Wednesday, April 25, 2007

Mekar Di hati

(Bunga yang paling saya suka - Nymphaea alba / Water lily)
Sewaktu melawat ke laman Bro BP, saya melihat kecenderungannya sejak akhir-akhir mengkisahkan hal ehwal pokok-pokok yang menjadi teman hidupnya selain daripada dewi pujaan hatinya sendiri iaitu Sastri. Saya sangat terhibur membaca catatannya terutama nama-nama saintifik bagi pokok-pokok yang diperkatakan. Lantas ianya mengimbau kenang-kenangan lama saya sewaktu berkecimpung di dalam bidang lanskap dan hiasan taman ini.


Permulaan perjalanan karier saya sepatutnya bermula di syarikat perbankan. Namun nasib tidak menyebelahi saya. Saya ditakdirkan terjun ke dalam bidang pembinaan dan juga bidang lanskap. Antara tugasan pertama saya yang diberikan oleh Abang Ngah (ketika itu dia boss saya) adalah membuat pengkalan data untuk pokok-pokok teduhan, pokok-pokok renik dan juga tumbuhan tutup bumi. Tiada nama yang sering digunakan oleh orang kita seperti Pokok Bunga Raya melainkan ianya disebut sebagai Hibiscus tricolor, Cocos nucifera (Pokok Kelapa. Haiiiiyaaa... apa perlu susah-susah menyebut Cocos nucifera. Sebut sahaja kelapa. Bukankah lebih senang?), Lamsium domesticum (Langsat) dan lain-lain perkataan yang sangat memeningkan kepala.


Pada peringkat awalnya memang sangat mencabar. Maklum sahaja di peringkat universiti saya sudah terlalu terdedah dengan Future Value (FV), Present Value (PV), Internal Rate of Return (IRR), Capital Assets Pricing Model (CAPM) dan lain-lain istilah kewangan korporat yang menyakitkan kepala. Akhirnya saya terjebak juga dengan satu dunia yang warganya bertutur dalam bahasa alien. Aduhhhh... memang menggelikan hati apabila mendengar warga lanskap ini bertutur dan memperkatakan tentang Bauhinia purpurea, Kaempferia galanga dan Musa paradasiaca. Apabila ditanya lanjut apakah yang diperkatakan oleh mereka, mereka menjawab Bauhinia purpurea itu adalah Pokok Tapak Unta, Kaempferia galanga pula adalah lengkuas dan manakala Musa paradasiaca adalah Pokok Pisang.


Haaiiii... begitulah susahnya hidup di dalam dunia itu. Tetapi bagi mereka yang memang sepatutnya berada di situ, itulah cara kehidupan mereka dan mereka sangat bahagia. Saya pasti bahawa Bro BP mempersetujui apa yang saya katakan ini.


Saya terkenangkan sewaktu saya belajar mengenali pokok-pokok beserta nama saintifik ini. Saya belajar melalui kaedah yang sangat perit. Caranya ialah, Abang Ngah akan membawa saya memandu daripada Shah Alam ke Sungai Buloh. Tujuan kami ke Sungai Buloh itu adalah untuk mendapatkan pokok-pokok seperti mana yang dipesan oleh pelanggan. Sepanjang perjalanan ke Sungai Buloh itu, dia akan menunjukkan kepada saya nama pokok beserta dengan nama saintifiknya sekali. Sepanjang setengah jam perjalanan daripada Shah Alam ke Sungai Buloh, dia akan mengarahkan saya agar mengingati nama-nama pokok yang banyak terdapat di sepanjang jalan tersebut tanpa membuat catatan. Setelah urusan di Sungai Buloh tamat, di dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, dia akan meminta saya mengulangi apa yang telah diperkatakannya tanpa membuat sebarang kesilapan. Andainya saya tersilap menyebut nama saintifik bagi pokok yang perkatakan, dia akan membebel berterusan sehinggalah kami sampai semula ke pejabat.
"Macam mana kamu nak berjaya dalam bidang ni Indera, kalau benda kecil macam ni pun kamu tak boleh nak ingat. Berapa kali aku nak cakap pada kamu...." dia akan membebel dan terus membebel.


