Monday, February 04, 2008

Zaryn Ulfah


Adil Rayyan tetap Adil Rayyan. Nakalnya tidak dapat dipertikaikan lagi. Sesekali terdengar tangisan Siri Aufa yang berbekas belakangnya digigit Adil Rayyan. Pun begitu tidur tetap mahu bersama Opah. Jangan ada yang berani tidur di sisi Opahnya. Kelak merasa penampar Jepun. Bila Siri Aufa ke sekolah, tahu pula dia bertanya.
“Kakak? Kakak?” tanyanya selalu.
“Kakak ke sekolah” sahut Opahnya.

Kandungan Azah sudah melepasi tarikh kelahiran yang telah diberikan oleh bidan. Pun begitu belum ada tanda-tanda Azah akan bersalin. Oleh itu, seperti biasa, malam Ahad itu saya pulang ke Rawang. Kaki saya pun terasa sengal-sengal sejak memakan Apam Balik yang dibeli di Pekan Tanjong Belanja petang semalam. Aduhhh… Osteoarthritis saya sudah mula menunjukkan tanda-tanda ianya akan kembali semula. Lutut kiri saya mulai membengkak, peha saya terasa sengal dan badan pun seperti sejuk-sejuk mahu demam.

Saya mengharapkan agar Azah bersalin pada hari Rabu kerana Jumaat nanti pejabat saya akan ditutup sempena cuti Hari Wilayah. Walau bagaimana pun, sebaik sahaja saya bersiap-siap ingin ke pejabat pagi Isnin itu, saya mendapat mesej daripada Azah yang dia sudah mulai sakit-sakit ingin bersalin. Di pejabat, Azah menelefon lagi meminta saya pulang. Sebaik memaklumkan kepada Encik Zuhairi pagi itu, saya terus memecut memandu pulang ke Perak. Nampaknya dalam sehari dua ini, hidup saya lebih banyak berada di dalam kereta dengan pemanduan panjang yang memenatkan badan.

“Ingatkan awak dah nak bersalin betul-betul” kata saya sebaik terpandangkan wajah Azah yang selamba menyediakan hidangan makan tengahari.
“Memanglah rasa nak bersalin. Tapi sakitnya datang sekejap-sekejap je” kata Azah.
“Nak pegi hospital sekarang?” tanya saya pula.
“Nantilah lepas Asar nanti…” kata Azah.

Bagus juga, fikir saya. Kesempatan itu saya ambil dengan melelapkan mata. Selepas Asar, barulah saya membawa Azah ke Hospital Seri Manjung.

Seri Manjung sesak petang itu. Kenderaan berpusu-pusu sepanjang jalan dengan penduduknya berkejar pulang ke rumah seusai kerja. Alangkah bagusnya kalau saya dapat bekerja di pekan ini. Tidak perlu terkejar-kejar masa dengan segala halangan trafik dan letih dengan lalu lintas yang sesak hingga membawa ke malam hari seperti di Kuala Lumpur.

Dewan Bersalin yang terletak bersebelahan dengan Bahagian Kecemasan itu hening sahaja. Sebaik pintu ditolak, kelihatan seorang lelaki yang seusia saya dikelilingi oleh 3 orang anaknya sedang leka menatap kaca television sambil ibu dan bapa mertuanya pula rancak berbual-bual dengan jururawat di situ.
“Ya Allah, bang… doktor lelaki!! Malu!!” bisik Azah sebaik kami terpandangkan Dr Ramesh yang berkawad keluar dari dewan bersalin.
Saya cuma mampu menepuk bahu Azah untuk meredakan rusuh hatinya.
“Bersabarlah…”

Rupa-rupanya Dr Ramesh hanya memantau dari luar bilik pemeriksaan. Segala-galanya dilakukan oleh bidan dan jururawat yang bertugas hari itu. Saya kira Dr. Ramesh juga mengerti akan kepekaan dan sensitiviti pesakit di bawah jagaannya.

Lama benar Azah di dalam Bilik Pemeriksaan itu. Saya dilanda kebosanan. Lutut saya kian bertambah kuat sakit sehingga berdenyut-denyut. Manakala perut pula lapar kerana waktu makan tengahari itu saya cuma mengambil sesenduk nasi sahaja akibat tiada selera kerana kaki yang membengkak. Memikirkan pemeriksaan itu akan mengambil masa lebih lama, saya meninggalkan Azah untuk ke restoran yang berhampiran.

Waktu sudah hampir Maghrib sewaktu saya keluar dari restoran itu. Saya sudah kelewatan. Pasti Azah cemas menunggu saya. Sebaik tiba di Dewan Bersalin, kelibat Azah tidak kelihatan. Cuma yang ada hanya lelaki yang sama-sama menunggu di dewan bersalin itu.
“Diaorang dah hantar kakak (Azah) masuk ward dah, bang..” kata lelaki itu.
“Bila..?”
“Dah 15 minit dah” katanya sambil tersengih-sengih.
“Ye ke..?? Isteri awak bersalin dah ke..?” tanya saya pula
“Dah bang. Anak perempuan”
“Hahahahaha… tahniah!!”

Ward Obstetrik 2B itu kelihatan malap sahaja. Dalamnya penuh dengan wanita-wanita berperut boyot, berwajah sayu yang menanti masa dan ketika untuk memberi kelahiran pada jiwa baru yang bakal menjadi penduduk alam ini.
“Abang pegi mana..?” tanya Azah
“Abang pegi makan. Tunggu awak lama sangat. Perut pun dah lapar. Ingatkan awak tak habis buat ujian lagi. Abang pun teruslah pegi makan dulu..”
“Oooo..”
“Doktor kata apa..?” tanya saya
“Dah bukak 2 cm”
“Hmmm… maknanya dalam tengah malam nantilah awak bersalin tu kot..” agak saya
“Awak nak makan apa-apa..?” tanya saya sambil memasukkan beg baju ke dalam kabinet yang disediakan.
“Abang beli nasi goreng dah la..” kata Azah.

Kantin hospital terletak jauh di penjuru kiri bangunan itu. Bersekedudukan dengan surau. Selepas solat Mahgrib, saya bersedia untuk membuat pesanan.
“Ya, bang… nak apa..?” tanya seorang pemuda di kaunter itu.
“Errr… saya nak Nasi Goreng Pattaya, satu”
Seketika telefon bimbit saya berbunyi…
“Abang…. Cepat.. Sakit dah ni… Diaorang dah nak tolak Zah masuk….”
Hahhhh…???????


(Bersambung)

7 comments:

Masy said...

anak ketiga yaa.. nama macam perempuan :) tahniah!~

Sastri said...

sedapnya nama Zaryn tu... sas memang berkenan dengan nama tu... :D

melor said...

tahniah.. tahniah..

lepas ni bleh plan yang ke 4 plak

kingbinjai said...

wah tahniah tahniah

hayad said...

nnt letak gambo baby ek :)

HAPPYIRFA said...

salam iindera..
untungnya azah..ada sang suami yg sudi bercerita pengalaman menunggu isteri bersalin.jarang suami suka menulis spt awak..TAHNIAH utk anak baru..lelaki atau pompuan?

indera kencana said...

Masy,
Mmg baby gurl pon.. TQ :)

Sas,
Orang tu pon berkenan jugak ke..??

Melor,
Mekasih..
Hmmm... kalau dapat saya suker..!!

King,
Mekasih...
Aku tunggu ke akhir bahagian Asyfa Rawiah

Dayah,
Insya-Allah

Irfa,
Mekasih.. anak fomfuan..