Monday, December 13, 2010

Jalanan Hati



Rembulan sabit memancar di awal bulan Muharram. Suasana pagi terasa dingin dan segar dengan embun jatuh berguguran di hujung dedaunan pagi. Azan Subuh sudah pun dilaungkan hampir setengah jam yang lalu. Semua orang sudah bersolat subuh di waktu-waktu sebegini. Selesai sahaja menamatkan doa yang terakhir, saya lantas ke dapur mencari benda yang boleh dimakan. Namun setelah menyedari bahawa pagi itu masih terlalu awal, manakala Mak pula sedang berteleku di tikar sejadah, saya batalkan niat menyelongkar gobok almari lauk. Terus sahaja ke tengah halaman mendengar kicauan burung pagi. Di kaki langit di arah timur, berkelip sebiji bintang yang sangat terang. Barangkali itulah yang dikatakan orang sebagai Bintang Timur yang banyak ditamsilkan pada mana-mana mata manusia yang indah.


Jalanraya di hadapan rumah Mak kelihatannya lengang. Agaknya sebentar lagi akan dipenuhi dengan kereta kerana orang akan berpusu-pusu masuk ke pejabat seawal jam 7 pagi. Begitulah rutin hidup manusia. Masa akan terus berlalu tanpa menunggu walau sesaat pun. Sungguh rugilah bagi mereka yang cuba bermain dengan masa.“

Haaa... di situ kamu rupanya.. Mak ingatkan kamu kat mana tadi. Subuh-subuh dah hilang” suara Mak mengejutkan lamunan saya.

“Hmmmm... kenapa Mak?” tanya saya. Barangkali Mak perlukan apa-apa di awal pagi-pagi ini.

“Tak ada apa... kamu buat apa kat tengah laman tu?”

“Tak ada apa” kata saya mengulangi percakapan Mak.

“Dah tu.. jangan banyak termenung. Masuk dalam sarapan pagi. Mak dah gorengkan nasi” kata Mak sebelum menghilang ditelan ruang dalam rumah.

Pandangan saya teralih ke aspal yang lurus di hadapan rumah. Sememangnya tidak semua jalanan di dunia ini yang bergerak lurus. Ada bengkang-bengkok dan ada juga juga yang berselekoh tajam. Begitu jugalah dengan jalanan hidup manusia. Tidak semuanya indah sepanjang masa. Ada masanya tetap melalui jalanan yang penuh ranjau dan beronak duri. Dugaan datang satu demi satu menguji kekuatan hati. Menjadi penentu terhadap sejauh mana ketabahan kita menghadapi semua rintangan yang telah ditetapkan oleh Allah.

Saya membelek-belek lipatan sejarah sepanjang tahun 2010 ini. Tahun yang paling berat ujiannya sepanjang seusia saya. Tahun yang paling getir yang saya lalui dengan cabaran datang silih berganti. Namun tetap juga saya harungi berkat pengajaran dari tahun-tahun yang sebelum ini. Saya tersenyum pahit mengenangkan cerita yang dibisikkan oleh Mustafa, sepupu saya yang belajar di UK sewaktu dia pulang menyambut Hari Lebaran baru-baru ini.

“Abang Indera, banyak-banyakkan bersabar” katanya.

“Semuanya hanya kebetulan sahaja” jawab saya acuh tidak acuh.

Sepupu saya itu tinggal bersama dengan seorang warga Finland yang kononnya mahir dalam agamanya. Ya, setahu saya, orang itu mempunyai agama yang pelik. Bukan Islam. Bukan Christian dan bukan juga Yahudi. Kononnya dia meramalkan bahawa nasib keluarga Mustafa akan ditimpa musibah sepanjang tahun 2010.

