Friday, September 29, 2006

Meriam Buluh

Tuummm!!! bunyi dentuman itu mengejutkan saya yang asyik menonton kartun Drag-Pack di waktu petang itu. Bunyi yang kuat itu mengakibatkan pinggan mangkuk Mak di rak bergegar sedikit. Sekarang baru hari kelima berpuasa, namun perang meriam buluh sudah bermula seawal hari pertama berpuasa lagi.

Mak dan Apak tiada di rumah. Barangkali ke rumah Opah kerana Opah mengadakan moreh untuk berbuka puasa di surau Atuk. Rumah senyap sunyi. Abang saya bermungkinan sedang tidur di bilik. Saya menyelongkar almari buruk di tepi dapur mencari Kerantung Nakus - Buluh pendek yang ditebuk memanjang di tengahnya seperti bentuk tabuh masjid. Dengan kayu sebesar ibu jari orang dewasa itu, saya mengetuk dengan asyik. Teringat sewaktu abang saya menjadi ketua kumpulan budak-budak mengetuk Kerantung. Ada bilangan yang unik sebelum bermainnya sama seperti kita membilang satu, dua, tiga. Tetapi untuk Kerantung Nakus ini bilangannya seperti ini, "Kutu, Halwa, Togel!!!" Kemudian budak-budak mengetuk dengan kuat dan cepat-cepat sehingga membangkitkan suasana kecoh dan bingit.

Sedang saya mengetuk Kerantung itu, saya dikejutkan dengan satu ejekan, "Hoii, budak kecil!!! Main Kerantung Nakus..??". Saya menoleh ke suara itu. Alang dengan Soed. Mereka datang menghampiri saya. "Indera, jom kita main meriam buluh, nak?" tanya Alang.
"Boleh, tapi kat mana nak cari buluh..??" tanya saya.
"Apak aku cakap, kat Tanah Kubur lama tu banyak buluh besar-besar"
"Heeiii.. tak nak la aku. Kat Tanah Kubur tu ada hantu.." saya beralasan.
"Mana ada hantu siang-siang. Lagi pun bulan puasa ni, kat setan kena ikat" kata Si Soed.
"Ye tak ye jugak ye. Jomlah.." Akhirnya saya mengalah.

Kami menyusuri belakang rumah Alang sebelum melintasi anak sungai yang lebar setengah meter. Di hadapan itu terbentang perkuburan lama dengan nisan berceracak ke sana sini. Ada batu nesan yang sudah bergelempangan di atas tanah, manakala nesan yang diperbuat daripada kayu pula sudah mereput dengan pemandangan yang hodoh.

Suasananya amat menyeramkan. Pokok-pokok besar memayungi perkuburan itu sehingga tiada rumput atau lalang yang dapat tumbuh lantaran kekurangan cahaya matahari. Sedang saya pucat lesi menoleh ke kiri dan ke kanan itu, Alang menepuk bahu saya sehingga membuatkan saya terlompat dalam terkejut besar.
"Hah, nilah dia rumpun tu. Besar tak buluh dia..??" tanya Alang.
"Besar, besar, besar" saya dan Soed bersetuju.

Kami mula menggergaji buluh itu dari pangkalnya. Miangnya tidak terkata namun keseronokan dentumannya mengatasi gatal miangnya. Setelah dipotong, kami memikul buluh itu di atas bahu kami dan berbarislah kami bertiga berjalan pulang ke rumah Alang.
"Kita main meriam ni di padang sekolah menengah tu nanti, ye??"
Masing-masing mengangguk seperti burung tekukur tanda setuju.

"Soed, engkau ada kabait (cobalt) tak?" tanya Alang.
"Tak ada. Nak beli tak ada duit". Jawab si Soed.
"Engkau Indera, ada berapa duit?"
"Aku ada sekupang (10 sen) je.." jawab saya malu.
"Ok, Soed, engkau tebuk buluh ni. Aku ikat dengan dawai. Engkau, Indera, pergi kedai beli kabait. Beli 3 kupang (30 sen). Nah!! ambik dua kupang ni" kata Alang sambil menyeluk sakunya.

