Semalam dia menghubungi saya. Menghubungi saya setelah 3 tahun masing-masing menyepikan diri. Membangkitkan kenang-kenangan lama yang menghiris hati. Lalu kesayuan dan hiba menerpa dan melingkari saya dalam melankolia.
Dia menghubungi saya sama seperti sewaktu minggu-minggu pertama saya berjejak di Malaysia sepulangnya dari Khartoum. Mengusulkan sebuah pertemuan untuk rancangan perniagaan di masa hadapan. Saya menerimanya dan melupakan segala perlakuan dan tingkah lakunya yang pernah meretakkan hati saya sewaktu saya berkhidmat untuknya dahulu.
Saya kemudian memberi segala pengorbanan dan kesetiaan saya kepadanya dan juga syarikat yang kami terajui. Namun takdir menentukan segalanya. Perjodohan kami tidak panjang juga. Sebuah pertelingkahan kecil akhirnya menjadi api membakar sebuah perkongsian.
Saya merana beberapa tahun sesudah itu. Hati saya hancur dengan tindakannya yang melulu. Pemecatan saya tidak ubah seperti satu pembohongan yang nyata. "Hidup ini adalah permainan catur, engkau adalah bidak-bidaknya. Jika aku merasakan kamu harus mati, maka kami mesti mati". Itu ungkapan yang tidak pernah sekali-kali saya lupakan terbit dari bibirnya. Dan terbukti akhirnya saya mati.
Saya seorang sahaja merana tidak mengapa. Tetapi apa yang lebih menyayat hati saya ialah apabila orang-orang kesayangan saya turut menderita secara tidak langsung oleh perbuatannya. Saya mengharungi tahun-tahun sesudah itu laksana sehelai biduk dilanda ombak besar. Saya terkatung-katung dalam kemiskinan dan kehinaan oleh masyarakat sekeliling saya. Sehinggakan saya merasakan bahawa maruah saya ketika itu diinjak-injak oleh orang lain. Di mana dia di saat itu?? Di mana dia yang saya panggil seorang Abang untuk menyelamatkan saya?? Dia hilang entah di mana. Tiada panggilan telefon mahupun selayangan surat atau email sebagai tanda kemaafan.
Saya bertekad menempuh hidup dengan cara saya tersendiri. Jauh dari mereka yang pernah mengenali saya dan dia. Melangkahkan kaki saya ke dunia yang asing dengan ilmu kosong di dada. Saya dimaki, dihamun dan kemudiannya dengan berkat kesabaran saya, saya diterima sebahagian dari kelompok itu walaupun pengiktirafan masih lagi menjadi satu perkara jauh. Saya tidak pernah jemu berusaha. Saya tidak pernah berputus asa dengan Rahmat ilahi walaupun sinar kebahagiaan masih lagi berdegil untuk kunjung bertamu ke serambi hati saya. Erti kata lain, saya mulai menerima segala yang berlaku itu sebagai takdir Allah yang punyai hikmah yang tidak mungkin terselam oleh kita akan keputusannya di belakang hari.
Semalam dia menghubungi saya. Menghubungi saya setelah tiga tahun perkara itu berlaku. Membangkitkan semula kenang-kenangan silam yang menghiris hati. Mengkhabarkan tentang dunia perniagaan yang sudah tidak semakmur dahulu. Saya mendengar dengan teliti. Ada suara terdesak di sebalik ceritanya. Dan bahasa kiasannya untuk sebuah kemaafan dendam. Tahun-tahun bersamanya membuatkan saya amat memahami lenggok bahasa dan perlakuannya.
Rupanya Indera Kencana masih Indera Kencana yang dahulu. Indera tidak pernah menyimpan dendam di dalam hati. Saya menawarkan pertolongan pada mana-mana perkara yang memerlukan. Dia menerima seruan bantuan saya tetapi masih tetap berselindung kononnya hidupnya masih lagi seperti biasa. Masih sejahtera seperti dulu. Tetapi saya amat mengerti akan dirinya. Saya dapat meneka bentuk kehidupan yang sedang dilaluinya. Lantas itu sudah cukup membuatkan hati saya diselubungi pilu. Pilu tentang nasib kami berdua. Tetapi bukankah jalan ini yang dipilihnya dahulu?
Dia mencadangkan agar kami bekerjasama. Sama seperti dia pernah ajukan kepada saya lewat minggu-minggu pertama saya berjejak di Malaysia sepulang dari Khartoum. Tetapi kali ini perasaan itu tidak lagi berbunga ceria. Tetapi berbuar takut, bimbang, sedih dan juga kasihan menerpa-nerpa ke pintu hati saya. Bagaimana sekiranya saya pulang ke pangkuannya tetapi setelah syarikat mulai makmur, dia mencampakkan saya semula seperti alat yang tidak berharga? Tetapi bagaimana pula jika dia benar-benar menyesali akan tindakannya dan tidak akan mensia-siakan saya lagi dan dengan itu kami akan dapat sokong-menyokong antara satu sama lain??
Saya amat sedar, keluarga saya akan menentang hebat niat saya untuk menolongnya setelah melihat apa yang dia pernah lakukan ke atas diri saya.
Saya amat pasti bahawa dia masih lagi mengingati sebaris ayat yang saya pernah coretkan di dalam kad ucapan hari lahirnya pada suatu masa, "Abang Ngah tetap abang saya walau kita tiada pertalian darah, Selamat Hari Lahir yang ke-37".
Entahlah...
9 comments:
dia mintak kau jadi gerentor?
Mmg pedihkan nak lupa apa yg berlaku.. tapi darah yg mengalir membuatkan kita terlupa segala kepahitan.. biarpun parutnya tetap ada..!!
Sabarlah. mungkin dengan satu masalah ini akan terbit banyak hikmah daripadanya.
Bas, dia mintak aku jadi pengarah sykt balik. Dulu beria-ria mintak aku sign borang 32A transfer of shares, la ni ajak buat business balik.
Maniq, selamat datang ke Layangan Indera. Memang sukar melupakan penderitaan silam. Hanya Allah yang Maha mengetahui. Terima Kasih.
Hakim, kesusahan hidup mengajar kita untuk sentiasa dekat dengan Allah S.W.T.. Raya ni raya ke berapa di Syria??
Salam Indera,
Faham perasaan Indera.
Usah berburuk sangka, fikir saja yang baik-baik.
Usah berdendam, ambil iktibar.
Bak kata Hakim, di sebalik kejadian ada hikmah. Sabar.
:)
Salam Bunga Rampai,
Terima kasih. Indera tidak mampu berdendam dengan sesiapa jua. Cuma keliru apakah Indera harus memberi peluang sekali lagi. Jika diberi, ianya bukan peluang kali kedua, tetapi kali ketiga..
dude, berhati hati sahajalah.
Thanks, Man.. Insya-Allah, gua ingat, beb.
Salam Indera,
Dah buat keputusan?
Post a Comment