membongkokkan badannya, dastarnya terjatuh lalu terbukalah rahsia Raja. Kebetulan pada ketika itu seorang pelayan istana masuk ke kamar diraja untuk menghantarkan minuman, terlihatkan rahsia itu. Raja bertelinga keldai.

Pelayan istana itu terpempan seketika dan Raja juga terkaget. Wajah Raja penuh dengan perasaan keliru. Kebijaksanaannya sedang berperang dengan hasutan syaitan. Syaitan menghasut Raja agar membunuh pelayan istana itu bagi mengelakkan rahsia baginda diketahui umum. Namun kebijaksanaanya mengatasi segala. Dengan perlahan baginda mengutip dastarnya dan menghampiri pelayan istana yang terpaku.
"Kamu simpanlah rahsia ini. Jika diketahui umum, alangkah aibnya beta.."
Pelayan istana itu menangis kerana Raja yang disayangi ditakdirkan mempunyai telinga sedemikian rupa. Tentu sekali rahsia ini akan disimpannya dalam-dalam di lubuk hati.

Malam itu pelayan istana bermimpi didatangi oleh seseorang. Orang itu berkata bahawa dia mestilah menjerit kuat mengatakan bahawa Raja bertelinga keldai atau perutnya akan membusung dan kemudian pecah. Sebangun sahaja dari tidur, pelayan istana itu mengambil keputusan melupakan alamat mimpinya.

Masalah mulai timbul apabila perut pelayan istana semakin hari semakin membesar. Pelayan istana itu ketakutan terus mengadu kepada raja dan menceritakan perkara mimpinya itu. Raja terdiam seketika kemudian baginda tersenyum. Baginda mendapat satu ikhtiar.

Raja membawa pelayan istana itu jauh ke dalam hutan di mana tiada manusia yang tinggal di situ. Di tengah belantara itulah pelayan istana diminta menjerit.
"Raja bertelinga keldai!!"
"Raja bertelinga keldai!!"
"Raja bertelinga keldai!!"

Demikianlah yang dilaungkan oleh pelayan istana itu di tengah hutan rimba sambil diperhatikan oleh raja sambil tersenyum. Dengan serta merta perut pelayan istana kembali seperti asal. Mereka pulang ke istana sambil bercerita tentang itu dan ini.

Di pinggir hutan pula tinggal seorang tua yang pekerjaannya membuat gendang istana. Pada suatu hari, orang tua ini mendapat titah dari Raja supaya membuat sebuah gendang untuk dimainkan pada hari ulangtahun kelahiran Raja. Dia masuk ke dalam hutan dan menebang kayu yang elok untuk dibuat gendang. Cukup tempoh 3 hari, gendang itu pun siap. Manakala dipalu sahaja untuk diuji, gendang itu mengeluarkan bunyi yang amat luar biasa merdunya namun di hujung bunyi paluan itu seakan ada suara berbisik, "Raja bertelinga keldai...".

Pegawai istana sudah menunggu di luar, mahu atau tidak orang tua itu terpaksa menyerahkan gendang itu kepada pegawai istana.

Hari Ulangtahun Kelahiran Raja berlangsung dengan meriah dan temasya itu dianjurkan sendiri oleh rakyat bagi mengenangkan Raja yang mereka kasihi. Tibalah acara pemaluan Gendang Diraja, Ketua Menteri diamanahkan untuk memalunya sebanyak 7 kali dengan kuat sebagai pembuka acara. Apakala dipalu sahaja keluarlah bunyi gendang yang kuat beserta dengan suara yang nyaring di hujungnya, "Ddddduuuummm.... Raja bertelinga keldai.."

Ketua Menteri dan sekelian hamba rakyat terkaget manakala wajah Raja sudah sudah merona kemerahan. Raja serta merta berdiri lalu menanggalkan dastarnya dan terlihatlah telinganya yang seakan telinga keldai, "Nampaknya tidak perlu lagi beta menyimpan rahsia lagi. Sekarang terpulanglah kepada menteri dan hamba rakyat, jika beta mengaibkan negara dengan telinga beta ini, beta bersedia turun dari tahta.."

