Merepek. Memang merepek!!
**************************************
Sekarang cepat benar siang. Jam 6.30 pagi sudah kecerahan. Begitulah putaran alam. Ada masa cepat matahari memunculkan diri. Ada ketikanya pula, ketika saya menghidupkan enjin kereta untuk ke pejabat, langit masih gelap berbintang dengan kokok ayam sahut menyahut menyambut kedatangan hari baru.
Ketika bergegas masuk ke bilik air untuk mengangkat wudhuk bagi Solat Subuh, bayangan 20 tahun yang lampau di waktu yang sama sering terbayang di ruangan mata. Ketika ini, barulah sedar akan makna keikhlasan di dalam peribadatan.
Ketika itu masih terlalu mentah. Seorang budak lelaki yang berusia 13 tahun yang baru merasai alam kehidupan di asrama. Seperti kebiasaan di waktu subuh, asrama sekolah menengah agama yang terkemuka di Perak itu masih tetap sunyi sekali pun fajar sadiq sudah bergemerlapan di ufuk timur. Penghuni-penghuni masih lagi berdengkur dan enak dibuai mimpi.
Suasana subuh di sekolah itu amat menyenangkan saya. Terletak di lembah yang berlatar belakangkan sebongkah gunung yang tinggi di mana kemuncaknya kelihatan seakan-akan kemuncak gunung berapi dikelilingi pula oleh deretan batu kapur yang menambahkan seri bentuk muka buminya.
Saya sudah siap berpakaian baju Melayu berkain pelikat apabila Izwan Katik senior saya beberapa tahun masuk ke bilik dengan termengah-mengah. Cuma memakai kain pelikat sehelai. Dari gayanya kelihatan seperti dia baru bangun tidur. Tetapi berpeluh-peluh pula. Hairan..!!
Sementara ini, di koridor atas kedengaran bunyi kaki-kaki berlari pantas dan sekali-sekala diselangi pula dengan teriakan kesakitan.
"Indera. Tolong aku. Bagi aku pinjam baju melayu engkau" katanya dengan cemas.
"Kenapa ni..??" tanya saya kehairanan.
"Ustaz Samad. Ustaz Samad mengamuk. Habis semua budak yang tidur dia balun dengan rotan" kata Izwan lagi sebelum menyarung baju melayu yang saya berikan.
Sebelum dia beredar, sempat dia menyambar kopiah putih yang tersarung di kepala saya. Saya cuma menggelengkan kepala sebelum mengenakan kopiah putih yang lain. Rakan sebilik saya masih lagi berdengkur.
"Amin. Bangun!! Solat subuh" saya mengejutkan Amin rakan sekelas saya.
"Huhhhhhhhhh.." sahutnya.
"Bangun Amin. Ustaz Samad datang..." kata saya lagi.
"Huhhhhhhhhh" sahutnya masih meneruskan tidurnya.
Sebaik sahaja saya keluar dari bilik saya, saya menoleh ke arah tandas di hujung sayap bangunan itu. Ustaz Samad sudah sampai di pintu masuk bilik air asrama. Azli yang masih bertuala itu menjadi mangsa hayunan rotan Ustaz Samad.
"Kenapa lambat, hah? Tak ingat nak Solat Subuh?" tanya Ustaz Samad.
Azli cuma mampu menyeringai menahan sakit. Sebaik sahaja Ustaz Samad mengangkat wajahnya, dia melihat saya memandang tepat ke arahnya. Dia berjalan pantas ke arah saya. Saya merasakan jika saya membatukan diri, pasti saya akan menerima habuan "roti panjang" Ustaz Samad itu. Naluri saya menggesa saya untuk lari. Saya mula mengorak langkah.
"Hoiii.. jangan lari!!" tempik Ustaz Samad.
Lantas terjadilah adegan kejar mengejar di aras 2 bilik saya itu. Setelah tidak dapat mengejar saya, Ustaz Samad masuk ke dometri lalu dometri itu menjadi gempar laksana sereban ayam penuh dimasuki musang. Kesemua penghuni yang dometri bertempiaran lari menyelamatkan diri sambil dikejar pantas oleh Ustaz Samad.
Kecoh. Kecoh Asrama Putera. Asrama Puteri pun amat berlainan. Suasananya kelihatan hening dan tenteram.
Setengah jam kemudian, kesemua pelajar lelaki sudah siap memenuhi ruang solat di surau asrama. Berbeza dengan hari-hari sebelumnya, di mana cuma setakat 10 pelajar sahaja yang setia menunaikan Solat Subuh berjemaah. Kali ini surau penuh sesak. Dengan bunyi bising pelajar lelaki memperkatakan kejadian kejar mengejar di waktu subuh itu. Masing-masing tidak berani untuk memulakan Solat Subuh. Masing-masing menunggu kedatangan Ustaz Samad.
Sebaik sahaja Ustaz Samad melangkah masuk ke surau, suasana serta merta bertukar menjadi hening.
"Iqamat!!" perintah Ustaz Samad kepada Fuad, pelajar tingkatan tiga yang menjadi muazzin pagi itu.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Asyhadualla ilahaillallah, Asyhadu anna Muhammadar rasullullah...
Tercipta hari baru di pagi itu apabila kesemua pelajar lelaki menunaikan Solat Subuh berjemaah. Jika difikirkan, memang amat memalukan bagi sebuah sekolah agama di mana pelajarnya culas bersolat Subuh kecuali hanya sesudah dikerah dan dirotan.
Sesudah pagi itu, setiap pelajar lelaki dimestikan hadir ke surau bersolat subuh berjemaah. Sesiapa yang tidak atau belum melepasi terowong asrama yang memisahkan antara surau dan juga jalan besar asrama itu akan dihukum rotan.
