Dia adalah anak perempuan dalam susunan ke 6 adik beradiknya. Dia dilahirkan dalam tahun 1932. Ayahnya berasal dari Daerah Sungai Penuh, Kabupaten Jambi yang berhijrah ke Tanah Melayu seawal tahun 1900-an. Ibunya pula seorang wanita tempatan yang buta huruf namun cekal hatinya.
Dia dilahirkan pada waktu dinihari dalam amuk badai bulan Rabiulakhir tahun itu. Suasana ketika itu amat membimbangkan dengan hujan mengguyur lebat dari langit dan taufan bertiup dengan kencang menampar-nampar dinding rumah yang rapuh. Sewaktu disambut oleh bidan, wajahnya seakan tersenyum, lantas ayahnya Haji Hassan itu menamakannya dengan nama Salamah. Nama itu juga sebagai doa seorang ayah agar hidupnya kelak diberikan keselamatan dan kesejahteraan oleh ilahi.
Salamah tumbuh dalam kekacauan dan kegawatan masyarakat Melayu pada ketika itu. Masyarakat Melayu pada ketika itu mencari-cari identiti mereka sendiri. Hidup merempat sebagai hamba di dalam belenggu kemiskinan. Sewaktu Salamah memasuki usia dara sunti, peperangan pula melanda menjadikan kehidupan pada ketika itu lebih sukar. Mujur sahaja ayahnya diterima bekerja sebagai Special Constable (SC) yang merupakan cawangan kepada British Army yang berpengkalan di Singapura. Bekerja sebagai seorang SC memerlukan Haji Hassan berpindah dari kampung itu membawa anak dan isteri bersama ke Pekan Beruas.
Kampung yang ditinggalkan pada zaman itu merupakan kampung yang sangat terpencil. Tiada kemudahan asas seperti sekarang. Kenderaan yang ada hanyalah basikal dan laluannya pula sudah tentulah di tepi-tepi rumah orang sehingga sampai ke laluan di tepi Sungai Perak. Jika ingin ke tempat-tempat yang jauh, perlu menaiki sampan panjang dan perjalanan yang diambil biasanya mengambil masa berhari-hari malah berminggu-minggu.
Pekan yang terhampir dengan kampung itu ialah Pekan Parit yang menawarkan keperluan asas seperti pakaian, bekalan makanan dan juga peralatan harian seperti sabit, parang dan cangkul. Tiada klinik atau hospital. Sekiranya penduduk kampung diserang penyakit, rawatan yang sedia ada hanyalah perawatan kampung iaitu jampi dan serapah sahaja. Masyarakatnya terlalu jumud mempercayai kepercayaan tahyul dan sihir. Di samping itu juga, kebersihan langsung tidak diambil kira. Tiada tandas bersih dan masyarakatnya berkadha-hajat di sungai, di parit-parit malah di dalam semak di belakang rumah. Seorang tua bercerita kepada saya, di waktu itu tentera dan polis menduduki tempat terutama di dalam pemilihan menantu. Kemudian diikuti oleh Guru dan akhirnya peniaga. Kini zaman berubah. Peniaga mengambil alih kedudukan tentera sebagai calon menantu dan Guru masih di tangga yang kedua. Tentera dan polis yang terakhir, kata Aki itu sambil tersenyum.
Haji Hassan sangat menitikberatkan soal pendidikan anak-anaknya. Sepertimana anak-anaknya yang lain, di Beruas itu Salamah tetap masuk ke sekolah agama sehingga ke Darjah Khas. Salamah membesar sebagai seorang dara yang cantik jelita, bersopan santun, sangat mendengar kata-kata dan yang teristimewa, Salamah dikurniakan dengan akal yang pintar dan kepetahan yang mengagumkan. Sewaktu zaman selepas perang itu, agenda kemerdekaan mengambil tempat dan Salamah telah dibawa oleh gurunya menyertai pertandingan syarahan yang bertemakan keagamaan dan kemerdekaan ke tempat-tempat yang jauh sehingga ke Batu Hampar, Pengkalan Bharu, Pantai Remis dan juga Taiping.
Salamah menjadi bualan setiap orang. Bagi golongan tua, mereka berhajat untuk mendapatkan Salamah sebagai menantu manakala golongan jejaka sudah termaklum ingin menyuntingnya sebagai isteri. Dari Beruas sehingga ke kampung orang mengenali Salamah Bersanggul Dua, dara pujaan hati yang mekar di taman larangan Haji Hassan.
