Thursday, March 01, 2007

Walinong Sari (Bhgn 2)

Melihat sahaja akan burung merpati putih itu, hati baginda terus tertawan. Lantas diperintah juak-juak pengiring menangkap burung merpati itu. Anehnya burung merpati itu langsung tidak melarikan diri. Seolah merelakan dirinya ditangkap oleh juak-juak itu pula. Puteri Wanang Seri merasa amat sukacita mendapat burung yang jinak itu. Terus sahaja baginda membelai dan bermain-main dengan burung merpati itu.
"Siapakah gerangan engkau wahai burung merpati? Kenapa beta tiba-tiba jatuh kasih kepadamu. Katakanlah wahai burung.." madah baginda seolah-olah burung itu memahami kata-kata baginda.
Burung merpati itu terbang hinggap di atas jari telunjuk Puteri Wanang Seri.
"Kenapa Tuan Puteri menutup wajah Tuan Puteri?" tanya Inang Pengasuh.
"Entahlah inang. Hati beta merasa berdebar-debar melihat burung merpati ini. Beta merasa malu pula. Seperti burung merpati ini seorang lelaki layaknya..."
Mendengarkan madah Puteri Wanang Seri itu sekelian inang ketawa lucu.
"Ada-ada sahaja Tuan Puteri ini.. Inikan hanya seekor burung?" kata Inang Tua.

Setelah terlerai segala lelah yang mengikat urat saraf, tibalah masanya rombongan itu berangkat meneruskan perjalanan.
"Terbanglah engkau wahai merpati. Beta tidak dapat hendak membawa kamu bersama kerana beta tidak sampai hati hendak mengurung kamu di dalam sangkar. Kamu tentu inginkan kebebasan. Berat rasanya hati beta hendak berpisah dengan kamu. Hati beta sudah jatuh kasih padamu wahai burung. Walau bagaimanapun pulanglah engkau ke tempat asal engkau. Selamat jalan, burung..."
Ketika itu airmata hiba Puteri Wanang Seri jatuh ibarat karang yang berderaian. Burung merpati itu kemudian terbang jauh melintasi kolam itu.

Setelah rombongan itu berangkat pergi, burung merpati itu bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara. Tahulah Raja Mambang Segara bahawa Puteri Wanang Seri itu seorang puteri yang budiman. Walaupun Puteri Wanang Seri itu sekadar memperlihatkan matanya, namun Raja Mambang Segara dapat merasakan bahawa puteri itu tersangat jelita. Hati Raja Mambang Segara sudah terpikat. Tanpa berlengah, baginda menuruti jejak rombongan itu menuju ke Pekan.

Ada pun rombongan Puteri Wanang Seri itu tiba di Pekan. Pekan merupakan sebuah kota yang sibuk dengan pasarnya. Hamba rakyat yang mendiaminya sangat ramai dengan aneka jualan dan juga permainan di dalam pasarnya. Rakyat jelata apakala mengetahui rombongan Puteri Wanang Seri mengunjungi kota itu, terus sekelian hamba memberi pelbagai hadiah buat tuan puteri dan juga Paduka Bendahara.

Raja Mambang Segara yang baru tiba di Pekan itu kemudian menukarkan dirinya menjadi seorang pemuda buruk yang berpakaian compang camping. Baginda kemudiannya mendekati usungan Puteri Wanang Seri lalu menghulurkan sebiji talam yang sangat cantik ukirannya.
"Ampun Tuanku, sembah pacal yang hina. Terimalah pemberian yang tidak seberapa dari hamba yang hina ini..."
Puteri Wanang Seri menarik tabir usungan. Dilihatnya seorang pemuda buruk sedang memegang talam yang sangat halus buatannya. Dilihatnya pemuda itu sangat comot tetapi matanya bercahaya dan bersinar galak. Puteri Wanang Seri merasakan darahnya menyimbah naik ke muka apakala menentang sinar mata pemuda miskin itu.
"Terima kasih orang muda. Beta merasa berbesar hati menerima hadiah dari kamu.. Budi kamu beta junjung"

Setelah memperolehi Kain Cindai Kulit Manggis 7 bidang itu, rombongan itu pulang ke istana. Malamnya pula Puteri Wanang Seri tidak dapat melelapkan mata, asyik terkenangkan pemuda comot itu. Kesokan paginya, sebaik sahaja ayam berkokok dan fajar menyinsing, Puteri Wanang Seri sudah bersiap-siap berlanggir untuk menuju ke Pekan dengan ditemani oleh inang-dayang dan juga juak-juak.

