Friday, December 01, 2006

Perjalanan Mencari Bidadari Hati (Bah. 3)

Inikah akhir penantian?. Mengharap madu aliran syurga tertuang masuk ke dalam cangkir hati..

Sekarang sudah menjelang Aidil Fitri. Bermakna beberapa bulan lagi genaplah setahun peristiwa saya ditolak oleh gadis anak sepupu Apak itu. Jangka masa setahun yang diberikan oleh Apak itu pasti tidak akan tertunai.

Sungguhpun telah sebulan Norain mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihan hatinya namun dengkungan pahat peristiwa itu masih galak berbunyi. Seorang bapa saudara Norain yang mengajar satu sekolah dengan Makcik Jah menjaja cerita peminangan keluarga kami yang terhenti separuh jalan.
"Kalau sudah tidak berharta itu, jangan mimpilah hendak memikat burung di awan.." ceritanya pada sekelian guru di sekolah.
Mendengarkan itu Makcik Jah naik radang kerana saya iaitu anak saudaranya diperlekehkan orang.
"Heii, Cikgu!! Jangan fikir anak saudara cikgu itu cantik sangat. Bukan kami yang beria-ia. Tapi pihak keluarga cikgu itu yang tidak sabar-sabar menyuruh kami masuk meminang" kata Makcik Jah.
Akhirnya hal saya dan Norain itu menjadi konflik pula di sekolah itu. Malunya saya.

Setiap tetamu yang datang berkunjung sahaja, rata-ratanya bertanyakan hal saya. Rimas serta panas hati rasanya. Ramai juga orang putus tunang atau perminangan separuh jalan, tetapi tidak pula menjadi buah mulut.
"Masuk ini dah 2 kali engkau tak jadi kahwin, Indera. Kalau selepas yang ketiga itu nanti, aku ingat engkau kena mandi bunga. Tak pun engkau mandi air 7 kuala.. Buang sial" kata seorang pangkat saudara dalam galak tawanya.
"Engkau memang sudah jadi reject item. Selepas ini engkau boleh masuk Reject Shop" tambah seorang lagi menambahkan sakit hati saya.

Kemeriahan Hari Raya tahun itu bagaikan tidak terasa. Saya masih lagi berupaya membuat muka selamba dan merayakan hari itu dengan kawan-kawan saya yang sangat mengerti dan memahami.

Mak Uda Zaidah seperti kebiasaannya akan tetap berkunjung setiap lebaran tiba. Saya pernah berseloroh dengannya bahawa jika saya berkahwin kelak, saya mahu calon isteri saya dipilih oleh Mak Uda Zaidah.
"Mak Uda ada kenal seorang budak perempuan ni. Dia kerja sebagai guru. Baik budaknya"
"Tak apalah Mak Uda. Indera tak mahu kahwin sekarang. Indera nak kerja. Mungkin dalam bulan hadapan syarikat tempat Indera memohon ke Sudan itu memberikan jawapan. Indera nak fikir pasal kerja sahaja sekarang. Malas nak fikir pasal kahwin" kata saya.
"Jangan macam tu. Apa kata kalau Hari Raya ketiga ini kita pergi ke rumahnya?" umpan Mak Uda Zaidah terhidang. Tetapi saya sudah tawar hati untuk merenggutnya.
"Tengoklah nanti"

Badan saya mula rasa seram sejuk. Hari Raya kedua itu saya terkokol-kokol batuk serta deman yang kuat dari dalam bilik. Apak mendemah kepala saya dengan tuala basah.
"Panas badan budak ni.." kata Apak kepada Mak. Mak cuma mengangguk.

Malam itu Mak Uda Zaidah menghubungi rumah Mak memberitahu Mak supaya mengingatkan saya untuk berkunjung ke rumah gadis yang dimaksudkan selepas waktu Maghrib Hari Raya Ketiga itu.
"Dia demam kuat Kak Zaidah. Saya tak tahu dia boleh pergi atau tidak" kata Mak
"Cuba-cubalah pujuk dia. Kak Zaidah dah bagitahu pada keluarga budak perempuan itu yang Indera nak datang" pujuk Mak Uda Zaidah lagi.
"Insya-Allah kak, tapi saya tak janji. Macam mana nak pergi? Tengah mengerekot di atas katil itu"

Demam saya masih belum kebah-kebah lagi. Sudah semangkuk besar sup tulang saya telan tetapi panas masih belum berkurangan. Mata saya kabur berair menyukarkan pandangan. Azab rasanya.

Mak Uda Zaidah menelefon lagi tengahari itu minta bercakap dengan saya. Saya tidak berdaya untuk bangun. Mak Uda Zaidah bercakap dengan Yeop (abang saya yang sulung) sahaja.
"Malam ni siap. Pergi rumah budak perempuan itu" kata Yeop. Lagaknya mengarah sahaja. Bukan dia peduli akan kesihatan saya. Pedulikanlah.

