Monday, April 16, 2007

A Malay Ghost Story (Part II)

Hahahahahaha......!! Saya ketawa besar sewaktu menulis entri ini. Rasa janggal benar rasanya menulis tentang sesuatu yang tahyul. Lagi pun, bukan ramai yang sukakan topik tentang hantu ini. Topik yang tidak menjana pengetahuan. Sementelahan saya telah menulis tentang ini dan ianya hanya separuh jalan, maka cuba saya tamatkan jua dengan hati yang berat. Saya berjanji, entri yang bakalan muncul nanti, topik hantu ini akan cuba saya elakkan. Hahahahahahahaha!!!!

Hihihihihihihi.....!! Suara Hantu Raya itu mengilai di tengah halaman. Semua ahli keluarga Mat Dom yang berada di dalam rumah, berpelukan dalam ketakutan. Di tengah halaman, Mat Dom berbicara dengan Hantu Raya itu meminta agar Hantu Raya itu menyiapkan penggalian 10 rantai taliair yang menjadi tanggungjawabnya.

Setelah dipersetujui, Hantu Raya itu meminta hidangannya. Mat Dom mengunjukkan sekawah nasi beserta 100 biji telur ayam kampung untuk santapan Hantu Raya itu (Saya memikirkan ada juga logiknya Hantu Raya itu menuntut nasi sekawah. Ini kerana penggalian taliair sejauh 10 rantai itu memerlukan tenaga dan kudrat yang banyak. Mujur Hantu itu hanya meminta nasi sekawah. Jika dia inginkan kepala gajah, bertambah haru!!).

Saya cuba untuk tidak ketawa di hadapan Aki itu sewaktu dia sedang rancak bercerita. Setelah dijamu itu, Hantu Raya itu menghilangkan diri. Nun di tengah kampung, kelihatan Mat Dom mencangkul tanah membungkis taliair itu dari malam hingga ke pagi. Apabila ditegur oleh seorang pemuda yang berkeliaran di tengah malam, Mat Dom langsung tidak menjawab. Sebaliknya hanya mendengar dengusannya sahaja. Sebaik sahaja fajar menyinsing, taliair sepanjang 10 rantai yang menjadi tanggungjawabnya itu pun siap. Orang kampung terlongo kehairanan.

Orang kampung pun datang ke rumah Mat Dom mengucapkan tahniah kepada Mat Dom atas kejayaannya menyudahkan kerja hanya dengan satu malam sahaja. Lebih dari itu, orang kampung cuba mengorek rahsia Mat Dom tentang kegagahannya itu.

Mat Dom sedang berkira-kira untuk bersarapan pagi sewaktu beberapa orang penduduk kampung bertandang ke rumahnya.
"Wahhh... penuh ilmu di dada Abang Dom kita. Mampu siapkan ban (taliair) dalam tempoh semalam saja..." kata Mad Piah, kawan baiknya yang selalu mengajaknya memikat pelanduk.
"Apa rahsia Abang Dom..??" tanya Ghani pula.
Mat Dom hanya tersenyum sahaja.

Tengahari itu heboh orang kampung berkatakan tentang kegagahan Mat Dom ditambahi pula dengan cerita pemuda kampung yang terlihatkan Mat Dom menggali taliair keseorangan di kala embun sedang menitik. Ramai yang percaya bahawa Mat Dom ada menaruh Hantu Raya bagi memudahkan urusan kerjanya. Patutlah sewaktu orang kampung beramai-ramai menerung membuka huma di Paya Rakit, orang kampung melihat Mat Dom menumbangkan sepohon pokok 4 pemeluk dengan sebelah tangan sahaja. Habis sahaja kerja orang kampung, sewaktu mereka melewati rumah Mat Dom di waktu senjanya, mereka melihat Mat Dom baru selesai mandi di telaga.
"Cepat Mat tiba dari Paya Rakit...!!" sapa Lebai Lela.
"Paya Rakit? Bila saya ke Paya Rakit?" tanya Mat Dom menambahkan kehairanan orang kampung. Sudah sahih mata mereka melihat Mat Dom mengunggun api di Paya Rakit. Kalau bukan Mat Dom di Paya Rakit itu, siapakah lagi gerangan yang berada di sana? Orang kampung garu kepala!!.

