Friday, October 20, 2006

Selamat Hari Raya, minal a'idi wal faiezin

Sejak dari kami cukup umur untuk mendapatkan lesen memandu sehinggalah tahun-tahun terakhir usia bujang kami, setiap malam Raya sahaja, pasti bayangan kami (saya dan adik-beradik sepusat sepusing saya, Nasiruddin dan Azmi - we are sworn brothers. Kami telah ditakdirkan menjadi saudara walaupun berlainan ibu dan bapa) gagal dikesan di merata kampung. Ini kerana pada malam Raya itu kami bertiga dan akan disertai oleh rakan-rakan yang lain, akan berkumpul dan berlonggok menghabiskan masa di Jeti Lumut.

Aktivitinya hanya biasa-biasa sahaja. Sekadar bersembang kosong sambil meleraikan kerinduan sesama kami (perlu ditegaskan, kami bukan dari golongan yang bercinta sesama jenis. Jangan salah anggap), mengenang dan mengutip kembali zaman kanak-kanak kami terutamanya aktiviti yang sering kami lakukan di usia kanak-kanak tatkala menjalani ibadah sa'um (berpuasa) dan kenangan merambu di sekitar kampung di hari Eid, naik ke rumah sesiapa sahaja hatta orang tidak dikenali sekalipun dengan matlamat hanya untuk mengumpulkan Duit Raya.

Bersama deruan angin dan gelora ombak yang menghempas tiang jeti itu, pasti diselangi dengan derai tawa kami yang memanjang. Samada lemang di rumah sudah siap dibakar atau tidak, kami langsung tidak ambil pusing. Kami leka menadah embun sehingga santak dinihari. Jam 4.00 pagi barulah kami beredar pulang ke rumah masing-masing.

Subuh pagi itu hanya diqada' pada waktu tengahari (haa.. begitu "baik"nya sikap saya dahulu. Astaghfirullahal azim). Bangun pagi itu, takbir dari Masjid di sebelah rumah (rumah saya di sebelah masjid..) sudah berkumandang. Orang ramai akan berduyun-duyun melimpahi ruang solat hatta membanjiri perkarangan masjid. Saya baru terkocoh untuk mandi sunat AidilFitri. Bekalan air di waktu ini amat tidak memuaskan. Mak menggelarkan alirannya seperti ekor tikus.

Juadah biasanya sudah siap terhidang. Saya dengan selamba menjamu nafsu selera tanpa menghiraukan sesiapa yang berada di sekeliling walaupun Opah saya sendiri melintas di hadapan. Di waktu ini Kak Asma aka Pontianak akan terlebih baik hati dengan saya. Dia akan mencedukkan rendang atau nasi goreng untuk saya bahkan menuangkan teh untuk saya. Alangkah bahagianya dunia...!!!

Orang sudah memenuhi masjid. Saya baru tertonjet-tonjet menyarung selipar. Kak Ani memandang saya dengan terharu. Mungkin dia tidak menyangka adiknya yang nakal amat itu sudah kelihatan lawa dan segak dalam airmuka yang jernih menuju ke masjid. Selepas lima belas minit, di tepi jalan di luar masjid itu pula dia memandang saya dengan air muka yang geram setelah melihat saya berlonggok di tepi jalan, berdekah-dekah ketawa sambil menikmati lemang yang dibawa oleh Alang dari rumahnya. Sedang jemaah lain tengah khusyuk bertakbir dan bertahmid.
"Kome (kamu semua) ni nak makan ke nak sembahyang???" marah Kak Ani kepada kami.

Akibat terleka bersembang itulah, kami tidak mendapat ruang bersolat. Mahu tidak mahu terpaksalah kami bersolat bersama kanak-kanak. Pak Udin Kengkang menegur kami sebaik selesai bersolat itu
"Besar-besar badan kanak-kanak sekarang ye!! Sudah bermisai tetapi masih tak mimpi basah lagi... hahahaha..." celupar betul mulut Pak Udin Kengkang itu. Kami hanya memandang dengan perasaan geram.

Khutbah Aidil Fitri dibaca dalam dengung huru-hara kanak-kanak yang seperti lebah menyambut datangnya mentari pagi. Kami tertunduk menghayati bacaan khutbah sambil memikirkan pengajaran dan mesej yang disampaikan.

