Thursday, April 19, 2007

Cempaka di Rembulan




Di dalam kekeringan idea untuk mengisi ruang blog yang kekosongan sejak 2 hari ini, saya terfikirkan untuk menulis satu perkara yang sudah terpahat lama di pemikiran saya. Cuma perkara ini saya enggan kongsikan bersama pembaca blog saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pasti kenapa dan mengapa. Mungkin saya terlalu sedih tentangnya atau mungkin juga saya terlalu marah padanya. Saya sendiri pun tidak pasti.


"Ya, aku masih lagi ingat hari itu, Armi. Aku melihat engkau. Kita ditakdirkan mengikuti kursus yang sama di ITM. Bererti kita teman sekursus. Namun kita ditempatkan di kelas yang berbeza. Aku di kelas A, engkau di kelas B. Walau bagaimanapun kita sering bersama-sama di tempatkan di satu ruang yang besar apabila menjelangnya sesi kuliah.


Dari Azli dan Azwad, aku mendapat tahu bahawa sebelum engkau diterima masuk ke ITM, engkau terlebih dahulu mengikuti kursus persediaan keluar negara. Walau bagaimanapun cita-cita engkau itu terkandas di separuh jalan. Aku enggan mencari lebih lanjut kenapa dan mengapa engkau gagal keluar negara dan akhirnya turut bersama-sama aku di ITM mengikuti kursus itu. Tetapi yang pasti, aku selalu melihat engkau. Melihat pesona yang ada pada engkau. Bijak, peramah, bersopan santun dan disukai oleh setiap orang yang mendampingi engkau tidak kira samada orang itu rakan sebaya kita mahupun dari kalangan pensyarah sendiri.


Setelah melalui semester dua dengan jayanya, entah apa yang membuatkan engkau boleh terfikir untuk berpindah masuk ke kelas aku, aku sendiri pun tidak tahu. Mungkin memang cara aku yang selalu enggan bertanya lanjut membuatkan persahabatan kita terbina erat. Kita kemudian menjadi sahabat baik terutama sewaktu kita di semester 5 bila engkau sering membonceng motosikal kepunyaan aku untuk kita sama-sama ke kelas. Masih lagikah engkau ingat Armi, kita sama-sama gilakan Pizza di restoran yang terkenal itu?. Sehinggakan setiap kali kita menerima kiriman wang daripada orang tua kita, kita akan mengasingkan RM30.00 setiap seorang agar kita boleh menikmatinya setiap dua minggu. Bukankah di waktu itu, wang sebanyak RM30.00 sudah boleh menikmati Buffet sejumlah dua orang? Kita ke Subang Parade seawal petang dan menunggu berjam-jam sehingga jam 6.00 petang. Tepat sahaja waktu Buffet itu bermula, kita meluru masuk dan makan semahunya seperti kita setahun tidak menikmati apa-apa hidangan. Malamnya kita pulang ke kampus sambil menyanyi riang. Perut sudah kenyang sambil terkekeh-kekeh ketawa apabila motosikal aku melanggar lubang. Engkau akan berkata, "Wahh jika hentakan sebegini, orang mengandung pun boleh terberanak". (Aku ketawa di saat aku menulis entri ini, engkau tahu?)


Aku memperkenalkan engkau pada Osman, teman sebilik aku pada engkau. Sejak dari hari itu, aku terkesankan bahawa engkau lebih rapat dengan Osman berbanding dengan aku sendiri. Namun aku langsung tidak ambil kisah. Asalkan engkau tetap memilih aku menjadi teman baik engkau, aku sudah berpuas hati. Kita mengharungi semester 6, semester terakhir itu bersama-sama, mengulangkaji pelajaran bersama-sama dan tidak sedikit pun di hati aku, mencurigai apa-apa. Masih lagi aku terkenang di suatu hari, engkau pernah bercerita pada aku bahawa engkau mahukan kehidupan ini selalu bahagia di samping dapat berbakti kepada ibu engkau yang telah tua.


Aku juga tahu jauh di sudut hatimu, engkau masih lagi mengingati hari di mana Ros Amira menolak mentah-mentah kehadiranmu di dalam hatinya kerana dia sudah punya Zulfarid yang terlebih dahulu bertahta di hatinya. Aku tahu engkau kecewa. Sama seperti aku kecewa apabila Hasniah meninggalkan aku dahulu.


