Thursday, January 24, 2008

Calon Menantu Sang Tikus

Demikian kata Fiq dalam Bukti

Dalam lembah yang gelita
Tak nampak wajah
Apatah nak ku melangkah
Merangkak pun payah



Pada suatu masa, terdapat sebuah keluarga Tikus yang mendiami sebidang tanah ladang yang sangat luas. Tikus-tikus itu tiga beranak yang terdiri daripada Bapa Tikus, Ibu Tikus dan juga anak perempuan (anak betina sebetulnya!!) mereka. Kehidupan mereka di tanah ladang itu sangat baik tanpa mengalami sebarang kekurangan makanan dan hidup mereka pun sangat bahagia.

Apabila sampai waktu dan ketikanya, anak tikus itu sudah mencecah cukup usia untuk dikahwinkan. Lalu Bapa Tikus dan Ibu Tikus mula berkira-kira tentang pilihan yang paling sesuai untuk diambil sebagai menantu.
“Memandangkan keluarga kita ini keluarga yang berada, aku fikir calon yang paling sesuai untuk dikahwinkan dengan anak kita itu mestilah seorang yang gagah dan ternama. Apa pandangan awak, Ibu Tikus..?” tanya Bapa Tikus.
“Ya, saya fikir pun begitu juga. Tapi, adakah sesiapa di hati abang yang paling sesuai menjadi menantu kita?” tanya Ibu Tikus pula.
“Aku fikir Mataharilah yang paling sesuai menjadi menantu kita kerana dia yang paling gagah dan termasyhur di alam ini”
“Tiadakah bangsa Tikus yang sesuai untuk anak kita itu abang?” tanya Ibu Tikus
“Huhhh..?? Bangsa Tikus?. Bangsa Tikus adalah bangsa yang lemah. Aku malu dilahirkan sebagai seekor Tikus”
“Menantu kita harus seorang yang ternama. Ini bakal mengangkat martabat kita” tambah Bapa Tikus lagi.
“Benar kata Bapa Tikus itu” kata Ibu Tikus.
“Kalau begitu ada baiknya kita meminang Matahari itu untuk anak kita pada esok hari” usul Bapa Tikus. Ibu Tikus hanya menganggukkan kepalanya sahaja.

Keesokan harinya, sebaik sahaja Matahari memancarkan sinarnya di ufuk timur, Bapa Tikus dan Ibu Tikus keluar ke tengah ladang menyapa Matahari yang sedang mendaki naik.
“Wahai Tuan Matahari. Saya ini mempunyai hajat besar ingin disampaikan kepada tuan” sapa Bapa Tikus dengan hormat.
“Apakah hajatnya itu, Bapak. Katakanlah sahaja” jawab Matahari sambil tersenyum.
“Saya ini berhajat besar untuk mengambil tuan sebagai menantu untuk dikahwinkan dengan anak perempuan saya”
“Kenapakah Bapak memilih saya sebagai menantu. Kenapa Bapak tidak memilih menantu di kalangan bangsa Bapak sendiri?” tanya Matahari kehairanan
“Errr… sebenarnya, kalau boleh saya inginkan menantu saya itu seorang yang gagah. Bukan lemah seperti seekor tikus” terang Bapa Tikus.
“Oh, begitu maksud Bapak. Tetapi sekiranya Bapak ingin mencari calon menantu yang gagah, saya bukanlah orang yang paling cocok buat anak Bapak. Ada jauh yang lebih gagah dari saya” kata Matahari
“Siapa?” tanya Bapa Tikus tidak sabar.
“Sang Awan. Dialah lebih gagah dari saya. Sekiranya dia menghampiri saya, sinar pancaran saya tidak sirna lagi bahkan mendung terus-terusan sehinggalah dia berlalu pergi” jawab Sang Matahari.


