Wednesday, June 11, 2008

Renungan Ayah (Selamat Hari Bapa)

Setiapkali saya berkunjung ke rumah Mak, untuk menjenguk dan bertanyakan khabar Mak, pastinya saya akan melewati deretan kedai di mana Apak membuka kedai kopinya. Biasanya saya akan dapat melihat kelibatnya sibuk melayani pelanggan yang datang ataupun pada waktu-waktu tertentu kelihatan Apak hanya duduk termenung memandang jauh. Hmmmmm… entah kenapa hati saya merasakan agak sukar untuk saya memberhentikan kereta, datang mendekatinya dan seterusnya bertanyakan khabarnya.

Saya adalah anak yang kelima dari 7 orang adik beradik. Saya punya dua orang abang, dua orang kakak dan dua orang adik – seorang lelaki dan seorang perempuan. Dari segi kedudukan di dalam keluarga, saya letaknya betul-betul di tengah-tengah susunan itu. Barangkali mungkin juga kedudukan itu menyebabkan saya sering merasa tersisih dan tidak diperlukan.

Orang tua-tua ada berkata, jika anak perempuan mengikut roman bapanya, manakala jika anak lelaki menurut roman ibunya, bererti perhubungan antara anak dan ibubapa itu sejuk. Maksud sejuk itu adalah tamsilan kepada hubungan yang erat. Namun bagaimana pula sekiranya jika anak lelaki itu benar-benar seperti ayahnya?

Entahlah… saya tidak tahu!! Tetapi semua orang mengatakan sejak sedari saya kecil hinggalah sudah memasuki usia dewasa ini, saya membawa roman ayah saya yang sangat nyata. Saya membelek-belek diri saya di cermin. Benarlah kata mereka itu. Saya betul-betul serupa dengan ayah saya. Rambut saya, roman wajah saya, bentuk fizikal saya dan… Ya Tuhan, renungan mata saya!!!.

Renungan mata saya persis renungan mata ayah saya. Lantas membuatkan saya takut melihat renungan itu. Renungan mata yang sama yang diwarisi oleh Siri Aufa.

Renungan mata itulah yang sering menakutkan saya ketika saya kecil dahulu. Dan kini, saya mencari pengikhtirafan di sebalik renungan itu yang selama ini sering membuatkan hati kecil saya merasa jauh hati dan tersinggung.

Sewaktu saya kecil, seingat saya, tidak pernah ayah saya memeluk dan mencium saya. Tidak pernah keluar kata-kata perangsang setiapkali saya mendapat tempat pertama di dalam peperiksaan. Apak selalu sibuk dengan kerjayanya sebagai guru di waktu pagi dan di waktu petangnya, sesudah menikmati juadah tengahari, Apak akan ke kedai (dulu ayah saya membuka kedai menjual alat tulis) sehingga santak malam.

Apak hanya akan pulang jika dia ingin berehat dan juga makan malam. Selebihnya masa Apak akan dihabiskan bersama kawan-kawannya yang tidak jemu-jemu mengunjungi kedai kopi Pak Usop yang letaknya di sebelah kedai Apak.

Jika Apak pulang, dia akan merengus dan marah-marah. Tiada istilah bermanja dengan Apak. Jika kebetulan kami berkelahi sesama adik beradik sewaktu Apak pulang ke rumah, pastinya kesakitan bergasak dan bergumpal itu akan ditambahi dengan keperitan hayunan rotan dan tali pinggang Apak.

Setiapkali saya dirotan oleh Apak, Apak bagaikan hilang akal menghayun rotan sekuat hati kerana sayalah satu-satu anaknya yang berani menentang pandangan matanya sewaktu dipukul. Perhubungan antara saya dengan Apak sangat hambar. Tiada gurau senda, tiada tawa ceria. Masing-masing membawa haluan sendiri.

