Tuesday, October 10, 2006

Adat Memanjat

Apak pernah mengkisahkan kepada saya bahawa suatu masa di kampung saya terdapat satu adat yang pelik tetapi diterima oleh masyarakat umum. Adat itu kini sudah hilang lenyap di telan zaman dan tidak sesuai lagi dipraktik di zaman kini. Pengamal terakhir adat ini masih sihat tubuh badannya lagi. Beliau adalah adik seibu Opah saya sendiri. Adat itu dipanggil Adat Memanjat.

Adat Memanjat ini adalah bahasa indah untuk perbuatan menyunting dara dengan cara paksaan. Sekiranya Si Teruna berkenan hati kepada mana-mana Dara namun pinangannya ditolak oleh si Dara atau keluarganya, terdapat satu jalan terakhir untuk memiliki gadis tersebut iaitu dengan memecah masuk ke bilik gadis itu dan mengugutnya di hujung mata pisau (aiiyyooo..).

Di awal tahun-tahun 50-an, Subari adik kepada Opah saya jatuh cinta kepada seorang gadis bernama Bibah. Subari ketika itu berusia 16 tahun, anak bongsu dalam keluarga berada. Status ini menjadikan Subari manja, malas bekerja tetapi pantang dicabar. Bibah pula seorang gadis yang berusia 12 tahun, baru cukup umur tetapi pandai memasak dan menganyam tikar mengkuang.

Setelah terpandangkan Bibah yang baru pulang dari mengaji, Subari sudah terpaut hati. Lalu dia meminta ibunya (moyang saya) untuk dipinangkan Bibah untuknya. "Kamu tu kan tak bekerja. Pergi ke kebun malas. Bagaimana kamu hendak menanggung anak orang makan, Subari. Cubalah fikirkan baik-baik" bimbang moyang saya hendak meminang Bibah kerana sekampung maklum akan perangai Tok Subari yang sangat pemalas.

Tetapi Subari tidak dapat mengawal gelora perasaannya. Dia berguling-guling di hadapan moyang saya minta dipinangkan Bibah malam itu juga. Tentu sahaja moyang saya sangat merasa gundah gulana. Diturutkan bimbang mendapat malu. Tidak diturutkan pula, itulah pengarang hati intan payungnya.

Mahu tidak mahu seawal pagi esoknya terpaksa moyang saya menebal muka menongkah tangga rumah Pak Itam Mulong meminang Bibah untuk Subari yang pemalas. Jawapannya seperti sudah diduga. Peminangan itu ditolak. Alasan yang sangat munasabah. Kerana Subari tidak punya pekerjaan (pemalas bahasa kasarnya).

Sebaik sahaja Subari dimaklumkan tentang berita itu, merah padam mukanya. Dia turut ke tanah lalu menuju ke hulu mencari teman-temannya yang kacang hantu. Lalu diapi-apikan oleh kawannya agar dipanjat sahaja rumah Pak Itam Mulong dan acukan pisau ke tengkuk Bibah. Alang-alang mandi biar basah. Biar putih tulang, jangan putih mata.

Malam itu Subari memecah masuk ke bilik Bibah dan mengacukan pisau ke tengkuk Bibah yang sedang tidur. Bibah yang terkejut terus menjerit ketakutan. Jeritan Bibah itu membangunkan seluruh alam. Kecoh dan panik. Subari sudah tidak sabar, "Cepat panggilkan Tok Kadi atau aku bunuh Bibah ini".

Memang kecoh. Pak Itam Mulong sanggup memanggil Kadi demi menyelamatkan nyawa anak daranya. Malam itu Subari kahwin dengan Bibah dengan bersaksikan orang kampung. Yang amat menghairankan, perkahwinan itu tidak dianggap cela dan sangat diterima umum kononnya Pak Itam Mulong mendapat menantu yang sangat jantan. Perkahwinan itu kekal sehingga sekarang. Oleh kerana perkahwinan itu di antara pasangan yang sangat muda, sehingga kini Pak Long Zainal, anak sulung Tok Subari kelihatan seperti adik Tok Subari sahaja jika mereka berjalan berduaan.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana sekiranya Adat Memanjat ini masih kekal sehingga sekarang. Adakah sesiapa yang ingin mencubanya atau ada nyawa yang pasti hilang di hujung rifle polis.

6 comments:

hakim dirani said...

sekarang ini memang tak patut kita begitu. ya rifle lah jawapannya.

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Wah, sampai berguling-guling ? Hebat! :))

Pertama kali dengar 'adat memanjat' ni ... bersopan juga tu ;)

kingbinjai said...

banyak la rumah tangga yang porak peranda!

err, tok subari tu malas tak selepas itu?

INDERA KENCANA said...

Hakim, jika sekarang masih diamalkan, pasti ada peruntukan di dalam Akta Jenayah. barangkali seksyen 31B agaknyalah..

Salam Bunga Rampai,
Saya juga bertanya kepada ayah saya "Takkan sampai berguling-guling kot??" Ayah saya kata, "Betul. Dia berguling-guling tanda terlampau manja".

Orang Melayu memang banyak bahasa kiasan..


King, Tok Subari dah tak malas selepas itu. Mungkin sebab dah ada anak. Dia sekarang tak sebulu dengan ayah aku. Dia penyokong kuat Parti Keris Bersilang sedang ayah aku penyokong Parti Terang Bulan. Hehehehe...

ZaKiN said...

macm adat org asli suku kaum semai la incik indera. tak tau la sekarang masih ada ke tak..

INDERA KENCANA said...

maniq, Oh, ye ke..?? Mungkin juga adat ini dipengaruhi oleh adat Suku Kaum Semai kerana kampung saya sememangnya suatu masa dahulu tempat berkumpulnya pelbagai suku dan ethnik Melayu, Orang Asli, Jawa, Banjar malah juga Cina. Nama kampung saya juga berasal dari perkataan Orang Asli, menurut kata orang tua kampung kami. Terima Kasih kepada Maniq kerana memberi informasi berguna itu.