Tuesday, April 03, 2007

Kembara ke Pulau Mutiara

Hari Kedua
Sayang Anakku sayang


Subuh itu matahari muncul dari ufuk timur dengan pancaran yang gemilang. Semakin tinggi naiknya mentari pagi itu, semakin surut panas badan Adil Rayyan. Saya dan Azah menarik nafas lega. Nampaknya kami boleh terus berada di Pulau Mutiara itu untuk sehari lagi. Keadaan Adil Rayyan semakin baik dan dia sudah mampu tertawa selepas dimandikan.

Ketika bersarapan itu, saya terkesankan bahawa banyak mata yang memandang Siri Aufa. Ya, dia nampak comel mengenakan baju lengan panjang berwarna merah jambu berkolar tinggi hingga ke dagu itu. Telatahnya yang suka menegur sesiapa itu menjadikan dia tumpuan pekerja-pekerja hotel di dalam cafe sewaktu sarapan.

Destinasi kami pagi itu ialah Air Itam atau lebih tepat lagi ke Bukit Bendera. Saya sebenarnya tertanya-tanya, apakah istimewanya Bukit Bendera itu sehingga ianya menjadi pilihan Azah untuk ke sana. Setahu saya Bukit Bendera itu hanyalah tempat tinggi yang di atasnya mempunyai ruang yang amat terhad.
"Saja nak merasa bawak anak-anak naik Bukit Bendera" katanya.

Di dalam keretapi yang bergerak terlalu perlahan itu persaingan mendapatkan tempat duduk yang terhad amat sengit. Azah bernasib baik kerana dia sedang mendukung Adil Rayyan sedangkan saya terpaksa berdiri berasak-asak bersama-sama murid-murid sekolah yang datang dari Kelantan. Rasanya seperti saya berada di Darjah Enam semula dengan riuh sembang kanak-kanak dan bau badan mereka yang sangat sebati dengan hidung saya sewaktu saya kecil dahulu. Perut saya meragam sejak malam sebelum itu. Azah mencadangkan saya agar membeli minuman 100-Plus untuk mengurangkan kerengsaan perut.
"Berapa..?" tanya saya pada wanita berbangsa tionghua yang menjual minuman dan makanan di atas bukit itu.
"Lapan Ringgit, maa..." katanya.
"Lord!! You can't be serious..!!"
Bayangkan 2 tin air 100-Plus, sebatang aiskerim dan 6 biji gula-gula harganya RM8.00!!. Geram dengan wanita Tionghua itu, terus saya meletakkan semula barang-barang yang telah dipilih tanpa membayar apa-apa.

Kami tidak berlama-lama di atas bukit itu. Bimbang saya jika Siri Aufa merengek hendak itu dan ini sedangkan harganya terlalu tidak munasabah untuk dibeli. Lebih baik beli di bawah lagi murah, fikir saya.

Setelah turun di bawah, Siri Aufa leka merenung Topeng Justiriser yang berwarna biru. Dia merayu-rayu pada saya agar dibelikan sehingga akhirnya dia terjatuh dari anak tangga yang menghubungkan kedai-kedai dengan laman post paling bawah Bukit Bendera. Mujur tidak cedera. Dia kemudiannya memeluk kaki Azah minta dibelikan topeng itu setelah dia mengetahui bahawa saya tidak melayani kemahuannya. Melihatkan dia menangis sewaktu itu, hati saya langsung tidak merasakan sedikit kasihan pun kerana waktu itu saya merasakan permintaannya sangat tidak munasabah. Tetapi setelah berjauhan dengannya di kala ini (di saat saya menulis entri ini), hati saya disayat hiba apabila mengenangkan kembali raut wajahnya sewaktu menangis.

Azah ingin membelikan kawan-kawannya ole-ole dari Pulau Pinang. Kami ke bazaar yang berhampiran dengan KOMTAR yang banyak menawarkan jeruk pala (Bazaar Chowrasta, kata Kak pB). Kereta, saya pakirkan di Prangin Mall dan mencadangkan kepada Azah agar kami menaiki Beca Pulau Pinang.

