Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya sukakan sesuatu yang santai. Saya ingin membawa penulisan yang senang dibaca tanpa membawa mesej yang sarat dan berat untuk disimpan di dalam minda. Semalam saya telah menceritakan tentang segolongan masyarakat yang turut sama menghuni di persekitaran rumah Mak. Jadi saya ingin menyambung beberapa perkara lagi tentang topik yang sama sebelum saya beralih ke topik yang lain pula (semoga sesudah ini tiada yang mengingati laman saya sebagai sebuah laman yang tahyul... Hehehehehe).
Ada orang tua di kampung saya yang mengkisahkan hal ini kepada saya beberapa tahun yang lalu. Ketika itu kami sedang berbual-bual tentang hal di masa silam dan tentang zaman kanak-kanaknya yang jauh berbeza dengan zaman kanak-kanak saya. Entah bagaimana, topik itu melarat masuk ke cerita tentang sawah padi dan juga tali air yang mengairi ke petak-petaknya sejak zaman berzaman lagi.
Sangka saya, taliair yang mengalir lesu di sebelahan rumah Mak itu telah dibina beratus-ratus tahun lamanya. Rupa-rupanya menurut Aki itu usia pembinaan taliair berkenaan belum pun genap 100 tahun usianya. Tali air itu sangat berguna sebagai penerus kelangsungan hidup petani-petani di kampung saya kerana taliair itu banyak berjasa dalam menyalurkan air dari Sungai Perak yang bersejarah itu masuk ke petak-petak sawah.
Pada asalnya, kampung saya sejak dari zaman moyang saya iaitu Pak Kaduk yang terkenal itu, kebanyakan penduduk kampung hanya mendiami kawasan di pinggiran sungai sahaja. Oleh yang demikian, masalah tentang bekalan air boleh dikatakan langsung tidak wujud. Tambahan pula punca pendapatan mereka pada masa itu hanya bergantung kepada sungai manakala bekalan beras diperolehi daripada padi jenis huma atau Padi Bukit yang tidak memerlukan kepada bekalan air yang melimpah ruah. Cukup sekadar air hujan, padi itu boleh terus membuahkan hasil.
Walau bagaimanapun penghijrahan masyarakat di kebanyakan tempat di kepulauan Indonesia masuk ke Tanah Melayu mendesak pembukaan tanah yang lebih luas. Masyarakat kampung kami yang dahulunya mendiami pinggir sungai sudah bertambah sehingga ke jauh ke tengah daratan. Bagi kelompok masyarakat yang baru tiba ini, mereka juga inginkan agar mereka memperolehi tanah yang baik untuk bercucuk tanam dan bekalan air yang cukup sepanjang tahun walaupun kemarau panjang datang melanda.
Jadi mereka bersepakat untuk membina sebuah tali air yang ditebuk dari sungai di pangkal Kampong Tua sehingga tamat penghujungnya di Kampong Pasir Sena. Setiap orang lelaki dikumpulkan oleh ketua kampung dan pembahagian kerja pun bermula. Oleh kerana mereka ini datang dari kelompok masyarakat dan suku yang berlainan, maka mereka enggan bekerjasama. Tiada istilah Berat sama dipikul, Ringan sama dijinjing. Yang ada hanyalah kepentingan diri dan keluarga mereka sahaja.
Oleh yang demikian, perbincangan itu tidak membuahkan hasil yang sepatutnya. Tiada jalan penyelesaian sehingga muncul seorang lelaki (saya kira lelaki ini tidak cukup akal), mencadangkan agar diukur jauh taliair yang ingin digali kemudian dibahagikan mengikut jumlah orang lelaki yang terdapat di kampung itu. Maka itulah panjang yang setiap orang harus menggalinya sebelum orang lain datang menggantikannya sesudah itu. Cadangan itu kemudiannya dipersetujui.
Perlu diingat bahawa mereka yang datang merantau ke Tanah Melayu pada ketika itu, bukanlah mereka yang kosong ilmu di dada. Mereka yang datang berhijrah ke Tanah Melayu pada waktu terlalu banyak ilmu dunia yang karut-marut dan tidak bermanafaat sehinggakan ilmu ini banyak mendatangkan mudarat kepada orang lain. Contohnya, Orang Kerinci (keluarga saya juga :P) dikatakan mewarisi ilmu Harimau Jadian atau Cinaku. Orang Rawa, Kampar dan Batu Bara dengan ilmu Santaunya. Orang Minang dan Padang dengan ilmu Pengasihnya dan orang dari Tanah Bali dan Lombok dengan ilmu Silumannya. Maaf jika saya menyentuh asal keturunan anda!!. Mereka selalu berperang demi untuk mempertahankan harta dan kedudukan mereka supaya tidak terlepas ke tangan orang lain.
Menurut Aki lagi, sesudah pembahagian kerja dibuat, keputusan yang dicapai sebulat suara menetapkan agar setiap orang menggali taliair sejauh 10 rantai setiap seorang dengan kelebaran 10 kaki. Tempoh penggalian tidak ditetapkan. Segalanya menurut kudrat dan tenaga yang dimiliki oleh orang tersebut.
Bagi mereka yang tidak mempunyai ilmu apa-apa dan hanya bergantung pada tenaga tulang empat kerat, penggalian itu kebiasaannya mengambil masa kira-kira 3-6 bulan. Tetapi bagi mereka yang mempunyai pendamping, tugas itu hanya disiapkan dalam tempoh satu malam sahaja. Jika seseorang itu mampu menyiapkannya dalam tempoh satu malam, maka tahulah sekelian penduduk kampung bahawa orang tersebut memang mempunyai "apa-apa".
