Wednesday, September 13, 2006

Alahai..Melayu!!

Sebuah petikan dari filem Ali Setan...

Suatu petang, di sebuah Bacalewa (istilah kami dahulu) di sebuah universiti di utara Semenanjung itu, Shah Rezza (sekarang Dato') bersama rakan-rakan sedang membincangkan sesuatu yang hangat. Tentang kewajaran meletakkan bumbung Minang pada sebuah bangunan tinggi. Ebby Saiful tersengguk-sengguk dalam mengantuk yang teramat. Shah Rezza menguis sikunya, "Hey, tidur pulok doh". Ebby Saiful tersentak dan serentak itu bersuara, "Betullah tu.. betullah tu..".

Tiba-tiba Ali masuk. Bukankah Ali seorang hero nakal dari Fakulti Kejuruteraan yang genius?. Mereka sepakat meminta pendapat Ali supaya berkata wajar atau tidak wajar. Itu sahaja. Tetapi Ali memberi pendapatnya yang tidak difahami maksud sebenar oleh kumpulan perbincangan itu. Seingat saya pendapatnya berbunyi begini, "Ciri-ciri tradisional itu bukannya terletak pada bumbung sesebuah bangunan sahaja. Tetapi lebih dari itu. Ianya terletak pada konsep, struktur binaan dan integrasi ruang. Sekiranya bangunan tinggi itu diletakkan dengan bumbung Minang, samalah seperti cowboy dengan pistol tetapi pakai songkok!!. Ala.. kacanglah". Masing-masing terlunga mendengar sebelum serentak memprotes pendapat Ali yang mereka rasakan sukar difahami..


Minggu lepas sedang saya bersiap-siap untuk tidur, Channel 9 menayangkan filem garapan P. Ramlee yang saya kira agak kurang ternama. Enam Jahanam. Saya kurang pasti tahun terbitannya tetapi saya amat pasti bahawa filem berkenaan di bawah produksi Studio Merdeka yang beroperasi di Hulu Kelang. Lokasi pengambarannya dibuat di sekitar Kuala Lumpur dengan tema cereka purba.

Seingat saya, saya tidak pernah menonton filem ini sehingga ke akhirnya dan malam itu saya berazam untuk menontonnya hingga habis cerita. Tetapi setelah beberapa minit berlalu, dahi saya mula berkerut sebelum ketawa terbahak-bahak mengiringi jalan cerita yang kiranya mendebarkan. Selepas 30 minit menonton, hanya ketawa dan senyuman sinis sebagai rating hasil kerja seniman agung tersebut. Saya kemudian enggan meneruskan tontonan dan terus sahaja masuk tidur. Saya tidak menyalahkan Tan Sri P. Ramlee atas mutu kerja yang amat buruk ini, tetapi saya menyalahkan Studio Merdeka kerana menerbitkan filem seumpama itu. Tan Sri P. Ramlee hanya menjalankan tugasnya. Semuanya atas kehendak Studio Merdeka.

Mungkin anda akan tertanya-tanya, apakah kaitannya filem Ali Setan dengan Enam Jahanam. Sekiranya anda belum dapat menghuraikan maksud, biarlah saya membantu anda. Kedua-dua filem di atas mewakili zaman dan corak pemikiran semasa pada ketika itu. Adegan Ali memberi pendapat itu bermaksud, nilai budaya (yang diwakili tradisional) bukanlah terletak pada sesuatu yang terpandang sahaja (tersurat) seperti bumbung bangunan. Tetapi nilai budaya sesuatu bangunan itu akan dipandang pada keseluruhan adunannya dari konsep senibinanya, struktur bangunannya, pada integrasi ruangnya dan sehinggalah pada kemasan luar dan dalamannya. Jika hanya bumbung Minang yang memberi tanda budaya tanpa mengambil kira aspek-aspek yang dinyatakan, sesuatu bangunan itu pasti nampak hodoh dan melucukan (seperti contoh cowboy dengan songkok menurut kata Ali).

Menyentuh pula filem Enam Jahanam pula, umum sedar akan nilai sentuhan listrik Tan Sri P. Ramlee. Dari filem gahnya seperti Ibu Mertuaku, Anakku Sazali, Antara Dua Darjat, Sarjan Hassan ke filem-filem komedinya seperti Ali Baba Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapok dan banyak lagi mempamerkan betapa geniusnya P. Ramlee di dalam menggarap filem yang mengangkat nilai budaya Melayu, satira yang tajam dan isu semasa pada ketika itu. Setelah Tan Sri P. Ramlee beralih dari Shaw Brothers ke Studio Merdeka, sentuhan ajaibnya seolah-olah mati. Benarlah kata satu laporan yang saya baca, faktor yang menyumbang kepada kejatuhan Tan Sri P. Ramlee itu adalah Studio Merdeka itu sendiri.