Seperti hari sebelumnya itu, Puteri Wanang Seri bertemu dengan pemuda yang memakai pakaian compang camping itu lagi. Kali ini pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekaki payung berwarna kuning.

Hari yang ketiga, Puteri Wanang Seri turun lagi mengunjungi Pekan. Hari yang ketiga itu, pemuda itu menghadiahkan Puteri Wanang Seri dengan sekuntum Bunga Melur.
"Orang muda..." titah Puteri Wanang Seri.
"Patik, Tuanku.."
"Tahukah kamu bersilat dan bermain senjata..?" tanya tuan puteri.
"Hamba erti sedikit-sedikit, Tuanku" jawab pemuda itu.
"Mahukah kamu kalau beta mengajak kamu bersayembara di gelanggang silat?" tanya Puteri Wanang Seri lagi.
"Jika itu sudah kemahuan Tuanku, patik menurut sahaja..."

Maka hari sayembara itu ditetapkan. Sekelian hamba rakyat keluar menyaksikan pertarungan persilatan antara Puteri Wanang Seri dengan pemuda miskin yang ditemuinya di Pekan. Sebaik sahaja ditiup nafiri, Tuan Puteri Wanang Seri masuk ke gelanggang silat lengkap berpakaian kebesaran. Bertudung menutupi wajahnya sebagai tanda menjaga maruah puteri melayu. Di gelanggang persilatan, pemuda comot itu sedia menanti.

Puteri Wanang Seri sangat perwira dan tidak pernah kalah walau sekalipun sebelum sayembara itu. Baginda merasa amat pasti bahawa baginda akan memenangi pertarungan itu. Kedua-dua belah pihak saling bertukar pukulan dan buah kilas. Sesekali jurus yang dikeluarkan adalah jurus kebatinan yang memukul dari jauh. Segala pukulan yang ditujukan ke arah pemuda itu dapat dikesampingkannya dengan sempurna malah ilmu persilatan pemuda itu jauh lebih hebat daripada ilmu pertempuran Puteri Wanang Seri.

Mereka saling berasak-asak dengan pukulan yang merbahaya sehingga akhirnya pemuda itu melancarkan jurus pukulan yang sangat hebat. Puteri Wanang Seri tahu bahawa dia akan tewas dalam sayembara itu. Bagi menjaga maruah istana, baginda merasakan bahawa baginda harus memenangi sayembara itu walau dengan apa cara sekalipun. Di saat yang genting itu, Puteri Wanang Seri menarik tudung yang menutupi wajahnya lalu terlihatlah seri cahaya wajahnya yang gilang gemilang. Melihatkan kecantikan puteri itu, pemuda comot itu terus jatuh pengsan akibat gelora nafsu yang tidak tertahan.

Sebaik sahaja pemuda comot itu pengsan, hilang sementara waktu segala kesaktiannya. Pemuda comot itu tidak semena-mena bertukar semula menjadi Raja Mambang Segara, lengkap berpakaian kebesaran serta busar panahnya terletak di sisi. Melihatkan hal itu, Puteri Wanang Seri segera menitahkan agar Raja Mambang Segara yang masih tidak sedarkan diri diusung naik ke istana.

Raja Mambang Segara pengsan tidak sedarkan diri selama setengah hari. Peristiwa itu disaksikan oleh Raja Laksamana Petir dari Kemuncak Gunung Tahan melalui cermin hikmat baginda. Baginda merasa amat murka terhadap Raja Mambang Segara kerana tidak harus keturunan baginda tewas dengan kecantikan seorang manusia. Baginda kemudian menghantar utusannya untuk mengambil Raja Mambang Segara yang masih belum sedarkan diri di istana Inderapura.

