Monday, December 11, 2006

Sedapnya Satay!!

Ingat lagikah tentang Tok Subari yang menikahi Opah Bibah melalui adat yang pelik iaitu Adat Memanjat? Ya, dipendekkan cerita, Tok Subari dan juga Opah Bibah dikurniakan dengan anak yang ramai iaitu 8 orang semuanya. Yang sulung Pak Long Zainal dan yang bongsunya ialah Mak Su Liza.

Di dalam keras hati dan sikap panas baran Tok Subari itu, tersimpan suatu sifat mulia. Dia amat suka dan menyayangi kanak-kanak terutamanya anak-anak yatim. Sekitar awal 80-an itu, ada seorang duda atau lebih tepat lagi bapa tunggal di kampung kami telah meninggal dunia. Dia turut meninggalkan 3 orang anak yang masih kecil. Dua lelaki dan seorang perempuan. Dua orang anak duda itu yang besarnya, dipulangkan ke bawah jagaan nenek kanak-kanak itu manakala yang bongsunya, seorang budak lelaki berusia 5 tahun, diambil oleh Tok Subari sebagai anak angkat. Din, nama budak itu dibesarkan dengan penuh kemanjaan oleh Tok Subari. Segala kehendaknya diturutkan oleh Tok Subari.

Sesudah Din berusia 8 tahun, Tok Subari berura-ura untuk mengkhatankan Din. Upacara berkhatan itu dibuat secara besar-besaran memandangkan rumah Tok Subari sudah lama tidak mempunyai kanak-kanak lelaki. Kali terakhir upacara berkhatan dilakukan di rumah itu adalah sewaktu upacara berkhatan Achik Hadi, 15 tahun sebelum itu.

Din hanya muda beberapa tahun sahaja daripada kami. Namun oleh kerana dia anak kesayangan Tok Subari, dia terlebih manja dan dia sering mencari gaduh dengan saya dan Fuad. Di hadapan Tok Subari, sekiranya kami ditendang oleh Din, kami hanya tersenyum sahaja. Tetapi jika hilang sahaja bayang Tok Subari, saya dan Fuad akan menarik Din ke semak senduduk di belakang rumah moyang itu dan membelasahnya di situ sehingga menangis.

Rumah Tok Subari sudah dilimpahi oleh orang ramai. Waktu ini saat paling menarik bagi kanak-kanak yang bakal dikhatankan kerana di saat ini golongan tuanya akan terlebih bermurah hati. Jika di hari lain, untuk meminta 20 sen itu pun azab oleh kerana terlalu kedekut, di hari ini orang tua kedekut itu pula akan memberikan RM10.00. Waahh... satu jumlah yang besar. Serasa ingin berkhatan sekali lagi....

Din tersenyum bangga sambil menunjukkan koleksi wang merahnya kepada kami. Saya lihat Fuad sudah mengetap bibir menahan kegeraman melihat sampul-sampul duit di dalam kocek Din.
"Jagalah. Jatuh dua tiga keping nanti, jangan harap aku nak pulangkan balik" bisik Fuad. Tetapi masih jelas di telinga saya.

Tetamu berduyun-duyun sampai. Ada yang sedang menikmati hidangan. Ada yang sibuk bekerja di Balai Penanggah. Ada yang setakat berbual kosong sambil menikmati rokok. Ada juga buat-buat sibuk seperti kami.

Tok Mudim Harun sudah sampai dengan beg kulitnya. Melihat sahaja misainya yang melenting itu sudah cukup membuatkan kanak-kanak yang belum berkhatan mengigil ketakutan. Sebaik sahaja selesai menikmati hidangannya, Tok Mudim Harun membuka begnya dan mengeluarkan selembar kain putih. Di atas kain putih itu ditaburi dengan bijian hitam seperti jintan.
"Supaya lekas sembuh" katanya kepada saya dan Fuad yang leka memerhatikan kerjanya.
"Kamu berminat nak jadi mudim?" tanya Tok Mudim Harun kepada kami.
"Hiiiieee... yeeekkkk" kata Fuad seakan loya.

