Wednesday, February 14, 2007

Ke Puncak Cita Bhgn Akhir

"Haahh..? Jadi, confirm la Mak dengan Apak pergi tahun ni..?" tanya saya sambil menggaru-garu kepala. Mak sekadar mengangguk.
"Habis tu, tak ada siapalah yang nak datang ke konvokesyen orang nanti..?"
"Alaa.. kamu pakatlah dengan Yeop kamu minta dia datang tengok kamu ambil Ijazah" pujuk Mak.
"Yalah. Tapi mana sama jika Mak ada.."

Mak dan Apak baru sahaja menerima surat dari Tabung Haji yang menyatakan bahawa Mak dan Apak terpilih menjadi tetamu Allah di bulan Zulhijjah tahun itu. Yang lebih menyakitkan hati, Mak membawa Andika bersama. Hmm... bertuahnya dia. Muda-muda sudah berpeluang mengerjakan haji dan melawat Baitullah. Ahh... saya juga yamg bakal keseorangan di sini. Saya dapat membayangkan kesedihan saya naik ke pentas menerima Ijazah tanpa Mak dan Apak memandang terharu segala penghargaan yang saya terima hasil dari perit jerih saya di ITM selama ini.

Yang lebih membuatkan fikiran saya kusut ialah permohonan saya untuk menyertai SINGER Malaysia sebagai Internal Auditor, masih belum mendapat sebarang berita. Lebih dari itu, permohonan ke UTM untuk program Sarjana turut sepi bagai bayu yang berlalu.

Mak dan Apak sudah bersiap sedia ke Tanah Suci. Saya memandang lesu kesibukan Mak dan Apak mengisi barangan ke dalam bagasi. Mak memandang saya dengan simpati. Saya faham, betapa pentingnya konvokesyen itu bagi saya, tujuan Mak ke Tanah Suci itu berjuta kali lebih penting.
"Tak apa. Jangan sedih. Awak nak orang doakan apa untuk awak di depan kaabah nanti, Abang Chik?" tanya Andika. "Orang doakan awak dapat buat Masters, dapat kerja yang elok dan isteri yang cun, ok tak..?" tanyanya lagi dalam gelak ketawanya.
"Eleh, baik engkau doakan diri kau tu. Matrikulasi pun tak pass. Nasib baik dapat masuk Cosmopoint.."

Selama Mak, Apak dan Andika pergi, saya menjadi penunggu tetap di rumah itu. Bosannya tidak dapat diungkapkan lagi. Adik beradik yang lain punya komitmen masing-masing. Ditambahi pula dengan ketiadaan Mak dan Apak, sudah tiada sebab untuk mereka mengunjungi rumah Mak di hujung minggu. Mujur juga saya bertugas sebagai Guru Sementara di sebuah sekolah di daerah kami. Dapat juga mengisi masa lapang. Pun begitu, gaji masih belum boleh diagihkan kerana proses untuk mendapatkannya, sekiranya bekerja dengan sektor kerajaan akan mengambil masa sekurang-kurang tiga bulan. Entah apa yang lama diproses oleh pihak atasan itu, saya sendiri pun tidak pasti. Akhirnya bekalan makanan di rumah kehabisan, untuk membelinya saya tidak punya wang. Jalan terakhir yang saya lihat adalah dengan meminjam wang kutipan sekolah. Akan dibayar semula setelah gaji diperolehi.

Surat dari ITM tiba buat sekian kalinya. Menjemput saya menghadiri konvokesyen kali yang ke-44. Satu penghormatan buat saya. Saya merasa amat terharu. Tiada baju yang sesuai untuk ke sana memandangkan tiada wang di dalam saku. Mujur saya punya sepasang baju melayu berwarna hitam dan sehelai sampin berwarna kuning keemasan. Dengan baju itu, sudah cukup syarat naik ke pentas.

Pertemuan semula dengan teman-teman lama cukup mengharukan. Mereka kebanyakannya sudah bekerja di bank-bank perdagangan di ibukota. Datang dengan cerita mereka yang tersendiri. Timbul juga rasa menyesal. Jika saya turut memohon ke bank-bank dahulu, mungkin saya juga sudah bekerja seperti mereka.
"Eh, Indera. Aku dengar engkau menjadi guru sementara. Betul ke..?" tanya Maziah.
Saya hanya mengangguk tanda membenarkan kata-katanya.
"Engkau nak jadi cikgu ke?"
"Entah"
"Peliklah engkau ni. Ada ke nak jadi cikgu.." katanya lagi.
"Kenapa..? Jadi cikgu teruk ke? Engkau tahu tak, jadi guru itu adalah semulia-mulia tugas, tahu tak?" saya membidasnya dalam lembut.
"Whatever..." katanya dan terus berlalu.
Mereka itu tidak tahu akan perancangan masa hadapan saya. Apa gunanya saya mengheboh-hebohkan pada orang lain. Mereka belum tentu faham niat hati saya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang paling tinggi.

