Tuesday, October 30, 2007

Salam Ceria di AidilFitri



Hari Raya di rumah mertua bersama sanak saudara Azah. Biras saya sedari pulang dari Terengganu terus bertapa di tingkat atas rumah. Entah apa yang dibikinnya, saya sendiri tidak mengerti. Namun saya memahami ketidak-betahannya untuk tinggal berlama-lama di rumah mertua. Maklum sahaja dia orang Terengganu yang punya cara hidup yang agak berbeza dengan kami orang Perak. Contoh yang paling terdekat adalah pada loghat yang kami pertuturkan.

Mertua saya anak yang sembilan dalam 10 aturan adik beradiknya. Hampir kesemua adik beradik mertua perempuan saya itu meneran 10 atau lebih anak dari kandungan mereka. Cuma mertua saya sahaja yang punyai anak 4. Adik beradiknya yang lain, ada yang 10. Ada yang 12 dan ada yang 15.

Oleh kerana kedudukan ibu Azah yang agak terakhir dalam susunan itu, adalah tidak menghairankan apabila Azah punya sepupu yang hampir sebaya dengan ibunya dan kebanyakan sepupu Azah ini sudah bercucu!! Alangkah ganjilnya apabila saya mendengar suara kecil memanggil saya.
“Atuk Indera, Atuk Indera. Nak duit raya!!” Ahhh… sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan buat sekurang-kurangnya 20 tahun lagi.. Bercucu.

Pertemuan kunjung mengunjung sanak saudara Azah ini pastinya akan disulami dengan tawa ria dan berita sensasi lagi hangat. Cerita kereta Abang Tain dilanggar babi hutan sepulang dia daripada solat sunat AidilFitri. Remuk bahagian hadapan keretanya. Membaikinya sahaja sudah rabak poket Abang Tain sebanyak RM 600.00.

Gosip hangat tentang pertunangan Abang Lee. Abang Lee yang bernikah dengan Kak Zarina selama berbelas-belas tahun menemui kegagalan di dalam perkahwinan apabila Abang Lee menyatakan hasratnya untuk berkahwin lagi semata-mata Kak Zarina gagal memberikannya zuriat… Oleh kerana Abang Lee memilih calon dari kalangan anak dara, Abang Lee tetap perlu melalui tempoh pertunangan… Hahahahaha.. umur sudah 45 tahun, masih lagi perlu bertunang. Juga cerita tentang rumah baru Kak Zizah yang dibina atas tanah pusaka arwah nenek Azah yang kini sudah tersergam indah.

Bagi saya gossip hangat itu hanya berlegar di sekitar sanak saudara mereka. Entah kenapa sejak saya berkahwin dengan Azah, saya tidak punya hubungan yang terlalu erat sesama adik beradik sepupu sepapat Azah. Saya lebih rapat dengan suami sepupu-sepupu Azah. Dalam erti kata lain, kami punya kelab kami sendiri – KELAB MENANTU-MENANTU. Dan kebiasaannya, jika berlaku sebarang konflik sesama sepupu mereka, kami menantu-menantu ini jarang ingin mahu campur. Biar sahaja mereka menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Hari Raya tahun ini datang dengan juadah istimewa. Nasi Dagang Terengganu yang dimasak oleh kakak ipar saya. Itulah kali pertama saya menyaksikan proses pembikinan Nasi Dagang. Aduuhh… terlalu remeh dan memenatkan. Namun hasilnya berbaloi apabila Nasi Dagang itu berupaya menjadi umpan yang ampuh dalam menarik kunjungan sepupu-sepupu Azah ke rumah mertua saya. Penuh rumah dengan tetamu datang silih berganti…
“Assalamualaikum… Selamat Hari Raya. Kami datang nak makan…!!”

Ayat itu mengingatkan saya kepada iklan Mee Maggi di kaca television 30 tahun yang lampau, yang sangat terkenal dengan ayatnya..
“Mak!!! Kawan datang nak makan..!!”