Filem Enam Jahanam itu contoh yang paling dekat. Filem ini jelas-jelas mencedok garapan filem cowboy cuma bernafas Melayu. Unsur Melayu yang terdapat di dalam filem itu hanyalah pada penceritaan dan Mee Rebusnya sahaja. Sedang lain langsung tidak wujud kemelayuannya samada dari solekan penjahatnya, senjatanya, kuda tunggangannya termasuklah kostum. Seperti yang saya katakan sebelum ini, untuk menyalahkan Tan Sri P. Ramlee atas kegagalan ini tentu tidak adil kerana masyarakat umum di Malaysia ketika itu sedang menerima asimilasi budaya yang amat mengejutkan terutamanya melalui filem-filem barat yang masuk ke tanahair seperti James Bond dengan Roger Moorenya, The Wild Wild West dengan Robert Conrad dan Ross Martinnya. Menurut percaturan Studio Merdeka sekiranya audience dihidangkan dengan nilai yang sama pasti tiada penolakan dan sudah pasti juga memberi pulangan yang besar.

Tanpa pengetahuan mereka, nilai budaya itu sesuatu yang sama sekali tidak boleh bercampur. Percampurannya akan mendatangkan kecelaruan kerana nilai budaya itu sesuatu yang murni (bukan suci seperti agama). Nilai estestika sesuatu filem itu ialah hanya apabila ianya bersendikan kepada budaya dan cara hidup masyarakatnya seperti yang dipaparkan di dalam filem Sarjan Hassan dan Ibu Mertuaku.

Vaneeda Imran pernah mengatakan betapa sukarnya beliau menghidupkan watak Mustika di dalam filem Perempuan Melayu Terakhir kerana Mustika punya cara pertuturan yang sangat Melayu. Nuansanya nuansa Melayu. Keperempuanannya keperempuanan Melayu sehinggakan untuk mengangkat tudung di kepalanya pun punya caranya tersendiri. Semua ini terangkum di dalam satu maksud iaitu budaya. Budaya yang pernah wujud di dalam diri setiap wanita di Tanah Melayu dahulu tetapi telah dilupakan. Kita pula sibuk menganut budaya masyarakat lain sehingga untuk menghidupkannya kembali kita merasakan kejanggalannya. Sekalung tahniah kepada Vaneeda Imran kerana berjaya menghidupkan watak Mustika itu.

Sekarang kita renungi diri kita pula. Apakah kita ini sudah cukup kriteria untuk mengaku diri kita Melayu? Apakah dengan bertutur bahasa Melayu itu kita sudah cukup Melayu? Apakah dengan bermastautin di nusantara Melayu, kita sudah cukup Melayu? Apakah mereka yang berbahasa asing atau mereka yang menghuni di bumi asing itu kurang Melayu?

Jika itu yang kita pandang, maka Melayu itu tidak pernah wujud dalam diri kita. Melayu itu sebenarnya adalah jati diri. Jati diri yang membezakan kita dengan bangsa yang terdapat di dunia ini. Jati diri yang memberikan rasa bangga dan berbesar hati atas segalanya yang kita miliki yang tidak ada pada bangsa lain, tidak kira di mana sahaja bumi yang kita pijak. Ada juga individu yang bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi jati diri Melayunya hilang entah di mana. Malu mengaku Melayu dan senang menerima pengaruh negatif dari luar. Teringat saya kepada satu sindiran Tam Spider dalam lagu Cinta Dewa-Dewi, "Menyesal aku dulu malas baca, cakap English tergeliat lidah. Nasiblah baik pernah kuhafal, lagu Nirvana.."

Mempelajari bahasa asing sama sekali tidak menghapuskan budaya bangsa. Malah menurut hadis Rasullullah yang berbunyi "Sekiranya kamu mempelajari sesuatu bahasa itu, nescaya kamu terselamat dari tipu helah bangsanya". Satu ungkapan menyebut Bahasa Budaya Bangsa memang betul tetapi sepatutnya ditambah 'sebahagian' menjadikannya Bahasa Sebahagian Budaya Bangsa.

Melayu itu amat sinonim dengan Islam kerana budaya Melayu itu berpaksikan kepada Agama Islam. Agama Islam yang meninggikan martabat Melayu itu sendiri kerana Melayu sahaja tidak dapat bergerak tanpa sokongan Nur Islam. Ini terbukti di awal zaman terdirinya Kerajaan Melayu Melaka. Melayu itu terpinggir selepas kejatuhan Empayar Sailendra di Pelembang. Melayu tidak ubah seperti ayam bersembunyi di balik reban takutkan helang yang berlegar di angkasa. Menghuni tepian pantai sebagai nelayan serta berada di bawah telunjuk Majapahit dan Siam. Namun setelah penerimaan Islam, Melaka bangkit sebagai sebuah empayar Melayu yang kebijaksanaannya menggerunkan Siam di utara, melemahkan Majapahit di selatan dan menjadi pemangkin terhadap kebangkitan Kerajaan Demak di Tanah Jawa. Budaya Kemelayuan Melaka sama sekali tidak pernah berkecai di dalam pertembungan dengan Ad-Din malah semakin memancar cemerlang di dalam tarbiah Islamiah kerana Ad-Din memisahkan nilai positif dengan nilai negatif yang terkandung di dalamnya seumpama hijab.

Kelemahan Melayu adalah kerana tiada jati diri. Sudahlah Syariat ditolak ke tepi, gaya hidup pula sudah bukan gaya hidup kemelayuan lagi. Kita menghidap kecelaruan budaya sehingga akhirnya kita sendiri tidak tahu siapakah kita sebenar. Yang ada hanyalah celup-celupan.

No comments: