Saya pernah berjanji pada Dayah dahulu, setamat sahaja kisah Ke Puncak Cita ini, saya akan memperturunkan huraian tentang individu-individu yang pernah bersama-sama saya di dalam perjalanan saya menuju ke puncak itu. Ada di antara mereka ini masih lagi berhubungan dengan saya, akan tetapi terdapat juga di kalangan mereka itu langsung tidak saya ketemui lagi sehingga ke hari ini.
Teman-teman sekampung
1. Alang
Alang ini pangkat bapa saudara saya. Ayahnya Tok Musa bersambung dengan opah saya sebagai sepupu. Jadi, Alang dengan Apak berkait sebagai dua pupu. Sepatutnya saya memanggilnya Ayah Chik. Tetapi, oleh kerana Alang ini sebaya dengan saya, ditambahi pula dia itu rakan sepermainan, saya turut memanggilnya sebagai Alang sebagaimana rakan-rakan yang lain memanggilnya. Nama sebenarnya adalah Ahmad Lutfi. Dia menduduki Tingkatan 6 separuh jalan sebelum dipanggil masuk ke Maktab Perguruan Raja Melewar. Setamat sahaja pengajian di maktab, dia mengajar buat beberapa ketika sebelum menduduki STPM secara persendirian. Dia lulus STPM dengan jayanya dan menempah tiket ke UPM untuk jurusan linguistik secara luar kampus. Setamat sahaja pengajian, dia diarahkan mengajar di sebuah sekolah di Ipoh.
2. Din
Nama sebenarnya Naseruddin. Din ini pangkat dua pupu saya. Pun begitu kami sangat akrab semenjak kami kecil lagi. Dia ini salah seorang "kembar" saya yang bertiga. Dia merasa amat dukacita sewaktu saya diterima masuk ke ITM lalu bertekad mengambil apa sahaja peluang yang datang. Selepas 3 bulan pemergian saya ke ITM, dia mendapat tawaran ke Maktab Perguruan Teknik lalu diarahkan mengajar ke SM Teknik, Langkawi setamat pengajiannya. Setelah Alang melanjutkan pelajaran ke UPM, dia rasa tercabar lalu turut berusaha mengambil STPM secara persendirian. Dengan STPM yang cemerlang itu, dia berjaya menempatkan diri ke UPSI dalam jurusan Matematik. Sekarang ini dia mengajar di sebuah sekolah menengah di Tapah.
3. Lan
Lan salah seorang rakan baik kami. Nama sebenarnya Roslan. Dia salah seorang pelajar cemerlang STPM di sekolah. Malangnya gagal mendapat tempat ke universiti. Akhirnya mendapat tawaran ke sebuah Maktab Perguruan dan sekarang ini mengajar di Teluk Intan.
4. Duwan
Juga salah seorang rakan kami. Nama sebenarnya Ridzuan. Punya darah kacukan Melayu-Inggeris. Rezeki turut menyebelahinya untuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Sekarang ini mengajar di sebuah sekolah rendah di Segambut.
5. Azmi
Salah seorang "kembar" saya yang bertiga. Dia menempah tiket paling awal ke universiti. Melanjutkan pelajaran ke UTM bersama Zamri dalam bidang Sains Industri. Sekarang ini bertugas sebagai seorang Engineer di Kulim. Tugasnya memerlukan dia sentiasa terbang ke luar negara.
6. Zamri
Kata-kata ayahnya pernah melukakan hati Din pada suatu ketika. Bekas pelajar terbaik di sebuah sekolah di Ipoh. Walau bagaimanapun terlibat dalam gejala penagihan dadah semenjak di universiti sehingga dihukum tindakan buang dari institusi itu. Setelah itu, keadaannya semakin parah. Lama sudah saya tidak ketemu dengannya.
Rakan-rakan di ITM
1. Eddie
Tamat diploma dengan cemerlang. Kali terakhir berita yang saya dengar tentangnya, dia bekerja di sebuah syarikat broker saham di Kuala Lumpur.
2. Didie
Sewaktu saya bekerja sementara waktu di syarikat broker saham di Ipoh itu, saya terkejut apabila saya sepejabat dengannya. Waktu itu dia sudah banyak berubah ke arah kebaikan.
3. Azri
Rakan baik saya di kampus. Orang Kelantan dan sekarang ini menetap di Kelang. Sudah berkahwin dan sangat manja dengan isterinya. Sewaktu saya menziarahinya sebelum perkahwinan saya, Azri sudah punya seorang anak lelaki bernama Iman dan isterinya sedang mengandung. Seorang adik perempuan Azri terbunuh dalam satu kemalangan ngeri yang melibatkan sebuah bas di Merapoh beberapa tahun dahulu. Kali terakhir dia menghubungi saya adalah tahun 2005 menerusi sms bertanyakan samada saya berminat untuk mendapat khidmat orang gaji Indonesia.
4. Armizam
Juga seorang rakan karib saya di kampus. Pulang ke Pahang setamat pengajian dan membantu ibunya menyara pengajian adik-adiknya di universiti. Di akhir zaman bujang saya, dia datang ke Shah Alam membawa hati yang lara setelah perkahwinannya hancur. Dia pulang semula ke Pahang beberapa tahun selepas saya pindah bekerja di Kuala Lumpur. Meninggal dunia pada 15.12.2005 setelah diserang demam yang teruk.
5. Shahril
Berkahwin dengan rakan sekelas kami bernama Linda. Kali terakhir kami bersua apabila dia datang ke pejabat saya dalam tahun 2001. Sewaktu itu dia bekerja di Time Telecom.
