Monday, June 23, 2008

Menyusuri Laluan Gelap

Saya keluar dari pintu rumah Beh dan Mak Uda Zaidah dengan perasaan yang bercampur baur. Tetapi saya dapat merasakan ada sinar memandu saya di hadapan walaupun saya tidak pasti samada jalan yang bakalan dilalui itu nanti lurus atau berbengkang-bengkok. Beh menepuk belakang saya berkali-kali. Cuba menyalurkan semangat waja yang dimilikinya selama ini ke dasar hati saya. Saya pandang Mak. Dari sinar mata Mak, jelas kelihatannya Mak sangat risau.


Sewaktu berjalan ke kereta, saya meneliti betapa daifnya kereta saya. Tidak seperti hari pertama saya membelinya dahulu. Hmmmmmm... entahlah. Saya pun tidak tahu apa yang harus saya perbuat. Jikalah saya punya banyak pilihan.... Hahahahahaha.. semua itu hanya berpegang pada perkataan "jika".
"Kalau kamu sanggup, bulan 7 ni dah boleh mulalah. Mula-mula tanah tu kena plow. Lepas tu baru boleh rotor. Alah.. Beh rasa kamu pun tahu. Kamu dulu bukankah dalam bidang lanskap..??" kata Beh dengan senyum lebar.
Saya mengangguk lemah.
"Kenapa? takut?" tanya Beh.
Saya mengangguk lagi.
"Insya-Allah kamu boleh berjaya!!" kata Beh.

Saya menghidupkan enjin kereta. Siri Aufa sedang mengunyah gula-gula sambil melambai-lambaikan tangannya pada Ain Syam, anak Kak Yang Nani yang sudah masuk darjah satu. Sebaik Mak masuk sahaja ke dalam kereta, saya segera melarikan Mak balik ke rumahnya.
"Kamu dah nekad?" tanya Mak.
"Ya"
"Entah. Mak ikut aje... Kalau itu jalan yang kamu pilih" kata Mak
"Beh kata, semua peralatan macam water sprinkler dan water pump, dia bagi saya guna dulu. Jadi tak payahlah saya nak susah-susah nak mengangkat air nanti" kata saya.
"Ikut kamulah. Mak pun dah tak tau nak cakap apa. Memang hidup sekarang ni sukar"

Memang hidup sekarang sukar. Tidak seperti dulu. Dengan harga minyak melambung naik, dengan tekanan inflasi yang menyebabkan harga barang kian meningkat tanpa ada sokongan kenaikan dalam kadar upah menyebabkan nilaian ringgit yang saya terima terlalu kecil nilainya. Wang ringgit saya saban bulan yang diterima hanya habis di jalanraya. Minyak sahaja sudah menagih RM30.00 sehari. Itu belum lagi Tol menunggu panggunya. Menjelang sahaja Jumaat, terpaksa pulang ke Perak kerana anak dan isteri saya berada di sana.

Saya meneliti surat yang sudah siap dikarang sejak semalam lagi. Saya tahu surat ini akan mengundang banyak persoalan untuk saya jawab sebaik sahaja saya ajukannya ke perhatian pihak pengurusan nanti. Saya tidak punya sebarang alasan. Dan saya tidak mahu bersiap dengan apa jua alasan pun. Saya hanya akan berdiam diri jika ditanya. Ada tidak pun saya akan berkata, "Rezeki saya sudah sampai di sini. Saya ucapkan selamat maju jaya pada syarikat ini".

Titik. Tiada sebarang alasan. Tiada sebarang pertikaian dan bertikam lidah. Saya cuma perlu keluar dari syarikat ini dengan nama baik. Dengan cara yang sangat terhormat.

Saya akan menyerahkan surat perletakan jawatan itu pada hari Jumaat ini. Setelah itu saya masih punya masa sebulan lagi untuk saya menyelesaikan segala tugasan saya yang tertunggak. Setelah menjelangnya bulan Ogos nanti, saya akan bergelar anak kampung semula. Mengusahakan tanah milik Mak saya yang sekangkang kera itu. Cukuplah pengalaman saya selama 16 tahun 7 bulan saya berada di Lembah Kelang ini. Sudah cukup saya merasa pahit manis sepak terajangnya.

Saya pasrah pada ketentuan dan juga rezeki kurniaan Allah. Bahawa rezeki yang diperolehi oleh setiap manusia itu tidak sama. Bukan saya tidak mencuba. Malah sudah pelbagai usaha dilakukan. Namun masih juga begitu keadaan nasib saya. Saya cuba untuk menyambung pelajaran saya. Usaha saya tertahan oleh berbagai halangan. Saya cuba mencari pekerjaan lain. Dalam ribuan permohonan dihantar, dalam ratusan temuduga yang dihadiri, namun tiada satu pun pekerjaan yang saya berjaya perolehi melainkan terpaksa tunggu dan menunggu di tempat kerja ini.

