Monday, March 19, 2007

Cinta



Kalau benar cinta itu buta
Siapakah jadi mangsanya?
Kalau cinta itu cinta setia
Menangis ketawa sama ha ha ha
Kalau cinta boleh beli cinta
Berapa pula harganya
Alangkah indah kita dicinta
(Maaf! tidak dihafal hahahahaha)

Hahahaha.... saya kembali!! Dengan semangat baru!!. Maafkan saya kiranya entri saya yang lepas itu berbau keputus-asaan yang sangat kuat. Maaf juga kiranya saya menyinggung hati mana-mana pihak. Setelah merenung dalam diri serta kata-kata yang dilontarkan oleh teman-teman blogger, saya mengakui kelemahan saya dan bertaubat banyak-banyak atas kekhilafan saya sebagai hamba. Benar kata Izinni, saya tidak bersyukur dengan kurniaan ilahi dan benar juga kata Bro BP bahawa saya terlalu passimistik.

Azah tidak berapa sihat. Sakit Senggugut yang kuat. Ditambahi pula dengan sakit kepala yang mencengkam urat kepalanya menjadikan dia kurang upaya melakukan tugas harian. Kasihan.. Saya hanya mampu mengurut-urut kepalanya, namun itu tetap tidak dapat melegakan kesakitan yang dihadapinya. Ingin dibawa ke klinik, dia enggan. Akhirnya kami suami isteri dan anak-anak tertidur dalam perbualan yang panjang. Sedar-sedar azan subuh berkumandang dari masjid yang berhampiran.

Siri Aufa sudah semakin degil dan enggan mendengar kata. Dia akan berteriak dan menengking adiknya sekiranya ada perkara yang menaikkan kemarahannya. Akhirnya kerana tidak tahan melihat Adil Rayyan asyik dibuli olehnya, saya membawanya ke rumah Mak. Sepanjang ke rumah Mak itu, dia merengek meminta dipasangkan kaset bacaan Al-Quran. Sepanjang jalan itu juga dia tekun mendengar bacaan Al-Quran Surah Al-Maidah menerusi radio sambil kadang-kala bertanyakan itu dan ini tentang perkara yang dilihatnya sepanjang jalan.

Sebaik sahaja bacaan Al-Quran di kaset itu tamat, dia mengeluarkan kaset itu sendiri. Secara automatik, radio akan mengambil alih peranannya.
"Lagu apa ni, Baba?" tanyanya. "Kak Long tutup ye.. Lagu tak elok" katanya.
"Tutuplah radio tu kalau Kak Long tak suka" kata saya memberi keizinan sambil mata saya memerhatikan gelagat orang yang turun dari bukit hospital. Kereta yang saya pandu hanyalah pada 50km sejam.
Sebentar kemudian, DJ radio itu memutarkan lagu terbaru Amy Mastura yang bertajuk Cinta jika tidak salah saya.
"Baba, lagu Puteri..." kata Siri Aufa.
Baru saya teringat bahawa lagu itu adalah lagu tema sitkom Puteri.

Kalau benar cinta itu buta
Siapakah jadi mangsanya
Jika cinta itu cinta setia
Menangis ketawa sama ha ha ha...

Siri Aufa kemudian menggoyangkan tangan dan beraksi seperti lenggok Nora Danish di dalam promo Sitcom Puteri itu. Saya yang pada asalnya menggerutu dalam hati melihat pengaruh television ke atas anak saya kemudian tidak sampai hati hendak menutup radio itu. Akhirnya saya terkekeh-kekeh ketawa melihat aksinya ditambahi pula dengan perkataan ahaaa.. di hujung lagu itu yang disebut dengan jelas oleh Siri Aufa. Ini menunjukkan betapa television memberi pengaruh yang kuat kepadanya sejak akhir-akhir ini. Sudahnya dalam kelucuan itu saya juga turut menyanyi bersamanya.

Sampai di rumah Mak, keadaan masih pagi lagi. Suasana sekeliling sunyi sepi. Daun-daun rambutan kering memenuhi halaman. Mungkinkah Mak tidak sihat? Biasanya jika Mak tidak sihat, dedaunan kering itu adalah isyarat bahawa Mak tidak upaya menggerakkan badannya. Membersihkan halaman rumah itu adalah senaman rutin bagi Mak. Selain daripada dapat membersihkan keliling rumah, ianya dapat menyegarkan badan.
"Badan Mak ni je yang tak mahu nak kurus. Kalau ikutkan senaman, apa yang Mak tak buat?" beritahu Mak pada saya di suatu petang.