Hahahahaha… saya akan tersenyum sumbing apabila mengingatkan di hari raya itu, semua tetamu datang dengan pakaian kebangsaan. Berbaju kurung atau kebaya. Manakala lelakinya memakai baju melayu lengkap bersampin. Tetapi baju yang saya kenakan di hari raya itu hanyalah baju T cap Pagoda dan sehelai kain pelikat. Tiada masa untuk berbaju melayu. Barukan 2 minit berehat, pasti ada lagi tetamu yang datang berkunjung. Sudahnya, di hari raya itu, tempat duduk saya lebih tertumpu di dapur membantu Azah yang sarat mengandung menyediakan air serta juadah.
“Aloooongggg… balik!!” saya bertempik memanggil Siri Aufa pulang. Hampir setiap minit saya melaungnya.

Siri Aufa di hari raya itu benar-benar sudah membuang emak dan bapa. Langsung dia tidak peduli kepada kami suami isteri mahupun adiknya. Masanya banyak dihabiskan di rumah Wan Limah yang tinggal berjiran dengan Opahnya. Maklum sahaja Abang Is ada di sana. (Masih ingat lagikah kisah Siri Aufa yang jatuh cinta pada Is yang berumur 30 tahun itu?)

Dalam keriangan berhari raya itu, tetap saya terkenangkan keriaan sambutan bersama Mak dan Apak. Ayah dan Ibu, itulah permulaan kami..
“Burung apa..?”
“Burung Muuurai nama dia…”

9 comments:

Masy said...

oh ade ye kisah Siri Aufa jatuh cinta? heheh teringat pulak dgn diri sendiri masa kecik2 dulu :D hahahah

pB said...

Salam ...


Alhamdulillah , dalam duka ada gembira

Hi hi , baru tau nak buat nasi dagang tu remeh ...

tapi sodapppppppppp

achik said...

teringin nak tgk gambar Siri Aufa.. ;)

Sastri said...

setuju dengan Achik... nak tengok laa gambarnya pemunya nama yang unik ni... :D

Iman Mawaddah said...

Saya ada beraya di Teluk Bakung, tapi masih tak dapat cam lagi gambaran2 yang Indera berikan dulu

Bunga Rampai said...

Salam Indera,

Selamat Hari Raya Aidilfitri Indera, maaf zahir dan batin.

Saya senyum meleret pabila sampai bab Siri Aufa yang jatuh cinta tu ...

Kemat said...

nanti rumah terbuka sendiri leh masak nasi dagang..jgn lupa ajak kawan2.

KAMATO said...

Nasi dagang itu la kegemaran saya bila balik terengganu

INDERA KENCANA said...

Masy,
Ada. Cuba tengok entri saya bulan Januari 2008.
OOo. ini kes mudah jatuh chenta jugak la ni. Habis tu kenapa tak jatuh chenta kat Mamak tu..??

Kak pB,
Memang sodappppppppp

Achik & Sas,
OK saya post dalam entry akan datang

Iman,
Kalau Da jalan kat kampung tu mesti Da perasan ada bendang kat sebelah kanan kalau kita dari arah Kg Gajah atau KL. Kat dalam kawasan bendang tu ada jalan turap dengan pasir putih. Jalan tu terus tembus ke belakang Kg Lambor Kanan tu. Di sepanjang jalan kecik tu la ada pemandangan yang cukup cantik. Percayalah. Tapi kalau Da nak jalan sorang2 kat situ tak digalakan sebab jalan tu sunyi. Cuba ajak mana2 kawan (2-3 org) dan kalau boleh mesti ada seorang lelaki. Cantik tempat tu terutama bila padi tengah hijau..

Salam Bunga Rampai,
Selamat Hari Raya. Maaf lahir dan batin juga. Semoga Bunga Rampai akan sentiasa berbahagia.
Memang membuatkan saya juga tersenyum sendiri..

Kemat,
Tentu. Bagi hp number. Nanti saya call. Insya-Allah.

Abang Kamato,
Orang rumah abang orang Terengganu ke..??