Thursday, October 19, 2006

Lemang Jagung

Setiapkali menyambut ketibaan 1 Syawal, pasti tidak akan dilupakan kesibukan menyediakan juadah hidangan untuk tetamu yang berkunjung. Setiap tempat dengan cara hidangan dan menu masing-masing. Bagi kami di Perak, lebih-lebih lagi di Daerah Perak Tengah itu, menu istimewa Hari Raya hanyalah Lemang dan juga Rendang terutama Rendang Tok yang menjadi kebanggaan orang Perak itu.

Tempat kami tiada ketupat, apa lagi soto, lontong dan kuah lodeh yang sedap seperti yang sering disiapkan oleh masyarakat di seluruh negara terutamanya di Johor. Bagi kami di Perak itu, hampir ke semua rumah menawarkan menu yang sama - lemang, lemang, lemang dan lemang. Yang membezakan sebuah rumah dengan rumah yang lain hanyalah pada cara penyediaan lemang dan rendangnya. Mak jarang memasak Rendang Tok kerana bahan-bahan memasaknya terlalu berbilang jenis dan memasaknya akan mengambil masa yang agak lama. Mak lebih suka memasak Rendang Pahang kerana Rendang Pahang lebih mudah disediakan dan rasanya juga enak. Isteri saya pula berjanji untuk menyediakan Rendang Minang yang dipelajarinya dari Rancangan Masakan Bersama Sheila Rusly. Saya sudah mencuba Rendang Minang resipi Sheila Rusly ini dan rasanya juga sangat enak.

Apabila mengenangkan Lemang ini pula, pasti akan membuatkan saya tersenyum sendiri. Puncanya hari itu (sekitar penghujung tahun 80-an), kakak saya Asma pulang dari Terengganu dengan menaiki bas bersama pelajar-pelajar Maktab yang lain. Sedang bergerak pulang ke Perak itu, beberapa orang pelajar yang duduk di bangku belakang kakak saya ini menyuarakan rasa tidak sabar mereka untuk sampai ke kampung untuk merasai hidangan masakan ibu masing-masing. Kakak saya hanya memasang telinga. Salah seorang daripada pelajar ini berkata bahawa ibunya sering menyediakan Lemang Jagung (pulut bercampur jagung dengan nisbah 3:1, 3 pulut dan 1 jagung dan dimasak seperti cara biasa orang memasak lemang).

Pulang sahaja ke rumah, kakak menceritakan pada Mak dan Apak tentang perbualan yang didengarinya di dalam bas. Mak dan Apak sepakat menyediakan Lemang Jagung buat pertama kalinya di Hari Raya itu. Tetapi saya membantah. Saya tetap mahu lemang itu disediakan sepertimana cara tahun-tahun sebelumnya. Tetapi seorang pun tidak menyokong saya. Saya terpaksa akur pada kuasa majoriti.

Sudahlah bangkangan saya tidak diendahkan, malah saya dibebankan dengan kerja-kerja membersihkan persekitaran rumah. Ini menyebabkan saya membebel dan berleter
"Tahu tak kenapa orang meletak jagung di dalam lemang tu. Sebab, masa zaman Jepun dulu (saya pandai-pandai buat teori), orang tak cukup beras pulut. Sebab tu digantikan dengan jagung. Tu mesti tak sedap nanti tu. Tengoklah" kata mulut celupar saya.

Mak, Apak, Kakak dan Abang hanya mendiamkan diri sahaja. Mungkin tidak berdaya untuk bertengkar dengan saya di petang pengakhir Ramadhan itu, barangkali. Lemang yang telah siap diisi dengan pulut, jagung dan santan itu sedia untuk diletakkan di tempat bara. Saya sedikit pun tidak ingin menolong. Masih marah dengan perkara sekecil itu.

Siap sahaja lemang dimasak pada malamnya, seperti kebiasaan kami adik-beradik akan berkumpul berebut-rebutkan lemang sulung itu. Saya dengan gelojohnya mengambil lemang sepotong panjang. Adik saya, Azlina menjeling tajam tanda protes. Saya tersengih seperti kerang busuk.

Sebaik sahaja merasai Lemang Jagung itu saya seakan terlupa yang saya membebel panjang petang itu,
"Ehhhh, sedaplah lemang ni. Wahhh.. cayalah. Sedap betul!!"
"Eh, eh, bukan tak sedap ke?" tanya Mak saya.
"Ah-ah Mak. Dia kata lemang jagung ni makanan orang zaman Jepun" tambah kakak saya lagi.

Saya terkaget. Hidung saya dipentung tepat-tepat. Malu dengan itu saya cuba berlagak selamba. Sepotong panjang lagi saya ambil dan terus berlalu membawa pinggan ke hadapan television untuk menonton cereka lewat malam Raya. Dari dapur saya terdengar Apak terbahak-bahak mentertawakan kelancangan saya.

Saban tahun sesudah itu kami pasti membakar Lemang Jagung. Setiap malam Raya jugalah saya akan diperli. Malam Raya yang bakal menjelang tiba ini, masih menu yang sama dan ahli keluarga saya pasti akan mengulangi dialog saya itu.

"Huh, makanan zaman Jepun. Itu mesti tak sedap tu. Tengoklah!!"

2 comments:

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Saya tak pernah makan lemang jagung. Baca entri ni, teringin pula. Pastinya Indera pun pandai membuatnya kan?

Selamat Hari Raya Indera, juga untuk seisi keluarga. Mohon ampun maaf di atas segala kesilapan terkasar bahasa selama sembang-sembang di alam maya ni.

Kalau memandu, berhati-hati di ajlan raya.

Berhati-hati juga masa main bunga api dengan anak-anak :)

INDERA KENCANA said...

Salam Bunga Rampai,
Saya jemput Bunga Rampai seisi keluarga datang ke rumah saya di Aidil Fitri. Boleh mencuba Lemang Jagung.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri juga untuk Bunga Rampai, Minal A'idi wal Faiezin. Semoga harum Bunga Rampai memenuhi taman hati keluargamu di hari yang berkat ini nanti. Saya juga memohon sebarang kemaafan jika ada kata-kata saya yang menyinggung hati Bunga Rampai.

Anak saya takut dengan mercun. Dengar letupannya sahaja sudah cukup membuatkannya menangis teresak-esak.