Thursday, November 09, 2006

Peristiwa Jentayu Bertarung dengan Garuda

Sebuah dedikasi untuk Encik Zulkifli,


Diriwayatkan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa, di suatu masa, dunia ini didiami oleh ratusan jutaan burung-burung dari pelbagai jenis dan juga warna. Sering alam dan juga dada langit berubah-ubah warnanya apabila kumpulan burung-burung yang berjumlah berjuta-juta itu terbang ke sana dan ke mari. Sebentar berwarna kuning, sebentar lagi berwarna kemerahan dan juga kehitaman dan begitulah silih berganti, alam bertukar dalam kesukacitaan dunia ketika itu.

Adapun burung-burung ini berpenghulukan dua ekor burung yang teramat besar. Seekor Burung Jentayu dan seekor Burung Garuda. Dikatakan Burung Jentayu dan Burung Garuda ini sudah mengaku bersaudara. Beramat kasih akan satu sama lain.

Burung Jentayu ini seekor burung kesaktian yang cantik dan membawa unsur air. Bulunya berwarna Putih kebiruan dan ekornya laksana ekor burung merak. Di atas kepalanya terdapat jambul seperti sebuah mahkota yang bersinar-sinar seperti intan. Manakala Burung Garuda pula seekor burung kesaktian yang hebat. Membawa unsur api dengan bentuk seperti helang. Berbulu kuning keemasan dengan tanduk di kepala yang menyala seperti api.

Kedua-dua ekor burung ini tugasnya menerima amanah Allah mengatur kehidupan burung-burung lain. Mereka sering dilihat berputar-putar mengitari alam membawa dua hawa sejuk dan panas. Adapun di dalam erat persaudaraan itu terserlah perbezaan keperibadian kedua-dua ekor burung ini. Jentayu amat merendah diri. Manis tutur kata, perlakuan dan juga berdikari. Manakala Garuda pula panas baran dan amat cintakan kekayaan dunia.

Di dalam kerajaan manusia pula, dunia pada ketika itu terbahagi kepada 3 kerajaan yang besar. Kerajaan Rom di Barat yang meliputi Benua Eropah dan Asia Utara. Kerajaan Raja Sulaiman di tengah-tengah meliputi Afrika, Timur Tengah, Asia Tengah, India dan Nusantara. Kerajaan China di Timur yang meliputi Indo-China, China dan juga Timur Jauh.

Tersebut pada suatu hari, sedang Jentayu dan Garuda berbual-bual, timbullah satu hal musabab. Garuda amat berbangga dengan kehebatan dirinya dan ingin mengaut segala kekayaan dunia untuk dirinya. Jentayu kemudian mengingatkan Garuda bahawa tugas mereka adalah memenuhi amanah Allah sebagai Penguasa Mergastua di muka bumi ini dan setiap diri makhluk itu punya banyak kelemahan. Nasihat Jentayu itu rupa-rupanya menimbulkan kemarahan dalam hati Garuda. Lantas dengan ketika itu juga Garuda memerangi Jentayu dengan segala kesaktian. Jentayu tidak mahu mencetuskan huru-hara.
"Abang Garuda, maafkan hamba" kata Jentayu.
"Sudah. Mulai saat ini, Putus sudah persaudaraan kita. Aku tidak ingin lagi melihat wajahmu. Nyah kamu dari pandangan mataku atau engkau akan kubunuh"
"Sampainya hati Abang Garuda berkata demikian. Sudah lupakah Abang Garuda pada sumpah persaudaraan kita. Sudah lupakah Abang?" Jentayu cuba menjernihkan suasana.

Namun Garuda sudah tidak lagi menerima sebarang kata kemaafan. Hancur sebuah persaudaraan. Jentayu berduka lara lantas terbang jauh ke kaki langit. Dalam perjalanan itu, Jentayu singgah di Kerajaan Rom dan bertemu dengan Raja Merong Mahawangsa, sepupu Maharaja Rom yang menyelamatkannya daripada Racun Buah Megabayu. Sebagai tanda terima kasih itu, Jentayu mengubah dirinya menjadi sebilah anak panah sakti dan mengingatkan Raja Merong Mahawangsa agar melepaskan anak panah itu di saat Raja itu dalam bahaya.

Setelah bertahun-tahun pemergian Jentayu, tidak sedetik pun di dalam hati Garuda terkenangkan saudaranya Jentayu itu. Tiba-tiba pecah berita, Maharaja Rom ingin mengahwinkan puteranya dengan puteri Maharaja China. Mendengar berita itu, Raja Sulaiman menjadi hairan bagaimana Allah mengatur jodoh manusia sekalipun kedua-dua mempelai berasal dari negara yang jauh jaraknya antara satu sama lain.
"Ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menghalangnya".