Begitulah ilmu yang dituntut jika membelakangkan syariat agama. Akhirnya padah yang diterima sering berlaku di saat ajal ditarik keluar dari badan. Mat Dom menderita sakaratulmaut selama 3 bulan. Dalam tempoh tiga bulan itu, dia terkedang umpama mayat hidup di tengah rumah. Tubuhnya kurus kering memperlihatkan rangka. Kulitnya hanya seperti kain nipis yang membaluti tubuh. Tiada kelihatan berisi daging sedikitpun. Yang menghairankan, matanya hanya memandang ke tengah rumah.
"Aku mahu nasi. Aku lapar!!!" jeritnya.

Lalu anak dan isterinya bergegas menanak nasi. Selesai sahaja nasi dihidangkan di hadapannya, dia bingkas menyambar periuk nasi yang mampu menampung perut sebanyak 15 orang itu dengan sekali hadap sahaja. Ternganga Tok Munik, ketua kampung melihat Mat Dom makan dengan lahap. Selesai sahaja makan, dia terkedang semula di tengah rumah.

Sehinggalah suatu hari, keadaan semakin tidak terkawal. Mat Dom melompat keluar ke halaman rumah melalui jendela dan terus melompat ke dahan pokok mempelam yang setinggi bangunan tiga tingkat itu dengan sekali lompatan sahaja. Anak cucu Mat Dom gempar dengan keadaan itu lalu bergegas ke pangkal pokok mempelam merayunya turun ke tanah. Bimbang kalau-kalau Mat Dom terjatuh.

Menyedari ada yang tidak kena dengan ayahnya, Saman anak lelakinya kemudian melaung ke arah ayahnya.
"Biarlah aku sahaja yang menerimanya, Ayah!!" kata Saman.

Sebaik sahaja Saman berkata seperti itu, tubuh Mat Dom melayang seperti bulu pelepah jatuh ke tanah. Langsung di bawa ke tengah rumah. Namun Mat Dom sudah pun mnghembuskan nafasnya yang terakhir. Seperti kebiasaannya, orang yang mempunyai dampingan Hantu Raya ini sebenarnya sudah mati dalam tempoh 2 hingga ke 3 bulan sebelum itu. Mereka kelihatan bernyawa kerana dampingan itu menyerap ke dalam tubuh mereka. Sewaktu dimandikan, segala dagingnya melurut seperti mayat reput. Baunya tidak perlu diperkatakan lagi.

Saman menerima dampingan ayahnya. Bererti Saman harus bersedia menerima nasib seperti ayahnya juga. Di peringkat awal, Saman merasakan tiada beratnya menerima saka ayahnya. Namun setelah isterinya sering membisikkan tentang kegagahannya sebagai seorang suami di malam-malam tertentu, sedang malam itu dia tidur di huma menunggu padi supaya tidak dirosakkan oleh babi hutan, dia dapat merasakan bahawa saka itulah yang telah meniduri isterinya.

Dengan pertolongan seorang pawang dari Kampar, Saman membuang saka itu di tempat di mana Hantu Raya menggantikan ayahnya menggali taliair sebelum itu. Setelah saka itu dibuang, barulah Saman dapat hidup dengan aman dan mati dalam keadaan tenang. Ada penduduk kampung bercerita, Hantu Raya milik Mat Dom itu masih boleh dilihat ke hari ini di kampung itu terutamanya di sepanjang taliair yang mengairi sawah di malam-malam tertentu. Siapa yang berhajat ingin berjumpa dengannya, dipersilakan membuat temujanji dengannya!!

16 comments:

Masy said...

mmg byk buruk dr baik bila berdamping dgn makhluk2 mcm ni. mintak dijauhkan..

Unknown said...

kalu kita kata , 'nasib baik ada ko wahai pokok..kalu tak mati aku trhumban dlm gaung.' itu pn dah kira syirik, beb.

sebut la 'alhamdulillah' kalu trselamat dr sesuatu bncana.

apa yg aku tau la, beb! yg buruk dr aku, yg baik dr Allah.

