Monday, March 12, 2007

Cerita Mak kahwin dengan Apak (Bhgn 2)

Oleh kerana sudah sekampung, maka selalulah Mak berpapasan dengan Atuk Sutan Ali sewaktu Mak hendak ke sekolah mahupun balik dari sekolah. Atuk Sutan Ali akan sentiasa bertanya kepada Mak tentang mana-mana perkara yang dapat ditolong kerana Atuk Sutan Ali sudah berjanji dengan Tok Haji Hassan untuk melihatkan keadaan Mak. Walau bagaimanapun tidak banyak yang dapat ditolong oleh Atuk Sutan Ali kerana Cikgu Siti Rahmah yang tinggal serumah dengan Mak sudah cukup menjadi teman bagi Mak sekiranya Mak di dalam kesempitan.
"Ooo, Weh.." Atuk Sutan bersuara pada Opah Maryam pada suatu petang. Weh itu adalah panggilan semacam "awak" yang sering digunakan oleh orang dulu-dulu di Negeri Perak.
"Teman ingat, Teman nak kahwinkan Suria tu. Umur-umur macam dia tu, dah layak kahwin" kata Atuk Sutan Ali lagi. Opah Maryam termenung sahaja mendengar kata Atuk.
"Awak setuju tak?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Setuju apa?"
"Kahwinkan si Suria tu..." kata Atuk.
"Iyalah. Tapi kenalah tanya dulu pada dia. Dia hendak ke tak? Lagi satu dia ada duit ke tak?" jawab Opah Maryam.

Tiba-tiba terdengar bunyi deruan enjin Skuter Lambretta Apak membelah kesunyian kawasan Ara Serong itu.
"Panjang umurnya. Baru kita sebut-sebutkan dia, dia pun sampai" kata Atuk Sutan Ali tersenyum penuh makna. Opah Maryam berlalu ke dapur untuk menyediakan kopi O buat anak bujang kesayangannya itu.

"Ni, Suria. Abah nak tanya. Kamu di Pantai Remis tu dah ada kawan ke?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Banyak" jawab Apak
"Banyak..?? Berapa banyak?" tanya Atuk Sutan Ali cemas.
"Entah. Tak terkira"
"Kawan perempuan?' tanya Atuk lagi.
"Kawan lelaki"
"Laahh... aku maksudkan kawan perempuan" kata Atuk sambil mengusap-ngusap pangkal pelipisnya tanda kelegaan.
"Kawan perempuan tak ada" kata Apak sambil membelek-belek akhbar bertulisan Jawi yang terletak di atas meja di ruang tamu. Wajahnya nampak selamba.

"Umur kamu sekarang pun sudah 25 tahun. Abah rasa dah layak kahwin. Hendak tak, kalau Abah kahwinkan kamu dengan anak kawan Abah?"
"Kalau Abah dah suka, Suria ikut saja, Abah" kata Apak.
"Kamu dah cukup duit?"
"Buat masa ni, duit yang Suria ada tak banyak. Tapi Suria dah layak pinjam koperasi" kata Apak.
"Bagus. Kalau macam tu esok kita pergi tengok budak tu kat rumah Cikgu Siti Rahmah" kata Atuk Sutan Ali.
"Cantik tak Abah..?"
"Cantik..!! Macam anak dara Pak Din Ngokngek" kata Atuk Sutan Ali menyakat Apak.
"Itu tak cantik!!"
"Engkau ni, nak yang cantik saja"

Pagi esoknya, Atuk Sutan Ali membawa Apak ke tanah kosong milik abangnya yang terletak bersebelahan dengan rumah Cikgu Siti Rahmah. Konon-kononnya melihat tanah yang tidak diusahakan itu untuk dikerjakan dan ditanam dengan durian.
"Aki Chu buat apa kat dalam semak samun tu?" tegur Cikgu Siti Rahmah.
"Aku tengok-tengok je tanah tu. Tuan punyanya pun duduk jauh dari kampung ni. Tanah tu langsung tak diusahakan sampai naik hutan. Aku ingat nak bincang dengan abang aku tu nak tanam durian".
"Ooo.. tak naik dulu ke Aki Chu?"
"Tak apalah. Ustazah Aminah mana?" tanya Atuk Sutan Ali.
"Ada di dalam" kata Cikgu Siti Rahmah.
"Err.. kamu tolong panggilkan dia sekejap"

Mak turun ke laman tangga berjumpa dengan Atuk Sutan Ali. Kepada Mak, Atuk beralasan meminta alamat rumah Tok Haji Hassan di Parit kerana Atuk Sutan Ali berhasrat untuk mengunjungi Tok Haji Hassan di sana. Dari jarak 50 meter, Apak menyorok di sebalik Pokok Macang besar, khusyuk mengendap Mak. Jika dibawa Apak bersama, pasti Mak akan merasa malu dan tidak mahu turun ke laman tangga.

