Thursday, July 12, 2007

Hasniah (Bhgn 3)


"Tak baik tuduh-tuduh... Mana engkau dapat cerita ni..??" tanya saya.
"Heiii Indera. Aku ni dah 21 tahun jadi abang engkau, engkau tahu?"
"Kalau dah melantak nasi sampai dua tiga pinggan tu, apa maknanya.. hah? Kalau dah dok termenung macam orang sasau, kemudian sekejap-sekejap lagi tanya pasal Pasir Mas, bukan maknanya engkau putus cinta tu?. Heiii aku tahulah. Engkau dok berjam-jam kat Stesen Bas tiap-tiap hari, kan?" tanyanya lagi.
"Sapa bagitahu engkau...?"
"Aku tahulah sebab kelas aku betul-betul mengadap ke Stesen Bas tu..!!"

Aduuuhhh... malunya. Nampaknya saya terpaksa buka mulut. Apa yang saya rahsiakan selama ini telah menjadi pengetahuan abang saya.
"Sementelahan engkau ada di sini, eloklah kamu pergi ke rumah dia. Selesaikan cara baik. Kalau dia terima kamu semula, baguslah. Tapi aku rasa harapan tu memang dah tak ada sebab ikut kata engkau, majlis pertunangan tu memang kehendak mak ayah dia..."kata abang saya.
"Nak pergi macam mana. Aku bukan tahu rumah dia.."
"Heiii Mamat!!! Kalau engkau berani datang ke Kelantan ni, apasal pulak engkau tak boleh cari dia. Heiiii jangan buat alasanlah!!" kata abang saya seraya menunjal belakang kepala saya.
Saya masih setia menunggu di Stesen Bas itu. Mengharapkan sepenuh hati bahawa Hasniah akan muncul menceriakan hari saya. Penantian saya terus-terusan kehampaan.
(Semakin ingin aku lupakan
Dan semakin bayang wajahmu kan menjelma
Di manakah puncanya derita
Kusendiri tidak pasti.. sayang...)

Ohhh.. terasa beratnya penanggungan saya ini. Di bawah kesedaran saya, saya mendaki tangga bas usang bercat belang merah itu. Di cermin kaca di sisi pintunya tertera perkataan PASIR MAS. Angin berhembus laju menceraikan dandanan rambut saya yang kemas.
"Tak cukup 20 sen bang!!" kata konduktor bas itu memutuskan lamunan saya.
Rupa-rupa saya membayar jumlah tambang yang kurang. Cuaca pagi itu sungguh nyaman. Penumpang bas tidak ramai. Tempat duduk luas yang hanya diduduki oleh saya seorang, memberi kesempatan untuk saya mengelamun dan terus mengelamun.

Sampai sahaja di Kampung Pohon Buluh, saya turun di hadapan sebuah kedai. Ahhh.. tempat itu terlalu asing buat saya. Saya mencari-cari rumah Hasniah. Dengan sekadar berbekalkan maklumat ringkas nama ayahnya, Hasnan Bin Pawi itu memakan masa 1 jam juga untuk mencarinya. Ini kerana bapa Hasniah lebih dikenali sebagai Manaf di kampung itu. Patutlah apabila disebut nama Hasnan, kebanyakan orang kampung itu terpinga-pinga.

Rumah orang tua Hasniah nampak sederhana. Halaman rumahnya kemas dan dikelilingi oleh pokok-pokok rambutan yang merimbun. Pokok-pokok bunga tersusun rapi menunjukkan penghuninya amat berminat dengan senitaman dan menitikberatkan soal kebersihan. Suasananya betul-betul kampung.
"Kalau dah balik ke rumah, rasa tak nak balik ke Shah Alam semula dah!!" saya teringat kata-kata Hasniah pada saya sewaktu dia meluahkan rasa rindunya pada keluarga dan kampungnya semasa kami di semestar kedua. Saya dapat merasakan kualiti yang ada di rumah itu.

Dengan debaran kencang, saya memberi salam. Seorang lelaki separuh umur menjawab salam saya. Itulah dianya bapa Hasniah. Seorang lelaki bertubuh gempal, berkulit cerah dan berkumis tebal. Dia hanya memakai kemeja lengan panjang serta berseluar warna coklat gelap. Debaran di dada saya semakin kuat apabila lelaki itu berubah wajah menjadi serius sewaktu saya memperkenalkan diri saya sebagai teman sekelas Hasniah yang berasal dari Perak.
"Errr... saya datang ke sini nak minta izin Pak cik nak berjumpa dengan Hasniah" kata saya kepucatan.
"Ohh.. boleh, boleh. Tunggu sekejap ye. Pakcik panggilkan Hasniah" katanya sebelum berlalu ke ruangan belakang rumah itu.