Masih ingat lagi kata Aki itu sewaktu tiba giliran arwah datuknya menggali tali air kampung itu (datuk Aki ini mempunyai dampingan berupa Hantu Raya. Kita namakan datuk kepada Aki ini sebagai Mat Dom). Siang itu seluruh ahli keluarganya telah dikerah oleh Mat Dom agar memasak nasi sekawah. Setelah nasi sekawah itu masak, hari mula menginjak ke senja. Kawah itu pun diperintah oleh Mat Dom kepada isteri dan anak lelakinya Saman agar diletakkan betul-betul di tengah halaman rumah.
"Ingat kamu semua. Malam ini jangan siapa pun turun ke tanah selagi aku ada di halaman tu. Duduk diam-diam di dalam rumah.." kata Mat Dom. Aki ini cucunya ketika itu baru berusia 10 tahun. Mendengarkan arahan itu, semua anak-cucu Mat Dom akur dan menganggukkan kepala mereka.
Setelah malam, kawasan rumah itu sunyi sepi. Angin bertiup kencang menampar-nampar dinding rumah yang diperbuat daripada rotan bertam itu. Sesekali sekala terdengar burung hantu sahut menyahut di pinggir rimba. Bulan penuh melimpahi cahayanya membuatkan persekitaran halaman itu terang benderang bagaikan boleh bermain kejar-kejar. Mat Dom turun ke tanah dan melangkah setapak demi setapak sehingga dia berada betul-betul di sebelah kawah nasi itu. Di situ dia melaung.
"Hai Muni Batu Kawi. Tempat bulat memanggil kamu. Kamu itu aku tahu asal...."
(Tidak boleh dipercayai mentera ini. Boleh jatuh Syirik)
Sebaik sahaja Mat Dom selesai membaca mentera itu, angin berubah menjadi taufan sehingga bumbung rumah Mat Dom hampir terangkat dan beberapa dahan pokok jatuh menghempap bumi. Gamat suasana. Lalang meliuk-liuk dipukul angin sementara dedaunan bergesel menerbitkan bunyi yang sangat menyeramkan.
Aki yang masih kanak-kanak itu mengintai dari celah dinding rumah, nampak jelas datuknya yang masih berdiri gagah walau dihembus dengan angin yang bertiup kencang. Seketika angin usai. Di hadapan datuknya menjelma seekor makhluk bertubuh besar setinggi 10 kaki, berbulu lebat berwarna hitam seluruh badan. Matanya merah menyala dalam gelap malam gigi taring terjongol keluar melalui mulutnya yang lebar. Wajahnya pula, Masya-Allah amat menakutkan sekali.
"Hantu Raya!!" getus hati Aki itu.
(Bersambung)
13 comments:
wah ... ada sambungan lagi..
nampak gaya kena tunggu lah nie..
jangan lama lama tau..
apa apa pun, selamat pulang untuk bertemu yang tersayang.
Moga selamat di dalam perjalanan pergi dan pulang...
indera
hanturaya? wah aku ader kenangan lucu dengan benda alah nih dulu ekekeke
gamaknya sekarang hantu raya pun takut dengan hantu2 dalam diri manusia.
Macamana aki tau tu hantu raya?
Dia pakai lampu lip lap ke? Atau gantung kad raya kat leher hehehehehe..
Pernah satu maghrib turun lif di tingkat 6, atas sekali. Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam. Suara lelaki. Pusing keliling sampai cari ke luar, tak ada satu kelibat manusia yang kelihatan. Jawab dalam hati saja lah. Tersengih-sengih sorang diri. Terasa diri istimewa. Dinguratkah saya? hahaha
cepat cepat sambung
err... kedua2 entri indera ini sas baca secara 'speed-reading'... sedangkan begitu pun, dalam minda ini boleh terbayang rupanya... huhuhu...
sudah trademark dia.. bersambung..hehe
cepat sambung tau
salam indera,
mcm tv3 plk.. tngh sspen ni.. iklan plk dia..
takpe.. sambung jgn tak sambung (",)
isk takot.. tapi sila buat sambongan haha
adeh.. blog misteri la pulak jadinye hehe~
teruskan teruskan
tak sabar nak athu sambungannya...
masa kecik2 dulu aku adalah hantu..pasal kalu aku buat salah, arwah nenek aku selalu ckap 'hantu ko cucu'.
aku mmg jahat..hehe. brhati2 la!
Kak pB,
Cadang lepas ni tak nak tulis cerita hantu dah... :P
Terima kasih.
Zam,
Haa... Citerlah. Bila nak citer tu..??
Izinni,
Hantu sekarang tabik pada manusia atas kejahatan manusia yang sudah melebihi kejahatan hantu yang paling ganas dalam kelompoknya!!
Khairyn,
Entahlah. Boleh jadi Aki tu Infra-Red kot...
Haaa... baguslah dia bagi salam. Tu tandanya khairyn disukai oleh bangsa itu...
King,
Orait. Jangan risau.
Aku dah terima sms kau pasal Yin tu. TQ. Tapi aku tak de credit nak balas. Huhuhuhu...
Sas,
Wahhh... dalam speed-reading tu masih sempat imagine rupa hantu tu..?? Hebat Sas..
Zwit,
Hehehehe... jangan marah!!
Banggugar,
Haii..?? Orang Syria pun minat citer Hantu ke?
Linda,
Jangan takut. Dia pun makhluk Allah juga...
Masy,
Saja-saja nak mempelbagaikan penulisan.
Achik,
Boleh sambung tapi dengan syarat.... JANGAN PANDANG BELAKANG!!
En. Azzam,
Adakah En Azzam "hantu" yang mandi menggunakan sabun? Kita nak panggil apa ye? Hantu Sabun? Hantu Shower Cream..?? Hehehehe... jangan marah ye En Azzam. Kita gurau je...
Post a Comment