Dulu masa ada arwah Atuk dulu, Opah masih segar bugar lagi. Masih mampu berdiri sembahyang, masak sarapan pagi untuk cucu-cucunya dan masih berkudrat menebas semak di tanah belakang rumah yang bersempadanan dengan bendang kampung.
Atuk punya tabiat makan yang cerewet. Atuk amat pantang sekiranya dihidangkan dengan nasi lembik. Atuk akan mengomel dan bersungut. Panas telinga dengan sungutan Atuk, Mak Nah atau Opah akan memasakkan nasi yang lain untuk Atuk. Nasi keras. Dimasak dengan air yang kurang. Baru Atuk senyap dan terkepam-kepam mulutnya menikmati hidangan. Sikap ini turun kepada Apak dan saya. Apak juga akan mengamuk jika dihidangkan dengan nasi lembik. Apak juga akan mengomel serta berleter. Saya pula jika dihidangkan dengan nasi lembik, saya tidak pula mengomel atau berleter. Saya akan tunduk makan tetapi 10 minit kemudian, perut saya akan berbunyi-bunyi mengomel tidak tentu hala.
Atuk sering melakukan perkara-perkara yang membuatkan isteri, anak dan cucunya panas hati. Pernah suatu masa Atuk dimasukkan ke hospital akibat lelah. Mak Nah jururawat. Sangka kami Atuk akan bergembira tinggal di wad dirawat oleh anak sendiri. Rupa-rupanya Atuk tidak betah bermalam lama-lama di hospital. Selepas dua hari Atuk berkeras minta pulang. "Makan di hospital tu, cuma nak menghidupkan aku saja.." sungut Atuk. "Kenapa Tuk..??" tanya saya. "Yelah, tak tentu rasa. Tawar. Tak ada manis masin" adu Atuk kepada saya. Saya cuma tersenyum tetapi Mak Nah menyergah. "Nama lagi makanan di hospital. Hospital tempat orang sakit. Jika diberi banyak garam dan gulanya, alamat bertambah sakitlah!!". Atuk tidak menjawab sebaliknya merungut-rungut seperti keli di dalam lubang.
Pernah sekali Atuk bercerita dengan saya, "Mak Nah kamu di hospital, garangnya Ya Rabbi. Aku pun ditengking-tengkingnya". Saya bertanya kepada Mak Nah. "Kenapa Mak Nah tengking Atuk?". Tergelak saya apabila mendengar jawapan Mak Nah. "Mana aku tak marah. Lepas makan tu, dilapnya mulutnya pada langsir hospital. Entah apa penyakit orang yang lekat di situ, Apak pula sental mulut. Kalau engkau pun engkau marah tak, Indera..?". Marah marah marah. Atuk tidak menjawab juga. Terus merungut seperti keli di dalam lubang.
Yang Atuk paling suka Jeruk Maman. Jika Apak menjeruk maman, pasti terkepam-kepam mulut Atuk mengunyah maman. Maman itu dia seorang sahaja yang punya. Kalau anak cucu ingin merasa, buatlah sendiri. Tetapi saya dan Fuad suka mencuri maman Atuk sewaktu makan malam. Selepas Atuk sudah tidur, kami meninggalkan kaca television sebentar untuk menyelongkar almari lauk. Baki maman Atuk kami habiskan berdua. Tengahari esoknya bila Atuk bertanyakan jeruk mamannya, kami cuma mengangkat bahu, konon-konon tidak tahu.
Atuk tidak seperti orang tua yang lain di kampung. Orang tua di kampung suka duduk berborak berjam-jam di kedai kopi. Atuk tidak pernah sebegitu. Jika ada yang mempelawa, Atuk duduk sebentar, selesai sahaja minum, Atuk angkat punggung pulang. Perangai ini juga turun pada Apak dan saya. Walaupun Apak buka kedai kopi, sebenarnya jiwa Apak bukan jiwa orang melepak kedai kopi. Apak buka kedai kopi sebab Apak suka berniaga kerana perniagaan ini yang banyak memberi pulangan di kampung-kampung. Saya memang jarang duduk lama-lama di restoran mamak. Habis sahaja urusan, saya akan terus membayar dan angkat kaki.
Saya tidak ingat bila kali terakhir saya makan bersama dengan Atuk. Tetapi sekiranya dapat makan bersama dengan Atuk, adalah sesuatu yang amat mengembirakan, menyenangkan dan melucukan. Ini kerana Atuk suka bercerita tentang zaman silamnya, zaman sebelum merdeka terutamanya zaman kependudukan Jepun. Opah, Mak Nah dan juga Acu tidak suka mendengar sembang Atuk yang mereka sifatkan sebagai merepek, tetapi saya dan Fuad merasa sangat puas mendengarnya. Seperti cerita Atuk itu suatu suara gemersik dan lagu yang merdu. Saya pernah bersuara di hadapan Atuk, Opah, Mak Nah dan Acu, perkara yang sangat kita rindui setelah kehilangan Atuk adalah saat makan bersama sambil mendengar kisah-kisah silamnya. Telahan saya menjadi kenyataan.
Sehingga kini apabila berkumpul di rumah tua Atuk, sewaktu makan tengahari atau makan malam, masing-masing termenung seketika. Masing-masing merindui saat bersama Atuk. Ceritanya, sungutannya, kepam mulutnya yang pernah mewarnai hidup kami dahulu.
Keadaan Opah setelah kehilangan Atuk semakin membimbangkan. Seolah-olah Atuk pergi membawa bersama semangat Opah. Opah tidak lagi bertenaga. Sekiranya saya mengunjungi Opah, pandangan Opah sering tertumpu pada dinding di atas katil arwah Atuk pernah berada. Di situ tertulis dengan tulisan jawi yang kasar - Mahmud Bin Uda Masiah (nama ibu, sebab sudah meninggal) pulang ke rahmatullah pada pagi Isnin 27 Rejab 1420. Al-Fatihah. Dan mata Opah pun akan berkaca..
No comments:
Post a Comment