"Saya ingatkan Mak tak sihat" kata saya sebaik sahaja melihat Mak tersenyum memandang kami dua beranak.
"Sajalah Mak nak berehat.." kata Mak.
Siri Aufa dan Fatin sedang leka menyusun huruf-huruf di papan Sahibba. Fatin menyusun huruf-huruf menjadi perkataan-perkataan yang mudah sesuai dengan umurnya yang baru berusia 9 tahun. Manakala Siri Aufa hanya meniru kelakuan Fatin. Huruf yang disusunnya tunggang terbalik sesuka hati.

Saya mengadu masalah saya pada Mak. Mak hanya menyuruh saya bersabar.
"Ingatlah, walau bagaimana teruknya kamu diuji, masih ramai lagi yang menyayangi kamu. Dan yang terutama, selalu Mak ingatkan kamu. Ujian Allah itu tanda Allah mengasihi kamu, Indera!!"
"Ya, Mak. Saya tahu itu. Cuma saya sahaja yang terlupa..."

Sewaktu memandu pulang ke rumah mertua, saya singgah ke kedai Tok Bi, membelikan Aiskerim Malaysia perisa jagung kegemaran Siri Aufa. Bendang terbentang luas dengan matahari memancar garang mendaki tinggi kaki langit di sebelah timur. Seekor burung gelam terjongket ekornya, terkejut dengan kehadiran kereta saya. Burung itu melompat terbang beberapa ela dan mencari makan kemudiannya seolah-olah kedatangan saya itu langsung tidak menakutkannya.

Bila kusedari
Diri disayangi
Langkah kaki ini semakin berani
Bilaku keliru
Kusebut namaMu
Terasa diriku kembali di pangku

Kau yang pertama
Tiada akhirnya
Aku dalam kegelapan
Dikaulah cahaya
Izinkan aku menumpang di sini
Di bawah naungan kasih dan sayangMu
Kuberserah diri..

15 comments:

Lan Rambai said...

nama lain bagi tv ialah the idiot box hehe. tapi kalau takder tv, aku yg mati kutu pulak. budak2 sekarang bangun tido je bukak tv. malam nak tido pun depan tv.

achik said...

hehe comelnya Siri Aufa... budak2 mmg cepat tangkap benda2 kat tv..

suka lagu yg bawah tu...

zwitterion said...

anak sedara saya boleh terikut-ikut cakap indon sebab tgk bawang putih bawang merah..haha.
Indera, kuatkan semangat!

kingbinjai said...

dude, kalau wife kau sakit kepala biasa, bagi dia minum hundred plus dicampurkan dengan air suam sejuk. setengah gelas air suam, setengah gelas 100 plus. cubalah. aku pernah buat utk mak mentua aku.

kalau wife kau migrain, seeloknya jumpalah doktor, amik ubat. pastu amalkan mandi pagi sebelum solat subuh. baik untuk mengurangkan migrain.

izinni said...

Alhamdulillah. Semangat Indera dah datang semula. :)saya tumpang lega.

Isteri sakit kepala ya? Saya selalu juga sakit kepala. Ubat paling mujarab ialah TIDO. tapi kalau migraine dah menyerang .. aduuhhhh ... macam nak meletup. Seeloknya berehat di dalam bilik gelap. Kalau terang, makin sakit kepala tu. Kalau teruk sangat, elok ke klinik. Jangan makan makanan yang ada aji, elak kafein.

As for senggugut ... jangan minum air sejuk. time datang bulan, amalkan minum air suam atau panas je. bila masak lebihkan halia atau lada hitam. yang penting badan kena sentiasa panas.

btw, sedap nama Siri Aufa. Apa maknanya ya?
Saya amalkan Al-Fatihah, 3 Qul dan Al-Insyarah kemudian tiup di uban anak2 sebab depa selalu juga suka gaduh dan marah-marah. InsyaAllah :)

Ghazali said...

Indera ...

Saya pernah terfikir apa dosa atau salah kami di kurniakan anak istimewa ...

Sebenarnya saya silap ...

Allah tahu akan kemampuan hambanya ... di uji hamba nya dgn ujian yg mamou di pikul oleh hambanya ...

Hanya orang yang pasrah dan tabah sahaja akan merasakan nikmat ujian Allah ...

Maka pasrah dan tabah serta menerimanya dgn hati yg redha ...

Insya Allah , kemanisan pasti menjelma.

INDERA KENCANA said...

Lan,
Sebabnya sekarang ni kartun ada sepanjang masa. Aku tengok anak sedara aku sampai gemuk badan tak kuar rumah bermain. Asyik mengadap TV.

Achik,
Lagu kumpulan UK's. Saya suka senikatanya.