Namun Haji Hassan sangat berhati-hati memilih calon menantunya. Bukan kekayaan harta yang diinginkan tetapi kebahagiaan anaknya itulah yang sangat-sangat diharapkan. Sudah ramai orang yang masuk meminang Salamah dari kalangan tentera dan polis, petani dan juga nelayan sehinggakan kepada Pembesar Jajahan, namun tetap ditolak oleh Haji Hassan. Bagi Salamah pula, dia tidak tahu langsung akan kedatangan orang yang merisiknya kerana bukan urusannya untuk mengambil tahu akan hal itu semua. Soal jodoh, ayahnya yang menentukannya. Dia pasrah.
Haji Hassan tamat perkhidmatan sebagai SC. Mereka pulang semula ke kampung. Di kampung itulah Salamah bertemu jodoh. Haji Hassan menerima lamaran Tuan Tahir (Tuan adalah panggilan lama bagi Ustaz). Seorang guru agama yang masih bujang. Disegani ramai dan tinggi pengetahuan agamanya. Cuma Tuan Tahir seorang yang tidak berharta. Itu sahaja.
"Wahhh... Salamah sudah dipinang oleh Tuan Tahir.." kata seorang teman Salamah sewaktu mereka bertandang ke rumah Haji Hassan. Mak Saadiah, ibu Salamah leka menganyam tikar mengkuang tidak mencampuri perbualan anak dara-anak dara itu semua.
"Eh, Salamah. Engkau pernah melihat Tuan Tahir itu?" tanya seorang teman lagi. Mengusik.
Salamah hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
"Aku pernah melihatnya berzanji di rumah Pak Long aku. Haiii... orangnya tampan. Berkumis nipis. Suaranya merdu. Alangkah baiknya jika aku menjadi pilihannya. Bertuahnya engkau Salamah"
"Aku tidak tahu. Ayah aku hanya memilih orang yang beragama. Itu sahaja" kata Salamah.
"Ya. Mujur sekali Pak Haji tidak memilih Imam masjid yang beristeri empat itu menjadi suami engkau..." kata seorang teman lagi.
Hahahahahahahahahha...... mereka mengusik Salamah pada petang itu.
Majlis perkahwinan Salamah dan Tuan Tahir itu dilangsungkan dalam upacara yang sederhana tetapi meriah. Sebulan sebelum majlis berlangsung, orang kampung sudah datang setiap hari menyiapkan balai memasak, merendang kelapa, menggantung kelambu dan pelamin serta membaiki atap rumah. Sewaktu majlis perkahwinan dilangsungkan, semua orang bertungkus lumus bergotong royong menjayakan kenduri itu. Ada seseorang merenung jauh ke rumah Haji Hassan dengan dendam yang membara di jiwa....
Malam sudah sunyi. Burung kuangkuit sayup-sayup berbunyi bersama hembusan angin yang bertiup kencang. Seisi rumah terlantar kepenatan oleh kerja kenduri. Salamah di dalam bilik menempuhi malam pengantinnya dengan bahagia. Suaminya sudah nyenyak di sisi. Tiba-tiba dari celahan jendela itu masuk segumpalan asap hitam. Salamah terjaga. Dilihatnya asap hitam itu berkepul-kepul membentuk sebuah kepala dengan tanduk dan mata yang merah menyala mengelilingi kelambunya. Salamah ingin menjerit namun suaranya seperti tersekat di kerongkong. Salamah sudah ketakutan yang amat sangat. Segala ayat suci yang dihafalinya seperti tidak muncul dari ingatan. Oleh kerana ketakutan yang teramat itu, dia memegang besi katil sehingga bergegar katil itu. Makhluk itu kian menghampirinya. Mujur gegaran katil itu membangkitkan suaminya dan di saat itu suaranya terlepas dan terdengar jeritan Salamah di tengah malam membangunkan seisi rumah. Tuan Tahir sempat melihat makhluk itu. Tuan Tahir hilang malu lalu mencempung Salamah keluar dari bilik itu (ketika itu mencempung isteri di hadapan keluarga sesuatu yang memalukan).