Saya akan cuba mengelak dari duduk semeja dengan Apak di meja makan. Sedari kecil, apabila Apak di meja makan, saya lebih suka mengisi nasi di pinggan dan menikmatinya bersendirian di hadapan kaca television. Seorang guru saya pernah berkata, “Jika anak itu sering makan semeja dengan ayahnya, pasti perangainya juga saling tidak tumpah seperti ayahnya”.

Saya membelek-belek lagi kata-kata itu dalam diri saya. Benarlah kata-kata itu… dalam diri saya, tiada perangai dan kesukaan ayah saya melainkan sikap panas barannya yang saya warisi secara genetik, barangkali. Perangai dan kesukaan saya banyak dibentuk oleh kawan-kawan saya memandangkan saya telah hidup berasingan dari keluarga saya sejak saya di bangku sekolah menengah lagi. Saya dan Apak tidak ada satu yang mempertemukan kami di titik tengahnya.

Kekecewaan saya pada Apak bertambah-tambah apabila pengajian saya ditaja terus oleh Mak. Meminta wang ringgitnya, samalah seperti meminta sedekah. Yang ada hanya kata-kata yang keras bahawa dia tiada duit ataupun jika memberi, langsung tiada kemanisan di wajah itu. Pasti ada sahaja perkara yang membuatkan saya dan Apak bersengketa. Walaupun saya tidak pernah mengangkat suara di hadapannya, namun ketidaksefahaman antara kami membuatkan saya dan Apak semakin renggang lantas semakin jauh.

Saya cuba memenangi hatinya. Saya belajar bersungguh-sungguh sehingga saya berjaya menjadi anak Mak dan Apak yang pertama menerima ijazah. Saya cuba bersungguh-sungguh menawan hatinya dengan segala ramah-tamah tetapi hati Apak terlalu mahal harganya. Seolah-olah di dalam hatinya saya ini tidak wujud. Yang dilihatnya hanya abang-abang, kakak-kakak, dan adik-adik saya. Jika dia inginkan pertolongan, tidak pernah dia memintanya daripada saya. Tetapi abang saya yang lebih dekat di matanya. Jadi di mana saya di hatinya? Saya memandang lagi ke dalam matanya. Tetapi mata tua itu kini sudah enggan menentang renungan mata saya. Renungan itu akan mengelak dari tikaman mata saya seolah-olah berkata, Aku telah membesarkan engkau, memberi engkau pendidikan yang secukupnya. Maka sudah tertunailah tanggungjawab aku..

Ogos 2004, Apak dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Besar Ipoh. Kami adik beradik bergegas pulang melihat keadaannya. Di dalam keadaan antara sedar dan tidak, suara lirihnya menyebut nama abang saya. Saya tahu di saat itu bukan masa yang sesuai untuk saya memikirkan tentang pertandingan merebut hati Apak, tetapi saya gagal mengawal air mata saya bila Apak langsung tidak bertanya tentang saya setelah dia sedar. Hanya adik beradik saya yang disebutnya. Saya memeluk Mak, cuba mencari secebis tempat perlindungan pada kasih sayang Mak buat penyembuh duka lara saya bila saya gagal mendapatkannya dari Apak. Untuk membuktikan pada Apak betapa tingginya kasih sayang saya kepadanya, saya mengambil cuti menunggunya sepanjang dia berada di hospital.


Tetapi hati saya terluka buat sekian kalinya apabila sepanjang mendapatkan rawatan susulan di Institut Jantung Negara, dia tidak pernah menghubungi saya. Walhal saya ini berada di Kuala Lumpur. Kenapa saya tidak dimaklumkan? Jika saya tahu dia di Kuala Lumpur, saya pingin untuk berbakti pada dirinya. Menyediakan tempat tinggal ataupun juadah yang sedikit istimewa setidak-tidaknya. Namun hati Apak bagaikan beku.. Dan saya pula yang terbakar di dalam kesedihan.

