Tuesday, June 19, 2007

Hasniah (Bhgn 1)


Saya masih tidak dapat melupakannya. Sungguhpun dia telah bertunang, namun kasih saya tetap abadi untuknya. Sungguh saya kecewa apabila Hasniah enggan memberitahu saya tentang pertunangannya. Segalanya saya ketahui dari mulut Syikin dan Hartina. Jika tidak kerana mereka membuka mulut tengahari itu, nescaya sehingga ke akhir pengajian berita tentang pertunangannya tidakkan sampai ke telinga saya.

Perjalanan pulang ke kampung seolah-olah tidak membawa apa-apa makna. Ingatan saya hanya untuk dia. Sebulan kami akan bercuti sebelum memulakan semester terakhir di peringkat Diploma. Ertinya selama sebulan ini dia bukan lagi milik saya. Dalam sebulan ini, dia bakal milik jejaka itu. Memang dia jejaka yang bertuah kerana berjaya memiliki Hasniah. Ohhh.. tuhan, apakah daya saya.

Di permulaan minggu cuti semester itu, saya banyak habiskan dengan termenung. Hati saya bagaikan disayat sembilu. Segala kenangan antara saya dengan Hasniah memburu saya di setiap langkah saya. Setiapkali menjamah hidangan, teringat saat saya dan Hasniah keluar disertai rakan-rakan yang lain mengunjungi warung berhampiran dengan Kolej Kenanga yang buka hingga ke santak pagi sewaktu kami di semester ketiga. Ketika itu tiada siapa yang dapat mengesan apa yang terkandung di hati saya. Cuma Hartina sahaja yang mengetahui apa yang tersirat di hati kami berdua. Dengan itu matanya sentiasa mengawasi kami berdua.

Di saat itu, lagu Teringin nyanyian Shima semakin menambah parah di jiwa saya. Ingin rasanya saya menghumbankan radio ke tanah setiapkali lagu itu diputarkan di radio. Aduuhhh.. siksanya penanggungan.
"Indera, Indera sakit?" tanya Mak.
"Tak Mak. Indera sihat.."
(Indera sakit dalam hati Mak).

Di saat itu saya seakan terdengar tawa ejekan Azri, Shahril dan Armizam. Mereka seakan mengejek saya kerana kasmaran. Sakit dipukul badai kasih. Kecewa bercinta.
"Hahahahaha.... Akulah Mr. Serba Tahu. Aku tahu nama kampung Hasniah. Ada sapa-sapa nak tahu kat mana kampungnya?" tanya Shahril pada suatu petang setamat kuliah kami.
Hati saya melonjak-lonjak ingin tahu. Namun saya terpaksa pendamkan di dalam hati. Sekiranya saya terlalu teruja untuk mengetahui, kelak diketahui umum. Tentu akan dihebohkan oleh kacang-kacang hantu yang menjadi teman baik saya itu. Untuk itu saya mendiamkan diri sahaja. Pura-pura enggan ambil peduli.
"Kampungnya nama Kampung Pohon Buluh, Pasir Mas. Hehehehehe... selain dari tu banyak lagi aku tahu pasal dia kalau engkau nak tahu..." celoteh Shahril pada Azri. Saya cuma menelinga.

Kampung Pohon Buluh? Ya, Kampung Pohon Buluh...

"Kamu ni nak ke mana, Indera?" tanya Mak apabila melihat saya bersiap-siap mengemas baju.
"Errr... saya nak ke Kota Bharu, Mak"
"Buat apa ke Kota Bharu..??" Mak hairan.
"Saja nak bercuti. Saya duduk rumah Khairul" kata saya.
Mendengarkan bahawa saya ingin bercuti dan melawat abang saya yang tinggal di Kota Bharu itu, Mak tidak bertanya lanjut. Hakikat sebenarnya saya tidak betah duduk di rumah. Hati saya bagai dipanggil-panggil ke Pasir Mas. Aduhhh... sakitnya penanggungan ini!!!.

Perjalanan ke Kota Bharu satu perjalanan yang panjang. Jalan berbengkung-bengkok dengan pemandangan hutan mengisi sepanjang jalan. Perjalanan yang bermula di waktu awal pagi itu berkesudahan di Stesen Bas Kota Bharu sewaktu matahari sudah mengesot condong di ufuk barat.

Turun sahaja di Stesen Bas yang hiruk pikuk itu saya disambut dengan suasana yang asing. Loghat pertuturan orang-orangnya sukar saya fahami. Alangkah baiknya kalau Hasniah dapat mengajar saya cara bertutur orang di bumi Puteri Saadong ini. Alangkah baiknya kalau kami berjodoh... Ahhh.. angan-angan yang tidak kesampaian!!!.