Hasniah nampak terperanjat apabila melihat saya berada di serambi rumahnya. Dia hampir kehilangan kata-kata.
"Oo.. awak. Apa yang awak buat kat sini?" tanyanya.
"Indera datang nak melawat awak. Pakcik, boleh tak kami bercakap-cakap sebentar kat halaman sana?" tanya saya meminta izin dari bapa Hasniah.
Bapa Hasniah hanya mengangguk manakala ibunya nampak agak kebingungan tanpa mengetahui tetamu yang mampir di rumahnya lewat pagi itu.

"Awak dah nak bertunang. Tahniah!!" kata saya membuka perbualan kami.
"Terima kasih" jawabnya ringkas. Hasniah memandang sekeliling cuba mengelak bertentang mata dengan saya.
"Indera harap awak bahagia"
"Terima kasih" masih jawapan yang pendek. Saya terkalap dalam mencari punca yang boleh membuka kepada sebuah perbualan panjang. Namun Hasniah seakan kaku dan dingin.
"Hasniah, buat sekian kali, Indera nak.. err.. Indera nak minta maaf atas perlakuan Indera dengan Suhaili dulu. Indera...." saya terhenti berkata apabila melihat airmata bergenang di matanya.
"Tak perlu Indera minta maaf. Niah dah tahu semuanya. Suhaili... Suhaili dah bagitahu Niah semuanya"
"Niah dah tahu...?? Kalau dah tahu, apa semua ni, hah? Balas dendam?"
"Ya. Pertunangan ni memang untuk balas dendam. Tapi apa pilihan yang Niah ada kalau mak dan ayah Niah sudah beria-beria mengaturnya?" airmata Hasniah jatuh ke pipi. Dia segera membelakangi arah rumahnya supaya ibu dan ayahnya tidak melihat bahawa dia ketika itu sedang mengalirkan airmata.
"Kalau dulu lagi Niah tahu bahawa Indera diperangkap oleh Suhaili, apakah Niah akan menerima pertunangan ini?"
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah bahagia sekarang?" tanya saya
"Niah tak tahu"
"Apakah Niah sayang Indera?"
Angguk.

"Hahahahahaha... siapa lelaki yang bertuah itu?"
Hasniah bungkam. Enggan memberitahu saya.
"Jika pada Indera yang Niah katakan sayang ni, tapi Niah tak nak bagitahu siapa lelaki tu, apa gunanya perasaan sayang itu..?"
(Siapa merebut seri cinta
Waktu aku buka jendela
Di keheningan pagi indah)

"Indera tak kenal dia" jawab Hasniah.
"Niah ikhlas terima dia?" tanya saya.
Hasniah bungkam. Airmatanya masih mengalir di pipi.
"Kalau Niah tak suka dengan pertunangan ni, biar Indera jumpa dengan ayah Niah minta diputuskan pertunangan Niah dengan lelaki tu sementara Indera aturkan rombongan meminang Niah.."
"Jangan. Jangan buat macam tu. Matilah Niah nanti. Tolonglah. Niah minta sangat-sangat. Tolong jangan mengkucar-kacirkan pertunangan Niah. Mak dan ayah akan tanggung malu. Niah tak nak semua tu jadi. Niah rela mati dari tengok Mak dan Ayah Niah tanggung malu. Lagipun macam mana Indera nak pinang Niah? Kan kita masih belajar? Mana ada duit?" airmata Hasniah semakin lebat turun bersama kata-katanya.

Kami terdiam. Sama-sama kelu.
"Horrayyy.... pasangan yang dipilih sama secocok, sama sepadan untuk DBS03/1994 adalah Indera Kencana dan Hasniah Hasnan. Kita kasi denda pada diaorang. Dendanya ialah kutip sampaaahh. Horrayyy!!!" sorak teman-teman sekelas sewaktu kami bermain satu permainan berunsur motivasi di Kem Camar Alam, beberapa tahun sebelum itu. Ketika itu kami terdiam. Sama-sama kelu. Sekarang kami juga terdiam dan terkelu. Tetapi dalam keadaan yang sangat berbeza.

