Tuesday, March 27, 2007

Panggilan Haji



"Achik, Opah tak ada.." kata Faiz apakala menyambut kedatangan saya dan Siri Aufa di rumah Mak hari Sabtu yang lalu. Dia baru berusia 6 tahun. Bertubuh gempal dan sangat comel.
"Opah pergi mana?" tanya saya.
"Opah pergi kursus Haji kat Kampong Gajah.." kata kakaknya Fatin.

Siri Aufa takut-takut untuk keluar dari kereta.
"Cepatlah turun. Kita dah sampai.." kata saya kepada Siri Aufa.
"Tak mahu. Kak Long takut. Kak Fatin dan Abang Faiz usik Kak Long" katanya sebelum menjerit ketakutan apabila melihat Fatin dan Faiz membuat mimik muka dan jari jemari dibengkokkan seperti gaya hantu. Melihatkan itu, saya hilang sabar lantas mematahkan ranting pokok Lemundi dan menghambat mereka di halaman rumah Mak. Mencicit mereka berlari masuk ke dalam rumah mendapatkan ibu mereka.

"Sapa tu..?" terdengar kakak saya, Aini bersuara dari dalam. Dia anak ketiga dalam turutan adik beradik kami. Saya memanggilnya Yang. Dia adik beradik saya yang paling rapat dengan saya. Selain daripada berkongsi rupa paras, kami juga berkongsi hobi yang sama iaitu melalak di dalam bilik air.
"Achik.." kata Fatin.
Yang terkocoh-kocoh mendapatkan saya di ruang tamu.
"Haa.. Indera. Sementelah kamu dah ada ni, boleh kamu ke kedai beli tomato puree?".
"Yang ingat nak masak Nasi Tomato tengahari ni" tambahnya lagi.
"Nak berapa tin?"
"Satu tin cukuplah" katanya.
"Duitnya..?" kata saya sambil menghulurkan tangan.
"Pakai duit kamu sendiri"
Balik dari kedai, saya terlentang di atas sofa nyenyak ketiduran. Siri Aufa leka bermain dengan Faiz. Sekali sekala tidur saya terganggu apabila Siri Aufa mengadu disakat oleh Faiz. Menjelang tengahari, saya terjaga setelah bahang matahari memenuhi halaman rumah. Di dapur pula terdengar Mak sedang berbicara dengan Yang. Aroma Nasi Tomato naik memenuhi ruang rumah membuatkan perut saya berkeroncong.


"Ramai ke yang hadir ke kursus tu, Mak?" tanya saya sambil menyuapkan nasi ke mulut Siri Aufa. Dia menganga besar-besar sebelum berlari berkejaran semula dengan Faiz.
"Haii.. ramai. Nama lagi kursus haji" kata Mak.
"Jadi ke Mak pergi tahun depan..?"
"Belum tentu lagi.."
"Kalau Mak jadi pergi tahun ni, Mak hati-hati sikit pilih orang yang nak ikut serta Mak ke sana nanti. Jangan jadi macam dulu.." kata saya mengingatkan Mak tentang peristiwa selepas musim haji beberapa tahun sebelum itu.
"Kamu ni Indera, takkanlah Mak nak halang orang lain ikut Mak. Allah redha pada kita sekiranya kita menolong orang dalam kesusahan. Kalau orang nak buat tak tentu pada kita, biarkanlah. Kita pulangkannya pada Allah" kata Mak.
"Mak ni baik sangat...!!"

Tahun 1998, Mak dan Apak menerima surat daripada Tabung Haji menjemput Mak dan Apak menunaikan Rukun Islam yang kelima itu. Sudah tentu berita itu sangat mengembirakan hati Mak dan Apak yang selama ini tertunggu-tunggu jemputan daripada Allah SWT untuk menjadi tetamuNya. Bagi kami adik beradik turut sama bergembira dengan perkhabaran itu.

Selain daripada Mak dan Apak, terdapat juga sebilangan penduduk kampung yang turut menerima perkhabaran gembira daripada Lembaga Urusan Tabung Haji itu. Ini termasuklah beberapa orang balu yang sudah kematian suami dan tidak punya muhrim yang berkemampuan untuk turut serta di dalam rombongan itu. Apabila mendengarkan berita bahawa Mak dan Apak bakal sama-sama mengerjakan haji, balu-balu ini datang ke rumah Mak untuk meminta izin Mak untuk turut sama berpergian dengan Mak ke tanah suci. Antara balu-balu itu termasuklah Wan Nah balu Arwah Pak Itam, Wan Mah balu Arwah Tok Napi dan juga Wan Piah balu Arwah Pak Dol (Wan adalah gantinama makcik di kampung kami). Mak langsung tidak membantah bahkan Mak mengalu-alukan keinginan mereka untuk mengikut Mak kerana pada pendapat Mak, jika bukan Mak, siapa lagi yang ingin menolong mereka. Tambahan pula keadaan mereka yang kematian suami. Sudah tentu keadaan mereka akan terkatung-katung di Tanah Suci sekiranya mereka berpergian sendirian.

