Saya ingat-ingat lupa tentang hari itu. Manakan tidaknya, saya ketika itu baru sahaja berusia 5 tahun. Segala bayangan tentang peristiwa itu seakan mimpi sahaja. Mak membawa saya ke kedai Pak Yeop Rahim untuk melihat keadaan Din yang disambar api pada bahagian kepalanya. Lalu habislah melecur sebahagian dari dahi dan kepalanya. Sewaktu saya dan Mak tiba di kedai Pak Yeop Rahim itu, saya lihat bahagian yang disambar api itu telah dipupuk dengan ubat sapu berwarna putih. Airmatanya pula masih berbekas di pipi. Din ketika itu, saya lihat sedang duduk di tangga kedai (Pak Yeop Rahim sekeluarga sewaktu itu memang berumahtangga di kedai itu) sambil memandang sayu ke arah saya dan Mak yang baru tiba. Mak Yong Halimah, ibunya pula sedang menyusukan Rahimah yang baru berusia 8 bulan.
Saya mendekati Din sambil mengunjukkan kepadanya gula-gula Treabors yang sempat saya minta Mak belikan sebelum tiba ke kedai Pak Yeop Rahim. Din menyambutnya. Dia kemudian tersenyum dan mengajak saya ke kolah yang berisi air yang terletak di belakang kedai bermain dengan kapal kertas. Kapal kertas itu teroleng-oleng ditolak riak yang kami ciptakan sebelum ianya tenggelam ke dasar kolam apabila kertas itu melembab dan dimasuki air.
Begitulah bermula persahabatan kami. Persaudaraan dan pertalian dua pupu antara kami lebih membuatkan ikatan kami bertambah mesra.
Kami membesar bersama-sama. Parut bekas disambar api di atas kepalanya masih kekal ke hari ini. Tiada sebarang rambut yang tumbuh di atasnya. Sengaja Din membiarkan rambutnya panjang sebahagian bagi tujuan menutupi bahagian terbakar itu, namun setiapkali ditiup angin, bekas terbakar itu tetap sirna.
Saya sangat akrab dengan keluarga Pak Yeop. Masih saya teringat di suatu pagi. Sewaktu itu saya berada di darjah 3. Hari itu Hari Jumaat. Saya memakai baju melayu berwarna putih sepasang dengan sampin berwarna biru gelap. Di pertengahan jalan, saya singgah di rumah Din (tahun itu rumah Pak Yeop sudah siap dan mereka tidak tinggal di kedai lagi) untuk bersama-sama dengannya ke sekolah. Kedatangan saya pagi itu terlalu awal. Din masih lagi bersiap.
"Amboi, cantiknya anak saudara Mak Yong. Pakai baju melayu putih. Dah macam bangau" tegur Mak Yong Halimah. Saya sekadar tersenyum menahan malu. Seketika Din muncul dengan seragam sekolah. Berbaju kemeja lengan pendek putih dan seluar pendek berwarna biru gelap. Dia tidak berbaju melayu seperti saya. Itu tidak penting.
Seringkali juga saya bermalam di rumah Din dengan keizinan dari Mak. Rumah Pak Yeop itu seakan seperti rumah saya juga. Pak Yeop itu ibarat bapa saya dan Mak Yong Halimah itu sudah macam ibu kandung saya. Mak Yong Halimah sangat garang dan tegas dalam mendidik anak-anaknya. Kerana Mak Yong mahu anak-anaknya teliti dalam membuat segala pekerjaan.
Saya dan Din membesar bersama. Juga kami berkongsi sikap dan perangai. Iaitu keinginan yang kuat dan cepat naik darah. Namun oleh kerana kami sudah akrab sejak kecil lagi, kami boleh bertolak ansur. Din tidak pernah malu dengan parut besar di tengah kepalanya walaupun ramai rakan-rakan kami menggelarnya Professor (tanggapan professor sering berkepala botak akibat terlalu kuat belajar).
Di dalam entri saya yang bertajuk Ke Puncak Cita, saya pernah menyatakan tentang Din memberontak dan tunjuk perasaan apabila cita-cita melanjutkan pelajaran ke menara gading terhalang akibat tersalah mengisi borang. Ketika itu Mak Yong Halimah makan hati dengan sikap Din. Namun itu semua sedikit pun tidak mengurangkan kasih sayang Mak Yong Halimah pada Din. Din tetap kesayangannya.
Saya juga terkenangkan suatu hari, saya bertandang ke rumah Din. Dengarnya seperti ada suara kecoh di dalam rumah. Terdengar Mak Yong Halimah berleter memarahi Din.
"Kamu ni Din, aku ingat lepas kamu kahwin, kamu dah buangkan sikap panas baran kamu tu. Ini tidak. Langsung tak berubah-ubah. Makin teruk!!"
Mendengarkan itu, saya membatalkan hasrat saya untuk memberi salam dan masuk ke rumah. Terus saya menghidupkan enjin motor dan pulang ke rumah Mak. Bimbang kehadiran saya akan mengeruhkan lagi suasana.
Din kemudiannya merajuk. Enggan pulang-pulang ke kampung. Setiapkali saya bertanya tentang Din pada Pak Yeop Rahim dan Mak Yong Halimah, terasa seolah-olah pertanyaan saya itu seperti menabur garam ke luka mereka.
"Siapa kamu ni?" tanya Mak Yong Halimah.
"Saya Indera, Mak Yong. Takkan Mak Yong tak kenal saya. Mak Yong bergurau dengan saya, ye??"