Lalu Bapa Tikus dan Ibu Tikus meninggalkan Matahari setelah pamitan. Mereka mendaki gunung lalu menyapa Sang Awan yang sedang berarak gemalai.
“Wahai Sang Awan. Saya ini datang membawa hajat besar” kata Bapa Tikus.
“Hajat apakah itu Bapak. Katakanlah, biar saya mendengarnya” jawab Sang Awan.
“Ada pun saya datang ini adalah ingin mengambil tuan menjadi menantu saya. Saya ingin kahwinkan tuan dengan anak perempuan saya” kata Bapa Tikus sambil mengerling Ibu Tikus yang duduk di sisinya. Ibu Tikus hanya menganggukkan kepalanya tanda membenarkan kata-kata suaminya.
“Oh begitu. Saya suka mendengar cadangan Bapak itu. Tetapi bolehkah saya tahu kenapa Bapak tidak mahu menjodohkan anak Bapak itu dengan lelaki sebangsa dengan Bapak?” tanya Sang Awan.
“Huhh… saya tidak mahu mengambil lelaki Tikus menjadi menantu saya kerana bangsa Tikus semua lemah-lemah belaka. Saya mahukan menantu saya itu seorang yang kuat, gagah dan ternama seperti tuan ini”
Awan terkesima mendengar kata-kata itu.
“Bapak, saya ini bukanlah seorang yang gagah seperti yang Bapak sangkakan. Ada yang jauh lebih gagah daripada saya” kata Sang Awan.
“Siapa?”
“Angin. Dialah jauh lebih gagah daripada saya. Sekiranya datang Angin berhembus, akan pecah berkecailah badan saya ditiup ke sana dan ke mari”

Langsung Bapak Tikus dan Ibu Tikus meninggalkan Sang Awan setelah mengucapkan pamitan. Mereka ke padang yang luas menyapa Sang Angin yang sedang enak berlari-larian.
“Oh, Angin. Saya ini datang membawa hajat besar” sapa Bapa Tikus
Sang Angin terhenti dari lariannya lantas menyahut sapaan Bapa Tikus itu.
“Ada apakah hajat Bapak datang ke mari?” tanya Sang Angin
(Sewaktu menulis ini, telinga saya terngiang-ngiang lagu Anuar Zain, Lelaki Ini. Dan ke mana pun arah anginku berlari….. hehehehehehe)
“Saya datang membawa hajat untuk mengambil tuan menjadi menantu saya. Hajat saya itu adalah untuk mengahwinkan tuan dengan anak perempuan saya..”
“Oh, begitu… saya amat berbesar hati dengan saranan Bapak itu. Tetapi kenapa Bapak tidak mengahwinkan anak perempuan Bapak dengan lelaki yang sebangsa dengan Bapak sendiri?” tanya Sang Angin.
“Kerana bangsa saya itu bangsa yang lemah. Tidak sepadan dengan keluarga kami yang berada” jawab Bapa Tikus dengan sombong.
“Jadi Bapak mendamba menantu yang gagah, begitu?” tanya Sang Angin sambil tersenyum.
“Begitulah” jawab Bapa Tikus dalam suara yang lirih.
“Jika begitu maksud kata Bapak, saya ini bukanlah calon yang cocok buat anak Bapak. Ada orang yang jauh lebih gagah dari saya” kata Sang Angin.
“Siapa?” tanya Bapa Tikus.
“Patung Kayu yang terletak berhampiran dengan rumah Bapak itu lebih gagah dari saya. Sekian lama saya berhembus menumbangkan pokok dan mencipta ombak yang menggulung. Namun saya tidak terdaya sama sekali menjatuhkan Patung Kayu itu. Berdirinya terlalu gagah. Tidak mampu ditolak oleh saya” terang Sang Angin.

Pasangan Tikus itu kemudiannya pulang ke ladang yang besar ini membawa hajat bertemu dengan Patung Kayu.
“Hai Patung Kayu. Kami datang ini membawa hajat” sapa Bapa Tikus.
“Apakah hajat Bapak itu. Cubalah Bapak katakan supaya dapat saya mendengarnya” jawab Patung Kayu itu dengan ramah.
“Saya datang ini adalah untuk mengambil tuan sebagai calon menantu saya. Saya mahu kahwinkan tuan dengan anak perempuan saya yang sudah pun cukup umur” kata Bapa Tikus.
Oh, begitu…” jawab Patung Kayu dengan tersenyum simpul.
“Saya setuju” jawab Patung Kayu lagi.
“Tetapi kenapa saya yang Bapak pilih?” tanya Patung Kayu.
“Kerana menurut Sang Angin, anak ini seorang yang gagah. Lebih gagah darinya sendiri. Tidak seperti bangsa saya itu yang terlalu lemah dan kerdil. Saya mahu menantu saya itu seorang yang gagah, kuat dan ternama. Barulah sepadan dengan keluarga kami yang berada ini” terang Bapa Tikus.
“Tetapi bangsa Tikus juga bangsa yang gagah!!” kata Patung Kayu.
“Mana mungkin. Saya tidak percaya. Mana mungkin bangsa saya dapat mengalahkan tuan yang gagah ini” kata Bapa Tikus pula.
“Benar Bapak. Bapak lihatlah kebenarannya dalam diri Bapak. Betapa bangsa Bapak juga bangsa yang gagah. Hakikatnya, saya sendiri menunggu hari untuk tumbang setelah diumpil oleh bangsa Bapak”
“Hah???” Bapa Tikus pusing kepala.
“Di antara kedua kaki saya ini ada sarang Tikus. Sekian lama Tikus itu bersarang dan mengumpil kaki saya. Dia jauh lebih gagah dari saya. Dipersilakan Bapak bertemu dengannya.

