Wednesday, November 05, 2008

Badrun Basim : Keputeraan Badrun Basim


“Janganlah tuanku bergundah gulana. Jika seorang putera yang tuanku idamkan, patik sekarang sedang berbadan dua dengan putera tuanku. Jika seorang teman yang tuanku inginkan, patik di sini bersedia sehidup semati bersama tuanku” halus tutur kata Jalnar Al-Bahriyyah itu menusuk ke dalam sanubari Sultan Badruzzaman kembali bercahaya. Hilang segala kelesuan dan kegundahan. Berganti dengan sinar harapan dan bertenaga seperti muda remaja.

“Wahai adinda. Katakanlah pada kanda, siapa adinda yang sebenarnya, siapa adinda yang telah Allah utuskan kepada kekanda untuk membahagiakan dan menceriakan hidup kekanda. Katakanlah, kanda suka ingin mendengarnya”

“Ampun kekanda, permata hati adinda. Adapun adinda bernama Jalnar Al-Bahriyyah. Puteri Maharaja Shah Akbar yang memerintah kerajaan di bawah samudera yang bernama Bahr El-Alam. Suatu masa adinda telah berselisih faham dengan saudara adinda sehingga adinda bertekad untuk menyerahkan diri adinda kepada penduduk di atas muka bumi ini. Perjalanan itu telah menemukan adinda dengan darwish yang kemudiannya telah menyerahkan adinda pada tuanku. Sekiranya tidak kerana kasih dan cinta adinda pada tuanku, ditambahi pula adinda sedang berbadan dua dengan putera tuanku, nescaya sudah lama adinda pulang ke samudera menerusi jendela yang menghadap arah lautan itu” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Mendengarkan kata-kata Jalnar Al-Bahriyyah itu, teramat sukacitalah hati Sultan Badruzzaman lantas dipeluk eratnya Jalnar Al-Bahriyyah sebagai tanda kasih yang tidak terhingga.
“Kanda fikir, ada baik jika adinda berbaik-baik semula dengan saudara adinda itu. Jemputlah saudara adinda itu berserta lain-lain saudara serta bonda adinda. Dengan ini dapat jualah mereka meraikan bersama kedatangan putera kita nanti” titah Sultan Badruzzaman.

Jalnar Al-Bahriyyah pun menyediakan bekas bara. Bekas itu kemudiannya diletakkan di hadapan pintu biliknya yang mengadap ke Laut Arab. Setelah itu Jalnar Al-Bahriyyah membakar setanggi dan kemenyan sambil asapnya berkepul-kepul dihembus angin menuju ke lautan.
“Pergilah kekanda bersembunyi di sebalik tirai di belakang kamar adinda. Janganlah kekanda keluar selagi adinda tidak memanggil kekanda. Dengarlah segala apa yang adinda perbualkan nanti” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Sultan Badruzzaman segera bersembunyi di sebalik tirai sutera yang menyempadani ruang besar itu dengan bilik peraduan Jalnar Al-Bahriyyah. Dari tempat baginda bersembunyi itu, baginda boleh melihat sesiapa sahaja dan mendengar apa sahaja yang diperbualkan oleh permaisuri baginda.

Seketika, Sultan Badruzzaman melihat lautan di hadapan istana itu terbelah. Lalu keluarlah seorang lelaki diiringi oleh 7 orang perempuan. Mereka semua melayang naik ke istana umpama rama-rama kemudian duduk bersimpuh di hadapan Jalnar Al-Bahriyyah. Kesemuanya seiras wajah dengan Jalnar A-Bahriyyah. Tahulah baginda sultan bahawa mereka itu adalah mertua, kekanda-kekanda ipar dan adinda ipar baginda sendiri. Masing-masing bertangis-tangisanlah melepaskan kerinduan terhadap Jalnar Al-Bahriyyah.
“Ayuhai anakanda, ke manakah anakanda menghilangkan diri selama ini. Bonda makan hati berulamkan jantung selama anakanda tiada” tangis Permaisuri Zainab.

“Benar kata bonda itu kekanda” kata Shahrul Arifin.
“Jika adinda yang bersalah sehingga menyebabkan kekanda merajuk hati sebegini rupa, adinda sedia menerima hukuman. Kekanda jatuhkanlah apa jua hukuman. Adinda rela menerimanya” kata Shahrul Arifin lagi.

Melihatkan sekelian saudaranya benar-benar merinduinya selama ini, timbul rasa kesal atas ketelanjurannya melarikan diri dari kerajaan di bawah samudera dahulu.
“Anakanda juga memohon ampun atas kesalahan anakanda pada bonda, kekanda-kekanda dan adinda Shahrul Arifin. Kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Kita lupakan segala perselisihan antara kita” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

Jalnar Al-Bahriyyah kemudian mengkhabarkan kepada sekelian saudaranya serta bonda tentang pengembaraannya sehinggalah dia berkahwin dengan Sultan Badruzzaman. Tambah mengembirakan sekelian tetamu itu ialah Jalnar Al-Bahriyyah sedang berbadan dua.
“Kerana itu anakanda tidak dapat kembali ke kerajaan Bahr El-Alam buat sementara. Tambahan pula kasih sayang baginda sultan yang mendalam pada anakanda membuatkan anakanda rasa bersalah untuk meninggalkan baginda sultan” kata Jalnar Al-Bahriyyah mengangkat hidangan mempersilakan tetamunya untuk santap.

