Wednesday, December 10, 2008

Langit petang lewat bulan Disember...


Saya berteleku di hadapan komputer. Memerhatikan paparan skrin komputer yang melimpah dengan cahaya. Mata saya asyik dengan nombor-nombor yang mengisi penyata kewangan syarikat.
“Engkau tahu, siapakah yang mula-mula meletakkan jawatan kalau syarikat dalam keadaan masalah?” tanya Encik Zuhairi, boss saya sewaktu saya menghantarkan penyata belanjawan modal sebuah koperasi pertengahan tahun lepas.

Saya cuma tersenyum.
“Senyum pulak dia… kamu tahukah jawapannya?” tanyanya lagi.
“Akauntan” jawab saya ringkas.

Encik Zuhairi ketawa terbahak-bahak.
“Harap-harap syarikat ni takkan ada masalahlah, ya Indera!!. Kalau ada masalah pun, aku percaya yang engkau takkan terburu-buru untuk tinggalkan syarikat ni”
“Harap-harapnya macam itulah, encik” jawab saya.

Di luar, langit mendung sarat mengandung hujan. Kilat sesekali menyambar dan meninggalkan dentuman guruh yang sayup-sayup di telinga. Saya memandang rintik hujan yang turun lewat bulan Disember. Beberapa bulan lagi, musim tengkujuh akan berakhir. Berganti dengan musim panas melangkaui pertengahan tahun hadapan. Begitulah musim berganti. Hujan bertukar tempat dengan sinaran matahari. Namun hati saya selalu tidak disapa dengan pancaran kegembiraan.

Saya memandang ke segenap ruang pejabat itu. Bahagian belakang ruang pejabat yang dibiarkan kosong untuk menanti masa diisi dengan pekerja yang baru kini suram tidak bercahaya. Semenjak sedari pulang bercuti daripada perayaan Aidil Fitri dahulu, ruang itu memang sengaja dibiarkan suram tidak dipasang dengan percikan cahaya lampu. Untuk menjimatkan tenaga, konon alasannya. Saya tersenyum pahit. Ruang ini bakalan kosong beberapa minggu lagi. Kosong sekosong-kosongnya tanpa berpenghuni.

Di atas meja saya penuh dengan timbunan fail. Penuh dengan timbunan bil-bil yang tertunggak. Sekali-sekala, telefon berbunyi memekakkan telinga. Pastinya ada yang memanggil minta penjelasan kenapa bil bulan-bulan yang terhampir masih belum dilunaskan. Sebagai seorang pekerja, apa yang boleh saya katakan hanyalah memberi mereka sedikit harapan palsu kononnya laporan pembayaran sudah dihantar kepada majikan sementara menunggu kelulusan daripada mereka sahaja.

Telefon berbunyi lagi. Saya biarkan sahaja. Selang seminit, ianya mati begitu sahaja. Ya Tuhan…. Saya tidak menyangkakan bahawa saya akan berhadapan dengan masalah seperti ini untuk sekian kalinya. Saya meruap wajah kusam saya sambil di dalam hati bermunajat agar masalah ini akan segera berakhir. Mengharapkan esok akan muncul bersama harapan baru. Bersama bangkitnya cita-cita yang sudah lama berkubur demi kelangsungan hidup.

Saya masih Indera yang lama. Indera yang sukar menerima kenyataan hidup. Saya masih lagi datang ke pejabat dengan wajah selamba. Cuma di dalam hati saya selalu berperang. Sebahagiannya menafikan. Sebahagiannya pula memujuk agar senantiasa bersabar.

“Indera, masuk bilik saya sekejap” di intercom, saya mendengar Encik Zuhairi memanggil saya. Saya meninggalkan kertas kerja yang separuh siap di atas meja sambil buru-buru masuk ke biliknya.
“Apa pula kali ini?” hati saya tertanya-tanya. Saya sempat melihat bilik Encik Ismail. Biliknya kosong lewat petang-petang begini. Pastinya seusai makan tengahari tadi, Encik Ismail terus keluar mesyuarat di mana-mana dan tidak pulang ke pejabat sehinggalah esok pagi.

“Kenapa Encik Zuhairi? Encik nak kopi ke?” tanya saya cuba mengurangkan rusuh di hati saya.
“Tak.. tak payah. Saya dah minum tadi. Duduklah dulu” pelawa Encik Zuhairi. Saya menarik kerusi dan terus duduk mengadapnya.