Bayangkan berat saya sahaja sudah 78kg. Berat Azah juga mungkin menyamai berat saya. Belum masuk berat anak-anak lagi. Sampai di Bazaar Chowrasta, Azah tidak dapat menahan gelihatinya apabila mengenangkan betapa kami berhimpit-himpit anak beranak di atas ruang duduk beca yang terhad.
"Kasihan Pengayuh beca tu, bang. Dahlah dia tu tua, kurus pulak. Tentu dia serik bila jumpa pelancong macam kita ni" kata Azah.

Sesudah malam, kami berniat ke Padang Kota Lama. Rupa-rupanya tempat itu dipanggil Pengkalan Weld. Sewaktu sesat itu, saya singgah ke sebuah stesen minyak untuk bertanyakan arah.

"Abang ni bukan orang sini, ka?" tanya gadis itu.

"Err.. ya. Saya orang Perak" kata saya.

"Mai sini ada kerjalah kot, na..??"

"Baba kita datang bercuti kat sini" kata Siri Aufa menjawab bagi pihak saya sambil meletakkan di atas kaunter satu kotak anak patung Barbie. Hmmm... nampak gayanya, terbang juga duit saya membeli permainannya. Sebenarnya pun saya sudah tidak tega hati menghampakan permintaannya lagi. Anak patung Barbie itu berpindah milik.

Malam itu Adil Rayyan tidur nyenyak setelah kebah demamnya. Siri Aufa juga tidur sambil tersenyum mengulit anak patung Barbie yang baru. Azah pun tidur sambil tersenyum setelah lepas hajatnya menikmati Pesembor di Padang Kota. Saya melihat orang-orang kesayangan saya yang sedang dibuai mimpi. Senyuman di bibir mereka sesuatu yang sangat bermakna dan berharga buat saya. Wang boleh dicari. Tetapi senyuman bahagia mereka tidak akan dapat saya beli di mana-mana.

16 comments:

Ghaz said...

Saya memang alah ngan anak anak ... tak sampai hati .... sebab tu ler anak anak saya terlalu manja ... tapi masalah jugak ... sebab takut nanti dah besar, demand dia lagi tinggi heheheheee

Seronok bercuti cuti Malaysia yaaaaa

BaYu SenJa said...

sampai rupanya di Padang Kota...
bertepian laut dengan beraneka gerai menemankan kita melihat ragam manusia era moden ini....

bayu baru 2 kali ke atas Bukit Bendera :)

kingbinjai said...

aku tidak ingat siapa di zaman rasulullah, dia pernha berkata : manjakan anak kamu pada 7tahun yang pertama.

dan ahli psikologi kanak kanak pernah berkata juga, turuti kemahuan anak anak kecil kamu (sekitar 7 tahun). namun jika permintaannya tidak munasabah, jangan dilayan.

pB said...

sonok bila keluarga kita tersenyum gembira (walau pun kopak dompet)...

Tak ke Balik Pulau atau ke Tanjung Bungah ker??
Mandi air laut...

Masih rindu pada kawan lama di Pulau Mutiara...
Last time kesana 2 tahun yang lepas...

achik said...

1st time saya naik bukit bendera rasa 'gayat' skit.. fikir ish boleh naik ke train ni sampai ke atas... huhuhu...


comel sungguh Siri Aufa... :)

izinni said...

anak-anak jarang minta permainan sebab saya dan suami sering ingatkan jangan minta apa-apa. belajar terima apa sahaja yang kami belikan.
selalunya kami akan bawak ke tempat jual buku dulu sebelum pergi ke section lain. they can choose whichever book they want. hanya buku yang dibenarkan memilih sebanyak mana pun. mainan pula yang ada unsur pendidikan sahaja. sebab tu kat rumah berselerak buku tapi takde anak patung. saya kedekut .. hehehhee

Lan Rambai said...

beratnya ko Indera... sama dengan berat aku hahaha

Unknown said...

tak singgah komtar makan nasi ayam ke? hehe

harga barang kat atas bukit bendera mmg mahal.. sbb tu org tempatan kalo naik atas tu.. jarang sangat la nak membeli ape2 pong.. selalunya org luar je yg byk 'terkena'

Sang Perba said...

kalau anak aku...uwaah (ayah) ball! tangannya mesti menunjuk bola...koleksi bola kat rumah dah berlambak...ekeke nasib abik murah jer...tp selalunya aku tak layan...tu la kalau dari kecik ngajar anak tgk bola ayat yang dia tahu sebut mama, uuwaah (ayah), kakak, ball, pahs (kipas),nyau (kucing), mak, pool (liverpool)ekekeke

Izariza said...

