Thursday, February 12, 2009

Live Band dan Kedai Dobi

Telefon bimbit yang terletak di penjuru meja tiba-tiba berbunyi mengejutkan saya yang sedang leka meneliti brochure yang banyak terdapat di belakang tempat duduk saya.
“Yo, bro!! Ada kat mana??” suara Rizal memanggil di hujung talian. Rizal ini sememangnya begitu. Jarang mahu memberi salam.
“Aku? Biasalah, kat mana lagi... kat UK la” jawab saya sambil meletakkan brochure “Bristol” yang memaparkan gambar-gambar perabot pejabat ke tempat asalnya.
“Hahahahaha.... Ulu Kelang. Engkau tengah buat apa?”
“Tak ada buat apa. Saja melepak-lepak kat office ni. Tunggu waktu nak balik” kata saya.
“Balik la bro... dah jam 6.30 dah ni”
“Aku nak baliklah ni..”

Saya memasukkan barangan saya ke dalam beg. Meja saya, saya kemaskan sehingga bersih. Telah menjadi tabiat saya sejak saya bekerja dengan Encik Zuhairi dahulu, jika sebelum meninggalkan pejabat, saya harus memastikan meja saya berada di dalam keadaan yang tersusun.
“Malam ni buat apa?” tanya Rizal.
“Tak ada buatlah. Hanya setakat berehat-rehat di rumah kot. Engkau pun tahu kan, Bandar Tasik Puteri tu bukan ada apa pun” jawab saya.
“Jom kita tengok live band” Rizal menggatal-gatal memberi usul.
“Kat mana?”
“Setiawangsa” katanya.
“Setiawangsa? Ada live band ke kat situ?” tanya saya kehairanan. Setahu saya, Setiawangsa itu hanyalah deretan kedai dan tempat perniagaan.
“Ada.... ada satu kedai makan kat situ baru buka. Malam-malam ada pertunjukkan kat situ. Mesti kau suka, kan?” Rizal cuba mengumpan saya.
“Pukul berapa mula?”
“Malamlah. Dalam pukul sepuluh macam tu”
“Habis, sebelum nak tunggu pukul 10, aku nak pergi mana?” tanya saya.
“Alaaa... Ko pergilah masjid dulu. Solat, berzikir, bertahmid. Pukul 10 nanti kita pergilah tengok live band tu” senangnya dia memberi cadangan.
“Iyalah tu... mula-mula pergi masjid. Bertasbih “subhanallah, subhanallah...”. Lepas keluar masjid, terkinja-kinja tengok live band. Kan kontra sangat tu...!!!”
Rizal mengekek di hujung sana.

Lepas solat Maghrib, saya ke Setiawangsa menemani Rizal makan malam. Sementelahan pula, dia sudah berjanji untuk membelanja saya makan malam.
“Hari tu engkau cakap engkau nak daftar perniagaan. Dah daftar ke belum?” tanya saya.
“Belum...”
Saya tersenyum sendiri. Syarikat saya sendiri pun masih belum didaftarkan. Semua itu saya senyapkan. Tahu dek Abang Ngah, syarikat yang dicadangkan bagi menggantikan Lambang Sari itu masih belum didaftarkan lagi, pasti masak saya dileterinya.

“Apa jenis perniagaan yang engkau nak buat?” saya bertanya kepada Rizal.
“Aku nak buka kedai dobi la, Indera” sambil matanya mengekori langkah seorang gadis cina yang masuk ke dalam restoran tempat kami menikmati makan malam itu. Sambil itu dia tersenyum-senyum nakal. Saya sekadar mampu menggelengkan kepala.
“Engkau nak buka di mana? Setiawangsa?” tanya saya lagi.
“Cadangnya kalau boleh memanglah aku nak buka di Setiawangsa ni. Tapi engkau tahu-tahu sajalah, tempat ni kan ke mahal”
Malam kian gelap. Bilangan pengunjung restoran itu tidak juga bertambah. Barangkali orang ramai sekarang lebih berhati-hati di dalam perbelanjaan. Jika begini sambutan pengunjung pada restoran ini, bagaimanakah restoran yang baru dibuka ini akan dapat bertahan dengan kos overhead yang sangat tinggi di tempat mahal seperti Setiawangsa ini, hati saya berkira-kira sendiri.

“Engkau tak nak cuba perniagaan lain?” tanya saya.
“Maksud engkau?”
“Hmmm.. iyalah. Perniagaan yang selain daripada perniagaan dobi” tanya saya.
“Apa salahnya dengan dobi tu?”
“Aku tak kata salah. Tapi cuba engkau tengok. Di Setiawangsa ni saja ada berapa banyak kedai dobi? Itu tak masuk lagi di Keramat Permai, di AU3 Keramat. Persaingan tu kuat, bro...” kata saya.
“Habis, engkau ada cadangan lain ke?”
Saya mengangkat bahu.
“Perniagaan apa?” tanyanya tidak sabar.
“Macam-macam. Kalau engkau baca iklan suratkhabar, banyak kursus-kursus perniagaan yang ditawarkan oleh MARA dengan harga yang munasabah. Banyak.... Cuma engkau perlu pilih saja”
Perbualan kami terhenti seketika apabila seorang pekerja restoran datang mencatatkan harga makanan yang telah dinikmati. Bauan yang keluar daripada salon rambut yang bersebelahan dengan restoran itu membuatkan saya sedikit kepeningan.
“Selain daripadda engkau dapat tambah ilmu, kursus yang engkau hadiri tu nanti dapat memberi sokongan pada sijil Kementerian Kewangan yang engkau nak pohon nanti”