Arakian, muncullah petir dan kilat sabung-menyabung di langit tinggi. Puteri Wanang Seri masih setia di sisi Raja Mambang Segara namun dilihat oleh baginda, jasad Raja Mambang Segara semakin lama semakin menipis. Baginda puteri terkejut dengan kejadian itu. Tiba-tiba menjelma kilat dari langit beserta yang letupan guruh yang memekakkan telinga membelah udara istana. Jasad Raja Mambang Segara lenyap dari pandangan. Puteri Wanang Seri terus jatuh pengsan.

Dalam tidak sedarkan diri itu, Puteri Wanang Seri bermimpi bertemu dengan seorang pendita.
"Wahai Puteri Wanang Seri. Nama anak raja itu ialah Raja Mambang Segara. Ayahandanya bernama Raja Laksamana Petir. Jika Tuan Puteri kasihkan ia, carilah ia di kemuncak Gunung Tahan. Di sanalah ayahandanya berkerajaan".

Ada pun keesokan harinya, Puteri Wanang Seri dikhabarkan lenyap dari istana. Ada yang mengatakan bahawa Puteri Wanang Seri telah berangkat ke Kemuncak Gunung Tahan mencari kekasih hati baginda. Kadang-kadang Puteri Wanang Seri dilihat muncul di Inderapura bersama dua orang pengiring perempuan. Seorang sedang memayungi Puteri Wanang Seri dengan payung berwarna kuning manakala seorang lagi pengiring baginda menaburi langkah Puteri Wanang Seri dengan bunga-bunga yang diisi di dalam talam berukiran indah. Nama Puteri Wanang Seri kemudiannya lebih dikenali ke hari ini sebagai Puteri Walinong Sari. Wallahua'lam.

Walinongsari

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Datangnya dari puncak gunung Tahan
Puncak gunung Ledang, gununglah Banang

Turunlah bermain di taman sayang
Memetik bunga-bunga, menyusun bunga-bunga
Di dalam taman

Walinong la yang sari
Puteri yang cantik
Pandai menyabung pandai
Bersilat gayung, pandai melambung lembing
Pandai melambung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datanglah mari
Datang membawa talam
Datanglah mari

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa turun
Membawa payung
Payung berwarna kuning
Membawa payung

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Datang membawa talam
Talam dari kayangan
Membawa talam

Walinong la yang sari
Puteri bestari
Puteri yang cantik dari gunung Banang
Dari gunung Tahan, gununglah Ledang
Turunlah hai tuan
Turun segera
Memetik bunga-bunga
Menyusun bunga-bunga
Di dalam taman
Puteri yang cantik
Hai... dari kayangan

20 comments:

achik said...

"Melihatkan kecantikan puteri itu, pemuda comot itu terus jatuh pengsan akibat gelora nafsu yang tidak tertahan."

sampai pengsan tu... dasyat penangan walinong sari :)

Iman Mawaddah said...

Ooo begitu ke kisahnya. Saya suka lagunya. Ingatkan hanya sekadar lagu. Rupa-rupanya ada kisah menarik di sebaliknya..saya sudah lama tidak mengikuti kisah rakyat seperti ini. Terima kasih.

blackpurple @ jowopinter said...

Biasa mendengar lagu rakyatnya sahaja. Sekarang berpeluang membaca hikayatnya.

Sang Perba said...

kisah disebalik lagu..

khairyn said...

salam Indera,
Malunya jadi orang Pahang hahaha... tak tahu langsung cerita rakyat ni.

Achik... hahahaha betul tu! Susah juga jadi wanita cantik ni ye, orang tengok pun boleh pengsan.

BaYu SenJa said...

terimakasih, macam tau2 je bayu tengah menghimpun cerita rakyat sebelum pulang ke Malaysia sebagai bekal :)

kingbinjai said...

hoye hoye hoye

INDERA KENCANA said...