Garuda yang ketika itu berada di Balai Penghadapan itu terdengar madah Raja Sulaiman itu.
"Ampun, Tuanku. Patik percaya, dengan kesaktian patik ini, patik berupaya menghentikan majlis pernikahan tersebut. Putera Rom itu tidak akan sama sekali mengahwini Puteri China. Jika patik gagal, patik akan mengurung diri patik di dalam kawah gunung berapi" kata nekad Garuda.
"Jangan Garuda. Kita makhluk Allah terlalu banyak kelemahan. Jangan menyombong diri" nasihat Raja Sulaiman.

Garuda langsung tidak memperdulikan nasihat Raja Sulaiman. Dia bertekad menghalang perkahwinan itu kerana dia berkuasa berbuat demikian. Langkah pertamanya ialah menyerang istana Maharaja China. Terlalu ramai bala tentera China yang terkorban dalam usaha menghalang tindakan Garuda itu. Garuda mematahkan tingkat atas pagoda istana, memasukkan puteri Maharaja di dalamnya dan terus dibawa terbang ke Pulau Langkawi.

Rombongan mempelai putera Rom sudah memasuki Tanjong Pengharapan diketuai oleh Raja Merong Mahawangsa sebagai paman kepada putera Maharaja Rom. Burung Rajawali yang sedang berlegar di angkasa terbang ke Pulau Langkawi mengkhabarkan kepada Garuda bahawa rombongan mempelai Kerajaan Rom sudah sampai di Teluk Benggala.

Di Teluk Benggala itu, Garuda melancarkan segala kesaktian untuk memusnahkan Jong Bahtera Rom yang berjumlah 100 buah lengkap bersenjata. Anak panah umpama hujan menuju ke arah Garuda namun sedikit pun tidak berupaya melukakannya. Garuda memuntahkan api dari paruhnya menyebabkan habis sekelian bahtera hangus terbakar. Putera Maharaja Rom jatuh ke laut lalu terkapai-kapai hilang dari pandangan.

Di saat yang genting itu, Raja Merong Mahawangsa melepaskan anak panah kesaktiannya. Anak panah itu meluncur laju ke udara umpama kilat putih membelah langit, berputar-putar menjelma menjadi Jentayu berhadapan dengan sahabat lamanya, Garuda.

Jentayu........!!!

Peperangan sengit sudah tidak dapat dielak lagi. Satu pertarungan hidup dan mati. Setitis airmata Jentayu jatuh ke bumi. Pertempuran bermula. Kedua-dua pihak mengerah segenap kesaktian yang ada. Halilintar sabung menyabung di langit tinggi. Ombak beralun tujuh hasta manakala Nusantara sudah gempa dengan api lahar naik membuak-buak akibat tekanan dari tenaga kesaktian yang dikeluarkan.

Pertarungan itu amat memeranjatkan Garuda. Kekuatan Jentayu rupanya seimbang dengan dirinya. Tidak pernah diketahuinya sebelum ini. Sedikit kemegahannya tercalar.

Di dalam azamat pertempuran itu, Jentayu dan Garuda masih sempat berhubung secara laduni.
"Bersungguh benar Abang Garuda ingin menghapuskan kita. Sampai hati Abang.."
"Aku akan hapuskan sesiapa sahaja yang menghalangi rancangan aku, termasuk dirimu, Jentayu!!" mata Garuda sudah menyorot ganas.

Mereka bertembung. Mereka bertembung di dalam kesaktian yang teramat hebat.
"Jadi benarlah Abang Garuda ini ingin melenyapkanku" fikir Jentayu. Jentayu sengaja membuka ruang. Tikaman susuh kiri Garuda terbenam ke ulu jantung Jentayu. Jentayu kehilangan nyawanya di tangan saudaranya sendiri. Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, setitis airmatanya jatuh ke laut disambut Sang Tiram dan disimpan menjadi mutiara sebagai tanda kenangan dari Jentayu. Begitulah asalnya mutiara, konon-kononnya. Jasad Jentayu jatuh ke dalam Laut Khalzum. Di dasarnyalah Jentayu bersemadi.

Garuda bersorak riang. Terbang mengitari alam mengkhabarkan berita kejayaannya. Raja Sulaiman mendapat ilham bahawa putera Maharaja Rom hanyut terdampar di Selat Melaka dan bertemu dengan Puteri Maharaja China di Pulau Langkawi. Raja Sulaiman menitahkan agar dibawa pagoda itu ke istana baginda.