6. Hartina
Gagal dikesan selepas tamat belajar. Tiba-tiba saya bertemu dengannya dalam tahun 2002 di dalam LRT. Dia membuka sebuah kedai bunga di Plaza Pantai. Berkahwin dengan senior kami bernama Dosh. Perkara pertama yang keluar dari mulutnya, "Indera, engkau tak nak tahu ke Niah kat mana sekarang ni..?"
7. Hasniah
Menurut cerita Hartina, Hasniah sudah punya anak tiga. Hidup berbahagia di samping suaminya seorang pengurus sebuah hotel di Pulau Pinang. Kami tidak pernah bertemu lagi sejak kami tamat pengajian di peringkat diploma. Masih saling berhubungan dengan Hartina.
8. Zaidi
Berkahwin dengan rakan sekelas kami bernama Ratna. Dia kini berstatus duda sesudah perkahwinan mereka retak setelah Ratna mengetahui Zaidi menjalinkan hubungan dengan wanita lain sewaktu Ratna sedang sarat mengandung.
9. Maziah
Rakan sekelas di peringkat Ijazah. Pernah berkata bahawa dia hanya akan jatuh cinta pada saya setelah tiada lagi lelaki lain yang wujud atas muka bumi ini. Sebelum saya berangkat ke Sudan, dia benar-benar jatuh hati pada saya (diakui olehnya sendiri pada teman-temannya di suatu majlis pertemuan). Setelah mendapat tahu bahawa saya sudah bertunang dengan Azah, dia senyap-senyap menarik diri. Sekarang ini bertugas sebagai seorang pengurus di sebuah bank perdagangan di Kuala Lumpur. Masih belum berkahwin.
10. Hisham
Graduan Kelas Pertama ini seorang Pensyarah di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).
11. Laili
Berkahwin dengan rakan sekelas kami. Bertugas di sebuah Bank Perdagangan di Terengganu.
Pensyarah-pensyarah
1. Dr. Indera
Setelah bersara, dia bagaikan enggan mengutus alamatnya kepada saya. Desas desus yang saya dengar dari pejabat fakulti, Dr. Indera pulang ke negeri asalnya iaitu Perlis dan membina rumah di tapak asal rumah kedua orang tuanya.
2. Dr. Hashim
Bersara dalam tahun 2000.
3. Dr. Mahani
Masih mengajar di UiTM.
4. Dr. Rasid
Masih mengajar di UiTM.
Lain-lain
1. Abang Sabri
Tidak diketahui bertugas di mana. Dari senarai kakitangan UiTM yang saya lihat beberapa tahun lepas, namanya tiada lagi dalam senarai kakitangan pengurusan fakulti. Kemungkinan sudah bertukar ke pejabat lain atau sudah berpindah ke kampus cawangan.
12 comments:
lengkapnya...
Rezeki, ajal maut, jodoh pertemuan semua ketentuan Allah. Setiap orang pasti mengalami pengalaman berbeza sebagai pengajaran dan pelengkap antara satu sama lain.
Tahniah Indera. Kau tidak lupa memberi kredit kepada manusia-manusia yang pernah mewarnai hidup kau.
Betullah kata orang, orang-orang yang kita jumpa dalam hidup lebih memberi kesan pada kita berbanding nama-nama besar dan berpengaruh yang cuma kita baca sejarah dan riwayat hidupnya.
Saya setuju cakap BP
wah, tahniah untuk indera.
elok saja kalau bukukan salasilah keluarga :)
itu yang pernah saya idamkan..
kalau ada kawan lama tiba-tiba menghubungi, dia mungkin pengamal jualan langsung(direct selling). sesetengah. bukan semua.
maklumat: kolej agama sultan zainal abidin kini ditukar menjadi universiti darul iman (udm)
indera...email akma di a k m a 1 3 1 2 @ g m a i l . c o m kay. kalau tak ada apa aral 15 mac sudah berada di Tasik Puteri.
dalam banyak banyak huraian tentang watak kau sahaja yang tiada
Masih muskil, kenapa watak niah tidak di tulis......
Watak orang lain yang kita gauli juga mencerminkan watak kita :)
Seperti biasa, salam mewangi buat Indera.
Macam2 perubahan hidup setiap orang ni kan?
Saya ni pulak ntah macam mana la yg bakal menyusul...
Zwit,
Masih tak lengkap tu.. banyak watak yang saya tak sempat nak cerita.
Iman,
Manusia itu ditugaskan lengkap melengkapi antara satu sama lain. Betul.
Bro BP,
Terima kasih.
Betul. Saya setuju.
Hakim,
:)
Bayu,
Keluarga saya memang sudah ada salasilah mereka sendiri. Setengah orang memanggilnya Terombo.
Zie,
Betullah..
Kalau yang lama hilang cerita tiba-tiba call kita, mesti buat jualan langsung, ek?
Terima kasih kerana mengingatkan aku. Juga terima kasih kerana kau begitu teliti..
AKMA,
Saya ada hantar email ke peti surat AKMA. AKMA dah terima, ke?
King,
Aku buat apa..
Engkau pun dah kenal aku.
Saudara kamato,
Tentang Niah, ada saya tuliskan di dalam kategori teman di ITM di para ke 7. Tetapi tidak boleh huraikan panjang-panjang demi menjaga keharmonian rumahtangganya.
Salam buat Bunga Rampai,
Sahabat itu adalah cermin diri kita. Biasanya, tingkah laku kita tidak jauh berbeza dengan teman rapat kita. Kerana persamaan itulah makanya kita masih bersamanya sehingga ke hari ini. Agaknyalah...
Post a Comment