Sejak kejadian itu Salamah bagaikan hilang ingatan. Lebih suka termenung dan menyendiri. Ditanya sepatah, dijawab sepatah. Sudah tiada lagi kepetahan dan bicaranya mengisi keriangan di rumah itu. Salamah bagaikan hilang di dalam dunianya sendiri.
Haji Hassan memberikan sebidang tanah di belakang rumahnya kepada Tuan Tahir hidup bekeluarga dengan Salamah. Sebidang tanah yang berhampiran dengan anak sungai yang jernih. Keluasan tanah itu cukup untuk Tuan Tahir bercucuk tanam dan menghidupkan ayam itik. Tinggallah Salamah bersama suami sebagaimana suami isteri yang lain. Bezanya Salamah kini tersangat pendiam. Siangnya Tuan Tahir akan keluar mengajar di pasantren-pasantren yang berhampiran. Di waktu petangnya diisi dengan berkebun. Hidup mereka kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Mereka kemudiannya dikurniakan dengan seorang anak perempuan. Ruqayyah namanya.
Petang itu Tuan Tahir datang ke rumah Haji Hassan memanggil Mak Saadiah.
"Mak, lekas Mak. Salamah sakit!!!"
"Sakit..?? Sakit apa..??" tanya Mak Saadiah.
"Entahlah Mak. Dia muntah dan cirit-birit..." kata Tuan Tahir gelisah.
Setelah menyarung tudung di kepala, Mak Saadiah mengikuti menantunya itu menjenguk Salamah. Salamah sudah terlantar tidak bermaya.
"Panggil orang, suruh deme hantar Salamah balik rumah Mak. Di sana ramai orang yang boleh menjaga Salamah dan Ruqayyah. Tolong panggil juga orang yang boleh mengubat ye..!!!
Petang itu Salamah dihantar balik ke rumah Haji Hassan. Kebetulan, petang itu juga Mak Saodah, kakak sulung Mak Saadiah yang menetap di Manong datang menjenguk Mak Saadiah. Salamah memanggil Mak Saodah itu Mak Tua.
Sudah tiga hari Salamah terlantar. Sudah 2 orang pawang dipanggil mengubat Salamah tetapi hasilnya hampa. Masuk hari ketiga itulah Salamah memanggil suaminya.
"Bang, Salamah teringin nak makan tembikai. Boleh abang carikan?" tanya Salamah.
"Kalau Salamah hendak, biar abang ke Pekan Parit mencarinya. Mah tunggu, ye!!" kata Tuan Tahir. Sebak.
Salamah tiba-tiba menyalami suaminya.
"Abang, ampunkan dosa Mah, ye bang. Mah sayang abang..." katanya.
Tuan Tahir sekadar mengangguk.
Setelah pemergian Tuan Tahir itu, Mak Saadiah bersiap-siap untuk bersolat Asar. Salamah cuma ditinggalkan bersama adiknya Aminah dan Mak Saodah. Ruqayyah nyenyak lena di dalam buaian.
"Aminah...." panggil Salamah.
"Ya Kak" sahut Aminah
"Kalau kakak dah tak ada nanti, Aminah mesti janji dengan kakak yang Aminah akan jaga Ruqayyah dengan baik.."
"Syyyys..Tak baik kakak cakap macam tu... Kakak akan sembuh semula. Insya-Allah" kata Aminah.
"Kakak nak Aminah berjanji. Berjanjilah!!"
"Baiklah. Aminah berjanji akan jaga Ruqayyah baik-baik" kata Aminah menyambung bacaan Al-Quran Surah Al-Qasas.
Dari dalam bilik terdengar Mak Saadiah mengangkat takbiratul ihram.
"Mak Tua. Salamah rasa nak mengiring. Boleh Mak Tua iringkan badan Mah?" tanya Salamah pada Mak Saodah.
"Alahai Salamah. Mak Tua ni tak berkudrat. Tak bertenaga Mak Tua ni.. Bukankah elok jika Salamah baring sahaja?" kata Mak Saodah.
"Sekejap saja Mak Tua. Tolonglah Mak Tua..." pinta Salamah.
Mak Saodah terketar-ketar menolak badan Salamah dengan kudrat tuanya. Setelah seminit itu, Salamah bersuara lagi.
"Mak Tua, Salamah nak baring menelentang semula Mak Tua..." pinta Salamah lagi.