Maka menangislah sekelian hamba rakyat melihat keadaan raja mereka. Kini sedarlah mereka akan hal musabab negara tidak berpemaisuri. Sekelian hamba rakyat semua serentak tunduk kepada Raja. Ketua Menteri bersembah kata, "Wahai Tuanku, junjungan rakyat. Tidakkah tuanku mengetahui bahawa kami amat menyayangi raja kami. Raja kami raja yang adil dan saksama sekalipun bertelinga keldai. Kami rela bernaung di bawah duli Tuanku daripada mempunyai seorang raja yang cukup sifat tetapi berhati kejam".

Ucapan Ketua Menteri itu disambut dengan teriakkan Daulat Tuanku oleh sekelian hamba rakyat. Temasya berlangsung dengan meriah kemudiannya seperti tiada apa yang berlaku. Berselang 6 bulan daripada detik itu, negara sekali lagi bertemasya dengan gembira. Kali ini bertemasya meraikan perkahwinan Raja dengan seorang puteri negara jiran yang berhati emas. Raja sudah tidak suka memakai dastarnya lagi.

Sahabat gadis itu berkata, "Pasti engkau pernah mendengar kisah Telinga Raja. Berterus teranglah. Kelak semua orang akan merasa BAHAGIA"

Thursday, October 05, 2006

Semalam dia menghubungi saya.

Semalam dia menghubungi saya. Menghubungi saya setelah 3 tahun masing-masing menyepikan diri. Membangkitkan kenang-kenangan lama yang menghiris hati. Lalu kesayuan dan hiba menerpa dan melingkari saya dalam melankolia.

Dia menghubungi saya sama seperti sewaktu minggu-minggu pertama saya berjejak di Malaysia sepulangnya dari Khartoum. Mengusulkan sebuah pertemuan untuk rancangan perniagaan di masa hadapan. Saya menerimanya dan melupakan segala perlakuan dan tingkah lakunya yang pernah meretakkan hati saya sewaktu saya berkhidmat untuknya dahulu.

Saya kemudian memberi segala pengorbanan dan kesetiaan saya kepadanya dan juga syarikat yang kami terajui. Namun takdir menentukan segalanya. Perjodohan kami tidak panjang juga. Sebuah pertelingkahan kecil akhirnya menjadi api membakar sebuah perkongsian.

Saya merana beberapa tahun sesudah itu. Hati saya hancur dengan tindakannya yang melulu. Pemecatan saya tidak ubah seperti satu pembohongan yang nyata. "Hidup ini adalah permainan catur, engkau adalah bidak-bidaknya. Jika aku merasakan kamu harus mati, maka kami mesti mati". Itu ungkapan yang tidak pernah sekali-kali saya lupakan terbit dari bibirnya. Dan terbukti akhirnya saya mati.

Saya seorang sahaja merana tidak mengapa. Tetapi apa yang lebih menyayat hati saya ialah apabila orang-orang kesayangan saya turut menderita secara tidak langsung oleh perbuatannya. Saya mengharungi tahun-tahun sesudah itu laksana sehelai biduk dilanda ombak besar. Saya terkatung-katung dalam kemiskinan dan kehinaan oleh masyarakat sekeliling saya. Sehinggakan saya merasakan bahawa maruah saya ketika itu diinjak-injak oleh orang lain. Di mana dia di saat itu?? Di mana dia yang saya panggil seorang Abang untuk menyelamatkan saya?? Dia hilang entah di mana. Tiada panggilan telefon mahupun selayangan surat atau email sebagai tanda kemaafan.

