Tuesday, November 28, 2006

Abang Long

Semalam saya berbual-bual dengan Abang Naza, jiran sebelah rumah saya. Sedang kami asyik berbual itu, Abang Din membawa keluar sekoleh air kopi menambahkan kerancakan perbualan kami. Entah bagaimana, perbualan kami melarat ke ruang dalam rumah saya.

Abang Naza bertanya apakah kelengkapan rumah yang terdapat dalam rumah saya. Saya menjawab rumah saya itu tidak lebih daripada sebuah padang bola sahaja. Tiada perabot atau barangan yang bersaiz besar. Ada tidaknya hanyalah mesin basuh dan peti sejuk serta lain-lain barang keperluan asas. Maklum sahaja saya ini bujang yang sudah berkahwin.

Abang Naza berkata, "Aku tahu sebuah rumah yang telah ditinggalkan tetapi terdapat banyak perabot di dalamnya. Jom kita pecah masuk.."
Abang Naza ini seorang yang sangat keras lawak jenakanya. Jika sesiapa yang tidak biasa dengannya, pasti sudah menganggap kata-katanya itu sesuatu yang serius. Saya dan Abang Din cuma tertawa dan dalam tawa jenaka itu ada kebenaran dalam kata-katanya. Lalu kami bertanyakan rumah milik siapakah yang ditinggalkan itu dan apakah musababnya ditinggalkan begitu sahaja.

Abang Naza berkata, rumah itu asalnya disewakan oleh seseorang bernama Aziz. Dia seorang pemandu limousine, kelahiran Klang. Punyai isteri yang cantik yang bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Di awal perkahwinan, mereka menyewa di Damansara, sebuah kondiminium sederhana. Namun yang menjadi masalah ialah sikap Aziz yang suka berhutang. Berhutang sana dan berhutang sini. Rumahnya dipenuhi dengan perabot, tetapi semuanya hutang. Untuk menjadikan masalah itu lebih parah, Aziz berhutang pula dengan Ah Long. Bukan seorang, tetapi sehingga 4-5 Along dalam satu masa.

Setelah mendapat wang itu, dia akan bersuka ria di Port Dickson atau Genting bersama-sama isterinya. Akhirnya apabila hutang beserta bunga gagal dilunaskan, Along datang mencarinya hingga ke kediamannya di Damansara. Takut akan ugutan Along itu, isterinya selalu ponteng kerja dan akhirnya apabila prestasi kerja buruk, isterinya itu dibuang kerja.

Isterinya kemudian ditumpangkan di rumah orang tuanya di Klang. Suatu hari, sewaktu dia sampai di rumahnya di Damansara, dilihatnya rumah itu sudah dirantai pintunya. Aziz tahu siapa yang empunya angkara. Takut dengan kemungkinan dia akan diapa-apakan oleh Along itu, Aziz membawa isterinya berpindah ke Bandar Tasik Puteri dengan harapan, bukit bukau di sekeliling Bandar Tasik Puteri itu berupaya menjadi Zon Penampan dari ancaman Along-Along itu.

Sewaktu masuk ke rumah baru itu, Aziz berhutang lagi sebanyak RM 5,000.00 untuk membawa masuk perabot. maka penuhlah rumahnya itu dengan aneka perabot dari dapur membawa ke ruang letak kereta. Dari bilik kelamin sehingga ke tandas.

Malangnya selepas 3 minggu berkampung di Bandar Tasik Puteri itu, kedudukan Aziz sudah dapat dihidu oleh Along-Along itu. Aziz sekali lagi ketakutan. Dia terus membawa isterinya pulang ke Klang. Mungkin Klang itu kubu terakhirnya. Segala perabot hutang di rumah sewa baru itu ditinggalkan begitu sahaja.
"Engkau hendak tak perabot tu, Indera? Kalau 3 minggu tu aku agaklah, jangankan bekas, bau badan dia pun belum lekat lagi.. Tetapi nanti Along tu pulak cari engkau" kata Abang Naza sebelum ketawa terbahak-bahak.
"Cubalah Abang Naza fikirkan cara untuk mengeluarkan perabot itu.." saya menduga Abang Naza. Giliran Abang Naza terdiam. Abang Naza tidak tahu bahawa saya juga mempunyai jenaka yang keras.

Mendengar cerita Aziz itu, berbagai persoalan datang menerpa ke benak. Apakah kesudahannya hidup sedemikian rupa? Apakah arah hidup ini hanya untuk berseronok sehingga menyeret orang lain ke kancah permasalahan kita?

Entahlah. Tetapi itulah hakikat orang kita. Ada yang masih berpegang dengan falsafah hidup biar papa asal bergaya. Tetapi dalam hal ini, pertaruhannya bukan kecil. Akan melibatkan nyawa.

7 comments:

hakim dirani said...

Hutang memang menjadi satu yang menakutkan. saya terkadang tak mau berhutang takut terlupa nak bayar. kawan yang bagi pulak jenis baik, tak kisah kira halal saja.

Rie said...

apa jenis melayu lah itu... aku berhutang jugak. tapi yang penting aje lah. dan rumah aku pun macam padang futsal. hehe

ZaKiN said...

ermmm.. tuan kekadang hidup kita tak puas dengan apa yg kita ada.. maka kita membiarkan diri kita sebati ngan hutang2 yg akan memakan diri sendiri..

asalnya mungkin kesenangan tapi akhirnya nyawa melayang.. tapi napa along tue kutip jer perabot2 tue erk.. hehhehe..

zwitterion said...

x takut namanya tu..kalaulah Along dpt cari..huhuhu

INDERA KENCANA said...

Hakim,
Saya setuju dengan Hakim. Kerana itulah Islam menganjurkan apabila matinya seorang anak Adam, perkara kedua selepas diuruskan pengkebumiannya adalah melangsaikan hutang-hutang. Takut saya sekiranya amalan saya tergantung di antara langit dan bumi bila hutang saya tidak dilunaskan saat menjelang ajal.

Esis,
kami pun mengeluarkan ayat yang sama semalam "Apa jenis Melayu la tu..". Masalahnya menurut Abang Naza, dia sudah berkali-kali memberikan jalan kepada Aziz untuk menyelesaikan hutangnya. Tetapi Aziz menjawab, "Abang jangan campur hal saya.." Susahlah macam tu, kan??

Zack,
Betul kata Zack. Keinginan manusia ini memang tidak dapat dipuaskan. Kadang-kadang manusia ini tahu jika mengambil jalan pintas untuk senang ini besar risikonya, namun ramai yang tidak pernah hendak ambil iktibar. Cayalah Zack..

Dah ok dah..??

Zwit,
Risau juga kami sekiranya dia itu dibawa oleh Along-Along itu disekitar kawasan bukit sunyi di Batu Arang itu, kemudian dibunuh di situ. Sudah banyak kes pembunuhan terjadi di kawasan itu memandangkan jalan di situ teramatlah sunyi hatta di siang hari pun.

kingbinjai said...

seram aku baca cerita ni

INDERA KENCANA said...

King,
Haa.. menakutkan kan..??