Din sudah dihiasi dengan pakaian melayu. Tengkoloknya melintang solek ayam patah kepak. Baju songketnya.. aduhhh.. benar-benarlah Tok Subari berhabis-habisan untuk budak itu. Cantik sekali. Persis anak raja zaman dahulu.

Rebana dipalu dan Din diarak di atas bahu Pak Long Zainal yang tegap menuju ke telaga di pinggir bendang itu. Kononnya air yang sejuk dingin itu bisa bertindak sebagai ubat pelali. Kami tidak tahu kesahihannya kerana kami juga dahulunya diarak dan dimandikan sedemikian rupa. Tetapi hasilnya tetap menyakitkan sehingga ke dasar otak.

Din kemudiannya diarak pulang ke rumah dalam sejuk mengigil tengahari itu. Hanya kain batik Opah Bibah sahaja yang membaluti tubuhnya. Dia dicempung ke ruang anjung rumah Tok Subari lantas dilucutkan kain batik itu.

Sebaik sahaja terpandangkan misai Tok Mudim Harun yang melenting itu, Din terpekik terlolong ketakutan. Dia cuba berlari turun melalui tangga rumah namun orang-orang muda yang gagah-gagah sudah sedia menunggu. Din tidak punya pilihan melainkan melangkah tingkap turun ke bawah. Oleh kerana dia bertubuh kecil dan pendek, kakinya sudah tidak cecah ke tanah. Bergayut dia di situ sambil melolong-lolong menangis.
"AAhhhhh... Din tak mau. Din tak mau... Ahhhh... tak mau!!!!!

Dalam keadaan cemas itu, Pakcik Kudin Buncit menyuruh kami menahan Din dengan menggunakan bahu kami. Cemas sungguh. Bahu kami dipijak-pijak oleh Din yang meronta-ronta. Sekali sekala, kakinya menyinggahi kepala kami. Amboi... ini sudah lebih!!

Mujur orang-orang dewasa segera datang menangkap Din yang sedang meronta-ronta. Pun begitu, sempat juga Din melepaskan satu tendangan yang kuat ke belakang badan Fuad sehingga menyebabkan Fuad terdorong ke hadapan dan hilang keseimbangan lantas jatuh tertumus ke dalam lopak air. Fuad berkicau kemarahan.
"Nanti kamu Din. Nanti lepas aku balik mandi... aku potong-potong kamu sampai habis dengan gunting. Kamu jaga, Din"
Geram sungguh Fuad. Terus sahaja dia berlalu dengan badan serta muka yang kotor. Wajahnya sudah masam kelat seperti buah amrah.

Petang esoknya Tok Subari datang ke rumah Opah mencari kami berdua.
"Tok nak ucapkan terima kasih pada kamu berdua, Indera dengan Fuad sebab susah payah bertahan bahu menghalang Din daripada terjun tingkap. Kalau kome tak tolong, tentu Din dah patah kaki gamaknya. Tok tak tahu nak ucapkan terima kasih macam mana. Cuma Tok bawak sagu hati. Nah..."
Tok Subari memasukkan ke dalam kocek kami RM10.00 setiap seorang. Bangga rasanya. Seolah-olah menerima Pingat Hang Tuah.
"Haiii.. Sepuluh ringgit je ke.." kata Fuad. Tidak puas hati.
"Dah tu kamu nak berapa?" tengking Tok Subari. "Tak nak, bak sini duit aku tu balik" tambah Tok Subari.
"Nak-nak-nak!!!"

Duit pemberian Tok Subari itu cukup membeli satay seratus cucuk. Sebahagiannya kami hantar ke rumah Tok Subari. Kami sengaja makan satay itu di hadapan Din. Teriak tangisnya hendakkan satay itu sudah cukup membuatkan dendam kami berbalas.
"Kamu makan satay ayam tu nanti, luka kamu dijangkiti kuman. Sudah!! Makan ikan bilis goreng tu saja.." tengking Tok Subari.

