Wednesday, March 21, 2007

Fast Food



Pejabat saya bersaiz kecil. Terletak di pinggiran ibukota. Penghuni di pejabat itu juga tidak ramai. Empat orang pengarah syarikat dan seorang pekerja. Pekerja itu adalah saya.

Syarikat kami menjalankan perniagaan jururunding kewangan dan pelaburan. Syarikat tempat saya bekerja ini hanya bermodalkan pakaran mereka yang mahir dalam selok belok bidang kewangan dan bukan yang melibatkan hal-hal teknikal. Maka tidak hairanlah, di pejabat kami terlalu kurang perkakasan yang bersifat teknikal. Seorang pekerja sudah cukup untuk menangani perjalanan harian pejabat yang kecil ini.



Sungguhpun pejabat ini kecil, namun setiap pelawat yang berkunjung ke pejabat kami akan dapat merasakan aura professional yang menjadi etika kerja majikan saya. Ini termasuklah susun atur hiasan dalaman dan juga perkara lain seperti penataan cahaya. Ruang bilik mesyuarat itu selalu menjadi tempat di mana kerjasama akhirnya diikat. Di ruang pantri, lengkap dengan perkakasan eletrik seperti peti sejuk dan juga microwave oven.



Saya diterima bekerja di situ setelah saya mengenali Kak Nazatul, isteri kepada salah seorang Boss saya iaitu Encik Zuhairi. Sebelum bermulanya sesi temuduga dengan pengarah syarikat, saya sudah diberikan "taklimat" awalan oleh Kak Nazatul tentang segala hal yang bakal saya hadapi sekiranya saya diterima bekerja.



"Nanti Indera tolong tengokkan suami Akak, Zuhairi tu. Dia tu ada Diabetes.."



"Apa dia Kak?"



"Kencing Manis laa.. Tengok dan tegur cara pemakanannya jika Indera rasa tak sesuai. Akak tak mahu jadi janda.." kata Kak Nazatul.



Hahahahahaha... kami ketawa.



Setelah lama bekerja, saya mula memahami akan sikap dan kehendak setiap pengarah yang ada di syarikat ini. Keempat-empat pengarah yang semuanya lelaki itu mempunyai cara bekerja mereka yang tersendiri. Masuk saya, hanya kami berlima di pejabat ini. Semua lelaki. Tiada sekuntum kembang pun yang menyeri pejabat ini di kala kelesuan.



Penyakit Kencing Manis yang dihadapi oleh Encik Zuhairi berada di tahap yang sederhana. Namun terdapat satu perkara yang menarik hati saya tentangnya. Encik Zuhairi ini langsung tidak menjaga tabiat pemakanannya. Dia akan makan apa sahaja mengikut seleranya. Sementelahan pula orangnya memang berharta. Perkara mengeluarkan wang bagi membayar bil makan tengahari sebanyak RM50.00 itu seperti saya mengeluarkan 50 sen sahaja baginya. Yang paling digemarinya ialah hidangan Burger King, iaitu Set Whopper bersaiz besar dengan segelas besar air Coca-Cola. Tetapi mesti Coca-Cola yang kurang gula.



Saya sering tertawa sendirian apabila memikirkan tentang perbezaan Coca-Cola biasa dengan Coca-Cola kurang gula. Paras gulanya tetap melebihi daripada keperluan harian untuk badan. Saya tidak lagi hairan apabila memikirkan bagaimana dia yang baru berusia 35 tahun sudah mengidapi Diabetes tahap sederhana kerana kurangnya perhatian terhadap pemakanan. Sekiranya pengarah-pengarah yang lain turut sama berada di pejabat, dia akan mengawal sedikit cara pemakanannya kerana rakan kongsinya yang lain itu akan menegur cara pemakanannya. Sekurang-kurangnya dia akan merasa malu-malu asam. Namun jika hanya dia dan saya sahaja berada di pejabat ini, saya akan menjadi sekutu kuatnya. Ini kerana tiada siapa yang akan menegurnya. Saya hanyalah seorang pekerja. Apalah yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja untuk memperbetulkan cara pemakanan Bossnya.



"Indera, kita nak makan apa tengahari ni?" tanya Encik Zuhairi.



"Entah. Ikut Boss la.. Kalau Boss nak, saya boleh pergi beli.. Saya punya, tak payah pun tak apa"



"Haa.. kalau macam tu kita makan fast food. Engkau pergi Burger King. Aku nak set Whopper. Besar. Tambah sebiji lagi Whopper. Satu tak cukuplah. Untuk engkau, engkau belilah apa yang engkau suka.."



Tengahari itu kami makan tengahari menjamu selera dengan set Whopper sambil bergelak ketawa menonton klip video "My Hump" dari Black Eye Peas menerusi komputer riba milik Encik Zuhairi.

Satu hari, dia masuk ke pejabat dalam keadaan tergesa-gesa.

"Indera, cancel appointment saya petang ni. Saya kena pergi ke Gleneagles Intan. Jari saya dah masuk nanah"

"Kenapa Boss?"

"Diabetes tu lah. Hari tu aku kupas kacang pistachios. Sekali tu cengkerangnya tercucuk dalam jari aku. Aku ingatkan tak ada apa-apa. Sekarang dah bernanah pulak.."

"Nak kena potong ke nanti, Boss?"

"Hisshhh engkau ni. Celupar mulut!!"

Beberapa hari kemudian Encik Zuhairi masuk semula ke pejabat. Keadaannya sudah stabil. Dia kembali ketawa riang bersama rakan kongsinya. Banyak nanah yang keluar, komennya. Saya sekadar mendengar. Tengahari itu pula, dia membeli satu pek Coca-Cola kurang gula bersaiz jumbo. Hampir 15 botol kesemuanya disumbatkan ke dalam peti sejuk.

