Wednesday, April 04, 2007

Kembara ke Pulau Mutiara

Hari Ketiga
Membias Rindu di Dataran Transkrian

Siri Aufa mendapat teman baru. Haikal namanya. Perkenalan mereka bermula apabila mereka sama-sama bermain di kolam renang kanak-kanak di hotel itu. Sungguhpun Haikal agak kasar tingkah lakunya, namun dia sangat baik hati pada Siri Aufa. Dari loghat yang dipertuturkan, jelas budak lelaki itu berasal dari Kedah.

"Nama hang sapa?" tanya Haikal pada Siri Aufa.
"Siri Aufa"
"Aofa, hang tengok aku masuk dalam ayaq" kata Haikal sebelum menyelam di dalam kolam itu. Siri Aufa hanya merenung. Jari jemarinya sudah kecut. Pun begitu kenakalan Haikal yang menampar-menampar air sehingga memercik ke muka Siri Aufa, membikin suasana di kolam itu kecoh dengan gelak tawa mereka.

Haikal masih tidak mahu keluar dari kolam walaupun dipanggil berkali-kali oleh ayahnya untuk bersarapan. Sehinggalah saya memimpin Siri Aufa keluar dari kolam itu, barulah dia menurut kata-kata ayahnya. Sewaktu saya mengambilkan makanan untuk Siri Aufa itu, ibu Haikal sempat mencuit pipi Siri Aufa seraya berkata, "Hai, Aufa..". Perkenalan singkat Siri Aufa itu menjadi modal kami suami isteri mengusiknya. Siri Aufa termalu-malu.

Setelah mendaftar keluar dari hotel, Azah masih mengidamkan pasembor Padang Kota Lama. Tanpa banyak soal, saya memandu ke Pengkalan Weld. Cuaca tengahari amat baik. Suasana di sekitar Pengkalan Weld itu sungguh nyaman. Angin bertiup kencang dan awan mendung berarak menjadi keadaan tengahari itu tidak terlalu terik. Azah memilih menu pasembor manakala saya lebih banyak melayan kerenah anak-anak kami yang sedang lasak.
Hmmm... memang tidak terucap dengan perkataan betapa enaknya menikmati pasembor yang digandingkan dengan minuman air kelapa muda berais. Adil Rayyan menyuap bebola ikan besar-besar ke dalam mulutnya tetapi selepas setengah minit, dia meluahkannya semula. Siri Aufa berlari-lari di tepian benteng yang menyempadani medan selera itu dengan pantai yang berbatu. Selesai sahaja makan, saya terpaksa mengejar Siri Aufa ke taman permainan kanak-kanak di sebelah medan selera itu.

Rupa-rupanya sewaktu membayar itu, Azah telah ditipu oleh peniaga pesembor itu. Jumlah yang kami makan, yang tidak seberapa itu ditekan harga sehingga RM58.00. Mungkin peniaga itu mengetahui bahawa kami bukan penduduk tempatan berdasarkan loghat yang kami gunakan sehingga dia merasakan bahawa kamilah mangsanya untuk mendapatkan durian runtuh hari itu. Patutlah sewaktu di dalam feri ketika pulang ke Tanah Besar, Azah nampak monyok seperti ayam kena sampar. Untuk memberitahu saya hal yang sebenar, dia tidak berani. Takut kalau-kalau saya naik berang kepada peniaga itu.
"Abang, balik ni kita singgah di Serdang, ye!!. Roha ada di Serdang sekarang. Dengar khabarnya dia sudah bercerai dan sedang menderita teruk sakit buah pinggang" kata Azah sambil memandang riak-riak ombak yang menampar dinding feri.
Saya sekadar mengangguk. Masih terbayang lagi di ingatan saya bagaimana kami hadir ke rumah Rohana yang terletak di Danau Kota, Setapak. Rohana adalah teman baik Azah di Maktab. Bersama-sama Maizan, mereka bertiga tersangat akrab berkongsi suka duka. Azah berkahwin dengan saya. Maizan berkahwin dengan seorang guru. Manakala Rohana berkahwin dengan seorang anggota tentera berstatus komando.