Saya ingin benar bertanya kepada seorang ayah yang benama Muhammad Suria itu, apakah di dalam hatinya saya ini tidak wujud?. Sepertinya yang pernah dibicarakan oleh Masy, ada masanya kita terhenti di pertengahan jalan apabila naluri kita seakan tahu akan jawapannya. Jawapan yang mungkin akan menghancur-remukkan hati saya. Makanya saya lebih rela berada di dalam ketidakpastian. Sekurang-kurangnya ketidakpastian itu juga satu jawapan.

Saya tahu Apak tidak akan membaca blog saya ini. Tetapi apa yang saya ingin katakan padanya ialah walau sebanyak mana pun usia saya, saya tetap seorang kanak-kanak yang inginkan belaian kasih sayang dari ayahnya. Saya tidak tahu siapakah yang bersalah di dalam hal ini. Saya atau Apak? Saya tidak ingin memikirkan tentang kemungkinan Apak membenci saya atas kesalahan yang saya tidak sedari, saya telah melakukannya sehingga membuatkan hati Apak terguris. Tetapi saya salahkan diri saya kerana saya tidak cukup usaha untuk cuba memenangi hati Apak. Jika kerana hidup saya yang susah tidak seperti abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik saya membuatkan Apak membenci saya, saya pohon ampun dan maaf. Segala itu bukan kehendak saya.

Kasih sayang saya pada Apak terlalu besar. Tiada apa yang dapat memutuskan ikatan antara kita di dunia sampai akhirat. Tidak putus doa saya agar Apak senantiasa diampunkan segala dosa dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba Allah yang soleh. Di Hari Bapa ini, saya mengharapkan ada kesempatan untuk kita bertaut di bawah naungan anugerah tuhan. Sesuatu yang agung yang bernama kasih sayang. Selamat hari bapa buat Ayahandaku Muhammad Suria Bin Sutan Ali. Selamat Hari Bapa.

Ayah dan Ibu
Itulah permulaan kami
Dapat melihat bulan dan matahari
Ahai…


Yang dikurniakan
Dari Ilahi ahai…
Ayah dan ibulah mesti dihormati


Ayah dan Ibu
Wali dan juga keramat
Pada mereka kita beri hormat
Ahai…
Bagilah petunjuk dan nasihat
Supaya hidup
Supaya hidup akan selamat


Ayah dan Ibu..

12 comments:

Masy said...

sedihnya :(

bila dibaca sy sndiri pun tak pasti apa yg membuatkan Apak dingin dgn Indera. adakah dia begitu kerana Indera mewarisi sifatnya yg 'garang-garang' itu? mungkin dia sndiri tak suka dgn sifatnya begitu, dan melihat anak sndiri mewarisinya mungkin menambah sakit hatinya.

apapun Indera masih ada anak-anak. sesekali gunakan anak2 Indera utk merapatkan hubungan Indera dgn apak. caranya? ermmm....~

Indera sendiri tau kot caranya..

ooohh.. sebelum terlupa, Selamat Hari Bapa utk Indera juga. rasanya sbb pengalaman yg sebegitulah, Indera menjadi bapa yg penyayang sekarang kan?

indera kencana said...

Masy,
Ada seorang yang pernah menjadi sahabat saya, abang saya dan guru saya pernah berkata, "Kelak nanti engkau boleh jadi antara dua. Samada engkau menjadi bapa yang terlalu sukar merotan anak kerana engkau pernah punya pengalaman buruk dan engkau tahu rotan itu sakit atau.... engkau menjadi bapa yang garang sama seperti ayah engkau kerana engkau mengambil kesempatan melepaskan kemarahan pada anak-anak engkau. Engkau pilih, mana engkau nak jadi?