Mak Saodah menarik semula badan Salamah supaya boleh baring menelentang. Sewaktu menarik badan Salamah itu, Mak Saodah terdengar Salamah menyebut, Allaaahhh.. Perlahan sahaja suaranya tetapi memanjang. Ketika itulah tangan Salamah jatuh terkulai dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Nafas yang mendewasakannya selama 27 tahun.
"Ya Allah, Salamah!! kenapa tinggalkan Mak Tua..." tangis Mak Saodah.
Aminah yang baru sampai di pertengahan Surah Al-Qasas itu berhenti membaca. Mak Saadiah yang sudah di rakaat yang kedua, tidak dapat meneruskan solat, berhenti dan menerpa ke katil Salamah. Tuan Tahir baru sahaja sampai dari Pekan Parit menaiki tangga rumah sewaktu terdengarkan tangisan Mak Saodah itu, menyedari bahawa Salamah sudah pergi untuk selama-lamanya. Buah tembikai terlurut dari genggamannya lantas pecah berderai menimpa anak tangga.
Salamah hanya menderita selama 3 hari. Air yang diminum dari sungai jernih berhampiran dengan rumahnya telah dicemari oleh bacterium vibrio cholerae yang menyebabkan penyakit Kolera atau lebih dikenali sebagai Taun pada penghujung tahun 1959.
Kehilangan Salamah amat dirasakan sekali. Tuan Tahir sesudah itu berpindah ke kampung asalnya di Pasir Gajah membawa Ruqayyah bersama-sama. Aminah cuba menghalang demi janjinya pada Salamah. Namun apa dayanya kerana Tuan Tahir lebih berhak ke atas Ruqayyah.
Dua tahun selepas kematian Salamah, Ruqayyah menderita demam panas yang kuat. Akhirnya Ruqayyah juga meninggal dunia. Tersayat hati Aminah sewaktu melihat jenazah Ruqayyah dimandikan.
"Maafkan Aminah, Kak. Kerana tidak menepati janji Aminah. Aminah bersalah pada Kakak"
Setelah Ruqayyah meninggal dunia, Tuan Tahir pula diserang Angin Ahmar sehingga lumpuh separuh badannya. Tuan Tahir menderita selama 5 tahun sebelum dia sendiri dijemput oleh tuhan dalam tahun 1966. Salamah sekeluarga kemudiannya dilupakan. Hilang tanpa kenangan abadi. Hilang tanpa meninggalkan waris turunan. Saya sering tertanya-tanya, jika dengan teknologi perubatan masa kini sudah ada di waktu itu, apakah saya berupaya bertemu dan menyaksikan kejelitaan Salamah Bersanggul Dua? Namun kuasa Allah tiada siapa boleh menghalangnya. Ya, benar.
Kelmarin saya bertemu dengan Wan Benab, adik kepada Al-Marhum Tuan Tahir di satu majlis kenduri. Selepas memperkenalkan diri saya, dia menangis sambil mengurut-ngurut lengan saya. Dengan linangan air mata dia berkata,
"Ya. Sekalipun engkau tidak secantik Salamah, tetapi roman wajahmu mirip Salamah Bersanggul Dua"
Indera : Kisah ini adalah benar yang dirakamkan di sekitar tahun 1932 hingga tahun 1966.
8 comments:
kau keturunan itu kah?
terharu membaca kehidupan Salamah yang penghujungnya sebegitu..
entah kenapa meremang saya membaca kisah salamah itu...
Tuan.. kisah benar yer..?? Dari mana kisah ini tuan perolehi..?? kesian salamah..
uish!! kisah benar?
Apa hubungan Indera dengan Salamah?
semua nama tempat, telah dan saya akan jejak dalam 2,3 hari ini meneman mak untuk menjemput saudara ke kenduri kahwin.
Terasa dekat cerita ni di hati...
King & Iman,
Saya adalah putera kepada Aminah.
Zwit,
Memang sedih perjalanan hidupnya. Tak sangka akhir jadi sedemikian rupa.
Achik,
Ianya kisah seorang wanita biasa..
Zack @ Maniq,
Dari ibu saya yang bernama Aminah itu..
Hayad @ dayah,
Ya, kisah benar. Tapi macam kisah drama kan?
Aminbakish,
Tempat itu dulu pernah dilawati oleh Salamah setiap kali dia pergi menyertai pertandingan syarahan.
Post a Comment