Senja itu Mak Uda Zaidah telefon lagi.
"Cepat siap. Mak Uda Zaidah dah tunggu tu. Heii... Budak Malas. Bangunlah!!" kata Yeop.
"Orang sudah bersusah payah carikan calon untuk dia, dia banyak hal pulak. Bukan nak menghargai penat lelah orang, dia..."
Saya mendengar Yeop berkicau di ruang tamu. Bosan dengan leteran itu saya gagahi bertukar baju dan memandu dalam remang senja itu. Solat Maghrib di rumah Mak Uda sahaja.
"Haa.. inilah Indera. Anak saudara saya yang saya ceritakan hari tu" kata Mak Uda Zaidah memperkenalkan saya dengan Ayah si gadis. Mata saya kabur. Gagal melihat dengan sempurna. Ramai orang di rumah itu tetapi wajah mereka kelam sahaja dek suhu badan saya yang panas.

"Kerja apa?" tanya ayah gadis itu.
"Saya tak kerja. Saya belajar lagi.." saya membohongi ayah gadis itu. Hendaknya janganlah dia menerima saya. Hati saya ketawa lucu. Mungkin ayah gadis ini berfikir, "Mahu diberi makan apa anakku itu jika masih belajar". Atau sekurang-kurangnya, "Masih belajar tetapi sudah terfikir mahu berkahwin".

Kemudian naik beberapa orang gadis menghantarkan hidangan.
"Baju merah.." kata Mak Uda Zaidah dalam terkumat-kamit mulutnya. Tanpa suara. Itulah istimewanya Mak Uda Zaidah!!
Haa..?? Baju merah?? Sungguh saya tidak melihat zahir wajahnya. Mata saya kabur. Tetapi susuk tubuhnya bukan seperti idaman saya. Pasti wajahnya juga tidak seperti citarasa saya.

Pulang sahaja dari rumah gadis itu, Mak Uda terus bertanya "Macam mana? Suka?".
Hati saya ingin berkata tidak tetapi saya bimbang akan menyinggung hati MakUda Zaidah.
"Entahlah Mak Uda. Ini soal sehidup semati. Saya tidak boleh membuat keputusan terburu-buru. Nanti saya bincangkan dengan Mak dan Apak dulu"

Sampai sahaja di rumah, saya terus menyelongkar bawah katil mengeluarkan beg pakaian dan memasukkan kesemua baju-baju saya. Pagi-pagi esoknya selepas sarapan, saya terus pulang ke Shah Alam tanpa sempat Mak dan Apak bertanya pendapat saya tentang gadis itu.

(Bersambung....)

7 comments:

ZaKiN said...

wakakkakkaka.. lari rumah yer..!! tak cerita pon secara detail apa yang membuatkan tuan tidak berminat ngan calon itu.. hehehehe..

Memilih juga tuan nie erk.. hehehhe

Iman Mawaddah said...

Mcm baca cerpen harian la pulak...-sambil tekan forward button :)

Adinina said...

agaknye baper calon lg baru habis cerita indera ni?..mcm tgh ikut telenovela filipina..hehe..

*sy mau teka indera keje ape..spt berkait O&G..tp x pasti.peribadi agaknye.

khairyn said...

Salam
Hati saya sudah terpaut dengan blog ini. Mungkin demam telenovela sudah melanda? Tak sabar hendak mengetahui kisah selanjutnya.

Lagipun dengan kertas tugasan yang berselerak atas meja, saya perlukan halwa mata dan fikiran.

Terima kasih atas kunjungan balas. :>

hayad said...

adehh....sambung lg. Indera Kencana, bg tau la bape episod sumer dok ada nih? hehehe

INDERA KENCANA said...

Zack,
Hahahaha... ye, lari dari rumah. Saya tidak berminat dengan calon itu sejak dari awal adalah kerana sudah tawar hati untuk berkahwin. Bukanlah sebab fizikalnya. Tetapi dalam pandangan kabur, saya melihat dia, lagilah membuatkan saya tak nak. Mungkin betul ayah saya kata saya cerewet.

Iman,
Hahaha... dah jadi cerpen. Jangan Iman bosan baca sudahlah.. Hehehe..

Nina,
Ni calon yang ke.. Heheheh..rahsia
I wasn't from O&G but construction. We were among the first group of developers who dare to venture into Sudanese's market in late 90's.

Salam khairyn
Terima kasih atas maklum balas khairyn yang sukakan blog saya. Kecil tapak tangan, Stadium Putra Bukit Jalil saya tadahkan menyambut kunjungan khairyn.

Ya. Minda kita perlukan rehat untuk kita bertenaga meneruskan tugasan. Selamat bertugas.

hayad,
Perjalanan Mencari Bidadari Hati ini ada 6 bahagian semuanya saya agak. Paling banyak 7 kot. Hehehe..

kingbinjai said...

waaa tertinggal lagi!