Sebaik sahaja dibuka pintu pagoda itu, keluarlah Putera Maharaja Rom bersama Puteri Maharaja China mengadap Raja Sulaiman. Garuda merasa amat malu sekali lantas menghumbankan dirinya ke dalam sebuah kawah gunung berapi di Lautan Pasifik. Wallahua'lam.

10 comments:

hakim dirani said...

Memang best. sampai pulau Langkawi?

ikhlasnya memang menarik cerita ini. tetapi sampai kepada nabi Sulaiman yang saya musykil sikit.

INDERA KENCANA said...

Hakim, Saya tidak berani mengatakan bahawa Raja Sulaiman itu Nabi Sulaiman A.S. Cuma Raja Sulaiman ini banyak disebut di dalam kitab hikayat Melayu dan dirujuk sebagai Raja Sulaiman. Seperti contohnya di ketika Sang Kancil menipu Sang Harimau untuk menepuk Gendang Raja Sulaiman. Siapakah Raja Sulaiman ini. Wallahua'lam. Ada baiknya kita jangan mngaitkannya dengan Nabi Allah Sulaiman A.S. Anggap sahaja Raja Sulaiman ini seorang individu yang berbeza sebagaimana yang tercatat di dalam Hikayat Merong Mahawngsa itu sendiri.

bunga rampai said...

Salam buat Indera,

Apa kata Indera buat sedikit kajian mengenai Rja Sulaiman itu.
eh, menyibuknya saya

INDERA KENCANA said...

Bunga Rampai, itu terpaksa dijawab oleh Pakar Sejarah dan Kesusasteraan Melayu Tua selain daripada bertanyakan pendapat ulamak tersohor tentang perkara ini. Jika saya menjalankan kajian, alamatnya dalam tempoh 3 tahun lagi saya bertukar profession ke Bahagian Muzium dan Antikuiti Negara.

kingbinjai said...

ooo ooo nanti aku nak berhikayat jugalah!

esis said...

memang best. aku tak pernah baca cerita begini.

ko memang superp

lunariss said...

assalamualaikum....
saya nak minta izin sebab ada ambil petikan cerita awak tentang jentayu dan garuda untuk dimuatkan dalam blog saya. jangan marah tau. ni sebab saya tertarik nak tahu tentang jentayu dan kisah-kisah berkaitannya. Ini alamat blog saya http://lunarisworld.blogs.friendster.
com/a_step_to_lunaris/
minta izin tau!

Norhasliza said...

Saya tertarik dengan jentayu apabila terdengar lagu jentayu sheila majid masa remaja dulu. Walaupun tak tahu apa itu burung jentayu tapi saya suka lirik lagu tersebut menceritakan tentang kekuatan semangat jentayu yang berjuang habis-habisan.
Tapi dlm cerita ini jentayu mati dengan begitu mudah. Mana part gaduh-gaduh sampai guna kuku?

aswan said...

cerita ini ada maksud tersirat, ini penceritaan secara kinayah.

kena rujuk ulama' (HAKIKAT) dan 'orang-orang tersembunyi' utk faham 'cerita di sebalik cerita' ini.

joehani said...

Apa yang hendak dihairankan dengan cerita begini? Pelik tapi benar manusia ni,bila anak petani miskin kahwin dengan anak raja tidak pulak menjadi kehairanan malah menjadi kesukaan.Sebenarnya saya pernah membaca cerita ini dan ia memang melibatkan nabi Allah Nabi Sulaiman sebab Nabi Sulaiman nabi yang boleh bertutur dalam bahasa jin dan haiwan.Allah s.w.t telah memberi setiap nabi itu mujizat dan Nabi Sulaiman itulah kelebihannya.Namun sekiranya cerita ini benar atau tidak hanya Allah s.w.t saja yang mengetahuinya kita ni siapa mahu mempertikaikan kehebatanNya.Soal Jentyu ia memang wujud dalam beberapa fakta sains pun ada di sebut cuma kena cari sendirilah kalau hendak tahu kebenarannya.Garuda pula mungkin diwujudkan untuk mengingatkan manusia yang besar dan kuat itu sebenarnya milik Allah s.w.t bukan haiwan bukan manusia.Manakala sombong itu mahu mengingatkan kita apa yang sebenarnya kita ada kalau bukan ihsan atau kalau bukan pemberian daripadaNya kata orang sendiri mau ingatlah.Apa-apa pun tiap cerita itu ada nilai-nilai murni cuma cara penyampaiannya yang kadang-kadang penuh simbolik.