Oleh yang demikian kita sehati sejiwa. Menceritakan keresahan hati pada satu sama lain. Kita sokong menyokong supaya tiada antara kita yang akan rebah di penggal terakhir itu. Nanti!! aku terkenangkan sesuatu. Kita sama-sama suka lagu Cempaka di Rembulan. Lagu syahdu kumpulan Spring itu. Aku sekadar menyukai melodinya. Tanpa aku menyedari engkau terlalu suka akan senikatanya. Aku benci. Aku benci bila engkau mengatakan senikata lagu itu adalah lagu untuk orang yang telah mati. Ya, mati!!
Doa sepi ku ini dihiasi Bunga Cempaka
Mengiringi kembaramu.... (Tolong, aku tidak mahu mengingatinya pun. Tolonglah!!)


Kita melalui peperiksaan akhir dengan tenang. Alhamdulillah. Kita berjaya melalui saat itu. Kita pasti bahawa kita akan lulus. Pasti sangat-sangat. Demi itu, kita sekali lagi merayakan pengakhiran "derita" kita dengan satu lagi makan-makan. Apa lagi kalau bukan pizza itu. Tetapi, opppss, kita sempat mengambil gambar di celahan pokok-pokok Rhu yang banyak merendang di tepi Kajian Seni itu. Hahahahahaha.... Maafkan aku Armi. Gambar itu tidak menjadi. Kamera aku kamera lama. Sudah tidak mampu berfungsi dengan baik!!. Gambar yang kita ambil itu langsung tidak boleh diproses.


Kita akhirnya terpisah sesudah itu. Aku melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah sementara engkau pulang ke Pahang membantu ibumu membesarkan adik-adikmu. Tiada sebarang panggilan telefon yang aku terima daripada engkau melainkan aku sahaja yang sering tertanya-tanya khabar tentang engkau sehingga perkahwinan engkau pun engkau rahsiakan dari aku. Aku marah betul pada engkau. Sehingga di suatu hari aku menerima warkah darimu. Hati aku sejuk semula. Masih aku ingat lagi coretan dari engkau.


Indera,
Aku kini sihat. Menjalani kehidupan yang tersangat biasa. Aku tahu engkau kecewa pada aku bila aku menolak tawaran melanjutkan pelajaran. Engkau tahu bukan, ibuku itu ibu tunggal? Jika bukan aku membantunya, siapa yang boleh diharapkan lagi? Ingin diharapkan pada abang aku di Singapura itu? Dirinya sendiri pun tidak terurus, bagaimana dia boleh aku harapkan untuk membantu kami sekeluarga.


Indera,
Alhamdulillah, adik aku Hisham sudah tamat belajar. Dia bakal mendapat pekerjaan tidak lama lagi aku kira. Maka kurang sedikit bebanan yang aku dan Mak aku tanggung. Lebih menyenangkan bila Saiful, adik aku yang bongsu juga sedang berkira-kira ingin bekerja di Kuala Lumpur kerana dia sendiri sudah patah semangat untuk terus belajar. Mungkin sesudah ini aku boleh memikirkan perkara untuk menyambung belajar supaya aku boleh bersaing dengan engkau...


Indera,
Kehidupan di Pahang ini amat sukar. Kami tidak punya pendapatan lain selain daripada kedai makan yang kecil itu. Hanya akulah harapan Mak aku...


Aku sedih Armi, kerana di saat itu hidup aku juga masih belum kukuh untuk aku membantu engkau. Jika aku punya pendapatan berpuluh ribu Ringgit, akan aku tolong engkau sedaya mungkin aku demi persahabatan kita.


Tahun 1999. Engkau kembali menghubungi aku. Menyatakan hasrat hatimu untuk berhijrah ke Shah Alam.
"Bagaimana dengan isterimu?" tanya aku.
"Isteri aku, aku tinggalkan di Pahang. Aku cuma perlukan sebuah tempat tinggal yang murah dan sedikit wang. Bolehkah engkau membantu aku, Indera?"
"Boleh. Tentu sahaja boleh. Apa sahaja. Katakan. Demi persahabatan kita....."


Sejak itu engkau hidup semula di hadapan mata aku. Aku melihatmu setiap hari. Mendengar keluhan hatimu tentang sebuah perkahwinan yang di ambang kehancuran. Juga tentang kesedihan engkau apabila adik-adik engkau tidak mengenang jasa engkau membantu menyara pelajaran mereka, bahkan mencaci engkau pula. Aku simpati. Namun aku sekadar boleh memberikan pendapat dan menolong mana yang termampu. Selebihnya terpulang pada dirimu.


Engkau semakin betah dengan kehidupan di Shah Alam. Yalah, bukankah tempat itu tempat kita sama-sama mengharungi zaman remaja? Tentu sahaja engkau dapat kembali ke keadaan asal kita dahulu.