"Lepas ni kalau Boss masuk hospital lagi, Boss jangan risau. Kita dah ambil insurans dengan ING" kata saya.

Encik Zuhairi sekadar tersengih.

15 comments:

kingbinjai said...

pesanan kakak itu adalah amanah yang perlu kau langusng kan. :)

zwitterion said...

tegur je Indera..tapi tu la, nak kata dia x tau akibatnya..pasti dia tau kan..hmm..

Unknown said...

huwaaa lapaq burger king..!! kat sini tadek laaa isk iskk

achik said...

selalunya makin x boleh.. itu la yang plg disuka...

mak mertua kakak saya kena potong ibu jari kaki akibat diabetes... dia mmg masak apa pun suka letak gula...

izinni said...

uikss ... kakak tu suruh hang nengokkan husband dia, hang pulak join sekali. hehehhe .. sian kakak tu. nilai pampasan insuran yang kakak tu dapat nanti tak sama dengan nilai nyawa suami dia yang tak sedor diri tuh!

anyway ... it's fast food minus the "s" :)

pB said...

agaknya orang lelaki ni kalau bab berpantang memang payah...

sebab tu lah jugak kot, kenapa lelaki tak mengandung dan bersalin..

tak leh imagine kalau lelaki kena berpantang 100 hari ... dan kena makan makanan yang berpanggang sahaja..

moga boss Indera akan sedar dan terus berubah...

INDERA KENCANA said...

King,
Aku jalankan juga amanah Akak tu, tapi dengan cara halus la..

Zwit,
Nak tegur boss ni ada cara juga Zwit. Silap hb, benda baik jadi buruk.

Linda,
Kat sana takde, ek? Sian...
Meh datang Sri Hartamas. Saya belanja Linda dengan Dayah kat BK.

Achik,
Kebanyakannya orang kena Diabetes memang tabiat pengambilan gula yang melebihi had. Saya takut juga sebab kat dalam freezer itu banyak lagi Coke. Geram je tengok bila tiap kali bukak peti ais.

Izinni,
Cuba teliti, ayat terakhir di dalam blog yang saya katakan pada Zuhairi. Ianya sinikal, bukan?

The syntax error was noted. Thank you.


Kak pB,
Kerana itulah secara jujurnya saya katakan pada Akak yang saya sangat mengagumi keupayaan orang wanita. Jika diukur pada tenaga memang jauh beza dari lelaki. Tetapi jika diukur dari segi ketahanan mental dan ketabahan, memang lelaki biasanya akan jauh ketinggalan dalam masyarakat kita. Kerana sebab yang saya nampak, lelaki dalam masyarakat kita terlalu dimanjakan sejak turun temurun. Kerana itu ada gelaran ibu mithali, atau syurga di bawah tapak kaki ibu.

Tetapi lelaki pun bagus juga...

Iman Mawaddah said...

Wahh...dah pandai upload gambar. Cadangan saya tampal poster2 diabetes e.g kaki luka ke, jari hitam ke di keliling pejabat. Kalau tak pun di pantry sahaja. Pasti dia ngeri dan fikir banyak kali sebelum makan.

blackpurple @ jowopinter said...

Seumur hidup aku belum pernah lagi menyentuh Burger King tu. Kalau burger lain ada la....:)

Apa-apapun beringat sebelum kena......Nampaknya kau kena 'tegur secara berhemah' juga tu Indera.... :)

KAMATO said...

mencegah itu lebih baik dari mengubat, oleh itu elok la suruh bos tu janagn makan gula

Sastri said...

ih ih, indera ni... makan bersama lak tu... ini lah namanya sokong membawa rebah (sas ske ngat guna ni, LOL)... nak kena ajak Blackie pekena burger king ni, at least dia merasa sekali... tapi Blackie ni mmg tak suke ngat fast food... terbalik dgn Sas, LOL

Izariza said...

Indera,

Memang bukan mudah nak mengajak orang berubah kan. Apatah lagi jika yang terlibat bukan lagi rebung, sebaliknya bapak buluh. hehe..

Tapi saya rasa, manusia penuh hikmah seperti kamu pasti mampu membantu, mudah-mudahan ;)

INDERA KENCANA said...

Iman,
Alhamdulillah dengan berkat tunjuk ajar rakan-rakan, menjadi akhirnya.
Kalau saya tampalkan di pejabat, alamatnya itulah minggu terakhir saya di pejabat sebelum dipecat.

Bro BP,
Saya tetap akan cuba menjalankan amanah yang diberikan. Tetapi dengan cara yang sangat halus. Supaya tiada hati yang akan terluka.

Saudara kamato,
Bagaimana ingin melarang tabiat yang sudah mendarah daging? Saudara ada cadangan yang boleh dikongsi dengan saya..??

Sastri,
Bro BP itu punya selera Nusantara yang sangat kuat. Sas patut berbangga dan saya juga berbangga mengenalinya di blog.
Pizza dia makan tak?

Izariza,
Kata orang, apabila sudah menjadi buluh, sudah lewat untuk dilenturkan. Alamat patah sahajalah tu..

~inilah saya~ said...

aduhhh!!! macam-mcam hal sekarang ni kan..

Air Zamzam Water said...

fast food memang diciptakan oleh yahudi untuk lingkupkan umat Islam.lihatlah kandungannya di ngr Islam dan bagaimana pula kandungan fast food di US dan Europe. begitu juga tabiat pemakanan dan syor2 yahudi kpd muslim berkaitan dgn pemakanan yang bertujuan untuk mewujudkan penyakit dan kematian kpd umat islam