Tuesday, October 31, 2006

10 hari bercuti...

Haiii... 10 hari bercuti Hari Raya berlalu bagaikan tidak berpesan. Perjalanan masa dirasakan terlalu pantas. Sedar-sedar 10 hari cuti sudah berlalu dan kini perjalanan masa itu berputar seperti sediakala. Kembali pada hidup yang rutin, dengan bebanan kerja di pejabat dan kesesakan jalanraya yang menyakitkan kepala.

Apabila dikenangkan sepanjang 10 hari cuti beraya itu, terlalu banyak peristiwa manisnya. Keriangan sudah terasa di hari terakhir bekerja iaitu Hari Jumaat, 20 Oktober 2006 yang lalu. Sewaktu itu kekalutan pulang ke kampung datang berselang seli dengan pertukaran ucapan Selamat Hari Raya. Setamat sahaja waktu bekerja jam 4.30 petang itu, saya terus memandu pulang ke kampung. Sangka saya, saya akan bertembung dengan kesesakan trafik yang maha hebat. Rupa-rupanya jalan lancar sepanjang Jalan Duta sehingga ke Tanjong Malim. Seterusnya melalui jalan-jalan kampung dengan kemeriahan menyambut Syawal menyelubungi suasana dengan umat Islam masih menjalani ibadah puasa di hari-hari terakhir Ramadhan.

Apak menyembelih seekor kerbau dan menjual daging segar pada hari Minggu sebelum Raya dengan harapan Hari Raya akan jatuh pada hari Isnin.
"Beli daging, bang..??" Saya menyapa seorang lelaki yang kacak yang saya kira usianya lewat 40-an.
"Esok sahaja, ye!!" sambutnya sambil tertawa.
"Hari Selasakah kita berhari raya??" tanya Apak kepada lelaki itu.
"Ya, cikgu. Satu Lembah Kelang orang sudah tahu kita beraya pada Hari Selasa" katanya.

Wajah Apak mendung seketika. Patutlah jualan kami pagi itu agak perlahan.
"Tak apa. Esok kita jual daging ais pulak" kata Apak. Satu sikapnya yang amat dijengkel oleh Mak. Mak amat tidak suka dengan sikap Apak yang sentiasa berfikir bagaimana untuk mencari lebih wang tanpa mengira masa yang sepatutnya diluangkan terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.

Oleh kerana saya pulang ke kampung agak awal, saya dapat menyaksikan perubahan suasana kampung kami di akhir Ramadhan itu. Dari persekitaran yang sunyi sepi ke persekitaran kampung yang meriah dengan kebanjiran umat manusia dan juga kereta.

Saya tersenyum pahit melihat wajah-wajah tua dan sepi yang menghuni perdusunan itu bercahaya tatkala menyambut kepulangan anak dan cucu yang tinggal jauh di perantauan. Jelas kelihatan di wajah mereka keseronokan menerima pelukan anak, menantu dan cucu sambil mulut becok menyiapkan itu dan ini sebagai persediaan juadah menyambut tetamu di Aidil Fitri.

Mereka juga sepertinya saya. Tidak terasakan masa yang berputar pantas. Sedar-sedar, cuti orang kesayangan sudah kehabisan dan tibalah masanya untuk mereka berangkat pulang ke destinasi masing-masing. Airmata mulai bergenangan di mata-mata tua itu. Entahkan bila boleh berkumpul semula. Mendodoikan irama kemeriahan AidilFitri dalam sendu ikatan kekeluargaan.

Semalam, 30 Oktober 2006. Cuti saya selama 10 hari itu tiba di penghujungnya. Persekitaran kampung sudah lama sunyi. Sunyi sejak 2-3 hari yang lepas. Saya memandang jauh ke simpang hadapan rumah mertua saya. Pemandangan yang biasa. Sunyi. Sepi. Kenderaan hanya sekejap-sekejap sahaja melaluinya. Tidak seperti minggu lepas di hari Selasa di mana hari itulah detik 1 Syawal yang menawarkan dengan segala macam kemeriahannya.

Masa berlalu dan kita ini larut di dalamnya...

7 comments:

Iman Mawaddah said...

Keturunan tidak boleh makan ikan tapah?...asal family lambor ke?

zwitterion said...

masa cepat berlalu..

hakim dirani said...

HO HO HO,
Seronoknya suasana raya di sana. tapi seperti kata anda saya menggalas tanggungjawab yang besar seronok itu saya perlu tangguh sebentar.

INDERA KENCANA said...

Salam Iman Mawaddah,
Tepat sekali. Tahu ke..??

Zwitterion, Kalau boleh nak raya hari-hari. Tapi mustahil la pulak, kan..??

Salam untuk Hakim,
Hakim beraya di sana betul-betul, kutip semua pengalaman dan cerita, nanti balik Malaysia, cerita dengan saya..

kingbinjai said...

hai, lama betul aku tak masuk blog ni, banyak isen dah tertinggal.

INDERA KENCANA said...

King, mai la selalu

kingbinjai said...

memang selalu mai, seminggu aku takde maa, raya. tu yang banyak tertinggal