Friday, March 09, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn 1)

"Apak, macam mana Apak boleh kahwin dengan Mak?" tanya saya di suatu malam pada awal-awal tahun 90-an tatkala kami sedang menikmati makan malam. Apak yang ketika itu ingin menyuap nasi, terhenti seketika. Manakala Mak yang sedang leka membasuh pinggan segera menoleh ke arah kami.
"Dah jodoh" jawabnya pendek.
"Itu Indera tahulah. Tapi Indera cuba bayangkan. Mak berasal dari kampung yang jaraknya hampir 20 batu dari kampung ni. Orang dulu-dulu, kalau kahwin jauh-jauh pun, tak pernah lebih jauh dari kampung sebelah... Apak pula sampai 20 batu jauhnya. Kan menghairankan tu..?" kata saya sambil mengerutkan dahi.
"Apak, Apak ceritalah sikit.."
"Ahhh... sibuklah engkau ni!!" Bentak Apak. Saya sangka dia marah. Tetapi dia senyum pula. Anginnya tengah elok!!.
"Ceritalah Apak..." saya merayu.
"Baiklah. Baiklah. Apak kenal dengan Mak kamu masa Apak tolong Mak kamu melaung Bot Penambang di Pekan Parit. Itu saja!!"
"Itu saja..?"
"Yelah. Itu saja"
"Mesti ada cerita lain selepas tu..." kata saya tidak puas hati.
"Jangan nak mengorek rahsia orang. Habiskan nasi tu" kata Apak sebelum mengetuk kepala saya dengan pinggan.
Apak berlalu terus ke sinki sebelum tersenyum penuh makna ke arah Mak. Mesti ada cerita di sebalik itu. Mesti!!

Suatu petang, ketika saya sedang merayau-rayau di sekeliling kampung dengan menaiki motorsikal buruk Apak, angin menderu dengan kuat. Awan larat mendung mengandung hujan alamat badai bakal mengguyur lebat dari langit. Tidak lama sesudah itu titis-titis air sebesar biji jagung jatuh satu persatu menimpa bumi. Saya tidak sempat untuk pulang ke rumah. Rumah Opah lebih dekat jaraknya dengan tempat itu. Tanpa berlengah, saya memecut motorsikal buruk itu ke rumah Opah yang hanya beberapa selekoh dari situ. Namun pecutan maksima motorsikal itu hanyalah 40km sejam. Akibatnya, sampai sahaja di rumah Opah, baju dan seluar saya sudah basah keseluruhan.
"Kamu ni dari mana ni?. Basah kuyup sampai macam ni?" leter Opah sambil menghulurkan saya sehelai tuala, sehelai kemeja T kepunyaan Achik dan sehelai kain pelikat. Arwah Atuk ketika itu masih sihat lagi. Dia sedang duduk berehat di kerusi malas sambil matanya terus memandang jauh ke arah kebun getah tuanya yang terletak di hadapan rumah.

Saya duduk di sebelah Atuk. Terus mendakap tubuh tuanya. Atuk mengelak sambil menolak kepala saya.
"Hiee.. tak ada lain. Sikit-sikit nak peluk aku. Geli aku.."
Saya dan Atuk sama-sama ketawa. Kemudian kami terdiam. Saya bagaikan kehilangan kata-kata untuk memulakan perbualan.
"Tuk. Atuk tahu tak macam mana Apak kahwin dengan Mak?" tanya saya.
Atuk menoleh ke arah saya. Memandang tepat ke wajah saya. Atuk tersenyum lama. Kemudian menganggukkan kepalanya.
"Haji Hassan. Ya, arwahnya Haji Hassan... Aku teringat lagi hari itu...."

Hari itu, bas tiba dari Parit. Penumpangnya tidak ramai. Yang turun dari bas di kampung itu sekadar 10 orang sahaja. Boleh dikatakan semua mereka itu penduduk-penduduk kampung itu juga. Kemudian turun seorang lelaki tua yang bertubuh besar diikuti oleh seorang anak dara. Anak kepada lelaki itu. Mereka kelihatan tercari-cari sesuatu. Gayanya mereka bukan penduduk kampung itu. Atuk Sutan Ali tidak ambil endah. Biasalah sekiranya ada orang luar yang datang berkunjung. Boleh jadi mereka ingin melawat saudara mereka di kampung itu. Atuk Sutan Ali menolak basikal tuanya yang telah leper tayar ke kedai untuk ditampal tiubnya.
"Assalamualaikum" sapa lelaki tua yang bertubuh besar itu.
"Waalaikummussalam"
Atuk Sutan Ali tercegat berdiri. Lelaki tua bertubuh besar itu nampak ramah tersenyum. Anak perempuannya berjalan lambat-lambat mengekori ayahnya sambil mengelek sebuah beg pakaian.