Namun saya pasti bahawa melalui kaedah didikan itu sebenarnya sangat berkesan. Dalam tempoh 6 bulan saya berjaya mengingati hampir 100 nama pokok dengan perincian yang terdapat padanya. Bentuk pokok, warna bunga, bau dan ketinggian yang sebenarnya diperincikan dengan lebih mendalam melalui nama saintifik yang diberikan. Contohnya Heliconia (Heliconia adalah antara pokok bunga kegemaran saya). Heliconia latispatha berlainan bentuk bunganya dengan Heliconia Rostrata walaupun mereka dalam satu keluarga. Heliconia latispatha mempunyai bunga berbentuk sepit ketam dan berwarna seakan oren kemerahan manakala Heliconia Rostrata mempunyai bunga berbentuk bulat berkelopak mirip bunga ros.


Melalui kaedah itu juga saya masih mengingati sebahagian daripada tumbuh-tumbuhan tersebut walaupun telah bertahun-tahun saya tidak membelai pokok-pokok dan bidang lanskap ini saya tinggalkan dalam lipatan sejarah saya. Kadang-kadang menyebut tentang nama saintifik ini akan meninggalkan luka dalam hati saya. Jadi kerana itu, ingatan terhadap bidang lanskap ini, pernah saya campakkan jauh-jauh dari hidup saya.


Namun tumbuhan tetap tumbuhan. Andainya kita membencinya, kita mencantasnya. Namun tunasnya tetap tumbuh jua melainkan jika kita mencabut dari akar umbinya. Saya sedar bahawa ilmu yang pernah bertamu dalam hati saya itu adalah "jiwa" tumbuhan itu sendiri. Apabila saya meninggalkannya, sama seperti saya mencantasnya dari ingatan saya. Namun "jiwa" itu sebenarnya tidak pernah mati. Ianya bertunas tetapi tidak cukup "cahaya dan baja" untuk ianya kembang mekar. Kerana akarnya sudah menusuk jauh ke dalam sanubari saya dan menunggu masa untuk tumbuh merendang dan menjulang tinggi.

18 comments:

pB said...

Saintifik sungguh ....
Berbelit lidah pB menyebutnya ...

Bila dah mahir, makin senang kerja kita.
Rasanya dlm apa apa bidang pun , kalau dah mahir , akan buat kerja lebih mudah...

Semuanya nak kan skill sekarang ini ...

Selamat Bercuti ...

Unknown said...

saya amat menyukai tumbuhan hijau.. kerna? saya suka warna hijau! ngee

achik said...

aduss nak sebut pun berbelit lidah.. nak menghafal lagi la.. tp alah bisa tegal biasa kan..

satu nama saintifik yg saya tau 'homo sapiens' ;p

saya suka 'berkebun'.. dulu2 arwah bapak saya penah belikan pokok ciku utk saya tanam.. sayangnya x sempat merasa hasilnya sbb berpindah..

BaYu SenJa said...

nama yang orang kampung berikan kepada tumbuhan selalunya lebih senang dan sesuai :)
tapi apa pun namanya, tumbuhannya tetap sama.. bagi manusia, kepelbagaian tumbuhan yang unik itu haruslah dijadikan peringatan kekuasaan Allah yang Maha Agung :)

KAMATO said...

hijau itu indah

13may said...

hehhe....
suka lagu Hijau Bumi Tuhan - XPDC:)

Anonymous said...

waaaah..ilmu ko pn tinggi dlm bab herba merba ni ye? kalu mcm tu ko mesti tau tntg pokok memokok..err..ko boleh dtg rumah aku tk tgokkkan pokok mangga jepun aku tu tk nk mmbesar..apasal? mangga bantut kot.

tp aku tk bantut tau..hehehe.