“Mus pun tak percaya Abang Indera.. ya, barangkali kebetulan sahaja. Bermula dengan Faizal putus tuning. Kemudian dengan Kak Khairani bercerai. Kemudian Abang Indera ditimpa nasib sebegini. Dan sekarang tengok... Intan adik Must tu pulak bercerai. Kahwin cuma 3 bulan saja”

“Tak usah percaya semua tu Mus... berdosa besar kita percaya pada amalan bertenung nasib ni. Takkan Mus percaya kot...? Abang tak belajar sampai ke UK pun abang tak percaya pada benda-benda karut macam tu” kata saya.

“Ya... kebetulan saja kot” jawab Mustafa dengan suara yang mendatar.

Hidup ini satu perjalanan yang singkat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di Lauhil Mahfudz. Segala kebaikan dan keburukan, semuanya sudah tersurat sebagai Qada’ dan Qadar. Tiada siapa yang boleh mempersoalkannya. Apa yang mampu kita lakukan, hanyalah berusaha, berdoa dan bertawakkal agar kehidupan kita ini senantiasa berada di landasan agama Allah. Selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk menentukannya.

Saya menguis pasir di kaki lantas terlukis garisan besar yang bersimpang siur. Dengan apa saya menguis pasir itu? Bukan itu itu tenaga? Kudrat yang dikurniakan oleh Allah terhadap hambaNya. Kudrat yang bergabung dengan akal pemikiran yang waras akan menjadi usaha yang membuka lorong untuk mencipta kejayaan. Saya tahu, hanya kematian sahaja yang dapat menghentikan manusia daripada terus berusaha.

Matahari mula memancar di ufuk timur menandakan hari baru telah bermula. Datangnya bersama harapan semoga kehidupan hari ini akan lebih baik dari semalam. Tok Imam Jali datang dari arah baruh menunggang motosikal buruknya melalui jalan di hadapan rumah. Dari jauh lagi dia sudah terpandangkan saya yang berdiri di bawah pokok mempelam itu dengan hanya kain sarung dan kemeja lengan pendek. Dia menyeringai sewaktu saya mengangkat tangan tanda hormat kepadanya.

“Apa kamu buat pagi-pagi duduk bawah pokok mempelam tu? Kan banyak nyamuk kat situ?” katanya sambil memberhentikan motosikalnya di sebelah saya.

“Tak ada apa-apa, Tok... saja ambil angin pagi-pagi ni” jawab saya.

“Dah ambil duit kelapa sawit Mak kamu dari Adin?” tanyanya lagi.

“Belum... cadangnya petang ni nak ambil dari Adin. Dia ada kat rumah?”

“Ada... kalau kamu nak datang, nanti Tok kaborkan kat dia kamu nak datang. Tak adalah dia merayap ke mana-mana nanti”

Tok Imam Jali menoleh ke kiri dan ke kanan. Entah apa yang dicarinya, saya pun tidak berapa pasti. Kemudian dia menarik nafas panjang.

“Kamu nak tak kalau Tok bagi kamu satu nasihat?” tanyanya.

“Apa dia Tok?” tanya saya pula.

“Kalau ada masa, selepas Subuh itu eloklah kamu amalkan baca Surah Al-Waqiah. Surah itu baik buat penambah rezeki. Lagi satu, Solat Dhuha itu pun kamu cuba amalkan. Kita ni cuma boleh usaha saja. Semuanya Allah yang tentukan” katanya.

Saya cuma mengangguk sambil termenung melihat tanah yang digemburkan oleh cacing-cacing. Tiba masanya, aku juga akan dimakan oleh cacing-cacing, fikir saya.

“Hmmmm.. tak apalah. Tok nak ke kedai Simah nak cari kuih. Opah Jenab kamu tak masak pagi ni. Dia sakit badan-badan. Angin katanya” kata Tok Imam Jali sambil menghidupkan enjin motosikalnya.

“Jumpa lagi Tok... Assalamualaikum” kata saya.

“Wa alaikummussalam” jawabnya sebelum berlalu dan menghilang di sebalik rimbunan pokok-pokok.