"Adik, boleh abang tumpang tanya? ke mana arah jalan nak ke sekolah kampung ni?" tanya lelaki itu lagi.
"Errr... Abang ikut jalan depan ni. Sampai saja di simpang tiga di tepi sungai tu nanti, Abang ambil jalan kiri. Dalam 10 rantai dari situlah sekolah tu"
"Apa hajat Abang nak ke sekolah tu?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Ni, anak saya ni baru tamat Darjah Khas. Dia diminta mengajar ugama di sekolah kampung"
"Oh, baguslah macam tu. Saya Sutan Ali, bang. Nama Abang..?"
"Allah!! Dah tua-tua macam ni sampai lupa nak kenalkan nama. Maafkan Abang. Nama Abang, Haji Hassan"

Tok Haji Hassan berlalu bersama anak daranya menuju ke sekolah di tepi tebing Sungai Perak itu. Atuk Sutan Ali memandang anak dara Haji Hassan yang berjalan lambat-lambat itu. Serta-merta Atuk Sutan Ali terkenangkan anak terunanya, Muhammad Suria yang jauh di Pantai Remis. Anak aku pun guru juga!!, desah hati Atuk Sutan Ali. Pandangan Atuk Sutan Ali mengekori langkah anak dara Haji Hassan itu.
"Cantik!!. Bersopan benar gayanya. Guru ugama pula..." hati Atuk Sutan Ali berkata-kata. Terus menuntun basikal ke kedai Tok Sidang Pandak untuk ditampal tiubnya.

Atuk Sutan Ali terpaksa menanti giliran. Terdapat banyak basikal hari itu yang perlu dibaiki oleh Tok Sidang Pandak. Matahari kian galak memancar menghangatkan persekitaran kedai yang riuh rendah dengan orang ramai itu. Atuk duduk di bawah pokok ketapang besar sambil matanya sekali sekala memandang kosong ke arah kesibukan orang yang lalu lalang. Oleh kerana terlalu lama menunggu, tekak Atuk Sutan Ali terasa kering. Atuk Sutan Ali bingkas ke kedai kopi kepunyaan Mail Boyot.

Dalam kedai Mail Boyot penuh dengan orang ramai terutama mereka yang baru pulang dari menoreh getah. Beberapa jam lagi, akan masuklah waktu Zohor. Basikal Atuk Sutan Ali masih belum disentuh. Atuk duduk di satu sudut kedai kopi setelah memesan secawan teh O panas.

Tidak lama sesudah itu masuk seorang lelaki bertubuh besar. Haji Hassan. Gayanya masih seperti dia mula-mula turun dari bas tadi. Seperti tercari-cari sesuatu. Kali ini anak daranya tiada bersama. Tatkala terlihatkan Atuk Sutan Ali, Tok Haji Hassan tersenyum mendekati Atuk Sutan Ali.
"Mana anak mike, bang?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Teman dah hantor dia duduk serumah dengan Cikgu Siti Rahmah. Eloklah tu, deme sama-sama bujang. Kalau anak teman tu terpaksa duduk dengan orang dah berkeluarga, teman susah hati juga" kata Tok Haji Hassan.
"Ate, lepas ni Abang nak ke mana. Kalau ada masa, moh le ke rumah teman" pelawa Atuk Sutan Ali. Kemesraan mereka semakin terserlah. Tok Haji Hassan merasa gembira kerana punya kenalan di kampung tempat anaknya mengajar.
"Tak apalah. Abang risau nanti sampai ke rumah dah malam. Lain kali saja, ye!! Risau kakak kamu tu tinggal seorang" Tok Haji Hassan menolak dengan sopan.