Setelah berkahwin, Rohana sepi tanpa berita. Sebagai sahabat, sudah semestinya Azah berusaha menjejaki Rohana berdasarkan alamat yang diberikan oleh ibu Rohana. Namun malang serta sayangnya, kedatangan kami itu sebagai tetamu yang tidak diundang.
"Nak cari siapa ni??" lelaki yang menjadi suami Rohana bertanya keras.
"Kamal, saya datang ni nak jumpa dengan Roha" kata Azah.
"Dia tak ada. Kamu berdua boleh berambus!!" kata Kamal. Azah memandang saya meminta kepastian. Saya sekadar menggenggam erat jari jemari Azah. Saya merenung tepat ke mata Kamal. Ingin saya katakan kepadanya bahawa bahasa yang dia gunakan sungguh tidak bersopan. Seketika terdengar tangisan anak kecil dari dalam rumah. Serentak dengan itu terdengar suara Rohana memujuk dari dalam. Azah memandang saya lagi.
"Roha.. Roha!! Ni Azah. Roha!!" laung Azah.
"Azah. Azaaahh.." sambut Rohana dari dalam.
Tiba-tiba Kamal menjerit di muka pintu sambil menoleh ke dalam rumah.
"Engkau duduk situ. Kalau engkau datang sini, aku tendang engkau lagi!!" ugut Kamal kepada Rohana yang berada di dalam. Boleh jadi Rohana cuba datang ke pintu untuk berjumpa dengan Azah.


"Heyy Kamal. Apa engkau dah buat pada Roha, hah? Engkau dera dia ye??" bentak Azah. Azah sudah mensyaki sesuatu tetapi saya pula tidak mahu keadaan menjadi lebih buruk. Silap haribulan, perut Azah yang sarat itu ditendang oleh Kamal pula. Lelaki ganas seperti Kamal itu memang saya tahu hati budi mereka. Lantas Azah saya tarik ke kereta.
"Berambus!!. Jangan cuba nak datang-datang lagi. Fahammm!!" teriak Kamal di muka pintu.
Paaaannngggg!! Pintu gril ditarik memutuskan langsung hubungan Azah dengan Rohana selama 4 tahun sesudah itu.

Kami singgah di Pekan Nibong Tebal, membeli sedikit buah tangan untuk anak-anak Rohana. Setelah selesai urusan, saya terus memandu melalui jalan Sungai Kechil sebelum membelok masuk ke jalan menuju ke Serdang.

Rohana sudah kurus benar, kata Azah sewaktu terpandangkannya menanti di muka pintu. Wajahnya pucat menyimpan seribu macam penderitaan dan kesedihan. Setiap dua hari, dia harus ke hospital menjalani rawatan Haemodialysis. Azah dan Rohana berpelukan di dalam kegembiraan dan kesedihan mereka. Saya dan ibubapa Rohana sekadar memerhati pertemuan Azah dengan Rohana itu.

Di dalam bilik, Rohana melepaskan segala penanggungan hatinya di hadapan Azah. Mereka bertangisan dalam sendu mengenang semula kisah suka duka yang mereka lalui di maktab dan juga bertukar kisah tentang anak masing-masing. Saya sangat memahami akan pentingnya pertemuan itu. Lantas saya memberi masa kepada Azah untuk sekurang-kurang meyakinkan Rohana bahawa Azah sentiasa sedia di sisi Rohana sekiranya dia di dalam kesedihan. Sekurang-kurangnya juga, kunjungan Azah akan dapat mengembalikan semangat Rohana yang telah hilang.