Angin berhembus kencang di awal bulan Disember. Dari arah Timur Laut, kelihatan tompok-tompok awan hitam yang bergerak perlahan-lahan menutup sinar matahari pagi yang garang. Barangkali, sejam dua dari sekarang hujan akan bakalan turun mencurah-curah membasahi bumi lewat musim tengkujuh yang membadai. Gambaran sejarah datang bertali arus mengisi kotak fikiran saya. Jauh di berkilometer di ruang angkasa, terdengar deruan enjin kapal terbang sayup-sayup melintasi ruang udara kampung itu.

“Hidup ini sebenarnya satu episod mimpi. Apabila kita mati, kita ibarat terjaga dari sebuah mimpi yang panjang” kata-kata itu bagaikan bergema datang dari pelbagai arah menikam ke dalam kepala saya.

Entah kenapa, di dalam hati saya pada saat ini terasa kosong. Kosong sekosong-kosongnya.

12 comments:

Putra Haikaz said...

Salam Saudara indera, dah lama saya menanti cerita dari saudara..saudara indera tak mahu menulis novel ke?

semoga tabah menghadapi segala cubaan dan dugaan nya..

indera kencana said...

Putra Haikaz,
Niat menulis novel itu memang ada dan dalam peringkat pengumpulan bahan. Terima kasih atas kunjungan ya.. dan selamat berkenalan

seri said...

Salam Bang Indera,
lama sungguh menanti n3 baru.. apapun setiap kehidupan mesti ada ranjau duri.. tabahlah menghadapi ujian Allah..

indera kencana said...

Seri,
Terima kasih atas kunjungan Seri. Hidup ini ibarat roda sebenarnya. Tetapi kita harus berfikiran positif dan sentiasa berfikir ke hadapan. :D

fajar said...

salam abg indera,

maaf jika lama tidak mengutus berita. saya berada di dalam keadaan yang begitu menekan. namun, dalam kepayahan itu saya yakin dan percaya pasti akan ada kemudahan. itu janji Allah bukan?

saya doakan agar abg juga bebas dr segala kepayahan dan dugaan yg sedang abg lalui skrg. moga terus tabah dan kuat.

indera kencana said...

Fajar,
Abang doakan semoga masalah yang merentangi Fajar di Glosgow akan segera berakhir dan dipermudahkan urusan Fajar dengan seluas dan selapang urusan. Kalau Fajar senang-senang, hantarlah sms pada abang di tanahair. Terima kasih atas doa Fajar. Salam buat isteri Fajar dan salam peluk cium buat Anakanda Najla.. Amin :D

asr said...

salam.
Lama x berkunjung ke sini. Moga Allah temukan jalan yang sebaik2nya... :D

Suraia.Ayani said...

Assalamualaikum,

Tulislah lagi....

serimaya said...

Assalamualaikum, singgah dilaman orang adakala dijemput, adakala sepi tanpa jawapan. Kiranya saya dianggap tetamu akan saya singgah terus di sini kala waktu memberi izin untuk saya berkongsi cerita dalam hidup yang kadangkala indah kadangkala manis dan kadangkala pahit.

Masy said...

salam abg indera,
sy belum komen lg. mebi terlepas pandang entry ni.

sy doakan abg indera bahagia sentiasa. yg berlalu biarkanlah berlalu, yg akan dtg ni yg nk kene hadap. apepun, mudah berkata2 - berat utk yg nk terima, betul tak?

moga tenang dan redha dgn ujian ini...

AKMA said...

Salam Indera,

Bertandang ke mari..semacam ada satu perasaan yang sukar digambar. Ianya damai dan sentiasa menyentuh hati. Sentiasa halus perasaan itu. AKMA agak lama tidak menulis dek kekangan waktu. Tapi sentiasa berkunjung ke mari. Teruskan menulis! Perjalanan hidup Indera...menjadi kekuatan AKMA!

AKMA
Southampton

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Semoga sihat walafiat sekeluarga, moga dalam perlindungan dan hidayahNya jua.

Sabar dalam perjalanan... ada kurniaNya menanti.