Atuk Sutan Ali tercegat lagi di tepi jalan raya itu memandang Haji Hassan yang melambainya dari dalam bas. Ahhh... budi tidak dapat dijual beli. Masih terngiang-ngiang di telinganya akan pesanan Haji Hassan sewaktu lelaki itu ingin menongkah tangga bas.
"Adik, teman ni duduk jauh. Jauh itu jugalah anak teman dari mata teman. Anak teman perempuan. Susah hati teman memikirkan tentang hidup dan keselamatannya di kampung ni. Adik tolong tengok-tengokkan dia, ye!!"
"Insya-Allah, Abang. Abang jangan risau"

Saya menumpang dagu keasyikan mendengar cerita Atuk. Atuk tiba-tiba bagaikan tersedar dari lamunan. Dia serta-merta tersenyum sambil matanya bersinar menatap wajah saya.
"Tak sangka. Sampai ke sudah aku tengok Mak kamu...!!"

17 comments:

Lan Rambai said...

ko ni.. tak dapat dgn apak ko.. dgn atuk ko ko korek rahsia ya hahaha

pB said...

wah...tak sabor nak baca sambungnya..

heran eks..kenapa bila kita tanya mak ayah tentang pertemuan, mereka , jarang mereka nak berterus terang..

mak kak pB pun tak pernah nak jawab bila kak pB tanya 'macam mana kenal dengan ayah'

Iman Mawaddah said...

Suasana kampung, kisah bot penambang, bahasa yang digunakan terasa sangat dekat dengan saya.

kingbinjai said...

cepat sambung

achik said...

wah2 korek rahsia dari atuk..

Sang Perba said...

jodoh dan pertemuan ditangan tuhan.

Ghaz said...

Indera ...

Lepas ni kumpulkan hasil nukilan BLOG you ni , buat buku, macam Kadir Jasin ...

Seronok sangat baca .... pandai sungguh kamu mengarang!

KAMATO said...

cinta orang dulu-dulu...unik

BaYu SenJa said...

wah, dahsyat..
bayu jugak tak pernah nak ambil tahu pertemuan orang tua bayu ;)
cepat la sambung....

Sastri said...

waaa... kisah cinta yg klasik... tak sabar nak baca seterusnya...

blackpurple @ jowopinter said...

Apak kau baca tak blog kau ni Indera..?

khairyn said...

saya suka hujan sebesar biji jagung.. kalau batang jagung? hehehe.

suka dengar cerita orang tua-tua. Ayahanda pernah bercerita macamana dia berkahwin dengan bonda saya.. hahaha sungguh romantis sekali!

Bunga Rampai said...

Saya senyum-senyum baca...menarik.
Pasti panjang cerita ini kan? Saya akan baca.

Salam buat Indera :)

INDERA KENCANA said...

Lan,
Kerja mengumpul maklumat ni bukan ke boleh diambil dari mana-mana sumber? Aku rasa engkau pun tahu kan? Hehehehehe..

Kak pB,
Yelah. Hairan kan? Pada halnya apalah sangat nak disembunyikan tu..

Iman,
Suasana tu banyak yang dah berubah sekarang. Terutama Bot Penambang yang sudah tidak wujud lagi..

King,
Baik tuan.

Achik,
Nak hidup kena pandai... Hehehehe..

Zam,
Aku sokong kata-katamu itu.

Bro Ghaz,
Insya-allah kalau saya punya waktu terluang. Kalau Bro Ghaz suka, saya sangat berbesar hati.. :)

Kamato,
Cinta disulam pegangan agama, adat dan tatsusila.

Bayu,
Baik Puan...

Sastri,
Caranya pun klasik.

Bro BP,
Amboi, korang macam berjanji-janji je datang mengomen.
Apak tak baca blog. Komputer pun dia tak tahu macam mana nak on kan..

Khairyn,
Kalau ditimpa dek hujan sebesar biji jagung tu pun dah sakit, inikan pulak kena timpa dengan hujan sebesar batang jagung. Haiyoo.. naya!!.

Salam seharum mewangi Bunga Rampai,
Kisah ini pendek sahaja. Tak seperti ke Puncak Cita atau Perjalanan Mencari Bidadari Hati.

zwitterion said...

semua cerita Indera saya suka, termasuk yg akan datang..haha

INDERA KENCANA said...

Zwit,
Terima kasih banyak-banyak.

izinni said...

Suka! i like!