Achik,
Haa.. tu dia!!
Tapi kan Achik. Saya rasalah. Ada dua kemungkinan. Satu, dia pengsan sebab Wanang Seri tu terlampau cantik atau yang kedua, puteri tu cantik jugak la. Tapi takde gigi.

Iman & Bayu,
Akan ada cerita rakyat lain yang bakal menyusul. Insya-Allah.

Bro. BP,
Cerita Walinong Sari memang sukar untuk dicari dalam bentuk teks.

Zam,
Dari kisah dibuat dikir. Dimodenkan menjadi lagu..
Ko sibuk ke sekarang ni bang..??

Khairyn,
Takpe. Jangan susah hati.
Pahang lagi banyak kisah rakyat berbanding Perak.

King,
Toche, toche, toche..

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Baru kali ini tahu ceritanya begitu. Menarik sekali kisahnya. Terima kasih

Sastri said...

Best... best...

zwitterion said...

wah ..hari ni br sy dpt membacanya dengan penuh penghayatan kedua-dua bhgn. 7/03/07
best..

Liey said...

Wanang Seri tu bukan ke kawen ngan sultan Muzaffar Shah, raja Melaka, madu ia tu Hang Li Po, Raden Galoh Cendera Kirana n sorg lg sape lupa... hmm camne lak ia leh tas gunung tahan.. lagu tu lagu puja2 tu.. dengar boleh, nyanyi boleh ,,hayati jgn, bayangkan pun jangan,, xpsal nnt...

Rie said...

aku orang pahang pun tak tau cerita nih.. kagummm ngan ko.

sobreehudson said...

masyarakat melayu tradisional kaya dgn crita2 rkyt. byk yg t'sirat yg blum trungkai. rase tenang n kalgum bce cte2 cm ni. :)

Eycha said...

maaf, sekadar nk b'kongsi pengetahuan..setahu sy wanangseri anak kepada dewa sura..b'kahwin dengan raja melaka dan di bawa ke melaka...
walinongsari adalah puteri kayangan yg tinggal di gunung senyum(m'rujuk kpd gunung banang)..sekadar b'kongsi cerita tntg puteri negeri sndiri ^_^
persamaan mereka adalah nme yg hampir same yg m'buatkan berlakunye kekeliruan dan kedua-dua mereka sangan cantik...
Raja mambang segara ialah putera bunian di bera..

Remisterio said...

aq nk wat short film pasal walinong sari.. de sape2 berminat =)

pali J said...

Setakat mahu memberi input yang study melalui buku Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan empayar ayuttyha.

Puteri Onang Seri nama diberi. Puteri kepada Maharaja Dewa Sura yang mempunyai pertalian keluarga dengan Raja Siam (Paduka Bubunya) ketika itu..sekitar tahun 1445 - 146X. Dari kajian saya, ada tiga nama bagi tuan puteri empunya nama ni. Dua nama yang paling mengikut buku sejarah ialah Wanang Seri dan Onang Seri. Dikawenkan dengan Sultan Mansur Shah (Melaka)..jadi madu kepada Puteri Hang Lipo. Hasil perkahwinan tu dapat dua orang anak. Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Raja Muhammad nilah yg bunuh anak Bendahara Tun Perak sebab tercemar duli destarnya jatuh. Dan selanjutnya dihantar ke Pahang jadi Sultan.

Manakala nama Walinong Sari lebih dikaitkan dengan hikayat/mitos yang mengatakan puteri ini mencari kekasihnya sampai ke Gunung Tahan...dan masuk ke alam bunian.

Puteri Gunung Banang said...

Puteri walinongsari ni adik beradik peteri gunung banang ke?

Puteri Gunung Banang said...

Salam..walinongsari ni adik beradik dgn puteri gunung banang ke? Ada berapa beradik yer?

Puteri Gunung Banang said...

Salam..walinongsari ni adik beradik dgn puteri gunung banang ke? Ada berapa beradik yer?