Wednesday, July 18, 2007

Selamat Jalan wahai Perwira

Misteri kehilangan Pesawat Nuri Sikorsky S-61A-4 yang membawa 6 anggota TUDM akhirnya terjawab dengan penemuan bangkai pesawat terbabit pada jam 1.24 petang semalam. Kesemua anak kapal pesawat malang itu disahkan terkorban. Mereka adalah Kapten Nor Azlan Termuzi 29 (juruterbang), Kapten Nor Intan Asykeen 27 (pembantu juruterbang), Sarjan Mohd Azmie Yassin 35 (Pegawai Avionik), Sarjan Khusnizam Ariffin 34 (Kuartermaster udara), Saifulizam Alias 28 (Laskar Kanan Udara) dan Muhammad Ridzuan Ahmad 27 (Laskar Udara).


Pesawat ini dilaporkan hilang daripada kawalan radar setelah 10 minit meninggalkan Pengkalan Udara Sungai Besi di dalam penerbangan ke Kuantan. Kejadian yang berlaku pada jam 9.35 itu dikatakan berpunca daripada cuaca buruk.


Menurut beberapa orang saksi, pesawat itu dilihat berada di Tana Rimba dan berlegar-legar selama 30 saat. Pesawat itu juga dilihat berada berhampiran dengan belakang kediaman Tan Sri Lim Goh Tong sebelum beredar ke tempat lain setelah berlegar-legar selama beberapa ketika.


Menurut seorang Pegawai Waran Udara yang sedang memandu di Lebuhraya Karak berhampiran dengan Terowong Genting Sempah pada waktu kejadian, beliau mengenal pesawat itu jenis Sikorsky buatan Amerika Syarikat berdasar pengalamannya yang banyak terlibat dengan penerbangan yang melibatkan pesawat itu. Menurut beliau lagi, pesawat terbabit dilihat tersasar dari laluan biasa yang digunakan oleh mana-mana penerbangan sebelum itu. Ini adalah dipercayai bahawa Juruterbangnya pada ketika itu sedang mencari tempat yang sesuai untuk melakukan pendaratan kecemasan.


Pencarian selama 5 hari itu kemudiannya berakhir apabila pesawat tersebut ditemui di suatu kawasan di arah Baratlaut Terowong Genting Sempah. Hanya jarak 3 kilometer sahaja dari terowong berkenaan. Pesawat itu ditemui dalam keadaan terjunam ke bumi manakala ekornya patah tersangkut pada pokok. Pesawat itu tidak mempunyai tanda-tanda terbakar hanya kipas utamanya didapati tertanggal dan gagal dikesan hilangnya. Sewaktu ditemui juga, kesemua anak kapal tidak mengalami kecacatan fizikal dan berada pada kedudukan mereka masing. Penghantaran jenazah akan dilakukan dengan segera dan waris-waris sedang bersedia untuk urusan pengkebumian.



Kata saya;
Petang ini seorang kenalan Boss saya mampir di pejabat atas urusan menandatangi satu dokumen rasmi. Saya yang bertanggungjawab atas urusan tandatangan itu. Kedatangannya walau bagaimanapun tepat mengikuti masa. Memang Encik Saharudin itu seorang yang sangat patuh pada masa.
"Engkau tahu Indera, Jalan Tun Razak jammed teruk hari ini.."
"Ya ke..?? Sebab apa ya..??" tanya saya
"Entah.. sebab diaorang hantar mayat kot" kata Encik Saharudin.
"Mayat..???"
"Tu.. mayat anggota TUDM yang bawak Nuri tu.." katanya
"Ooooo..."


Setelah Encik Saharudin pulang, beban kerja beransur kurang. Masa terluang saya isi dengan membaca perkembangan terkini nahas pesawat Nuri itu. Dari cerita yang dipaparkan, jelaslah bahawa sewaktu kejadian itu Juruterbang itu Kapten Nor Azlan Termuzi maklum akan bencana yang bakal menimpanya serta anggota lain yang turut bersama di dalam pesawat.


Bimbang kejadian buruk yang bakal menimpa, Kapten Nor Azlan cuba mencari tempat pendaratan yang sesuai. Dia mengemudi pesawat itu menuju ke Genting Highlands dan mencari tempat mendarat di sana. Itulah sebabnya pesawat itu dilihat berada di belakang kediaman Tan Sri Lim Goh Tong buat beberapa ketika. Memandang tempat dan ruang pendaratan yang tidak selamat dan sesuai, dia beralih ke Tana Rimba dan dilihat oleh pekerja-pekerja Indonesia yang sedang membina jalan di sana berlegar-legar selama 30 saat. Masih tidak sesuai untuk melakukan pendaratan. Akhirnya beliau mencuba peluangnya untuk melakukan pendaratan di Lebuhraya Karak. Namun ketentuan takdir lebih berkuasa atas segalanya.


Al-Fatihah untuk saudara-saudaraku....

9 comments:

Unknown said...

al fatihah..

Masy said...

alfatihah..

sekurang²nya allahyarham nor azlan berusaha dan berjuang utk hidup sebelum kecundang....~

kingbinjai said...

al fatihah

khairyn said...

Semoga roh mereka dirahmati Allah.

bagi saya.. itu satu kematian yang sia-sia. Atas dasar kecuaian yang membenarkan nuri digunakan.

achik said...

al fatihah..

Sastri said...

turut bersedih dengan kejadian yang berlaku... sudah lama dah Nuri tu dicadangkan untuk digantikan... apapun, benda dah pun berlaku... takziah kepada keluarga mereka... semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang beriman... Al-Fatihah...

blackpurple @ jowopinter said...

Al-Fatihah. Takziah kepasa keluarga mangsa.

Moga-moga pihak-pihak yang berkenaan itu membuka mata dan mata hati...

KAMATO said...

Semoga roh mereka dicucuri rahmat

BaYu SenJa said...

salam untuk indera,

kisah yang berulang....

alfatihah