Kami berkumpul di dewan kuliah untuk mengambil jubah. Jubah lambang kemegahan seseorang graduan itu. Jubah yang kami kenakan adalah jubah lama yang berwarna hijau pekat yang dikenakan oleh senior-senior kami sebelum ini. Jubahnya cantik disulami dengan benang keemasan. Cuma kelainan kami ialah, kami diberi dengan Mortar Board, topi yang berukuran empat segi tepat itu. Sebelum itu senior kami hanya mengenakan songkok sahaja.

Pagi itu mentari memancar garang. Kami berbaris dari pinggir Dewan Sri Budiman memanjang sehingga ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar. Semuanya tersenyum girang. Semuanya lengkap berjubah hijau dalam megah dan senyum seorang graduan. Hisham dan Laili memakai selempang keemasan. Kesemua graduan faham. Selempang itu untuk mereka yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Saya sekadar mendapat Ijazah Kelas Dua Bawah. Namun syukurnya tidak terkira.

"PERARAKAN GRADUAN MASUK KE DALAM DEWAN" pengumuman itu dijawab serentak dengan langkah bergaya para graduan mengambil tempat masing-masing di bangku yang di sediakan di dalam dewan sambil dilambai oleh ibubapa masing-masing. Kalaulah Mak dan Apak ada.. ohhh!!

Bonang diketuk dan gendang dipalu. Alun gamelan tari lagu Timang Burung membelah ke genap ruang. Suasana di dalam ruang dewan itu sudah bertukar laksana Balai Penghadapan di istana raja melayu purba.
"Dengan kuasa yang diberikan kepada saya, saya dengan ini menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan pengkhususan di dalam bidang Kewangan kepada graduan-graduan ini" kata Dato' Wira Abdul Rahman Arshad.

Seorang demi seorang teman-teman naik ke pentas apabila nama mereka diumumkan.
"Indera Kencana Bin Muhammad Suria" umum juruacara majlis diiringi dengan tepukan para hadirin. Saya melangkah maju diiringi dengan paluan gamelan lagu Lambang Sari bertepatan sebagai lambang kemenangan perjuangan saya selama ini. Saya menjabat tangan Dato' Wira dan menerima watikah berharga dari beliau sambil pensyarah-pensyarah tersenyum megah ke arah saya. Saya seperti terlihat-lihat seperti Dr. Indera duduk di hadapan barisan pensyarah-pensyarah itu sambil tersenyum dan melambai kepada saya.
(Terima kasih Dr. Indera. Di manakah Doktor sekarang..?)

Saya menggenggam erat watikah itu. Di hadapan saya, terbentang jalan dari segenap arah. Saya telah sampai ke puncak sebuah destinasi. Namun di akhir destinasi itu, terdapat banyak destinasi lain pula. Laluan ke puncak cita ini bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan. Tetapi ianya permulaan kepada sebuah lembaran baru dalam hidup saya. ITM tetap di hati saya. ITM di hatiku.

Wujudmu di sini di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu memayungi putera-puterinya
Pelopor hidup, budaya bangsa, agama negara
Pembimbing akhlak manusia agar jadi sempurna

Ku yang melangkah ke sini ingin mempelajari
Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju
Destinasi cita-cita agama dan bangsaku

Majulah bangsa, maju negara
Berkat USAHA JAYA MARA
Kami berikrar akan berjasa kepada negara
Demi bangsa

Watikah yang kumiliki kan ku semat di hati
Janji ku pada pertiwi untuk menabur bakti
Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara
Doa restu ayah bondaku untukmu semua
ITM, USAHA JAYA MARA

Tamat

19 comments:

Bunga Rampai said...

Lamanya duduk bersimpuh melayan mata dan hati, mengorak dari baris ke baris, melangkah dari para ke para, lalu beredar hingga ke penghujung kisah. Lesunya tidak, sekadar terbuai longlai berada di dalam cerita, hinggakan sirna jua harum bunga rampai yang dibawa bersama.

Tahniah Indera atas ketabahan meredah hidup di menara gading. Tinggal kenangan cuma, kini. Dan kehidupan kita ini terus-terusan punya cabang yang kadang lurus kadang bengkok. Dalam apa jua keadaan, saya kira kita perlu siap siaga mengentalkan ilmu terutama untuk santapan hati/jiwa kita.

Selongkarlah Alam kita yang dipenuhi ilmu, walau pada usia apa sekali pun. Tidak semestinya ilmu itu ada di menara gading saja, pelbagai cara mengautnya, kita cuma perlu buka mata dan hati saja.

Jalan datang sudah berlalu, jangan sekali-kali lupa jalan di hadapan, jujur menuju mahligai Khaliq.

Salam takzim buat Indera Kencana :)

Unknown said...

hurmm.. bahagian akhir.. pastikan ada kesinambungan nyaaaaaaaaa

zwitterion said...

bersemangat!..siap ada lagu ITM lagi.
Selepas konvo,Indera tak menghubungi Dr indera ke?

areyoung said...