Di subuh hari Sabtu dan Ahad, setelah tamat solat Subuh, akan ada Kuliah Subuh yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah kami. Kadang-kadang kami akan menekuni pembacaan Ma'thurat Al-Kubra yang dibaca seusai doa Solat Subuh sehinggalah matahari memancar terang menyinari kawasan asrama. Ustaz kata, membaca Ma'thurat Al-Kubra dengan tertib dan tartil akan dikurniakan dengan ganjaran yang sangat besar di sisi Allah S.W.T. Hidup kita akan damai laksana air hening di tasik dan rezeki kurniaan akan masuk dari punca yang kita tidak sedari.
Namun, mungkin ketika itu kami masih terlalu mentah. Tidak menyedari akan nilai tarbiyyah yang dihulurkan oleh ustaz-ustaz kami. Ketika itu yang ada hanya perasaan marah apabila tidur terganggu dek perlu bangun awal untuk bersama-sama berjemaah di surau. Kami lebih takutkan rotan ustaz daripada panas seksaan Neraka itu sendiri.
Setelah meninggalkan institusi itu, perasaan yang dirasakan terlalu gembira. Ibarat terkeluar dari penjara layaknya. Sudah tiada lagi ancaman rotan ustaz. Tiada lagi hambat kejar yang memenatkan. Solat Subuh ikut suka-suka. Jika terlepas, diqadhakan sahaja. Al-Ma'thurat hanya setakat dijeling-jeling sekiranya sekali-sekala melepasi toko-toko yang menjual buku ilmiah yang berbentuk agama.
Tetapi setelah hidup ditentukan oleh diri sendiri ini, setelah berdekad meninggalkan institusi itu, setelah dikurniakan dengan cahaya mata, saya merindui saat berkejaran dengan Ustaz Samad. Saat mengulangi baris-baris doa' yang terkandung di dalam Al-Ma'thurat, merindui lantunan suara ustaz ketika menyampaikan kuliah subuh, merindui kedamaian dan keheningan Nur Ilahi atas mereka-mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan sepenuh hati. Hanya hati yang pernah dilimpahi Nur itu sahaja yang mengerti bagaimana kenikmatan hidup dalam mengamalkan ajaran agama dengan sepenuhnya. Suatu suasana yang saya tidak pernah kecapi lagi sesudah itu kerana sesudah itu, hidup saya di atas kaki saya sendiri.
"Mungkin kamu semua marah atas tindakan Ustaz tu... Tapi percayalah Ustaz buat semua tu, ada kebaikannya. Ustaz Samad juga kata, dia kejar kamu semua tu adalah untuk dia exercise pagi-pagi" kata Abang Ghazali, Ketua Umum sekolah kami sambil tersenyum. Cuma kami yang berwajah masam cemberut.
10 comments:
oo rindu dikejar ustaz ye? apa kata kami - rakan2 blogger - beramai2 menghambat Indera pagi-pagi sepi'e :D hahahahah
alangkah manisnya kalau sekarang diberi peluang berkumpul semula dengan rakan2 lama dan mendengar syarahan uztaz itu
aduh lama betul tak ke sini. Sibuk dan buat-buat sibuk
oh mengingatkan saya pada zaman sekolah dulu.. aduhai kenangan
He he he! Tak sangka kamu boleh masukkan gambar yang paling atas itu Indera.. He he he!
isk isk... ayam panggang dipakaikan bikini... :D
hmm... biasanya, bila kita mengharunginya, kita akan kata geram/benci kena paksa buat camtu... tapi bila selesai, dan telah berlalu sekian masa, kita akan merindui saat2 itu dan baru nampak hikmah dan mula menghargainya...
tringat kenangan2 dok hostel dulu..waa...a glimpse into the past
Salam buat Indera,
Ayam panggang Kenny Rogers ke tu? :-P Berbikini pulak dah :-D Itu cara mereka berthanksgiving agaknya!
Tak mengapa dirotan dengan penuh rasa kasih, atau rasa marah sekali pun asal bersandarkan kasih Illahi dengan niat mendidik.
Sama menang tu ... ustaz dapat senaman, anak didik dapat disiplin :)
Moga Indera baik-baik saja.
Masy,
Nanti kita boleh main Polis Sentri tengah-tengah subuh sepi'e..
Abang Kamato,
Memenag merupakan saat yang sangat manis. Malah setiapkali menghadiri kuliah subuh sementara menunggu matahari terbit merupakan saat yang amat menenangkan..
Khairyn,
Seronok ke pegi New Lanark..?? Patut takde kat rumah.
Bro BP,
Sekali sekala ingin berjenaka.. tak salah kan..??
Sas,
Hahahahaha...
Bila saat tu tak dapat kita kecapi, mulalah kita rindu. Dulu buat tak heran je..
Mazarina,
Merasa juga ke pengalaman macam saya..??
Salam Bunga Rampai,
Terima kasih kerana sudi berkunjung. Saya amat menyenangi kunjungan Bunga Rampai ke teratak saya..
Ibarat telur yang menjaga kuning dan putihnya. Zahirnya kelihatan mengongkong, tetapi peranan cengkerang sebagai pelindung rupanya..
kitorg dulu siap amik kedatangan solat berjemaah.. sape tak turun, kena denda.. oh2 tapi masa f3 ngan f5 mg berebut nak saf depan.. maklum la nak peksa.. isk isk teruk sungguh masa tu.. ;)
Aku buat kunjungan balas. Len kali aku datang lagi...
:)
Post a Comment