Bapa Tikus sukar mencerna kebenaran itu. Juga tentang rasa malu yang tidak terhingga karena memperkecilkan keupayaan bangsanya sendiri. Akhirnya Bapa Tikus tidak punya pilihan selain daripada masuk ke lubang itu lantas bertemu dengan jejaka yang mendiami sarang itu. Memang jejaka itu sangat cocok dengan anaknya. Lantas perkahwinan diatur dan hiduplah mereka dengan aman damai sesudah itu.

12 comments:

khairyn said...

oh oh

nak kawen dengan bangsa angkasa boleh tak?
hahaha

apa khabar indera?

hakim dirani said...

Wah, abang Indera, rindu entri tebaru.

Saya suka cerita ini, banyak pengajaran. saya rasa ada juga kata-kata arab yang sebegini maksudnya.

Sastri said...

cerita ini sas pernah baca masa kecil2 dahulu... cerita rakyat Korea atau negara Asia mana ek... tapi yang pasti, cerita rakyat... mak dan ayah selalu belikan buku2 cerita rakyat negara2 Asia masa sas 7-8 tahun dulu... mana ek sas simpan buku2nya... harap2 masih ada...

kingbinjai said...

hehehehe

achik said...

salam en indera..

menarik.. :)

Achik_Sufi said...

cerita yang terpapar memang enarik...teruskan perjuangan dalam menampilkan cerita-cerita sebegini...

HAPPYIRFA said...

SALAM INDERA..
sian bapak tikus.penat ke hulu ke hilir cari bakal menantu..rupanya di depan mata..

asr said...

Ahak... ni cerita rakyat untuk mak bapak budak ya?

Bunga Rampai said...

Salam di angin lalu Indera,

Terima kasih cerita ini :-)

Moga sihat walafiat sekeluarga.

Masy said...

sy sudah tentu akan kawen dgn bangsa manusia :D

Unknown said...

wah beshnya cerita2 neh.. mengisi masa lapang saya.. ilang boringg sekejap :P

INDERA KENCANA said...

Khairyn,
Bangsa angkasa...?? Kata nak kawen dgn Oliver Kahn..?? Hehehehehehe.. jangan marah khairyn. Gurau je.
Saya sihat cuma loan tak lulus lagi. Mungkin terpaksa lupakan hajat...

Hakim,
Cerita dari Arab ke ni..?? Saya ada banyak koleksi cerita. Cuma tak tau asalnya saja..

Sas,
Dulu banyak... Macam-macam. Cerita-cerita rakyat mengikut tempat. Cerita-cerita Rakyat Arab, Cerita-cerita Rakyat China, Cerita-cerita Rakyat Poland... macam macam. Sekarang buku tu suma dah tak jumpa dah. Last sekali saya tengok buku tu tahun 1987 di Mubarak Book Store kat Ipoh.

King,
Hehehehehe...

Achik,
Tertarik..?? Kau memang D'Booomm..??
(Gurau je..)

Achik sufi,
Terima kasih atas sokongan Achik Sufi. Kalu ada yang suka, saya akan himpunkan kisah rakyat yang pernah saya baca dulu dalam blog ni..

Irfa,
Ni yang oghang dok kata "Pi mai, pi mai.. dok tang tu gak"

Azam,
Peringatan untuk kita nak cari calon menantu. Moralnya, "Jangan cari tikus buat menantu. Banyak manusia lagi dalam dunia ni. Kenapa tikus pulak yang dibuat menantu"

Bunga Rampai,
Laman Indera ceria menyambut haruman Bunga Rampai..
Sama-sama. Moga Bunga Rampai juga beroleh ceria dan gembira di sisi keluargamu...

Masy,
Mesti la.
Dengan mamak tu kan..??
Sian mamak tu, tak leh nak mandrem Masy lagi sejak Masy pindah opis..
(Gurau je)
(Kalau betul apa salahnya.. kan?) :P

Linda,
Keje ok..?
Masyem ok..?