Setelah kata dipersetujui, Atuk Sutan Ali mengutus surat kepada Tok Haji Hassan di Parit memaklumkan kepada Tok Haji Hassan bahawa Atuk Sutan Ali akan menghantar utusan merisik Mak. Bagi Tok Haji Hassan pula, dia mengalu-alukan kedatangan rombongan itu dengan tangan terbuka. Setelah sah bahawa empunya diri masih belum diikat, Atuk Sutan Ali kemudiannya sekali lagi menghantar angkatan meminang Mak untuk Apak.

Sewaktu majlis peminangan itu dijalankan, sepupu Opah Saadiah yang bernama Md Yaacob yang mengepalai pihak perempuan menerima kedatangan pihak lelaki. Oleh kerana pihak lelaki itu datang dari keluarga yang tinggal berjauhan dengan kampung Mak, Tok Md Yaacob merasakan bahawa Apak bukanlah calon yang sesuai untuk anak saudaranya. Orang dahulu punya cara yang sangat halus untuk menolak pinangan. Untuk mengatakan "tidak" itu tentulah sangat tidak beradab. Cara yang paling sesuai ialah dengan menetapkan belanja yang tinggi dengan harapan pihak lelaki akan mengundur diri. Oleh yang demikian, belanja hantaran sewaktu itu kebiasaannya hanya bernilai RM500.00 telah dinaikkan oleh Tok Md Yaacob menjadi RM700.00. Akhirnya, isu perbelanjaan perkahwinan ini menjadi duri dalam daging bagi kebahagiaan Mak bersama Apak setelah keluarga Apak, terutamanya sebahagian dari saudara mara Apak menjadikan isu ini untuk membenci Mak.

Tanpa diduga, Apak menyetujui syarat yang ditetapkan. Maka bertunanglah Mak tanpa mengetahui akan rupa dan bentuk orang yang ditunanginya. Yang diketahuinya cuma perkara asas. Tunangnya itu, seorang guru dan anak kepada Pakcik Sutan Ali yang telah menjadi rakan karib ayahnya itu.

13 comments:

zwitterion said...

yeah..first..hehe..ada sambungan lagi tak?

INDERA KENCANA said...

Ada. Tapi sikit je lagi. Mungkin satu lagi entri habis la kot..

pB said...

dulu 500 besor nilainya.
buleh kawin tu..

sekarang 500, beli susu dan pampers anak, pun , belum tentu cukup...

Sastri said...

hmm... sempat ye Apak Indera skodeng jap... LOL

ZaKiN said...

uiii.. lama bebenor tak kemari. Banyak entri tuan yang tertinggal daripada pandangan mata saya. huhuhuhu.. Best sungguh tau citer camna org tua boleh bertemu jodoh erk.. huhuhuhu.. citer la lagi.. hehehe

areyoung said...

Wahh.. apa lagi konflik yg akan timbul ya? ;)

izinni said...

NEXT!

BaYu SenJa said...

wah.. pernah juga terdetik di hati bayu, biarlah jodoh ini orang tua yang tentukan... macam kisah orang tua indera :)
lepas tu?!!

Unknown said...

alkisahnya... hehe

kingbinjai said...

kesian mak

achik said...

huhu apak ngendap di balik pokok macang ;p

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Sekarang RM500.00, setengah hari je boleh dihabiskan...

Sastri,
Skodeng adalah cara yang paling effective pada masa itu..

Zack,
Citer pertemuan yang klasik

Areyoung,
Bacalah entri yang seterusnya

Izinni,
Selamat datang berkunjung...

Bayu,
Jika mengikut pandangan saya pula, lebih baik mencari jodoh atas pilihan kita sendiri dengan syarat berestukan orang tua.

Linda & King,
Hai... macam tu lah..

Achik,
Pokok Macang besar. Penggusti sumo pun boleh menyorok di belakangnya

hayad said...

fuh, ramai org dlu2 kawen tak kenal rupe pd mulanya