Saya memilih untuk menjadi yang pertama...

fajar said...

dear indera,

hati saya begitu tersentuh membaca entri ini. mahu saja saya katakan sesuatu. tetapi, tak sesuai diungkap di dalam ruangan ini.

membaca kisah indera, bagaikan melihat satu cerita yang sama (dalam hidup saya). bezanya, mungkin saya telah berjaya menambat hati ayah saya, tanpa disedari.

apapun, harap tabah dan sabar melaluinya. sungguh, saya faham rasa itu. luka. rawat dia perlahan-lahan. mohon pada-Nya, agar hati ayah indera terbuka. barangkali, dia cukup sayang, tapi tak mampu dizahirkan

fajar said...

saya pun mewarisi sesuatu dari ayah saya: baran.

betapa sukarnya membuang sifat ini.

asr said...

Selamat Hari Bapa... moga yg terbaik sahaja yg kembali pada kau. Amin.

KAMATO said...

Zahir nya begitu, tapi hatinya tentu mulia

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Layangan Indera kali ini penuh emosi, dan hati saya amat tersentuh.

Sabar melaluinya. Walau yang telah dilalui itu perit, teruskan mencurah kasih kepada ayah. Ganjarannya tetap ada dariNya, insyaAllah.

Doa saya - semoga yang baik-baik saja untuk Indera dan ayah Indera.

Selamat Hari Bapa Indera Kencana :)

achik said...

salam en indera..

orang kata kalau anak lelaki ikut muka ayah, atau anak perempuan ikut muka emak, panas..

adik saya pun lebih kurang sama cam en indera.. dulu2 dia slalu je panas ngan arwah bapak saya.. ada je benda tak kena kalau jumpa..
masa dia kecik tak perasan sgt, skang ni muka, rambut, perangai dia sebijik sejebon ngan arwah bapak saya.. agaknya pasal tu la diorang panas memanjang..

saya rasa, ayah zaman dulu memang susah nak tunjukkan kasih sayang kat anak.. saya sendiri tak ingat bila arwah bapak saya penah peluk saya.. :(

saya juga doakan yang terbaik utk en indera dan apak en indera..

selamat hari bapa.. :)

Sastri said...

tersentuh membaca entri ni... semoga Indera dan apak akan kembali mesra dan rapat... sas tak tau camana caranya sebab sas memang anak ayah... apapun sas doakan yang terbaik buat Indera dan apak...

Izariza said...

Salam,

Maafkan saya .. masa terlalu cemburu lalu tidak mengizinkan saya membaca setiap patah kata dalam entri ini .. namun gambar-gambar itu menarik sekali dan mendalam maknanya.

Selamat Hari Bapa buat Indera. :)

kingbinjai said...

selamat hari bapa semoga sentiasa tabah

indera kencana said...

Fajar,
Wahhh... beruntungnya Fajar bila dapat memenangi hati ayah. Saya percaya, dengan kejayaan Fajar akan menambahkan rasa bangga ayah pada Fajar.
Ya... kita sama-sama baran :b

Azam,
Selamat Hari Bapa... moga yang terbaik juga untuk engkau kerana engkau memang yang terbaik (engkau tahu maksud aku kan?)

Abang Kamato,
Ya, saya kira begitu. Jika tidak kerana kasih sayangnya, tidak saya membesar seperti begini...

Bunga Rampai,
Terima kasih atas doa Bunga Rampai itu. Sungguh saya amat menghargainya...

Achik,
Ayah dulu-dulu memang kebanyakannya garang-garang. Kenapa yang menjadikan begitu, saya pun tidak faham...

Sas,
Memang dari tulisan-tulisan Sas pun saya dah duga yang Sas ni anak ayah. Selamat Hari Bapa untuk ayah Sas... Terima kasih juga atas doa Sas itu..

Puan Iza,
Selamat menempuh cabaran PhD... moga sentiasa berjaya. Kunjungan Iza pun sudah cukup bermakna untuk saya..

King,
Moga enkau juga sentiasa tabah, king. Semoga persahabatan kita akan terus berkekalan. Selamat Hari Bapa...