Tamat sahaja khutbah, kami bersalam bermaafan. Yang muda dan yang tua. Kami bersaudara. Pak Udin Kengkang memeluk kami seorang demi seorang
"Jangan marah Pak Udin, yek!! Pak Udin melawak sahaja. Kalau bukan dengan kome, dengan siapa lagi Pak Udin nak melawak" katanya.
"Kami pun macam tu juga Pak Udin"

Selepas ini saya akan memohon ampun maaf dari Mak dan Apak. Dari saudara tua saya. Dari abang saya - Yeop dan Khairul, Kakak saya - Kak Asma dan Ani dan tidak lupa untuk mengusik adik saya Azlina dan Nizam. Hari lebaran, hari kita bermaaf-maafan.

Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar
Lailahaillallahu allahu akbar
Allahu akbar walillahilhamd..

Lantas cahaya AidilFitri memenuhi hati-hati kami dalam ketenangan dan persaudaraan kami.


Indera : Hari ini hari terakhir berkerja. Kepada rakan-rakan sekelian (King, Bunga Rampai, Esis, Elmaaniq, Maniq kayangan, Pak Darma, Bas, Hakim, Book, Ezmil, Zizie dan banyak lagi yang tidak dapat dinyatakan di sini), semoga mendapat keampunan dari Allah S.W.T. di hari yang barakah itu nanti. Maafkan segala salah dan silap saya sepanjang kita bertemu di ruang maya ini. Bagi mereka yang berkenderaan pulang ke kampung, berhati-hati di jalanraya. Bagi rakan-rakan di luar negara, Hakim Dirani dan Book, anda menggalas tanggungjawab besar. Jangan bersedih. Salam Persaudaraan dari saya. Selamat Hari Raya. Minal A'idi wal Faiezin. Maaf Zahir dan Batin.

8 comments:

Rie said...

slamat hari raya.

maaf mental dan fizikal.

pssttt, td aku jumpa student aku yang buat pasal sumpahan ikan tapah ni. dia amik no phone ko. katanya nak buat gathering keturunan pak kadok.

kalo aku inagt aku nak mintak vcd yang student ni buat kasi kat ko,.

INDERA KENCANA said...

Boleh lah tu. Mekasih.

Semoga diberkati di AidilFitri ini.

Bunga Rampai said...

Salam lagi Indera, belum raya pun dah dua kali bertandang hari ni...aroma lemang jagung membawa saya ke mari ;)

Terima kasih atas jemputan berhari raya di kampung Indera. InsyaAllah suatu hari nanti. Melalui Sang Bayu saya kirim haruman bunga rampai untuk Indera sekeluarga, moga dapat menyegar dan menenang rasa pada hari yang mulia.

Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin :)

INDERA KENCANA said...

Salam Bunga Rampai,
Layangan Indera ini sentiasa terbuka untuk haruman Bunga Rampai datang menguntum, biar berapa lama sekalipun.

Ya, Maaf Zahir dan Batin juga dari saya. Salam untuk suami (atau tunang atau teman istimewa) dan keluarga Bunga Rampai.

blackpurple @ jowopinter said...

Biasa nampak nama indera kencana ni di kotak komen Bunga Rampai. Nak juga singgah sesekali...hehehe

Salam eidul fitr'. Maaf zahir & batin...

ZaKiN said...

selamat hari raya untuk indera juga.. moga segalanya selamat. jgn lupa duit raya aku.. huhuhu

hakim dirani said...

Indera, Saya juga nak minta maaf zahir dan batin.

Kerana perjuangan, saya tak dak dapat rasa kemeriahan beraya di Malaysia.

Tapi sini pon Seronok juga.

kullu Aam wa antum bikhair

INDERA KENCANA said...

BP, Singgahlah selalu ye!! Sebenarnya saya ni, boleh nak dikatakan hari-hari masuk ke Blog BP. Cuma tak tinggal mesej je. Malu nak tinggal mesej sebab BP banyak peminat. Dalam kotak komen saja dah sampai 40 feed-back. Kita ni setakat 10 komen tu dah habis banyak la tu..

Selamat Hari Raya juga untuk BP.


Maniq, marilah datang ke Sri Hartamas collect duit raya. Boleh juga kita minum-minum di Uncle Don. Hehehehe..

Hakim, Biar jauh di mata, asal jangan jauh di hati. Semoga berbahagia beraya di rantau orang.