Wednesday, November 01, 2006

Di kaki Bukit Larut

"Abang, kami sekarang di Zoo Taiping. Anak-anak terutama Siri Aufa nampak seronok sangat. Lebih seronok jika Abang ada bersama kami.."

Demikianlah mesej yang saya terima daripada isteri saya beberapa minggu sebelum menjelang Ramadhan. Ketika itu saya sedang bergelut dengan fail-fail yang bertimbun di pejabat. Membaca sahaja mesej itu, hati dipagut rasa sedih. Sedih kerana anak-anak saya hanya ditemani oleh isteri untuk bergembira. Juga timbul rasa menyesal. Menyesal kerana tidak berpeluang melihat badak sumbu.

Diam-diam saya merancang membawa isteri dan anak-anak semula ke Zoo Taiping. Hari Sabtu, Hari Raya Kelima, di dalam kemeriahan orang ramai menziarahi sanak saudara, kami di Taiping menziarahi binatang-binatang di sana. Rupa-rupanya bukan kami sahaja yang menziarahi binatang-binatang, malah ratusan umat manusia lain turut bersama-sama di dalam program sihat itu. Kebanyakan pengunjung-pengunjung yang datang ke Taman Haiwan itu adalah mereka yang bermastautin di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Saya dan isteri bergilir-gilir mendukung anak kecil kami Adil Rayyan. Kami memilih menaiki Tren Zoo sahaja. Mana mungkin dalam jarak 2.5 Km itu kami mampu berjalan kaki dengan anak-anak kami yang lasak. Siri Aufa tidak jemu-jemu melihat hyena-hyena di dalam kandang. Dia memanggil hyena yang paling gemuk sebagai Banzai (Banzai ialah salah satu watak hyena di dalam animasi Lion King).

Zoo Taiping amat berbeza sekali persekitarannya dengan Zoo Negara. Sungguhpun Zoo Taiping ini Zoo yang terletak jauh dari bandaraya, namun tarikannya pula jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan Zoo Negara. Bayaran masuknya murah. Lanskapnya begitu tersusun dengan gaya alam semulajadi dikekalkan sehinggakan jika kita berjalan menyusuri laluan-laluan di situ, seolah-olah kita merentasi habitat semulajadinya. Tempat yang paling saya gemari ialah Kolam Swan (Angsa Putih) di mana langsung tidak terdapat sebarang hadangan. Tetapi selamat dengan pondok rehat terletak betul-betul bersebelahan dengan kolam berkenaan. Damai melihat kehijauan sambil swan-swan berenang dan bermandian di kolam.

Awan mendung sarat mengandung hujan. Saya anak beranak berlari ke arah Dataran Zoo mencari tempat berlindung. Taiping tetap hujan. Saban hari hujan. Nampaknya awan Kumulus-nimbus masih belum berupaya melintasi Bukit Larut walaupun dihembus kencang oleh Bayu Selat Melaka yang bertiup dari arah Kuala Sepetang. Adil Rayyan terkekeh-kekeh tatkala badannya terhenjut-henjut dalam dukungan saya yang berlari. Kepalanya tertutup dengan sehelai tuala kecil cuma. Sampai sahaja kami di wakaf Dataran Zoo itu, anak saya itu sudah tertunduk tidak bergerak. Saya terkejut. Cepat-cepat menarik tuala penutup kepalanya. Rupa-rupanya dia tertidur tanpa memperdulikan orang ramai yang bersesak-sesak di bawah wakaf itu laksana kambing yang kebasahan.

Aduh!! anak saya Siri Aufa sudah tidak dapat dikawal lagi. Dia sudah terkinja-kinja bermain di taman permainan di tengah-tengah Dataran dalam hujan lebat lewat tengahari itu. Apabila dipeluk dan dibawa ke bawah wakaf itu, dia meronta-ronta.
"Baba ni mengada-ngada tau" katanya sambil meramas hidung saya.

Tatkala hujan usai, orang ramai sudah berkerumun di hadapan kandang gajah. Terhibur menyaksikan aksi anak gajah yang montel sedang mengejar Rusa Babi-Rusa Babi yang turut mendiami kandang yang sama. Anak saya sudah lencun. Mujur rumah mertua Azlina hanya 5 km sahaja dari situ. Dapatlah saya tumpang bermandikan anak saya. Jika ada sumur di ladang...

Hujan larat ke santak senja. Jalan menghala ke Lebuhraya Utara-Selatan sudah sesak semahu-mahunya. Bekal nasi yang dibawa terlupa untuk dijamah. Dalam kereta, Siri Aufa dan Adil Rayyan terkaparan keletihan, nyenyak dibuai mimpi. Bayu dari Kuala Sepetang itu masih kencang berhembus. Kehijauan Taiping melambai mengucapkan perpisahan buat sementara.
"Datanglah lagi jika punya masa, ya!!" Mungkin itulah bisikannya di angin lalu.

10 comments:

zwitterion said...

raya2 pi lawat..ok jugak kan..

zwitterion said...

pi lawat zoo...

INDERA KENCANA said...

Zwitterion,
Jarang-jarang bawak anak-anak berjalan. Kebetulan hari raya ada cuti 10 hari, dapat la luangkan sedikit masa.
Tak dapat menjelajah Taiping sangat pun. Hujan. Tergendala semua rancangan. Dapat pegi zoo je..

BooK said...

aku selalu pi zoo melaka je. seingat aku mau la 20 kali aku pi zoo melaka. asal cousin aku dah membesar sket je, aku bawak pi sane. lahir sorang lagi, aku bawak pi sane. haha. muak jugak ar.

ZaKiN said...

seronok kan bawa anak2 jalan2.. bukan selalu pon. Aku seumur idop penah gi zoo sekali jer masa umur 22 tahun.. hahaha.. bayangkan. orang kg la katakan.. hehehe

INDERA KENCANA said...

book, kalu cousin ko ade 40 org, 40 kali le ko kene pegi zoo..

maniq, Hahahaha.. biasa la tu. Zoo hanya mekar dalam impian kanak-kanak. Orang dah tua, tak ndak nye pegi zoo. Kalau setakat nak tengok singa, kat animals planet di Astro pun boleh tengok...

kingbinjai said...

aku nama je lahir kat ipoh, tak pernah pegi situ pun.

Iman Mawaddah said...

Saya pun dr golongan yg dilarang makan ikan tapah jugak...ntah2 bersedara kita hehe tak masuk topik lansung ..tp ok la jugakkan topik zoo dan ikan tapah.

Rie said...

aku ddk kl. sekali pun blum pernah gi zoo. padahal hari2 lalu depan.

errr cuti raya pegi zoo.
rumah sedara mara pegi ker... haha

INDERA KENCANA said...

king, Kalau engko nak bercuti, aku memang cadangkan ko bercuti di Taiping. Memang best. Bukan setakat Zoo, ada waterfall, taman tasik yang lain dari yang lain, makanan yang teramat menarik, hotel murah dan dekat dengan Bukit Merah Laketown.

Iman, jika sudah tidak boleh menjamah ikan tapah itu, tentu kita dari rumpun yang satu. Ini kebenaran. Hanya allah yang mengetahui dari punca individu mana keturunan Pak Kaduk kita ini bersambung.

Esis : Ko jangan Esis. Malu aku nanti. Hahahaha. Aku dah pastikan yang sanak saudara dah dilawati sebelum aku melawati binatang-binatang tu..