Loh, dah tamat ke. Bab masuk 'kerja'plak?

achik said...

dah abis rupanya "Ke Puncak Cita"...

kalau majlis konvo itu dihadiri keluarga dan Dr Indera tentu kenangannya lebih manis kan...

Lan Rambai said...

apsal pagi tadik aku masuk blog ni takder lagi entri penamat ni? ko pakai tarikh UK ko?

aku juga adalah batch pertama pakai mortar board... tapi bukan ITM dan awal sikit dari ko..

Iman Mawaddah said...

Apalah kahabarnya Dr. Indera ya?

BaYu SenJa said...

sewaktu menjadi guru (walaupun sementara) memang macam nak pecah kepala melayan karenah budak.. tetapi bila dah tingalkan, karenah itulah kenangan yang manis.. baYu sudah dan sedang merasai hal tersebut.

Tahniah indera..
indera telah berjaya memegang kunci untuk pintu pintu kejayaan hidup.. gunakan baik baik:)

hayad said...

alahai, teringat pulak kenangan konvo dulu. seronok yg amat sgt kan? walaupun poiter saya sendiri pun mc ampeh,hehe

ps: mana cerita hasniah? dlu kata suh dayah tunggu smpai episod akhir? :p

~inilah saya~ said...

waktu zaman universiti dulu saya ada belajar lagu timang burung.

Sekarang,

Bila dah kerja...selalu teringat keindahan zaman tu.

Kadang-kadang bergenang jugak.

:-)

pB said...

tertanya tanya...tak jumpa dengan Niah ker??

kingbinjai said...

yeay! dah abis!

khairyn said...

Salam Indera,

Ke puncak cita tak perlukan 'Tamat'. Teruskan perjuangan. InsyaAllah.

Pendapat saya - Indera, anda dilahirkan dengan bakat. Yang perlu digilap saja. Bakat menulis bukan dari segi teknikal tapi MasyaAllah! Indera ada pandangan hati yang tajam dan pandai menganalisis keadaan. That's make you a good writer. Jangan sia-siakan bakat yang Allah anugerahkan.

blackpurple @ jowopinter said...

Kehidupan kalau melalui jalan beronak dan berliku lebih manis bila dikecapi kejayaannya. Semoga kau terus berjaya. !

Pastinya "Indera Kencana Bin Muhammad Suria" bukan nama sebenar kau kan...?

KAMATO said...

Tahniah, rasanya lepas ni indera kena buat cerita lain, sambung pulak bila masuk keje....

hakim dirani said...

Tahniah, tahniah, memang menarik.

Nanti bila habis belajar nanti saya akan cerita macam anda juga.

Mumtaz, untuk cerita ini. :)

Unknown said...

shahril nanti kasi email blog kat sy ok

Unknown said...

shahril? ekeke bile lak indera tuka name neh.. *nyanyok*

indera nanti kasi emial blog kat saya k. *malu*

INDERA KENCANA said...

Salam seharum mewangi buat Bunga Rampai,

Kehidupan di kampus bagi saya umpama sebuah mimpi yang berlalunya tersangat pantas. Tanpa saya sedari sudah hampir sepuluh tahun saya meninggalkan kehidupan itu dan segala kenangan pahit manis yang terangkum bersama.

Benar kata Bunga Rampai bahawa pencarian ilmu itu tidak hanya di menara gading, namun ilmu Allah itu bertebaran di segenap ceruk muka bumi ini. Bagi saya, betapa tinggi darjat ilmu, akan saya cari ianya walau di mana jua. Insya-Allah

Linda,
Kalau ilham sampai, Insya-Allah akan saya sambung..

Zwit,
Dr Indera hilang tanpa perkhabaran..

Ayang,
Bab keja tu terlalu banyak pedihnya. Rasa agak sukar untuk dikongsi.. Huhuhuhuhuhu..

Achik,
Saya percaya ianya tentu lebih manis..

Lan,
Aku silap letak date..
Dari mana..??

Iman,
Tak tahu saya.. entah la.

Bayu,
Kunci yang sebenar adalah usaha, tawakkal serta doa. Ijazah tinggi melangit itu hanya sandaran semata-mata... :)

Dayah,
Nak citer la ni... Tunggu ye..

Qasseh,
kenapa tak teruskan. Rugi tau..

Kak pB,
Lepas habis diploma tu langsung tak berjumpa..

King,
Yeay, tepuk tangan!!!

Khairyn,
Insya-Allah, saya akan ingat kata-kata dan semangat yang khairyn berikan..

Bro BP,
Tentang nama itu, memang sukar untuk mempercayai kebenaran akan wujudnya nama itu...

Saudara Kamato,
Jika tulisan saya dihargai, Insya-Allah saya akan menyambungnya di entri akan datang. Terima kasih.

Hakim,
Terima kasih banyak-banyak di atas penghargaan itu..

Linda,
email saya indera5kencana@yahoo.com
sila lah email ye!!