Mak dan Apak pergi ke sana lebih kurang sebulan lebih lamanya. Kebetulan Mak memang sudah berniat untuk membawa adik saya, Andika bersama. Haiii... rezeki Andika. Berpeluang mengerjakan haji di usia remajanya. Jika saya ingin mengerjakan haji, alamatnya akan mengambil masa bertahun-tahun lagilah, agaknya. Tinggallah saya bersendirian menunggu rumah pusaka Mak sementara Mak, Apak dan Andika ke sana.



Setamat musim haji, jemaah-jemaah pulang ke kampung halaman masing-masing. Mak, Apak dan Andika juga selamat pulang. Cuma peralihan cuaca di sana dengan cuaca di Malaysia menyebabkan Mak dan Apak batuk-batuk. Berlainan pula dengan Andika. Dia riang mengagihkan buah tangan yang dibelinya di Makkah kepada Opah, Atuk dan juga pakcik dan makcik kami. Bagi saya, kepulangan Mak dan Apak itu saya sambut dengan penuh kesyukuran.

Sangka saya, apabila selesai sahaja ibadat haji, maka kita telah melengkapkan keseluruhan binaan di dalam agama. Kita sudah lengkap sebagai seorang muslim sejati. Namun sangkaan saya meleset.

Pulang sahaja dari Tanah Suci itu, Wan Piah tidak henti-henti menyampaikan fitnah tentang Mak di Tanah Suci. Kononnya Mak pergi ke Tanah Suci itu untuk berehat dan tidur-tidur sahaja.

"Kome nak tahu.. Ustazah Aminah tu pegi ke Mekah, bukannya nak buat ibadat. Asyik duduk di bilik sahaja. Orang datang ke Mekah, keluar belanja banyak-banyak nak buat amal ibadat. Ini tidak. Asyik tiduuuur je...." hebohnya pada orang-orang yang datang kenduri bersunat anak Kak Lina.

"Biarlah Kak Nah..., biarlah dia nak cakap apa pun. Allah itu maha mengetahui" kata Mak bila Wan Nah datang berkunjung ke rumah petang itu. Sementelah berbual-bual dengan Mak, Wan Nah menceritakan tentang kelancangan mulut Wan Piah itu.

"Kak Nah pun tahu hari saya terpaksa solat di bilik itu, bukan? Bukankah hari itu saya diserang demam yang kuat. Tetapi hanya 2 hari sahaja saya terlantar. Selepas tu, saya gagahkan juga badan saya melangkah ke Masjidil Haram. Kerana apa? Kerana saya tahu saya datang dari jauh untuk menjadi tetamu Allah. Sudah tentu sahaja saya tidak lepaskan peluang untuk memperbanyakkan amalan saya di sana..." kata Mak dengan mata yang berkaca.

"Sabarlah Aminah.." kata Wan Nah.

Suatu hari yang lain, sewaktu Mak menghadiri jemputan walimatul urus, sedang Mak leka membantu orang-orang perempuan mengelap pinggan mangkuk, tiba-tiba Mak terdengar Kak Munah yang bermulut becok bersuara.

"Dengar kata, ada orang tu pergi ke Mekah asyik tidur je. Betul ke?"

Mak hanya berdiam diri. Tetapi hati Mak bagai dihiris sembilu. Mak sungguh tidak menyangka bahawa segala kebaikan hati Mak dibalas sampai begitu sekali oleh orang-orang yang hasad dengan Mak. Pulang sahaja dari majlis itu, Mak meluahkan rasa sedih Mak pada saya. Saya hanya boleh mendengar cerita Mak. Itulah yang sebenarnya yang Mak inginkan. Seseorang yang boleh Mak luahkan perasaan....

Jika diperkenankan oleh Allah, tahun hadapan Mak dan Apak akan sama-sama menunaikan fardhu haji buat kali yang kedua. Cerita, fitnah dan buah mulut tentang Mak dahulu sudah lama hilang dan Mak pun sudah lama melupakan tentang hal itu. Tetapi Mak masih tidak serik-serik untuk membenarkan sesiapa juga yang ingin turut serta dalam rombongan Mak. Kerana keredhaan yang Mak harapkan bukanlah keredhaan manusia. Tetapi keredhaan dari Allah SWT.