Cuma aku terkesankan sesuatu. Sejak engkau mulai rapat dengan teman serumah kita, engkau lebih banyak menghabiskan masa engkau bersama mereka. Engkau mulai kurang mengambil perhatian akan persahabatan kita. Aku cemburu. Kerana mereka dapat menarik perhatianmu lebih dari aku, sahabatmu yang terlebih dahulu engkau kenali. Lama aku merenungmu yang tidak lagi endah tentang aku. Lalu aku kira engkau mempersetujui bahawa aku bukanlah seorang sahaja sahabatmu. Sahabatmu beribu bilangannya.


Dengan alasan itu, aku tidak ragu-ragu meninggalkan dirimu setelah aku mendapat peluang pekerjaan di Kuala Lumpur. Aku dengan senang hati membawa segala barang-barang milik aku ke rumah baru aku di Hulu Kelang tanpa memberitahumu terlebih dahulu. Aku kira engkau langsung tidak kisah tentang aku.


Suatu hari, tugasan aku memerlukan aku ke Shah Alam. Hari itu hari Jumaat. Aku bertemu dengan engkau di Masjid yang gah besar itu.
"Jadi engkau hendak ke Sudan, Indera?" tanya engkau.
"Ya. Insya-Allah bulan Jun ini aku berangkat ke sana"
"Tahniah" kata engkau sambil tersenyum. Mata engkau menikam ke dalam mataku. Ada riak kesedihan dapat aku kesani. Ahhh.. bukankah jalan ini yang engkau pilih, Armi?. Engkau tetap tidak memperdulikan aku sekalipun aku membuka jalan untuk menyambung persahabatan kita. Sahabatmu banyak bilangannya. Aku ini siapalah padamu. Cemburu? Ya, memang aku cemburu kerana engkau adalah sahabatku yang terbaik!!.


Sepulang aku dari Sudan, aku bertemu teman serumah kita, Addy. Kata Addy, setelah aku berangkat ke Sudan, engkau pulang semula ke Pahang untuk menguruskan soal perceraian. Perceraian???? Kenapa sampai begitu sekali??


Engkau pulang ke Pahang dan terus menyepikan diri. Aku ini langsung engkau enggan hubungi atau engkau memikirkan aku masih berada di benua Afrika lagi? Aku? Aku masih marahkan padamu kerana mengabaikan persahabatan kita sewaktu kita tinggal bersama-sama. Kerana marahnya aku pada engkau, perkahwinan aku pun aku tidak titipkan perkhabaran padamu. Seperti yang engkau pernah lakukan pada aku dulu bukan? Biarlah engkau marah. Biarlah engkau menuduh aku tidak setia pada persahabatan kita. Kerana engkau terlebih dahulu tega hati melakukan semua itu pada aku.


26.12.2005.
Aku terima mesej ringkas dari kawan kita adeque.
"Dimaklumkan kepada semua sahabat. Saudara kita Armizam telah kembali ke rahmatullah akibat demam panas"


Aku terkesima. Terkalap. Langsung jatuh tersepuk. Sehingga ke peringkat ini engkau tega melukakan hati aku. Sehingga engkau sakit, sehingga engkau dalam sakaratul maut, sehingga engkau dijemput Allah, engkau masih mahu menyakitkan hati aku. Engkau enggan memberitahu aku. SAMPAI HATI ENGKAU, ARMI!! AKU BENCI ENGKAU. AKU BENCI ENGKAU YANG TIDAK PERNAH TAHU MENILAI PERSAHABATAN AKU!!!


"Agak-agaknya Indera, bagaimanalah dia duduk dalam lubang sempit tu. Tak lemas ke dia kat dalam tu?" kata Adeque pada suatu petang di pertemuan kami.
"Jangan engkau tanya aku. Aku tak tahu" jawab saya.
"Sedeqahkan Al-Fatihah untuknya" cadang saya.
"Engkau tahu Indera, dia meninggal setelah beberapa hari dia menyambut hari jadinya ke 32. Aku pasti engkau tidak tahu, sebab engkau bukannya rapat dengan Armi tu.." teka Adeque.


Saya tidak tahu? Saya tidak rapat dan tidak mengenali Armi? Oohhh.... Tidakkah tuduhan itu terlalu melulu?


Saya masih tidak percayakan berita Armi sudah tiada. Saya masih mengharapkan di suatu saat, hatinya akan terbuka menghubungi saya. Telefonlah aku, Armi. Aku masih mengharapkan persahabatan kita terjalin semula. Katakan semua yang aku dengari itu segalanya palsu. Sesudah persahabatan kita terjalin semula, janganlah engkau sakiti hatiku ini!!"