Ooo dah kata .. pasemboq Padang Kota itu!

Eh eh ... sayapun barusan membeli patung Barbie untuk si anak. Masuk ini sudah lima!

p/s: dalam perancangan nak bercuti juga ni, tapi di mana ye..?

INDERA KENCANA said...

Bro Ghaz,
Itulah kan... kita selalu tak sampai hati nak hampakan permintaan anak. Saya rasa mungkin inilah agak sebab kenapa anak-anak sekarang lebih rapat dengan ayah. Anak-anak dulu cukup takut dengan ayah ni..

Bayu,
Padang Kota dengan medan selera yang baru. Sudah tiada lagi warung-warung di tepi laut. Namun pemandangan di sana tetap masih syahdu.. alahai :D

King,
Aku takut kalau aku layan kehendak dia, dia tidak akan menghargai barang kepunyaan. Sebab dia senang dapat.

Kak pB,
Nak jugak pi. Tapi tak tau jalan. Kalau tahu jalan, alamatnya dah jadi itik la hari tu. Hi hi hi

Achik,
Saya setiap kali naik train tu mesti terbayangkan train sangkut tengah jalan atau kabel putus.. eeeuuuaawww.... takut!!

Izinni,
Memang saya dah bagitau, hanya buku sahaja yang dialu-alukan untuk dibeli. Tetapi anak patung jugak yang dimintanya.

Lan,
Haaa... tu baru berat engkau dah sama dengan aku. Belum engkau tengok muka aku lagi. Tanya King. Dorang suma kata muka aku cam muka engkau atau paling tidak pun macam Basri. Jgn-jgn kita ni kembar, tak?

Linda,
Hajat ati tu memang nak singgah. Tapi anak sudah meronta-ronta. Nasi Kandar Kassim tu pun sempat ditapau je..

Zam,
Abis tu, dah ayah dia penyokong Liverpool dan sangat gila bola. Dah tentu anak engkau pandai Liverpool.

Bijak anak engkau.


Cikgu Iza,
Serupalah anak kita.
Iza, kalau Iza nak melancong memang saya cadangkan ke Pulau Pinang. Sebab memang best. Nak cari makan murah, contact Linda@Lindosh. mesti dia boleh tunjukkan. Tentang hotel, saya cadangkan dok kat Seri Malaysia sebab Seri Malaysia ada bagi diskaun pada kakitangan kerajaan. Bilik keluarga yang berharga 1 hari 1 malam RM150.00, Iza akan dapat dengan harga RM120.00 je. Siap ada satu katil Queen size dan satu single bed. Nak balik hotel pun tak susah sebab banyak arah tunjuk ke Bayan Lepas dan Bayan Baru.

Unknown said...

kat penang ni sy teringat nasi kandar je..dn satu lg anak mami..heh! tp masa kecik2 dulu sy hmpir dipatuk ular kt tokong cina.

hakim dirani said...

ya, pulau pinang tu negeri saya.
saya cuma nak ucap 'ahlan wa sahlan' selamat datang.

blackpurple @ jowopinter said...

Belum berkesempatan menjejakkan kaki ke Pulau Mutiara. Oh...kasihan aku...

Kepuasan anak-anak kau kepuasan kau juga kan...

Lepas ini mungkin kau boleh merancang untuk ke Muor pula.. :)

Masy said...

masa sy kecik2 dulu pun rasanya x brape brani nk mintak2 kat arwah abah. huhuh dia tenung jee pun dah boleh rasa nk nanges.

tp arwah ada cara lain memanjakan sy ;) bermakna bukan semua permintaan ditolak, kene pandai cari alasan laa hehehhe~

INDERA KENCANA said...

En Azzam,
Wahh.. En Azzam pernah melawat ular-ular di Tokong itu. Boleh jadi mereka geram melihat Azzam Kecil yang comel masa tu kot sampai rasa nak patuk je...

Hakim,
Saya jawab, "Syukran Jaziilan". Betul ke jawapan saya?

Bro BP,
Mungkin honeymoon nanti boleh masukkan Penang sebahagian daripada destinasi bulan madu.
Benar. Kebahagiaan mereka, kebahagiaan saya juga.

Teringin juga hendak berjalan ke Muor..


Masy,
Yalah. Jika permintaan itu munasabah, tentulah akan ditunaikan.