Akhirnya Mak Andeh yang pergi membeli lembu untuk dibuat masak kenduri. Luka di kaki Pak Pandir beransur sembuh selepas dipupuk dengan pucuk Sentang setiap pagi menjelang.
"Eh, eh Andeh. Besarnya lembu tu ye..!!" kata Pak Pandir.
Setelah tiba hari kenduri, hanya Pak Pandir dan Mak Andeh sahaja yang menyembelih dan melapah lembu itu. Tidak ada bantuan orang kampung kerana mereka itu hidup berjauhan dengan orang. Akhirnya segala persiapan kenduri pun siap.
"Pak Pandir, Andeh hendak pergi ke kampung untuk menjemput orang makan kenduri. Pak Pandir pula pergilah ke kampung seberang memanggilkan Pak Imam dan juga Pak Lebai datang ke kenduri kita.." kata Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi aku tak kenal Pak Imam dan Pak Lebai tu, Andeh.."
"Oohh, begini. Pak Imam itu orang yang pakai topi putih (songkok putih). Pak Lebai pula orang yang ada janggut.." terang Mak Andeh.
Setelah Mak Andeh turun dari rumah menuju ke kampung, Pak Pandir pun bersiap-siap menuju ke kampung seberang untuk menjemput Pak Imam dan Pak Lebai datang makan kenduri. Setelah turun dari sampan, Pak Pandir tercangak-cangak di tepi tebing sungai mencari orang yang dimaksudkan oleh Mak Andeh itu.
Di hadapannya ada simpang tiga. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan terus. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Pak Imam dan Pak Lebai, fikirnya. Namun semakin Pak Pandir jauh berjalan, dia semakin mendekati kawasan belukar. Tiba-tiba terbang di hadapannya beberapa ekor Merbah Jambul yang mempunyai bulu jambul berwarna putih.
"Barangkali inilah Pak Imam itu" fikir Pak Pandir.
Burung-burung itu hinggap di sebatang dahan pokok. Pak Pandir kemudiannya menghampiri pokok itu.
"Pak Imam, Pak Imam. Andeh jemput Pak Imam makan kenduri..!!"
"Peeetttttt peeettttt... peeettttt peettttt..." burung-burung itu berbunyi.
"Eh, jangan buat ceritalah Pak Imam. Rumah kami tak sempit!!!" bantah Pak Pandir. Marah juga dia apabila "Pak Imam" itu mengatakan rumahnya sempit.
Oleh kerana burung-burung itu masih juga tidak turun mendapatkannya, Pak Pandir bertekad untuk menangkap sendiri burung-burung itu. Pak Pandir kemudiannya memanjat pokok itu dan setelah dihampiri, burung-burung itu terkejut dan terus terbang jauh. Pak Pandir tergesa-gesa turun dari pokok dan terus mengejar burung-burung itu.
Akhirnya Pak Pandir kepenatan. Burung-burung itu terbang entah ke mana.
"Nampaknya Pak Imam tak sudi nak datang makan kenduri di rumahku" fikir Pak Pandir.
Pak Pandir kemudiannya berehat di bawah sepohon pokok. Matahari semakin lama semakin tinggi. Sedang Pak Pandir berehat itu, dia terlihatkan beberapa ekor kambing yang sedang meragut di padang yang berhampiran. Melihatkan janggut Kambing Randuk yang panjang itu, Pak Pandir menyangkakan bahawa itulah Pak Lebai yang dicarinya. Pak Pandir pun menghampiri bapak randuk itu.
"Pak Lebai, Pak Lebai. Andeh panggil makan kenduri"
Kambing jantan itu masih lagi asyik meragut rumput seperti tidak mengendahkan panggilan Pak Pandir.
"Pak Lebai!!! Andeh panggil makan kenduri" jerit Pak Pandir pada kambing itu.
Kambing itu terkejut kemudian mengembek memanggil kawanannya.
"Beeekkkkk beeekkkkk..."
"Eh, Pak Lebai. Nasi rumah kami tak lembik" bantah Pak Pandir.
Melihatkan kambing itu seolah-olah tidak memperdulikan jemputannya. Pak Pandir kemudiannya mendakap kambing randuk itu kemas-kemas untuk dibawa ke rumahnya. Sudah tentu sahaja kambing itu meronta-ronta. Puas Pak Pandir mengemaskan pelukannya, namun akhirnya kambing itu terlepas juga. Yang dapat hanyalah hamis bau kambing sahaja.
Pulanglah Pak Pandir dengan perasaaan hampa.
"Pak Imam dan Pak Lebai itu sombong benar" cerita Pak Pandir pada Mak Andeh.
"Sudahlah tak sudi datang kenduri, dikatakannya pula rumah kita sempit dan nasi kita lembik, Andeh" cerita Pak Pandir.
Mak Andeh cuma terdiam kerana dari cerita Pak Pandir itu, dia tahu bahawa Pak Pandir telah berjumpa dengan kawanan burung dan kambing sahaja.
"Beginilah Pak Pandir. Pak Pandir pergi semula ke kampung seberang itu. Sampai sahaja di simpang tiga itu, Pak Pandir ambil jalan ke kanan. Jalan kanan itu akan terus ke rumah Pak Imam dan Pak Lebai" kata Mak Andeh.
Pak Pandir menurut sahaja cakap Mak Andeh. Sampai di simpang tiga itu, Pak Pandir terlupa kata Mak Andeh. Kanan atau kiri??? hatinya tertanya-tanya. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan kiri. Jalan itu membawanya ke rumah gergasi tiga beranak.