"Jika sudah begitu keadaannya, boleh tak Indera minta satu perkara?"
Hasniah hanya mengangguk.
"Bahagiakan lelaki itu. Lupakan semua perkara tentang kita. Anggap Niah tak pernah kenal Indera"

Saya tidak boleh berlama-lama di situ. Sembilu tajam menusuk tubuh saya datang dari segenap penjuru. Renungan Hasniah yang kesedihan dan kehampaan yang menggunung di hati saya membuatkan saya kepedihan.
"Hahahahaha... Selamat menempuh gerbang perkahwinan. Selamat berbahagia di samping dia" saya mengatur langkah meninggalkan Hasniah. Selamat untukmu sayang. Kita tiada takdir untuk bersatu. Dalam perit menahan ego, setitis airmata berguguran jua tanpa dilihat oleh Hasniah.
(Siapa sejambak mawar merah
Harum di kamar hatimu
Hingga diriku disingkirkan)

Nun di utara, Hasniah ketika ini sedang berbahagia bersama suami dan cahayamatanya yang tersayang. Saya dengan pasangan hidup saya dan juga 2 orang penyeri perkahwinan kami. Cinta saya dan Hasniah laksana bunga mawar berkembangan. Namun cuma sebentar. Tiba masanya, ianya layu lalu jatuh sekelopak demi sekelopak. Tiada apa yang tinggal. Yang ada hanyalah kenangan.

Tamat

12 comments:

pB said...

Hati kak pB pulak yang rasa macam dirobek pisau ...

syahdu nyer ...

rasanya semua orang pernah jatuh cinta dan putus cinta ....

Masy said...

sedih sedih sedih..~ *kesat mata tapi airmata takdak*

tp soklan x terjawab ni Indera.. sape suami dia? x kenal smpi sekarang?

INDERA KENCANA said...

Kak pB,
Saya rasalah kan Kak pB, tak semua orang pernah bercinta putus di tengah jalan. Tetapi memang kompen takde orang yang pernah putus cinta kalau dia tak penah bercinta.. <-- err... ayat berpusing2. Maaflah kalau pening sikit. Hehehehehehe...

Masy,
Suaminya seorang manager sebuah hotel kat utara semenanjung. Itu yang saya tahu laa. Saya tak kenal pun husband dia..

Sang Perba said...

indera
cinta tidak semestinya bersatu...tp aku tahu kisah ini hanyalah sekadar imbauan kenangan dan kasihmu tetap pada isterimu jua...(macam aku jugak kisah ko ni yer...)

KAMATO said...

ni kalau digabungkan dengan cerita masa di kampus dulu, dah boleh keluarkan novel... syabas

Ghaz said...

Indera ...

Hehehehee

Apa apa pun ...

Biarkan biduk berlalu ...

Hehehee

Bunga Rampai said...

Salam buat Indera,

Saya tersentuh ...

Gubah kenangan itu menjadi pedoman, mengasuh diri ke arah kebaikan :)

Moga Indera dalam lindunganNya selalu.

Sastri said...

sedihnyaaaaa penghujung cerita ini... huhuhu...

apapun, let bygones be bygones... semoga Indera dan juga Hasniah bahagia dengan pasangan masing2 sehingga ke akhirnya...

kingbinjai said...

dude...

achik said...

dah tersurat dan tersirat.. huhu..

AKMA said...

Tiba masanya, ianya layu lalu jatuh sekelopak demi sekelopak.

Jangan ditangisi, kerana kelopak itu telah mekar..memungkinkah kasih itu mewangi di utara atau di mana-mana.

Salam sahabat.

Idham

INDERA KENCANA said...

Zam,
Ramai yang kata, "siapa tak sayang bini, oii". Cerita lama hanya kenangan. Takde bawak apa-apa makna.

Saudara Kamato,
Ya ke.?? Terima kasih.

Bro Ghaz,
Semua itu hanyalah kenangan semata-mata.

Salam seharum mewangi Bunga Rampai,
Segalanya menjadi sempadan buat ingatan di kemudian hari.
Terima kasih atas doa itu.

Sas,
Semua tu cerita lama...

King,
yaa...

Achik,
Huhuhuhuhu..

AKMA,
Tiada igauan lampau, maka tiadalah kebahagiaan hari ini.
Salam takzim buatmu sahabatku, moga berbahagia selalu juga..