"La, kamu Indera. Mak Yong tak nampak. Mata Mak Yong macam dah berselaput. Inilah kesan penyakit kencing manis" kata Mak Yong.
"Indera. Bila kamu sampai?" suara Pak Yeop menghentikan perbualan kami berdua.
"Baru semalam Pak Yeop. Pak Yeop sihat?" tanya saya.
"Sihat. Alhamdulillah" jawabnya riang.
"Din tak balik ke Pak Yeop? Mak Yong?"
Pertanyaan saya bagaikan menyentak keriangan Pak Yeop. Dia segera berpaling untuk melindungi hati sedihnya.
"Anak aku yang sorang tu dah lupa jalan balik!!" kata Pak Yeop.
Mak Yong seakan termenung jauh. Setitis airmatanya jatuh ke ribaan.
Saya kira Din sudah melupakan persaudaraan kami. Tetapi mungkin benar juga apabila dia beralasan sewaktu kami berbual di dalam telefon.
"Engkau tahu sahajalah Indera. Isteri aku bekerja tidak tentu masa. Kala aku cuti, dia terpaksa bertugas. Kala dia cuti, aku pula bertugas. Bukan aku tak rindukan Mak dan Apak aku. Aku rindu. Tapi aku sukar mendapat cuti. Anak aku pula, setapak aku melangkah, nak ikut. Tak dibenarkan pula, menangis sampai keras-keras badan".
Saya menghela nafas panjang.
"Entahlah Din. Aku faham masalah kamu. Tetapi Mak dan Apak kamu pula beranggapan lain. Mereka sangka kamu dah tak pedulikan mereka lagi..."
Saya percaya Din sangat sayangkan kedua-dua orang tuanya. Cuma ada kesulitan dalam dirinya membuatkan Din tidak dapat mengunjungi ibubapanya selalu. Namun Mak Yong tentu faham. Sebagaimana fahamnya dia sewaktu Din memberontak 15 tahun yang lalu.
Hari Selasa yang lalu. Hari Selasa yang lalu, Mak Yong Halimah pulang ke rahmatullah setelah koma selama 2 hari. Mengidapi pelbagai jenis penyakit. Kencing Manis, Darah Tinggi, Paru-paru berair dan ghout yang mengakhiri penderitaan fizikalnya selama ini. Namun saya percaya, Mak Yong tentu puas hati kerana anak-anak Mak Yong sudah berjaya. Semuanya ada di sisi Mak Yong di saat Mak Yong menghembuskan nafasnya yang terakhir.
(Maafkan saya Mak Yong, kerana saya tidak hadir ke rumah Mak Yong bagi memberikan penghormatan saya yang terakhir buat Mak Yong. Saya sekadar mampu mensedekahkan Al-Fatihah buat Mak Yong).
(Din, aku ingin hadir. Tetapi aku sedar bahawa aku tidak mampu hadir. Mak kamu sudah seperti mak aku sendiri. Aku tahu jika aku hadir, aku akan menitiskan airmata. Aku tidak suka menitiskan airmata aku di hadapan orang ramai. Maafkan aku).
Mak berleter apabila saya tidak hadir ke rumah Pak Yeop. Saya sekadar mendengar leteran Mak sambil menahan sebak di dada. (Mak Yong faham Indera, kan Mak Yong?)
Malam selepas pengkebumian Mak Yong, saya lihat banyak kunang-kunang. Terbang bebas di malam yang gelap.
Indera : Din, jangan ambil hati dengan entri ini. Tiada niat aku ingin memburukmu. Engkau tetap saudara aku. Aku tahu apa yang tersirat di hatimu. Bukankah kita bersaudara?
12 comments:
Salam Indera,
Al-Fatihah.
Kasih sayang pengerat persaudaraan, dan persahabatan.
Moga Indera dalam damai dan tenang selalu, di mana jua berada :)
Al Fatihah utk Mak Yong Halimah.. semoga rohnya dicucuri rahmat..
Innalillah... takziah Indera... sebak plak Sas bila membaca entri ini.. semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang2 yg beriman... Al-Fatihah...
Kalau yang menganggap emak pun sedih,inikan pula anak sendiri kan.
Cuma, saya tak faham. Merajuk @ keras hati sebenarnya?
erm...setiap yang hidup pasti kan kembali, moga bersama orang2 soleh.banyakkan berdoa buat maklong indera...kerana doa penyambung kita dengan si mati.
Al Fatihah...
(kim slm kat din 2 gak ye...)
Innalillahi wainna illahi roji'un. Al-Fatihah untuk roh Mak Yong Halimah.
berziarahlah kerana ia digalakkan di dalam Islam.
Moga rohnya ditempatkan dikalangan orang orang yang beriman..
Saya tumpang bersedih. Allahummaghfirlaha. alfatihah saya hadiahkan.
sedih
mak yong halimah mengingatkn aku dgn mak long salimah aku yg dah 15 thn aku tk ziarah. sebabnya..dia bncikn aku.
aku trpanggil utk mengingati dn menziarahinya.
kasih sayang adalah pengubat jiwa yg paling mujarab..
Al-Fatihah buatnya..
Bunga Rampai, Achik, Sas,
Terima kasih.
Areyoung,
Dua-dua saya kira.
Achik sufi,
Insya-Allah saya sampaikan. Atau memang dia tahu Achik sufi berkirim salam padanya sekiranya dia membaca blog ini.
Khairyn, Kak pB, hakim, King,
Terima kasih.
Azzam,
Takkan sehingga kini marahnya masih ada, kot?
Ziarahilah dia selalu.
Sakura,
Saya setuju.
Post a Comment