Mendengarkan kata-kata Jalnar Al-Bahriyyah itu, amat besarlah hati Sultan Badruzzaman. Padan benarlah Jalnar Al-Bahriyyah ini menjadi kesayangan beta, fikir hati Sultan Badruzzaman.

Sebaik sahaja sekelian tetamu itu ingin menjamah hidangan, masing-masing terfikirkan bahawa sultan yang diperkatakan oleh Jalnar Al-Bahriyyah itu tiada bersama-sama.
“Hai Jalnar Al-Bahriyyah, ke manakah sultan yang kamu agung-agungkan itu. Adakah dianya hanya satu penipuan kamu atau kamu sengaja ingin kami membelakangkan baginda?” tegur Permaisuri Zainab dengan murka. Serentak dengan itu sekelian saudaranya segera berpaling dari melihat wajah Jalnar Al-Bahriyyah tanda terlalu benci. Suasana menjadi tegang dan panas. Wajah Jalnar Al-Bahriyyah yang tadinya seperti bintang kejora bertukar suram dilanda mendung.

“Jangan kamu sekelian merasakan bahawa anakanda membelakangkan sultan itu. Sesungguhnya sultan sejak dari tadi sudah adinda minta baginda bersembunyi di sebalik kamar anakanda supaya bonda dan sekelian saudara tidak merasa kekok untuk kita kembali berbual-bual” kata Jalnar Al-Bahriyyah.

“Kekanda, kekanda tentu mendengar perbualan adinda dengan bonda dan saudara adinda bukan? Sekarang kekanda keluarlah dari situ” panggil Jalnar A-Bahriyyah sambil tersenyum tanpa beralih pandangan matanya dari sekelian tetamu.

Keluarlah Sultan Badruzzaman dari kamar Jalnar Al-Bahriyyah menyambut kedatangan tetamu-tetamu baginda. Masing-masing tetamu yang hadir mengungkapkan tasbih membesarkan Allah atas keindahan wajah Sultan Badruzzaman. Maka, tinggallah tetamu-tetamu itu di istana Jalnar Al-Bahriyyah selama 40 hari 40 malam dengan penuh kegembiraan dan sukacita sebelum tetamu itu bertangisan pulang semula ke Kerajaan Bahr El-Alam.

Setelah cukup usia kandungan Jalnar Al-Bahriyyah 9 bulan 10 hari, Jalnar Al-Bahriyyah pun gering ingin melahirkan anak. Baginda merasa teramat gusar lalu segera dipanggilkan bidan diraja. Tidak lama kemudian, Jalnar Al-Bahriyyah selamat melahirkan seorang putera yang cantik. Wajahnya bersinar-sinar ibarat bulan purnama. Baginda sultan menamakan putera baginda itu dengan nama Badrun Basim.

Setelah habis pantang, baginda sultan mengadakan kenduri besar-besaran sambil bersedekah pada sekelian hamba rakyat sambil mengucap syukur atas segala kurniaan yang dilimpahkan ke atas sekelian rakyat dan baginda sultan. Turut dijemput di majlis itu sekelian raja-raja, kaisara-kaisara dan sultan-sultan dari negara yang berhampiran. Tida lupa dijemput adalah Sultan Shahrul Arifin, adinda Jalnar Al-Bahriyyah yang juga ayahanda saudara Badrun Basim.

Sebaik sahaja Shahrul Arifin melihat Badrun Basim itu, terus dirangkulnya. Dipeluk dan diciumnya. Terus dibawanya Badrun Basim itu berputar-putar di dalam Balairong Seri itu seperti mahu dibawanya bayi itu menari. Sekelian yang hadir di dewan itu bagaikan terpukau melihat telatah Shahrul Arifin itu.
Sekonyong-konyong, Shahrul Arifin beserta bayi itu terapung di udara sebelum laut terbelah dan Shahrul Arifin melayang masuk ke lautan yang bergelora bersama bayi itu. Melihatkan kejadian itu, sekelian yang hadir menjadi gempar. Sultan terlalu terperanjat sehingga jatuh dari tahtanya. Dada Sultan Badruzzaman berombak-ombak menahan sebak bila mengenangkan buah hati pengarang jatuh baginda bakalan lemas di dalam lautan itu.

1 comment:

.Sari. said...

assalamualaikum, memang sampai sini sahajakah cerita Hikayat Badrun Basim ni?