"Memang Kamal itu lelaki yang zalim. Tergamak dia melakukan aniaya pada Roha ni. Ditendangnya, ditumbuknya, dipukulnya Roha tu sesuka hati dia. Roha langsung tak bercerita dengan kami. Sampai dapat anak yang ketiga tu agaknya dia dah tak tahan lagi. Masa balik cuti raya, dia menangis depan kami. Masa tu baru kami tahu sengsara hidup dia. Roha menderita sakit buah pinggang tu sebab terlalu sangat ditendang pinggangnya..." kata Ayah Rohana.

Saya tidak mampu untuk meluahkan kata-kata. Betapa berat mata saya yang memandang penderitaannya, berat lagi badan yang menanggungnya. Saya memandang pada kuntum-kuntum bunga durian yang mekar berkembangan dalam dusun orang Kampung Sungai Kechil Ilir dalam perjalanan pulang itu. Begitulah berkembangnya harapan seorang wanita terhadap perkahwinan yang diijabkabulkan. Namun siapakah yang akan menyangka lelaki yang diharapkan menjadi pelindung untuk bergantung cinta kasih, rupanya raksasa ganas yang memamah diri.

Matahari mulai menenggelamkan dirinya sewaktu kami melepasi Kampung Masjid Tinggi di dalam perjalanan pulang balik ke Perak.

16 comments:

kingbinjai said...

tak repot polis?

izinni said...

yup! dalam kepala aku terus terfikir macam king .. tak repot polis? mana buleh lepas macam tu je ... musnah punah ranah hidup dibuatnya.

BaYu SenJa said...

komando.. dah takdak kerja, langsung saja praktikkan kat bini...
manusia jenis tu orang panggil buta perut, gelap hati..

semoga bayu menjadi pelindung yang diidamkan kepada srikandi rumahtangga sendiri suatu ketika nanti :)

Unknown said...

sungguh jahat si kamal itu. tp kamal bukan la seorang lelaki tulen..sbb lelaki tulen takkan buat mcm tu. kamal adalah 'lelaki' yg bertopengkan lelaki tulen. jauhkan diri dari dia.

pB said...

kena berhati hati bila makan ditempat tempat yang sebegitu.

kdg kdg teringin sgt nak makan, tapi terpaksa ditahan, sebab dah tahu akan dikenakan...

benda benda yang beginilah membuat satu satu kawasan peranginan itu mendapat nama yang kurang baik...

kesian pada kawan azah ...

kenapa ada lelaki yang pada dasar luaranya amat gagah, tapi hakikatnya pengecut bagaikan sekor tikus ...

memukul pada orang yang tidak berdaya...

dan kenapa si isteri sanggup menahan badan, menjadi mangsa...

semoga rohana akan terus cekal dan tabah menghadapi ujian dari Allah ini..

moga dia akan beroleh buah pinggang yang baru menggantikan buah pinggang yang sudah tidak normal itu..

amin..

Izariza said...

Aduh.. kena paw pulak dah?
Pandai sungguh peniaga licik mencari keuntungan ye. Agaknya rupa Azah ada gaya OKB tak? hihihi

Kes Rohana itu, patutnya sudah lama dibawa ke pengadilan, kan. Kesian wanita itu menjadi mangsa. Bukankah isteri itu untuk disayangi dan dilindungi?

Masy said...

aduh.. jauhkanlah sy dgn lelaki mcm ni.

sy jenis melawan. tp klu ini terjadi pada sy, mampukah sy melawan? oooo takpe takpe. abg2 sy ramai heheheh

Sang Perba said...

serdang kat mana? Habaq mai kat aku biaq aku pelangkung kepada kamal tuh...aku nih kg kat serdang bersepah adik beradik aku kat situ...

Bunga Rampai said...

Salam buat Indera Kencana :)

Tuai padi antara masak
Buai rindu antara sibuk ...