"Pak Imam, Andeh panggil makan kenduri" panggil Pak Pandir.
Gergasi-gergasi itu teramat sukacita memperolehi jemputan makan kenduri itu. Satu peluang yang tidak pernah diperolehi mereka sebelum ini. Gergasi-gergasi itu kemudiannya mengikut Pak Pandir pulang ke rumah.
"Naiklah Pak Imam. Silakan!!" jemput Pak Pandir.
Melihatkan kedatangan gergasi-gergasi itu, orang kampung bertempiran melarikan diri. Tanpa bertanggung, gergasi-gergasi itu terus menjamah hidangan kenduri dengan lahap sehingga habis nasi sekawah.
"Ya Allah!! kenapa Pak Pandir jemput gergasi-gergasi ini ke rumah kita???" cemas Mak Andeh.
"Andeh suruh aku jemput Pak Imam. Ini bukankah Pak Imam?" tanya Pak Pandir.
"Ini gergasi!!!!!" tegas Mak Andeh.
"Bagaimana Pak Pandir boleh jemput gergasi-gergasi ini?"
"Haiiii..?? bukankah Andeh suruh aku ikut jalan kiri. Aku ikutlah jalan kiri..."
"Jalan kanan!!!!!!!"
Gergasi-gergasi itu masih lagi lapar. Mereka bertempik tanda meminta lebih banyak makanan. Mak Andeh dan Pak Pandir mula ketakutan. Bimbang gergasi-gergasi itu akan memakan mereka pula. Senyap-senyap mereka keluar dari rumah dan terus melarikan diri. Sejak dari hari itu tiada lagi berita dari mereka suami isteri.
14 comments:
Akhirnya ...
cerita ini tiada penghujung juga ...
Kemanakah Indera menghilangkan diri ...???
Berkurun rasanya menantikan pengakhiran cerita ini...
Sihat kah?
Sihat Kak pB..
Cuma diulit kesibukan dengan tugas harian. Saya sempat berkunjung ke laman Kak pb, tetapi sekatan masa menghalang saya meninggalkan jejak...
Nanti saya datang ke laman Kak pB lagi ye!!
Selamat mendapat kenaikan gaji.. Kak pB dapat ke..??
Kak pB bukan kerja kerajaan.
Kerja swasta jer.
Indera pulak macam mana??
Ada pertambahan gaji dan pertambahan ahli keluarga ker??
Btw . boleh akak minta email address ...
kalau boleh, sila hantar pada email kak pB
pbpibi@yahoo.com
Saya dah antar email address pada kak pB..
Kalau kak pB tak terima email saya, saya harap Kak pB dapat memaklumkan pada saya. Tima kasih... :)
huhu.. pak pandir.. pak pandir..
pak pandir ni, tak dengar betul2 arahan tu, ataupun pelupa, tak ingat arahan... gergasi pula diajaknya... isk isk...
Lamanya tunggu bab terakhir cerita Pak Pandir ni hehehe.
Tak tau nak gelak ke, nak geleng ke. kesian Mak Andeh hehehe
Mari kita tepuk tangan ramai-ramai!
Kita ketawa sama-sama tapi jangan lupa mesej yang tersirat di sebalik cerita itu :)
rasanya cerita ni belum tamat. rasanya ada kisah p.pandir simpan garam dalam sungai. juga kisah gergasi seberang sungai dengan kerak nasi.
salam indera..
wah2 sume org dpt naik gaji ye.. bile nk belanje ni? heheh~
wahahahaha
weiii mana hang hilang?
Oh, dah habis. Saya tungu cerita baru.
Lama eh menghilang ...
Moga sihat dan damai jua.
Salam buat Indera:)
indera
log time no see ahaks...samala macam aku...aiseh cerita pak pandir pulak ...
Achik,
Huhuhuhu.. Kesian Mak Andeh.
Sas,
Memang susah dan kelam jadinya jika tidak ingin bertanya lanjut. Malah Pak Pandir ni buat-buat tahu. Padahal dia tak tahu..
Khairyn,
Maaflah, agak kesibukan bulan ini. Khairyn pulak, dah boleh terima email saya?
Bro BP,
Yeayyy... cerita dah habis. Moral dari cerita ini ialah, jangan jadi macam Pak Pandir... :))
Zie,
Cerita Pak Pandir ini sebenarnya termuat di dalam buku Hikayat Pak Pandir yang terdiri daripada berpuluh bahagian dan beratus mukasurat. Yang saya ceritakan ini hanya sebahagian sahaja. Jika saya rangkumkan semua dalam blog, rasanya sampai tahun depan baru habis kot.. :))
Masy,
Nak saya belanja? Boleh... jom kita makan ABC kat Seksyen 2 nak. ABC yang ada chocolate Topping, aiskerim, lychee dan anggur tu... Fuuhhh.. mengidam dibuatnya..
King,
Ada.. Cuma sibuk sikit bulan ni.
Salam Bunga Rampai,
Terima kasih atas kunjungan. Saya masih di sini dan sekali sekala sempat menjenguk ke laman Bunga Rampai. Cuma halangan masa membataskan saya untuk duduk berbicara. Maafkan saya.
Zam,
Engkau ibarat bayu dingin yang berhembus. Datangmu sekali sekala. Kemudian hilang entah di mana. Kedatanganmu sangat aku tunggu...
Dah settle ke kes dulu tu..??
Post a Comment