Dahi saya berkerut. Setelah dua minit berlalu, Encik Zuhairi masih belum berkata apa-apa. Jarinya ligat di atas kekunci komputer riba dan sekali-sekala menjeling memandang wajah saya.

Encik Zuhairi mengurut kepalanya.
“Encik okey ke?” tanya saya.
“Aku okey” jawabnya. Bila dia menggunakan gantinama aku itu, saya faham bahawa apa yang ingin dia bincangkan dengan saya itu adalah sesuatu yang tidak formal.

Encik Zuhairi melepaskan keluhan berat. Jelas dari pancaran matanya, ada masalah besar yang melanda hatinya. Masalah yang saya sendiri boleh menekanya.
“Engkau tahu yang kita mempunyai ramai pelanggan-pelanggan yang masih belum menjelaskan hutang mereka kepada kita?” tanyanya
“Saya tahu”
“Engkau tahu bahawa program terbitan bon di Koperasi XYZ sudah ditamatkan secara mengejut oleh Bank Saudagar ABC?” tanyanya lagi.
“Saya tahu Encik Zuhairi. Dan saya juga tahu apa yang Encik Zuhairi nak sampaikan kepada saya kerana saya yang memegang buku akaun syarikat. Saya tahu bagaimana kedudukan kewangan syarikat ini”

Encik Zuhairi mengeluh lagi.
“Aku tak tahu bila masalah sub-prime ini akan berakhir. Aku harap, aku boleh selesaikan masalah ini seorang diri. Tapi aku tak boleh menanggungnya sorang-sorang. Engkau tahu yang aku terpaksa jual banglo aku kat Bangi? Kemudian aku kena pindah duduk kat kuarters TNB?”.
“Saya tahu. Encik Zuhairi ada bagitahu pada saya bulan lepas”
“ Isteri aku menangis tak nak pindah ke kuarters sebab dia malu. Tapi aku tak malu. Tak ada apa yang mesti aku malukan. Cuma masalahnya sekarang, engkau pulak macam mana?”
“Saya? Kenapa dengan saya?” tanya saya.
“Ada kemungkinan aku terpaksa cutikan engkau beberapa bulan…”

Hati saya bergelojak. Saya memandang wajah saya di kaca yang terletak di belakang tempat duduk belakang Encik Zuhairi. Cuba memandang bayangan diri. Tetapi di paparan kaca itu kosong. Sekosong hati saya…

Dalam usaha menggapai kekuatan diri, saya masih bisa menguntum senyuman.
“Tak mengapa Encik. Saya dah biasa susah. Satu kesusahan ini, tak akan menambah kesusahan yang dah sedia ada”

“Aku harap aku ada duit untuk kekalkan engkau di sini. Aku mahu kekalkan engkau di sini supaya ada orang yang dapat mengatur pejabat ini seperti biasa” katanya sambil memandang tepat ke arah saya.
“Kalau Encik Zuhairi ada duit, lebih baik Encik Zuhairi selesaikan bil-bil kita yang tertunggak. Kalau saya ada di sini sekalipun, tak ada apa yang boleh saya buat kalau telefon kita kena potong, bekalan elektrik kita kena potong”

Encik Zuhairi seakan tersentak. Lama kami terdiam tidak dapat berkata apa-apa.

Langit petang masih lagi suram sewaktu saya melangkah keluar dari pejabat. Di dalam buku renungan La Takhaf wa la tahzan ada menyatakan, sesungguhnya kesusahan itu ibarat seutas tali yang memegang bebanan yang berat. Andai bebanan itu sudah terlalu berat, akhirnya tali itu akan putus. Di saat itu akan tiba pertolongan daripada Allah.

Saya memandang Bukit Damansara dari kejauhan yang penuh dengan deretan banglo yang gah berdiri. Hati saya tertanya-tanya, apakah tali yang mengikat bebanan itu sudah mengikat terlalu kejap sehingga langsung tidak putus? Saya sendiri tidak pasti. Namun saya percaya dan saya yakin, walaupun saya bersendirian sekalipun di atas muka bumi ini, saya tidak keseorangan. Saya masih punya Allah buat teman berbicara.

13 comments:

Adinina said...

Bro, harap tabah dan sabar ye. Kiranya masih punya badan yg sihat utk mencari rezeki di tempat lain, drpd terlantar sakit dan tidak dpt berbuat ape2 utk menyuap mulut kan? Alhamdulillah. Tapi sy yg berkata ini mungkin lebih senang dr yg menanggungnya.