“Aku ni Indera... aku tak minatlah dengan perniagaan yang berkaitan dengan teknikal ni. Terus terang aku kata, aku nak ambil pembantu Indonesia. Aku latih dia dalam masa yang singkat, dia boleh mahir. Kalau dia lari pun nanti, aku boleh jalankan perniagaan dobi sementara aku belum dapat pembantu yang lain. Cuba engkau fikir, kalau engkau ambil pembantu. Engkau latih dia, bila dia dah pandai, dia lari. Engkau nak latih pembantu dah satu hal lagi”
“Tapi itulah cabaran dalam perniagaan sebenarnya. Dan itu engkau harus bersedia untuk engkau hadapi” kata saya.
“Entahlah Indera. Aku malas nak pening-pening kepala nanti...”

“Rizal, dalam perniagaan ni, tidak ada perkataan “senang”. Tidak ada erti “jalan singkat”. Kalau engkau ingin berjaya, engkau harus berani menghadapi setiap ujian di sepanjang tangga-tangga yang engkau lalui untuk menuju ke puncak. Ada masa-masanya engkau jatuh. Ada masa-masanya engkau perlu berundur satu anak tangga ke bawah. Tetapi engkau harus bertekad bahawa, setapak engkau berundur, engkau harus maju empat tapak ke hadapan sesudah itu. Di dalam pekerjaan yang kita lakukan, harus ada keikhlasan. Harus ada penggantungan sepenuhnya kepada Allah. Meyakini bahawa setiap usaha yang kita lakukan dengan niat ikhlas, pasti tidak akan dihampakan oleh Allah. Hanya dia sahajalah sebaik-baik Pemberi Rezeki. Engkau harus istiqamah. Biar orang tidak menyedari apa yang engkau lakukan, tetapi engkau harus lakukan secara berterusan. Insya-Allah, engkau akan berjaya”

Saya memandang ke arah bangunan bersebelah dengan restoran itu. Melihat ke dalam ruang pejabat kosong yang menanti masa untuk diisi dengan satu syarikat perniagaan yang entah berapa lama dan bagaimana pengakhirannya nanti. Saya terfikirkan perniagaan yang akan saya daftar beberapa hari lagi. Entah bagaimana rezeki saya nanti. Pengalaman saya yang lepas mengajar saya erti berani. Berundur setapak bukan bererti kalah. Berundur setapak itu adalah masa yang sesuai untuk kita maju beberapa tapak lagi ke hadapan.

Saya teringatkan usaha saya hari ini. Saya telah bertemu dengan seorang pelanggan. Namun pelanggan itu enggan untuk berurusan lanjut dengan saya kerana saya kekurangan pengalaman. Kecewakah saya? Sedihkah saya? Ya... saya bersedih kerana memikirkan bahawa saya masih tidak cukup bagus. Masih cetek ilmu. Tetapi wajarkah saya patah semangat hanya kerana dengan perkara remeh seperti itu? Tidak, sesekali tidak!!

Saya mendongak melihat dada langit yang hitam pekat. Kegelapan hanya boleh menyelubungi. Namun sesekali tidak akan dapat membungkus alam buat selama-lamanya. Tiba masanya, alam pasti bersinar dengan pancaran matahari yang gemilang.

“OK, aku balik dululah” kata saya kepada Rizal.
“Eh... bukan kita nak tengok live band ke?’’ tanya Rizal terpinga-pinga.
“Aku dah taubat!!!”
Hahahahahahahaha.

6 comments:

Masy said...

salam abg indera..

ingtkan nak cerita pasal live band. baru nk tanye sape penyanyi hehehe

Sastri said...

wah... setuju dengan indera... jangan disebabkan perkara seperti itu, kita mudah mengalah... berkat usaha, tawakal, doa dan jangan putus asa, insyaAllah, berjaya...

KAMATO said...

Teruska usaha, insyaallah berjaya

achik said...

bukan susah nak susah, bukan senang nak senang kan en indera.. yg penting tak mudah putus asa.. mudah-mudahan berjaya.. insya-Allah.. :)

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Saya teringat pesan seorang guru yang berkata: berusaha sampai 7 kali, kalau tidak berjaya barulah beralih ke usaha yang baru.

7 kali itu kata beliau adalah mengambil teladan Siti Hajar berulang-alik antara Safa dan Marwah mencari air untuk anaknya Ismail.

Saya percaya Indera bukan dari kalangan yang mudah berputus asa. Berusaha dan berdoalah. Moga sukses!

Tengok live band kat tivi pun ok apa ... :))

INDERA KENCANA said...

Masy,
Tak tahu siapa penyanyinya. Dengar cerita artis dari Kampong Pandan..

Sas,
Terima kasih Sas, atas kata-kata hikmat Sas tu..

Abang Kamato,
Terima kasih atas semangat yang abang berikan.

Achik,
Lama Balkish tak datang ke sini. Apa kabar? Terima kasih atas doa Achik tu

Bunga Rampai,
Terima kasih atas kata-kata semangat Bunga Rampai.
Sebenarnya saya memang lama dah tak tengok live band secara Live atau di TV. :)