Saya bertekad menempuh hidup dengan cara saya tersendiri. Jauh dari mereka yang pernah mengenali saya dan dia. Melangkahkan kaki saya ke dunia yang asing dengan ilmu kosong di dada. Saya dimaki, dihamun dan kemudiannya dengan berkat kesabaran saya, saya diterima sebahagian dari kelompok itu walaupun pengiktirafan masih lagi menjadi satu perkara jauh. Saya tidak pernah jemu berusaha. Saya tidak pernah berputus asa dengan Rahmat ilahi walaupun sinar kebahagiaan masih lagi berdegil untuk kunjung bertamu ke serambi hati saya. Erti kata lain, saya mulai menerima segala yang berlaku itu sebagai takdir Allah yang punyai hikmah yang tidak mungkin terselam oleh kita akan keputusannya di belakang hari.

Semalam dia menghubungi saya. Menghubungi saya setelah tiga tahun perkara itu berlaku. Membangkitkan semula kenang-kenangan silam yang menghiris hati. Mengkhabarkan tentang dunia perniagaan yang sudah tidak semakmur dahulu. Saya mendengar dengan teliti. Ada suara terdesak di sebalik ceritanya. Dan bahasa kiasannya untuk sebuah kemaafan dendam. Tahun-tahun bersamanya membuatkan saya amat memahami lenggok bahasa dan perlakuannya.

Rupanya Indera Kencana masih Indera Kencana yang dahulu. Indera tidak pernah menyimpan dendam di dalam hati. Saya menawarkan pertolongan pada mana-mana perkara yang memerlukan. Dia menerima seruan bantuan saya tetapi masih tetap berselindung kononnya hidupnya masih lagi seperti biasa. Masih sejahtera seperti dulu. Tetapi saya amat mengerti akan dirinya. Saya dapat meneka bentuk kehidupan yang sedang dilaluinya. Lantas itu sudah cukup membuatkan hati saya diselubungi pilu. Pilu tentang nasib kami berdua. Tetapi bukankah jalan ini yang dipilihnya dahulu?

Dia mencadangkan agar kami bekerjasama. Sama seperti dia pernah ajukan kepada saya lewat minggu-minggu pertama saya berjejak di Malaysia sepulang dari Khartoum. Tetapi kali ini perasaan itu tidak lagi berbunga ceria. Tetapi berbuar takut, bimbang, sedih dan juga kasihan menerpa-nerpa ke pintu hati saya. Bagaimana sekiranya saya pulang ke pangkuannya tetapi setelah syarikat mulai makmur, dia mencampakkan saya semula seperti alat yang tidak berharga? Tetapi bagaimana pula jika dia benar-benar menyesali akan tindakannya dan tidak akan mensia-siakan saya lagi dan dengan itu kami akan dapat sokong-menyokong antara satu sama lain??

Saya amat sedar, keluarga saya akan menentang hebat niat saya untuk menolongnya setelah melihat apa yang dia pernah lakukan ke atas diri saya.

Saya amat pasti bahawa dia masih lagi mengingati sebaris ayat yang saya pernah coretkan di dalam kad ucapan hari lahirnya pada suatu masa, "Abang Ngah tetap abang saya walau kita tiada pertalian darah, Selamat Hari Lahir yang ke-37".

Entahlah...

Wednesday, October 04, 2006

Scabis

"Bang, Seluruh badan Siri Aufa terutama di bahagian muka tumbuh bintik-bintik merah. Keningnya sudah hilang separuh. Petang ini Zah nak bawa dia ke klinik di Seri Iskandar"

Begitulah mesej dari Sistem Pesanan Ringkas yang saya terima sebelum waktu Solat Jumaat yang lalu. Setelah itu, sepulang sahaja ke pejabat, saya terus menghubungi isteri saya bertanyakan khabar anak saya. Menurut isteri saya, anak saya seperti mendapat alahan namun puncanya tidak dapat dipastikan.

Sepanjang perjalanan pulang dari Kuala Lumpur hingga ke kampung, fikiran saya tidak berhenti-henti memikirkan apakah punca dan musabab anak saya mengidap sedemikian penyakit.