"For every calamity that God gives you, there is something GOOD than He wants you to do"...

*sy jg sudah 3 tahun menanggung susah berjauhan dr suami...akhirnye Tuhan mendengar kami..(good news finally arrived!) :)

m.e.m.e said...

I hope everything will be okey. Insyaallah HE will guide you. Just hold on to HIS rope, it will never break.

seri said...

Tabahkan hati bro, semoga di murahkan rezeki.......

fajar said...

Salam Aidiladha Abang Indera,

Kelu lidah saya untuk menawarkan kata bagi memujuk segala kegusaran yang melanda. Berat apa yang ditanggung. Cuma, saya berdoa agar Allah melimpahi rezeki yang berpanjangan buat abang sekeluarga. Saya faham, bagaimana geloranya rasa di jiwa di kala kesempitan.

Sabar bang. Kuatkan semangat. Dan moga rahmat Allah tidak putus buat abang.

hayad said...

indera, sy di kampung sekarang ni. indera kena benti keje ke ni?

asr said...

Terus tabah dan redho bro... insya-Allah, ada jalan...

kizek said...

Hidup ini umpama road, kadang kita diatas, kadang di bawah.Apapun rezeki datang dari Allah.

Saya yang baru melintas disini
-Zek-

kingbinjai said...

dude, selamat hari raya

Masy said...

*speechless*

harap semuanya selamat utk abg indera, amiiinnn~

vandaa said...

berat memang berat bang...tapi hidup tetap kena teruskan...saya harap abang tetap tabah mengharunginya....moga Allah murahkan rezeki untuk abang....

blackpurple @ jowopinter said...

Cerita sebegini semakin sering saya dengar di sekeliling saya akhir-akhir ini.

Saya sendiri pernah mengalaminya. Dan sekarang pun, saya terpaksa 'meminggirkan' sekejap syarikat sendiri, mencari peluang lain buat sementara waktu sebelum ekonomi ok semula.

Semoga Tuhan mempermudahkan segalanya buat kau, sdr Indera.

indera kencana said...

Nina,
Insya-Allah saya akan kuat dan tabah. Setabah Nina sewaktu berjauhan dengan Rafique dulu..

Meme,
Insya-Allah dengan bantuan Allah, saya akan selamat menempuhi cabaran ini nanti. Terima kasih.

Seri,
Selamat berkenalan dan selamat bertandang ke Layangan Indera. Terima kasih atas doa itu. Terima kasih banyak..

Fajar,
Salam Aidil Adha buat Fajar juga. Fajar, setiap dari kita pasti akan dilanda bagai. Cuma bentuk ujian itu berbeza-beza antara satu sama lain. Ujian yang abang lalui kini, masih tidak menyamai dengan getir ujian yang Fajar lalui. Apa pun, kepada Allah kita pohonkan segala kekuatan dan ketabahan.

Dayah,
Sonok ke lepak Padang Rengaih? Banyak buat koi? Ada lebih tu antor ler sini. Saya nak cheese cake...
Berenti tu tak ler.. kena cuti je. Panjang tu..

Azam,
Insya Allah ada jalan. Betul...
Ko tu je takde jalan nak jumpa aku. Call pon tak... sedey tawwww (majuk)

Zek,
Kalau kita berpegang setiap rezeki itu kurniaan Allah, insya-allah kita takkan rasa sempit dada.
Selamat berkenalan dan selamat datang berkunjung.

King,
Dude, samat raya. Apsal ko tak call aku. Bila nak gi NZ ni..? Ari Isnin tu aku baru lepas NZ. Tgk ko takde pon kat situ.

Masy,
Tima kasih adikku Masy..

Vandaa,
Tima kasih Vandaa. Doa Vandaa sangat bererti bagi saya.. Menjadi kekuatan pada saya.

Bro BP,
Sememangnya kesan kejatuhan ekonomi pastinya akan dirasai oleh semua orang. Cuma, cepat atau lambatnya sahaja. Mcm business sekarang? Harap-harap ok la ya..!!

DedDy AdaM said...

harap Abang Indera tabah,

Tuhan akan menolong hambanya yang bersabar.

mungkin abang tak kenal saya, tapi dah lama sebenarnya saya membaca nukilan abang.

yang banyak mengimbau kenangan masa kecil saya,
main layang2 di bendang. tangkap ikan sempilai, mandi pantai, mencari lokan, memancing di sungai.

terima aksih saya ucapkan..