Indera : Di bawah ini saya catatkan lagu yang menjadi kesukaan Allahyarham sewaktu hayatnya. Sewaktu dia menyanyikan lagu ini dahulu saya sering mencemik. Lagu orang mati, katanya.


Cempaka Di Rembulan

Doa sepiku ini
Dihiasi bunga cempaka
Mengiringi kembaramu
Cinta yang asli
Oh kekasih ku...

Kerinduan bersama masih bermain di jiwa
Engkau tetap kucintai
Namun rembulan tak mungkin berkembar siang

Di tepiku kenangan silam
Mengusik-usik naluri ini
Di depanku hidup yang tanpamu
Kau kekasihnya pencinta yang abadi...
Oh... Pencinta abadi

Hanya jemarimu telah digantikan
Dingin salju dan air mata
Yang kian lenyap dan terbenam
Kerana syurga yang kita idamkan
Kita terpisah di dalam igauan
Engkau hampiri aku yang tertinggal menantikan
Saat-saat bersamamu...

24 comments:

achik said...

Mmm tak mampu nak komen apa2... (tahan air mata bergenang dr tumpah)...

Iman Mawaddah said...

Jangan diikutkan perasaan. Tunaikan tanggungjawab sebagai sahabat yang baik. Doakan kesejahteraan dia di sana. Mungkin dia ada sebab untuk merahsiakan.

Kalau dia hubungi semula mahu pengsan Indera dibuatnya nanti :)

Mereka pergi dahulu sebelum kita dan kita akan mengikut mereka di kemudian hari. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

P/S: Jika Indera hendak tahu, AKMA juga pernah kehilangan sahabat karibnya semasa zaman pengajiannya :) Benar kata AKMA kalian banyak persamaan.

KAMATO said...

Tiap yang hidup akan kembali kepada Nya

kingbinjai said...

blehkah aku cili mulut adeque itu?

DarkWan said...

Sebak rasanya melihat entri ini.

al-Fatihah kepada roh beliau.

pB said...

pagi pagi jumaat gini , baca ceirta yang shahdu shahdan buat kak pB rasa sedih ....

teringat pada semua kawan kawan lama .
Dimanakah semua ..??
Adakah kak pB seorang yang terkenang kenangkan pada mereka ..??

Sedih kan bila kita sahaja yang mengingati sedangkan mereka sudah melupakan kita...

Indera , doakan agar roh Armi berada di dalam golongan orang orang yang mendapat kebahagian di hari akhirat.

Indera, maafkan lah segala kesilapan dan dosa Armi...

Indera, berdoalah agar dpt berjumpa dia di sana nanti...

Moga Indera selamat dlm perjalanan untuk bertemu kekasih hati, hari nie...

areyoung said...

Al-fatihah utk Armi.

Ini adalah entry ke2 berkaitan kematian sahabat karib yg saya baca pada hari ini.

Sayu.

p/s Saya tak ada sahabat karib : (

Izariza said...

Salam Indera,

Punya sahabat baik yang kita anggap menyamai adik beradik sendiri memang membahagiakan tetapi untuk menemui yang begitu mungkin hanaya satu dalam seribu.

Al-Fatihah untuh arwah Armi.Perginya dia tiadakan kembali lagi. Biar apapun perbuatannya pada kamu Indera, semua itu sudah umpama mimpi yang lepas. Sucikanlah hati, dan berikan dia kemaafan.

Mudah-mudahan orang yang berbuat baik kepada kita akan lebih bertambah di masa mendatang :)

Hidup ini 'kuliah' paling bermakna!

Unknown said...

brjumpa..brkawan..brpisah. itu ada la lumrah khidupan. trsntuh perasaan aku mmbaca. dn lbih trsntuh lg kalu aku rasa aku disntuh..hehe..

pgkarya seperti indera mmg mmpunyai jiwa yg halus. truskn brkrya.

Anonymous said...

kisah suka juga duka akan silih berganti..pastinya setiap yg hidup akan menemui penghujungnya..
itu lah lumrah kehidupan..

khairyn said...

Macam bermusim

Saya baru terima perkhabaran ex-office mate meninggal dunia tadi.

Al-fatihah untuk arwah berdua.

izinni said...

ada yang nak dikomenkan tapi takpelah ...

Al-Fatihah untuk sahabat kamu, Armi.

BaYu SenJa said...

saya cuma mahu kata, saya setuju dengan iman.. tunaikan hak kita sebagai teman :)

tapi perasaan itu, sering sukar dibendung bila orang yang terlalu kita kasih itu, dialah yang membuat angkara... kan?

insyaAllah, sama-sama kita berikan khidmat akhir kita buatnya :)

hakim dirani said...