Masy said...

pon penah blaja sket2 mende ni. letih la.. pening klotak :)

hakim dirani said...

Saya kagum dengan anda, banyak bidang dah diceburi.

kingbinjai said...

informatif

Anonymous said...

salam..morning..dah hapdet..dah hapdet..

Sastri said...

mmg susah kan nak menghafal nama2 saintifik ni... Blackie kalau Sas tanya nama2 pokok, mesti dia jawab dgn nama saintifiknya dulu, baru la diikuti nama biasanya... :D

Achik_Sufi said...

salam,
tak tahu nak komen ape...serabutje achik bacenye, nntlah achik balaja ngan kencana...bolehke?add me k...orang baru.

zizie ali said...

nama saintifik penting. universal dan tidak bersifat local. digunakan di serata pelusuk dunia.
ingat, duku di terengganu tak sama dengan duku di kelantan .

blackpurple @ jowopinter said...

Oooo..Patutlah kau agak mesra dengan nama-nama botani itu. Lengkap dengan genus dan spesisnya. Tahniah Indera !

Ya, ya. Betul kata kau itu. Tak kenal maka tak cinta. Bukan setakat mencintainya kerana mata pencarian tapi satu keasyikan juga memperindahkan rupa bumi kurniaan Tuhan ini.

Aku sendiri pun 4 + 2 tahun untuk membiasakan minda dan diri dengan nama-nama saintifik itu. Bukan sedikit, setebal 'kitab' Hortica dan Tropica yang setebal hanpir sejengkal itu. :)

Bunga Rampai said...

Salam,

Paling saya suka nama saintifik untuk bunga anggerik - berseni.

Dan Layangan Indera tetap mekar di hati :)

Moga sihat walafiat.

BaYu SenJa said...

saja datang menjenguk indera.. selamat berkelana di alam sendiri :)

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Selamat bercuti juga untuk Kak pB. Benar. Zaman sekarang skill lebih dipandang berbanding kelulusan.

Linda,
Kata orang, orang yang suka warna hijau kuat cemburu. Betul ke?

Achik,
Cuba sekali sekala Achik ziarah pokok ciku tu. Entah-entah dah banyak buahnya..

Bayu,
Kerana itu Rasullullah sangat menyukai warna hijau sebagai perlambangan kepada kehijauan bumi dan tumbuh-tumbuhan.

Saudara Kamato dan 13May,
Ku lihat Hijau (Ini Zainal Abidin :P)

13May,
Salam perkenalan dan selamat berkunjung..

Azzam,
Produk Jepun semua bantut-bantut. Dorang memang minat seni bonzai. Tak heranlah kalau pokok mangga yang engkau beli tu bantut. Tapi takpe, nanti aku hadiahkan engkau dengan Mangga Harum Manis. Nak tak?

Masy,
Tanyalah pada sifu Black Purple (Black Belt 7 Dan) :P

Sas,
Biasalah bila dapat bf Holticulturist ni... Dorang memang menyebutnya macam tu..

Hakim,
Semua itu ilmu pinjaman Allah sahaja. Saya cuma orang biasa.

King,
ye ke..??

Azzam,
Hah..?? Dah hapdet? ye ke..??

Achiksufi,
Salam perkenalan. Insya-Allah saya masukkan achiksufi dalam list saya nanti.

Bang Zizie,
Aku kira hanya mempelam sahaja yang ada beza di Terengganu dan di Kelantan...

Bro BP,
Wahh.. tentu sekarang engkau sudah terlalu mahir dalam selok-belok lanskap melanskap ni. Ada banyak buku tak? Boleh pinjam..??

Salam Bunga Rampai,
Ye ke? Alhamdullillah. Moga haruman Bunga Rampai tidak jemu berkunjung ke Layangan Indera ini.

Bayu,
Saya berkelana dalam dunia ketandusan idea. Hehehehe...