Sang Perba said...

indera
aku ada kisah hanturaya yang diceritakan oleh seorang rakan sekolah dulu...seram dan melucukan...

achik said...

org2 dulu mmg selalu ada ilmu2 camni... ada sorg artis veteran perempuan (tak ingat siapa) penah mengaku dulu dia pun ada 'ilmu'...

sebaik2nya kalau mereka ni dapat bertaubat dan buang benda2 tu sebelum meninggal dunia...

izinni said...

alhamdulillah .. saman tu ada akai. kalau tak sampai mati saka tu mengauli isteri dia. eeeiii .. nauzubillah. mintak dijauhkan.

zwitterion said...

org dulu2 suka nak membela..

blackpurple @ jowopinter said...

Alahai. Aku benar-benar menggunakan keseluruhan stamina dan momentum yang sedia berbaki ini untuk menghabiskan kedua-dua entri 'hantu' kau ini.

Cerita yang menarik dan berlandas, tapi aku tak tahu untuk mengomennya dari mana. Mungkin sebab aku agak skeptikal dengan cerita pasal hantu kot :)

Lan Rambai said...

hantuuuu... takutttt

BaYu SenJa said...

2 cerita indera ini memang bisa meremangkan bulu roma apabila bayu pulang sendirian dari cc pukul 2 pagi.. alahai :)

Namun kata seorang guru, benda ini sebenarnya takutkan manusia, tapi bila dia tahu manuisa takut padanya dia sudah bisa menguasai manusia tersebut....

Anonymous said...

cerita2 yang sebegeni memang seram dibuatnya..

apapun minta dijauhkan dari segala perkara yang tidak baik

kingbinjai said...

ko kene inform seekers ni

CerminDiri said...

agak2 lakan betul ke cerita yang ditulis tu.
Walau camne pun, memang itulah resam hidup.

banggugar said...

salam,
remang bulu roma.. aaaa.. seramnya.. terus rasa lapar (",)

Sastri said...

isk isk... baca gak sampai abis kali ni... seram...

INDERA KENCANA said...

Masy,
Sebenarnya tak ada apa faedahnya pun berdamping dengan makhluk halus ni. Mereka pun lemah juga..

En Azzam,
Kerana itu kita dianjurkan beristighfar sekurang-kurangnya 70 kali sehari. Saya kira En Azzam tentu lebih arif dari saya.

Zam,
Citer la. Bila nak citer tu?

Achik,
Artis banyak yang pakai susuk. Susuk zaman moden adalah Botox.

Izinni,
Kerana itu menurut kepercayaannya dampingan itu seharusnya dibuang secepat mungkin

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Kerana polar kehidupan masyarakat dahulu yang lebih bersuku-suku jika dibandingkan dengan masyarakat sekarang.

Bro BP,
Memang saya juga agak skeptikal tentang hal-ehwal hantu ini. Sebenarnya saya cuba mempelbagaikan bentuk penulisan.

Lan,
Weiii bang. Sejak naik pangkat ni tak hupdet blog. Wahh... jawatan sudah kanan sekarang. Takkkuuuuttt..

Bayu,
Makhluk ini sebenarnya tiada apa kelebihan mengatasi manusia. Jika manusia takutkan dia, lebihlah dia merasa riak..

Sakura,
Baca sahaja "Auzubillahi minasy syatonirrajim" banyak-banyak.

King,
Fuuuhhh!! glemer kampung aku kalau seekers datang...

hikamis,
Selamat datang. Selamat berkenalan. Tentang kesahihan cerita itu, tidak dapat dipastikan kerana sifat saya ialah tidak suka bertanya lebih lanjut dalam apa juga perkara pun. Huhuhuhuhu...

Banggugar,
Hahahahaha... jangan habiskan seperiuk nasi dah la.. Tu baru cara makan Hantu Raya. Mengamuk pulak kawan serumah bila nasi dah habis...

Sas,
Seram ke? Rasa saya langsung tak seram. Cuma jangan imagine lebih-lebih dah la...