Senja berlabuh dan azan berkumandang menandakan masuknya waktu berbuka puasa. Saya singgah di pasar malam di Tapah Road untuk membeli juadah. Doa berbuka dibaca dan saya menjamah juadah dengan perlahan. Tiba-tiba saya teringatkan suatu perkara. Ya, mungkin itulah puncanya anak saya mendapat alahan.

Anak Patung Al-Jinni buatan China. Anak saya terlalu obses dengan Barbie. Apa sahaja perkara, ingin dikaitkan dengan Barbie. Ingin cantik seperti Barbie Doll dan mendengar cerita tentang Istana Barbie. Bulan lalu sewaktu saya dan isteri membawa anak-anak ke Jaya Jusco di Ipoh, ketika isteri saya sedang asyik memilih baju, anak saya sudah menyelinap ke Bahagian Permainan (Toys Section) dan mengambil sebuah kotak berisi Barbie yang lengkap berpakaian seperti doktor. Melihatkan harganya yang mencecah RM65.00, saya memujuk anak saya agar menangguhkan dahulu pembelian sementara saya punya wang di kemudian hari.

Dua minggu lepas pula sewaktu saya dan isteri sedang membeli Lampin Pakai Buang Bayi di Pasaraya Fajar, Sitiawan, anak saya tetap juga sudah menyelinap ke Bahagian Permainan. Dia mengambil sebuah kotak yang seakan sama dengan kotak Barbie Doll di Jaya Jusco dan terus meletakkannya di kaunter pembayaran. Saya menarik nafas panjang sewaktu melihat tanda harganya. Tetapi, ehhh?? yang ini harganya cuma RM9.90 sahaja. Saya membelek kotak dan di belakangnya tertera Al-Jinni buatan China. Ya, persis Barbie Doll yang sebenar. Lengkap dengan aksesorinya pula.

Malam itu anak saya tidur dengan Al-Jinni itu. Di luar mata kasar saya, puluhan ribu hama gatal betina keluar dari rambut Al-Jinni lalu mengorek kulit muka dan telinga sehingga ke seluruh badan anak saya untuk bertelur... Setelah seminggu, simptomnyanya mulai sirna lalu anak saya menangis kesakitan sebangun sahaja dari tidur pada pagi Jumaat lalu.

Hancur hati saya melihat wajah anak saya setiba sahaja saya di rumah mertua saya malam itu. Mukanya sudah bakup penuh ditumbuhi bintik-bintik merah laksana ruam dan telinganya berair malah berkuping-kuping menunjukkan tanda jangkitan peringkat kedua.

Sepanjang dua hari bercuti (Sabtu dan Ahad) saya membelai tubuh anak saya. Memandikannya, mencuci dengan air Dettol, menyapu krim antibiotik dan memberinya minum ubat 3 kali sehari. Sehingga ke petang Ahad itu, keadaannya masih tidak banyak berubah. Abang Ipar saya menyarankan agar dirujuk anak saya itu ke Pusat Kesihatan Kerajaan.

Isnin saya mengambil Cuti Kecemasan. Urusan anak saya lebih penting dari pekerjaan dan kerjaya saya. Setelah disapu dengan krim yang diperolehi dari Pusat Kesihatan Kerajaan, barulah penyakit anak saya menunjukkan tanda-tanda reda. Bagus juga, bayar RM2.00 dapat ubat yang baik. Di klinik swasta, bayaran ubat sahaja sudah RM40.00.

Al-Jinni itu sudah saya simpan ke tempat yang paling tersorok. Mudah-mudahan selepas ini tiada lagi perkara seperti ini terjadi kepada anak-anak saya. Kesal dan sedih rasa hati saya bercampur aduk tatkala memandang wajah anak saya yang kemerahan. Kesal kerana saya tidak berhati-hati dalam memilih barangan. Murah tidak bermakna elok. Sedih kerana saya sepatutnya sentiasa berada di sisinya sewaktu anak saya kesakitan.

Moga-moga minggu depan keadaan anak saya akan kembali seperti asal.