Zwit,
Siri Aufa suka cakap, "Ya ampuuunn..". Aduuhh!!

Thanks Zwit.


King dan Izinni,
Wahh.. ini boleh dibukukan dalm 1001 petua ni.

Izinni,
Boleh atasi masalah anak selalu bergaduh..??

Salam untuk Ayahanda Iman.
Bro Ghaz,
Saya juga dah tengok Iman di blog Bro Ghaz. Dia sangat comel, manja, keletah dan bijak. Mudah-mudahan di kemudian hari Iman akan sentiasa diberkati Allah.

Betul kata Bro Ghaz, kita ini diuji dengan ujian menurut kemampuan kita. Asalnya seolah kita akan condong dan tumbang. Namun ujian itu sebenarnya yang akan menguatkan jiwa kita lagi. Saya tahu itu. Cuma kadang-kadang tu Bro Ghaz, saya terlupa. Saya juga terlupa bahawa di dunia ini setiap manusia itu beroleh satu dan terlepas satu perkara lain. Saya sangat menghargai teman seperti Bro Ghaz yang dapat menyokong/mengingatkan saya. Pengalaman Bro Ghaz saya jadikan panduan. Terima kasih Bro Ghaz.
(Tapi, apa rahsia Bro Ghaz selalu maintain ceria,gitu? Berguru dengan Bob MESRA ke?)

~inilah saya~ said...

Kamu boleh menulis. Tidak kah kamu berminat untuk menghasilkan sebuah buku sendiri?

khairyn said...

salam indera,

Alhamdulillah. Sakit seorang isteri pasti reda bila mendapat belaian seorang suami.Chewah!

Siri Aufa, keletah!

pB said...

moga hati Indera dah tenang

insyaallah semua yang mendatang akan dpt diatasi dengan berkat usaha dan doa....

Tv , memang idiot box. Tapi mcm Lan juga, kalau tak der idiot box tu, kak pB pun mati kutu. Padahal byk lagi perkara yang lebih berfaedah boleh dibuat...

Sastri said...

Indera... err.. Sas nak cadangkan ambil jamu, susah plak nak kata jamu mana... tapi kalau boleh amalkan ambil Evening Primrose Oil... mungkin akan memberi sedikit kelegaan kepada senggugut yg dihidapi oleh isteri Indera...

lagu yg akhir tu mengingatkan Sas masa ke kem motivasi tahun 2002... boleh mengalir airmata jika menghayati liriknya itu kerana menyedari kekurangan diri...

INDERA KENCANA said...

Qasseh,
Huuii.. memang nak sangat. Memang itulah yang dihajati selama ini

Kak pB,
TV sudah menjadi semacam keperluan dalam hidup manusia sekarang. Hidup boleh jadi buntu kerana tiada TV. Kata orang Perak, Buntu Kaghei yang berasal dari nama sebuah tempat iaitu Karai. Di Karai itu ada jalan mati. Maka ramailah yang kebuntuan setelah melalui jalan itu sehingga disebut sehingga sekarang Buntu Karai atau mengikut sebutan orang Perak, "Buntu Kaghei".

Sas,
Saya pun pernah dengar khasiat Primrose Oil. Tapi selalu saya confuse antara Primrose Oil dengan French Oil...

Iman Mawaddah said...

Hehe cutenya..bukan Indera..tapi Siri Aufa. Migrain tu kalau ikut perubatan Islam campurkan garam dan lada hitam kemudian letakkan dalam lapisan surat khabar (2 muka surat). Kemudian suruh Kak Azah pijak2 atas paper tu. InsyaAllah mujarab. Sebab garam dan lada hitam bila bercampur ada enzim2 yang boleh melapangkan saluran darah yang tersekat. Semua ini ada diterangkan dalam Al-Quran. Ibarat reflexology. Kawan saya ada yang mencuba alhamdulillah berjaya. Cubalah mudah2an berjaya. Panjang pula celoteh bomoh amatur ni..

blackpurple @ jowopinter said...

Aku simpulkan, kau sebenarnya bukan pesimistik Indera.........

Bila membaca tulisan-tulisan kau dari dulu hingga kini, aku rasa kau mempunyai 'kekuatan' sebenarnya, cuma agaknya kau tak yakin dengan kebolehan dan kekuatan yang kau miliki.

cik kiah said...

Baru ketemu dgn blog nie..menarik..Cantik nama Siri Aufa tuh..roomate di asrama SMKA dulu pun nama sama cume ejaan sajer yg lain Sirri Aufa dan dier alhamdulillah graduated from Jordan dan pensyarah di UIA..moga Siri Aufa Junior pun gitu gak..cute gitu..