Saya telah sandarkan segala kesabaran yang ada. Kesabaran itu masih bertahan. Tidak pernahnya pecah. Tetapi tekanan hidup dan tanggungjawab saya selaku seorang anak, suami dan seorang ayah harus saya utamakan dahulu. Kerana itu saya mengambil keputusan drastik ini walau banyak pihak yang terkejut dengan keputusan ini.

Azah hanya mendiamkan diri. Saya tahu dia takut, gentar dan merasa ketidakpastian pada masa depan kami. Saya juga begitu. Mungkin gerak rasa saya sebagai lelaki menyebabkan kebimbangan itu tidak terlalu sirna di wajah saya.

Jika Layangan Indera ini berhabuk dan bersawang nanti, itu tandanya saya sukar untuk menulis perkembangan terbaru lantaran jadual waktu dan sumber kewangan saya yang tidak menentu. Walau bagaimanapun, pada setiap persahabatan kita yang telah terbina erat di laman ini, akan saya kenang sampai mati. Semoga persahabatan kita terjalin erat sampai bila-bila... Sampai waktu dan ketika, saya terpaksa berundur juga!!

13 comments:

Masy said...

alahai indera.. rupanya akan meninggalkan kami. harap2 kita tetap masih bersahabat, dan andai ada masa sy harap indera dpt juga luangkannya sedikit utk menjengah 'rumah' sy :)

go go chaiyok indera! *lap airmata huhu*

KAMATO said...

Apa pun keputusan Indera, semoga berjaya

fajar said...

Salam Indera,

Terkedu saya membaca coretan ini. Ada rasa sedih terselinap di hati. Barangkali apabila mengetahui situasi sebenar yang dilalui. Namun begitu, saya akan selalu mendoakan agar kebahagiaan dan kejayaan akan mengiringi hidupmu sekeluarga. Insya Allah.

Rezeki Allah terbentang luas buat kita.

Semoga kita akan tetap selalu berkirim khabar.

achik said...

alahai.. rasa sedih pulak baca n3 ni.. huhuhu..

saya doakan yang baik2 untuk en indera sekeluarga.. semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki..

salam..

pB said...

apa apa , call kak pB

dan paling penting

jangan ditukar no hP Indera itu


hi hi

Su Rahim said...

Salam Indera...semoga berjaya saya ucapkan. Semoga Allah murahkan rezeki Indera sekeluarga. Remember, "our greatest glory is not in never falling, but in rising everytime we fall". Khabar2kanlah perusahaan Indera itu. Mana tahu, ada rezeki, bolehlah kami menziarah...

Sastri said...

salam Indera... dalam keadaan sekarang, memang banyak yang merasa tekanannya... saya doakan yang terbaik untuk Indera... saya yakin, berkat usaha Indera, pasti segalanya akan kembali normal...

zwitterion said...

sudah lama tidak ke sini..apa jua jalan yg dipilih.moga segalanya dipermudahkan..

asr said...

Kami doakan semoga berhasil... insyaAllah. Amin.

kingbinjai said...

dude... kalau boleh jangan berundur

INDERA KENCANA said...

Masy,
Jangan lupa utang ABC coklat dan ciskek sikret resipi tu... awak janji ngan saya, nak belanja saya, kan?

Abang Kamato,
Saya pon nak tuntut karipap dan roti canai special tu, boleh?

Fajar,
Apa yang sudah terjadi..?? Andainya terlalu berat untuk dikhabarkan, memadai saja kita saling berutus berita... Moga tabah, ya!!

Achik,
Tima kasih Achik... err pegi keje naik motor lagi..??

Sue,
Tima kasih atas kata-kata hikmat itu. Sampaikan salam saya pada Shahrul. Kenapa lama tak update blog?

Sas,
Moga Sas juga sentiasa bahagia dengan insan yang dicintai... masih pemalu lagi ke dia tu?

Zam,
Naper lama tak update blog..?? Haii kenyang makan pasembor sampai lama tak update blog....
Nanti aku sms ko...

King,
Dude... ko senang turun NZ tak..?? ni tepon aku 019 - 4500040. Nomor lama tu dah confirm hancus tak leh pakai..

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Nomor hp saya ni akan saya kekalkan Insya-Allah. Insya-Allah juga kita akan berpeluang jumpa sebab saya memang nak ke Puchong carik lampu... sebelah Tesco Puchong kedai dia, Kak ek?

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Oh ... sayu sekali membaca entri ini.

Apa pun keputusan yang dipilih, saya doakan semoga Indera berjaya. Jangan risau, rezekiNya tetap ada untuk setiap kita. Kita hanya perlu mencarinya bersama usaha dan doa yang tidak putus-putus. Selebihnya urusan Dia.

Jauh di mata, dekat di hati walau tidak pernah bersua wajah. Jengok-jengoklah kami di alam maya andai ada peluang.

Doa saya mengiringi untuk kesejahteraan Indera sekeluarga. Wassalam.