Friday, December 29, 2006

Bila saat bosan

Termenung sepulang dari solat Jumaat. Mungkin betul kata Mawi,

Mungkin langit biru
Langitmu sempadan sebelah situ
Atau mungkin jua
Ribut melanda di dalam cangkir cuma..

Hmmm... menarik kata-kata itu. Sesuatu yang dirasakan besar bagi diri kita.. Hakikat sebenarnya, masalah kita itu tidaklah seteruk mana... Hanya setakat berlegar-legar di sekeliling kita.

"Engkau balik ke Bandar Tasik Puteri bila?" tanya abang saya Khairul.
"Isnin malam yang lepas..."
"Engkau terkena tak?" tanyanya lagi.
"Terkena apa?" tanya saya kehairanan.
"Terkena badi mayat"
"Hiiiissshhh... engkau ni merepek je..." sanggah saya.
"Betul Indera...!!! Bau kapur barus tu melekat lagi pada baju aku hingga aku sampai Tapah" katanya sungguh-sungguh.
"Laaa.. Kapur barus tu kan ke serbuk. Sudah tentu bertebaran hinggap ke baju engkau bila ditiup angin.. Baunya bukankah kuat?" kata saya pula.

Geram saya dengan ragam abang saya itu. Sudahlah sembahyangkan jenazah dia enggan ikut serta. Malah percaya pula pada perkara tahyul dan merepek. Kasihan Allahyarham Pak Yeop.

Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi. Ada pesanan yang tiba.
"Tak boleh Indera. Jika engkau nak masuk ke skim itu, engkau perlu ada Masters. Kalau engkau ada Masters, baru aku boleh tolong.."

Masters. Sarjana kata orang kita. Jika diambil, perlu masa dua tahun. Yuran pengajian? Hutang pinjaman kereta? Sara hidup? Sara keluarga? Hmmm... lupakan sahajalah. Itu yang paling baik.

Telefon berbunyi lagi. Iskandar rupanya!!
"Hello Indera. Kita jogging keliling Tasik Puteri malam ini?"
"Gila engkau. Sekarang sudah 9.00 malam"
"Takut..??" katanya menduga.
"Tidak takut. Tetapi tidak pernah dibuat oleh orang lain" kata saya.

Malam itu kami berlari-lari anak mengitari kawasan penempatan yang padat itu sekitar jam 11.00 malam. Mujur sahaja tidak digonggong oleh anjing.

Indera : Hari ini hari yang sangat membosankan. Buntu total. Entri ini pun agak melalut rasanya. Selamat Hari Raya AidilAdha.

6 comments:

Anonymous said...

dude, kalau kau beli buku masuk barisan aku jamin, hari ini kau tak bosan. tunggu apa lagi? dah nak raya dah kan? ha ha

hakim dirani said...

Ya, bosan adalah perkara biasa. esok ok lah tu. insyaAllah.

Anonymous said...

Salam buatmu Indera Kencana, moga baik-baik saja dirimu di sana ... haruman bunga rampai datang kembali merisik khabar setelah sekian lama tertabur di bumi nyata ... ntah buat apa. Kini kembali di kayangan ... Hehehehe, merepeklah saya ni ...

Aduuiii! mengeluh

Lama nian tak bertandang. Dalam kalut waktu yang merantai perjalanan di alam maya, saya tidak pernah lupa pada teratak ini. Hari itu, kepingin sekali menghulur salam Aidiladha...ketuk pintu dua tiga kali, pintu tak dikuak. Oh saya kata, saya sudah terkena sumpahan ikan tapah ke? :))

Bagaimana Raya Korbanmu? Moga sudah dilaksana dengan tulus ibadah itu.

Jenuh juga membaca segala nukilan di sini yang ketinggalan itu, juga komen teman-teman...berbaur rasa menyelinap dalam diri.

Harap Indera tak bosan dengan celoteh panjang saya tu :))

Nanti berkunjung lagi, insyaAllah.

Anonymous said...

Indera,

Eid Mubararrak dan salam tahun baru. 2007 menjanjikan gementar kepada semua. Moga kita sentiasa tenang dan tabah. Tubuh makin berdebu...dunia makin kelabu...tapi...jalan pulang...dituju jua.

salam dari bumi sejuk
AKMA

Sang Perba said...

siapalah kita untuk meramal...

INDERA KENCANA said...

King,
Dude, masuk barisan itu akan aku dapatkan juga sedikit masa lagi, Insya-Allah. Semoga aku bosan lagi..

hakim,
Bagaimana sambutan AidilAdha di Damascus?

Salam Bunga Rampai,
Hati saya berbunga riang menyambut ketibaan haruman bunga rampai. Semoga sesudah ini layangan Indera ini tidak lagi kesepian. Bagaimana dengan suami dan anak-anak? Sihatkah mereka?

Saya sendiri tertanya-tanya ke mana menghilangnya bunga rampai. Sebulan lebih juga pada tekaan saya. Mungkin bunga rampai sibuk dengan tugasan. Walau bagaimanapun saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha dan tahun baru buat Bunga Rampai sekeluarga.

Hari Raya Aidil Adha saya seperti kebiasaannya. Tiada yang istimewa. Yang menjadi kegembiraan mungkin apabila bertemu dengan sanak saudara yang jauh di mata.

Semoga Bunga Rampai tidak serik dan jemu mengunjungi saya di sini.


Salam untuk AKMA,
Ya, semoga tahun 2007 ini menjanjikan harapan baru buat kita. Juga penantian AKMA bakal berakhir di dalam tahun ini nanti. Bukankah begitu?

Selamat untuk AKMA dan kembaraanmu dari Indera di bumi tengkujuh.

Ahmad Marzu @ Jer @ Sang Perba,
Tepat sekali. Siapalah kita untuk menilik hari esok..