Indera : Saya akan ke Pulau Pinang pada Hari Khamis ini. Layangan Indera ini, Insya-Allah akan diisi semula pada Hari Isnin yang akan datang.

23 comments:

pB said...

salam Indera,

kak pB doakan agar kali ini perjalanan ibu dan ayah Indera akan selamat dan dipermudahkan segala urusan di sana nanti...

Indera
Andika
Begitu unik sekali nama nama di dalam keluarga Andika ini...

Siri Aufa , nama benar atau samaran??

Isnin...
Wah begitu lama blog ini akan tidak berupdate..
Insyaallah, panjang umur, kita berjumpa lagi..

Moga selamat di jalanan ..

izinni said...

hmmm macam baca kisah semerah padi dengan nama2 klasik begitu.

saya terfikir sesuatu. seorang anak akan marah amat jika ibu atau ayahnya disakiti orang .. jadi seperti indera akan mula mengomel kenapa mak baik sangat.

tanpa kita sedari kita sendiri akan membiarkan sahaja orang lain buat jahat kat kita dan orang lain pula akan berkata kita ni baik sangat.

tapi saya lazimnya tidak baik orangnya! hahahahaha ...

doa saya untuk kedua ibu dan ayah indera. selamat pergi dan pulang .. moga ibadah mereka diterima Allah sepanjang mereka menjadi tetamuNya. :)

blackpurple @ jowopinter said...

Semoga mereka diberkati di sana nanti. InsyaAllah.

Elok berpegang " biar orang lain buat pada kita, tapi jangan sampai kita buat pada orang lain"


Selamat untuk kau Indera...dan mereka semuanya...



(..teringat kisah syahdu 'Di Bawah Lindungan Kaabah' Hamja itu)

achik said...

semoga mereka selamat pergi dan kembali...

Iman Mawaddah said...

Mulut orang memang kita tidak dapat tutup. Biarkan Allah itu Maha Adil.

Masy said...

salam..

sunggoh celupar itu makcik. klu mak sy yg dia kata gitu, sy mmg x segan utk membahasakan dia dpn org ramai. sy penah buat dulu - pada sorang pakcik yg mengaku polis - jgn harap boleh buli mak sy! sy ingat lagi.. satu kawasan pekan tu sunyi sepi, yg ada hanya suara sy membahasakan pakcik tu. semua mata memandang, tp sy peduli apa. jgn ingat dia tua, sesuka ati dia nk menjatuhkan maruah org len.

hehehhe bile bab mak n abah sy memang cpt emo. nasiblah pakcik tu, sape soh carik pasal :p

slmt berangkat menunaikan haji utk ibu bapa indera. sape wat hal lg, campakkan je dia keluar drpd kapal terbang nanti.

khairyn said...

salam

semoga ibu bapa Indera dikurnia haji Mabrur. InsyaAllah.

Ayahanda pernah berpesan (wah! memang banyak sungguh pesan ayahanda saya kan?;). Kadang2 Allah tak uji hambaNya di Masjidil Haram, malah dipermudahkan segala urusannya di sana. Tapi, ujian yang sebenarnya kadang2 diterima setelah pulang dari mengerjakan haji. Masa itulah kita diuji samada apa yang kita kerjakan dalam rukun Islam ke 5 itu ikhlas atau tidak.

wallahuaklam

kingbinjai said...

aaaaaa nak itut!

Anonymous said...

semoga ibubapa indera selamat pergi dan selamat kembali hendaknya..

zwitterion said...

semoga mereka selamat pergi dan kembali ke sini semula

KAMATO said...

Terasa sayunya melihat photo masjid nabawi tu

Unknown said...

mmg mcm tu sifat manusia sejak azali. Tak boleh dnafikan. setiap benda mesti ada 'perkataan' berlawanan.

pokok pangkalnya 'naik-turun' keimanan seseorang tu yg perlu dijaga.

byk 'syubahah' dunia skrg ni, indera.

AKMA said...

Indera,

AKMA selamat sampai ke bumi Malaysia. Alhamdulillah. Tapi masih berlari menguruskan segalanya. Pertukaran tugas di pejabat juga meributkan lagi keadaan. Walau bagaimanapun, Insya Allah akan mencari ruang ketemu.