Diam seketika untuk membaca entri-entri yang tertinggal di Layangan Indera ini :)

Anonymous said...

lelaki dicipta menjadi pelindung kepada isteri, namun apa yg terjadi adalah sebaliknya...

minta dijauhkan sama sekali..

Iman Mawaddah said...

Susah nak predict lelaki zaman sekarang ya. Nampak baik tapi sebenarnya hantu.

Lan Rambai said...

Kesian pada Rohana tu... Serdang tu kat mana ek? aku ingatkan serdang yang ada UPM tu tadik.

achik said...

cekik darah tul peniaga tu...

ish2 mintak dijauhkan lelaki macam tu...

Unknown said...

dah hagak.. mesti kena 'katok' masa makan pasemboq ke mane2 ke.. hehe

nape kejam sgt laki tu? takot dapat laki camtu.. mintak simpang malaikat44

INDERA KENCANA said...

King & Izinni,
Bagi saya dan Azah, kami tiada bukti. Banyak perkara harus diambil kira. Bagi keluarga Roha pula, mereka enggan mengambil tindakan kerana memikirkan masa depan anak Roha yang mungkin tertekan menjadi anak seorang banduan sekira Kamal sabit kesalahan. Perkara buat laporan polis bukan perkara yang harus difikirkan sekali. Tetapi perlu banyak kali pertimbangannya.

Bayu,
Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan saksama.

Azzam,
Saya mengkelaskan Kamal ini sebagai lelaki otak senteng.

Kak pB,
Rasa tak puas hati sangat bila kena tekan dengan harga mahal macam tu. Mungkin orang tu fikir, suami dia (Azah) tengah sibuk kejar anak, yang anak kecilnya tengah meragam meronta-ronta... itulah masa nak cekik orang pun.

Cikgu Iza,
Azah masa tu pakai biasa je. Tak de pakai gelang sampai ke siku ke, atau rantai emas labuh sampai ke perut.
Kenapa banyak kes penganiayaan isteri dan juga sumbang mahram di saat ini. Kerana orang kita malu. Atau takut anak menanggung malu sekiranya hal ini terbongkar (takut anak malu berbapakan seorang banduan)

INDERA KENCANA said...

Masy,
Macam mana nak harapkan pertolongan sekiranya perhubungan dengan orang luar disekat? Umpama kita duduk dalam penjara. Tetapi jangan entri ini menyebabkan Masy tawar hati pada lelaki pulak.

Zam,
Aku tak tau pulak Hang asai Serdang. Aku ingat hang asai Kulim.
Kampung hang tak dak deghian?

Salam Bunga Rampai,
Layangan Indera ini sudah terlalu lama tidak disapa dengan haruman Bunga Rampai. Datanglah selalu, ye!!

Sakura,
Memang malang nasib mereka yang terlibat...

Iman,
Seperti satu keratan akhbar yang sinis menggambarkan orang seperti ini. Pada pandangan pertama, nampak sebagai "Angel" dengan kepak putih, gelang di kepala dan kedua tapak tangan dirapatkan seperti orang cina sedang bersembahyang. Pada pandangan kedua nampak sebagai syaitan yang bertanduk merah, memegang serampang sambil ketawa terbahak-bahak.

Lan,
Setakat ni yang aku tahu Serdang ada tiga tempat di Malaysia ni. Yang paling terkenal, tu lah Serdang yang ada UPM tu. Lepas tu Serdang yang terletak di tengah jalan antara Meru dengan Kuala Selangor. Dan Serdang had aku citer ni Serdang di Bandar Baharu, Kedah.

Achik,
Ni baru dinamakan sembelih.
Kalau dapat boifren yang nampak macam kaki buli, saya cadangkan Achik tinggalkan dia cepat-cepat. Hi hi hi. Main2 je...

Linda,
Memang ramai dah kena katok ka? Awat tak habaq mai awai-awai. Aiseh, kalu tau kan senang. Kurang-kurang pon duit tu bleh blanja Linda kat Nazir.