Emmmm... sedapnya satay....!!!

10 comments:

Sang Perba said...

teringat masa kejar sepupu lari semasa bersunat...noltalgia sungguh satu kampung bagaikan ada pesta....

Anonymous said...

wahahahahaha

p/s : ini blog ke berapa ntah aku post komen gelak je ha ha

khairyn said...

salam

ketawa lagi hari ni hahaha. Ada unsur iri hati dan membuli tu. Masih ada perasaan tak puas hati dengan Din lagi sekarang?

Teringat juga pertama kali melihat sepupu dikhatankan. Dalam hati terfikir 'oh macam tu rupanya'. Terus kena jerkah dengan sepupu 'oi! oi! apa tengok-tengok orang punya ni!!'
hahaha

zwitterion said...

hahaha,dpt jugak balas dendam.:)

Anonymous said...

Indera memang halus dan teliti dalam mengolah. AKMA seolah turut sama berada di sana menikmati sate ayam...di depan Din!

AKMA takjub dengan gaya bahasa Indera.

INDERA KENCANA said...

Jer @ Sang Perba @ Ahmad Marzu,
Peristiwa berkhatan ini memang lucu. Memang akan ada timbul perkara-perkara begini dahulu. Sekarang berbeza kerana peralatannya lebih moden.

King,
Asalkan boleh dibuat bahan gelak, bantai sajalah King...

Khairyn,
Khairyn punya jiwa yang sangat halus sehingga dapat menangkap isi hati saya dan Fuad sewaktu kecil. Ya, unsur iri hati dan membuli yang sangat kuat. Iri hati kerana orang lain (Din bukan dari kalangan keluarga) mendapat layanan istimewa.

Namun masa berubah menukarkan hati kami menerima Din sebahagian daripada keluarga kami.

Sewaktu majlis berkhatan anak buah saya dua minggu lepas, anak perempuan siap duduk mengadap sepupu-sepupunya bersunat..

Zwit,
Hahahaha.. busuk hati kan?? Tapi tu dulu la..

AKMA,
Layangan Indera sekali lagi merentang pelangi 7 warna menyambut bayu yang berhembus dari Southampton, menyatakan betapa sunyinya Layangan Indera ini tanpa lawatan dari AKMA beberapa hari yang lepas. Masih sibuk lagikah saudaraku...?? Saya mendoakan yang terbaik untukmu AKMA.

Maaf andai entri ini membuatkan AKMA mengidam. Baiklah jika begitu, sebaik sahaja AKMA pulang dari UK nanti, saya belanja AKMA dengan satay BTP... :D

Terima kasih atas penghargaan AKMA itu...

Iman Mawaddah said...

Saya teringat sepupu saya menyorok bawah katil semasa berkhatan di kampung. Jenuh mencarinya...rupe2nya dok bawah katil besi opah sambil mengira duit yg org bagi.Kalau saya bagi cerita ni pada Indera sure Indera boleh garap dengan menarik kan..hehe. Ermm nak belanja AKMA je ke? Orang lain ni pun hendak jugak :) (bagi pihak pengomen2 lain)

INDERA KENCANA said...

Iman,
Boleh-boleh... hantarkan sahaja pada indera5kencana@yahoo.com

Jika yang lain berminat untuk dibelanja, datanglah ke Bandar Tasik Puteri atau Sri Hartamas. Tetapi telefon saya dahulu. Dapat no telefon saya di dalam email atau berhubung dengan King Binjai..

Adinina said...

sy makan chocolate Cadbury dpn abg2 yg kena sunat..pdhal chocolate tu utk mereka, saudara mara yg bagi utk dimakan lps sembuh..tp sy dah kebas dulu..hahaha!

INDERA KENCANA said...

Nakalnya Nina..
Kesian abang-abang yang bersunat itu...