Salam buat Indera. Juga buat Iman, Khairyn, Bayu Senja, dan yang di bumi Syria yang masih terus berjuang. Salam rindu buat semua. Moga ketemu semula.

BaYu SenJa said...

indera,
insyaAllah semua akan berjalan lancar :)
menyahut seruan ilahi menjadikan setiap detik itu di dalam ibadah..
alangkah baiknya...

buat akma, bayu menanti kepulangan anda di medan ini

areyoung said...

Nak buah pala? ;P

Unknown said...

dah sampai penang ke indera?

pB said...

nak buah pauh jeruk...buleh?

kalau p penang tak singgah Bazar Chowrasta, rugi..

Izariza said...

Salam Indera,

Cemburu mendengar kamu pulang ke kampung halaman .. saya sudah beberapa bulan tidak menjenguk ibu di desa. Rindu menguak tiba-tiba.

Biarlah Indera, manusia itu berpancawarna ragamnya. Tidak mati kita kerana kata-kata orang. Lama-lama penatlah dia. Mudah-mudahan hidup kita dipenuhi keberkatan berkat keikhlasan dan keredhaan..

p/s: pasemboq di padang kota masih sedap seperti dulukah?

Sastri said...

Semoga mendapat haji yg mabrur... My parents baru je ke sana tahun 2005... sebaik tiba dari sana, my mum dah menyatakan hajatnya untuk menjadi tetamu Allah sekali lagi jika ada rezeki dan diizinkanNya... seronok mendengar cerita mereka di sana...

Sang Perba said...

bila agaknya tiba giliranku ini?

Sang Perba said...
This comment has been removed by the author.
INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Siri Aufa itu memang nama anak saya. Nama itu diberikan oleh ibu saya sempena nama murid kesayangannya yang sekarang ini menjawat jawatan Pensyarah di UIA. "Harapkan engkau, alamat nama anak engkau nanti jadi Ziana Zain atau Siti Nurhaliza lah jawabnya" kata Mak saya.

Izzini,
Bagus juga jadi orang seperti Izzini yang bebas berkata apa yang terbuku di hati. Sekurang-kurangnya orang lain tahu pendirian kita. Macam Izinni kata dalam blog yang Izinni cepat marah dan cepat sejuk. Saya rasa itu lebih baik.

Bro BP,
Itu adalah asas pendidikan orang tua-tua kita. Biar orang berbuat jahat. Jangan kita membalas. Semua ajaran itu terkandung kesan yang sangat positif di kemudian hari.

Achik,
Terima kasih.

Iman,
Kata orang tua-tua
Mulut tempayan boleh ditutp. Mulut orang juga yang tidak boleh dijahit... (betul ke?)

Masy,
Kalau campak kuar dari kapal terbang, alamatnya nanti ramai yang takut nak naik kapal terbang...

Khairyn,
Ujian Allah itu boleh datang bila-bila masa dengan pelbagai cara. Saya setuju dengan pendapat Ayahanda Khairyn itu..

King,
Boleh.. Boleh..

INDERA KENCANA said...

Indah Sakura & Zwit,
Mudah-mudah, Insya-Allah.

Saudara Kamato,
Bumi Al-Haramain punya jutaan barakah. Setiap yang pernah mengunjunginya pasti merasakan kerinduan itu.

Azzam,
Betul banyak Syubhah sekarang ini sehingga sukar mencari yang hak dan yang batil juga.

AKMA,
Selesaikan tugas-tugas AKMA dahulu mengikut keutamaannya. Tentang pertemuan itu, boleh diaturkan bila sahaja AKMA berkelapangan. Serambi saya sentiasa terbuka untuk AKMA.

Bayu,
Saya juga sependapat dengan Bayu menantikan kemunculan AKMA di alam maya juga.

Areyoung,
Ada.. betul nak?

Linda,
Alamak!! dah balik dah pun. Tak sempat nak tinggalkan nombor hp pada Linda..
Insya-Allah akan ada siri lawatan kedua tidak lama lagi..

Kak pB,
Ada. Kak pB nak ke?
Bazaar Chowrasta ke nama dia?
Hehehehe.. teringat citer kelakar masa nak pi bazaar tu..

Cikgu Iza,
Fuuuhhh.. Superb. Bak kata Bro BP, Maya Karin lalu depan pun tak sedar..

Sas,
Insya-Allah. Jika sudah berdoa tu, akan dijemput oleh Allah lagi bertamu di hadapan Baitullah.

Zam,
Kena doa banyak-banyak minta kelapangan rezeki dan masa..