Bila segalanya sudah sedia, kami memasukkan air ke dalam buluh. Kami masukkan sepotong kecil cobalt. Tindak balas kimia antara cobalt dan air itu menghasilkan gas yang sensitif terhadap percikan api. Tatkala dicucuh sahaja api pada lubang di pangkal meriam buluh itu, serta-merta, TTTUUUUUUMMM bunyinya meletup kuat memekakkan telinga mengegarkan kampung. Kami terpekik kesukaan.

Begitulah sehingga hampir 10 kali dentuman sudah membuatkan kami meloncat-loncat seperti monyet terkena belacan. Setelah itu, ketika giliran saya mencucuh, tiada dentuman berbunyi. Sebaliknya berbunyi "Pop". Kami semua merasa hairan.
"Soed, engkau tengok kat dalam buluh tu, apa pasal tak mahu meletup. Aku agak, si Indera tak mandi pagi ni..." Kata Alang.
"Celuparnya muluuutt" gerutu saya.
"Aku tak naklah. Nanti meletup kat muka aku, tak pasal je" Kata Soed.
"Banyak bunyik le kome ni. Biar aku yang tengok" jawab Alang dengan beraninya.

Alang melihat ke dalam meriam buluh itu. Hairan. Tiada apa-apa yang ganjil. Tidak puas hati dengan itu Alang meniup ke dalam meriam buluh. Tiba-tiba, VOOOOOOVFF, api keluar dari meriam dan menyambar kening dan bulu mata Alang. Rentung. Nyaris dia sempat memejamkan mata.

Melihatkan rupa wajahnya yang pelik tanpa kening dan bulu mata itu, kami terpempan. KAHKAHKAHKAHKAH. Derai ketawa saya dan Soed memenuhi padang sekolah itu.

Keesokan harinya, Alang tidak hadir ke sekolah. Lusanya dia hadir tetapi puas dia ditertawakan oleh kawan-kawan dan guru-guru.
"Tak apa. Tak apa. Kome ketawalah. Balik sekolah ni nanti, aku tembak rumah kome dengan meriam buluh aku" katanya.
KAHKAHKAHKAH...

8 comments:

hakim dirani said...

Cerita pengajaran untuk budak atau bapak budak yang main meriam. lain kali jangan melihat dalam lubang tu. dah ramai dah yang kena.

ha ha ha.

kingbinjai said...

wahahahahaha lagi! lagi!

ufukhati said...

Membawa kembali nostalgia zaman kanak-kanak. Keriangan yang sejati.

Bunga Rampai said...

Salam Indera,
Punyalah serius baca...kemudian...hahaha! Apa pun, tetap ada pengajaran dalam entri ini :)

INDERA KENCANA said...

Hakim, Sejak kerajaan menguatkuasakan larangan ke atas mercun ni, perkara putus jari dan tangan ini sudah jarang berlaku. Jika dulu,dalam setahun hampir 4-5 kes berbanding 1 atau 2 kes sahaja sekarang. Kira Alhamdulillah lah..

King, Kalau banyak mercun tu, pass sket kat aku

Pak Darma, Salam Ramadhan. Alhamdulillah dengan adanya blog ini, dapat juga saya menitip kenangan zaman kanak-kanak yang murni. Sekalipun zaman lalu tidak mungkin berulang, sekurang-kurangnya ia dapat saya kongsikan bersama pelawat blog saya tentang suatu masa dalam lipatan sejarah.

INDERA KENCANA said...

Salam untuk Bunga Rampai,
Pengajarannya.. jangan bermain meriam buluh atau mercun. Mainlah kerantung kerana ianya selamat lagi mesra alam. Hehehehe..

kingbinjai said...

dude, mana pergi? cuti ka?

INDERA KENCANA said...

King, Cuti sebab anak sakit. Semalam (Selasa 3.10.2006) kerja banyak bertimbun. Tak sempat nak melawat ke sana ke mari. Sorry...