Saya menoleh ke kanan dan ke kiri. Cuba menyerap pandangan sekeliling bahawa di sinilah titik mula perjalanan Hasniah setiap kali dia ingin pulang ke Shah Alam. Tentu dia amat biasa dengan Stesen Bas ini.
"Minumnya Abe.." seorang pemuda yang bekerja di restoran itu memutuskan lamunan saya.
"Errr.. Teh O ais satu.." kata saya
"Ohh.. Teh O Beng. Make..??"
"Errr.. tak. Saya tak nak Teh O Beng. Saya nak Teh O ais" saya merasa jengkel bila pemuda itu silap mengambil pesanan saya.
"Hoh.. betullah. Teh O Beng, sa ke?"
"Taaaakkkk!!! Teh O ais!!!" hati saya sudah bengang.

Rupa-rupanya pertelingkahan kami berdua mendapat perhatian dari seorang konstabel polis yang sedang minum di meja berhampiran. Dia ketawa sewaktu menghampiri saya.
"Bang.." katanya menegur saya. "Teh O Beng tu Teh O ais lah. Orang sini panggil Teh O Beng.." katanya dalam ketawa lanjut.
Saya terkalap. Terus menyumpah di dalam hati. Sudahlah hati tidak keruan. Mendapat malu pula.
"Macam ni nak jadi menantu orang Kelantan..??" saya bagai terdengar-dengar Azri mengejek saya.

Khairul, abang saya itu masih belum nampak bayangnya lagi. Janjinya ingin mengambil saya di bandar itu. Saya berdiri tercegat di hadapan pintu Restoran A&W sambil melihat orang yang mundar-mandir. Gadis-gadis yang berpapasan dengan saya manis-manis belaka. Orang Kelantan, begitulah kata Shahril setiapkali jika melihat gadis-gadis dari negeri di Pantai Timur itu lalu di hadapannya.

Haiiii... alangkah baiknya kalau dapat ketemu Hasniah di sini!! Saya melayan angan-angan seketika. Alangkah indahnya dunia sekiranya ada jodoh kami.
"Kalaulah awak ada anak nanti, awak nak anak awak panggil awak apa?" tanya Hasniah dalam sesi perbincangan kami sewaktu kami sedang sibuk menyiapkan kertas kerja Ekonomi Malaysia. Kenapa soalan itu ditanyanya?
"Saya nak anak saya panggil saya Baba.."
"Huuuuu... macamlah awak tu orang Arab.." katanya separuh mengejek.
"Dan saya nak awak panggil saya Darling.." kata saya mencabar.
"Buat apa saya nak panggil awak Darling?" tanyanya juga mencabar saya.
"Sebab awak isteri saya.." kata saya.
"Sapa nak kawin dengan awak?" bantahnya.
"Saya nak!!" kata saya lagi.
"Tak nak, tak nak, tak nak, tak nak...!!!" kata Hasniah.
"Nak, nak, nak, nak, nak, nak...!!!"

Saya tersenyum mengenangkan saat berada di ruang perbincangan di sebelah perpustakaan itu. Haiii... Hasniah bagaikan mengekori saya. Hati saya merintih memanggil namanya.

Di saat itu, mata saya terarah ke pintu masuk Pasaraya yang berhampiran. Hasniah!!!

Ya, saya kenal susuk tubuh itu. Juga kurung samar dan tudung yang dikenakannya. Berjalan beriringan dengan seorang wanita separuh umur di dalam kumpulan orang yang ramai itu. Saya tercari-cari. Hati saya berbisik, lekas Indera, lekas!!!

Sewaktu ingin melangkah mendapatkan Hasniah itu, bahu saya ditepuk dari belakang.
"Indera!!!!"

Bersambung

15 comments:

kingbinjai said...

ah kau pun bersambung juga! cepat! cepat! cepat!

AKMA said...

AKMA keseorangan lagi. Tuntutan tugas di negeri di bawah bayu....lagi. Menung, diam, tangan mencari link blog Indera. dan seperti selalu, entry Indera cukup senang menyentuh hati kecil. Teruskan menulis sahabat. Kita terus berdoa agar Tuhan berikan kesempatan utk kita bertemu.

achik said...

best2.. x sabar tunggu sambungannya.. ;)

pB said...

Salam Indera ...

Kalau nak belajar dailek klatae, meh la berguru dgn kak pB.
FOC jer ...

khairyn said...

salam indera,

suka la ni buat saspen saspen nih hehe cepat sambung.

Akma
apa khabar?

Sang Perba said...

salam indera
aku menunggu sambungan hikayat ini?

Masy said...

shahrilkah yg akan bkahwin dgn hasniah? haaaa kita tungguuu~

zwitterion said...

cepat sambung!..;)teruja nak baca..

izinni said...

hmmm macam familiar je nama Hasniah tu. hehehhee

Iman Mawaddah said...

Ohh orang Kelantan..patutlah Indera tidak boleh lupakan :)

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Moga sihat dan ceria ...

Suka baca, dan saya tunggu sambungannya :)

khairyn said...

indera,

mana sambungannya ni????

Sastri said...

kenangan mengusik jiwa nih...

Kurma2Biji said...

tunggu...
tunggu...
tunggu...
tunggu...
zzZZZZzzzzZZZZZZzzzZZZZ

Izariza said...

Err.. Azah baca tak nih? hahaha