Memang sedih, saya harap indera dapat bersabar. al-fatihah saya hadiahkan kepadanya.

Sastri said...

Al-Fatihah buat arwah... Mungkin ada sebab dia melakukan semua itu... Sas juga pernah dikecewakan oleh seorang kawan baik... tapi kami masih mampu bertegur sapa, walau hanya 'a simple hello' dan 'how are you?'...

blackpurple @ jowopinter said...

Aku tak menyalahkan kau, dan bukan aku juga orangnya yang layak memandang serong pada arwah. Mungkin masing-masing menyimpan emosi yang berbeza. Cuma secara peribadi, mungkin sudah sampai masanya kau memaafkannya.

Pada umur yang terlalu muda, 32 dia meningalkan kita. Begitulah kalau sudah sampai masanya.

Semoga roh arwah sentiasa disuluhi cahaya rahmat Allah. Amin.

banggugar said...

salam,
kita yg masih ada masa yg diberikan ini.. teruskan kehidupan sebagai hambanya yg pasti akan dijemput jua..
Al-Fatihah buat Roh beliau
(",)

Unknown said...

al fatihah utk armi.. sebak lak baca entri neh emememe

Masy said...

huhu. alfatihah utk arwah.

tp lagu tu mmg lagu utk org mati. sy pnh menangis mendengar lagu itu - selepas kepergian arwah abah.

Sang Perba said...

Indera
kadang-kadang kita terleka dengan hamparan butiran kaca yang dicelahnya terselit berlian yang kita tidak tahu....

aku pasti dia sepertimu jua, cuma kadang-kadang batasan waktu memisahkan...

INDERA KENCANA said...

Achik,
Saya pun sedih jugak... :(

Iman,
Saya sentiasa mendoakan kesejahteraannya. Benar, saya dan AKMA banyak persamaan.

Saudara kamato,
Tiada yang kekal melainkan Dia.

King,
Adeque tu memang macam tu. Cakap ikut sedap mulut je..

Darkwan,
Terima kasih kerana mendoakan. Salam perkenalan. Saya tak dapat masuk ke blog anda. Hanya org tertentu sahaja dapat masuk. Huhuhuhuhuhu..

Kak pB,
Terima kasih pada kak pB kerana dapat memahami situasi sebenar. Saya sebenarnya rindukannya. Mengenangkannya di setiap tempat yang kami pernah lalui. Sahabat saya yang paling baik. Tetapi saya sedih apabila saya merasakan hanya saya sahaja yang menganggapnya sahabat yang terbaik. Sedang dia tidak menganggap saya begitu.. Pada dia saya ini sama seperti sahabatnya yang ramai-ramai tu...

INDERA KENCANA said...

Areyoung,
Ada baiknya tiada sahabat yang terlalu rapat. Sekurang-kurang kita tidak terlalu terikat..

Puan Iza,
Dia sudah umpama saudara saya sendiri. Dia adalah satu daripada puluhan sahabat saya. Kesalahannya tidaklah besar, cuma menyakiti hati apabila kita tidak dianggap sahabat oleh orang lain.

Azzam,
Hah? adakah engkau selalu disentuh?
Terima kasih :)

Sakura,
Dan penghujungnya sering tidak berakhir dengan keceriaan.

Khairyn,
Begitulah takdir Allah. Datangnya tiada lewat dan tercepat. Walaupun nampak seperti bermusim. Al-Fatihah juga buat teman Khairyn itu..

Izinni,
Terima kasih. Terima kasih banyak2..

INDERA KENCANA said...

Bayu,
Saya sentiasa menunaikan hak saya sebagai teman. Kesalahannya tidak sebesar mana. Tiada kesalahan yang dilakukannya pun. Cuma dia sering menyimpan masalahnya sendiri. Dia mengatakan bahawa antara kami harus jujur. Namun saya terkilan apabila dia langsung tidak ingin berkongsi masalahnya dengan saya. Itu sahaja.

Hakim,
Terima kasih.

Sas,
Saya terkilan kerana saya tidak dapat lagi mengucapkan hello, apa khabar atau sapaan yang ringkas padanya.

Bro BP,
Tidak lupa. Saya sentiasa menghadiahkan Al-Fatihah untuknya. Demi persahabatan kami.

Bang gugar,
Terima kasih banyak.

Linda,
terima kasih. Memang sebak bila terinat dia.

Masy,
Syahdukan lagu Cempaka di rembulan tu. Huhuhuhuhu

Zam,
Kalau tengok gambar, aku rasa engkau pun ingat dia. Dia memang aktif kat Kolej dulu..

Sempoi said...

this is really touching....semoga rohnya dicucuri rahmat